Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, October 31, 2018

Kuterima kenyataan ini. Hakikat yang tak mungkin disangkal sejak azali. Aku redha. Aku mengikhlaskan hati. Aku membuka pintu jiwa seluas langit dan bumi. Semua ini sudah termaktub dalam lipatan takdir Illahi.

Wajib mensyukurinya. Alhamdulillah
Tenang dengannya.
Menjaga akhlak dan adab bersama.
Memelihara ibadah pada waktunya

Walau masa kian singkat. Tiap saat terus berlari pergi meninggalkan aku dalam sepi.
Sisa-sisa waktu yang masih ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Cuma ribuan kemaafan. Entah mengapa yang jauh di mata yang aku dambakan. Mungkin aku cemburu. Ia bukan diada-adakan.

* terima hakikat, nak menulis wajiblah membaca. Dan membaca wajiblah karya yang terbaik. Dan rasa kagum membuatkan hati gila kepada penulis yang jauh. Walhal aku selamanya orang Melayu Malaysia. Mungkin cemburu. Namun ini cemburu baik buruk separuh-separuh. Sama-sama kita meredhai.

Wednesday, September 26, 2018

Alhamdulillah.

Sepanjang hidup belum pernah aku berhadapan dengan histeria.

Oppsss .. hmm, lupa pulak. Ada sekali tengok kawan histeria kat asrama putri. Dia akhirnya dibawa ke hospital. Apa jadi kat sana, tak tau la. 

Khabar kisahnya, dia ke bilik air sorang diri masa semua dah tidur. Dah tak tahan kot. Masa tengok cermin, dia nampak benda lain senyum kat dia kat cermin tu. Kalau tak silap, dia jatuh kat situ jugak. Entah la, dah lama sangat masa berlalu.

Kat ITM, semua ok. Aku selalu berjanji dengan sorang budak Indon untuk bangun solat tengah malam sama2. Dia kat bilik dia, aku kat bilik aku. Cuma tau sama tau aku ada kawan bangun pada time yang sama.

Malam tu, aku terjaga pada masa yang dijanjikan. Tapi aku rasa seram. Tak pernah rasa macam tu. Aku tak berani nak bangun. Aku terbayang ada benda kat belakang dok perati masa sembahyang. Teruk punya imaginasi. Dalam pada tu, aku baca Ayat Kursi kuat-kuat berulang kali sampai puas hati. Akhirnya lelap balik.

Esok aku cari kawan tu. Beritahu dia pasal malam tadi. Ok, dia cakap dia pun rasa semacam tapi dia lebih tabah dari aku. Dia keraskan semangat dan bangun solat. Aku ... 

* baru balik dari pusat komuniti. Ada kes histeria.

Mereka ni penat, stress, letih dan leka. Mudahla kena kacau. 

Sunday, September 23, 2018

Sudah lima biji ia mengeluarkan telur. Aku yang rasa bahagia. Namun dia sibuk menemani Ang ke sana ke mari. Aku berhempas pulas membaiki atap diy di tempat kesukaan dia mengeluarkan telur. Rimbunan serai itu memang strategik. Pandai Ang Bety. Masya Allah, semua itu ilham yang Allah campak kepada dia. Memandu dia dalam urusannya. Aku kagum. Apatah lagi ketika ralit memerhati dia menutupi telur demgan daun-daun kering sehingga tidak kelihatan sebelum terkedek-kedek membuntuti Ang ke kolam mandi.

Ssbiji telur putih besar tiga kali ganda telur Maktam, aku letakkan dalam pasu tempat Maktam. Sebiji dalam pasu Maktom yang menderam garang tatkala aku cuba menghampiri pasunya. Dua biji ada di dalam kotak, bertanda nombor 1 - 3  pada tiga sisi berbeza bersama tarikh bermula aku memasang lampu untuk memanaskannya. Sebiji tadi telur baru dikeluarkan Ang Bety di bawah rimbun daun serai yang melampai. Bahagia rasanya!

Aku ingin dia mengeram sendiri telur itu. Tetapi khuatir dia leka bersama Ang, bila pula dia akan kembali ke telurnya?


Saturday, September 15, 2018

Saya tetap menyintai awak sampai bila-bila. Ikatan kita adalah ukhwah fillah. Saya tambah lagi satu perkara, iaitu cinta saya tanpa syarat. Macam mana teruk pun awak, saya tetap menerima. Dan saya doakan awak juga berperasaan yang sama kepada saya. Kerana saya tau saya memang teruk. Kuat merajuk, sensitif dan kuat melawan. Kuat meradang. Keras kepala. Rasa sendiri betul. Tapi saya juga kuat mencintai awak. Semoga kita bertemu semula di syurga Firdaus.

Neelofa mencatat dan terus mencatat di buku nota. Sepatutnya dia mengira jawapan untuk soalan Matematik Moden. Tetapi ayat-ayat berjela pula yang muncul tiba-tiba. Ah, tentu gara-gara dia membaca novel Kamila sampai selesai dengan sekali hadap malam tadi. Tengok! Pagi-pagi hari dah menerawang fikirannya. Hilang fokus. Minda separa sedarnya telah bekerja dengan penuh jaya.

Neelofa tersenyum kelat. Senyum untuk dirinya sendiri. Siapalah si dia tu?

#sapa nak sambung? Silakan .. haha
Untuk perubahan, perlu kekuatan.

Kuat fizikal?

Tidak semestinya. Paling penting ialah kau jadi pengarah besar kepada minda kau sendiri!

Mungkin terjadi pengorbanan.

Yang penting, kau perlu teruskan kayuhan dengan jiwa positif.

Kau mulai saja langkah kanan itu pada bila-bila masa selagi kau masih bernyawa. Tidak ada istilah lewat.

Mulakan hari ini!
Mulakan sekarang!

Kerana kau masih hidup.
Kau masih bernyawa.
Dan kau bukan mayat hidup yang mati rasa.

Thursday, September 13, 2018


Mitos betul.

Aku menghampiri 4km lagi beberapa saat. Seluruh tubuh sudah rasa berbahang. Langit biru kelabu. Mentari masih suam. Bau hangit pembakaran mencecah hidung. Ada asap nipis beredar melepasi mata, berarak perlahan dari arah belakang rumah. Mungkin mak memulai diari hari ini dengan aktiviti memerun.

Kiko setia menemani, bertenggek di atas akuarium. Bintang garang muncul dan menangkap pergerakan Kiko lalu mendongak dengan renungan tajam. Ikan puyu terkaku memandang aku.

Kini ada bau yang lain cuba menyumbat hidung. Bau yang tidak digemari. Dibenci. Mataku menjeling susuk abah yang sedang membelek Pesonanya. Sah! Di mulutnya ada benda yang aku benci. Aku menutup hidung dengan tudung sambil meneruskan kayuhan. Alhamdulillah hari berpuasa 4km sudah memadai. Azam mahu menambah 1km lagi selepas ini dan istiqamah. Hingga akhirnya mencecah 10km malar. Semoga Allah mengurniakan sihat dan bahagia kepadaku. Kerana Allah. Aameen.

“Nanti gemuk!” tiba-tiba abah bersuara. Dia sudah berdiri di hadapanku, memerhati aku. Rokok di tangan kanan dibawa ke mulut, disedut dalam-dalam. Kemudian senyum tersungging di bibir nipisnya. Abah mula beredar dan mengulangi lagi ayat yang sama.

Aku rasa tersinggung.

“Sihat takpe, bah!” Janggal membayangkan aku mengayuh setiap awal pagi dan perlahan-lahan menjadi gemuk. Lemak-lemak berkumpul di peha, pinggang dan tengkuk. Lengan dan pipi menggebu.

Hmm .. mungkin abah bermaksud otot pejal dan mantap. Tapi perkataan itu tak dijumpai abah yang bertubuh kurus dalam kamus peribadi.

Kau yang perlu kuat. Manusia sekeliling akan berbicara ikut kehendak mereka. Perlukah kau biarkan mereka mencorak dan mewarnai fikiran dan hidup kau? Tentu tidak! Jadi, tetapkan pendirian dan teruskan hidup dengan panduan yang sudah diberikan.

Kau tau panduan tu kan.
Tenang saja.
*berusaha mengelakkan penggunaan perkataan ‘jangan’, ‘bukan’ dan ‘tidak’ sambil tetap menyampaikan maksud sebenar. Payah juga rasanya hmm ..

Monday, September 10, 2018

Apabila menulis;

Tulis apa yang betul-betul anda tahu dan faham.

Bukan buat-buat pandai dan buat-buat-buat faham.

***
Aku membatalkan sinopsis cerpen itu. Aku tak boleh meneruskannya. Aku tak boleh berpira-pura tahu dan arif. Kalau tau pun, minat aku melakar mengikut sinopsis itu sudah luntur. Seperti kanvas lukisan yang tercurah air. Luntur dan warnanya berserakan.

Percubaan membuat dua pov dalam satu cerpen telah gagal. Ia percubaan kedua dan masih gagal.

Tak mengapa. Ada puluhan ribu penulis yang masih meneruskan percubaannya dan akhirnya berjaya setelah berkali-kali mencuba. Aku salah seorang daripada mereka.

Walau bagaimanapun, untuk mempercepatkan siap (sebab tulis yang baru dangan sinopsis berbeza), aku buat satu pov saja. Cukup.

Dan aku perasan satu perkara. Aku menulis tanpa sinopsis, lebih berjaya. Sinopsis bukan untuk rujukan aku. Tetapi untuk rujukan pembaca sepintas lalu. Jadi, sinopsis aku adalah sesudah selesai cerita. Bukan sebelum memulai karangan.

Intan, pilih satu titik fokus. Satu titik waktu. Satu titik emosi. Dan melangkah dengan penuh gaya yang engkau suka.
Ada berjuta-juta perempuan yang melepaskan perasaan di blog dengan gaya tersendiri, merasa lega, bebas dan berbahagia. Dan aku salah seorang daripada mereka.

#adaberjutajuta
#takperlulikedanrespon
#takkisahsiapapembaca

Saturday, September 8, 2018

Ya Allah ..

Daku redha dilahirkan untuk menulis.

Daku ikhlas menulis keranaMu.

Masyhurkanlah namaku dengan sebutan yang baik di dunia dan di akhirat.

Bimbinglah dan pandulah daku menulis kebaikan dan keindahan.

Pilihlah daku dan karyaku menjadi asbab hidayat seluruh alam.

Daku sudah bersedia.

Sudah kembali.

Aameen.

In syaa Allah.
Redha dengan setulus hati.

Ikhlas dengan sepenuh hati.

Sabar dengan seluruh hati.

Semoga berbahagia selamanya.

Koreksi diri.

Friday, August 31, 2018

Perempuan berniqob V tu join konvoi Merdeka. Siap main hon. Cehh! Bff gelak.

Sambil menyerap semangat merdeka.

Akhirnya aku semakin terasa aku orang nogori.

Thursday, August 30, 2018

Rasa cool duduk di lobi IJN. Mak sangat berdikari. Advance dan cekap. Aku tetapkan mak abah turun dulu supaya tak jauh berjalan. Aku temankan Naqib gi parking kereta. Tapi kemudian aku agak kesal sebab sepatutnya Naqib elok turun sekali. Biar aku saja yang gi parking. Jauh dan turun tangga. Kesian Naqib. Tapi aku tak tunjuk kesian. Aku menonong dan biarkan dia mengekor. Anak jantan mesti kuat. Pada aku, kalau tunjuk kesian, tak bagus untuk dirinya. Cukuplah mak yang membelai perasaan cucunya tu. Aku .. kena tegas dan doa saja banyak2.

Lepas masuk lobi setelah bertanya orang mana lif dan melalui kawasan tong sampah berderet dengan bau masam, aku call mak. Abah yang jawab kemudian pas kat mak. Mak dah ambik darah. Appoinment jam 2. Tentu mak kelentong mintak cepat, alasan cucu kena buat rawatan capd. Biasanya urusan mak me jadi mudah dan cepat. Aku agak saja mak cakap macam tu.  Mak cerdik. Tak mudah mengalah. Ada je idea dan buah fikirnya.  Tapi sampai sekarang sudah 14.39 masih belum ada call dari mak. Tadi mak janji nak call kalau dah siap. Oh ya tadi baru sampai ada terserempak mak berjalan. Abah mengekor dari belakang macam bodyguard. Mak kata nak cari doktor. Sebenarnya mak nak memudahkan.

Bayangkan, datang tadi jumpa jem. Balik ni pun pasti jem.

Tak mengapalah. Aku yang buat temujanji untuk mak, masa mak demam bulan lepas. Tak dapat awal. Semalam kereta abah mati kat jalan, masuk bengkel, mak dah nak kensel appoinment. Suka2 mak je kan. Aku kata tak boleh, tahun lepas mak dah skip appoinment. So mak pun akur. Tadi bawak crv. Pekerja suami bawak kancil, sempit sikit la. Suami aku bawak motor. Kemain lagi dia siap mintak bandana dan jaket kulit. Pagi tadi dia suruh budak sorong Jaguh ke bengkel. Dah lama terperap, motor tu mogok semula. Dia bawak skuter Naqib je. Esok konvoi merdeka. Harap enjoy. Aku nak follow dengan kancil, kut la terlebih rajin haha .. Naqib kena mengajar, dah skip dari awal minggu takleh skip lagi. Tuition pun skip tu. SPM dah makin dekat.

IJN ni memang mesra pengguna. Aku suka suasananya. Bersih dan lapang. Sesekali suka la. Belum penat sangat ni. Hangat juga tapi ok la. Syukur dapat bawak mak ke sini buat pemeriksaan. Dah le setahun sekali je.


Tuesday, August 28, 2018

Antara banyak perkara, menulis adalah paling cepat melegakan. Paling cepat keluar perasaan.

Ada yang mencuci bilik air hingga berkilat. Lagi pedih sedih, lagi kuat menyental. Akhirnya lega dan baik semula.

Ada yang tanam pokok. Alih pasu. Bercakap dengan bunga dan daun. Dah cuba?

Ada yang makan dan makan dan makan. Ini bahaya. Makan sebab stress. Bukan makan sebab lapar. No  no  no ...jangan buat. Makan tak ikhlas. Yang datang bukan sihat dan lega, tapi sebaliknya.

Solat.

Istighfar.

Zikrullah.

Baca Al Quran.

Terbaik sepanjang zaman.
Apabila hati tersentuh, ada beberapa kemungkinan.

Mungkin mulutnya memang celupar kejadian Tuhan. Dia tidak perduli hatimu. Dia tidak tahu keadaanmu. Dia hanya meluncurkan kata-kata. Dia tidak berfikir akibat dan kesannya.

Mungkin kau sendiri tiba-tiba jadi sensitif. Ada perubahan hormon berlaku dalam sistem tubuhmu. Makananmu. Pergaulanmu. Emosimu. Apa saja.

Tidak ada kebetulan.

Tidak ada yang lebih baik atau lebih buruk, melainkan semuanya ditanggapi dengan rasa redha dan sabar.

Sedih?

Menangis?

Normal untuk manusia berperasaan. Mungkin kau insan sensitif yang cepat terhiris.

Monday, August 27, 2018

Pandai potong rambut sendiri?

Ikat rambut dan zasss .. pendek! Tapi minta maaf la yer kalau terkontot sangat.

Anak bongsu merengek minta guntingkan rambut. Time kita sibuk, dia pun menyibuk. Time kita tak sibuk, tak pulak dia sibuk.

Akhirnya dia muncul dengan senyum lebar, menayang rambut kontot. Eh macam comel je pulak!  Dan tak menyibuk lagi time kita sibuk. Time nak buat lemang dan rendang .. raya kan.

Lepas ni agak-agak dia lebih yakin gunting rambut sendiri. Rambut kawan-kawan jugak la, kot. Budak-budak remaja ni fesyen apa pun comel saja.

Aku try pulak. Ikat dan gunting. Aduhh, itu yang terkontot! Ngam-ngam ikat seciput je. Takpe la Intan, saya maafkan awak. Lepas ni blend daun inai dan daun bunga raya lagi. Perap kat kepala selama mana yang mampu. Pewarna semulajadi dan akar rambut pun lebih kukuh, in syaa Allah.

#rambuthalusperangdahmulaadacahaya

Sunday, August 26, 2018

Keputusan sudah muktamad. Tepung pun sudah jual. Kilang kecil sudah tutup. Kesan tepung sudah dibersihkan. Tray pembakar sudah disimpan.

TIBA-TIBA ..

Ada panggilan bertanya stok cookies. Ada permintaan supaya tambah stok yang dipamerkan.

Ada permintaan untuk pos juga.

Dan ada permintaan untuk cookies perasa kacang hijau.

MINTA MAAF.

DAN AKU MEMAAFKAN DIRI SENDIRI. REDHA KEPADA KEPUTUSAN DIRI. YAKIN DIRI. KEPUTUSAN INI TIDAK SILAP.

In syaa Allah.

Cukuplah yang sudah-sudah.

Mulakan hidup baru. Atas laluan baru. Lebih segar rasa. Lebih lapang jiwa. Lebih terbaik.

Rezeki ada dengan cara lain, in syaa Allah.

Ketika aku berjuang melonjak diri ke permukaan lautan bergelora dalam keadaan tenggelam-timbul untuk menarik nafas sepenuh dada, mencari dan terus mencari, dan akhirnya aku mula menemui pintu-pintu kecil yang terbuka, bagaikan cahaya yang membaca aku ke gerbang indah sebenar, menuju perjalanan yang betul untuk menyampai maksud dan harapan yang tidak pernah padam. Bahawa mukjizat Allah ada! Lalu aku menghindar diri dari laluan lama yang membingungkan lagi merosakkan dalam senyap yang berbisa. Mengapa perlu menoleh kepada hari yang mengerikan? Sedangkan jalan menuju kebahagiaan sudah ditunjuki Tuhan?..

Selamat tinggal wahai kerosak-binasaan.


Monday, August 13, 2018

Tidur awal dan bangun awal adalah sunnah Rasulullah SAW.

Yang ini rasanya ramai kecundang. Kecuali mereka yang diberi faham agama oleh Allah.

Aku tau bangun awal adalah sunnah. Tak peduli sangat tidur awal. Setelah Dr Siti kata melatonin optima darijam 10-12, dan disarankan tidur seawal jam 10 malam untuk tubuh membaiki diri sendiri.

Solat juga meningkatkan rembesan hormon dengan optima.

Bagaimana dengan amalan yang lain?

Jap, sekarang ni nak buat amal sebab nak kesan baiknya? Ataukah yang lebih baik untuk mendapatkan redha Allah. Ikut sunnah dapat pahala.

Pahala tu apa?

Untuk lebih selamat, baiki niat sokmo. Buat kerana Allah. Harap redha Allah. Menyukakan Allah. Menggembirakan Rasulullah SAW.

Kesan -kesan baik itu biarlah sampingan sahaja. Hormon optima, kesihatan optima, awet muda, memori tip-top, sihat cergas dari hujung rambut ke hujung jari kaki adalah sesudah itu. Bukan tujuan utama; jangan sampai salah niat.

Kejarlah akhirat yang kekal abadi. Dunia akan datang mengejarmu.

#dunia selalu menipu
#dunia hanya sementar
# duni dua minit cuma
#akhirat tiada penghujung
#akhirat kehidupan sebenar
#syurga atau neraka
Ain menjalani peperiksaan. Mohon doa, katanya. Paper yang dah lepas alhamdulillah, jawab Ain apabila aku bertanya persediaannya.

Kawan-kawannya menangis, ceritanya lagi. Menjawab kehairananku, dia memberitahu kawan-kawan baca novel mama. Bahasa tinggi. Cerpen pun kisah sedih. Lepas ni mama tolonglah tulis cerita happy-happy pulak.

Hmm .. aku baru saja siapkan cerpen sedih. Tapi cerpen itu sudah aku batalkan.

Mama tak dapat tulis dari hati, kataku.

Ohh kalau macam tu mama kenalah tulis dari hati, kata Ain pulak.

Haha ..

Menulis dari hati ni mudah tapi susah.

Kenapa?

Mudah apabila kau memiliki tenaga dalaman yang kau tukarkan kepada ayat-ayat. Tenaga yang telah berpindah ke dalam penceritaan @ cerita akan mengalir kepada pembaca pula. Tenaga itu menjadi emosi semula sebagaimana kau rasa dalam diri semasa menggarap cerita.

Susah apabila tenaga itu complicated atau hambar. Terlalu rumit menyebabkan emosi caca-marba. Tulisan pun bercelaru.  Apabila ia hambar, cerita pun hambar juga la.  Macamana nak buat?

Tutup alam maya.

Buka semua pancaindera seoptima mungkin.

Dan sila melangkah di atas jalan kebenaran sambil beristighfar.  Dosa-dosa juga membuatkan kehidupan dan fikiran menjadi berat.

Sunday, August 12, 2018

Kesilapan besar apabila aku mengarang cerita dengan mengenepikan sinopsis secara total. Tak membaca semula sinopsis dan tak merujuk langsung!

Kenapa?

Sebab rasa macam susah sinopsis tu.

Sinopsis aku buat sendiri! Lepas tu sendiri rasa susah, ohh!

Bila dah siap cerita 14 muka surat, dua pov; hasilnya entah apa. Apa yang nak dipegang dalam cerita. Tak ada fokus. Tak ada point. Banyak sangat.

Meraban.

Aku jeling komen pembimbing. Tak sanggup membacanya dengan teliti. Sebab cerpen aku memang hancur! Aku sedar sebaik ia siap. Sedar sebaik dihantar untuk dibantubaik.

Cerpen itu teruk!

Akhirnya aku baca semula sinopsis yang susah itu. Ajaibnya, aku terasa sinopsis itu lebih dekat di hati.


Thursday, August 9, 2018

Oh Tuhan!

Wahai dunia! Alangkah kasihan
Kau sudah difitrahkan sejak lama
Untuk penuh tipu daya

Kau berlari
Ketika aku mengejar

Kau berputar
Ketika aku meninggalkanmu

Oh Tuhan!
Tolong selamatkanku dari dunia ini

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing