Dia musuh ketatku. Sebenarnya dia yang mula-mula memusuhi aku. Aku yang pendiam dicemburuinya. Aku yang low profile menyakitkan matanya. Aku yang bagai terperosok dalam tong sampah di hujung belakang kelas menggundahkan jiwanya.
Dia menyakiti perasaanku. Ada saja hal tak terjangka yang diciptanya, semata-mata untuk melukai hatiku. Kata-katanya! Ya kata-katanya itu amat mengguris jiwa. Aku terus menelan dan menelan kata-katanya yang lebih pahit dari jadam. Kadang-kadang aku menelan bersama air asin yang mengalir dari mata ke dalam kerongkong. Mengapa begitu kejam sikapnya? Dia tidak berani melakukan penderaan fizikal kepadaku kerana semua orang akan melihat tanda-tanda itu. Lebam, luka berdarah atau apa saja. Dia hanya mendera mental dan perasaanku. Tidak ada siapa yang nampak lebam dan luka berdarah itu. Dan dia melakukan penderaan itu sesuka hatinya.
Sekarang aku rasa sudah tiba masanya untuk aku membalas dendam. Ya, aku berdendam! Dendam itu terbina perlahan-lahan, seperti batu-bata paling kukuh yang aku atur susun satu persatu sehingga menjadi binaan paling teguh. Tidak ada apa yang dapat meruntuhkannya.
Dr Rizal akan mengadakan seminar di sini. Dan inilah peluang aku melunaskan dendam yang makin berakar. Budak itu, terus-menerus dengan perlakuannya. Tak mengapa. Setiap kejayaan dimulai dengan siasah yang penuh bijaksana.
Akhirnya dia jatuh ke dalam genggamanku. Air laici kesukaannya aku letakkan ubat tidur paling kuat. Dia lelap tak sedarkan diri ketika semua pelajar siap berkemas untuk pulang. Tak ada sesiapa perasan ketiadaanya dalam perjalanan keluar dari kawasan sekolah.
Aku berpura-pura balik. Ekor mataku menjeling tubuhnya yang terlentok tak sedarkan diri di meja paling hujung. Ah, kumal dan busuk hangit. Aku menggenggam tangan saambil tersenyum. Malam ni siap kau! Akan kubayar dendam paling murni.
Aku tak perlu membayar duit penyertaan kepada Dr Rizal. Dia dan team tak akan mengetahui bahawa ada dua kehadiran yang akan mendengar kata-kata motivasinya malam ini.
Di belakang pentas, aku campakkan tubuh musuh ketatku ke lantai. Berdebuk bunyinya. Berat juga dia. Berhempas-pulas aku menggendong dia di atas belakang, sebelum menyirongnya dengan kereta roda milik tukang kebun sekolah.
Aku tau dia terpinga-pinga. Kesan ubat tidur sudah lama lenyap. Tetapi dia tak berketik kerana seluruh tubuhnya telah kubalut dengan plastik wrapper. Tentu lemak-lemak di perutnya mencair seperti cairnya ketakutan dalam dirinya. Dia tak tau siapa yang telah memperlakukannya sebegitu. Aku telah menutup wajahku dan menyimpan suaraku dengan rapi.
Mulutnya kusumbat dengan saputangan supaya dia tak dapat menjerit. Puas hatiku! Sekarang dia sedang mendengar Dr Rizal berbicara di pentas. Aku duduk menghadap musuh ketatku, memerhatikan dia dalam kesamaran lampu jalan yang mencuri masuk ke ruang itu. Dia menggeliat-ngeliat mahu melepaskan diri tetapi itu tidak mungkin. Bahkan semakin dia menggeliat, semakin ketat balutan wrapper iti ke tubuhnya. Aku hanya tersenyum memerhatikan telatahnya.
Tiba-tiba dia diam terpegun. Aku menelan liur. Kemuncak persembahan Dr Rizal sudah tiba. Kata-kata Dr Rizal mengalir ke dalam hatiku seperti air terjun yang mencurah-curah dari gunung. Semangatku menerjah tinggi seperti ninja melompat dari bumbung ke bumbung. Lalu satu sepakan padu aku lepaskan tepat ke muka musuhku yang kelihatan begitu menekuni pembicaraan Dr Rizal.
Aku menarik nafas. Mujurlah imaginasiku begitu kuat. Sepakan itu hanyalah angan-angan yang mahu kulakukan. -selesai-
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين
