Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, June 17, 2011

Fatwa Mufti Brunei tentang Jemaah Tabligh

Sambungan i (dari soalan).

Jawapan:

Saya telah baca laporan penyiasatan sulit kegiatan Jemaah Tabligh di Negara Brunei Darussalam.  Laporan mengandungi sejarah kedudukan dan perkembangannya, organisasi pentadbirannya, prinsip, amalan, tujuan dan pandangan-pandangan daripada isntitusi-institusi keugamaan, masyarakat dan pengikut-pengikutnya.

Untuk lebih menjelaskan kedudukan Jemaah Tabligh ini, maka elok dinukil semula tulisan dan fatwa bekas Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Ismail bin Omar Abdul Aziz Rahimahullah, yang bertajuk : “KUMPULAN DAKWAH INDIA DAN TUJUAN MEREKA.”  Beliau antara lain menulis:

“Ahli Dakwah dan Tabligh dari India, dipelopori dan dipimpin oleh Al-‘Allamah Al-Muhaddits Al-Faqih Al-Syeikh Muhammad Ilyas bin Muhammad Ismail Al-Kandahlawi yang mati tahun 1363 Hijriah (1943 Masihi) yang diambilnya dari ajaran Allah, sehingga dia mati tahun 1965 Masihi (1385 Hijriah), kemudian dipimpin oleh Al-Syeikh Al-Fadhil Muhammad In’am Al-Hasan Ibn Al-Syeikh Al-Haj Ikram Al-Hasan yang berjalan hingga tahun 1973 Masihi (1393 Hijriah) menurut keterangan yang ditulis oleh Al-Syeikh Shadruddin ‘Amir Al-Anshari dalam buku bernama Al-Syeikh Muhammad Ilyas wa Da’watuhu Al-Diniyyah yang diterbitkan pada tahun 1394 Hijriah.

Asas Dakwah dan Tabligh

Adalah Al-‘Allamah Al-Syeikh Muhammad Ilyas mengasaskan dakwah dan tabligh yang dipimpin olehnya ada tujuh perkara:
(i)                  Kalimah Thayyibah iaitu:
La illaha illallah Muhammadur Rasulullah
(ii)               Mendirikan sembahyang fardhu dan sunat.
(iii)             Mengaji ilmu dan berzikir dan berwirid.
(iv)             Memuliakan dan menghormatkan tiap-tiap orang Islam.
(v)               Ikhlas dan jujur dalam segala gerak geri.
(vi)             Ke arah tenaga pada mengajak manusia pada jalan Allah (sabilillah).
(vii)           Berusaha pada meninggalkan perkara yang tiada kena mengena pada menyampaikan pada enam tujuan itu.

Tujuh perkara itu dilaksanakan oleh Al-‘Allamah Muhammad Ilyas dengan cara amal dengan tiada dia menulis di dalam kitab, kerana dakwah dan tabligh yang dipimpinnya itu berdasarkan amal dan perbuatan dan dicuba dan perlaksanaan bukan dengan cakap-cakap dan tulisan-tulisan dan pidato-pidato dan mengarang buku-buku dan kitab dan menyiarkan siaran dan majalah-majalah dan akhbar-akhbar.  Tetapi pengikut-pengikutnya telah menulis cara melaksanakan tujuh perkara itu.

Bagaimana Cara Berdakwah

Cara menjalankan dakwah itu iaitu berhimpun sekumpulan orang dengan nama Allah dan kerana Allah dalam satu-satu masjid Allah, dan kumpulan itu mengangkat seorang daripada mereka seorang ketua, yang bertanggungjawab akan kerehatan orang-orang kumpulannya itu, mereka taat pada perintahnya yang bukan dalam perkara maksiat dan dosa, kemudian berjalan dan keluar ke mana-mana tempat sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sebelum masuk waktu mana-mana sembahyang, tujuan keluar itu ialah berjumpa dengan orang-orang Islam, dan mengajak mereka, supaya berhimpun dan mendengar kata-kata mereka.

Apabila orang-orang sudah berhimpun di masjid, mereka mengingatkan peranan agama Islam dan tujuan beragama dan mustahak beragama, dan mengajak mereka dengan segala hormat bersama berdakwah.

Apabila orang-orang daripada mereka yang hadir telah bersedia berdakwah, maka mereka menyusun satu kumpulan, kerana keluar pergi menjalankan dakwah, maka kumpulan itu pergi keluar menuju pada tempat-tempat orang-orang yang telah biasa menjalankan kerja-kerja dakwah, supaya kumpulan itu bekerja di bawah pimpinan mereka.  Apabila orang-orang itu telah berlatih dan telah belajar cara berdakwah, maka mereka pergi keluar ke tempat-tempat yang dekat atau tempat-tempat yang jauh, menurut kemampuan masing-masing kumpulan itu, kerana mengajak dan menyeru orang-orang Islam dan memimpin mereka supaya berbuat sebagaimana dibuat oleh kumpulan yang tersebut tadi.

Tiap-tiap orang keluar berdakwah itu di atas belanjanya sendiri, berazam dengan belanja itu dia benar-benar beradab dengan Allah dan rasulNya dan dengan dirinya serta dengan sekalian manusia, berlumba-lumba berbuat benar dan bersih hati, serta memelihara benar-benar akan perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta mengambil kira akan melazimkan dzikrullah dan membaca Al-Qur’an Al-Karim.

Dalam masa keluar dakwah itu, dikehendaki masing-masing ahli dakwah itu menjaga masa dengan betul dan tepat, maka janganlah dia menghabiskan masa dengan perkara yang tiada kena mengena dengan peranan mereka, dan hendaklah mereka mengambil perhatian dengan empat perkara yang di bawah ini:

Pertama:         Dakwah dan Tabligh yang khas dan caranya iaitu menghantar setengah-setengah orang dari kumpulan itu keluar dan berhubung dengan penduduk yang terkenal di kampung atau negeri tiu, dan menerangkan kepada mereka akan tujuan berdakwah dengan keadan hormat dan sopan santun, minta mereka menolong dan hadir ke majlis dakwah itu.

Kedua:            Dakwah Am dan caranya ialah setengah-setengah daripad akumpulan itu keluar dan berhubung dengan orang-orang ramai daripada umat Islam di dalam pasar-pasar dan kampung-kampung, dan mengajak mereka dengan keadaan beradab dan sopan santun dan lemah lembut dan mengajak mereka hadir dan mendengar, dan lebih afdhal dan lebih baik berhimpun di masjid, dan apabila berhimpun orang-orang ramai itu, maka dakwah ditujukan kepada mereka, dan mengajak mereka dengan lemah lembut dan bersungguh-sungguh supaya mereka mengosongkan diri dari kerja-kerja mereka, akan satu bahagian masa bagi berdakwah dan tabligh dan apabila ada setengah-setengah daripada mereka telha bersedia, maka diangkat dan disusun satu jemaah atau kumpulan mengikut cara-cara yang telah lalu itu.

Ketiga:            Mengajar dan caranya hendaklah orang-orang kumpulan itu duduk dengan beradab dan hormat pada tiap-tiap hari, pada muzakarah dan membaca dan memahamkan hadits-hadits dan ayat-ayat Al-Qur’an yang memberi gembira dan riang hati bagi mengerjakan ibadat-ibadat, dan pada berperangai dengan perangai yang mulia, iaitu seorang daripada mereka membaca akan hadits-hadits yang berhubung dengan kelebihan beribadat dan berperangai yang mulia, dan orang-orang lain dalam kumpulan itu mendengar dan beradab yang munasabah dengan kemuliaan sabda-sabda dan hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam, ditentukan sedikit masa itu bagi membaca Al-Qur’an Al-Karim, dan bagi muzakarah akan doa-doa yang ma’tsurah (yang datang daripada Rasulullah), dan membaca surah-surah Al-Qur’an Al-Karim supaya dapat belajar oleh orang-orang yang tiada tahu akan perkara-perkara yang tersebut itu.

Selain dari itu, maka tiap-tiap orang daripada kumpulan itu berusaha pada menunaikan sembahyang-sembahyang fardhu dan sembahyang sunat dengan khusyu’ hati dan merendah diri kepada Allah demi sedikit-sedikit sehingga penuh khusyu’ dan merendah diri itu.

Keempat:        Hendaklah tiap-tiap seorang dari kumpulan itu menampakkan dirinya sebagai contoh yang lengkap dari perangai yang baik, dan sebagai ikutan kepada kawan-kawannya pada memberi kemudahan kepada mereka, dan dia sentiasa bersedia bekrhidmat kepada lain-lain orang, dengan tiada tamak akan mendapat balasan, dengan membuat kerja-kerja yang mesti dibuat seperti membeli perkara-perkara yang dihajatkan dan menyediakan makanan dan membasuh alat dan perabot yang mesti dengan bergilir-gilir.

Tujuan Dari Dakwah Dan Tabligh

Tujuan utama dari usaha-usaha dan kegiatan-kegiatan itu semuanya, sebagaimana kata Al-‘Allamah Al-Syeikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi Rahimahullahu Ta’ala, pengganti dakwah bagi ayahnya Al-‘Allamah Syeikh Muhammad Ilyas itu, ialah menghidupkan sunnah Rasulullah dan berusaha melaksanakan cara-cara Rasulullah berdakwah dan cara hidup Rasulullah dalam semua lapangan kegiatan hidup manusia, iaitu menghidupkan keyakinan iman, dan membaharukan keyakinan iman dan mendirikan dan mengerjakan ibadat-ibadat, menurut caranya yang betul menepati kegiatan Rasulullah, dan membiasakan diri berperangai dengan perangai Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wassalam, dan melaksanakan perangai Rasulullah itu pada bermuamalah dan berurusan dengan manusia, serta mengadakan majlis-majlis zikir dan wirid dan ratib dan majlis-majlis mengajar dan mengkaji bagi mencapai tujuan-tujuan yang tersebut itu.

Bila kumpulan itu kembali dari pelayaran dan dari perjalanan dan dari menyampaikan dakwah dan tabligh itu dan masing-masing orang dari sesuatu kumpulan tadi itu kembali ke rumah masing-masing, maka sayugialah masing-masing itu dengan dirinya sendiri menjalankan dan menunaikan kerja-kerja yang tersebut tadi, di dalam tempat kediamannya dan dia berusaha bersama-sama dengan kawan-kawannya mengembara dan keluar bertemu dengan orang-orang Islam sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sekali di kampung tempat kediamannya, dan sekali di kampung lain, dan orang-orang kumpulan itu hendaklah berhimpun sekali pada satu malam dalam seminggu dan bermalam bersama-sama dengan beribadat dan berzikir.

Kerahan Tenaga Keluar Pada Jalan Allah (Sabilillah)

Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:       “Hendaklah satu kumpulan dari tiap-tiap satu suku kaum daripada umat Islam keluar mengangkat senjata memerangi musuh-musuh Allah, dan hendaklah kumpulan yang tinggal yang tiada keluar pergi perang itu, belajar dan memahamkan agama Islam, dan hendaklah mereka memberi ingat dan mengajar akan kumpulan yang keluar pergi perang itu, apabila mereka kembali ke kampung tempat mereka diam itu, setelah selesai peperangan itu, moga-moga mereka takutkan Allah dengan mengerjakan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah.”
                                                                                                            (Surah Al-Taubah: 122)

Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:       “Jika kiranya kamu tiada keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam berjihad dan berperang pada sabilillah, nescaya Allah akan mengazabkan kamu dengan azab yang amat pedih dan Allah Ta’ala gantikan kamu dengan kaum dan bangsa yang lain daripada kamu pergi keluar berjihad pada sabilillah bersama-sama Rasulullah.”
                                                                                                            (Surah Al-Taubah: 39)

Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:       “Hendaklah satu kumpulan dan satu jemaah dan satu pasukan daripada kamu (umat Islam) mengajak manusia pada agama Islam, dan mereka menyuruh orang berbuat perkara ma’ruf yang digemarkan oleh agama, dan mereka menegah orang daripada melakukan perkara mungkar larangan Allah, maka orang-orang yang berbuat begitu, keluar mengajak orang dan menegah orang, adalah mereka orang yang beruntung.”
                                                                                                            (Surah Ali ‘Imran: 104)

Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:       “Tiada siapa yang lebih elok perkataannya daripada orang yang mengajak menyeru orang pada mentauhidkan Allah, dan dia orang beramal dengan amal salih, kemudian dia berkata saya adalah daripada golongan orang-orang Islam.”
                                                                                                            (Surah Fushshilat: 33)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:    “Barangsiapa melalui satu jalan dengan tujuan mencari sesuatu ilmu, nescaya Allah Ta’ala memudahkan baginya akan jalan menuju ke Syurga.”
                                                                                                            (Hadits riwayat Muslim)

Bersabda Rasulullah:

Maksudnya:    “Barangsiapa keluar menuntut ilmu, maka dia berjihad pada jalan Allah sehingga dia kembali ke tempat tinggalnya.”
                                                                                                            (Hadits riwayat Tirmidzi)

Tujuan keluar pada sabilillah itu, ialah melapangkan masa dari kerja-kerja sehari-hari, kerana berlatih dan berusaha pada menyelaraskan hidup sehari-hari itu dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan mengajak dan menyeru orang lain berlatih dan berusaha, sebagaimana saya kata dahulu dari ini, bahawa kita tiada dapat lapang dari kerja-kerja hidup manusia sepanjang umur kita, kerana perkara itu tada dapat dilaksanakan, tetapi kita boleh dengan tiada payah berbuat apa-apa sekadar kita lapangkan masa umur kita beberapa bulan dalam setahun, atau beberapa hari dalam sebulan, sebagaimana kita lapangkan masa kita bagi makan angin dan bersiar-siar dan berehat, dalam masa itu kita dapat membersihkan diri kita, dan dapat berkadwah mengajak saudara-saudara kita umat Islam, bagi membersihkan diri semata-mata kerana Allah, dan kita berusaha dan bekerja dalam masa lapang yang diuntukkan itu, pada tiap-tiap detik dan second kerana mengikut akan tauladan yang baik dari perjalanan hidup Rasulullah, dan kita berusaha bertaubat, beribadat, memuji Tuhan, ruku’ dan sujud, menyuruh orang berbuat baik, dan menegah orang dari melakukan mungkar dna kejahatna, dan derhaka kepada Allah dan kita menjaga sempadan-sempadan hukum larangan Allah supaya jangan kita limpasi akannya.

Adalah keluar dari melakukan sesuatu pada jalan Allah dan pada sabilillah itu, adalah ia suatu jihad, kerana jihad pada sabilillah dan jalan Allah itu tiada tertentu sahaja menghadap musuh dengan senjata dan kekuatan dan tenaga, tetapi jihad pada sabilillah itu juga dengan jalan berdakwah dan mengajak orang pada menghayati kitab Allah dan sunnah Rasulullah, dan berpegang teguh dengan keduanya dan sentiasa melazimkan keduanya itu.

Percubaan dan pengalaman tetapi menunjukkan bahawa keluar kumpulan-kumpulan kerana berdakwah dan tabligh dan menyampaikan dalam perkara yang berhubung meneruskan dakwah pada sabilillah dan jalan Allah itu, apabila dibuat pada tiap-tiap tahun dalam masa empat puluh hari, adalah ia sebaik-baik jalan bagi mencapai maksud yang dituju itu, sekurang-kurangnya kita berhimpun sehari dalam seminggu dalam mana-mana satu masjid Allah dan kita berlatih dan berusaha pada melakukan enam perkara yang tersebut di atas tadi.

Ini kita naqalkan dari kitab Al-Syeikh Muhammad Ilyas wa Da’watuhu Al-Diniyyah.

Dakwah Al-‘Allamah Al-Syeikh Muhammad Ilyas itu ialah dakwah yang berlaku pada zaman Nabi  Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana tiada pada masa itu kitab-kitab dan siaran-siaran dan tiada sekolah-sekolah menurut pengertian zaman sekarang ini, tetapi cara-cara baharu yang direka oleh orang-orang sekarang ialah mengikut hajat-hajat zaman sekarang, dan orang-orang lupa akan jalan dakwah yang asal pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu memberi penerangan dengan disertakan dengan laksanaan.

Saya berpendapat jalan yang direka oleh Al-‘Allamah Al-Syeikh Muhammad Ilyas itu adalah satu jalan yang lebih baik dan lebih berkesan supaya orang-orang Islam dapat menghayati perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana ia dakwah dan amal.” Tamat katanya.

Bersambung ii ~ Beberapa Pandangan Tentang Jemaah Tabligh.


4 comments:

aynora nur said...

info yg bagus, kadang-kadang kita pandang serong pada orang tabligh sebab anak2 dan isteri ditinggalkan tanpa nafkah, itu pun satu 'pelarian' dari amanah Allah. Bertabligh cara Rasulullah..ambil ahli sunnah buat, wallahua'lam..

kamalia_peyrock said...

Arwah ayah saya pun tabligh pernah keluar dijalan Allah, tapi nafkah isteri n anak 7 org tak pernah terabai...kerja dakwah ni kerja mulia, tak semua org mampu buat. Korbankan masa dan harta, patut kita menghargai golongan tersebut, dgn itu dpt mengejutkan orang2 yang lalai dari terus terleka dgn duniawi semata2 ...

MUSLIM konsel said...

mudah mudahan jadi asbab hidayah seluruh alam

Ili Mustaffa said...

Biarpun mereka ini keluar berdakwah tanpa memberi nafkah pada ahli keluarga tetap ia pekara yg betul..antara sahabat yg kluar berdakwah tanpa meninggalkan nafkah adalah saidina abu bakar..

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing