Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, December 27, 2017

Aku semakin sibuk mencari cara penawar untuk kesembuhan anakku. Aku tiiada cukup masa hendak duduk memikirkan cerita untuk ditulis. Setakat rangka cerita. Aku belum mampu fokus menulis. Sama ada aku terus tidak menulis sampai bila-bila, atau aku akan menulis sebuah kisah sehebat cerita Laila dan Majnun. Cinta Ketuhanan.

Hanya Allah menentukan.

Monday, December 11, 2017

Nur ke Anwar Al Batul

Entah mengapa tiba2 aku mahu memanggilnya NUR yang bererti CAHAYA. Semoga puteriku yang terindah ini benar2 menjadi CAHAYA berseri yang menyinari kehidupan dan seluruh alam. Ameen.

Semalam aku meninggalkan dia dalam keadaan dahinya terasa dedar dan telapak tangannya hangat. Aku keraskan hati dan kuatkan semangat sendiri. Lantas kubisikkan ke telinganya ketika dia tunduk tersedu2 bahawa dengan asbab dia berada di situ, semua urusan keluarga menjadi mudah dunia & akhirat.

Nur masih tunduk menangis ketika dia mengangguk2 kepala. Kucium dahi dan kepalanya. Kudakap dia erat. Tanpa mempamerkan sedikitpun riak di hati, aku memberi arahan tegas supaya dia segera masuk.

"Mama pergilah dulu. Adik nak tengok mama balik." Sahut Nur perlahan.

Wahai anak, mama tinggalkan kamu bersama orang2 terbaik di tempat terbaik bersama Allah Taala. Semoga anakku sentiasa di atas jalanNya dalam pemeliharaanNya dan pimpinanNya. Aameen.

Kita akan bersua lagi segera in syaa Allah.

Friday, November 3, 2017

Azam Diperbaharui

Tadi malam aku menemani along tidur di biliknya.

Along memang resah gelisah. Tidak nyenyak. Tidurnya tidak berkualiti. Sekejap bangun tidur menangkup di bantal, sekejap beralih baring. Aku pun jadi tidak lena. Ditambah sejuk penghawa dingin. Pelik melihat Along. Tidak berbaju tetapi tahan bersejuk.

Dalam semua rawatan, yang penting ialah istikamah.

Wednesday, November 1, 2017

Hantar Puisi

Hari ini aku ke Perpustakaan Kuala Pilah bersendirian. Selesai sudah menghantar emel 55 buah puisi untuk pertandingan Sayembara Puisi Kata-Pilar 2017.

Aku tawakkal kepada ALlah.

Puisi-puisi tu kalau disimpan je pun tak jadi apa. Mana tau ada rezeki menang. Paling tidak mereka berminat untuk menerbitkannya. Masya Allah.

Lepas ni aku azam baca puisi sebanyak yang mungkin untuk menambah perbendaharaan kata, biarpun sampai muntah.

Tapi janganlah muntah hehe ..

Monday, September 25, 2017

Beruntung Yang Dipilih

Along tag namaku di ruang comment video terbongkar anak tahfiz Ittifaqiah yang berumur 11 tahun. Dua bulan sebelum kejadian iaitu mimpi-mimpi aneh si anak yang diceritakan kepada bapanya.

Menitis air mataku. Bahkan aku sungguh-sungguh menangis.

Meremang bulu romaku.

Beruntung benar anak ini dan sahabat-sahabatnya yang dipilih Allah. Beruntung benar mereka.

Allahuakhbar!

Aku cemburu, benar-benar cemburu.

Sunday, September 17, 2017

Selamat Jalan anak-anak Syurga

Sekadar lukisan dalam bentuk karikatur pun membuatkan aku termenung selepas merenung. Dan air mata mengalir semula.

Selamat jalan wahai anak-anak syurga. Semoga kamu semua aman damai di sana, di dalam limpahan rahmat Allah.

Untuk anak-anak yang tinggal, yang tega hati melakukan penganiayaan berkenaan; aku fikir kamu akan membawa title pembunuh di sepanjang hidup kamu. Wajah-wajah kamu begitu naif.

Namun membaca Kalam Ulama di Telegram, seperti ada air embun menitis ke hatiku yang merah membara umpama besi panas.

Anak-anak kita belum tentu ahli Jannatul Firdaus, jaga mulut daripada menggelar anak orang 7 Jahanam. Jaga hati dan perasaan ibubapa mereka juga yang pasti bersedih dan malu dengan tangkapan itu. Pintu taubat masih terbuka luas untuk anak-anak tersebut. Mungkin mereka menjadi lebih soleh daripada kita dan anak-anak kita di akhir hayat nanti. 
Berapa ramai wali-wali Allah asalnya mereka yang jahat di awal tetapi diberi hidayah dan bertaubat kepada Allah.

--Dr. Nik Roskiman

Kalam Ulama'

 Usah ada spekulasi yang lebih luas. Cukup-cukuplah.

Putus Kawan

Dua status baru di dinding dan menukar gambar profil.

Dan putus kawan di alam maya dengan dua orang. Aku tidak mahu mereka membaca status aku dan aku juga tidak peduli status mereka.

Aku putus kawan kerana aku mahu menjaga perasaan mereka. Walaupun aku tak fikir mereka akan membaca status aku. Dan mereka pun tidak peduli apa yang aku nak tulis.  Namun status aku pernah menarik perhatian mereka. Ada yang mereka share di dinding milik mereka. Ada yang memberi komen dan berbalas komen dengan aku di dinding aku sendiri. Selepas kalah atau merasa kalah, atau aku merasa telah menang di dalam berbalas-balas komen dengan nada sopan itu, komen-komen janggal tidak pernah muncul lagi. Tapi adakah kemungkinnan kali ini dinding aku akan dijenguk semula?

* putus kawan ialah unfriend. Boleh la ..

Left Grup

Untuk berhenti bersuara adalah dengan menjauhinya. Maka buat kali kedua aku keluar grup berkenaan. Semoga suasana aman dalam keluarga dapat dipertahankan hingga bila-bila. Aameen.

Abang ipar yang seorang ni suka provokasi. Dia pernah memberi komen-komen provok di status dinding aku. Kali ini dengan isu tahfiz, dia melakukan apa yang disebutnya sebagai perang saraf atau perang psikologi sekali lagi.

Ringkas cerita, eloklah aku beredar dari situ. Biarkan dia tenggelam bersama labu-labunya, dan sekutunya.

Aku buat kerja aku.
Kau buat kerja kau.

Semoga kita semua di atas jalan yang lurus. Aameen.

Saturday, September 16, 2017

Soalan Bodoh dan Naif

Ada pengaruh syabu. Umur 12-18 tahun. Mereka merancang untuk membakar tahfiz tersebut. Mereka berdendam. Mereka marah. Marah mereka hingga mahu membunuh.

Wahai anak-anak. Bagaimana kamu boleh berpeleseran di luar rumah hingga lewat malam? Apakah malam berkenaan sahaja, atau hampir setiap malam? Di mana ibu bapa kamu? Mereka terlalu sibuk mencari rezeki untuk kamu? Atau kamu mencuri keluar tanpa pengetahuan ibu dan ayah?

Apakah soalan-soalan ini seperti soalan bodoh untuk ditujukan kepada anak-anak bandar?

Wahai ibu.
Wahai ayah.
Apakah yang sedang berlaku kepada keluargamu? Bagaimana anak-anakmu jadi begitu? Memang mereka sudah liar hingga ibu dan ayah sudah malas mahu memberi nasihat? Apakah mereka memang degil dan enggan dibentuk lagi? Mereka mendapat bekalan syabu. Begitu mudahkah untuk memperolehi syabu di kawasan berkenaan? Siapa pula yang membekalkan?

Aku merasa lemah. Aku masih terasa-rasa panasnya lidah api membakar diri. Aku berasa longlai untuk membenarkan amarah berputik dalam diri. Aku hanya mampu menangis.



Ya Allah, di manakah anak-anak syahid berkenaan? Di syurga Firdauskah? Ya Allah, sangat ingin aku melihat mereka berbahagia di sisiMu. Allahuakhbar.

Friday, September 15, 2017

Mengapa kau melakukannya?

Aku tak mampu membayangkannya. Air mataku mengalir ketika tanpa sengaja menatap berita tentang kebakaran pusat tahfiz berkenaan. Wajah anak-anak yang putih bersih. Tiga beradik yang memberi pose paling mesra. Dan lewat petang mendapat khabar adik kepada kawan anakku turut terkorban.

Aku menangis dan menangis. Emosiku menjadi sensitif. Mendadak aku naik meradang dengan sikap mengolok-olok abang iparku di grup keluarga. Perang psikologi @ perang saraf, katanya yang sudah bersara dengan pangkat Mejar. Aku dan dia bagai berperang di ruang WhatsApp. Dia mengetawakan aku. Hingga muncul perkataan 'lawak bodo' dan beeakhir dengan gambar piala yang aku ambil dari google sebagai hadiah untuk memberi menang padanya.

Aku dinasihatkan dengan baik oleh suami, abang ipar yang lain, kakak ipar bahkan anakku Naqib agar tidak melayan kerenah seperti itu. Biarlah dia dengan sikapnya. Tetap saling mendoakan dan mengasihi saudara.

Lewat tengahmalam, sambil menahan sakit entah apa masuk dalam telinga kanan menggelodak di sana, aku insaf. Aku sedang bertelagah dengan tetamu Allah. Maka aku segera menitipkan permohonan maaf di atas sikap kasar bahasa kepadanya, abang iparku yang amat tersendiri. Dia gelak, biasa saja dan tidak ambil hati, begitu jawabnya.

Pagi tadi aku terjaga dari tidur. Serta-merta ingatan kepada anak-anak tahfiz muncul. Air mata mengalir lagi. Allahu. Aku tidak pernah mampu meneruskan bayangan.

Bagaimana .. api itu marak mendadak. Bau gas di mana-mana. Tubuh-tubuh mereka disambar api hidup. Api yang panas. Api yang ganas. Api api api di mana-mana. Mereka dikelilingi api. Api meratah tubuh anak-anak dengan lidah yang panas mencairkan. Rentung menghitam. Mereka menjerit berpaut di tingkap-tingkap besi yang kukuh. Mereka melaungkan permohonan minta tolong. Mereka meronta mahu menyelamatkan diri. Mereka mahu keluar dari api yang sedang menjilat pakaian dan kulit mereka.

Allahu ..

Siapakah yang khianat? Andai benar, mengapakah kau sanggup mengkhianati anak-anak itu? Mengapa???

Berilah jawapan. Mengapa, andai benar, kau sanggup melakukannya sebegitu?  Mengapa mengapa mengapa?

Ya Allah, tunjukkanlah kebenaran. Pamerkan pengkianatan. Berilah balasan yang setimpal. Apakah sebenarnya yang berlaku. Aameen.

Wednesday, September 13, 2017

Berilah kemaafan

Buat kesekian kalinya, aku menitipkan kemaafan lewat doa-doaku di atas sejadah. Ternyata membuatkan hatiku tenang dan dadaku lapang. Aku ucapkan lagi bahawa kemaafan ini adalah meliputi semuanya, sejak dulu-dulu lagi walau ada luka-luka yang tidak terlupakan. Lantas air mata pun menitis. Bahawa kita semua hanyalah insan biasa yang tidak pernah dapat lari daripada kesilapan. Dan dari kemaafan yang tulus seikhlasnya ini muncul rasa kasih dan rindu. Senyum pun bertamu semula. Alhamdulillah.


***

Aku diminta agar memberi kemaafan. Dan aku memikirkannya sepanjang malam. Hingga dalam igauku juga ada fikiran tentang MAAF. Dan akhirnya aku redha, lalu setulus hati aku menerima semuanya dan memaafkan segalanya. Tetapi ternyata kemaafan ini seperti membuka pintu kepada dosa halus. Tiada rasa tenang, sebaliknya hanyalah resah tiada noktah. Aku hanya mahu mengabarkan tentang hukum alam. Sunnatullah. Berilah kemaafan setelah menerimanya. Atas apa jua yang berlaku, sejak dulu-dulu, kini dan selamanya.

***

Idea untuk cerpen mewakili Negeri Sembilan Darul Khusus sudah ada. Cuma kena cari masa untuk sinopsis dan plot yang sesempurna mungkin. Tak mungkin kisah cinta antara adam dan hawa.

Tuesday, September 12, 2017

Rasa Merdeka

Perasaan MERDEKA ini sebenarnya sudah lambat. Merdeka dah berlalu 12 hari lepas. Malaysia Merdeka! Hari ni baru rasa merdeka.

Alhamdulillah. Apa-apa pun mesti rasa syukur dan ucap syukur ke hadrat Allah. Dapat juga menghayati erti kemerdekaan walau dari perspektif yang berbeza.

Aku dah uninstall dinding 2 hari lepas. Juga suku-sakatnya yang satu lagi tu.

Yang tak tahan, setiap kali pegang tab aku macam tercari-cari sesuatu ... cari dinding. Ciss!  Kemudian barulah teringat dengan segeranya, bahawa dinding sudah tiada.

Sehari ..
Dua hari ..
Dan hari ini, aku rasa eloklah kalau aku akui tentang Merdeka yang ini. Aku rasa free. Rasa lapang. Rasa bebas. Rasa ehmm sebenarnya tak penting pun dinding tu. Ya, apabila kita rasa sesuatu tu tak penting, maka ia memang akan jadi tak penting.

Benda ni sudah diakui oleh orang-orang yang lebih awal meninggalkan dinding. Mereka kata serabut pulak tengok orang-orang yang asyik bergayut di dinding. Dan apabila mereka cuba-cuba melihat dinding, ada rasa serabut yang muncul.

Walaupun aku tak kata dengan merdeka ini aku dah mula bergayut dengan buku atau apa-apa yang lain yang sepatutnya lebih berfaedah. Namun memang ya. Aku ada banyak kerja nak buat.

Pagi hari, aku uruskan kucing-kucing yang 10ekor. Ayam-ayam mak yang aku ambil alih sebanyak 8 ekor. Dan anak-anak ayam yang asalnya 10 ekor dah jadi 5 ekor sebab dibaham dek tikus tanah. 

Kemudian selesaikan makanan khas untuk Naqib. Aku ikut Diet Sunnah tu untuk beri sokongan pada dia. Kalau aku tak buat sama, dia lagi berat nak buat. Dan sememangnya untuk orang yang sukakan kesihatan dan kesegaran, afdal buat DS tu.

Lepas Zuhor, minta izin siap-siap masuk bilik untuk solat dan buat kerja sendiri. Menulis. Edit nota DS untuk print out. Baca buku.

Ohhh .. masih tak cukup masa!!!

Selamat Tinggal Dinding.

Aku jenguk dinding dari desktop saja. Tak perlu tag aku, melainkan page-page penulisan yang aku terlibat dalam projek mereka. Itupun aku sudah bercadang nak berhenti join antologi. Cukuplah yang sudah-sudah, dan mungkin untuk mewakili Negeri Sembilan ni yang terakhir.

Nak mengangkat kisah Negeri Sembilan ~~~ apa la ceritanya? Biasanya perlukan beberapa hari untuk memikirkan, sambil-sambil masak dan mandi.

Katanya, ada penulis yang free writing without plot. Aku tak pandai buat plot. Sinopsis ringkas saja. Plot dikatakan adalah yang paling sukar dilakukan. Aku rasa plot penting supaya penulis tak keluh-kesah semasa menulis. Tidak merubah-rubah cerita. Semuanya sudah diset semasa plotting.

Jadi, aku nak cuba buat plot yang paling lengkap. Sesudah itu tinggal menulis saja dengan segala kemampuan dan kebolehan yang ada. Insya Allah.

Sunday, September 10, 2017

Semua rujuk di sana

Petang semalam yang tenang, Wan Ngah Esah atau lebih tepat adalah ibu saudaraku yang kedua telah dipanggil Allah pulang ke pangkuanNya.

Sebelum Zuhor tadi, hari ini iaitu 10 September 2017 bersamaan dengan hari Ahad, jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Kg.Tengah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya, aameen.

Waktu-waktu seperti ini barulah datang kesempatan bertemu muka dengan adik-beradik dan saudara-mara. Ramai generasi muda yang tak aku kenali, pangkat anak saudara, cucu bahkan cicit. Makin ramai cicit rupanya, walaupun cicit saudara.

Satu masa nanti, generasi yang masih tinggal di muka bumi ini adalah generasi muda yang tidak akan pernah lekang daripada smartfon. Akhirnya mereka juga akan menjadi tua dan adalah orang-orang tua yang sangat akrab dengan smartfon. Apa-apa rujuk google, feszbuk, whatsapp, instagram, twitter dan lain-lain untuk mencari jalan keluar sesuatu masalah. Apa-apa akan share maklumat-maklumat dari sana kepada semua ahli keluarga dan kenalan. Dan cucu cicit mereka juga adalah generasi baru yang tidak akan berpisah daripada smartfon. Muncul aplikasi-aplikasi yang pelbagai, menyeronokkan dan mendatangkan duit.

(Malam tadi ada satu nama yang ala-ala dakwah mempromosi aplikasi bayar duit, dan aku agak kaget menerima pelawaan tersebut. Apa-apapun pilihan di tanganku. Cuma aku memikirkan bagaimana di saat-saat aku sedang berperang dengan kehendak dan kesedaran, tiba-tiba aku diuji dengan aplikasi sebegini.)

Apakah situasi harian pada 50 tahun akan datang? Orang tuanya. Orang mudanya. Remaja awalnya. Remaja akhirnya. Kanak-kanak sekolah rendahnya. Kanak-kanak prasekolahnya. Bayi-bayinya. Kucingnya. Burung Merpatinya. Ayam jagonya.

***

Saturday, September 9, 2017

Di sini?

Di sini bukan dinding?

Tiba-tiba soalan ini pulak yang muncul. Merapu di dinding sana dan dengan cepat mendapat respon. Berpuluh yang like, bahkan beratus atau beribu. Kembangnya rasa hati. Sukanya rasa jiwa. Gembira dan ceria dalam dada.

Di sini?

Ahha, blog yang betul-betul diuruskan dengan tujuan, pasti mendapat sambutan. Akan mendapat banyak komen. Tapi ada ke blog yang setelah disiarkan dan mendapat berpuluh ribu like? Ada, banyak melambak. Dan web khas memang untuk menyiarkan pelbagai berita terkini. Kemudian disiarkan pula di dinding sana menjadi viral.

Jadi?

Di sana pun leka. Di sini pun leka. Kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Sejauh mana nak hanyut bersama-sama di alam yang tiada tepi ini. Atau kelipkan mata, dan kembali dalam diri. Apa tujuan sebenarnya?

***

Thursday, September 7, 2017

Kesilapan yang menarik

Ye ke?

Kesilapan aku di sini, adalah sengaja menulis dengan tergesa-gesa. Biar ia mengalir begitu saja. Bukankah begitu sebenarnya lebih menarik?

Aku semakin kurang membaca.

Dan sejak awal minggu ini, aku mengaku bahawa aku terpaksa membaca semula.  Membaca buku. Bukan membaca dinding yang serabut itu.

Walaupun akan muntah belahak.

Aku perlu membaca.  Yelah, kalau kau azam nak masuk pertandingan besar, kau kena la bersedia.  Kalau setakat azam, akhirnya jadi angan-angan Mat Jenin saja la.

Tapi perlukah sampai muntah belahak? Muntah betul-betul ohh tidak mengapa. Mengarut.

Rumah Pink Di Lorong Abu.

Yup, aku mengaku memang kena studi tentang plot.  Novel Seharum Doa Bonda tu aku buat gitu-gitu saja.  Mentang-mentang ada sifu.  Kali ini, no sifu.  Tapi aku akan cuba sediakan part yang paling susah kata ramai penulis, iaitu bahagian PLOT.

Kemudian, barulah aku akan ajukan kepada sifu. Kalaulah dia masih sudi.  Katanya dulu, selagi hayat di kandung badan.

In sya Allah.

Mahu penuhi janji kepada Lil Banat tersayang. 

Mahu Selamat Tinggal

Susah.  Sangat susah.  Aku rasa ramai yang susah. Bukan ribu, malah jutaan orang merasa susah.

Susah??

Ya. Susah nak meninggalkan dinding. Boleh saja aku quit. Sekadar di hujung jari saja. Buat masa ini aku semakin tidak rajin meninggalkan jejak di dinding.

Paling aku mahu lakukan ialah dengan mengurangkan aktiviti di sana, akan memberi kesan langsung kepada ahli keluarga aku sendiri. Bahawa mereka juga tidak memerlukan dinding seperti perlunya mereka kepada Al Quran dan kehidupan realiti yang lebih penting.

Seorang ahli keluarga aku sudah melakukannya.  Dia berjaya atas sokongan dan kawalan yang dikenakan ke atasnya.

Yang lain, yang agak jauh, nampaknya memang perlahan dengan aktiviti di dinding. Mereka ada kerjaya yang lebih penting diberi fokus.

Keperluan aku juga besar. Beberapa perkara berkaitan penulisan perlukan dinding untuk maklumat terkini. Namun syukurlah peranan emel masih besar. Emel masih diperlukan untuk urusan formal.

Jelak melihat status peribadi di sana sini. Jelak juga melihat iklan-iklan muka putih yang merisaukan.  Apa akan jadi beberapa tahun lagi kepada wajah-wajah suci bak bidadari ini? Mujur boleh hide advertisement. Terasa bersih sikit dinding.

 Ok. Aku mahu mengucapkan Selamat Tinggal Dinding.


Rindu tempat yang jauh

Ketika hati tidak menyukai sesuatu, hati akan mencari apa pula yang dirindu. Lalu kenangan di masa lalu, di tempat yang jauh muncul menari-nari mengusik emosi.

Maka kupanjatkan doa yang kusyuk. Agar aku mampu kembali ke sana, walau hanya seketika. Kerana rindu yang .............

tik tik tik tik

alamak, hujan daa. Hilang mood nak melayan perasaan. Jom le kita angkat kain kat ampaian.

Wednesday, August 16, 2017

Menyiapkan Cerpen 8 muka surat

Pesan sifu, jangn menulis dengan cara membodoh-bodohkan dan mengajar-ngajar pembaca.

Aku terus berusaha. Cuba sebaik mungkin. Sudah 5 cerita aku sudahkan tetapi tak puas hati. Aku ulang baca tiga baris sajak Usman Awang itu. Berkali-kali.

Bagaimana nak aku kaitkan ia di dalam cerita? Dan bagaimana nak aku kaitkan cerita dengan sajak tiga baris ini?

Aku google sajak Usman Awang. Apakah ia memang tiga baris? Tapi tak jumpa. Atau tak pandai mencari.

Aku tegur cikgu Sejarah di telegram. Aku tanyakan pendapat beliau tentang sajak ini. Kata cikgu, perang ada banyak jenis perang - perang mulut, perang dingin, perang rumah tangga. Ohh ..

Aku cnp juga sajak ini kepada kakak yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerja suntingannya. Dia mengadu berat kerjanya kali ini.

Berilah pandangan dengan baca sekelimbas lalu saja, aku memujuk separuh merayu. Tidak mahulah aku menambah susah kepalanya. Dan katanya perang itu adalah perang senjata.

Kakak seorang lagi pun seperti itu juga pendapatnya. Perang senjata. Macam perang Jepun dulu.

Maka batallah semua cerita yang dah aku tulis. Lima cerita, semua mengarut padaku. Entah di mana kaitan dengan sajak tiga baris itu.

Dan hiduplah aku seperti biasa. Pagi-pagi ke dapur, kemudian ke kebun. Usai solat Zuhor, barulah duduk mengadap laptop.

Emak memberi pendapatnya. Kerja menulis tidak ada makna sangat. Tak nampak duitnya. Tak macam kerja makan gaji. Emak ceritakan kisah dia menjual serai-serai belum bersih ke kedai runcit. Kalau jual bersih siap diikat tiga empat batang, lain harganya. Cili sentiasa mendapat sambutan. Orang Negeri Sembilan tak pernah akan putus bekalan cili di dapur.

Babi dan kera pun tak akan sentuh serai dan cili.

Sambil-sambil itu, aku masih cuba menyiapkan cerita ini. Seperti sudah ada kaitan dengan sajak yang diberikan. Alhamdulillah. Tetapi masih perlu mencari fakta supaya cerita ini tidak menjadi dongeng yang diketawakan orang nanti.

Perang itu fakta sejarah.

Aku berdoa semoga Malaysia dan Nusantara ini tetap aman damai. Diselamatkan dari bala bencana dan peperangan. Membaca sepintas lalu kisah-kisah mangsa kekejaman tentera Jepun hanya membuatkan aku resah.


Tuesday, August 8, 2017

Gadis Molek dan Sampah

Alhamdulillah. Blog tetap istimewa.  Kat sini senyap. Kau menulis sorang-sorang, macam tak ada sesiapa akan baca. Tapi satu ketika entah bila, ada la yang tersadai sekejap. Melainkan blog informasi, blog-blog curhat macam ni mungkin tidak popular sangat. Orang tersesat saja yang membukanya. Lebih-lebih lagi kalau tiada niat untuk mengumpul follower dan tidak komersial. Hanya mahu menulis sesuatu, macam aku.

Dah 8 tahun usia blog ni, rasanya. Sejak 2009. Makin lama makin jarang dibuka. Tapi ada kejutan demi kejutan yang aku dapati. Apabila sejak kebelakangan ini, maksudnya selepas aku kemaskini nombor telefon untuk contact di akaun, ada beberapa pertanyaan daripada ibubapa tentang madrasah. Mereka ingin tahu tentang madrasah. Mereka berminat dan mahu menghantar anak-anak belajar di madrasah.

Kisah Naqib belajar di madrasah pada 2009 banyak aku kongsikan di sini. Kisah adik-adiknya sedikit ada juga diselitkan. Aku tidak menyangka pula akan ada menerima feedback dari pembaca yang ingin tahu berkenaan madrasah. Walau apa pun, alhamdulillah syukur kerana dapatlah tak banyak sikit aku menerangkan dan memberi jawapan kepada soalan-soalan yang diberikan. Semoga kisah anak-anakku Allah jadikan asbab hidayat juga, walaupun hanya sekelumit. Aameen.

Aku dah log out muka buku. Serabut. Muak dan rasa nak muntah pun ada. Hampir sebulan aku tak jenguk ke sana. Semasa buat jualan buku lama online, kena la log in balik. Jenguk pulak wall. Selalu terus search page yang perlu atau skroll notification laju-laju. Bila jenguk wall, macam-macam iklan ada. Paling memuakkan ialah wajah-wajah ayu yang tunjuka cara-cara cuci muka dan mekap muka.  Tak perlulah aku tunjuk ekpresi emosi dengan gunakan huruf besar semuanya, cukup aku tulis ~ muak nak muntah.

Mungkin pada usia begini, fikiran pun dah makin matang untuk aku. Walau ada lagi orang yang lebih matang bijaksana. Tetapi aku tertanya-tanya, mengapa jadi trend macam tu? Mengapa wahai gadis-gadis molek? Lagi molek lagi kau nak tayang muka? Aku tertanya-tanya, produk-produk tu nak kena tunjuk cara guna macam tu ke? Maka akan bertambah laris jualan kau.

Kau dah cukup molek ke?

Yang molek tu la yang nak disimpan baik-baik sebenarnya.

Aku dah lama nak hide semua gambar-gambar kat sana. Tapi ada saja halangan dari dalam diri sendiri. Aku nak delete akaun, pun masih ada halangan dari dalam diri. Aku ingin membenci, tapi belum tahap berani mati. Maka aku hanya dapat pasang azam saja buat masa ini. Satu hari tak lama lagi aku akan ucapkan selamat tinggal kepada benda-benda memuakkan dan sampah-sarap itu, walaupun aku cuba mengasingkan sampah baik dan sampah jelik. Ia tetap sampah.

Ia alam yang akan membawa kau makin lama makin jauh entah ke mana. Ia adalah lautan maya yang akan menenggelamkan kau jauh ke dalam dan kau bernafas tercungap-cungap tanpa kau sedar yang kau sedang mencungap kelemasan. Dan entah bila kau akan sampai ke dasarnya, tak tahu ..

Blog ini? Nanti aku fikirkan. Ada juga ura-ura nak delete, masih dalam pertimbangan.

Jumpa lagi. In syaa Allah.

Thursday, April 20, 2017

Masa untuk chocolate chips cookies. Tak sabar nak memulakan lagi. Semoga Allah memudahkan urusan kita semua.

Oven dah dibelikan.
Semalam dibelikan casing lengkap dengan baking paper, plaster dan lapik biskut.
Sepatutnya hari ni beli bahan-bahan tapi bos kena selsema pulak.  Tangguh esok in syaa Allah.

Maghrib ni menyaksikan Ustaz Ebit Liew live di Kuala Pilah. Saya nak angkut satu famili.  Masing-masing kata ok.  Senyummmm. 

Aameen.
#rekod

Wednesday, February 8, 2017

Tak tahu mengapa.  Tak tahulah ... mengapa.

Mungkin sememangnya jiwa saya tidak cenderung sebegitu. 

Dan tiba-tiba saya merasa serabut melihat telatah ma

Staf emegresen terbaik

Alhamdulillah. Selesai sudah urusan saya di emegresen Seremban.

Menunggu giliran yang semakin hampir, mata saya melilau ke kaunter urusan. Aduss, kalau nak ambil gambarnya memang open gitu dong.

Saya hanya mampu memerhati. Sementara masih ada masa, saya ambil kesempatan berdoa dalam hati. Semoga Allah permudahkan urusan saya di kaunter.

"Ya Allah, aku tak nak orang nampak muka aku." Bisik saya jelas-jelas dalam hati.

Kemudian saya turuti dengan lafaz Bismillah serta Selawat Tafrijiyah beberapa kali.

Akhirnya nama saya dipanggil.

Sesi bergambar pun tiba.

"Ambil gambar di sini yer?" Saya berbasa-basi. Sebelum itu saya sudah gamit Naqib datang.

"Tolong la hadang-hadang sikit masa mama nk amik gambar," bisik saya kepadanya.

Naqib pun berdiri di sisi saya, dah standby untuk membuat hadangan, namun yang pasti sebesar-besar dia masih tak dapat menyembunyikan saya dari deretan pengunjung yang memamg duduk menghadap ke kaunter. Tempat bergambar ada di hadapan setiap kaunter. So memang jelas pandangan mereka ke situ.

"Puan ada bawak apa-apa kain?" Tiba-tiba staf manis tu bertanya.

Saya sudah bersyukur kerana berurusan dengan pegawai perempuan. Sebelah-menyebelahnya pun perempuan. Cuma di meja belakang ada staf lelaki yang sudah berumur dan kelihatan kusyuk dengan kerjanya.

"Err tak ada la.." memang tak terfikir nak bawa apa-apa selain paspot lama dan duit nak buat bayaran.

Staf tersebut menghilangkan diri. Naqib berbisik mengatakan mungkin staf tersebut sedang meminta izin untuk saya ambil gambar di bilik privacy. Saya harap begitulah. Tidak lama kemudian staf berkenaan muncul semula. Sambil bercakap dengan rakan setugas, dia mengoyak plastik bungkusan di tangan. Isi bungkusan diserahkan kepada Naqib.

"Nah buat hadang." Ia adalah sehelai kain putih yang tebal.

Alhamdulillah. Saya yang sudah siap duduk di kerusi menghadap kamera berasa senang hati. Saya ukir senyuman dan 'KLIK!' foto saya dirakamkan.

Terima kasih, jazakillah khoyr katheera kepada puan yang bersikap prihatin kepada wanita-wanita berniqob. Pasti ramai masturat yang keluar khuruj. Staf kelihatan dah biasa dengaan kehadiran 'woman in black' seperti saya. Dan memang ada bertembung dengan kelibat-kelibat 'woman in black' ni semasa di situ.

Masya Allah.

Semoga Allah mengurniakan hidayat buat puan.

Wassalam.

Renew pasport

Assalamualaikum wbt bloggers.

Dah sarapan ke? Semoga Allah mudahkan urusan kita semua hari ni, dari waktu mentari terbit di ufuk timur hinggalah ia tenggelam di ufuk barat, sehingga tirai malam pun menutupi alam.  Aameen.

Saya di Wisma *******

Sementara menunggu giliran, kita minum dulu. Naqib dah ambil hidangannya. Saya nak upload gambar punya lembap nak complete sambil tarik kredit sambil tarik bateri, lebih afdal kensel je. Hmm dia ambil mee goreng 2 jenis dan ayam goreng. Ohh tempe goreng pun ado. Air limau ais. No more kunyah Calcium Carbonate semenjak beli Calcium Magnesium yang Dr Suri rekemen. Seronok la dia mengunyah makanan gitu je. Pil Calcium Magnesium diambil waktu malam 1-4 biji. Saya bagi dos 2 biji untuk dia ambil. Mudah-mudahan ia memberi kesan yang lebih baik, aameen.

Ok nak jamah mee Naqib yer.

Wassalam.

Tuesday, February 7, 2017

Membakar Bakhoor

Dah beli Mabkhara maka setiap malam membakar Bakhoor.

Masuk je bilik, bau Bakhoor.

Masuk je waktu Maghrib, bakar Bakhoor.

Saya ada dua jenis kemenyan; serbuk halus dan kepingan kecil. Salah satunya adalah Bakhoor yang sama dengan bau kelambu Kaabah.

Dua-dua harum baunya.  Semasa beli dulu, suami minta tuan kedai rekemen kemenyan yang paling hot dan dia mengunjukkan yang dua ini.

Alhamdulillah.

Wassalam.

Kau Antara Bintang

Semalam semasa nak melangkah ke Shah Alam menemani boipren meeting, saya mencari bacaan yang nak diangkut bersama. Entah bagaimana mata terpandangkan novel ini.

Tanpa sebarang catatan. Tarikh atau tandatangan. Maka memang tak ingat bila ia berada di dalam simpanan saya. Cuma yang pasti sekitar tahun lepas, 2016. Buku ini termasuk koleksi yang baru saya miliki. Memang belum sentuh lagi.

Akhirnya saya berpeluang menikmatinya.

Baru sampai muka surat 46.

Persembahan not bad. Aksi heroin yang keras kepala dan berwatak singa betina. Ada hubungan kacau dengan bapa.

Saya tak cuba lagi merentas cerita. Rileks je.

Semoga ada sesuatu yang lebih hebat untuk saya nikmati. Now nak sambung baca sambil menunggu anakanda pulang dari main futsal. Ok ini hebat! Dah lama benar dia tak beraktiviti sebegini. Saya happy. Semoga anakanda saya akan memperolehi sihat semula bahkan kebih sihat. Semoga Allah memilihnya keluar ke hujung2 dunia menyampaikan kalimahNya. Semoga Allah memilihnya terus.

Saya doakan dia mencapai usia Nabi SAW. 64 tahun. Aameen.

Semoga Allah merahmati keluarga saya, dan anda semua juga.

I love my family.
Do not disturb us.
Do not spoil our happiness

Wassalam.

Tinggalkan yang serabut

Dan bertenang-tenang di sini.

*gambar hanya hiasan

Saya bukan jenis oramg yang sesuai untuk menyertai keserabutan di sana walaupun mungkin saya mampu meraikan bersama. Bahkan menambah ceria.

Saya lebih suka bertenang-tenang di sini.

Silakan langkah anda.

Saya dengan jalan saya.
Anda dengan pilihan anda.

Saya dengan keserasian saya.
Anda dengan kegemaran anda.

Wassalam.


Suka2 tukar no ic

Saya sedang menyelongkar koleksi keetas-kertas dalam laci. Nak mencari koleksi panduan menulis cerpen dan novel bagi refresh balik.  Macam-macam ada termasuk lukisan si bongsu yang tidak bertarikh, berkemungkinan 2-3 tahun lepas ketika dia berusia 8-9 tahun. Bulan depan dia dah masuk 12 tahun. Alhamdulillah.

Tiba-tiba mata saya ternampak resit rasmi pembayaran semula pinjaman Naqib untuk pemasangan festula di PPUKM. Tengok sepintas lalu saja dan mata menangkap sesuatu yang besar. Kesilapan besar!

Haihh saya pun tak faham dengan staf berkenaan. Suka-suki je menukar nombor kad pengenalan Naqib. Nak kata bodoh karang kecik hati pulak.  

Biasa la orang yang lahir kat luar negara lain la dua nombor tengah tu. Tak pernah jumpa no ic yang lain sikit agaknya .. hmm kena baik sangka. Apa salahnya bertanya pada kami dulu. Naqib lahir kat Brunei, jadi angka tengah tu 60. Staf cerdik tapi sombong ni pandai2 tukar kepada 10. 

Ok la perkara dah lepas nk ungkit balik memang tak baik. Namun memang ada masalah terjadi dek kerana silap nombor ic tu. Dan ia didiamkan saja. Biasa la tu .. Ringkas cerita, kalau sikap memang take it easy, gitu la selamanya selagi tak ubah perangai. Menyusahkan diri sendiri tak mengapa. Duduk dalam gua alone is ok. Ni engkau membabitkan orang lain jugak. 

Lepas tu berlagak.

Eh apsal saya marah2 je ni .. 

Wassalam.

Air Herba Pecah Beling

Sebenarnya dah hampir 3 bulan kami stop ambil air herba. Puncanya kerana Naqib diserang sakit kepala yang sangat teruk apabila minum air herba.

Kasihan melihat deritanya dia, saya beransur-ansur melupakan air herba. 

Kami beralih kepada rawatan homeopathi semula. Doktor mengatakan punca sakit adalah stress terpendam. Boleh dirawat tetapi peluang untuk sembuh tipis. Sekiranya dirawat awal mungkin ok. 

Tak mengapa. Itu cakap doktor. Allah kata setiap penyakit ada ubatnya melainkan tua dan maut. Hari ini orang tua pun maintain muda dengan izin Allah. Hanya manusia belum pernah mampu berbincang dengan Allah minta tangguh ajal. Itu adalah tidak mungkin dan mustahil sampai bila-bila. Hanya manusia diberi peluang mengetahui saat ajal akan sampai, itupun tak semua. Hanya untuk hamba-hambaNya yang terpilih. Tau je, bukan tangguh.

Hati saya tiba-tiba terbuka semula untuk kembali kepada air herba Pecah Beling atau Pecah Kaca ini. Entah mengapa. Entah bagaimana. Mungkin ini jawapan Allah kepada untaian doa-doa saya buat si anak.  Alhamdulillah, aameen.

Cuma Naqib kena benar-benar tabah dan sabar melalui tempoh healing process. Ya, ada proses kesembuhan yang berlaku. Maka saya berikan hanya secawan kecil air herba kepada Naqib. Proses sembuh akan berjalan lebih perlahan namun berterusan. Kesannya mungkin mengambil masa yang lebih panjang namun semoga tetap ada perubahan demi perubahan.

Selain itu apakah yang lebih penting? Bahkan teramat penting?

Ya, DOA!

Tabahlah wahai anakanda.

Wassalam.

imCheTan

Air Herba

Air herba Pecah Beling atau Pecah Kaca ini boleh dicampurkan ke dalam masakan berkuah. Juga boleh dibuat air teh atau kopi. Teh atau kopi yang bukan 3 in 1. Manfaatnya in syaa Allah tetap sama. Zat yang terkandung di dalam air herba masih kekal dengan izin Allah.

Ujian yang dijalankan adalah mudah, simple. Menggunakan alatan untuk menguji aliran elektrik. Eksperimen mudah macam dalam sabjek Sains di sekolah.

Saya tidak ada maklumat saintifik yang sempurna tentang air herba ini. Hanya saya merupakan salah seorang yang berminat mendapatkan kebaikannya. Maklumat ringkas hanyalah air herba ini sudah banyak memberi manfaat kepada masyarakat termasuk pimpinan negara kita. Dikhabarkan beliau menghidap penyakit luekimia. Maklumat ini berkemungkinan adalah rahsia besar. Dan malam tadi saya dimaklumkan tokoh berkenaan masih mengambil air herba ini. Hmm kalau anda datang ke rumah Pak Awang, anda tau la siapa tokoh tersebut. Siap ada gambar Pak Awang bersama beliau.

Selebihnya wallahua'lam.

Saya tak ada pertikaian tentang hal itu. Saya lebih berminat kepada deretan testimoni hidup yang lebih mengujakan.

Wassalam.

Salam pagi Selasa

Assalamualaikum wbt.

Saya test menulis dari tab Samsung.

Hmm agak kurang saya sukai kerana sebelum2 ni apabila publish, tiada perenggan walaupun semasa menulis saya jarak2kan antara perenggan.

Kalau menulis panjang2 tanpa perenggan, berpinar mata hehe ..

Sekiranya keadaan yang sama masih berulang, mungkin lebih afdal saya tulis dulu di Word dan cnp ke sini.

In syaa Allah saya azam istiqamah di blog saja.

Sekian dulu. Wassalam.

#imCheTan

Sunday, February 5, 2017

Tumit kanan sakit

Sebulan lepas saya berurut dengan Ina Sabah. Perghh memang mantap jari-jemarinya. Alhamdulillah. Memang tepat mana-mana urat yang dicapainya. Sejam jadi sejam setengah, akhirnya dua jam. Tambah lagi dalam 10 minit gitu hingga akhirnya dia sendiri stop sebab takut bos marah. Haha ..

Hilang sakit tumit kanan saya. Belikat memang sedap kena urut. Urat kembang dan tersekat. Sambil diurut, sambil saya belajar.

Kelmarin semasa menemani anakanda ke HTAR, saya ingin berurut lagi. Mahu 3 jam. Tetapi tak ada rezeki sebab ada saudaranya yang meninggal dunia pada hari tersebut.  In syaa Allah lain kali semoga bertemu lagi. Saya tak putus asa. Ina Sabah bukan buat-buat pandai. Alhamdulillah Allah memberinya kelebihan memahami urat-urat dalam tubuh. 

Hari ini saya agak lama di dapur. Saya fikir mahu buat stok lauk yang sudah dimasak untuk anakanda. Risau melihat dia makan hidangan di kedai yang pastinya diletakkan bahan perasa dan tinggi garam. Jadinya tadi saya beli tiga ekor ayam dan masak tiga jenis masakan menggunakan periuk Noxxa. Ayam kari, ayam kurma dan ayam masak merah berkuah. Setelah sejuk, saya packing dua ketul dalam plastik dan sealed. Kalau nak lebih, boleh ambil lebihlah. Seekor ayam bajer 6 plastik bermakna boleh stok untuk 6 hari.

Selepas ni saya bercadang mempelbagaikan lagi masakan termasuklah ayam masak lemak cili api, ayam beriani, ayam kerutup, ayam semur, hmm ... apa lagi ya?

Sekiranya ada stok ikan yang sesuai dan tidak terlalu mahal, saya akan siapkan stok pelbagai lauk ikan pula in syaa Allah. 

Sebenarnya dah lama saya bercadang nak buat stok lauk untuk anakanda.  Ada saja halangannya sama ada halangan masa atau suami tidak bersetuju. Tadi pun mak saya kata nanti hilang zat dan sebagainya. Pada fikiran saya tidak ada isu hilang zat selagi ia tersimpan di tempat sejuk beku dengan baik.  Bahkan ini menjimatkan masa dan memudahkan hidangan untuk Naqib. Bayangkan kalau saya terpaksa keluar awal pagi untuk memenuhi temujanji dengan doktor di Hospital Klang. Pukul berapa pulak saya nak bangun masak? Dan mampukah saya memandu tanpa rasa mengantuk nanti? Haihh dah berumur ni tenaga bukan makin kuat kan ..

Saya tanda setiap plastik lauk dengan sticker dan tulis jenis lauk. Di pintu peti ais juga saya lekatkan sticker bertulis hari bulan hari ini dan jenis lauk yang disejukbekukan.  Alhamdulillah syukur. Tak sabar rasanya nak beli ayam lagi dan masak jenis lauk yang lain pula.  Untuk tiga jenis lauk tadi, saya menggunakan tiga periuk Noxxa untuk setiap satu masakan.  Hanya 10 minit memasak pada tekanan tinggi, saya tidak risau ayam akan mentah di bahagian dalam. Masa juga dapat dijimatkan dengan lebih baik.

Rahsianya, ada kemudahan eloklah digunakan. Betul tak?  Sebenarnya nak cerita, dah berdiri lama di dapur tu mulalah terasa tumit kanan sakit balik dan lutut kanan pun rasa sakit.  Aduhai ...

Makanya teringatlah saya akan urutan Ina Sabah beberapa minggu lepas.  Sedapnya badan diurut-urut dengan jari-jari yang tepat pada tempat yang perlu dibelai.  Hmm ...

Dan saya mula urut sendiri kaki kanan di bahagian betis, sambil duduk dalam kereta kerana menghantar bidadari manis pulang ke Senawang.  Sambil urut tu terasa ada urat yang bengkak.  Teringatlah kata-kata Ina Sabah, yang urat saya sangat kronik. Kembang sana sini dan bersimpang-siur bahkan tersumbat.  "Memang efek pada hormon," katanya sambil mengurut.

Saya urut di bahagian bawah buah betis.  Urut di situ terasa macam karen ke lutut kanan yang sakit tu.  Saya teruskan urut perlahan-lahan. Dah sampai rumah pun saya urut lagi, kali ni dengan sapuan minyak cap kapak.  Minyak tu je yang saya nampak malam ni, guna je la.

Alhamdulillah, terasa makin lega dan berkurangan sakit di tumit kanan dan lutut kanan walaupun tidak sepenuhnya. Saya akan urut lagi bahagian bawah buah betis hingga hilang sakit sepenuhnya. 

Pinggang kiri pun sakit ni.  Entah di bahagian mana nak dicapai untuk diurut ya? Tak pe, kita cuba dan kaji sendiri tubuh kita.  Tak semesti di pinggang sakit maka urut di situ.  Sedangkan urat-urat dalam tubuh berselirat merata.  Mungkin bahagian perut yang perlu dibelai-belai.  Ina Sabah kata perut sangat penting dijaga.  Kalau pandai urut perut boleh bantu menguruskan berat badan.  Boleh datang kenyang tanpa makan. Boleh awet muda.  Lebih mengujakan, boleh mengandung lagi kerana urat-urat menjadi lancar dan segala yang menyumbat kembali keluar secara normal.  Sangat menarik kan?

Ramai orang beritahu takut nak urut perut sama ada urut sendiri ataupun serah kat tukang urut.  Hmm biasala tu prejudis je lebih.  Takut sendiri lantak awak la.  Kekadang efek kepada orang lain yang lemah semangat pun sama jadi takut nak serah perut.  Akibatnya sama-sama tanggung walhal kalau fikir baik-baik ok je urut perut.  Berhati-hatilah kalau dari mula urutan kat badan ok je, takkan kat perut tak ok. Biasanya perut adalah bahagian terakhir akan diurut. Kita boleh rasa sendiri kesedapan urutan tu tahap mana.  Kalau tahap menyakitkan segeralah beritahu tukang urut supaya kurangkan sikit tekanan dalam urutan. 

Saya pernah berurut dengan seorang wanita Kemboja yang sudah lama menetap di negara kita.  Urutannya keras dan sebenarnya bulu roma saya jadi meremang apabila diurut.  Meremang bulu roma ... bukan sebab takut tapi sebab sakit gila-gila punya sakit tapi dek kerana saya kuat menahan hingga selesai, hanya bulu roma berdiri saja yang memberitahu betapa sakitnya dia mengurut.  Serik ...

Sengkak perut pun kita boleh buat sendiri.  Buat saja pelan-pelan dan lemah-lembut.  Biasanya yang sengkak menyakitkan tu ialah sengkak selepas bersalin.  Kalau sengkak biasa tak perlulah buat kuat-kuat.  Biasa je tapi dengan teknik yang betul. Sebab kita perempuan ni mudah je jatuh peranakan terutama kalau angkat barang berat sikit.  Mengangkat anak kecik yang semangat pun boleh menyebabkan peranakan jatuh. So pandai-pandailah rawat diri untuk kebaikan kita juga.

Ok dah melalut macam-macam ni.  Che Tan pun dah mengantuk sebenarnya.  Hmm siapa yang baca blog Che Tan yer? Boleh tak bagi tanda kat komen .. hehe.  Salam perkenalan untuk rakan blogger yang baru.  Salam ukhwah berpanjangan untuk rakan blogger yang dah lama.

Nanti coret lagi ya.  In syaa Allah. Che Tan akan meluangkan lebih banyak masa di blog, dengan harapan aura penulisan akan kembali hangat.  Suasana dingin di kampung ni sebenarnya turut menyejukkan mood nak menulis hihihi ...

Wassalam.
Laiela Saiedah.

😁😁😁

Hey blog pun dah ada emoji rupanya! Baru kutau...

#imCheTan

Menyusahkan saja imCheTan.

ALhamdulillah, saya kembali ke sini. Uninstall semua; FB, IG dan in syaa Allah Whats App. Offline dan terjaga dari keserabutan.  Semoga demikian, aameen.

Saya berdoa; Ya Allah berikanlah daku petunjukMu.

Dan saya dicegah dari itu semua. Tanpa ragu-ragu saya melepaskannya.

Bermakna saya akan kembali ke sini. Mungkin di ruang ini lebih afdal untuk saya. Walau saya bukan penulis yang up-to-date dan baik. 

Saya mesti banyak membaca. Dengan kata lain membaca buku-buku di dalam perpustakaan mini yang kadang-kadang hanya sempat selak-selak saja.

Semoga ini semua permulaan yang terbaik untuk tahun 2017.

Semoga datang ilham-ilham yang terindah dan cerita-cerita yang wajib disampaikan.  Dan saya tahu manusia sukakan kegembiraan.  Saya akan cuba memberikan aura gembira di sini tanpa mereka-reka cerita bohong yang membuang masa.

Yes, imCheTan is here now. Kembali menulis dan menceriakan warna dunia blogger. Ewahh .. haha.

Tak kisah kalau ada orang kata saya syok sendiri.
Dah ada orang cakap 'Kau Perasa Bagus!'

Well, memang nak jadi bagus. Cuma perkataan 'perasan' tu, nanti saya fikirkan.

Cau. Nak siang ayam dan masak simpan dalam freeze untuk anakanda. 3 ekor tu. Apa den nak masak ni? Kurma? Gulai kuning? Kari? Goreng garam kunyit?

Wassalam.


Monday, January 30, 2017

Assalamualaikum wbt.

Sudah lama tak menjenguk blog. Kabare rakan blogku?

Hari ni ada panas ada hujan. Ada angin dan ada awan. Ada rintik dan ada taufan.

Hari ini ada lamunan ada harapan.  Ada tangisan ada kebencian.  Ada renungan ada penyesalan.

Hari ini sempurna dengan segala perhiasan emosi dan jiwa yang dibekalkan Tuhan.

Ketika aku di puncak keriangan. Tiba-tiba datang ribut melanda lalu semua tawa bertempiaran.

Titik.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing