Rezeki nak bersua. Allah mengatur semus.
الحمدلله
Pagi semalam. Dah nak keluar ke pasar, dah siap bergincu merah hati dan berbedak. Cuma tak sempat mandi sebab tergesa-gesa nak menemani si suami.
"Nak ke mana Datin Sri?" Tanya kakak ipar yang manis mulut.
Biasanya memang ada giliran kami suami-isteri masuk dapur. Kami conquer dapur dengan menyediakan menu pilihan sendiri. Namun setelah menunggu seketika, suami kata tak jadi keluar ke pasar, sebab kakak ipar dah mendahului bergegas lebih awal.
Adik-adik ipar dah mula bersilat untuk menggoreng bihun buat hidangan kumpulan marhaban perempuan sebentar lagi.
Aku balik mandi. Dalam leka menyiap diri, suami muncul mengajak ke Pasar Segamat pula.
"Jom cari ikan. Ngah cuma dapat beli sawi pahit saja tadi", katanya.
Lhoo .. maknanya ada dua. Bahan habis dan tiada stok, atau kedai tak bukak lagi. Aku bersiap semula, pakai lipstik merah hati MK dan berbedak bedak compact Arab. Rasa berseri, perasan sendiri. Pakai niqob bersama baju blouse baggy beli kat Batam, dipadankan dengan shawla pink belacan yang agak menyerlah. Biasanya warna-warna menyerlah ni aku pakai hanya apabila berjalan dengan suami dan mak. Selain bersama mereka, aku akan berpakaian hitam keseluruhannya.
Ada sebabnya ..
Dalam perjalanan ke Segamat, perut rasa berkeroncong pulak. Jarang sangat aku minta singgah kedai untuk bersarapan. Namun kali ini, aku mahu makan telur setengah masak. Malam tadi baru membaca status Dr Rizal berkenaan manfaat telur rebus. Di pertengahan jalan, nampak macam ada kedai makan yang agak sesak. Pasti tiada telur setengah masak, bukan kedai mamak. Tak jadi turun, terus ke Segamat. Jeling sana jeling sini, akhirnya nampak satu kedai yang nampak sayu tidak menggamit sangat di hujung deretan kedai yang semuanya tutup, sebelum rel keretapi, berdepan dengan hospital lama.
Turun juga la .. nanti order saja apa yang ada.
Begitulah, apabila Allah mengizinkan sebuah pertemuan yang tidak dijangka. Tiba-tiba muncul susuk Cikgu Kasran bersama seorang anak perempuannya, mengambil meja di sebelah kami. Aku tiba-tiba teruja benar. Cuma aku kurang pasti anak perempuannya itu yang bernama mana satu. Amat keliru.
Aku segera menegur dan memperkenalkan diri kepada Cikgu. Kelihatan Cikgu seperti terkejut juga.
"Cikgu, A.R kat mana sekarang?", aku bertanya.
Anak perempuan Cikgu tiba-tiba tertawa. Sungguh, aku benar-benar keliru. Sudah lebih 20 tahun tidak bertemu. Hanya menatap cerita dan foto di laman sosial, tidak membantu sangat pengecaman mata.
Dia memperkenalkan diri. Dan aku terus memeluknya erat. Satu ketika dulu di zaman remaja, kami pernah menjadi akrab. Pasti ada hikmah di sebalik pertemuan ini. الحمدلله
Aku merasakan perjalanan ke Pasar Segamat hari ini, adalah semata-mata untuk Allah mempertemukan aku dan Cikgu. Di pasar, beli ala kadar. Banyak bahan mentah yang diinginkan masih tiada. Jadilah tu, balik nanti menu kami berdua ialah kerapu asam pedas, gulai lemak labu, sambal mempelam dan ikan masin. Menu paling ringkas di hari raya ketiga.
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين

No comments:
Post a Comment