Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, September 15, 2009

Madrasah Miftahul Ulum - Selamat Datang


Semalam sepucuk surat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba ke penerimaan kami. Alhamdulillah, ia membawa khabar gembira Keputusan Temuduga Naqib di Miftahul Ulum Bandar Baru Seri Petaling tempohari. Anakanda Muhammad Naqib telah berjaya dalam temuduga tersebut untuk mengikuti Pengajian Tahfiz Al Quran sesi 2009/2010 Masihi bersamaan 1430/1431 Hijrah.
Pendaftaran kemasukan diadakan pada 16 Syawal 1430 / 05 Oktober 2009, jam 8.30 pagi bertempat di Pejabat Madrasah Miftahul Ulum, Lot 3249, Bt 35, Jalan Kuntum, Kampung Bondry, Bukit Changgang, 42700 Banting, Selangor Darul Ehsan.
Ibu bapa dan penjaga perlu menghadiri taklimat pada hari yang sama pada jam 11.00 pagi di Dewan Pengajian Madrasah.
Kemasukan pelajar akan dibatalkan sekiranya ibu bapa atau wakil tidak dapat menghadirkan diri di majlis taklimat tersebut.
Terdapat lampiran barang-barang keperluan yang perlu dibawa dan Undang-Undang Madrasah yang sudah dihafal sebelum hari pendaftaran. Pelajar tidak akan dibenarkan memasuki kelas pengajian selagi belum menghafal undang-undang tersebut.

Sebaik Naqib pulang dari Pasar Ramadhan menjalankan perniagaan mercunnya itu, aku segera menghadiahi dia sekuntum senyuman gembira dan mencium pipinya. Naqib agak terpinga-pinga sebentar sebelum aku serahkan surat penerimaan temuduga itu sambil mengucapkan tahniah. Ada sedikit riak yang aku khuatiri di wajah anak ini. Tetapi aku mengambil sikap tidak endah kerana tidak mahu dia membesar-besarkan perasaan kurang selesa di dalam fikiran bawah sedarnya. Ini amat penting kerana dia perlu sedar dan faham sepenuhnya arah tujuan dia sekarang dan akan datang. Ayahandanya juga berlapang dada dengan kedatangan surat ini. Bahkan ayahandanya sejak awal-awal bersikap optimis dengan hasil temuduga itu.

Kami membaca undang-undang Madrasah yang perlu dihafal oleh Naqib. Terdapat 23 undang-undang atau peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap pelajar madrasah ini. Ia adalah peraturan asas yang lazim dipraktikkan di kebanyakan sekolah berasrama. Pihak madrasah benar-benar mahu menekankan dan memberi faham kepada setiap pelajar tentang peraturan ini sehingga mereka hanya akan mula belajar apabila undang-undang ini telah masuk ke hati. Mungkin ia sebagai saringan terakhir kelayakan pelajar memulakan pengajian.

Aku bersetuju dengan semua peraturan yang telah ditetapkan itu. Secara umum, pentadbiran madrasah ini adalah profesional dan tersusun. Aku berasa amat lega dan memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Illahi yang telah memperkenankan doa kami sekeluarga. Semoga Naqib dibantu Allah Taala dalam mencapai cita-cita dan sentiasa di dalam pimpinanNya untuk kehidupan yang dibekati dan cemerlang di dunia dan di akhirat.

Kelmarin aku menelefon ibuku dan ibu mertua bertukar khabar. Ibu-ibuku tidak lupa menanya perihal Naqib yang bercuti panjang sambil menyuarakan harapan agar ada 'wakil' Hafiz dari keluarga kami. Ibu mertua pernah menghantar putera bongsunya ke pusat tahfiz di ibu kota tetapi tidak berpanjangan. Alhamdulillah, ibu. Berkat doa ibu-ibu semua akhirnya Naqib bakal memulakan langkah pertama semula.

Kepada anakanda Muhammad Naqib, semoga kali ini anakanda benar-benar menikmati kehidupan sebagai pelajar dan benar-benar menghayati pelajaran anakanda. Berusahalah tanpa jemu dan usah sekali-kali berputus asa. Bonda sentiasa mendoakan anakanda beroleh pertolongan Allah di dalam segala usaha anakanda mencari ilmu buat penyuluh hidup dan penyegar jiwa. Usah difikirkan bonda dan keluarga. Ingatlah bahawa anakanda sentiasa di bawah siraman kasih sayang Allah, dan anakanda sentiasa dinaungi sayap para malaikat yang berkeliling di sekitar mendoakan anakanda. Alangkah hebat dan indahnya!!! Kami di rumah tetap seperti biasa dengan keletah adik-adikmu yang kadang-kadang memeningkan kepala bonda. Apa yang bonda harapkan agar suatu hari kamu pulang ke rumah ini dengan perasaan bangga menjadi pelajar tahfiz. Semoga kamu benar-benar menjadi idola, perintis dan mentor yang terbaik kepada adik-adikmu. Doa bonda sentiasa mengiringimu. Selamat berjuang!!!

No comments:

Search This Blog

Loading...

Blog Archive

Rakan Blog

SEHARUM DOA BONDA

SEHARUM DOA BONDA
Adaptasi dari kisah benar arwah kekanda Norliza Hassan, Al Fatihah. Semoga ada manfaatnya, insyaAllah.

Pakaian Muslimah

aku dan dia

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Seharum Doa Bonda

Seharum Doa Bonda

widgeo net