Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, October 6, 2009

Selamat Datang ke Madrasah Miftahul Ulum

Pagi ini Ain mendesak saya menghantarnya ke klinik dengan alasan sakit lidah.
"Mama, Ain nak pil hijau,"  kata Ain mendesak-desak saya.
Hidayat pula mahu saya memandikannya.  "Mandilah dengan Along, karang Along dah pergi madrasah," saya memujuknya sambil terus menyiapkan bahan untuk menggoreng nasi.  Hidayat enggan, dia duduk di kerusi dan memerhatikan saya terus.  Bagi mengelakkan kelewatan dan memudahkan urusan, saya terus menarik tangan Hidayat masuk ke bilik air dan memandikannya.  'Tidak mengapalah, tahun depan dan seterusnya dia tidak akan buat perangai lagi.'  Hati saya berkata sambil membayangkan Hidayat terus membesar menjadi orang bujang.  Namun bukan setakat minta dimandikan, dia minta dipakaikan baju sekolah pula.
Saya faham, Ain dan Hidayat sengaja 'tunjuk perangai' kerana mereka dapat meneka saya akan menghantar Naqib ke madrasah hari ini. Mereka mahu ikut menghantar Naqib tetapi hubby tidak lagi mahu  bertolak-ansur, memikirkan lebih afdal mereka ke sekolah.  Bagi memudahkan lagi urusan, saya masih memakai kaftan dan terus sibuk di dapur, meminta hubby menguruskan perjalanan mereka ke sekolah.  Situasi saya benar-benar seperti tidak akan pergi ke mana-mana.
Kasihan anak-anak ini, akhirnya mereka berangkat ke sekolah membawa bekalan nasi goreng tanpa banyak kerenah.  Saya terus menukar baju dan bersiap untuk mengikut ke madrasah.  Saya perlu pergi sama.  Saya mahu mendengar taklimat yang akan diberikan.  Saya mahu melihat suasana dalaman asrama nanti.  Malam tadi saya sudah memujuk hubby agar mengizinkan saya ikut serta.  Beserta renungan tajam (tanda amaran sekiranya apa-apa berlaku...), saya mendapat 'lampu hijau' setakat 80% tetapi sudah memadai untuk saya amat bersyukur ke hadrat Allah.
"Mujur mak tak bertanya tadi.  Mak nak tanya kenapa tak bersiap lagi," kedengaran suara mak.
"Eloklah mak tak terus bertanya,  Kalau tidak, terbongkarlah muslihat saya," balas saya sambil tersenyum kepada mak.
Hanessa masih lena.  Jika dibiarkan, lambat lagi dia bangun.  Saya tidak risau kerana yakin Hanessa tidak menyedari saya yang terus bersiap.  Saya memilih baju kurung berwarna biru corak air dipadankan dengan tudung Arriani biru gelap.  Hubby menyuruh saya menghidupkan enjin kereta.  Saya pula meminta Naqib memasukkan dua buah beg dan baldinya ke dalam bonet kereta.  Naqib telah lengkap berpakaian jubah putih dan berserban.  'Segak anak ini...nampak ketokohannya.'  Naqib sedang mengulangkaji Undang-Undang Madrasah yang telah dihafalnya.
Setelah semua siap, Naqib masuk melihat saya yang kembali ke dalam bilik (biasalah orang perempuan, ada sahaja yang terlintas di kepala pada saat-saat akhir).
"Mama, adik ni tak bawa ke?"  Naqib memandang saya sambil menjuihkan bibirnya kepada Hanessa yang sedang tergolek lena.
"Tak payah bawa.  Nanti macam-macam  kerenahnya," balas saya ringkas.
Naqib mengesat-ngesat matanya dengan belakang tangan, "Bawalah, mama..." kata Naqib lagi, sedih....
Seperti selalu untuk memudahkan urusan, saya menjawab, "Nak bawa, kejut dia, suruh buang air kecil."
"Tak payah mandi?"
"Tak sempat dah..."

Naqib mengejutkan Hanessa perlahan-lahan dengan penuh kasih, sehingga Hanessa bangun dan menyelesaikan dirinya.  Dia memakai baju Ana Muslim, tidak perlu ditukar.  Saya sorongkan tudung kesukaannya berwarna merah jambu, tetapi dicampakkan semula ke atas kerusi.  Mungkin mamainya belum benar-benar hilang.
Jam 8.30 pagi kami beransur ke Dengkil.  Hubby menyuruh Naqib membaca Undang-Undang Madrasah, kemudian saya menyemak.  Alhamdulillah, hanya beberapa undang-undang yang akhir yang masih belum lancar tetapi tidak dirisaukan sangat kerana masih ada masa untuk menghafal di sepanjang perjalanan.  Insya Allah.  Hanessa kembali tersengguk-sengguh, akhirnya terbaring semula di pangkuan abangnya.
bersambung...

8 comments:

Ahmad Kamil said...

assalamualaikum..

anak akak belajar di mana ye? di madrasah miftahul ulum sri ptaling ye? alhamdulillah kalau macam tu.. :)

NaqHuHiNes said...

Akhi Ahmad Kamil, maaf saya baru perasan komen akhi ini. Naqib belajar di Miftahul Ulum cawangan Bukit Changgang berdekatan dengan Dengkil. Mohon doa yang baik untuk Naqib. Terima kasih.

Ahmad Kamil bin Muallah said...

xpe kak.. x perlu minta maaf ye.. :)

alhamdulillah, tahniah ye kerana jadi ibu yang menjadi pembakar semangat anaknya untuk mempelajari ilmu yang menghampirkannya dengan Allah.

Dalam mengaji agama, hafaz quran, amat banyak halangan dan dugaan. Akak dan suami mesti sabar dan teguhkan tekad. Beri peluang kepada para guru untuk tarbiyyah anak akak ye. :)

Kalau dirotan, dimarah, semuanya adalah tarbiyyah untuk melahirkan seorang kader ulama yang kuat pendirian dan teguh peribadi.

Saya lepasan Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling. Saya gembira sangat anak akak juga belajar di Miftahul Ulum, walaupun bukan di pusatnya.

Semoga anak akak akan menjadi permata berharga buat akak dan suami hingga ke akhirat kelak. amin..

wassalam..

NaqHuHiNes said...

terima kasih akhi. tak sangka bertemu seorang hafiz di alam cyber ini. semoga doa akhi untuk Naqib diberkati Allah. Ameen.

Anonymous said...

ya rabbi amin . saya pun dulu bekas pelajar sana .

btw , moga2 adik kita ni menjadi hafiz quran yg terhebat insyaallah . amin

Naqhuhines said...

Alhamdulillah. InsyaAllah semoga doa dikabulkan Allah. Setelah syahadah insyaAllah dia akan ke SP pula untuk pengajian seterusnya.

Noraini Zahiri said...

Assalamua'laikum.. Saya bercadang menghantar anak ke miftahul ulum juga.. Macammana anak akak skrg? Dah abis syahadah? Brp umurnya skrg?

Cerpen - Naqhuhines said...

Waalaikumussalam Puan Noraini Zahiri. Anak saya sudah khatam Al Quran tetapi sekarang dalam rawatan untuk kidney failure. Insya Allah semoga Allah tetap memilih dia untuk meneruskan perjalanan yang disukaiNya. Aameen.

Anak puan sudah masuk Miftahul Ulum. Semoga Allah mudahkan semua urusan puan dan keluarga. Aameen.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing