Dhia keresahan. Dia
sudah mengejutkan Darwis sejak bangkit jam 5 pagi tadi untuk menunaikan solat
tahajjud tetapi suaminya itu tetap membeku . Jam dinding menunjukkan 10 minit
ke pukul 6 pagi. Dhia menoleh, merenung
wajah suami yang sedang lena di atas katil tempatnya sedang bersandar. Dahinya berkerut. Ya Allah, pilihlah suamiku untuk
mengimarahkan masjid di pagi Jumaat yang mulia ini, bisik hatinya penuh
mengharap. Dhia berensot meninggalkan
komputer riba yang masih terang skrinnya.
“Assalamualaikum sayang”,
bisik Dhia lunak di telinga Darwis.
Pipi suaminya dibelai manja. Dhia
menggoyang-goyang perlahan kaki Darwis yang begitu lena tidur. “Bang, bangun dah nak masuk waktu Subuh
bang.”
Hatinya berharap benar sang suami bersegera membersihkan
diri lantas menuju masjid. Betis suami yang
panjang kekar diurut-urut dengan harapan hilang letih lesunya. Urutan kasih yang Dhia harapkan akan
melancarkan aliran darah di seluruh tubuh suaminya yang masih berdengkur halus.
Tinggi harapannya agar mata suami akan
terbuka segar dan tubuh yang lesu kembali bertenaga.
“Hmm … ada apa?” Tanya
Darwis terpisat-pisat. Terkejut jaga
dibelai jari mulus sang isteri yang merenungnya dengan wajah manis.
“Dah nak azan, bang,”
sahut Dhia tersenyum lembut penuh harapan. “Sekejap lagi masuk saf di masjid.”
Darwis mengangguk perlahan.
Matanya yang merah terkatup semula.
Tidak terkesan langsung dengan urutan lembut isteri kesayangannya itu.
Tidak terkesan juga dengan usapan hangat mesra dan suara Dhia yang lunak. Getaran suara azan yang sedang berkumandang
lantang dari masjid seberang jalan sana juga seperti tidak mencecah gegendang
telinga Darwis.
Melihat gelagat beku sang suami, tiba-tiba tekak Dhia terasa
sakit dan pedih. Seperti ada seketul
batu tersengkang di situ. Ada rasa perit
yang menjalar perlahan di dalam batang hidungnya. Wajah sawo matang Darwis yang telah mencuri
hatinya 11 tahun lepas ditatap cermat. Perlahan-lahan
Dhia berdiri dari tubir katil sambil menggigit bibir sekuat hati. Di ambang pintu Dhia menoleh menjeling Darwis
yang kembali lena tidak sedarkan diri. Lelaki
itu masih berada di sudut teristimewa di hatinya, tetapi entah mengapa tiba-tiba
rasa benci timbul membuak-buak. Benci
yang muncul tanpa dipinta. Ya Allah, aku
bukan sengaja mahu membenci dia. Bahkan
aku masih mencintainya, tetapi … hati Dhia berdesir sedih.
Air matanya mula luruh seperti mutiara yang putus dari tali. Dhia semakin tidak upaya menahan tangis hampa
yang pecah sendiri. Bimbang esak tangis
yang halus itu mengejutkan Darwis yang terlelap semula, Dhia segera beredar memperbaharui
wuduk dan menghapuskan bekas airmata di wajah.
Usai berdoa panjang sesudah solat Subuh bersendirian di
hujung kaki Darwis, Dhia terpaku di atas sejadah. Hatinya resah pilu dan kecewa duka. Kedengaran suara imam membaca surah memecah
kesunyian subuh yang masih gelap. Andai Darwis bersegera bangun tadi tentu
sempat untuk takbiratul ula, dengus Dhia menelan liur yang terasa pahit. Sambil menghabiskan zikir, mata Dhia merenung
cincin pernikahan di jari manis tangan kanannya. Perasaannya terbuku hampa. Cincin pernikahan yang disarung Darwis 10
tahun lalu direnung dan dibelek dengan mata kabur. Ia bukan tempoh yang singkat, tetapi payah
benar mahu sehaluan dalam segala perkara.
Subhanallah alhamdulillah wala ilahaillallah wallahuakhbar, Dhia
berbisik perlahan-lahan sambil menggentel tasbih kayu di jari kanan. Air mata yang luruh perlahan di pipi
dibiarkan kering sendiri. Zikrullah. Rutin itulah ubat hati Dhia yang retak pecah
berdarah. Rasa benci kepada sikap tidak
acuh sang suami terhadap perintah solat muncul lagi. Darwis tidak tahu, setiap kali dia gagal
bangun awal pagi, isterinya yang memiliki sepasang mata sayu itu berperang
dengan rasa benci yang semakin menggunung.
Dhia benar-benar benci kepada suaminya yang masih berdengkur lena. Benci amat kepada sikap lalai dan ambil mudah
suaminya terhadap kewajiban solat yang utama itu.
Sudah kerap Dhia khabarkan pada Darwis, “Jagalah hak Allah,
maka Allah pasti akan menjaga hak kita.”
Cepat Darwis mengucapkan “InsyaAllah”.
Namun sulit benar untuk suaminya itu memahami maksud tersirat di dalam kata-kata
itu. Sukar benar suaminya mengerti makna
‘HAK’ Allah yang mesti dijaga.
‘Benarlah, Allah sahaja yang dapat memberi kefahaman, bukan
diriku,’ akui hati Dhia pilu. Pipi mulusnya
yang kering basah semula. Airmata yang
meleleh di pipi menitis jatuh di pangkuannya.
Dhia resah. Tiba-tiba ingatan
kepada Daie datang menerjah. Hatinya yang
dipenuhi rasa benci bagai dicurah secangkir madu rindu tatkala nama itu muncul
dalam fikirannya.
Tentu Daie sudah di saf pertama, desisnya menduga-duga. Daie selalu berkongsi status tarbiyah di
laman sosial, antaranya termasuklah hadis yang menyuruh orang lelaki solat di
masjid. Maka Dhia amat yakin Daie
istiqomah menunaikan solat lima waktu di masjid, sesuai dengan status
perkongsiannya. Dalam diam-diam Dhia mengagumi
lelaki yang tidak pernah dilihat gambarnya mahupun ditemui di alam nyata itu.
Dhia dapat merasakan dia dan Daie seiring dan sependapat
dalam banyak perkara. Perkenalan mereka yang
berusia sebulan berlaku tanpa sengaja di alam maya setelah Daie menegur gambar
profailnya sedang tersenyum manis di laman sosial. ‘Seluruh tubuh wanita adalah aurat di hadapan
lelaki ajnabi. Dalam mazhab Syafie yang
dianut di Malaysia, adalah wajib wanita menutup aurat termasuk wajah dan tapak
tangan. Ini pendapat yang kukuh. Ia demi menjaga keselamatan wanita di akhir
zaman yang penuh fitnah.’ Demikian jawapan Daie apabila Dhia bertanya. Umpama jarum
nan halus, hati Dhia tersentuh juga akhirnya. Tumpuan Daie kepada kehidupan
akhirat yang kekal sangat teguh dan mengesankan. Walaupun menyedari status diri sebagai isteri
kepada Darwis, penjelasan Daie tentang hukum-hakam membuatkan hati Dhia kian terpikat.
Setiap persoalan yang diajukan Dhia akan
dijawab Daie dengan jelas dan meyakinkan.
Dhia yang masih kurang faham akan hukum menutup wajah dengan furdah
semakin tertawan hati. Dhia mula
memasang angan-angan untuk memakai furdah.
Dhia menyedari, ada persoalan yang tidak mampu dijawab oleh suaminya,
kini diberi pencerahan oleh Daie.
Dhia mula mencari kesempatan untuk bersembang dan
bersoal-jawab dengan Daie. Ada sahaja
yang mahu ditanyanya. Lelaki itu pula
sentiasa ada setiap kali Dhia muncul di ruang sembang. Hari demi hari berlalu. Entah bila, tiba-tiba muncul rasa yang
membingungkan Dhia. Rasa rindu dan
benci. Rindu kepada yang bukan
miliknya. Benci kepada sang suami yang
masih terlena. Dua perasaan yang
bertentangan itu amat meresahkan Dhia.
Nama Daie dan ayat-ayat sembangnya di laman sosial semakin kerap muncul
bergema di seluruh sudut hatinya tanpa dipinta.
‘Daie bukan milik aku!’ hati Dhia berdesir resah. Dhia
tertunduk sambil memejamkan mata. Dia
terasa malu sendiri. Ya, dirinya milik Darwis,
suaminya. Darwis yang sangat
menyintainya walaupun dia merasakan mereka kerap tidak sehaluan memandang
kehidupan. “InsyaAllah! InsyaAllah! Esok
pagi abang akan ke masjid. Doakan abang
ye sayang,” begitulah janji Darwis menjelang waktu tidur. Namun ketika Dhia menuntut janji setiap pagi,
Darwis benar-benar tidak kuat untuk bangun dari tilam yang empuk. Darwis mungkir janji! Sikap itulah, yang tanpa sedar menumbuhkan
rasa benci Dhia.
Sekeping hatinya yang merindu, itulah juga hati yang
membenci. Hati yang sama itulah yang
sedang resah. Ya, Dhia amat resah. ‘Ini adalah dosa yang aib’, bentak hati Dhia
tiba-tiba. ‘Dosa nusyuz!’ Hatinya mengherdik kasar. ‘Darwis patut dikasihani bukan dibenci!! Tidakkah kau malu di sana nanti, rindu
berdosa yang penuh aib ini dibongkar Allah di hadapan suamimu dan sekelian
manusia? Hati Dhia terus mencemuh dan mengherdik. ‘Ketahuilah wahai Dhia, kau benar-benar
sedang menempah tiket ke neraka! Neraka,
Dhia! Neraka!!’
Peluh halus merenik di dahi Dhia. Dadanya berdebar-debar. Tubuhnya menggeletar. Rasa bersalah semakin menguasai diri. Alangkah pedihnya ditempelak hati
sendiri. Dhia menekup muka. Tidak sanggup dia menatap wajah Darwis yang
masih lena. Darwis suaminya yang masih belum direzekikan menikmati keindahan
perasaan bersujud ke hadrat Allah. Suami
yang sangat mencintainya dan tidak pernah meragui kesetiaannya.
Dhia menutup mata rapat-rapat. ‘Ya Allah, Engkau saja yang Maha Tahu
kerinduan ini. Aku membenci, aku juga
merindu. Benci itu menyuburkan rinduku,
ya Allah. Maafkanlah rasa ini.’
Suara imam membaca doa sayup-sayup kedengaran. Darjah kebencian Dhia terus melonjak tinggi. Tatapan matanya yang sayu resah mengharap kepada
Darwis bertukar menjadi tatapan benci berapi.
Kini resahnya yang berbaur benci kerinduan semakin padat tepu. Cemuhan
dan herdikan hati sirna begitu sahaja.
Boleh dibilang dengan jari Darwis bangkit awal pagi untuk
solat Subuh. Dhia teringat-ingat betapa
lapang dadanya ketika matanya mengekori langkah sang suami menuju masjid. Kemudian
Dhia akan menanti kepulangan Darwis dengan wajah berseri-seri. Terasa dalam jiwanya betapa rumah mereka
disirami nur rahmat Illahi yang telah sedia melimpah ke seluruh sudut masjid. Nur rahmat Illahi itu kini menyinari seluruh
ruang rumah mereka pula, menyelinap ke dalam jiwa mereka yang segar.
Namun, Darwis suaminya selalu kalah dalam perjuangan. Darwis kerap tidak berdaya mengangkat kelopak
matanya. Setiap kali begitu, Dhia diserang
perasaan amat benci dan kecewa. ‘Lemah
dan mungkir janji!’ Kutuk Dhia di dalam hati.
Dhia sedar dia tidak berdaya untuk memaksa Darwis bangkit segera. Darwis tidak suka dipaksa-paksa. Dhia sedar ibadah mestilah dilakukan dengan
ikhlas tanpa paksaan. Darwis mestilah
solat kerana Allah SWT, bukan kerana Dhia.
Dhia memicit hidung yang tersumbat.
Dadanya pedih menahan gelojak benci dan kecewa. Airmata kesedihan kembali
luruh laju dari tubir mata Dhia. Sedih
itu bercampur benci bersalut rindu. Dhia
rindukan Daie. Benci Dhia kepada kekalahan
Darwis disambut rindu kepada lelaki ajnabi yang entah bagaimana parasnya. Hanya tutur bicara di ruang sembang yang
telah menawan seluruh kalbu Dhia, menjadi tempatnya melampias benci kepada
suami sendiri.
Dhia merenung sekilas tasbih hitam yang berlingkar di hujung
jarinya. Astaghfirullahalazim allazi laailahailla
huwal hayyul qayyum waatubu ilaih. ‘Ya
Allah aku tidak mampu mengubah manusia.
Hati kami Engkau yang menggenggam.
Berilah cahaya hidayah kepada kami untuk mengikut jalan yang Engkau redha. Aku tiada daya untuk memaksa dia. Kumohon Engkau pilihlah suamiku untuk
mengikut jalanMU. Hilang lenyapkanlah
pula rindu berdosa ini. Ke mana lagi untukku
mengadu jika tidak padaMu.’ Hati Dhia merintih-rintih pilu.
Dhia amat sedar dan mengerti. Rindunya adalah rindu berselubung dosa.
Rindunya adalah rindu manifestasi benci yang tidak terperi. Dhia mengeluh berat. Tanpa dipinta, nama Daie bergema-gema lagi di
seluruh ruang hatinya. Jantungnya
bergetar seirama menyenandungkan nama Daie.
Tiba-tiba Dhia tersentak.
Hatinya yang tadi menyeru-nyeru nama Daie kini berpaling tadah
semula. ‘Sampai mana hala tuju kerinduan
ini Dhia? Bagaimana andai Darwis yang
melakukan ini kepadamu, kau suka?’ Tanya hatinya dengan nada mengancam tanpa
diduga.
Dhia termangu. Ya
sampai mana? Tanyanya kembali bagai
hilang punca. Dia cuba
membayang-bayangkan dirinya meminta dilepaskan dari Darwis. Ah, mustahil! Tidak mungkin Darwis akan
merelakannya. Dan Dhia juga yakin benar,
dirinya sendiri tidak mungkin akan meninggalkan Darwis dan puteri tunggal
mereka yang masih memerlukan belaian kasih seorang ibu. Dia masih mencintai suaminya, hanya dia benci
sikap yang satu itu.
Bagaimana pula andai Darwis tiba-tiba berubah hati, membawa
pulang seorang wanita sebagai pengganti dirinya yang tidak setia. Dia tidak mampu membayangkan andai Darwis
yang setia dan penyayang bercanda dengan wanita lain di alam maya. Oh tidak
mungkin! Jerit hatinya seperti ingin memberontak. Dhia merasa ngeri sendiri.
Sebenarnya, ini semua salahku! Aku yang mengambil kesempatan dari ketulusan Daie,
desis hati Dhia sebak. Lelaki itu hanya
memberi jawapan terhadap persoalan Dhia.
Tidak pernah Daie melencong maksud ke arah lain, apatah lagi berkaitan
dengan hati dan perasaan. Daie hanya
mahu menggunakan kemajuan teknologi untuk menyampaikan legasi dakwahnya. Daie manusia tulus yang tidak berniat buruk. Air mata Dhia menitis lagi. Lelaki seperti itulah yang menjadi
dambaannya. Lelaki yang dapat memimpin
para wanita dengan lembut dan ikhlas menuju keredaan Illahi. Tanpa sedar, api kerinduan kembali marak
menyala di seluruh ruang dada Dhia.
Dhia mengenggam kedua tangannya sekuat hati. Perasaannya begitu sayu dan pilu. ‘Ya Allah, rindu ini sarat dosa. Natijahnya kecewa. Halanya lembah neraka. Tolonglah daku ya Allah. Lenyapkan rindu berdosa ini dari hatiku, ya
Allah. Aku tidak berdaya menanggungnya
lebih lama.’ Tubuhnya mengiggil dan
dadanya terus berdebar kencang.
‘Dhia, sebenarnya kau telah terjerumus ke dalam fitnah akhir
zaman,’ Tanpa diduga hatinya yang tadi menempelak dengan bengis bertukar nada
lembut memujuk. ‘Insaflah Dhia,
sementara pintu taubat belum tertutup.
Sementara kematian belum menjemput.
Insaflah sementara masih ada kesempatan, Dhia.’
Dhia tiba-tiba jadi teramat ngeri. Dhia terbayang-bayang dirinya disambar lidah
api ketika sedang merangkak meniti Sirotal Mustaqim. Dhia ternampak-nampak pula tubuhnya yang hitam
hangus dibenam berkali-kali ke dasar kawah api neraka yang teramat panas.. Nauzubillahiminzalik! Dhia memeluk tubuhnya yang menggigil. “Akulah yang bersalah,” desisnya insaf. “Benar, akulah yang bersalah … Ya Allah,
ampunilah hambaMu yang daif ini.”
Dhia menoleh sekilas memandang Darwis yang berdengkur halus dengan
mata sembab basah. Hati Dhia bergetar
pilu mengenangkan kekhilafan diri sendiri yang alpa dan mudah terpesona.
‘Ya Allah, Tukarkanlah benci ini kepada cinta yang Engkau
redha. Apabila Kau sudah memilih, tiada
apa yang akan menghalang. Berilah kami
faham akan maksud hidup dan ugama yang murni ini. Apabila Kau memberi faham, lenyaplah segala
kedunguan dan kejahilan. Ampunilah daku
ya Allah. Aku masih mencintai suamiku.’
Dengan mata kabur dan hati yang sedang dirobek-robek belati
keinsafan, Dhia kembali merenung wajah Darwis yang tenang dalam lena. ‘Semoga subuh esok masih ada untukmu,
suamiku. Semoga kau termasuk hamba
pilihan Allah. Kuletak namamu yang
teratas dan terutama. Demi redha Illahi,
aku lupakan yang lainnya.’
Rasa kasih dan kasihan yang teramat sangat kepada sang suami
menyelinap halus ke seluruh ruang hatinya.
Dhia menarik nafas dalam-dalam. Dia
masih mencintai Darwis. Tiada guna Dhia
memendam benci sendiri. Benci itu umpama
racun yang menjalar di seluruh nadinya menjadi barah yang penuh nanah berbisa. Dhia tidak mahu racun kebencian memakan
dirinya pula. Dan Dhia tidak mahu rahsia
perbuatan aibnya merindu-rindu seorang Daie pecah terburai di padang yang luas
nanti. Dhia bertaubat nasuha. Dhia benar-benar mahu menghapuskan kerinduan
yang berhias dosa itu.
‘Biarpun hatiku terluka derita. Biarpun perasaanku hampa kecewa. Biarpun sebenarnya masih amat rindu. Demi redha-Mu ya Allah, kutahankan ini semua. Ya Allah, lenyapkanlah rindu berdosa ini
tanpa sisa. Amin.’
Entah bagaimana, tiba-tiba umpama ada hembusan bayu dingin lembut
dari kutub utara bertiup menyejukkan seluruh jiwa Dhia yang sarat rasa pilu resah
berbahang kecewa. Sekeping hati Dhia
yang sebulan ini dilambung badai gelisah dengan rindu berahi bersalut dosa
kepada seorang ajnabi mendadak tenang.
Hati yang sama, yang sesak dengan kebencian membuak-buak tiba-tiba
begitu damai bak tasik yang tidak berombak.
Dhia menutup mata rapat-rapat. Seolah-olah
ada selautan air yang sedang menyirami seluruh jiwa raganya yang hangus kerinduan.
Dhia mengusap mata dan wajah yang lembap basah. Dhia menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan
bersama perasaan yang teramat lega. Hati
Dhia tersenyum senang. Kemudian Dhia berensot
menghampiri komputer riba di sisi katil.
Ruang sembang di laman sosial dibuka
semula. Dhia mengetik nama Daie di dalam senarai kenalannya. Selepas mengucapkan Bismillah, Dhia mengetik pula
butang ‘unfriend’. Dalam sekelip mata Diae tidak lagi menjadi
rakan Dhia di alam maya. Ada satu getaran
rasa nan halus menyentuh hati Dhia tetapi tidak diendahkannya. Keputusannya benar-benar muktamad!
Dhia bangun menatap wajahnya yang sayu di cermin. ‘Syukur Ya Allah. Segala kebaikan dan kekuatan adalah dariMu. Hanya redhaMu yang kuharapkan. Ampuniku wahai Tuhanku kerana tersadung di
laluan itu. Janganlah Kau biarkanku walaupun
sesaat. Tetapkanlah aku berpegang pada taliMu sehingga ke akhir hayat. Amin.’
Lalu Dhia cuba mengukir senyuman yang paling manis namun
senyuman itu masih hambar. Dhia mengemam
bibir dan tersenyum lagi. Kali ini dia
bersungguh-sungguh melakukannya. Kedua pipi
mulusnya ternaik dan sepasang mata ayunya yang agak sembab turut tersenyum. Hati Dhia diterpa rasa bahagia. Sambil
menelan liur Dhia menghampiri Darwis yang masih lena. ‘Suamiku tersayang, Dhia akan terus setia
padamu,’ desis hati Dhia penuh rindu dipalu keinsafan yang dalam.
Firman
Allah, mafhumnya; (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap
seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia
(dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa
sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang
bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang
jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan
dirinya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada
hamba-hambanya. (Ali-Imran: 29-30)


No comments:
Post a Comment