Kau tau, semalam anak puteri buah hatiku akan pulang ke tempat pengajiannya. Dar Al Zahra, Tareem dan bayangannya sudah melambai-lambai jiwanya. Hatinya walaupun rusuh hendak berpisah, separuh sudah di sana. Aku redha. Dan aku sentiasa mendoakan dia. Semoga puteriku dan sahabat-sahabatnya yang sama-sama bermusafir sentiasa di dalam pemeliharaan Allah dan me jadi asbab kebahagiaan dunia dan akhirat, aameen.
Ketika sedang menanti waktu untuk memulakan perjalanan ke KLIA, aku tergerak hati menyantuni rakan editor yang terus-terusan mengongsi status jiwa dan perasaan. Pagi semalam muncul status tentang rindu yang dalam.
Aku bertanya dengan nada kebudak-budakan. 'Puan, semua status puan ni berkaitan dengan novel puan ke?'
Benarlah, puan editor ini sedang menukangi karyanya. Tidak berapa lama sesudah itu, aku menerima kiriman foto darinya. Foto sedikit ruang cerpen dengan nama penulis serta tajuk yang jelas; Pulang, dan sebahagian gambar muka hadapan majalah Dewan Sastera dengan wajah Allahyarham Usman Awang.
'Syabas! Tulis dan hantar lagi, ya!'
Caption ringkas yang sangat memeranjatkan aku.
Tidak pernah menduga akan menerima berita baik sebegini di hari perpisahan sementara dengan anakanda puteriku.
Air mata menitis jua, namun ada azam yang membara dalam dada. Ada senyum dalam hiba.
Anakku, kau pulang ke sana. Mama juga akan pulang; pulang ke laluan lama yang selalu mama tinggalkan. In syaa Allah, mama akan menulis lagi dan lagi. Doakan mama. Kita akan saling mendoakan dari kejauhan. Dan kamu tetap rapat di hati.
Mama sayang kamu. Jumpa lagi. In syaa Allah, aameen.
*cerpen Pulang - Dewan Sastera Julai 2018
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين

No comments:
Post a Comment