Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, May 29, 2009

Santai je dia...


Bila aku baca tulisan dia, rasa santai je. Bahasanya mudah, tepat, cepat dan kemas. Selamba tapi aku faham. Lucu jugak walaupun fizikalnya tak la nampak lucu. Ada diselitkan ketawanya sampai aku boleh nampak dia sedang tersengih-sengih depan laptopnya. Itulah kelebihan dia. Masa sekolah dulu, dia rajin masuk pertandingan mengarang dan pernah beberapa kali menang. Dia juga agak luar biasa, kedua-dua ibu jari tangannya bengkok sikit tak macam jari orang biasa. Masa kecik-kecik, aku rajin jugak membelek-belek jarinya tu sambil mengomen. Biasala aku ni...Agaknya itulah kelebihannya, pandai menulis. (Eh, tak de agak-agak lagi, kan dah betul nyata tu!) Dapat suami pun di bidang yang sama.
Aku ni, buat masa ni nak melepaskan geram dulu kat blog ni. Bagilah masa sikit untuk aku meluahkan 'dari dalam aku' dulu. Mana la tau, macam nak menggali harta karun, mula-mula cangkul tanah sikit-sikit lama-lama jumpa la serpihan pinggan sikit, pecahan cawan sikit. Dalam..dalam..dalam lagi jumpalah lombong harta karun. Ataupun macam orang nak belajar berenang. Mula-mula belajar tahan nafas dulu dalam tab mandi pun ok. Pas tu kat kolam kanak-kanak kecepak kecepuk kat situ. Pas tu kat kolam orang dewasa. Akhir sekali boleh la berenang dan menyelam sepuas-puasnya kat lautan luas nun.
Amboi mak, lamanya masa! Banyak na ke geram ko ni Intan...
Hmmm...aku sekadar di pinggiran (teringat pulak lagu Fran). Don' worry, warm up kena la buat gak. Tetiba terus masuk trek kang putus nafas pulak...hehehe

Seorang Penulis itu... (2)


Cerpen dah siap. Agak tergesa-gesa. Mengejar ilham yang berlari susup-sasap di celah rongga hidup. Dah print out. Cari semula cerpen yang belum diedit Kak Ju dalam inbox. Print out lagi. Cari pulak cerpen sama yang dah diedit Kak Ju dalam inbox jugak. Print out lagi. Terjumpa cerpen Shamir Kak Ju bagi sebagai rujukan dan contoh pun aku print out.
Aku baca semula cerpen pasal bekal ke sekolah. Kemudian aku baca pulak cerpen sama yang dah diedit tu. Besar perbezaannya. Cerpen aku senada je tapi Kak Ju menambah dengan perasaan. Aku punya macam budak-budak tapi Kak Ju macam bagi nyawa kat cerpen tu. Aku semak pulak cerpen terbaru, Maafkan Kakak. Pun senada tak bernyawa. Belum boleh bagi Nawal baca lagi kang dia komplen banyak sangat. Tajuk pun tak best. Nama watak je yang mengancam, aku pakai nama anak jiran aku sendiri.
Aku memang tak de ilmu pasal karang-mengarang ni, hanyalah belajar Bahasa Malaysia (sekarang Bahasa Melayu) time sekolah dulu. Cuma waktu tu aku suka membaca, sebab aku kurang pandai bercakap berborak dengan kawan. Baru la ni aku ikut bengkel online seorang sifu atas saranan Kak Ju tapi aku kurang aktif kat situ. Cumalah hantar rungutan dan keluhan je setakat ni, ceh. Ko ingat sifu tu banyak masa nak melayan keluhan ko tu...
Jadi sekarang ni aku kena edit lagi cerpen ni. Tukar ayat, pusing sana sikit, ubah sini sikit. Bagi masuk perasaan dalam ayat-ayatnya. Bak kata sifu, jangan suap je, bagi otak pembaca berputar sama, dapat membayangkan situasi dengan jelas di minda mereka. Uihhh...orang muda (muda dalam bidang ni le...) macam aku ni mula la rasa susah benda ni. Baca je lagi best daripada buat. Tapi buat sendiri lagi best daripada baca orang punya, kan kan kan. Yang pasti, penulis berjaya ialah yang mampu menyertakan perasaan ke dalam karyanya. Karya itu hidup bernyawa. Lagi satu tak tipu orang. Faktanya begitu hidup sampai mempengaruhi minda. Contohnya, tulisan Plato berkenaan Atlantis sungguh mempengaruhi manusia sehingga para penyelidik berusaha ke hari ini mencari di mana lubuk Atlantis yang dah terbalik up side down kononnya tu. Sesapa yang jumpa Atlantis dulu bakal menjadi orang paling berkuasa di dunia memandangkan kota legenda tu penuh dengan kemajuan yang jauh melebihi pencapaian manusia moden hari ini. Bayangkan!!! Tapi kalau itu hanya rekaan Plato, nak kira tipu ke?
Jadi, fakta tak penting melainkan berita terkini kat dalam TV. Ehhh, kekadang tu pun ada tokok tambahnya kan. Itulah bezanya antara ilmu kebenaran dan ilusi manusia. Jadinya, penulis juga memainkan peranan penting menegakkan kebenaran. Itulah penulis berhemah dan hasil karyanya bernilai tinggi tak tenggelam dek zaman. Bakal memungut hasil dua alam, alam fana dan alam kekal di sana kelak, insya Allah. Seperti ulama-ulama lampau, Imam Al Ghazali salah seorangnya, mengalami pengembaraan rohani yang tak terjangkau dek akal manusia ketika menghasilkan Ihya Ulumiddin. Ternyata karya itu sungguh tinggi nilainya membuka fikiran baru kepada manusia sehingga kini.
Akhir sekali, penulis seorang yang penuh rahsia. Rahsia yang telah, sedang dan akan dilambakkan di dada kertas atau skrin komputer. Rahsia yang akan dikongsi dengan para pembaca. Rahsia yang tak menjadi rahsia akhirnya. Lalu mencipta rahsia lagi. Kerana anugerah akal fikiran dari Pencipta, tak pernah berkesudahan. Umpama lautan yang luas terbentang, atau seisi alam yang entah di mana sempadan.
---> aku seorang aku.

Seorang Penulis itu...


Seorang yang bergelar penulis, atau mampu memikul title penulis, ialah orang yang selalunya peka dengan persekitarannya. Paling tidak disangkal, bakatnya sedikit sebanyak bermula sewaktu masih terlalu muda. Minatnya tinggi, kebolehannya hebat menguntai ayat dari isu simple hingga isu berat. Pastinya dia sangat gila buku, apa saja akan dibacanya. Dari situ dia akan mengumpul maklumat, memeramnya, memprosesnya dan mengeluarkannya semula. Jiwanya halus dan berseni kerana dia memang berada dalam golongan orang seni. Otaknya sentiasa berligar, berpusing-pusing dan menerawang hingga ke angkasa paling tinggi yang mampu digapainya dalam tidur dan jaga. Yang lebih bermakna ialah dia mampu mengolah itu semua ke dalam bentuk ayat yang bakal disampaikan dengan mesej yang diingini kepada para pembaca. Bukan terpendam di dalam jiwa atau menjadi basi di dalam fikiran semata.

Biasanya dia tiada ketrampilan. Orangnya umpama seniman jalanan. Rendah diri tapi sarat dengan perjuangan. Apa sahaja tema yang diangkat akan diperjuangkan sehingga ke titik terakhir. Memang mengkagumkan!! Apatah lagi jika penulis itu mampu mengungkapkan kata-kata mutiara yang dipetik dari sumber sahih yang tidak pernah berubah sejak zaman kebenaran bermula semula, atau memetik kata-kata Penghulu akhir zaman yang penuh dengan pendidikan jiwa insaniah cemerlang. Setakat kata-kata Hamka pun sudah cukup memuaskan pada aku yang sinting ini.

Apa lagi seorang penulis itu?

Yang pastinya, dia tetap manusia biasa. Hanya dia lebih gigih, terlampau gigih, berbanding dengan orang-orang yang gigih-gigih belaka. Dia tetap mempunyai kelemahan di mana-mana, juga kelebihan di mana-mana. Itu semua berpadu disatukan menghasilkan dia yang sebenar di sebalik cerita yang dipersembahkannya bila-bila sajaaaa.......


Aku ni penulis apa??? Setahun dari sekarang? Dua tahun dari sekarang? Sepuluh tahun dari sekarang.......kalau umur panjang. Aminnnnnnnn..

Thursday, May 28, 2009

HALA TUJU


Mungkin benar kata Kak Ju. Keluarga ni ada bakat menulis. Contohnya dia sendiri. Dan aku tak menyangka Kak Ja pun sering menghantar puisi-puisinya ke media. Oh ya baru aku teringat, masa remaja dulu pun karya aku pernah keluar kat majalah. Salah satunya sajak spontan yang aku nukilkan selepas berpisah dengan best friend aku, Munaliza namanya. Maka sajak tu pun bertajuk 'MUNALIZA'. Keluar kat majalah Gila-Gila sebab masa tu majalah tu yang sering aku baca. Seronok gila bila baca sajak sendiri kat situ. Tapi sayangnya aku tak cuba menyimpan, kalau tak boleh gak tengok2 macamana rupanya sajak tu.


Kian lama kian aku maklum hala tuju hidup ni dan harap2 tak salah lagi. Ye lah, dah sekian lama aku 'mengembara' dalam pelbagai situasi hidup dan pekerjaan, rasanya semakin sampai ke pelabuhan yang tepat. Sehingga semalam pun ada juga kekawan yang bersimpati pada aku dan nak offer kerja kat aku, bila aku nyatakan sekarang aku hanya surirumah je. Mak kat kampung pulak tak jemu lagi mengajak aku stay kat Seremban dan dia nak aku kerja ngan Kak Lia. Mak memang tak pernah putus asa carikan aku kerja (sampai kekadang aku segan).


Walhal mereka tak tau betapa sukanya aku duduk kat rumah. Bayangkan, macam terkurung je dalam rumah tapi sebenarnya aku rasa inilah kebebasan sebenarnya. Cuma, yang benar dan pastinya, tak merasa la pegang duit sendiri...sikit2 pun nak kena mintak. Tu lah!!


Hala tuju terkini ni, baru je menerjah ke minda aku kira-kira sebulan yang lepas.


Setahun lepas, aku merancang jadual kehidupan sebagai wanita berkerjaya. Aku dah pun merasainya. Aku tersiksa sebenarnya. Terpaksa patuh pada rutin yang aku kurang suka dan aku rasa lemas. Okey, bukan tak pernah pun. Pernah!! Masa lepas belajar dulu pun pernah kerja. Sampaikan gaji aku kena tahan sebab nak berhenti kerja.


Mungkin tak ada kesesuaian jiwa. Jiwa aku bukan jiwa bekerja dengan orang. Jiwa bekerja sorang-sorang. Aku memang lemas dengan rutin. Kecuali rutin mengadap komputer. Aku sanggup berjam-jam lamanya. Lagilah dah ada blog ni. Malu tak malu, aku tetap nak menulis.


Pelan-pelan, aku mula dapatkan idea nak mereka cerpen. Nak buat novel, tak mampu lagi rasanya. Aku mulalah meminjam novel dari library dengan rasa gerun. Semua novel tebal-tebal. Aku gerun nak meminjam khuatir tak terbaca. Aku juga cukup kagum dengan wanita-wanita seusia bahkan ada yang lebih berusia dari aku yang selalu bertembung di kaunter sedang memulangkan setimbun novel tebal dan meminjam setimbun lagi novel tebal. Wow!!! Ada yang surirumah ada yang berkerjaya. Aku...?


Pengesahan Kak Ju memang memberangsangkan aku. TQ Kak Ju!! Cerpen tu dah separuh jalan. Sedang merangka ke akhir. Dan ada cite lain , maybe love story. Tapi sebelum tu nak baca satu dua novel percintaan, biar dapat aura sikit. Cari buku sifu kat library tak ada pulak. Tak tau nak pinjam mana satu sampai terpaksa dapatkan bantuan librarian.


Ya Allah Ya Rahman, ampunkan dosa-dosa kami yang sering berdosa ini, panjangkan usia kami dalam keberkatanMu dan mudahkan segala urusan kami selalu. Aminnnnnnnnn.


Wednesday, May 27, 2009

Bakat Terpendam



Aku menziarahi blog kakak aku yang kerja kat Telekom tu pagi ni. Wah wah nampaknya dah bertambah cerita-cerita di situ. Patutla dia suka sangat nak menulis, ada bakat terpendam rupanya.




Ada banyak nilai moral dan pengajaran yang boleh diambik dari cerita harian yang dipaparkan. Susunan ayat dan lenggok bahasa pun sedap. Walaupun aku ni tulis diary je boleh, tapi bila baca orang punya tu pandai jugak la menilai.




Boleh la bagi bintang kat dia..berapa bintang, 6 bintang!!! siap dengan bulan lagi nih...




Nampaknya adik-beradik ni ada kecenderungan ke arah bidang penulisan. Kak Ju dah pun menempa nama lama dulu dalam bidang ni. Sekarang buku-buku karyanya dah pun berada di pasaran. Bakat siapa yang dah menurun agaknya? Entahlah, orang tua dalam keluarga kami mana la yang menulis sangat. Yang aku dapat tau satu masa dulu mak hampir-hampir nak jadi cikgu tapi tak ada rezeki ke situ. Apa yang pasti tulisan (handwriting) mereka memang cantik. Kalau jengok2 balik buku2 lama akan ternampaklah tulisan mak dan abah, Uda Sameon dan abah Manaf, memang berseni dan cantik. Tulisan kakak2 aku pun apa kurangnya, even tulisan adik aku pun cantik je. Walaupun tulis laju tapi tak mengurangkan kualitinya. Tak la caca marba macam tulisan aku. Tulisan aku...ahh, perlahan pun caca, laju jadi marba...

Aku ni pulak bila nak lebih serius dalam bidang penulisan agaknya?? Jawab Intan, jawab!!! Tadi aku pi bukak blog Pipiyapong, huh, pening kapla aku baca dia punya cerita. Dah la mata lum elok lagi, rabun pun macam bertambah je, tapi best la sesuai dengan penampilan rock dia tu. Memang aku respek kat budak-budak sekarang ni, penuh idea. Sarifuddin tu pun apa kurangnya, masih belajar tapi dah buat beberapa buku dengan tema lain dari yang lain. Tahniah pada korang sume.
Aku nak kena karang pasal KOMITMEN la lepas ni. Bukan apa, nak bagi sedar diri sendiri yang kurang sedar ni. Komitmen aku ni tak menentu. Biasanya aku komplen diri sendiri je sebab aku jarang nak terima komplen orang, tu la masalahnya.

Hanya kepada Allah dipanjatkan doa kesyukuran di atas segala limpah kurniaNya. Buatlah sesuatu yang terbaik untuk diri sendiri dan umat Islam umumnya. Semoga menjadi hamba ALlah yang bertaqwa dan mendapatkan kebaikan dunia akhirat. Aminnnnnnn.

Tuesday, May 26, 2009

Mengantuknyaaaaa!!!!!!!!...

gambar 1: Di ruang tamu rumah, sedang menonton tv tapi..mengantuklah!









gambar 4: Di buaian nurseri, baru lepas menangis sebab mama lupa nak bawa selipar Hidayat ke nurseri. 'Kuciwa' sampai terlelap!

Monday, May 25, 2009

Sakit Mata Merah

untuk makluman, di antara sebab sakit mata merah berpanjangan pada seseorang ialah kerana alahan ubat iaitu berkemungkinan besar ubat titis yang digunakan tidak bersesuaian. apabila ini berlaku, sepatutnya anda merujuk semula ke klinik berdekatan dengan membawa ubat yang telah anda gunakan sebelum ini. pihak perawat akan menukar dengan ubat yang lain dan anda perlu memerhatikan sebarang pembaikan dengan ubat seterusnya. pastikan tisu yang anda gunakan untuk mengelap cecair di mata yang sakit itu terus dibuang ke dalam bakul sampah. jangan gunakan ia untuk mengelap mata yang belum dijangkiti untuk mengelakkan sakit mata merebak. cuci tangan dengan bersih dan gunakan tuala tangan yang bersih untuk mengeringkan tangan anda. jangan gunakan ubat titis sebarangan. ubat titis untuk kanak-kanak juga berbeza dengan ubat titis untuk orang dewasa. secara tradisional, terdapat sedikit pantang- larang yang akan diberikan sekiranya anda merujuk orang-orang tua yang berpengalaman tentang sakit mata. diantaranya ialah berpantang makan ayam dan makanan laut yang gatal-gatal, telur, dan kekacang. juga elakkan makanan bergoreng. sebaliknya jamulah selera anda dengan makanan yang dimasak rebus. kalau tanya doktor, memang tak ada pantang. tepuk dada tanya selera. kalau nak cepat baik, pandai-pandailah jaga tekak. sanggupkan anda bermata merah kedua-duanya atau mata cemer sebelah?..
Petua tradisional yang mujarab ialah titiskan susu ibu ke dalam mata, ulang beberapa kali.  Jadi, usahakanlah mendapatkan sedikit susu ibu untuk tujuan perubatan ini.  Pada masa yang sama, tingkatkan penjagaan kebersihan mata itu sendiri dan tangan, gunakan kapas untuk sekali lap pada sebelah mata menggunakan air suam dan buang.  Ambil kapas bersih yang lain untuk lap mata yang sebelah lagi.  Oh ya, jangan lupa baca Bismillah... dan selawat Nabi banyak-banyak.  

Friday, May 22, 2009

Rama-Rama

rama-rama

rama-rama

rama-rama cari bunga

bunga putih bunga merah

bila makan baca Bismillah


sudah makan terbang tinggi

sambil syukur dalam hati

Allah hurabbi

Allah hurabbi

kerana Allah beri rezeki

Thursday, May 21, 2009

Kifarah Dosa

gambar yang tak ada kena mengena dengan tajuk...
tapi baby ni cute kan...

telah dua kali dia berkunjung ke klinik. kali ini ke klinik swasta pula. doktor perempuan yang cantik manis dengan tahi lalat di tepi bibir itu mnghadiahkan sekuntum tersenyum lawa kepadanya. dia benar-benar mengalah dengan sitausi ini. daya penglihatannya jauh merosot. dia tidak dapat melihat dengan jelas menggunakan hanya sebelah mata saja. dia tidak juga dapat mengagak jarak dengan tepat. mujur dia tidak tersasar ketika memotong kepingan ayam menjadi ketulan kecil-kecil untuk melengkapkan bahan tomyamnya tengahari tadi.


dia agak malu kepada tetamu-tetamunya yang datang berkunjung. cepat-cepat dia mengenakan rayban hitam besar itu untuk melindungi matanya. memang tidak selesa memakainya kerana rayban murah itu senget sebelah. seolah-olah telinganya tidak seimbang kedudukannya sebelah senget ke bawah dan sebelah lagi ke atas. tapi dia terpaksa mengenepikan perasaan itu.


dia benar-benar berdoa agar keadaan matanya kembali pulih seperti biasa. juga agar mata anak bujangnya turut bertambah baik dan sembuh seperti sediakala. pasti ada hikmah di sebalik semua ini. kifarah dosa barangkali. semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya yang disengajakan mahupun yang diluar kesedarannya sekian lama. dia hanya manusia biasa yang selalu melakukan salah dan silap. kekilafan berlaku sebarang waktu. ini semua pengajaran dan didikan dari Tuhan. agar dia tidak melupakanNya, kembali semula kepadaNya. juga agar dia benar-benar mensyukuri nikmat sihat yang dikurniakanNya selama ini. pasti ada rahsianya keadaan ini terjadi tepat pada masa dia telah bersedia menyerahkan nurseri kesayangannya kepada staf baru itu. Tuhan memang Maha Baik. Dalam pada hendak menguji hambaNya, disiapkan dulu keadaan yang sesuai dengan kemampuan hambaNya itu.




---> Jangan berputus asa dan kecewa dengan keadaan yang menimpa. jika kita rasa kita dalam kesusahan yang besar, ketahuilah ada lagi orang lain yang menghadapi keadaan yang lebih sukar. juga percayalah, Tuhan tidak akan menguji kita lebih dari kemampuan kita menghadapi ujian itu. dan juga apabila tiba ketikanya, ujian itu pasti akan berakhir. Hanya Tuhan yang Maha Kekal selamanya. jangan lupa mengucapkan syukur ke hadratNya sentiasa. Alhamdulillah.................

Dia dan matanya


dia bergegas bangun. rambutnya kembang berserabai tidak dihiraukan. kepalanya masih dirasakan agak pening. nyata dia masih kurang sihat. tetapi suhu badannya normal, tidak seperti orang demam. dia segera mengambil sekeping bungkusan panty liner Anion lalu merobeknya dengan agak ganas dan kepingan itu digunting menjadi dua. segera dia mengeluarkan potongan kecil strip berwarna hijau, membasahkannya dengan air paip dan menepekkannya di mata kanan.

dia masih memikirkan mata budak lelaki itu semakin beransur baik dalam tempoh empat hari sahaja. sehinggalah budak itu mampu ke sekolah tepat pada hari dia perlu menjalani peperiksaan. tetapi matanya sendiri telah masuk empat hari masih merah menyala, cumanya tidak berjangkit ke mata kiri. ubat titis yang dipakai sama. semasa dia memberitahu emak mengenai keadaan matanya tempohari melalui telefon, dia disuruh jangan menggoreng dan elakkan makan makanan berminyak. namun dia tidak dapat lari dari rutin memasak. suaminya endah tak endah bila dia mengabarkan nasihat emaknya. bahkan lelaki itu menempah hidangan tertentu pula untuk dimakan tengahari yang tentunya bergoreng. mungkinkah kerana itu? (dia terpaksa menunduk melihat dengan dekat lambang soalan kerana penglihatan kurang jelas). pagi ini dia terfikirkan tentang strip ion negatif yang dipakaikan di mata budak lelaki itu. itu sahaja yang berbeza antara dia dan budak itu. dua malam berturut-turut (kecuali satu malam dia terlupa) dia meletakkan strip hijau itu di kedua-dua belah mata budak lelaki. dia pula dengan harapan yang tinggi jua memberi masa kepada dirinya untuk bersabar selama setengah jam lagi dengan strip hijau itu di mata kanannya. petang semalam Bibik Su yang singgah membawa kerepek jualan memberikan petua agar pagi-pagi esok dia menitiskan air kencingnya kedalam mata. sepanjang malam tadi dia membayangkan bagaimana hendak menitiskan air itu di matanya. mudah-mudahan strip hijau ini dapat membantu membaiki kondisi matanya tanpa perlu menggunakan air itu, dengan izin Allah. aminnnnnnnnnn.

Tuesday, May 19, 2009

Kes Pecah Rumah Lagi


Pencuri itu semakin berani. Apa taknya, mereka memecah masuk ke rumah mangsa terbaru sekitar jam 9 pagi. Ada saksi memberitahu telah ternampak sebuah kereta Wira berwarna hitam berhenti di hadapan rumah mangsa tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Mangsa yang bertugas sebagai seorang guru telah meninggalkan rumah pada awal pagi sekitar jam 7 manakala suami mangsa pula pergi kerja sekitar 830 pagi. Jiran sebelah rumah mangsa juga tiada di rumah ketika kejadian berlaku. Ini menguatkan sangkaan bahawa pencuri tersebut beroperasi di dalam kumpulan dan telah membuat perancangan yang teliti dengan memerhatikan pergerakan keluar masuk penghuni di sekitar kejiranan ini. Walau bagaimanapun hanya sebuah tv LCD sahaja yang berjaya dilarikan oleh pencuri tersebut. Barang-barang berharga yang lain seperti barang kemas dan sebagainya tidak dapat ditemui oleh pencuri itu dengan andaian mereka tidak mempunyai cukup masa untuk menggeledah keseluruhan rumah tersebut.

Inilah risiko kejiranan ini yang terpaksa ditempuhi. Keadaan perumahan yang sebaris sahaja dan jenis rumah semi-D membuka ruang yang mudah kepada pencuri untuk melakukan kegiatan mereka. Hampir semua rumah telah dimasuki oleh pencuri. Habuan yang mereka perolehi juga berbagai-bagai dari wang ringgit sehingga kepada barang-barang yang lebih berharga seperti kamera berjenama, laptop dan lain-lain. Waktu mereka beroperasi juga tidak mengira masa. Seluruh kejiranan ini merasa begitu marah dan tak dapat bersabar lagi untuk membelasah pencuri-pencuri tersebut. Pihak berkuasa yang mengambil aduan hanya mampu menjalankan tugas setakat itu sahaja selain mengambil cap jari atau kesan-kesan lain yang ditinggalkan di pintu dan sekitar rumah mangsa-mangsa.

Terdapat jiran yang memasang kemudahan CCTV di beberapa penjuru rumah mereka dan setakat ini rumah sedemikian tidak lagi dimasuki pencuri. Terdapat saranan agar setiap rumah dilengkapkan dengan alat penggera yang akan berbunyi apabila terdapat cubaan memecah masuk ke rumah.

Setakat ini mangsa-mangsa tidak pernah diapa-apakan apabila rumah mereka dimasuki semasa tengah malam atau awal pagi ketika mereka sedang nyenyak tidur. Inilah yang paling menakutkan kerana pencuri-pencuri itu boleh berbuat apa sahaja kemungkinan sekiranya mereka mahu terhadap mangsa-mangsa tersebut yang tidak bersedia menghadapi keadaan tersebut.


********************************

Ya Allah, selamatkan kami dan kejiranan ini dari segala musibah penyakit dan kecurian lagi

Rapatkan silaturrahim di antara kami seperti berkasihnya sahabat yang paling akrab ataupun saudara yang paling erat. Tetapkan iman kami dan ampuni dosa-dosa kami semua. Amin.

Sebuah Kebebasan



Pagi ini wanita itu agak rengsa. Ada rasa kurang upaya sedikit, hanya sedikit...maknanya kurang cergas seperti biasanya. Selepas bersalaman dengan anak-anak, mencium pipi dan dahi mereka (dan dicium pula oleh anak-anak juga di pipi dan dahi..) lalu mengucapkan selamat melepaskan anak-anak itu bergerak pergi ke sekolah. Hari ini hari pertama mereka akan menghadapi peperiksaan semester pertama. ''Semoga berjaya! Jawab soalan baik-baik dan teliti."

''Tapi, jangan lama sangat baca soalan, nanti tak sempat nak jawab semua...'' pesan lagi kepada budak lelaki Tahun 1 pula. Fikiran yang lurus dan bersih kadang-kadang silap tafsir sesuatu maksud yang ingin disampaikan. Jadi perlu ditambah dengan sedikit peringatan.

Kemudian, wanita itu terfikir sesuatu. Lantas dia mencapai basikal yang bersusun dengan dua buah motor di sudut rumah, tetapi tergesa-gesa masuk menghilang ke dalam rumah lalu muncul lagi dengan penampilan agak berbeza. Dia memakai sepasang kacamata hitam pula. Lalu dia berkayuh ke hilir menuju rumah pertama di deretan perumahan semi-D itu. Sekadar ingin meninjau nurseri kesayangannya. Di pertengahan jalan, terlihat sebuah van dengan pintu bahagian driver terbuka. Dia tidak dapat melihat dengan jelas ke dalam van kerana kacamata hitam itu menghalang penglihatan yang jelas di pagi yang masih kelabu. Tiba-tiba lampu van dinyalakan sekadar isyarat lalu dia ternampak gerakan tangan oleh seseorang dari dalam van. Sekadar membalas sapaan, dia pun mengangkat tangan juga. Jiran yang baik dan berhemah, sering memberi isyarat menyapa apabila bersua.
Sungguh menyenangkan jiwa! Walau seolah-olah terkurung di sebalik kacamata hitam yang terpaksa dipakai di pagi yang tenang, tetapi aura kebebasan kian kuat terasa. Walau digiat-giat oleh jiran-jiran yang ternampak keanehannya pagi ini, dia tak terasa apa. Hanya senyum dan kadang-kadang ketawa sedikit. Umpama burung yang sedang terbang melayang di angkasa yang luas terbentang. Seperti seekor helang yang menongkah langit setinggi-tingginya lalu melayah turun selaju-lajunya hendak menerkam ke bumi. Juga mungkin seperti sedang bertafakkur di tengah-tengah padang hijau yang teramat luas. Atau seperti sedang menatap senyuman suci dan tulus dari seorang bayi yang sudah pandai bermain mata. Memang mempesonakan perasaan..!

Mesej utamanya ialah Kebebasan. Tapi apa faedahnya jika kebebasan itu tidak dapat digunakan secara yang terbaik? Tanpa ilmu disiplin diri, kemahuan yang tinggi, perancangan serta matlamat yang paling diingini, masa akan terbuang begitu sahaja. Dan itulah yang paling malang dan memberi nilai sifar kepada kebebasan. Kasihan...

Fokus dan fokus dan fokus dan teruskan langkah menuju impian. Jom menuju kejayaan!!!!!!!!!!

Selamat Ulangtahun Pernikahan ke-14


Diary Islam 2009 diselak-selak. Ada catatan peringatan di sini, di mukasurat bertarikh hari ini, 19 Mei 2009, ''ULANGTAHUN PERNIKAHAN KE-14''.


Dah 14 tahun rupanya hidup bersama. Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Mu, ya Allah.

Inilah orangnya yang telah Kau tetapkan untukku sejak azali, rupa-rupanya. Inilah orangnya yang paling sesuai untukku. Ada keserasian dan persefahaman dalam hampir semua perkara. Termasuklah sikap dan permikiran. Kalau garang pun, ada juga sedikit persamaan. Sehingga sesama sendiri pun saling berantakan. Kemudian, muncul semula kelembutan dan cahaya kasih-sayang yang dikurniakan Tuhan.


Perbezaan tetap ada. Mana mungkin sama semuanya. Latar belakang dan perut yang mengandungkan pun berbeza. Adik-beradik dari satu ibu pun tidak pernah sama. Di situlah daya tarikan dan keistimewaannya. Umpama dua magnet dengan kutub yang berbeza, saling bertarikan untuk bercantum erat.


''Apa yang penting? Kerjasama''

''Apa yang penting? Kerjasama'' kata tiga sekawan dalam Wonder Pet di TV9.


Pembelajaran dan garapan pengalaman terus berlaku setiap detik. Itulah dia! Ternyata perbezaan itu mengandungi pengajaran yang besar nilainya untuk kesinambungan hidup di bawah satu bumbung dengan satu ikatan yang dimeterai dalam lafaz pernikahan. Semoga terus berada di dalam keredhaan Allah. Kerana tiada apa yang lebih bermakna selain keredhaanNya demi penghidupan yang abadi di alam yang kekal kelak. Insya Allah.


Wahai Tuhan, tetapkan kami di atas jalan yang lurus yakni jalan orang-orang sebelum kami yang Engkau redhai. Janganlah biarkan kami walau sesaatpun, kasihani kami dan ampunkan dosa-dosa kami. Aminnn........


Surah At-Taubah (104) maksudnya: ''Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dan zakat dari hamba-hambaNya, Allah Maha Penerima lagi Penyayang.''


Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya: ''Sesungguhnya Allah Taala suka melihat hambaNya berusaha berpenat letih mencari rezeki yang halal.'' (hadis riwayat As-Dailami).


* Semoga setiap hari anda dan kita semua bertambah gigih dalam berusaha ke arah berbuat kebaikan dan mencari keredhaan Illahi. Juga semakin sihat dan selalu dalam keceriaan.


** Hari yang datang pasti akan pergi. Usah biarkan kedukaan menyelubungi jiwa berterusan. Izinkan hati anda tersenyum dan mulakan hidup baru dengan semangat juang yang lebih bermakna.


Monday, May 18, 2009


Semalam, mata kanan itu rasa berpasir. Hari ini, mata yang itu telah kemerahan.

Kelmarin, budak lelaki itu pun begitu. Mereka sama-sama mengambil nombor giliran di klinik pagi tadi. Ramai orang menjauhi mereka. Ada yang mulutnya kumat-kamit, baca mantera barangkali. Ada yang lebih berani, terang-terangan katanya, ''ko sakit m**a, aku sakit b****t''


Tapi dua orang itu redha, tetap tenang. Sesekali apa salahnya. Biarlah saja! Hari ini masa mereka nak kena. Orang-orang tu tunggu saja la giliran.. Kalau tak esok, bulan depan, tahun depan. Pokoknya, anytime kan...


Budak lelaki tu memang suka sangat. Dia berseronok depan komputer. Rasanya biarlah mata tu terus begitu. Lagi digenyeh-genyeh. Nampak terbit urat merah. Kasihan si mata yang tak berdosa. Dia tak perlu bangun pagi-pagi mandi. Tapi, esok kan periksa. Nak tak nak kena pergi sekolah juga. Harap-harap si mata semakin sejuk, nyaman dan segar menjelang ke pagi nanti. Segar dalam lena.


Cuma kurang enak bila turun rasa luar biasa yang tidak sedap ke anak tekak selesai menitiskan cecair putih dari botol kecil ke mata.


Terima kasih wahai Tuhan! Kerana memberi kami nikmat mata yang percuma. Perjuangan tidak pernah padam dalam kehidupan. Dalam diri juga ada perjuangan walau tak disedari oleh insan.

Friday, May 15, 2009

Boleh, Insya Allah!


''Saya dah check bacaan dia''

''Macamana, ustaz?''

''Dia boleh sebenarnya''

''Alhamdulillah''


''Sebenarnya dia mampu. Dia tak lemah''

''Ya, cuma fikirannya bercabang-cabang''

''Karnival. Surf internet..''

''Ya. Ya. Saya fikir macam tu.''


''Lepas ni saya tak bagi dia balik kerap"

''Ya. Ya. Lepas ni semua tak dibenarkan balik. 1hb Jun periksa''

''Saya harap ustaz izinkan adik dia ni datang Sabtu Ahad''

''Ya boleh. Boleh. Tak ada masalah. Insya Allah''

''Saya nak dia menyesuaikan diri. Kalau ada rezeki, dia masuk esok abang dia ni dah keluar''

''Ya. Ya. Boleh. Boleh''


''Kalau macam tu, terima kasih banyak ustaz''

''Ya. Ya. Sama-sama''


''Salam ustaz..salam ustaz..''


Kereta berekzos sport berwarna biru tua itu berlalu pergi dengan penuh gaya. Budak berserban putih berjubah putih tersandar di tempat duduk belakang, diapit oleh adik-adiknya. Wajahnya tenang saja. Wanita bertudung merah mudah krim dipenuhi labuci fesyen terkini tersenyum puas. Keyakinan meningkat di hati. Harapan membuak di dada. Perjalanan tetap diteruskan semenjak langkah pertama menapak. Mohon restuMu, Tuhan.


''

Hari Itu Dia Lahir


Jumaat, jam 8 pagi. Terdengar langsing suara seorang bayi. Terkejut barangkali tika tubuh mulusnya di sapa udara dunia fana. Atau barangkali juga kesakitan pusatnya dicucuk kuku jari syaitan yang keji.

''Perempuan''
''Perempuan lagi? Huh''
''Alhamdulillah...''
''Kalau lelaki, tak payahlah. Lelaki ada sorang je''
''Ni bolehla. Dah 4 perempuan''
''Nanti hantar telegram kat dia. Suruh datang ambik''
Wajah wanita berkulit kuning langsat iras Lisdawati tenang saja. Bintik-bintik peluh bercahaya di dahi dan celah-celah rambut hitamnya. Tiada kata. Membisu. Pasrah.
Demi kasih yang tulus di sanubari. Dia redha.
bersambung...

Thursday, May 14, 2009

Napa?

Hari ni tak la panas sangat!

Bahkan redup, angin sepoi-sepoi bahasa..



Tapi apasal letih semacam?...
Bukan tak makan, dah melantak dah...
???????????????????????????????????????????????????? pikir punya pikir, rupa-rupanya....aku lum mandi pagi (4.00 pm sekarang). Patut la badan rasa tak fresh! Apasal tak mandi ha?
Pesanan kepada semua anak-anak sedara kesayangan: mandi la pagi-pagi baru badan fresh, otak pun segar, ye Nawal. Mak Teh tau Nawal mesti mandi pagi kan sebab nak g sekolah.

Mendung semalam


semalam memang mendung tapi kejap je. ''Kalau mendengar guruh di langit, air tempayan di curah jangan'', teringat senikata lagu evergreen 70an, sapa penyanyinya tu, Sanisah Huri ke..atau Rafeah Buang. Mak tau la tu, aku tak sure pulak. Pagi tadi, masa aku hidupkan enjin van Rusa tu, aku melihat warna langit agak jingga dan penuh awan kelabu. Masih awal sekitar 645 pagi. Aku jangkakan hari akan hujan. Betul pun, bukan nak hujan tapi dah hujan pun malam tadi tanpa aku sedar. Jalan basah dan ada lopak air di sana-sini. ALhamdulillah, setelah beberapa lama cuaca panas membahang, keadilan Tuhan menurunkan hujan pula. AKu tak perlu menyiram pokok bunga macam selalu.

Aku beli sebungkus nasi lemak dan dua bungkus meehoon goreng di depan Tadika Ukhwah. Selalunya aku order saja dan selesai. Kali ini, aku ada hati pulak nak menyembang dua tiga ayat. ''Mendung nampaknya pagi ni''. ''Haah, malam tadi ujan'', sambut pembantu akak yang menjual nasi lemak sambil duduk di kerusi. Akak penjual nasi lemak sedang membungkus meehoon. ''Dah lama panas bahang. Ramai budak meruam, demam..anak saya sakit mata lum elok lagi..'' aku menambah bila lihat akak tu macam tak de idea nak menyampuk. ''Memang sekarang ni macam-macam, ruam la, demam la, macam-macam sakitnya budak-budak ni'', akhirnya dia menjawab juga. AKu menghadiahkan senyuman sambil menghulurkan wang ke tangannya lalu mengambil bungkusan. ''Ma kasih ya''.

AKu tak membangunak Dayat untuk ke sekolah. Aku lihat mata kirinya melekat, ada kesan lelehan airmata ke pelipis kiri. ''Tak boleh gi sekolah nih..biar rest je kat rumah'' getus hatiku. AKu berpesan kepada AIn supaya menyampaikan kepada guru kelas Dayat berkenaan keadaan Dayat.

Setelah hampir semua urusanku pagi ni selesai, tiba-tiba masuk sms dari Pah.

"Kak, sampai bila Dayat cuti?''.

''Alamak, lupa la pulak!'', aku mengumam sendiri lantas mendail no hp Pah. ''Salam, Pah. Sori la lupa nak bagitau tadi. Akak biasa la pagi2 terus g nurseri lupa sume.''

''Akak memang..pelupa..hehe''

''Yo la apo nak buek bizi jo''

Sejak aku stop bawk budak ke skolah, Dayat aku tumpangkan dengan Pah g sekolah. CUma pagi ni aku terlupa Dayat aku 'cutikan' sebab sakit mata tu.

(eh, camano nak buat ''Baca seterusnya' tak yah la panjang2 keluar kat sini. Sapa tau tolong bagi tau. Tq.)

Wednesday, May 13, 2009

Masih aku teringat

dulu, aku selalu berseorangan. akhirnya aku cenderung zip mulut. nak berkawan pun tak pandai. hanya dengan keluarga je aku ceria dan boleh berlucu (aku agak humor jugak rasanya...). dan akibat lagi satu ialah aku terdorong dan cenderung bersahabat dengan buku. masih aku ingat beberapa cerita yang pernah memberi impak kepada diri
aku. wujud perasaan seronok dan tenggelam dalam cerita. dah abis baca baru aku kembali ke alam realiti. sampai macam tu sekali. biasala, alam realiti tak sehebat alam fantasi dalam buku cerita. ye la cerita kanak-kanak atau remaja, masih ada campur aduk dengan kesempurnaan dan warna-warni yang sukar ditemui dalam hidup seharian. Si Pitak Jauh Di Rantau..Kisah 1001 Malam..lagi..lagi..tak ingat la pulak. Tapi sikit-sikit masih ada saki-baki sekurang-kurangnya watak utama macam cerita rakyat (tak ingat negara mana punya). Seorang budak lelaki termasuk ke dunia katak yang pandai bercakap... atau pengembaraan seorang raja menunggang kuda menempuh padang suasa, padang emas dan padang permata. Bertemu puteri bidadari yang sungguh jelita. Namun dengan rendah hati, aku akui tak banyak buku yang pernah dibaca. La ni ada dua novel tebal gila dah bertahun2 tersusun rapi di rak buku aku lum baca lagi. Satu aku beli satu lagi kawan punya tak pulang2 lagi. Kawan pun dah tak tau kat mana sekarang.


--> Ok Tan, apa pun alasan ko...satu je. Masa terus berlalu. Tak tunggu ko nak baca ke, nak tulih ke, nak berangan ke.. Jangan biarkan angan-angan ko terus kosong. Cipta sesuatu.


-->DEMI MASA...SESUNGGUHNYA MANUSIA DALAM KERUGIAN..KECUALI YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing