Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, August 8, 2018

Rindu menganggu. Kau simpan saja perasaan rindu. Kerana apabila bertemu, sudah hilang nikmat rindu. Mungkin yang mengganti adalah benci. Jadi biarlah pahit dan sakit kerana rindu, daripada kerana benci. Kerana dunia ini selalu menipu. 

Ok lain kali sambung.

Tengok editor tulis pasal perasaan, terdorong pulak nak menyelit sama di sini. Okay, ada orang rindu ke? Mungkin ke akan tulis pasal rindu dan cinta pulak? Sila muntah hijau. Not my taste.

Jangan suka menganyam nyiru,
     Nyiru dibawa dari Buncit;
Jangan suka menanggung rindu,
     Rindu bawa jadi penyakit.




Kamus Bahasa Melayu



Definisi : 1 (berasa) sangat ingin hendak pulang atau hendak bertemu dgn seseorang: Terlalu ~ baginda akan anakandanya. 2 = ~ dendam perasaan sangat cinta atau kasih kpd: ~nya terhadap gadis itu sudah lama terpendam dlm hatinya. merindu menjadi rindu; menanggung rindu. merindui berasa rindu akan: Dia ~ anak-anaknya di kampung. merindukan membangkitkan atau menimbulkan rasa rindu: Nyanyian yg merawankan dan ~ hati. kerinduan keinginan hendak berjumpa dgn orang yg dikasihi dll; rasa rindu. perindu 1 orang yg menanggung rindu. 2 sesuatu yg membangkitkan rasa rindu: buluh ~. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
rindu (kata kerja)
Bersinonim dengan kepingin, ingin sekali, kangen, teringin berjumpa;,
Kata Terbitan : merindui,
Alhamdulillah, selesai cerprn Kembalilah Seri (tajuk awal). Macam tak best je tajuk ni, tapi belum terfikir tajuk lain.

Malam tadi send 4 muka surat je. Lembap guna tab ni. Sabar saja la. Pagi ni sambung lagi hantar sampai habis, satu persatu, hingga muka surat 14.

Dan tutup dengan ucapan salam, terima kasih, mohon bimbingan agar dapat memurnikan cerpen ni, tidak lewah dan tidak meleret. Biar padu dan bulat.

Rasanya semua yang penting  ak dimasukkan. Agaknya itu yang jadi lewah dan meleret.

Sepatutnya 7 @ 8 muka, dah jadi 14 muka.

Aku buat percubaan pertama 2 point of view. Sifu kata ok, cuba je. Redah je. Hantam la labu.

Itu yang jadi panjang berjela. Walau apa pun, tunggu sifu tengok dulu. At least aku masih golongan awalin hantar cerpen. Dah le kena jadi penyelenggara. Sahabat penyelenggara (yang pujuk aku join antologi ini dan jadi penyelenggara pulak) lagi sorang sibuk berkursus. Semoga Allah memudahkan urusannya dan sahabat2 di mana saja berada.

Ok, cerpen pasal hormon. Masih ada Tarim sebab memang nak masukkan pasal tu. Cuma kena ada point kukuh. Dan plot nak jadikan pengarah kkm berpaling tadah menjemput Dr Anis balik pun tak ada, tah kat mana nak selit. Akhirnya siap begitu saja.

Walau apa pun, aku puas hati. Itu yang penting ye dak ..


Sunday, August 5, 2018

Doktor kata.. Xanax ini adalah antidepressant. Kalau makan akan buat you rasa lebih tenang.

Ustaz kata..Mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Solat, berdoa dan berzikir.

Psychologist  kata.. you kena fikirkan event2 yang indah dalam hidup you..dan you akan lebih tenang.

Therapist kata.. buat deep breathing..tarik nafas pelahan..tahan dan hembus pelahan2. You akan lebih tenang.

Physiotherapist kata..bersenam membantu mengurang stress dengan bersenam you akan lebih sihat dan tenang.

Nutritionist kata.. Dalam makanan terdapat beberapa vitamin, mineral dan phytocompound yang dapat membantu kita menjadi lebih tenang.

Herbalist kata..Dalam beberapa herba terdapat sedative compound yang bertindak sebagai antistress yang dipanggil sebagai adaptogens.
Herba2 ini memberikan kesan ketenangan.

Kawan2 pulak kata..Rilek la bro. Chill la. Jangan fikir sangat masalah lu tu.

Macam2 kaedah ada. Banyak methods yang boleh buat kita  lebih tenang dan dapat meredakan kebimbangan.

Yang masa satu korang follow? Apakah resultnya??Korang dah tenang ke belum???
Kalau dah..kongsikan lah. Kalau belum..agak2nya kenapa????

#akuejohng

#Komen mrsgolem golem
Bgi saya smua diatas smua  peransang je. Kita tanya psy. Dia akan ckp itu ini dan kita akan tenang skejap..lepastu kita bila pa serang kitq  jd  gelabah balikk(ini klau aku lahh) tia ada satu pun yg betul2 dpt tolong aku.  Diri aku sdiri yg boleh ubat aku dgan izin ALLAH.    Tp tidak bermakna juga aku menolak smua yang di atas  aku ambik mana yg sesuai slebih nya ni aku sdiri yg  kna kwl  bukan mereka tp aku ( lain padang lain belalang lain orang lain pandangan)

#komen aku
Setuju. Itu semua support dari luar. Yg penting dalaman diri. Nak bangkit atau terus bergantung. Tapi sampai bila nak bergantung kpd support? Semua itu akan beransur lemah dan mudarat juga. Bergantung 100% kepada Allah yang terbaik. Solat tahajjud, selawat, istighfar, zikrullah asma ul husna, mengaji, majlis ilmu, jaga makan, sunnah, kembali kpd cara hidup yg sebenar ; islam sbg deen.

Saya hadir di grup ini bukan kerana ADPA ttp saya mencari solusi utk anak yg CKD. (Terima kasih sekali lagi kepada admin yang menerima saya.) Saya mahu dia sembuh sepenuhnya wpun doktor2 kata tak mungkin sembuh. Tetapi saya amat yakin tiada yang mustahil di sisi Allah. Tak mustahil anak saya (dan kita semua di sini) akan dikurniakan kesembuhan total. Di sini saya memahami dengan lebih baik pentingnya menjaga perut. Selepas itu saya menemui yg lebih penting; solusi nombor wahid adalah Allah itu sendiri. Dekat sedekat2nya dgn Allah (wpun fitrahnya Allah memang amat dekat dgn kita melebihi urat leher kita sendiri) ttp secara sedar dan cinta, adalah jauh lebih amat bermakna. Dan buat sunnah2 Rasulullah SAW dengan sedar dan cinta sebab ia semua fitrah dan terbaik utk diikut. Penuh percaya dan yakin dan tinggi harapan. Bersama masa, in syaa Allah pasti ada perubahan dan akhirnya kesembuhan. Sabar menanti dan terus berharap. Kita tak mahu mati sebelum mati. Dan kita tak mahu mati kosong di atas katil sahaja. Biar mati kita mati bermakna. Husnul khotimah. Mati dalam perjuangan yg diredhai Allah. Aameen in syaa Allah.
Penyediaan makanan khususnya di pusat-pusat pengajian termasuk madrasah perlu ilmu memasak yang betul dan sihat.

Tak boleh sama dengan masakan komersial untuk jualan yang dimasukkan bahan perisa dan perasa secukupnya.

Pelajar-pelajar perlukan otak dan tubuh yang cergas. Merrka perlu makanan yang menyihatkan, bukan mengenyangkan semata-mata.

#kasihanpelajarterpaksahadapmakananberperisadaridapurmadrasah

Saturday, August 4, 2018

Bukan semua orang sama. Gen dan DNA pun berbeza. So setiap masalah walau macam sama tapi kebanyakan method  dan kaedah penyelesaiannya agak berbeza.

Trying error process tetap akan berlaku dalam apa pun research. Sebab tu doktor buat screening, scanning, diagnose, cross examine dan perlu ada cross references.

Sebab tu ubat ada dos. Contohnya paracetamol. Yang biasa cuma 300mg, Actifast 500mg, Extand 650mg dan Extra add caffine. Lain dose lain purpose.

Ada yang pm tepi bertanya dan mintak tips. Setakat bagi general guides boleh lah.

Yang mengalami ADPA pun kena lalui proses screening kalau nak mintak tips. Kalau setakat general guide selalunya tak membantu.

Kita hanya boleh bantu dengan mengetahui  history mereka. Antaranya adalah mengetahui usia, personaliti, diet, aktiviti, hobby dan interest, life style, cita cita, harapan dan keinginan, mengukur level pengetahuan, kefahaman, komitmen dan macam2 lagi.

Darinya kita dapat measure strength and weakness pada 3 element penting iaitu fizikal, mental dan emosi seseorang individu.

Sentiasa ambil kefahaman bahawa serupa itu tidak sama. Contohnya pasangan kembar. Nampak serupa tapi nama dan perangainya tidak sama.

Itulah method yang dilakukan oleh psychiatrist, psychologist, therapist, motivator dan counselor.

Perlu ada data. Barulah kita ada guideline. Kalau setakat pm tepi memang tak membantu.

Kena lah  buat small gathering selalu.

#akuejohng

#copynpaste dari FB Mohamad Faidzal Ejohng

Aku seronok join grup ni. Rasa makin meluas Allah nak bagi faham dan tunjuk tentang sesuatu. Aku masih terus berazam untuk kesembuhan anakku yang ckd, dan untuk kebaikan seluruh keluargaku dunia dan akhirat. Aameen Ya Allah 😘

Friday, August 3, 2018

Pening dan agak panik. Masih menangguhkan hantar cerpen kepada sifu untuk dimurnikan. Sudah memberi dua tiga alasan baik untuk penangguhan. Namun masih bertukar plot. Sinopsis dah bagus. Tapi masih belum kukuh. Akhirnya aku rasa panik.

Malam ni nak release sikit, aku share iklan Boboi di akaun fb lama yang selalu merapu. Bagi gelak sikit.

Robbi yassir wala tuassir.
Aameen.

Saturday, July 28, 2018

Pagi ni aku diterpa fikiran baru. Selepas bukak tingkap serambi, aku melabuhkan punggung di sofa hijau, merenung buku-buku di rak. Celik mata tadi, aku teringatkan cookies almond chocolate chips yang digemari anak-anak dan ada peminat tersendiri tu. Agh! Isunya adalah GULA.

GULA! GULA! GULA!

Aku guna gula perang menggantikan gula putih dan gula ising. Orang-orang masakan selalu istilahkan perbuatan macam ni sebagai 'menderhaka' kepada sifu dan resepi asal. Ouh! Kiranya dua dosa la aku dah buat. Tukar gula kepada gula perang, dan tukar tepung pau kepada tepung unbleach Faiza.

Aku nak menjadikan resepi cookies ni lebih sihat daripada asalnya. Namun, gula tetap gula. Tepung tetap tepung. Butter asli tetap butter asli, ha ha ni takde isu, saja tulis.

Kalau nak off gula dan tepung, aku kena jatuhkan talak kepada cookies. Terkenang semua anak-anak. Kawan-kawan anak. Semua yang meminati. Haihh!

Bahan manis ni racun. Kalau difikir-fikirkan dengan teliti, memang ajaib. Manis itu sedap, manis itu juga racun. Ia mengharu-birukan sistem sel dalam tubuh; keseimbangan hormon jadi senget. Itu satu hal. Aku percaya. Reverse balik perjalanan hidup aku dari kecik, aku faham sesuatu. Aku reverse perjalanan hidup keluarga aku dari baru kawin hingga sekarang, aku mempelajari sesuatu. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.

Teringat hadis Nabi yang menganjurkan capai makanan paling hampir ketika menghadapi hidangan. Aplikasikan anjuran ni kepada kehidupan. Buat kuih dengan bahan paling hampir sekeliling anda. Kelapa parut, gula anau, adalah bahan asas paling asli dan paling hampir. Contoh.

Maka aku  goggle kuih tradisional Melayu pagi ni. Lamanya aku tidak menghidangkan kuih tradisi di meja. Dulu ada juga buat kuih kasui. Karipap; aku surrender sebab tangan selalu krem masa menguli tepung. Pernah juga buat mentalam; sangat favourite. Selalu mak rajin buat. Sejak mula buat resepi terjah yang mudah, dan lepas tu pulun cookies, semua kuih tradisi ni out dari senarai.

Keputusan nak talak cookies ni belum diwar-warkan kepada sesiapa. Yang paling pertama perlu tahu ialah Naqib, sebab aku plan nak ke Bangi beli stok butter. Oh ya nak sebut pasal gula perang ~ ada juga terbaca isu gula perang sebenarnya adalah gula putih yang diberikan warna. Ok siasat sama-sama jangan percaya je. Ada pengamal kesihatan kata gula perang tu memang sesungguhnya begitu dan dia dapat info terus dari kilang yang diyakini benar. Lepas tu ada maklumat mengatakan gula perang hanyalah diwarnakan. Untuk selamat, kita quit dulu dari gula dan teruskan pencarian. Kita ada alternatif lain, kan.

Terliur tengok gambar talam berlauk. Mungkin ia hidangan pertama sebagai pembuka tirai siri kuih tradisi Melayu olehku, in syaa Allah.

Thursday, July 26, 2018

Berada di Aeon Big bukit tinggi semata-mata nak cari pen Faber Castle 5 warna 0.5 & Dewan Sastera keluaran Ogos untuk membaca kritikan cerpen aku bulan lepas. Dua-dua benda ni tak de.

Meronda seorang diri, sementara Naqib masuk iron di unit capd Hospital Klang.

Masuk Daiso.
Masuk Popular.
Masuk Jaya Jusco.

Aku sangat menahan diri daripada membeli apa-apa. Pada usia begini aku berpendapat bukan lagi masa yang sesuai untuk membeli macam-macam. Ada seribunsatu barang yang memudahkan kerja di Daiso. Ya dulu masa muda dan anak kecik-kecik, aku akan beli apa yang hati perkenan dan yang akan menjimatkan banyak masa. Tapi tidak lagi sekarang.  Untuk cara hidup sihat, hidup dengan cara sihat. Bukan nak mudah je. Kerja rumah boleh menjadi senaman terbaik untuk wanita. Sebab tu aku jeling je vacuum robotic tadi. Sebelum ni memang ada hajat nak beli. Ha ha ..

Akhirnya beli tiga jenis berus di Daiso. Beli juga. Ini keperluan. Satu berus boleh berdiri untuk bilik air. Kecik je dan akan lama masa nak menyelesaikan semua lantai bilik air. Tak mengapalah. Mudah-mudahan menjana lebih pahala dan turut mencuci karat dosa di hatiku.

Satu lagi berus boleh attach dengan botol mineral. Yang ni aku belikan mak, sebab mak sangat pembersih. Cerewetnya yang selalu aku bantah huhu .. sebab tak tahan. Harap mak suka sebab tak jumpa berus ni kat Giant @ Minang. Ye ke? Tengok la apa respon mak nanti.

Berus terakhir warna pink dan ada tangkai panjang. Sangat sesuai untuk aku memberus bekas minuman dan makanan ayam-ayam. Setiap hari atau sekurang-kurangnya 3 hari aku terpaksa mencuci bekas air dan mengganti air bersih. Satu bekas disangkut dengan tali. Satu bekas dalam kandang ayam hutan, selalu kotor sebab masuk debu. Satu lagi dalam kandang anak ayam, pun selalu kotor berdebu. Dah namanya ayam, mengais je menerbangkan debu ke dalam bekas air. Yang dua ni tak dapat disangkut.

Berjalan di dalam JJ sangat menghimbau kenangan di Brunei. Masya Allah Allah Maha Hebat mengatur hidup aku sekeluarga. Tak mustahil andai terus berada di negara mewah tu, aku akan hanyut bersama ombak kehidupan entah ke mana. Ada hikmah kami kembali ke Malaysia, besar sangat. Walau hingga kini aku tetap rindu untuk ke sana. Rindu entah mengapa.

So, selamat tinggal kenangan. Kini ada tempat lain di bumi ini yang menjadi fokus untuk dituju. Semoga Allah memudahkan dan meredhai azam dan hasrat ini, in syaa Allah, aameen.

Sunday, July 22, 2018

Patutlah akhlak baik dan mulia itu mendatangkan bahagia. Tutur kata yang berhemah dan lemah-lembut sedap kepada telinga dan nyaman di jiwa. Wajah yang manis dan senyuman yang ikhlas enak dipandang mata.

Patutlah akhlak baik dan mulia itu menjadi salah satu anjuran dan didikan dalam aturcara hidup ~ Islam yang syumul.

Patutlah ahli syurga itu sangat indah akhlaknya. Di dunia lagi sudah membayangkan tempatnya dan kesudahannya.

Dan Allah menyuruh sabar sabar sabar.

Alah mengatakan Dia bersama-sama orang yang sabar.

Syurga itu tempat orang-orang yang sabar.

Sabar dan cerdik.


Saturday, July 21, 2018

Rezeki itu ada. Kasih sayang itu ada. Sihat itu ada. Bahagia itu ada. Semua yang kau impikan ada. Ada! Semua itu terkandung dalam rahmat Allah. Usah cari yang membuat kau derita. Tetapi carilah yang membuatkan kau berbahagia.

Cari! Jangan merungut. Jangan menangis. Jangan berputus asa.

Cari! Cari! Cari! Ia pasti ada di mana-mana.

BANGUN TAHAJJUD.

TITIPKAN DOA DARI SELURUH HATI DAN JIWAMU KEPADA ALLAH.

MINTA! MINTA! MINTA!

MINTALAH PIMPINAN DAN BIMBINGAN ALLAH DALAM SEGALA HAL URUSAN KEHIDUPAN INI. Agar kau tidak menguruskan hidup sendiri-sendiri.

Allah Maha Ada dan Dia lebih dekat kepadamu dari urat lehermu sendiri.

Carilah Dia!

~ Salam Dinihari ♡

Thursday, July 19, 2018

Masih bertukang cerpen terbaru. Banyak yang lari dari sinopsis asal. Dah capai 5 muka surat tetapi kemudian yang mengarut-ngarut dibuang. Menulis memggunakan tab sahaja apabila note book rosak skrinnya. Nak beli keyboard yang boleh bluetooth tapi kedai dituju kehabisan stok (atau memang tak restok sebab benda yang sama ada satu saja di situ semenjak pergi semasa bulan puasa lepas). Daripada repair skrin note book yqng bakal mengenakan charge RM199 + RM80 (ini sekurang2nya) lebih afdol guna tab. Bukan ke minta dibelikan tab Samsung ni dulu sebab nak kemudahan menulis bila-bila masa dan di mana sahaja?

Azam amalan Selawat Tafrijiyah setiap hari, setiap lepas solat, setiap dinihari, setiap dhuha, setiap saat; in syaa Allah. Tawajjuh hati kepada Allah.

Itulah hikmah apabila Allah beri rasa susah di hati manusia. Bila rasa susah, memgadu padaNya. Bukan canang kat alam maya. Itu yang aku rasa nak buat bila datang rasa menganggu. Nak lepaskan perasaan. Buat ayat sentap. Tah mana hujung pangkal. Nanti ada je yang beri komen. Tak komen pun, ada je yang baca. Tersurat dan meneka yang tersirat. Heh, nanti senyum sorang-sorang. Rasa puas. Rasa lega. Rasa wow!

Wow la sangat.

Jom solat Subuh. Dan sama-sama amalkan Selawat Tafrijiyah ❤🤗❤.

Saturday, July 14, 2018

Alhamdulillah. Anak bongsu sudah kembali ke madrasah. Ngam 2 bulan dia bercuti. Lewat seminggu sebenarnya. Sepatutnya madrasah sudah berpindah tetap ke penginapan lain tetapi ada penangguhan.

Anak bongsu sudah menyiapkan beg seminggu lepas. Sudah tidak sabar mahu kembali belajar. Sudah bosan di rumah. Mahu berkumpul semula dengan kawan-kawan.

Selamat belajar, anak bongsu! I Love You. Mmuuaahhh.

Sunday, July 8, 2018

Apakah projek Khianat telah bersikap khianat kepada para penulisnya? Entahlah, tunggu saja respon admin di fb & emel yang baru aku kirimkan. Sepatutnya tidak. Sepatutnya ada respon. Sepatutnya ada tindakan diambil walaupun dalam senyap. Benarkah?

Aku berharap inilah antologi terakhirku. Pujukan seorang sahabat, sekaligus meletakkan aku dalam barisan penyelenggara, walaupun hanya kami berdua saja menyelenggara.

Aku akan terpaksa memasarkan buku lagi dengan gaya niaga.

Beberapa buku itu aku hadiahkan kepada beberapa tetamu yang aku anggap istimewa dan perlu menerima hadiah buku dariku.

Monday, July 2, 2018

Aduhh pening la!, katanya

Seorang kenalan perempuan yang terlebih peramah dan lincah berulang kali menyebut begitu. Aku akhirnya terpaksa ketawa kerana daripada tekun memasang telinga, terasa lucu pula. Orang punya masalah, dia yang pening kepala. 10 kisah bermasalah, maka 10 kali dia merasa pening. Walaupun mungkin itu hanya penyedap ayat untuk dia menambah kesan pada ceritanya.

Kesimpulan yang boleh aku rumuskan ialah; dunia hari ini benar-benar sedang tenat.

Kasih-sayang terpinggir dalam keluarga. Budaya kerja memberi tekanan. Masyarakat moden yang jauh berbeza dari masyarakat tradisisonal. Amalan ugama pun caca marba. Untuk penyelesaian, mencari perawat walaupun hanya ala-ala ustaz kira dah boleh. Perawat pula pandai meyakinkan. Segala masalah mahu dicurahkan dan mahu diselesaikan sekelip mata dengan bantuan si perawat.

Aku pulak rasa pening menulis ini semua, aduhh ..

*cari panduan hidup dalam agama ad-Din. Sudah cukup dan sangat sempurna. Percaya dan yakinlah. In syaa Allah*

Friday, June 29, 2018

Pulang

Kau tau, semalam anak puteri buah hatiku akan pulang ke tempat pengajiannya. Dar Al Zahra, Tareem dan bayangannya sudah melambai-lambai jiwanya. Hatinya walaupun rusuh hendak berpisah, separuh sudah di sana.  Aku redha. Dan aku sentiasa mendoakan dia. Semoga puteriku dan sahabat-sahabatnya yang sama-sama bermusafir sentiasa di dalam pemeliharaan Allah dan me jadi asbab  kebahagiaan dunia dan akhirat, aameen.

Ketika sedang menanti waktu untuk memulakan perjalanan ke KLIA, aku tergerak hati menyantuni rakan editor yang terus-terusan mengongsi status jiwa dan perasaan. Pagi semalam muncul status tentang rindu yang dalam.

Aku bertanya dengan nada kebudak-budakan. 'Puan, semua status puan ni berkaitan dengan novel puan ke?'

Benarlah, puan editor ini sedang menukangi karyanya. Tidak berapa lama sesudah itu, aku menerima kiriman foto darinya. Foto sedikit ruang cerpen dengan nama penulis serta tajuk yang jelas; Pulang, dan sebahagian gambar muka hadapan majalah Dewan Sastera dengan wajah Allahyarham Usman Awang.
'Syabas! Tulis dan hantar lagi, ya!'

Caption ringkas yang sangat memeranjatkan aku.

Tidak pernah menduga akan menerima berita baik sebegini di hari perpisahan sementara dengan anakanda puteriku.

Air mata menitis jua, namun ada azam yang membara dalam dada. Ada senyum dalam hiba.

Anakku, kau pulang ke sana. Mama juga akan pulang; pulang ke laluan lama yang selalu mama tinggalkan. In syaa Allah, mama akan menulis lagi dan lagi. Doakan mama. Kita akan saling mendoakan dari kejauhan. Dan kamu tetap rapat di hati.

Mama sayang kamu. Jumpa lagi. In syaa Allah, aameen.

*cerpen Pulang - Dewan Sastera Julai 2018

Sunday, June 24, 2018

Gadis Ajaib

Ini bukan kisah personal. Tetapi kisah gadis-gadis pilihan Allah yang dijemput ke Tareem. Antaranya;

Anak tunggal dalam keluarga.
Anak perempuan tunggal dalam keluarga.
Anak kesayangan dalam keluarga.
Anak dalam keluarga yang kurang prihatin.
Ibu dan ayah tidak bersepakat (salah seorang tidak menyokong pembelajaran)
Gadis gedik yang tertipu
Gadis kaya datang untuk melancong
Gadis disuruh ibu belajar walaupun diri sendiri enggan

Ada seribu satu kisah pelajar-pelajar yang menjadi pilihan Allah ini. Semuanya boleh membuatkan bulu roma menggerinding dan mata basah keharuan, sama ada kesedihan atau kekaguman. Aku ingin merakamkannya tetapi aku risau pada keadaan dunia yang sangat irihati.

Namun, semua kuasa Allah. Kisah indah Nabi SAW terus tertulis hingga akhir zaman.

Semoga Allah membantu dan mengizinkanku menulis dengan tinta emas satu hari nanti. Aameen.

#belajarbaiksangka

Keluarga Ajaib

Aku anggap kisah mereka antara kisah-kisah ajaib yang pernah aku tahu.

Doktor N yang mengamalkan poligami, dan kesemua isteri beliau (Allahyarham) adalah doktor-doktor juga. Ini pun sudah menarik, kan.

Semalam tiga anak dari keluarga ini telah sudi menerima jemputan kenduri kecil kami. Dua gadis memakai khimar rapi, dan seorang abang, serta anak saudara perempuan mereka berusia 10 tahun.

Mereka memiliki 36 adik-beradik. Kesemuanya homeschool, menerima didikan tersusun daripada ibu-ibu mengikut skil masing-masing. Doktor N akan memberi takzirah kepada seluruh ahli keluarga. Mereka semua tinggal sebumbung. Anak-anak akan datang ke bilik ibu mengikut jadual pelajaran yang sudah ditetapkan.

Kesemua anak-anak dalam aliran agama. Beberapa orang di Yaman dan selainnya di tempat-tempat lain.

Kisah ini ringkas saja. Aku kenal adik perempuan bongsu mereka (2nd last bongsu dalam keluarga) yang sama dawrah dengan puteriku. Bayangkan bagaimana personaliti adik perempuan bongsu dari 36 adik-beradik. Umurnya masih awal remaja.

Kisah yang ringkas. Namun aku selalu memikirkan keajaiban Allah ini.

ما سأ الله.

Monday, June 18, 2018

Pertemuan Tidak Diduga

Rezeki nak bersua. Allah mengatur semus.

الحمدلله

Pagi semalam. Dah nak keluar ke pasar, dah siap bergincu merah hati dan berbedak. Cuma tak sempat mandi sebab tergesa-gesa nak menemani si suami.

"Nak ke mana Datin Sri?" Tanya kakak ipar yang manis mulut.

Biasanya memang ada giliran kami suami-isteri masuk dapur. Kami conquer dapur dengan menyediakan menu pilihan sendiri. Namun setelah menunggu seketika, suami kata tak jadi keluar ke pasar, sebab kakak ipar dah mendahului bergegas lebih awal.

Adik-adik ipar dah mula bersilat untuk menggoreng bihun buat hidangan kumpulan marhaban perempuan sebentar lagi.

Aku balik mandi. Dalam leka menyiap diri, suami muncul mengajak ke Pasar Segamat pula.

"Jom cari ikan. Ngah cuma dapat beli sawi pahit saja tadi", katanya.

Lhoo .. maknanya ada dua. Bahan habis dan tiada stok, atau kedai tak bukak lagi. Aku bersiap semula, pakai lipstik merah hati MK dan berbedak bedak compact Arab. Rasa berseri, perasan sendiri. Pakai niqob bersama baju blouse baggy beli kat Batam, dipadankan dengan shawla pink belacan yang agak menyerlah. Biasanya warna-warna menyerlah ni aku pakai hanya apabila berjalan dengan suami dan mak. Selain bersama mereka, aku akan berpakaian hitam keseluruhannya.

Ada sebabnya ..

Dalam perjalanan ke Segamat, perut rasa berkeroncong pulak. Jarang sangat aku minta singgah kedai untuk bersarapan. Namun kali ini, aku mahu makan telur setengah masak. Malam tadi baru membaca status Dr Rizal berkenaan manfaat telur rebus. Di pertengahan jalan, nampak macam ada kedai makan yang agak sesak. Pasti tiada telur setengah masak, bukan kedai mamak. Tak jadi turun, terus ke Segamat. Jeling sana jeling sini, akhirnya nampak satu kedai yang nampak sayu tidak menggamit sangat di hujung deretan kedai yang semuanya tutup, sebelum rel keretapi, berdepan dengan hospital lama.

Turun juga la .. nanti order saja apa yang ada.

Begitulah, apabila Allah mengizinkan sebuah pertemuan yang tidak dijangka. Tiba-tiba muncul susuk Cikgu Kasran bersama seorang anak perempuannya, mengambil meja di sebelah kami. Aku tiba-tiba teruja benar. Cuma aku kurang pasti anak perempuannya itu yang bernama mana satu. Amat keliru.

Aku segera menegur dan memperkenalkan diri kepada Cikgu. Kelihatan Cikgu seperti terkejut juga.

"Cikgu, A.R kat mana sekarang?", aku bertanya.

Anak perempuan Cikgu tiba-tiba tertawa.  Sungguh, aku benar-benar keliru. Sudah lebih 20 tahun tidak bertemu. Hanya menatap cerita dan foto di laman sosial, tidak membantu sangat pengecaman mata.

Dia memperkenalkan diri. Dan aku terus memeluknya erat. Satu ketika dulu di zaman remaja, kami pernah menjadi akrab. Pasti ada hikmah di sebalik pertemuan ini. الحمدلله

Aku merasakan perjalanan ke Pasar Segamat hari ini, adalah semata-mata untuk Allah mempertemukan aku dan Cikgu. Di pasar, beli ala kadar. Banyak bahan mentah yang diinginkan masih tiada. Jadilah tu, balik nanti menu kami berdua ialah kerapu asam pedas, gulai lemak labu, sambal mempelam dan ikan masin. Menu paling ringkas di hari raya ketiga.



Sunday, June 10, 2018

Ujian Kehidupan

Dengan lafaz بسم الله الرحمن الرحم

Hidup ini penuh dengan ujian. Kerana dunia ini memangnya tempat Allah menguji kita. Mengapa? Ya, bukankah kita mengaku beriman. Maka Allah mahu buktinya pengakuan itu. Supaya tidak mudah-mudah mengaku saja. Harus bersama buktinya yang cocok. Barulah diterima, ya engkau memang beriman. Maka terimalah ganjaran yang sudah dijanjikan. Masuklah ke Syurga yang memang dipersiapkan untuk kehadiranmu.

Nah, begitu kan. Kalian faham ngak?

Ya udah. Aku ngomong-ngomong begini kerana pagi ini setelah ketiduran di dalam gamis merah, menanti waktu dhuha, suamiku memanggil-manggil. Dengan pisat-pisat, aku menatap dua ekor anak ayam mutiara di dalam kotak. ما شأ اببه kok comel banget. Matanya terkelip-kelip memandang dan lama-kelamaan terlelap. Kasihan ya. Dia sewajarnya masih di bawah eraman ibu.

Oh ya Allah, dia ini makhlukMu. Bantulah aku menjaganya hingga dewasa dan jadikanlah ia bermanfaat buatku.

Tiba-tiba datang ilham menutupnya dengan kain agar panas dan gelap seolah-olah di bawah eraman ibu. Saat aku menulis ini, kedengaran suara aneh dari dalam kotak. Seperti suara cengkerik halus. Kecil-kecil udah ribut, sama seperti ibu bapanya yang riuh sekampung.

Tak mengapa nak. Biarkan ibumu menjaga 12 biji telur lagi di pangkal pohon kundang ya g tumbang itu. Nanti setelah dia selesai, akan kutemukan kamu semula dengannya. Lagipun kamu akan lebih selamat buat masa ini dari pemangsa seperti biawak atau babi. Bahkan Ang Ang yang jahat itu pun boleh membuatkan kamu mati. Anak si Hitam kini hanya tinggal seekor, yang satu lagi hilang tak dapat dikesan. Kasihan kan. Sabar ya nak. Allah lebih tahu yang terbaik buatmu.

Kadang-kadang kegembiraan itu juga adalah ujian. Bukan hanya kesedihan. Nah, seperti sekarang. Hadirmu membuat aku keseronokan. Namun aku teruji sekali gus. Agar rasa seronok ini tidak memudaratkan.

Selamst datang ke dunia kehijauan, nak.

Saturday, June 9, 2018

Seronok bahagia

Penat buat cookies. Bahu kanan dah terasa sengal lain macam. Duduk sepanjang menyelesaikan adunan. Purata satu adunan siap dalam satu jam. Maksima mampu buat sehari ialah 4 adunan, bermakna lebih kurang 4 jam duduk sebelah oven dan menggentel cookies.

Penat, namun belum bosan. تلحمدلله.

Dan rasa seronok terima hasil titik peluh sendiri. Seperti beberapa ketika lampau. Tatkala aku menerima upah bekerja dengan majikan. Dan jiga menerima bayaran penjagaan kanak-kanak di pusat penjagaan milik sendiri.

Lebih seronok bahkan rasa bahagia, apabila kali ini setelah beberapa lama yang sepi, aku memgenepikan sejumlah wang dari dompet untuk duit raya anak-anak. Aku segera menyiapkan dan menyerahkannya tadi. Mana-mana yang masih istirehat, aku selitkan di atas meja sisi. Hanya Hidayat yang menerima langsung dari tanganku. Ternyata anak-anak terkejut gembira.

Ada juga anak-anak kecil sahabat yang membeli cookies menerima duit raya. Mereka kata awal benar. Memang sengaja aku ambil kesempatan semasa bulan Ramadan masih belum berakhir untuk memanjangkan sedekah dan pemberian. Ganjarannya berlipat kali ganda dibandingkan di bulan-bulan lain. Jadi memgapa tidak ambil kesempatan yang istimewa ini, kan. Biarlah orang lain menghulur duit raya di Syawal nanti, aku tetap mahu mendahuluinya sekarang ini.

Semoga Allah menerima dan biarlah Allah yang memberi ganjarannya.

Gemuk Hitam

Gemuk hitam!

Gemuk hitam!

Mereka berdua saling ejek-mengejek. Kemudian tertawa gedik. Berdekah-dekah.

Syhhh!! Kawal gelak tu. Dorang dengarlah!!

Aku bersuara geram. Baru dua orang, tetapi suasana macam tujuh orang. Mereka berdua benar-benar menggunakan masa yang berbaki sepenuhnya. Walau ada sesekali yang tersonot, tetapi tidak berpanjangan. Yang peliknya, jarak umur 7 tahun tidak menjadi masalah buat mereka.

Si adik kelihatan jauh lebih matang berbanding usia. Tinggi langsing dan sopan. Selalu saja orang meneka umurnya paling jauh sudah 20 tahun. Wah, betapa hebat penampilannya yang amat sederhana dan bertutup rapi.

Si kakak, dengan gaya tersendiri. Gedik, manja, mengada-ngada, memang kadang-kadang disengajakan dan berlebih-lebihan. Namun sangat bijak ditutupi oleh sikap humor bersahaja.

Lantas, gelak ketawa akan berlaku lagi bersama kejar-mengejar sehingga rumah tua ini bagai akan runtuh rasanya. Namun tiada yang mampu menegur kerana semua tidak mampu mendengar dan menyaksikan keletah gedik mereka. Perlakuan melampau hanya terjadi pada masa-masa selamat. Wan atuk dan abah tiada di rumah. Ha ha ha ..

Kiko setiap hari tidur keletihan seperti orang berpuasa. Time sahur, dia datang bersahur. Time berbuka, dia sudah lebih dulu menyantap nasi lauk cebisan daging ayam goreng yang dikisar supaya lebih mudah digaul dengan nasi. Kami semua iftar di masjid.  Nanti waktu moreh, Kiko muncul lagi di dapur. Mengekori kami dengan bunyi loceng yang ceria.

Kiko semakin gemuk. Dia tidak dapat lagi menyusup di celah pagar. Bukan main-main punya gemuk. Memang terasa badannya semakin berat. Apabila diletak di bahu, seperti mendukung bayi 6 bulan. Dan dia tetap mengekori aku ke bilik untuk makan kibbles. Itu juga rutinnya.

Setiap pagi dia ditemui tidur pulas di hujung kaki mereka berdua. Di mana pun mereka tidur, di serambi atau di dalam bilik, si gemuk hitam ini tetap ada bersama.

Hmm sebenarnya dia bukanlah hitam bahkan berlarik-larik seperti corak kucing biasa. Tetapi sesuai juga kalau digelar gemuk hitam. Menambah gelak si kakak yang besar tinggi dan berkulit hitam manis. Si adik yang kuning langsat dan masih langsing pun menerima gelaran serupa.

Usah macam tu nanti jadi betul-betul padan muka.

Peringatan berkesan sekejap saja nampaknya. Dan akan lupus tidak lama lagi.

Tarikh kakak terbang jauh akan menjelma. Adik akan pulang ke madrasah. Kiko akan ditinggalkan lagi buat sekian kali.

Mungkin 4 tahun lagi Kiko akan bertemu kakak semula. Dan kakak akan tersedu-sedu menatap foto Kiko. Sedih dan rindunya pada Kiko ketara berbanding rindu pada mamanya.

Yelah, mama boleh call seminggu sekali walaupun selalu terputus tiba-tiba. Kiko mana ada suara. Mengeow hanya sekali sekala.

Tak mengapalah, nanti jumpa lagi di Syurga.


Friday, June 1, 2018

Mentang-mentang la

Mentang-mentang bergelar penulis.

Muak skroll fesbuk. Ramainya penulis yang menulis berjela. Story telling? Owh. Semua benda nak distoritelingkan gamaknya.

Maka uninstall sekejap.

Tekun mengukis dan menghidu bau cookies di mana-mana.

Lepas tu terfikir pula nak jenguk e mel.

Eh amenda pulak laki aku ni tulis status, kalau dah jodoh tak ke mana. Hmm .. cuba skoding fesbuk dari yahoo ni tak boleh pulak. Mintak password bagai. Lupa pulak amende passwordnya. Cis!

Nak tunggu lepas raya baru bukak fesbuk. Sebab fesbuk memboringkan. Memuakkan. Dan melekakan.

Mujur wifi slow giler kat rumah ni. Orang TM kata kena buat wiring baru sebab mbe kesan kena petir dua minggu lepas. Kalau laju, sekejap je dah install balik dan rasa muak akan menyebabkan rasa nak muntah datang menyerbu. Tapi dengar-dengar tadi macam jadi je esok Razin buat wiring, aduhh! Baru je cakap dengan mak nak terminate telefon rumah sebab perkhidmatan tahap hampas kelapa lembap giler.

Eh, bayangkan blogger muak nak muntah baca ni semua. Hukum karma?

Isk .. tak kisah la.

#melalutlepasbuatcookieshehe

Thursday, May 31, 2018

Isk penatnya

Penat buat cookies.

Penat ni sebab terpaksa pulun apabila tiba-tiba jadual penghantaran cookies terpaksa diawalkan seminggu. Ohh .. memang penat hu hu.

Bekas habis pulak. Terpaksa ke Senawang cari bekas, dan bekas yang dihajati habis stok. Dalam pada nak cepat, masih lambat juga sampai ke rumah. Dah merayau, letih pulak. Makanya malam la waktu yang masih ada untuk buat cookies. Dengan bertelekung, solat pun sebelah oven dan tray-tray.

Baru selesai dua tray masuk oven, perut memulas perlahan-lahan. Makin lama makin kuat pulasnya. Dengan telekung masuk mini bank. Tak perasan air mata bertakung di tubir mata. Huhh dah bertahun tak kena macam ni. Dalam menahan sakit tu merintih-rintih dengan taubat nasuha dan memaafkan orang. Isk sadis betul.

Azam tahun ni, kepenatan tahun lepas tidak akan berulang lagi. So seawal bulan Mac dah mula buat promosi cookies. Dan dah mula buat cookies untuk buat stok. Malangnya namun menarik, stok sentiasa habis dibeli kawan-kawan Naqib. Ala, tak banyak pun sebab buat satu dua adunan je setiap hari.

Dah rasa cantik je setting time sehingga kelmarin. Apabila tiba-tiba anak perempuan yang bercuti nak buat surpirse untuk kawan-kawannya. Dan memang tak akan lepaskan dia la naik grab hatta lepas dengan Naqib berdua. Maka immediately plan baru disusun, iaitu close order awal dan buat penghantaran serentak sekali jalan. All in one. Maka terpaksa la menghadapi risikonya - pulun mengukis dan korban time tidur.

Apabila siap, rasa amat-amat lega. الحمدلله.

Cuma anak-anak tak confident mamanya drive. Sekarang zaman mama duduk goyang kaki dan tidur dalam kereta di sebelah supir. Naqib macam abahnya juga, mengantuk dan letih macam mana pun tetap akan memandu dengan penuh tanggung jawab.

Esok, semuanya berniqob. No man allowed. Then, sapa lagi kena drive?






Monday, May 28, 2018

Nilai Hidup

بسم الله الرحمن الرحم

Saya membuat cookies dan menjualnya. Ada ramai lagi pembuat cookies dengan pelbagai resepi dan harga yang lebih menarik. Rasa pun mungkin lebih sedap.

Berapa untung yang saya dapat?

Dengan tenaga seorang diri dan secara kecil-kecilan di musim perayaan sahaja, produk ini tidak memberi untung besar. Sudahlah tidak istiqamah, ada pula kos melepas. Tolak lagi dengan memberi sebagai hadiah.

Dulu saya berkira. Lima sen pun kira. Ttp sekarang ada nilai lain yang muncul dalam hidup. Tak untung sangat tidak mengapa. Sebagai orang berniaga, untung sedikit sudah ok. Tidak sistematik, banyak kira-kira hanya main congak. Resit pun tak sempat nak catat.

Saya minat. Semuanya bermula dengan kesukaan anak-anak kepada biskut dijual di pasaraya. Saya fikir saya boleh membuatnya, maka bermulalah pencarian resepi di Google.

Ada pula sahabat yang tanpa disangka-sangka sudi mengajar saya resepi terbaik dengan bayaran khas. Ternyata memang luar biasa.

Saya seronok. Memberi buah tangan kepada sahabat-handai dengan hasil tangan memberi kepuasan tersendiri.

Masa saya terisi. Masa memang selalu suntuk. Tetapi saya ada sesuatu yang bermakna untuk dilakukan. Walaupun hanya sekadar buat cookies. Kekerapan memberi saya kemahiran yang tidak dapat diperolehi melalui Google semasa mencari resepi; sesedap mana pun ia.

Personaliti saya terbentuk seperti kehendak sendiri. Saya wanita yang buat cookies dan menjualnya. Seperti resepinya yang mudah namun sedap. Saya berharap diri saya juga sedemikian; ringkas tetapi memberi makna.

Semua orang nak untung dalam perniagaan. Kalau boleh nak tengok lambakan duit perolehan sepenuh tilam saiz king. Lupakan kos melepas, amalkan sikap genggam tak tiris dan gunakan bahan-bahan mentah yang tidak bermutu berharga rendah. Jual dengan harga tinggi melambung. Monopoli perniagaan. Mungkin begitu.

Bahagia? Ada keberkatan?

So, soalan di mana untung saya. Di mana urusniaga saya. Adalah prejudis. Dan dari pemikiran bodoh tolol manusia yang matanya melihat wang semata-mata.

Atau mungkin ada anggapan saya yang bodoh tolol kerana berniaga tapi tak nampak untung. Tak pandai mengira. Bla bla bla.

Nilai hidup saya kini; untung dunia dan untung akhirat. Untung zahir dan untung batin. Semoga Allah memberkati usaha saya yang kecil ini.

Belum masuk lagi bab menulis. Saya menulis tapi tak ada apa-apa pun!

Arghh!
Nanti sambung pasal penulisan.


#piludenganfikirandangkal



Wednesday, May 23, 2018

Anakanda Tersayang

بسم الله الرحمن الرحم

Anakanda tersayang,
Bonda sangat risau. Kerisauan yang menyebabkan bonda berkata-kata dengan nada tegas sedemikian. Sedang tubir mata bonda mula basah. Walau bonda pandai rahsiakan, ternyata anakanda lebih bijak membaca nada suara bonda.

Anakanda tersayang,
Bonda bimbang harapan akan kecundang. Bonda tidak putus berdoa kepada Penciptamu dan alam. Tidak mampu bonda membayangkan tubuh kaku terbujur di tengah-tengah ruang. Bonda belajar syukur. Kini bonda belajar redha. Namun air mata bonda tidak pernah faham itu semua.

Anakanda tersayang,
Baiklah. Demi kejayaan cemerlang untukmu di sini dan di sana. Bonda mulakan langkah semula. Dengan pimpinan Illahi. Hati bonda tidak libang-libu lagi. Mungkin inilah pengorbanan yang perlu bonda lakukan. Buat sekian kalinya. Bonda amat redha.

Anakanda tersayang,
Semoga selepas itu kau akan melangkah dengan lebih mantap dan gagah. Seluruh penjuru dunia akan kau jengah bersama kalimah suci nama Ilahi. Cinta Allah Cinta Nabi SAW. Pergilah kau ke tempat yang jauh itu. Kutiplah mutiara-mutiara berharga untuk mengisi kosong jiwa. Semua itu adalah permata delima berkilau yang tidak terperi nilainya. Jadilah engkau seperti di dalam doa bonda. اللهم امين.

Anakanda tersayang,
Cuma bonda minta, peliharalah hati dan jiwa bonda lebih teliti. Seperti Siti Fatimah dan ayahandanya Baginda Nabi SAW. Seperti Nabi Isa dan bondanya tercinta Maryam. Anak yang patuh dan cinta ibu bapanya. Semoga kehidupanmu sentiasa menerima limpahan rahmat Allah. Diberkati kehidupanmu dan seluruh umurmu dalam ketaatan kepadaNya. Semoga pintu gerbang indah Syurga Firdaus terbuka luas untukmu di sana.

امين.

Tentu ada alasan

بسم الله الرحمن الرحم

Sekiranya dia memang brnar-benar daif. Maka aku benar-benar menghalalkan semuanya. Demi Allah.

Dan aku melupakan semuanya.

Tidak akan memikirkan lagi tentangnya.

Contact numnya sudah delete.

Baru sebentar ini unfriend.

Tujuannya agar hati tidak terusik dan berkata-kata.

Dia kelihatan seperti orang baik-baik. Tidak mungkin dia sengaja bersikap tidak perduli.

Biarlah tanda tanya berlalu tanpa jawapan. Mungkin memang tidak perlu. Tentu setiap tindakan ada alasan. Biarlah ..

Encik, saya halalkan semua pemberian dengan seikhlas hati.

*kagum dengan penulisannya. Terasa diri serba kekurangan. Terasa malu sendiri.

Thursday, May 17, 2018

Tidak faham.

Tidak tahu mengapa.

Semua pos di ws tidak diberi respon, hanya blue tick. Semasa hari mahu bertemu untuk menyerahkan buku dan cookies, cepat saja orang ini membalas.

Akhirnya bersua di kantin hospital, dengan aku bertemankan anak perempuan.

Dan aku tidak berlama-lama. Sebalang cookies besar turut sku sertakan sebagai tanda berbesar hati dengan respon dia yang pertama di fesbuk, selain cookies hadiah.

Sesudah itu aku beredar. Naqib menunggu di dalam mereta di kawasan parkir ambulan, maka tidak boleh berlama-lama. Memang mahu sekejap sahaja.

Tidak faham mengapa.

Aku nyatakan harga buku dan memberi nombor akaun. Tiada respon. Blue tick.

Aku sentuh tentang perawat yang dia nyatakan, untuk mendapatkan nombor telefon dan alamat, juga tiada respon. Blue tick.

Semalam, aku kirim ucapan  selamat menyambut ramadan pula. Aku mahu membaca manusia ini setakat yang mampu. Ok, tiada respon. Online. Blue tick.

Pos gambar di fesbuk juga tiada respon. Tak harap sangat pun, tetapi kadang-kadang like itu bertukar menjadi penghargaan.

Ok, untuk menhilangkan rasa serabut, kita hapuskan keserabutan itu. Untuk menghilangkan tanda tanya dengan cara senyap, kita lupakan saja. Hal ini pun tidak penting sebenarnya. Cuma mungkin dia perlu menjawab di Padang Luas nanti.

Delete.

Noktah.

Unfollow.

Unfriend To Be.


Teouk Dahi

Situasi : gosok pakaian.

Tiba-tiba sesuatu melintas dalam kepala. Aku baru balik dari pejabat pos. Sebuah bungkusan mengandungi antologi terbaru bertajuk Bukan Wanita Biasa baru saja selesai diuruskan untuk sahabat di Perak, bersama sebekas cookies yang aku janjikan sebagai hadiah.  Sahabat ini selalu memberi sokongan kepada penulisanku.

Sedang asyik menggosok pakaian, jubah anakanda Naqib, tiba-tiba aku hampir menepuk dahi. Terasa mahu update pos tepuk dahi di fesbuk. Tentu ramai like dan bertanya. Tanpa ayat, cukup dengan isyarat.

Tetapi tak perlulah. Aku terus menyangkut jubah yang sudah licin. Terbayang reaksi sahabat yang akan menerima kiriman secepat-cepatnya esok. Mungkin dia akan kerut kening sekiranya kepekaan dia tinggi. Andai dia tak kisah, dia tidak akan perduli.

Penerima kiriman lelaki, tetapi aku dah tt di buku untuk perempuan. Yang mana perempuan berkenaan memberitahu dia bermasalah untuk melakukan transaksi ke akaun aku. Tunggu lepas terawih, katanya malam tadi. Bungkusan untuk dia sudah siap cuma belum tulis nama dan alamat.

Pagi ini, aku yang terlupa tentang itu, sedap je menulis nama sahabat lelaki tadi. Bungkusan sudah siap. Transaksi yang sangkut tak tau bila selesai. Maka dahulukan yang sudah buat bayaran. Begitulah hasilnya, tepuk dahi tapi tak jadi update di fesbuk.

Ramadan sudah bermula. Jauhi fesbuk dan dekati Al Quran. Lebih afdal.


Thursday, May 10, 2018

Syukur Alhamdulillah

Syukur.

Kebelakangan ini saya rasa begitu cinta kepada Malaysia. Tanah mengunjur inilah tanah tumpah darah saya. Jika tidak berhijrah ke mana-mana, di tanah ini akan lahir keturunan saya seterusnya.

Sudah muncul kekhuatiran. Dan kini muncul pula harapan baru.

Saya kagum. Tun M bukan calang-calang insan. Semoga beliau sentiasa dalam pimpinan Allah. Aameen.

Begitu ramai yang bijak berseloka di alam maya. Cuma diharapkan selain meraikan kejayaan, usah menjatuhkan. Apa yang kita tulis, itulah peribadi kita.

Yang sepatutnya jatuh, sudah pun tersungkur. Yang sepatutnya naik, sudah pun muncul.

Berkira-kira dalam berbicara. Semua aksara akan dinilai nanti di sana.

Ada juga amaran-amaran diberikan. Peringatan tentang kuasa rakyat. Sebelum memerhati jauh, belek diri sendiri jangan dilekakan. Usahlah mudah benar nak menuding jari, sedangkan diri sendiri lalai diperhati.


Tuesday, May 8, 2018

Menyesal kemudian tak berguna

بسمم الله الرحمن الرحم

Hari ini 8 Mai aktif pulak di efbi. 

Rasa nak promosi kuat-kuat antologi baru ni. Tak nak ia terperuk di sudut sunyi. Kesian dia.

Bila skrol sekejap, nampaknya majoriti cerita pasal mengundi. 

Saya cerita pasal cerpen. 

Tak selari.

Tak kisah la.

Dinding lain-lain. 

Saya mendoakan Malaysia terus aman dan diberkati Allah. Saya sayangkan negara ini. Semoga Allah memudahkan urusan rakyat esok, dan menetapkan takdir yang indah untuk semua. Aameen.

Saya menyesal. Tetapi menyesal dahulu pendapatan. Akur pepatah lama ini. 

Biar huruf berbicara

بسم الله الحمن الحم

Sukar itu biasa. Saya bukan penulis sepenuh masa. Saya menulis apabila ada tugasan yang perlu diselesaikan. Dulu iya. Saya menulis cerpen kanak-kanak kerana saya ingin merakam kisah anak-anak.

Cerita di dalam antologi cerpen Bukan Wanita Biasa masih berkenaan anak -anak. Ia kisah anakanda Naqib. Ada satu saat yang tidak pernah mata saya tidak basah apabila mengulang cerita, dan saat itu saya abadikan di dalam cerpen ini. 

Sesudah ia muncul dalam pegangan tangan saya, ada tugas baru pula. Saya harus menjualnya sendiri. Saya menulis, dan saya menjual. Ini tidak pernah terbayang dalam fikiran saya.

Kuasa menjual ada di alam maya. Di sana disediakan ruang mengiklan seluas-luasnya. Agar ramai orang tahu barangan yang anda jual.

Saya ingin benar agar huruf-huruf itu sendiri mengiklan diri mereka. Agar cerita itu sendiri menjual kisah mereka. Agar mereka pula buat kerja untuk saya. Bukan saya yang menjual berita tentang mereka. Kan itu memang tugas mereka?

Tetapi setakat ini huruf-huruf itu belum cukup bermaya. Saya belum dapat memindahkan daya sepenuhnya kepada mereka agar dengan demikian mereka benar-benar padu dan hidup di dalam cerita. Jadi, itu sebenarnya adalah kekurangan saya. 

Saya menanti masa. Masa dimana huruf-huruf itu sendiri berbicara sepenuhnya dengan seluruh jiwa dan rasa. Bila? 

I don't like

بسم الله الرحم الرحم

Sejak cerpen terakhir selesai 2 tahun lepas, saya azam benar-benar untuk tidak menyertai antologi. Bulan lepas 2 cerpen yang selesai digarap pada 2016 sudah dalam proses penerbitan. Satu benar-benar terbit dan sudah dalam pegangan tangan saya. Satu lagi gempar sekejap, kemudian senyap semula.

Oh ya, pada bulan Ogos 2017 saya masih menghantar cerpen untuk satu pertandingan. Cerpen ditulis berdasarkan sajak Allahyarham Usman Awang. Cerpen itu disemak oleh Puan Zaharanum (editor Dewan Sastera). Natijahnya walaupun cerpen itu baik (menurut Puan Zaharanum) tetapi tidak terpilih. Ya, saya sudah mula memikirkan bahawa tajuk sangat penting walaupun tidak ada kepastian pun faktor manakah yang menyebabkan kegagalan cerpen itu.

UDIN. Sempoi saja. Apabila saya minta cadangan Puan Zaharanum, beliau memberi tajuk baru yang sangat mengujakan. Berbeza brnar dengan Udin.

Tajuk karya sangat-sangat penting. Ada ciri-cirinya. Jangan klise dan tidak merepek. Jangan sampai orang beli sebab tertarik dengan tajuk, tetapi nak muntah membacanya bahkan menyesal membeli. Saya pernah terpedaya, dan saya menyesal. Sememangnya bukan buku pilihan, cuma nak cuba baca.

Ketika azam menulis kumpulan cerpen sendiri semakin teguh, seorang rakan mengajak saya menyertai antologi lagi. Bahkan meminta saya menjadi penyelenggara bersama-samanya, jadi ketua katanya. Aduhh!

Saya orang kedua menghantar sinopsis dan ia amat disukai oleh pembimbing saya. Dalam suka ada serba-salah. Saya sudah malas nak menyertai antologi.

Sudah tiga hari saya mengiklankan buku itu di fb. Menjadi orang yang sejuk dan dingin di sana. Tiba-tiba keluar iklan ringkas. Tak tau nak menulis apa. Berbeza dengan cara saya dulu-dulu. Saya sendiri bosan membaca iklan itu. Ahh!

Hanya seorang rakan yang memberi respon. Kerana gembira, saya hadiahkan dia sebekas dark chocolate chips cookies.

Saya tak gemar antologi. Tetapi kali ini 2 cerpen perlu diselesaikan.

Ya Allah! Tolonglah daku ..

Baiklah, semua cerpen ini akan saya satukan di dalam sebuah kumpulan cerpen saya nanti. انشأالله

Mohon doamu sahabat. Terima kasih kerana menyokongku. Semoga Allah menggembirakanmu selalu.

Sunday, May 6, 2018

Seharum Misk 1

بسم الله الرمن الحم
Membetulkan niat selalu.

Menulis.

Menyebut-nyebut Kebesaran Allah dan kemuliaan Junjungan Rasulullah SAW.

Menyebut kemuliaan idola wanita muslimat iaitu Saidatina Fatimah; kecintaan Rasulullah SAW.

Tareem. Di manakah ia. Apa yang istimewa dengannya.

Mengapa Ummu Khadeja berada di Tareem, tempat yang tidak pernah diimpikan apatah lagi terlintas dalam fikiran.


Saturday, April 14, 2018

يا الله
Aku memohon keampunanMu atas segala buruk fikirku sejak dulu.

يا الله
Aku memohon keampunanMu atas segala fikir negatifku dari dulu.

يا الله
Aku bertaubat kepadaMu atas segala bisikan hatiku yang rosak dan tidak bermanfaat.

Sejak dulu
Kini
Selamanya

يا الله
Ampunilah daku
Terimalah taubatku
Tutupilah aibku
Gantikanlah keburukanku dengan kebaikan dari sisiMu
Kasihanilah daku
Rahmatilah daku
Berkatilah daku
Dan kabulkanlah doaku

Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih, meliputi ketentuanMu
اللهم امين


Wednesday, April 11, 2018

الحمد لله

Saya redho dengan kehidupan ini. Saya redho dengan segala kurniaan Allah. Saya redho dengan rezeki yang ditetapkanNya. Saya redho dengan taqdirNya. Dan saya memgucapkan syukur ke hadratNya.

الحمدلله

Apa saja sikap manusia kepada saya, saya terima dengan ikhlas. Dan saya cuba membaiki sikap saya kepada sesama manusia juga.

Saya buat pertama kali menyatakan kepada kesayangan saya; saya minta maaf dan saya maafkan kamu.

Walaupun saya masih yakin saya betul dan dia silap. Nampaknya dia gembira dengan pernyataan maaf saya. Egonya masih tinggi. Saya selitkan komen perlakuannya yang telah menyinggung hati saya. Senyumnya kian terserlah. Nampaknya saya masih perlu mujahadah terus dengan ego sendiri juga. Kan saya jenis kalau betul, akan saya tegakkan yang betul itu sebagai kebenaran yang hak. Jika salah, saya tidak ragu meminta maaf. Cuma kali ini, buat pertama kali saya telah melakukan sesuatu yang berbeza. Dan ada manisnya.

الحمدلله

Apabila kita belajar untuk mengikhlaskan hati.
Apabila kita belajar untuk memaafkan.
Apabila kita belajar untuk bersikap redho.
Apabila kita belajar untuk membuka hati.

Dunia nampak lebih tenang.

*semakin bosan dengan perkongsian cerita peribadi yang disusun dengan ekslusif atau semberono di dinding. Hanya segelintir yang ada manfaat. Selain itu hanya sampah-sarap yang memuakkan.

Dulu tak ada dinding untuk menconteng. Manusia menconteng di atas bantal, melakar peta-peta dunia tersendiri.  Sekarang jauh berbeza.

Bila dapat saya menjauhi semua itu secara total?  Ketika masih ada urusan yang dilakukan melalui dinding.

*azam*

Monday, April 9, 2018

Seorang wanita datang kepada Nabi Musa as. Ia berkata: "Wahai Nabi, (mohon) sampaikan kepada Allah,  bahwa aku menginginkan seorang keturunan /anak.".

_
Maka Nabi Musa Alaihissalam memintakan kepada Allah hal itu. Tapi Allah menjawab, "Hai Musa,  Aku telah menentukkannya sebagai wanita yang 'aqiim (mandul)."
Maka Nabi Musa as menyampaikan hal itu kepada si wanita.
_

Selang beberapa waktu Nabi Musa as,  mendapati wanita itu menggendong anak kecil, Nabi Musa bertanya:.
_
_

"Anak siapakah itu?".
_

"Ini anakku.".
_
"Bukankah Allah telah menentukkanmu sebagai wanita 'aqiim?".
_

"Benar,  tetapi aku tetap meminta kepada-Nya dan kusebut Dia... Ya rohiim (wahai yang Maha Penyayang)".
_
_

Lalu Nabi Musa pun bertanya kepada Allah:.
_

"ya Allah, Bukankah telah Kau tentukan wanita itu sebagai wanita yang 'aqiim (mandul) ..? ".
_
.

"Benar, tetapi setiap dia meminta dan kutentukan 'aqiim,  dia memanggilku yaa Rahiim(Wahai yang Maha Penyayang),  maka Kuberikan apa yang dia minta.
_
_
 Sebab kasih sayangKu,  menguasai ketentuanKu." Janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah.
.
Wallahu'alam, semoga bermanfaat.
.
.

_
_
Tag keluarga, sahabat, dan siapapun agar mereka juga ikut semangat dalam memohon kepada Allah 😊❤️.

_

اللهم صل على سيدنا محمد.
_

#Doa
#kabul
#tetapberusaha
#semangat
#janganmenyerah
#ikhtiar
#tawakkal
#berdoa

#tareem_lovers
#tareemlovers
Alhamdulillah.

Selepas semalam, hari ini adalah hari yang lebih baik. Walau bosan melihat fb dan berterusan unfollowing people. Juga unfriend seorang insan akrab.

Abah terlentok bersendirian. Malam ini mak mengalah lebih awal, mungkin kepenatan sangat setelah keluar membeli ayam jantan petang tadi. Setelah lebih seminggu tiada kokokan pagi, esok in syaa Allah akan sayup-sayup ada suara dari reban. Mudah-mudahan Si Tuah pun akan pulang semula. Tidak lagi menyerabutkan kepala tetangga sebelah yang hairan melihat burung merpati sesat menghabiskan jagung halus di dalam reban ayamnya.

Tuah, kami rindu. Pulamglah.

Esok pagi juga abah mungkin akan perasan kucing dalam sangkar sudah menjadi 5 ekor. Entah abah perasan atau tidak, hmm ..

Tadi, kubawa pulang Didi yang fobia dan jadi gelandangan, serta Si Kenit yang sudah tidak kenit lagi dari madrasah. Didi dan Kenit tenang saja ketika masuk dalam sangkar. Bau berbeza selepas dua minggu di sana, menyebabkan Boboi sibuk menghidu.

Nanti esok Didi akan datang bermanja dengan Kiko semula. Aku berazam akan berbuat yang sebaiknya untuk semua ini. Hati masih sedikit pedih mengingatkan Manda dan tiga ekor lagi di pasar Kuala Pilah. Namun Allah sebaik-baik Yang Maha Penyayang. Manda dan yang lain itu semoga lebih cekap berdikari dan dipelihara Allah selalu. Aku sudah lama sangat tidak ke pasar. Mungkinkah ada peluang berjumpa Manda?

Juga doa tidak putus untuk si Bidadari yang mengadu sakit telinga, sudah bertambah sakit tekak dan tengkuk pun sakit. Mungkin stress. Semoga cepat sembuh, aameen.

Satu lagi nama akan kulenyapkan dari senarai kenalan. Biarlah semuanya berlalu menjadi sejarah yang akan dilupakan.

Buku antologi cerpen bersama penulis Negeri Sembilan bakal muncul di PBAKL 2018. Alhamdulillah. Walaupun dapat merasakan sesuatu yang telah mencuit perasaan seseorang, aku hanya mampu akur kepada kehendak majoriti dan yang menguruskan. Yang lebih penting, aku harus bersedia untuk sinopsis novel kanak-kanak pada Jun-Ogos ini. Maltodextrin. Mampukah dijadikan sebuah kisah teladan?

Semoga Allah mudahkan semua urusan kita.  Aameen.


Sunday, April 8, 2018

بسم اللهرحمن رحيم
Perkara remeh-temeh dan kecil eloklah kita segera memaafkan. Tak rugi menjadi pemaaf. Dan tak rugi juga melupakan perkara kecil-kecil. 

~ nasihat kepada diri sendiri.

Sebentar lagi saya akan edit senarai nama di dalam tab ini. 

Yang dekat mahupun yang jauh. 

Yang lama mahupun yang baru. 

Yang special mahupun yang biasa. 

Biar lega ruang yang ada. Nampak terang. Nampak lapang.

Yang berkepentingan akan kembali.

Yang ada urusan akan berterusan.

Selain itu, selamat jalan.


Akhirnya saya sepakat.

Hanya dua jenis cookies iaitu Dark Chocolate Chip Cookies dan Vanilla Chip Cookies.  Keduanya mempunyai kesedapan tersendiri yang tidak dapat dilupakan. Kesan rangup biskut yang cair di dalam mulut, merata keenakkannya di seluruh ruang lidah sebelum meleleh di anak tekak.  Alhamdulillah. Kesedapan yang dikurniakan Allah walau hanya sedebu daripada kelazatan luar biasa biskut di Syurga.

Menggunakan mentega asli sepenuhnya, tanpa campuran minyak sayuran atau bahan-bahan lain, melainkan hanya hasil susu lembu grass feed sepanjang tahun. Ia amat enak, terasa bersusu dan memberi kesan baik kepada kesihatan. Tiada lemak transfat dan minyak dehidrogen.

Gula perang yang tidak mengalami proses caramel. Tepung tanpa benzoyl peroxide.

Kita cuba yang terbaik mampu kita lakukan. Tak dapat baik semua jangan tinggalkan semua.

Semoga Allah mudahkan semua urusa  kita. Aameen.
Tidak mengapa.

Kadang-kadang mungkin perlu delete satu dua nama yang disimpan. Ada nama yang disimpan segera, dan sesegera itu juga perlu dibersihkan dari senarai.

Ada nama yang tak perlu dibuang, tetapi untuk membersihkan sanubari maka ia dilenyapkan.

Ada nama yang tidak memberi kesan disimpan atau dibuang. Entah satu ketika nanti mungkin bermanfaat. Tapi kalau dah bertahun hanya memenuhkan senarai tanpa faedah, lebih afdol dihapuskan.

Maafkan semua orang.

Maafkan diri sendiri.

Redha dengan takdir.

Dan terus berdoa agar beroleh takdir yang lebih baik.

Semoga Allah mengampuni kita semua dan memberkati umur kita.

اللهم امين.

Tuesday, March 27, 2018

Walaupun cookies ni masih ada kelemahannya, tetapi harus diperjuangkan sebagai alternatif terbaik kepada produk kilang. Mentega asli memang terbaik. Diadun dengan tepung tanpa benzoyl peroksida. Gula putih akan ditukar kepada gula perang. Terbaik kan!

Cuma adunan penaik tu belum ada alternatif lain. Telur gred A, masih telur komersial, bukan telur ayam kampung. Eh, agaknya kalau guna telur angsa macam mana ya?

Mereka kata makan tak boleh stop. Itu yang dikhuatirkan. Makan kena stop, jangan tak stop. Bahaya dikk ..


Kita akan jalan terus. Biar orang-orang yang tidak cukup memberi sokongan itu di belakang sana. Mereka dengan kehidupan dan alasan mereka. Kita dengan kehidupan dan alasan kita pula.

Setiap orang membina alasan dan mencari alasan untuk sesuatu.

Tak perlulah kita merasa dukacita atau sengsara. Teruskan langkah di atas trek kita. Ucapkan selamat tinggal kepada yang seperti tidak cukup vitamin. 

Tak perlu juga war-warkan isihati di dinding.  Zaman ini orang-orang suka berkongsi di dinding. Orang-orang yang wujud si sekelilingnya seperti tidak wujud. Mereka sibuk menulis dinding. Menconteng dinding. Membaca dinding. Berkongsi di dinding.

Respek pula kepada orang-orang yang tak rajin menulis dinding. Kenapa ek? Tak ada masa nak menulis dindingnya? Atau sangat menjaga privasi? Atau ada anxiety? 

Yelah, ketika jutaan orang sibuk di dinding, ada segelintir yang tak perduli, atas apa jua sebabnya.

-mahu join segelintir itu-
Tindakan yang menyedihkan tetapi perlu kulakukan. Pencinta kucing tentu tak suka. Aku pun tak suka dan tidak pernah melakukannya. Malam ini pertama kali aku seperti mengkhianati diri, menghantar Didi ke Seri Menanti.

Setelah 3 ekor anaknya (dah cukup besar dan sudah putus susu) dan Manda (sibling) mak hantar ke pasar pilah, semasa aku sibuk buat persiapan ke JB. Aku tak sanggup membayangkan, kucing belaan menjadi stray cat di pasar yang sibuk dan ada anjing. Tau-tau dah selamat 4 ekor tu ke sana.

.
.
.
.
.
.
.
.
Khianat. Didi.  

Friday, March 16, 2018

Salam alaik.

Saya seronok menyiapkan contoh cookies untuk dijamah oleh wakil-wakil yang saya pilih. Lebih ramai wakil berbanding tahun lepas. Ramai di Selangor. Beberapa orang di Seremban.

Saya guna Pure Butter Tatura dan tepung unbleach. Awak tau la jenama apa kan .. berbeza dari resepi asal yang diberikan. Tiada pengawet tentunya. Bakar secukupnya, in syaa Allah rangup.

Kuantiti gula dan kacang badam, saya kurangkan. Tahun lepas, banyak badam yang berterabur dari doh sebab terlalu banyak. Kali ini cun saja. Alhamdulillah.

Mak batuk-batuk agak lama, semenjak limau manis CNY mula diterima sebagai buah tangan majlis. Saya langsung tak menyentuhnya. Mahu eat clean, konon.

Saya hanya menjamah cookies yang mahu dimasukkan ke dalam balang. Hati saya menetapkan, itulah quality control cara saya. Tak ada orang lain yang boleh menjadi wakil dipercayai. Mak, abah dan suami hanya makan cookies saya pada masa tertentu. Naqib, saya larang menjadi QC. Anak-anak yang lain, tidak tinggal di rumah ini. Jadi, hanya saya yang ada dan sayalah yang melakukan QC.

Saya makan cookies kadang-kadang sampai terasa kenyang. Sedapnya .. baru dimasak memang sangat sedap. Maka, selalu QC balun berkeping-keping. Sendiri buat, sendiri balun.

Perlahan-lahan .. bukan, tiba-tiba saya batuk-batuk macam mak. Selsema. Bersin-bersin. Tak makan limau dan tak minum ais pun kena juga rupanya.  Hmm memang Allah nak bagi sakit tanpa asbab, fikir saya begitu.

Lama pulak tu. Lebih seminggu dah. Namun tugas QC tetap macam biasa. Masih berselera.

Konsep eat clean terbang entah ke mana. Mana ada clean, apabila kau makan cookies yang ada gula dan tepung, walaupun unbleach kononnya.

Tadi saya join satu link kesihatan. Skrol lebih kurang, mata saya menangkap tip dari doktor berkenaan. Elakkan beberapa jenis makanan termasuk tepung dan gula. Lantas saya teringat tips dari dua lagi doktor berbeza di FB - antara makanan merosakkan otak adalah cookies (dan 9 jenis yang lain yang kebanyakannya adalah makanan proses serta kandungan gula sangat tinggi), dan gula menyebabkan radang di tekak.

Awak boleh bayangkan tak? Awak tengah seronok bersemangat buat cookies, tiba-tiba maklumat sebegini menerjah fikiran awak. Pada masa yang sama, awak memang batuk selsema entah mengapa. Saya sebenarnya nak kaitkan semuanya ini. Tapi, awak boleh faham kan.

Ada perkara lain muncul serta-merta. Saya perlu buat perubahan lagi. Hmm .. bila ditimbang-timbang semula, ia bukanlah perubahan besar. Cuma semangat baru untuk sesuatu yang pernah dilakukan, tetapi sudah tersadai begitu saja.

Ya, tanam-tanaman saya di belakang dapur yang sudah semak!

Saya mahu berbakti kepada tanah. Tak sabar nak tunggu hujung bulan Mac tiba. Ambil senarai tempahan cookies dari wakil-wakil dan mula edarkan cookies yang sangat  sedap ini menjelamg Ramadan.

Memulakan dua pekerjaan semula - menulis dan bercucuk-tanam dengan sempurna.

Semoga Allah memudahkan urusan kita semua. Aameen.

#cookiessedaptapitidakberkhasiat

Thursday, March 15, 2018

Salam alaik.

Terus tetap di atas jalan yang lurus. Walau ada ajakan melencong ke jalan yang bengkok. Hatta ajakan hati sendiri. Kerana hati itu selalu cinta dunia. Melainkan hati yang cinta kepada Tuhannya, dan hari yang panjang tiada berkesudahan.

Tidak mungkin ada dua cinta dalam satu hati. Tidak mungkin dunia dan akhirat bergabung di satu tempat.

Pesanan untukmu ~ terus tabah dan sabar mempertahankan pendirian yang benar dan disukai Allah.

Dunia ini hanya sebentar, 2 minit cuma.

Nanti di akhirat, yang 2 minit inilah yang akan kau bicarakan. Nampak padamu betapa sekejap ia terjadi. Seperti mimpi dalam mimpi. Dan betapa berat kau rasai ujian yang diberi.

Sesungguhnya kau telah dipilih Allah. Dan ujian-ujian itu adalah bersesuaian dengan kekuatanmu untuk menghadapinya. Allah Maha Mengetahui.

Walau dada dan hatimu seperti akan pecah.
Walau engkau benar-benar ingin melakukan namun terlarang.

Berdoalah terus.
Kerana tiada sesiapa lagi yang akan membantumu, tiada sesiapa lagi yang memahamimu, tiada sesiapa lagi yang belas kasihan padamu; kecuali Dia Yang Esa.

Ya Rasulullah, bantulah.

Aameen.

Sunday, March 11, 2018

        Amboii ..

Membaca status yang dishare oleh seseorang (mungkin sang suami) di timeline seorang wanita (mungkin sang isteri), membuatkan  saya tersenyum. Bukan senyum sinis, tetapi senyum memikirkan diri.

I love you, sayang!

Amboii ..

Saya tak pernah menerima ucapan sebegini. Formal nampaknya apabila dilagangkan di laman sosial.

Woww!

Terfikir pulak. Bukan saya tidak layak. Hanya saya garang juga barangkali, hmm ...

Kuat melawan, siapa nak bagi I Love You, Sayang sesuka hati.

Hi hi hi ...

Patut la Ang Ang tu berani nak mencubit saya. Kita sama-sama garang rupanya.

Sunday, March 4, 2018

Ada teman bertanya buku aku. Dia mahu membacanya. Ah, seronok rasanya. Menikmati sedikit penghargaan sedemikian sangat mengesankan.

Mak komen. Aku buat cookies setakat mana untungnya. Aku menulis entah ke mana halanya. Sedangkan masa yang berharga seperti berlalu begitu saja.

"Mak, bakat menulis ni anugerah Allah. Tak semua boleh menulis. Seperti juga menyanyi, berlakon dan macam2 lagi. Lain orang lain bakatnya. Aruah abah Hassan suka menulis. Kak Ju, arwah Kak Ja, Hasni, masing2 suka menulis. Kak Ani pun ada impian  nak menulis."

Hingga saat ini, mak belum betul2 menyenangi penulisanku. Kerana itu sudah aku khabarkan awal2 bahawa Jun ini aku akan mengadap laptop lebih kerap daripada hari2 biasa.

Mak, walaupun berhati rusuh, dia sudah meminta orang tolong angkat meja marmar miliknya ke depan bilikku. Hanya aku belum bersedia meletakkan laptop di situ.

Mak, mohon doa. Sementara masih ada masa dan peluang. Intan mahu menulis sedikit lagi. In syaa Allah.

Seperti ada banyak nak dituliskan.

Dan ada hutang yang belum lunas, ohh!

Ya Allah, mohon Kau permudahkanlah. Aameen.

Wassalam.

Saturday, March 3, 2018

pegang lehernya!

Salam alaik.

Pegang lehernya!
Tangkap lehernya!
Dan jangan membelakanginya. Itu memang kesilapan besar!

Aku tergelak setiap kali teringat video yang ditonton di You Tube. Tentang bagaimana menghadapi serangan angsa dengan cara yang kejam. Cubalah cari. Kejam, memang kejam. Kejam yang melucukan. Tak sesuai langsung padanan perkataan ni.

Dia yang kupanggil Ang Ang sudah mengesan kelemahanku. Kami selalu bertentang mata. Mata kecilnya merenung aku. Aku selalu merasa teristimewa semenjak dia mengulur kepala kepada suami. Abah lebam tangan dicubitnya. Dan Along pun nyaris kena. Aku belum pernah! Kerana itu aku rasa teristimewa.

Tetapi istimewa tu hanya perasanku saja. Ang Ang mahu mencuba aku juga. Suami kata jangan lari tetapi hadapi saja dia. Kau tau, inilah satu-satunya haiwan yang menggerunkan aku sejak dulu, selain anjing kalau di jalanan. Aku tidak pernah terkena suduannya.

Entah bagaimana, ketika memilih anak-anak ayam untuk dipelihara, aku minta sepasang anak angsa ini kepada suami. Kasihan melihatnya berpanas di dalam sangkar ketika matahari semakin terik. Cepat betul Ang Ang dan bininya membesar. Sehingga aku tidak sanggup lagi cuba-cuba mengangkatnya.

Akhirnya dia menguji aku.

"Arghhhh!!" Aku menjerit sekuat-kuat hati. Kampung kecil ini bergema dengan suaraku.

Aku lari sekuat-kuat hati. Sambil Ang Ang mengejar dari belakang. Abah ketawa melihat shawla biruku yang mengerbang di belakang dapat disepitnya.

"Bang, itulah masalahnya. Saya panik! Betul, saya panik bila diserang." aku mengaku.

Setakat diberitahu supaya bertahan tak akan membantu aku bertenang. Maka aku cari sesuatu yang diharapkan boleh membuka sedikit jalan di You Tube.

Pegang lehernya!
Tangkap lehernya!

Itulah cara yang aku temui untuk menghadapi Ang Ang yang mahu menguji.

Pada mulanya aku ambil sikap tidak sekali-kali membelakanginya. Aku sentiasa memastikan dia di hadapanku walaupun aku terpaksa berjalan mengundur ke reban. Ternyata berhasil. Dia selalu memerhatikan aku dan riakku dengan mata kecilnya yang berwarna coklat.

Tapi tadi, dia mula mahu menguji aku buat kesekian kali. Dengan cekap aku tangkap lehernya tetapi bini Ang Ang pula yang seperti mahu menyudu aku. Wah, kaget juga dibuatnya. Sambil memegang leher Ang Ang, aku mula terjerit-jerit memanggil suami. Adussss ... lembapnya!  Akhirnya si Indon yang sedang pasang tiles bilik air datang menghalau Ang Ang laki bini.

Masih ada rasa panik. Masakan tidak, kalau tiba-tiba ada back up pulak macam tentera simpanan nak menyerang kali kedua. Haishh!

Masih berazam nak membelai Ang Ang sampai manja macam dalam You Tube.  Agak-agak boleh tak?

Yang tak pernah kena attack hanya mak. Mak buat dia macam kawan. Aku pun buat macam kawan.  Mungkin bezanya, mak lebih cool. So aku fikir aku seorang yang cool, masih kena baiki lagi. Tak mahu kampung kecil ni terbebar dek jeritan aku yang padu. Hi hi hi ...



Wednesday, December 27, 2017

Aku semakin sibuk mencari cara penawar untuk kesembuhan anakku. Aku tiiada cukup masa hendak duduk memikirkan cerita untuk ditulis. Setakat rangka cerita. Aku belum mampu fokus menulis. Sama ada aku terus tidak menulis sampai bila-bila, atau aku akan menulis sebuah kisah sehebat cerita Laila dan Majnun. Cinta Ketuhanan.

Hanya Allah menentukan.

Monday, December 11, 2017

Nur ke Anwar Al Batul

Entah mengapa tiba2 aku mahu memanggilnya NUR yang bererti CAHAYA. Semoga puteriku yang terindah ini benar2 menjadi CAHAYA berseri yang menyinari kehidupan dan seluruh alam. Ameen.

Semalam aku meninggalkan dia dalam keadaan dahinya terasa dedar dan telapak tangannya hangat. Aku keraskan hati dan kuatkan semangat sendiri. Lantas kubisikkan ke telinganya ketika dia tunduk tersedu2 bahawa dengan asbab dia berada di situ, semua urusan keluarga menjadi mudah dunia & akhirat.

Nur masih tunduk menangis ketika dia mengangguk2 kepala. Kucium dahi dan kepalanya. Kudakap dia erat. Tanpa mempamerkan sedikitpun riak di hati, aku memberi arahan tegas supaya dia segera masuk.

"Mama pergilah dulu. Adik nak tengok mama balik." Sahut Nur perlahan.

Wahai anak, mama tinggalkan kamu bersama orang2 terbaik di tempat terbaik bersama Allah Taala. Semoga anakku sentiasa di atas jalanNya dalam pemeliharaanNya dan pimpinanNya. Aameen.

Kita akan bersua lagi segera in syaa Allah.

Friday, November 3, 2017

Azam Diperbaharui

Tadi malam aku menemani along tidur di biliknya.

Along memang resah gelisah. Tidak nyenyak. Tidurnya tidak berkualiti. Sekejap bangun tidur menangkup di bantal, sekejap beralih baring. Aku pun jadi tidak lena. Ditambah sejuk penghawa dingin. Pelik melihat Along. Tidak berbaju tetapi tahan bersejuk.

Dalam semua rawatan, yang penting ialah istikamah.

Wednesday, November 1, 2017

Hantar Puisi

Hari ini aku ke Perpustakaan Kuala Pilah bersendirian. Selesai sudah menghantar emel 55 buah puisi untuk pertandingan Sayembara Puisi Kata-Pilar 2017.

Aku tawakkal kepada ALlah.

Puisi-puisi tu kalau disimpan je pun tak jadi apa. Mana tau ada rezeki menang. Paling tidak mereka berminat untuk menerbitkannya. Masya Allah.

Lepas ni aku azam baca puisi sebanyak yang mungkin untuk menambah perbendaharaan kata, biarpun sampai muntah.

Tapi janganlah muntah hehe ..

Monday, September 25, 2017

Beruntung Yang Dipilih

Along tag namaku di ruang comment video terbongkar anak tahfiz Ittifaqiah yang berumur 11 tahun. Dua bulan sebelum kejadian iaitu mimpi-mimpi aneh si anak yang diceritakan kepada bapanya.

Menitis air mataku. Bahkan aku sungguh-sungguh menangis.

Meremang bulu romaku.

Beruntung benar anak ini dan sahabat-sahabatnya yang dipilih Allah. Beruntung benar mereka.

Allahuakhbar!

Aku cemburu, benar-benar cemburu.

Sunday, September 17, 2017

Selamat Jalan anak-anak Syurga

Sekadar lukisan dalam bentuk karikatur pun membuatkan aku termenung selepas merenung. Dan air mata mengalir semula.

Selamat jalan wahai anak-anak syurga. Semoga kamu semua aman damai di sana, di dalam limpahan rahmat Allah.

Untuk anak-anak yang tinggal, yang tega hati melakukan penganiayaan berkenaan; aku fikir kamu akan membawa title pembunuh di sepanjang hidup kamu. Wajah-wajah kamu begitu naif.

Namun membaca Kalam Ulama di Telegram, seperti ada air embun menitis ke hatiku yang merah membara umpama besi panas.

Anak-anak kita belum tentu ahli Jannatul Firdaus, jaga mulut daripada menggelar anak orang 7 Jahanam. Jaga hati dan perasaan ibubapa mereka juga yang pasti bersedih dan malu dengan tangkapan itu. Pintu taubat masih terbuka luas untuk anak-anak tersebut. Mungkin mereka menjadi lebih soleh daripada kita dan anak-anak kita di akhir hayat nanti. 
Berapa ramai wali-wali Allah asalnya mereka yang jahat di awal tetapi diberi hidayah dan bertaubat kepada Allah.

--Dr. Nik Roskiman

Kalam Ulama'

 Usah ada spekulasi yang lebih luas. Cukup-cukuplah.

Putus Kawan

Dua status baru di dinding dan menukar gambar profil.

Dan putus kawan di alam maya dengan dua orang. Aku tidak mahu mereka membaca status aku dan aku juga tidak peduli status mereka.

Aku putus kawan kerana aku mahu menjaga perasaan mereka. Walaupun aku tak fikir mereka akan membaca status aku. Dan mereka pun tidak peduli apa yang aku nak tulis.  Namun status aku pernah menarik perhatian mereka. Ada yang mereka share di dinding milik mereka. Ada yang memberi komen dan berbalas komen dengan aku di dinding aku sendiri. Selepas kalah atau merasa kalah, atau aku merasa telah menang di dalam berbalas-balas komen dengan nada sopan itu, komen-komen janggal tidak pernah muncul lagi. Tapi adakah kemungkinnan kali ini dinding aku akan dijenguk semula?

* putus kawan ialah unfriend. Boleh la ..

Left Grup

Untuk berhenti bersuara adalah dengan menjauhinya. Maka buat kali kedua aku keluar grup berkenaan. Semoga suasana aman dalam keluarga dapat dipertahankan hingga bila-bila. Aameen.

Abang ipar yang seorang ni suka provokasi. Dia pernah memberi komen-komen provok di status dinding aku. Kali ini dengan isu tahfiz, dia melakukan apa yang disebutnya sebagai perang saraf atau perang psikologi sekali lagi.

Ringkas cerita, eloklah aku beredar dari situ. Biarkan dia tenggelam bersama labu-labunya, dan sekutunya.

Aku buat kerja aku.
Kau buat kerja kau.

Semoga kita semua di atas jalan yang lurus. Aameen.

Saturday, September 16, 2017

Soalan Bodoh dan Naif

Ada pengaruh syabu. Umur 12-18 tahun. Mereka merancang untuk membakar tahfiz tersebut. Mereka berdendam. Mereka marah. Marah mereka hingga mahu membunuh.

Wahai anak-anak. Bagaimana kamu boleh berpeleseran di luar rumah hingga lewat malam? Apakah malam berkenaan sahaja, atau hampir setiap malam? Di mana ibu bapa kamu? Mereka terlalu sibuk mencari rezeki untuk kamu? Atau kamu mencuri keluar tanpa pengetahuan ibu dan ayah?

Apakah soalan-soalan ini seperti soalan bodoh untuk ditujukan kepada anak-anak bandar?

Wahai ibu.
Wahai ayah.
Apakah yang sedang berlaku kepada keluargamu? Bagaimana anak-anakmu jadi begitu? Memang mereka sudah liar hingga ibu dan ayah sudah malas mahu memberi nasihat? Apakah mereka memang degil dan enggan dibentuk lagi? Mereka mendapat bekalan syabu. Begitu mudahkah untuk memperolehi syabu di kawasan berkenaan? Siapa pula yang membekalkan?

Aku merasa lemah. Aku masih terasa-rasa panasnya lidah api membakar diri. Aku berasa longlai untuk membenarkan amarah berputik dalam diri. Aku hanya mampu menangis.



Ya Allah, di manakah anak-anak syahid berkenaan? Di syurga Firdauskah? Ya Allah, sangat ingin aku melihat mereka berbahagia di sisiMu. Allahuakhbar.

Friday, September 15, 2017

Mengapa kau melakukannya?

Aku tak mampu membayangkannya. Air mataku mengalir ketika tanpa sengaja menatap berita tentang kebakaran pusat tahfiz berkenaan. Wajah anak-anak yang putih bersih. Tiga beradik yang memberi pose paling mesra. Dan lewat petang mendapat khabar adik kepada kawan anakku turut terkorban.

Aku menangis dan menangis. Emosiku menjadi sensitif. Mendadak aku naik meradang dengan sikap mengolok-olok abang iparku di grup keluarga. Perang psikologi @ perang saraf, katanya yang sudah bersara dengan pangkat Mejar. Aku dan dia bagai berperang di ruang WhatsApp. Dia mengetawakan aku. Hingga muncul perkataan 'lawak bodo' dan beeakhir dengan gambar piala yang aku ambil dari google sebagai hadiah untuk memberi menang padanya.

Aku dinasihatkan dengan baik oleh suami, abang ipar yang lain, kakak ipar bahkan anakku Naqib agar tidak melayan kerenah seperti itu. Biarlah dia dengan sikapnya. Tetap saling mendoakan dan mengasihi saudara.

Lewat tengahmalam, sambil menahan sakit entah apa masuk dalam telinga kanan menggelodak di sana, aku insaf. Aku sedang bertelagah dengan tetamu Allah. Maka aku segera menitipkan permohonan maaf di atas sikap kasar bahasa kepadanya, abang iparku yang amat tersendiri. Dia gelak, biasa saja dan tidak ambil hati, begitu jawabnya.

Pagi tadi aku terjaga dari tidur. Serta-merta ingatan kepada anak-anak tahfiz muncul. Air mata mengalir lagi. Allahu. Aku tidak pernah mampu meneruskan bayangan.

Bagaimana .. api itu marak mendadak. Bau gas di mana-mana. Tubuh-tubuh mereka disambar api hidup. Api yang panas. Api yang ganas. Api api api di mana-mana. Mereka dikelilingi api. Api meratah tubuh anak-anak dengan lidah yang panas mencairkan. Rentung menghitam. Mereka menjerit berpaut di tingkap-tingkap besi yang kukuh. Mereka melaungkan permohonan minta tolong. Mereka meronta mahu menyelamatkan diri. Mereka mahu keluar dari api yang sedang menjilat pakaian dan kulit mereka.

Allahu ..

Siapakah yang khianat? Andai benar, mengapakah kau sanggup mengkhianati anak-anak itu? Mengapa???

Berilah jawapan. Mengapa, andai benar, kau sanggup melakukannya sebegitu?  Mengapa mengapa mengapa?

Ya Allah, tunjukkanlah kebenaran. Pamerkan pengkianatan. Berilah balasan yang setimpal. Apakah sebenarnya yang berlaku. Aameen.

Wednesday, September 13, 2017

Berilah kemaafan

Buat kesekian kalinya, aku menitipkan kemaafan lewat doa-doaku di atas sejadah. Ternyata membuatkan hatiku tenang dan dadaku lapang. Aku ucapkan lagi bahawa kemaafan ini adalah meliputi semuanya, sejak dulu-dulu lagi walau ada luka-luka yang tidak terlupakan. Lantas air mata pun menitis. Bahawa kita semua hanyalah insan biasa yang tidak pernah dapat lari daripada kesilapan. Dan dari kemaafan yang tulus seikhlasnya ini muncul rasa kasih dan rindu. Senyum pun bertamu semula. Alhamdulillah.


***

Aku diminta agar memberi kemaafan. Dan aku memikirkannya sepanjang malam. Hingga dalam igauku juga ada fikiran tentang MAAF. Dan akhirnya aku redha, lalu setulus hati aku menerima semuanya dan memaafkan segalanya. Tetapi ternyata kemaafan ini seperti membuka pintu kepada dosa halus. Tiada rasa tenang, sebaliknya hanyalah resah tiada noktah. Aku hanya mahu mengabarkan tentang hukum alam. Sunnatullah. Berilah kemaafan setelah menerimanya. Atas apa jua yang berlaku, sejak dulu-dulu, kini dan selamanya.

***

Idea untuk cerpen mewakili Negeri Sembilan Darul Khusus sudah ada. Cuma kena cari masa untuk sinopsis dan plot yang sesempurna mungkin. Tak mungkin kisah cinta antara adam dan hawa.

Tuesday, September 12, 2017

Rasa Merdeka

Perasaan MERDEKA ini sebenarnya sudah lambat. Merdeka dah berlalu 12 hari lepas. Malaysia Merdeka! Hari ni baru rasa merdeka.

Alhamdulillah. Apa-apa pun mesti rasa syukur dan ucap syukur ke hadrat Allah. Dapat juga menghayati erti kemerdekaan walau dari perspektif yang berbeza.

Aku dah uninstall dinding 2 hari lepas. Juga suku-sakatnya yang satu lagi tu.

Yang tak tahan, setiap kali pegang tab aku macam tercari-cari sesuatu ... cari dinding. Ciss!  Kemudian barulah teringat dengan segeranya, bahawa dinding sudah tiada.

Sehari ..
Dua hari ..
Dan hari ini, aku rasa eloklah kalau aku akui tentang Merdeka yang ini. Aku rasa free. Rasa lapang. Rasa bebas. Rasa ehmm sebenarnya tak penting pun dinding tu. Ya, apabila kita rasa sesuatu tu tak penting, maka ia memang akan jadi tak penting.

Benda ni sudah diakui oleh orang-orang yang lebih awal meninggalkan dinding. Mereka kata serabut pulak tengok orang-orang yang asyik bergayut di dinding. Dan apabila mereka cuba-cuba melihat dinding, ada rasa serabut yang muncul.

Walaupun aku tak kata dengan merdeka ini aku dah mula bergayut dengan buku atau apa-apa yang lain yang sepatutnya lebih berfaedah. Namun memang ya. Aku ada banyak kerja nak buat.

Pagi hari, aku uruskan kucing-kucing yang 10ekor. Ayam-ayam mak yang aku ambil alih sebanyak 8 ekor. Dan anak-anak ayam yang asalnya 10 ekor dah jadi 5 ekor sebab dibaham dek tikus tanah. 

Kemudian selesaikan makanan khas untuk Naqib. Aku ikut Diet Sunnah tu untuk beri sokongan pada dia. Kalau aku tak buat sama, dia lagi berat nak buat. Dan sememangnya untuk orang yang sukakan kesihatan dan kesegaran, afdal buat DS tu.

Lepas Zuhor, minta izin siap-siap masuk bilik untuk solat dan buat kerja sendiri. Menulis. Edit nota DS untuk print out. Baca buku.

Ohhh .. masih tak cukup masa!!!

Selamat Tinggal Dinding.

Aku jenguk dinding dari desktop saja. Tak perlu tag aku, melainkan page-page penulisan yang aku terlibat dalam projek mereka. Itupun aku sudah bercadang nak berhenti join antologi. Cukuplah yang sudah-sudah, dan mungkin untuk mewakili Negeri Sembilan ni yang terakhir.

Nak mengangkat kisah Negeri Sembilan ~~~ apa la ceritanya? Biasanya perlukan beberapa hari untuk memikirkan, sambil-sambil masak dan mandi.

Katanya, ada penulis yang free writing without plot. Aku tak pandai buat plot. Sinopsis ringkas saja. Plot dikatakan adalah yang paling sukar dilakukan. Aku rasa plot penting supaya penulis tak keluh-kesah semasa menulis. Tidak merubah-rubah cerita. Semuanya sudah diset semasa plotting.

Jadi, aku nak cuba buat plot yang paling lengkap. Sesudah itu tinggal menulis saja dengan segala kemampuan dan kebolehan yang ada. Insya Allah.

Sunday, September 10, 2017

Semua rujuk di sana

Petang semalam yang tenang, Wan Ngah Esah atau lebih tepat adalah ibu saudaraku yang kedua telah dipanggil Allah pulang ke pangkuanNya.

Sebelum Zuhor tadi, hari ini iaitu 10 September 2017 bersamaan dengan hari Ahad, jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Kg.Tengah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya, aameen.

Waktu-waktu seperti ini barulah datang kesempatan bertemu muka dengan adik-beradik dan saudara-mara. Ramai generasi muda yang tak aku kenali, pangkat anak saudara, cucu bahkan cicit. Makin ramai cicit rupanya, walaupun cicit saudara.

Satu masa nanti, generasi yang masih tinggal di muka bumi ini adalah generasi muda yang tidak akan pernah lekang daripada smartfon. Akhirnya mereka juga akan menjadi tua dan adalah orang-orang tua yang sangat akrab dengan smartfon. Apa-apa rujuk google, feszbuk, whatsapp, instagram, twitter dan lain-lain untuk mencari jalan keluar sesuatu masalah. Apa-apa akan share maklumat-maklumat dari sana kepada semua ahli keluarga dan kenalan. Dan cucu cicit mereka juga adalah generasi baru yang tidak akan berpisah daripada smartfon. Muncul aplikasi-aplikasi yang pelbagai, menyeronokkan dan mendatangkan duit.

(Malam tadi ada satu nama yang ala-ala dakwah mempromosi aplikasi bayar duit, dan aku agak kaget menerima pelawaan tersebut. Apa-apapun pilihan di tanganku. Cuma aku memikirkan bagaimana di saat-saat aku sedang berperang dengan kehendak dan kesedaran, tiba-tiba aku diuji dengan aplikasi sebegini.)

Apakah situasi harian pada 50 tahun akan datang? Orang tuanya. Orang mudanya. Remaja awalnya. Remaja akhirnya. Kanak-kanak sekolah rendahnya. Kanak-kanak prasekolahnya. Bayi-bayinya. Kucingnya. Burung Merpatinya. Ayam jagonya.

***

Saturday, September 9, 2017

Di sini?

Di sini bukan dinding?

Tiba-tiba soalan ini pulak yang muncul. Merapu di dinding sana dan dengan cepat mendapat respon. Berpuluh yang like, bahkan beratus atau beribu. Kembangnya rasa hati. Sukanya rasa jiwa. Gembira dan ceria dalam dada.

Di sini?

Ahha, blog yang betul-betul diuruskan dengan tujuan, pasti mendapat sambutan. Akan mendapat banyak komen. Tapi ada ke blog yang setelah disiarkan dan mendapat berpuluh ribu like? Ada, banyak melambak. Dan web khas memang untuk menyiarkan pelbagai berita terkini. Kemudian disiarkan pula di dinding sana menjadi viral.

Jadi?

Di sana pun leka. Di sini pun leka. Kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Sejauh mana nak hanyut bersama-sama di alam yang tiada tepi ini. Atau kelipkan mata, dan kembali dalam diri. Apa tujuan sebenarnya?

***

Thursday, September 7, 2017

Kesilapan yang menarik

Ye ke?

Kesilapan aku di sini, adalah sengaja menulis dengan tergesa-gesa. Biar ia mengalir begitu saja. Bukankah begitu sebenarnya lebih menarik?

Aku semakin kurang membaca.

Dan sejak awal minggu ini, aku mengaku bahawa aku terpaksa membaca semula.  Membaca buku. Bukan membaca dinding yang serabut itu.

Walaupun akan muntah belahak.

Aku perlu membaca.  Yelah, kalau kau azam nak masuk pertandingan besar, kau kena la bersedia.  Kalau setakat azam, akhirnya jadi angan-angan Mat Jenin saja la.

Tapi perlukah sampai muntah belahak? Muntah betul-betul ohh tidak mengapa. Mengarut.

Rumah Pink Di Lorong Abu.

Yup, aku mengaku memang kena studi tentang plot.  Novel Seharum Doa Bonda tu aku buat gitu-gitu saja.  Mentang-mentang ada sifu.  Kali ini, no sifu.  Tapi aku akan cuba sediakan part yang paling susah kata ramai penulis, iaitu bahagian PLOT.

Kemudian, barulah aku akan ajukan kepada sifu. Kalaulah dia masih sudi.  Katanya dulu, selagi hayat di kandung badan.

In sya Allah.

Mahu penuhi janji kepada Lil Banat tersayang. 

Mahu Selamat Tinggal

Susah.  Sangat susah.  Aku rasa ramai yang susah. Bukan ribu, malah jutaan orang merasa susah.

Susah??

Ya. Susah nak meninggalkan dinding. Boleh saja aku quit. Sekadar di hujung jari saja. Buat masa ini aku semakin tidak rajin meninggalkan jejak di dinding.

Paling aku mahu lakukan ialah dengan mengurangkan aktiviti di sana, akan memberi kesan langsung kepada ahli keluarga aku sendiri. Bahawa mereka juga tidak memerlukan dinding seperti perlunya mereka kepada Al Quran dan kehidupan realiti yang lebih penting.

Seorang ahli keluarga aku sudah melakukannya.  Dia berjaya atas sokongan dan kawalan yang dikenakan ke atasnya.

Yang lain, yang agak jauh, nampaknya memang perlahan dengan aktiviti di dinding. Mereka ada kerjaya yang lebih penting diberi fokus.

Keperluan aku juga besar. Beberapa perkara berkaitan penulisan perlukan dinding untuk maklumat terkini. Namun syukurlah peranan emel masih besar. Emel masih diperlukan untuk urusan formal.

Jelak melihat status peribadi di sana sini. Jelak juga melihat iklan-iklan muka putih yang merisaukan.  Apa akan jadi beberapa tahun lagi kepada wajah-wajah suci bak bidadari ini? Mujur boleh hide advertisement. Terasa bersih sikit dinding.

 Ok. Aku mahu mengucapkan Selamat Tinggal Dinding.


Rindu tempat yang jauh

Ketika hati tidak menyukai sesuatu, hati akan mencari apa pula yang dirindu. Lalu kenangan di masa lalu, di tempat yang jauh muncul menari-nari mengusik emosi.

Maka kupanjatkan doa yang kusyuk. Agar aku mampu kembali ke sana, walau hanya seketika. Kerana rindu yang .............

tik tik tik tik

alamak, hujan daa. Hilang mood nak melayan perasaan. Jom le kita angkat kain kat ampaian.

Wednesday, August 16, 2017

Menyiapkan Cerpen 8 muka surat

Pesan sifu, jangn menulis dengan cara membodoh-bodohkan dan mengajar-ngajar pembaca.

Aku terus berusaha. Cuba sebaik mungkin. Sudah 5 cerita aku sudahkan tetapi tak puas hati. Aku ulang baca tiga baris sajak Usman Awang itu. Berkali-kali.

Bagaimana nak aku kaitkan ia di dalam cerita? Dan bagaimana nak aku kaitkan cerita dengan sajak tiga baris ini?

Aku google sajak Usman Awang. Apakah ia memang tiga baris? Tapi tak jumpa. Atau tak pandai mencari.

Aku tegur cikgu Sejarah di telegram. Aku tanyakan pendapat beliau tentang sajak ini. Kata cikgu, perang ada banyak jenis perang - perang mulut, perang dingin, perang rumah tangga. Ohh ..

Aku cnp juga sajak ini kepada kakak yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerja suntingannya. Dia mengadu berat kerjanya kali ini.

Berilah pandangan dengan baca sekelimbas lalu saja, aku memujuk separuh merayu. Tidak mahulah aku menambah susah kepalanya. Dan katanya perang itu adalah perang senjata.

Kakak seorang lagi pun seperti itu juga pendapatnya. Perang senjata. Macam perang Jepun dulu.

Maka batallah semua cerita yang dah aku tulis. Lima cerita, semua mengarut padaku. Entah di mana kaitan dengan sajak tiga baris itu.

Dan hiduplah aku seperti biasa. Pagi-pagi ke dapur, kemudian ke kebun. Usai solat Zuhor, barulah duduk mengadap laptop.

Emak memberi pendapatnya. Kerja menulis tidak ada makna sangat. Tak nampak duitnya. Tak macam kerja makan gaji. Emak ceritakan kisah dia menjual serai-serai belum bersih ke kedai runcit. Kalau jual bersih siap diikat tiga empat batang, lain harganya. Cili sentiasa mendapat sambutan. Orang Negeri Sembilan tak pernah akan putus bekalan cili di dapur.

Babi dan kera pun tak akan sentuh serai dan cili.

Sambil-sambil itu, aku masih cuba menyiapkan cerita ini. Seperti sudah ada kaitan dengan sajak yang diberikan. Alhamdulillah. Tetapi masih perlu mencari fakta supaya cerita ini tidak menjadi dongeng yang diketawakan orang nanti.

Perang itu fakta sejarah.

Aku berdoa semoga Malaysia dan Nusantara ini tetap aman damai. Diselamatkan dari bala bencana dan peperangan. Membaca sepintas lalu kisah-kisah mangsa kekejaman tentera Jepun hanya membuatkan aku resah.


Tuesday, August 8, 2017

Gadis Molek dan Sampah

Alhamdulillah. Blog tetap istimewa.  Kat sini senyap. Kau menulis sorang-sorang, macam tak ada sesiapa akan baca. Tapi satu ketika entah bila, ada la yang tersadai sekejap. Melainkan blog informasi, blog-blog curhat macam ni mungkin tidak popular sangat. Orang tersesat saja yang membukanya. Lebih-lebih lagi kalau tiada niat untuk mengumpul follower dan tidak komersial. Hanya mahu menulis sesuatu, macam aku.

Dah 8 tahun usia blog ni, rasanya. Sejak 2009. Makin lama makin jarang dibuka. Tapi ada kejutan demi kejutan yang aku dapati. Apabila sejak kebelakangan ini, maksudnya selepas aku kemaskini nombor telefon untuk contact di akaun, ada beberapa pertanyaan daripada ibubapa tentang madrasah. Mereka ingin tahu tentang madrasah. Mereka berminat dan mahu menghantar anak-anak belajar di madrasah.

Kisah Naqib belajar di madrasah pada 2009 banyak aku kongsikan di sini. Kisah adik-adiknya sedikit ada juga diselitkan. Aku tidak menyangka pula akan ada menerima feedback dari pembaca yang ingin tahu berkenaan madrasah. Walau apa pun, alhamdulillah syukur kerana dapatlah tak banyak sikit aku menerangkan dan memberi jawapan kepada soalan-soalan yang diberikan. Semoga kisah anak-anakku Allah jadikan asbab hidayat juga, walaupun hanya sekelumit. Aameen.

Aku dah log out muka buku. Serabut. Muak dan rasa nak muntah pun ada. Hampir sebulan aku tak jenguk ke sana. Semasa buat jualan buku lama online, kena la log in balik. Jenguk pulak wall. Selalu terus search page yang perlu atau skroll notification laju-laju. Bila jenguk wall, macam-macam iklan ada. Paling memuakkan ialah wajah-wajah ayu yang tunjuka cara-cara cuci muka dan mekap muka.  Tak perlulah aku tunjuk ekpresi emosi dengan gunakan huruf besar semuanya, cukup aku tulis ~ muak nak muntah.

Mungkin pada usia begini, fikiran pun dah makin matang untuk aku. Walau ada lagi orang yang lebih matang bijaksana. Tetapi aku tertanya-tanya, mengapa jadi trend macam tu? Mengapa wahai gadis-gadis molek? Lagi molek lagi kau nak tayang muka? Aku tertanya-tanya, produk-produk tu nak kena tunjuk cara guna macam tu ke? Maka akan bertambah laris jualan kau.

Kau dah cukup molek ke?

Yang molek tu la yang nak disimpan baik-baik sebenarnya.

Aku dah lama nak hide semua gambar-gambar kat sana. Tapi ada saja halangan dari dalam diri sendiri. Aku nak delete akaun, pun masih ada halangan dari dalam diri. Aku ingin membenci, tapi belum tahap berani mati. Maka aku hanya dapat pasang azam saja buat masa ini. Satu hari tak lama lagi aku akan ucapkan selamat tinggal kepada benda-benda memuakkan dan sampah-sarap itu, walaupun aku cuba mengasingkan sampah baik dan sampah jelik. Ia tetap sampah.

Ia alam yang akan membawa kau makin lama makin jauh entah ke mana. Ia adalah lautan maya yang akan menenggelamkan kau jauh ke dalam dan kau bernafas tercungap-cungap tanpa kau sedar yang kau sedang mencungap kelemasan. Dan entah bila kau akan sampai ke dasarnya, tak tahu ..

Blog ini? Nanti aku fikirkan. Ada juga ura-ura nak delete, masih dalam pertimbangan.

Jumpa lagi. In syaa Allah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing