Penat buat cookies. Bahu kanan dah terasa sengal lain macam. Duduk sepanjang menyelesaikan adunan. Purata satu adunan siap dalam satu jam. Maksima mampu buat sehari ialah 4 adunan, bermakna lebih kurang 4 jam duduk sebelah oven dan menggentel cookies.
Penat, namun belum bosan. تلحمدلله.
Dan rasa seronok terima hasil titik peluh sendiri. Seperti beberapa ketika lampau. Tatkala aku menerima upah bekerja dengan majikan. Dan jiga menerima bayaran penjagaan kanak-kanak di pusat penjagaan milik sendiri.
Lebih seronok bahkan rasa bahagia, apabila kali ini setelah beberapa lama yang sepi, aku memgenepikan sejumlah wang dari dompet untuk duit raya anak-anak. Aku segera menyiapkan dan menyerahkannya tadi. Mana-mana yang masih istirehat, aku selitkan di atas meja sisi. Hanya Hidayat yang menerima langsung dari tanganku. Ternyata anak-anak terkejut gembira.
Ada juga anak-anak kecil sahabat yang membeli cookies menerima duit raya. Mereka kata awal benar. Memang sengaja aku ambil kesempatan semasa bulan Ramadan masih belum berakhir untuk memanjangkan sedekah dan pemberian. Ganjarannya berlipat kali ganda dibandingkan di bulan-bulan lain. Jadi memgapa tidak ambil kesempatan yang istimewa ini, kan. Biarlah orang lain menghulur duit raya di Syawal nanti, aku tetap mahu mendahuluinya sekarang ini.
Semoga Allah menerima dan biarlah Allah yang memberi ganjarannya.
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين

No comments:
Post a Comment