Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, December 18, 2012

syukur alhamdulillah, akhirnya

setelah beberapa tahun berlalu, sejak cerpen Kak Long yang dibengkelkan bersama sifu siap sempurna.  Kemudian cerpen ini menjadi nadi novel aku yang pertama, hasil dorongan dan 'desakan' sifu supaya aku cuba menulis novel pula.

Aku tak tau menulis.  Sungguh!  Means tulis novel la ... Aku semakin kurang membaca sebenarnya, khususnya berbentuk novel.  Ada la sikit-sikit novel penulis pilihan atas rekomen kakak aku.  Sebenarnya macam ni ... bila aku membaca, aku rasa macam aku pun boleh menulis macam yang mereka tulis.  Tapi bila aku nak menulis, aku jadi blur.

Alhamdulillah sifu terus memberi keyakinan kepadaku.  Bukan sahaja sebuah keyakinan diri, sifu membimbing aku dengan penuh kesabaran.  'Gigih terus ...' begitulah pesanannya selalu di akhir pembaikan yang diberikan.

Dan sifu juga sangat-sangat sabar!  Sepatutnya aku tak layak meneruskan bengkel bersama sifu.  Masa sifu kian suntuk, kian berharga.  Semakin ramai penulis-penulis muda dan baru yang lebih berbakat inginkan bimbingan sifu.  Tetapi sifu sangat berbudi tinggi.  Thread aku yang dilenyapkan sebentar dikembalikan semula.  Terima kasih sifu!

Sayangnya, aku masih berperangai lama.  Hmm bukan mudah nak mendisiplinkan diri ... ada je alasan yang diberi untuk mempertahankan kelewatan menghantar homework.  Aku selalu menyesal, tetapi memang aku tak berdaya.  Puas aku hebohkan bahawa aku sedang menulis novel.  Aku warwarkan di fb bahawa aku sudah semakin hampir ke penamat.  Rupa-rupanya semakin ia akan berakhir, semakin berat aku rasakan.

Namun, pasti dan memang sahih lagi benar, bahawa Allah Maha Kuasa.  Aku hanya hambaNya yang tak berdaya upaya.  Tanpa kekuatan dariNya, aku tak mampu berbuat hatta bergerak seinci pun.  Semakin Disember berlalu, aku semakin risau.  Aku perlu membuat pembaikan total seperti yang diberitahu oleh sifu melalui fb.   Apa yang dah aku buat agak serabut, begitulah komen sifu.

Risau dan resah.  Akhirnya aku bermunajat kepada Yang Maha Esa dalam kepayahan.  Aku selitkan doa memohon kemudahan dari Allah di sela-sela doa selepas solat fardhu.  Ketika hujan tengkujuh turun membasahi bumi yang lembap dingin, aku segera menadah tangan memohon kepadaNya.  Demikian juga sebaik selepas azan dari beberapa surau dan masjid sekitar selesai dilaungkan muazzin, aku sambung dengan doa demi doa.

Memang banyak benar hajatku kepadaMu ya Allah.  Hajat akhirat ... hajat dunia ... hajat demi hajat yang kadang-kadang membuat aku menangis.  Ya Allah, aku tak tau di mana ajal itu.  Bila ajal akan tiba.  Bagaimana ia akan datang kepadaku.  Aku tak tau!

Dan satu malam selesai semua urusanku dengan Khaliq, aku tetapkan hati dan duduk menghadap laptop.  Aku pasrah.  Aku tetapkan hati, bab terakhir ini mesti aku selesaikan malam itu juga.  InsyaAllah.

Dengan nama Allah dan selawat ke atas Junjungan Nabi SAW, aku rangkaikan seuntaian doa memohon kemudahan dan pertolongan dariNya.  Aku mohon izin dari suami untuk menyudahkan kerjaku hingga selesai.  Sehingga mataku kabur, akhirnya dengan izin Allah, menjelang dinihari jam 4.17am 14/12/12, pembaikan bab terakhir berjaya aku posting ke blog khas untuk dinilai oleh sifu. 

Alhamdulillah syukur kepada Allah Subhanahu wa Taala.  Hari ini aku membaca komen positif dari sifu di blog tersebut.  Dengan kata lain, bengkel novel Sakinah bersama sifu sudah pun selesai. 

Allah juga yang akan memberi ganjaran kepada sifu Azmah Nordin di atas pengorbanan dan jasa beliau mendidik dan membimbing aku sehingga novel ini selesai.  Juga buat suami tersayang yang sama terkorban (hehe ...).  Anak-anak yang dikasihi ~ Naqib, Hurilain, Hidayatullah dan Hanessa, yang selalu memberi dorongan kepadaku untuk terus menulis.  Kepada seluruh keluarga ~ mak J dan abah TM. Mak Ramlah, kakak-kakak aku, abang aku, adik aku, seluruh keluarga mertua di Segamat, terima kasih yang tak terhingga.

Khusus buat arwah kekanda Norliza binti Hassan (al-Fatihah) yang menjadi tunggak cerita novel ini.  Semoga Kak Ja sentiasa di dalam limpahan rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.  Novel ini didekasikan buat keluargaku di Batu Kikir sebagai tanda kasih-sayang buat arwah Kak Ja yang sentiasa di dalam ingatan.

Aku tak tau menulis tetapi aku suka dan gemar menulis.  Semoga Allah yang Maha Bijaksana akan mengurniakan aku ilmu dan ilham untuk menulis dengan baik sekali, insyaAllah.  Semoga setiap huruf, setiap titik, koma dan segala tanda yang aku gunakan, hatta ruang kosong yang aku tinggalkan mendapat redha Allah dan tak menjadi asbab aku berlama-lama menunggu penghakiman di padang mahsyar sana.  Juga tak menjadi sebab aku dicampakkan ke dalam neraka, nauzubillah.

Semoga apa yang aku catatkan menjadi asbab taufik dan hidayat untuk diriku, keluargaku dan seluruh alam, aameen.  Kepada Allah aku berserah diri.

Astaghfirullahal azim, ya Allah ampuni segala dosaku. 

Kepada yang sudi berkunjung ke sini, kumohon doa dari kalian untuk novelku ini, semoga Allah permudahkan segala urusanku sehingga novel ini menemui pembaca tak lama lagi insyaAllah.  Terima kasih atas doa kalian.  Jazakallahu khairan kathira.


Thursday, December 13, 2012

nak menderma darah tapi ...

petang semalam ketika sedang bersantai berdua di tepian pantai sliding door famili hall, tiba-tiba telefon rumah berdering garang.  Aku angkat dengan rasa agak saspen.  Jarang menerima panggilan telefon rumah di waktu begini melainkan salah nombor.

"Ini panggilan dari Hospital Ampuan Rahimah, Klang ..." 

Ah, sudah!  Si pemanggil menyebut nama suami.  Tak berlengah aku pas telefon kepada dia yang sedang menekuni skrin laptop. 

Serius!  Aku tak dapat tangkap point sebenar.  Walaupun aku lambat cemas, tapi rasa saspen melonjak-lonjak bersama rasa ingin tahu.

Sehingga hari ini, yang selalu deal dengan pihak hospital secara berkala ialah Kamarul yang harus menjalani dialisis.  Tapi tak ada kena-mengena dengan suami aku.

Selesai berbicara, dia memberitahu pihak hospital memerlukan penderma darah A+ dan suami aku yang jenis darah A+ diminta menderma darah segera. 

"Ayang nak itot?  Boleh temankan abang."  pelawa suami.

Hmm ... aku tak pernah ikut dia, setakat hantar kat depan pintu hospital dan pusing balik ke rumah.  Terfikir pulak nak cuba menderma darah.  Darah aku jenis O.  Dan aku harus membatalkan niat nak berpuasa sunat hari Khamis.  Orang yang nak menderma darah perlu mengambil heavy breakfast sebelum darah diambil sebanyak setengah liter (kata suami aku).  Dia pula akan melakukan aferensi yang mengambil masa sekitar sejam.

***

So, dipendekkan cerita, pagi tadi kami pun bersarapan makan roti canai, toseh dan tiga biji telur setengah masak dikongsi bersama.  Hehe kami selalu berkongsi makanan.  Kalau bersama anak-anak, masing-masing order makanan berbeza.  Lepas tu pinggan akan berjalan atas meja, semua orang saling merasa setiap makanan yang ada.  Kadang-kadang pengunjung memerhatikan telatah kami ... hehe ... siok bha. 

***

Di bahagian tabung darah, suami berurusan dengan pegawai di kaunter.  Ada seorang lelaki India yang segak sedang mengisi borang di situ.  Aku diberikan sekeping borang kerana tak pernah menderma darah. 

Semua soalan aku tick TIDAK, kecuali soalan tentang Lelah/Astma dan Bertindik/Berbekam. 

Selesai, aku kembalikan borang ke kaunter.  Sister Wong (yang buat panggilan petang semalam) memeriksa jenis darah aku.  "Comfirm O" katanya kepada petugas di kaunter.

Kemudian aku diminta menimbang berat badan.  Fuyoo ... sudah 65.4kg!!!  OMA, aku mesti bersenam banyak-banyak dan kerap macam ni.  Berat tuhhhhh!

Ok, kemudian nurse mengambil tekanan darah aku.  Normal.  Dia mula memeriksa borang yang aku isi.  Dia tanya pasal lelah, aku kata masa budak-budak dulu la ... sebab soalan tu tanya PERNAH.  Memang pernah.

Dia tanya aku bertindik ke? 

Aku senyum di balik purdah, "tak ... akak berbekam."

Dia tanya lagi bila aku berbekam.  Seingat aku dalam 3 bulan lepas di rumah sahabat masturat di Sri Petaling.  Dia pun senyum, lebar senyumannya.  "Kak, akak tak boleh derma ni.  Cer baca ni, kalau ada wat tindik or bekam (dan ada lagi yang lain aku tak ingat) kurang dalam setahun tak leh derma darah."

Aku pun sengih.  Hehe ... yeke ... laaa ... gitu rupenyeee ...

"Saya kensel akak ye ..."  aku pun angguk dengan senang hati.  Tunggu lagi 6 bulan la nampaknya ...

Tadi aku dok perati Sister Wong bersama lelaki India tadi tu, dan aku nampak dahinya berkerut semasa Sister Wong menyucuk jarum besar punya ke bahagian dalam lengannya. 

"Sakit sikit yerr ... " kata Sister Wong. 

Peristiwa 16 tahun lepas kembali segar.  Aku harus selalu membuat check-up di Jerudong Park Medical Centre sepanjang mengandung anak pertama dan kedua.  Antara yang rutin ialah kena cucuk untuk ambil darah.  Ada je yang nak dicheck oleh doktor.  Melihat raut sakit di wajah lelaki India tu, aku rasa pasrah je.  Dan bila kensel derma darah, aku terus rasa lega hehe ... Alhamdulillah.

***
Selesai Sister Wong menguruskan lelaki India, dia berpindah ke mesin lain di sebelah.  Suamiku disuruh naik ke kerusi khas untuk memulakan proses.  Dia akan melakukan derma darah aferensi- iaitu darah yang dikeluarkan akan automatik diasingkan mengikut komponen darah.  Komponen yang tak diperlukan akan dikembalikan semula ke dalam badan penderma. 

Aku mendekati suami untuk snap gambar.  Ketika itu Sister Wong bertanya asbab aku tak jadi menderma darah.  "Ada bertindik ke?"

Aku dan suami sama-sama menjawab, "baru buat bekam."  Biasala ... bekam bukan perkara baru.  Bangsa Cina pun ada kaedah bekamnya sendiri selain akupunture dan lain-lain cara pengubatan mereka.

"Sebenarnya bekam ... bla bla bla ..."  Sister Wong bersuara sambil terus sibuk dengan kerjanya di tepi mesin.

Tiba-tiba aku rasa agak panas.  Hati aku rasa panas dan aku mengundur duduk semula di kerusi.  Dari jauh aku snap gambar suami.  Aku tak gemar mendengar celotah nyonya berseragam biru ni.  Dari jauh, aku nampak suami angkat kening kat aku.  Huhh ...

Aku sabarkan diri.  Aku anggap nyonya peramah ni sangat jujur memberi pendapatnya.  Orang kerja hospital selalu memiliki tahap kesedaran yang tinggi dan sangat peka bab kebersihan.  Ok tak pe tak de hal ... tapi aku tetap tak suka tau! 

Kalau tak tau, jangan sedap-sedap kita nak komen apa-apa pun.  ~ komen untuk diri aku sendiri.

***

Selepas nyonya peramah yang sangat fasih berbahasa Melayu bagi komen pasal bekam, dia pun ready on mesin derma darah. 

"Dreddd dredddd dredddd .... "

Tiba-tiba ada bunyi bising yang aneh keluar dari mesin.  Sister Wong, dua nurse berseragam putih, lelaki India yang sedang santai di kerusi sebelah terkejut.  Bising benar bunyinya.  Serta-merta mesin dimatikan.

Dipendekkan cerita, derma darah oleh suami aku terpaksa dibatalkan.  Mesin rosak!  Minggu depan akan dihubungi lagi.

dapat cold bag sebagai penghargaan walaupun tak jadi derma darah
Aku dimaklumkan darah A+ ni untuk seorang pesakit luekimia berusia 40 tahun yang akan menjalani pembedahan.  "Harap-harap dia lama lagi duduk hospital."  kata Sister Wong.  Aku dan suami turut bersimpati.  Gara-gara mesin rosak ... stok darah hanya dari tiga penderma sahaja yang dapat digunakan.  Allah Maha Kuasa.  Sister Wong hanya berusaha.  Aku hanya mampu berniat.  Suami aku setakat tahap kena cucuk dan diambil darah satu tiub je, lebih tak boleh.

***

Keluar dari bangunan hospital menuju kereta.  "Hmm tak jadi derma.  Puasa pun tak jadi." kata aku.

"Tak pe ... pahala dah dapat.  Pahala niat puasa.  Pahala niat derma darah."  balas suami aku.  

InsyaAllah, Allah Maha Pemurah. 

"Tu la ... dia g komen pasal bekam wat pe.  Tak pasal-pasal mesin rosak."  sambung aku lagi.  Rupa-rupanya masih ada geram dalam hati ohhh ... Astaghfirullahal azim.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui. 

Ya Allah, berilah hidayat dan taufik kepada kami semua untuk mengikut jalan yang Engkau redhai.  Aameen.

*~*

Monday, December 10, 2012

kembali sendiri

Semalam, semua anak-anak dah dihantar balik madrasah. 

Pagi, aku jemput Hurilain outing balik rumah.  Tengahari, kami semua ke Dengkil menziarahi Naqib.  Sempat la kami mendengar suara dia azan Zuhor di masjid madrasah yang masih dalam pembinaan tu (tingkat atas).  Aku sempat merakam suaranya, tapi terpaksa kensel nak upload sebab ada termasuk pulak imej Hurilain tak berniqab kat hujung rakaman walaupun tak jelas sangat.  Jadual Naqib sebagai bilal (azan) ialah setiap hari Ahad.  Hmm ... not bad la suara dia.  Suara dah tak halus tapi garau, suara remaja 16 tahun.

Selepas solat, kami ke Paya Indah Wetland, makan durian dan KFC sebagai meraikan ulang tahun Naqib ke 16 tahun in advance.  Tarikh lahirnya pada 14 Disember nanti.  Tapi tak kisahlah, adjustable, bergantung pada kemudahan dan kesesuaian masa.  Semalam, semua ada dan dapat berkumpul.  Alhamdulillah, dan semua happy sampai terlupa nak ucap hepi besday kat Along.  Macam biasa, kecoh-kecoh bila berkumpul dan masing-masing sibuk nak bercerita.  Hehe ...

Selepas 'memulangkan' Naqib ke madrasah, kami balik ke Sijangkang.  Otw ada pelanggan menalipon nak booking meja untuk makan petang.  So, suami aku harus spare time di kedai, maka tugas menghantar anak-anak yang lain ni terus terpikul di bahu aku ...

Hujan turun.  Syahdu. Cool.  Dalam perjalanan (sejak keluar rumah) aku khabarkan supaya jangan menangis tapi rasakan diri bertuah dapat belajar di madrasah.  "Kamu duduk di taman-taman syurga tu.  Ramai malaikat datang menghamparkan sayap sampai langit ke tujuh.  Rahmat Allah banyak turun di situ.  Doa banyak-banyak ya .. untuk kita semua."  Aku ulang dan ulang tak jemu-jemu.  Hanessa asyik menyampuk dan menokok tambah.  Hidayat tekun mendengar dan menyampuk sesekali je.

Alhamdulillah,  Allah mudahkan urusan di pintu madrasah.  Aku peluk Hanessa sekuat hati, hasilnya dia menangis kesakitan di mulut.  Alahai ... mama sori ye.  Dia pukul aku balik ...melepaskan geram sambil menangis.  Hmmm tak pe la, aku lagi suka dia nangis sakit kat bibir tu daripada dia nangis tak nak duduk madrasah hihihi ... Kicap Hurilain jatuh, pecah melambak kat pintu madrasah apabila si kawan yang selalu datang menyambut kami terlepas pegangan beg.  Kiranya agak kecoh jugak la kat pintu yang sempit tu hahaha ...

"Ma, Syamira!"  tiba-tiba Hurilain panggil aku yang kelam-kabut melihat kicap meleleh jatuh dari beg yang koyak. 

*Syamira bukan nama sebenar. 

"Eh eh Syamira!!!" aku menoleh dan nampak dia tersenyum manis. 

"MA!!! Gediknya mama, nyampah!"  jerit Hurilain tatkala melihat aku meraikan Syamira dan bersalam peluk dengan si dia ni. 

Hahaha jeles la pulak anak aku ni yaaaa ...   Syamira nampak terpinga-pinga, "Napa? Napa?"

Kemudian aku memecut ke madrasah Hidayat pulak.  Kejap lagi azan Maghrib akan berkumandang. 
Tatkala sampai di situ, semua pelajar berjubah dan berserban putih sudah berkumpul di ruang solat menunggu waktu.  Seketika kemudian, aku nampak ada pelajar muda bercakap-cakap dengan Hidayat.  Entah apa, Hidayat mengangguk-angguk.

Kemudian, "Ma, kitorang yang baru semua duduk kat cawangan."

"Sampai bila?"

"Sampai bila-bila.  Sampai habis.  Macam Dayat, sampai satu tahun la.  Kan tahun depan Dayat nak pindah madrasah Along, kan..."

Aku anggukkan je.  Dia berdiri di tepi pintu tempat aku duduk dan air hujan gerimis jatuh membasahi mukanya.  Matanya sedikit bengkak bekas menangis. 

"Ok ma ..."  katanya mohon diri lalu bersalam.  Aku cium kedua pipinya, dahinya dan tiup selawat ke ubun-ubunnya.  Akhir sekali aku letak tapak tangan ke atas kepalanya, sesuatu yang selalu aku lakukan kepada semua anak-anakku.

Dia berlalu ke ruang solat terbuka tu semula.  Aku pula reverse kereta sambil terus memerhatikan dia.  Kalau Naqib, akan terus tercegat memerhatikan kami dan lambai-lambai tangan hingga kami hilang dari pandangan.  Tapi Hidayat ni, dia tak memandang aku pun.  Aku pulak yang berhenti sekejap mengharap dia akan menoleh untuk babai tangan.  Lain sikit anak yang seorang ni gayanya.  Aku tekan hon dan dia menoleh.  Babaiiiii!

Hari ni, aku kembali sendiri untuk minggu kedua. 

Memang hatiku tega berpisah dengan anak-anak ini.  Aku keraskan hati dan kuatkan semangat.  Aku mahu mereka duduk di taman-taman syurga yang penuh berkah dan rahmat Allah sentiasa insyaAllah.

Hazrat Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallalahualaihiwassalam bersabda, "Tiga macam orang yang tidak ada ketakutan pada hari kiamat yang penuh dengan huru-hara dan mereka tidak akan dihisab.  Mereka berada di atas timbunan-timbunan kasturi sehinggalah kesemua manusia telah habis dihisab.  Pertama, seseorang yang mempelajari Al-Quran semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Taala dan kemudian mengimami orang ramai dalam solah sedangkan mereka menyukainya.  Kedua ialah orang yang mengajak orang lain kepada solah semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Taala.  Ketiga ialah orang yang berlaku baik antara dirinya dan tuannya, juga antara dirinya dengan orang bawahannya."  (HR Tabarani.)

*~*






Saturday, December 8, 2012

tiba-tiba jadi matang

gambar hiasan
"ko nampak matang la bila ada anak dua orang ni!"  komen kawan-kawan.

***

time beratur (berebut) nak ambil talam ~ "eh tepi tepi ... bagi Hurilain ambik talam dulu, dia nak bagi anak-anak dia makan."

***

gambar hiasan
orang lain makan satu talam 4/5/6 orang, tiba-tiba Hurilain jadi kes istimewa (terpencil) makan satu talam tiga orang je ... dia dan 'anak-anaknya' yang dua orang tu hihi ...

***

"Ma, duit nak beli pencuci muka tu dah luak ... Baby asyik nak beli makanan je kat koperasi ..."

gambar hiasan
Hmm ... tentu kes laparrrrrrr manjang ni sampai duit poket habis dan terpaksa gunakan duit pencuci muka yang dah diorder tu.

***

gambar hiasan
Tiba-tiba jadi matang?  Apa pandangan ustazah H agaknya ... tentu ustazah H memerhati dalam diam.  Semoga semuanya asbab hidayat seluruh alam.  Aamiin.

yeye anak aku balik!

ding dong!

aku dengar bunyi loceng pagar.

Aku nampak seorang budak perempuan genit berjubah hitam dan berniqab hitam muncul di depan rumah.

Ehhh dah sampai!!!!

Anak aku dah balik!!! Yeye yeye yeye ...

Hmm ada sedikit perubahan nampaknya.

Serius, nampak matang.

Kena peluk cium dengan mama, kena dakap dek abah, gelak-gelak kecik je.  Namun masih ada manja.



Thursday, December 6, 2012

malam pertama Hanessa di madrasah

malam pertama, dia menangis menjelang waktu tidur.

pagi pertama, dia memberitahu kakak ingatannya kepada aku.

"Baby teringatkan mama ... kalau abah keluar gi kedai, gi mana-mana, mama tinggal sorang kat rumah.  Sian mama ..."

Jawab kakak, "Tak pe, kan kucing-kucing tu ada temankan mama.  Jangan la risau."

"Kakak! Kucing-kucing tu mana boleh tolong mama buat kerja rumah!!!  Kucing-kucing tu melepak je."

Si kakak pun terharu mendengarnya ...

Tapi ... "mama, tak larat la nak basuh baju diorang ni ... baju Ain lagi!"

"Ajarlah diorang basuh baju sendiri."  Baju Hanessa dan Nisa Irdina la tu.

"Alaa ... diorang basuh baju tak bersih la mama.  Dah basuh, nak sidai lagi ... "

 Aduhai ... hihi ... dalam pada merungut tu masih juga hati nak menolong si adik dan Nisa, walaupun rasa berat.  Training training training ... kan nak jadi isteri solehah hehehe ...

* tersentuh benar hati ini memikirkan ingatan si bongsu kepadaku.  Bukan rindu jadi tangisan, tapi ingatan dan kerisauannya untuk aku yang bersendirian di rumah.

Doaku untuk semua anak-anak, semoga menjadi pilihan Allah dan asbab hidayat seluruh alam insyaAllah aameen.

Tuesday, December 4, 2012

kembali berdua (3)

ketika terberhenti melangkah melihat begitu ramai warga asing mengerumuni ruang mesin ATM CIMB bank, suami mempelawa aku ke KFC di sebelah bank.  Dalam kepala aku serta-merta terbayangkan ... chezzy wedges!!!  Waaa air liur kecur tak terkawal hehehe ...

Sekali lagi langkah terhenti di pintu masuk KFC.  Ramai rupanya yang sedang beratur di kaunter.

"Jom g JJ.  Kat sana ada bank, KFC ada tak?"  kata suamiku.

Owhh tentulah ada ... entah kenapa suamiku buat-buat tanya pulak ... tak kisah la.  Pokoknya, duit kutu mesti dimasukkan malam ini juga, sebab hari ni tarikh terakhir tempoh duit kutu dimasukkan.

***

Di KFC JJ, kami ambil meja untuk berdua, loving couple gitu hihi ...  Suami menyuruh aku buka purdah dan makan membelakangkan pelanggan lain.  Maka dapatlah aku makan ngap ngap ngap dengan selesanya, sekejap je cheezy wedges licin.  Lepas tu aku tolong suami menyelesaikan ayam goreng 3 ketul pulak ... selebihnya masuk kotak angkut balik rumah untuk juadah Budak Bulu2.  Hujan turun sederhana lebat di luar.  Aku terkenangkan Budak Bulu2 tentu kesejukan dan kelaparan di rumah.

"Kalau budak-budak tu tau kita makan KFC ..."  kata suami tak bersambung.

Hmm ... dah lama tak berdua begini.  Semenjak hampir 16 tahun lepas. 

Kami jalan berpegang tangan ... teringat pesanan aku siang semalam sekembali dari menghantar Hidayat dan Hanessa, di rumah kami yang terasa lebih besar dari biasa ... dan tiba-tiba rasa senyap sangat ni ...

"Haaa dah tinggal berdua ni jangan suka-suki nak mare2 ye ... karang tido sorang2 kang ..."  hahaha saja je .. bilik ada 4 dan semua bilik aku yang punya ... hihi ...






Monday, December 3, 2012

kembali berdua (2)

Sementara menunggu Nisa Irdina sekeluarga sampai, kami berhenti di gerai buah-buahan di tepi jalan seperti yang dijanjikan.

"Ain nak durian?"  tanya suamiku. 

Pantas je dia mengangguk.  Rezeki jangan ditolak, desir hatiku lantas teringatkan Naqib.  Rezeki dia nak jamah durian nampaknya.  Durian sebijik tu memang tersangatlah sedap rasanya.  Kemudian suamiku membeli 6 kilogram rambutan gula batu untuk dibawa ke madrasah. 

***

Suasana di perkarangan madrasah sesak dengan beberapa biji kereta.  Aku dan ibu Nisa sama-sama mengheret beg besar dan barang-barang lain di tangan.  Kami tersekat di pintu masuk madrasah yang sempit, kerana ada keluarga pelajar masih tersangkut nak mengucapkan salam selamat tinggal dan sebagainya. 

Masuk ke dalam, meriah sungguh suasana!  Pelajar bertebaran merata.  Mana-mana yang dah kenal aku segera menerpa menghulur tangan bersalaman dan bertanya khabar.  Salah seorangnya, Aisyah Amirah, alimah 3 yang aku perkenan tu, hehe ...

Ketika aku dan Puan Roswati di dalam pejabat untuk urusan pembayaran yuran, Dini Irdina, adik Nisa pulak sibuk nak buang air kecil.  Risau juga aku kot cicir pulak kat dalam pejabat tu.  Sepantas kilat Hanessa mendukung Dini dibawa mencari tandas, yang sebenarnya dia pun tak tau kat mana tandas ...

"Hamboi anak hang, kak ... kemain lagi dia ..."  kata Wati melihatkan telatah Hanessa.

Hehe ... gelagat Hanessa macam dah biasa je ... al maklum dia memang selalu mengikut aku menziarahi si kakak dan dah mula kenal-kenal seorang dua kawan-kawan kakak.  So, tahap kerisauan aku terhadap si anak bongsu ni kurang sikit berbanding dengan risau aku kepada Hidayat. 

Ketika aku dan suami nak beredar dari situ, anak bongsu ni tetap ceria dan bersahaja lagaknya.  Terkinja-kinja pun ada.  Telinga aku menangkap suara-suara mengusik dan menyakat dia. 

Aku harap semangatnya nak belajar hafizah terus berkobar-kobar, dan hangat berapi setiap hari, bukan syok seronok pada hari pertama je.

Ya Allah, pilihlah semua anak-anakku masuk senarai hafiz hafizah, daie daieyah dan alim alimahMU, umpama bintang-bintang gemerlap di ufuk ilmu.  Aameen.



kembali berdua (1)

Alhamdulillah syukur, semuanya selesai petang semalam, Ahad, 2 Disember 2012. 

Mula-mula hantar Hidayat ke madrasah tahfiz Ummul Qura di Jalan Kebun.  Selesai di situ, kami bergerak ke madrasah Lil Banat Bukit Naga pula untuk menghantar Hanessa dan Nisa Irdina.



jubah dan serban baru
 Hilang idea pulak ... :'(

Letak gambar je la ...

candid ~ Hidayat duduk di kerusi penjual di kedai buku di Sri Petaling



bakal hafiz dan hafizah, daie dan daieyah yang akan meneruskan kerja nubuwwah, insyaAllah.  Mohon doa dari semua untuk anak-anak ini.  Aameen.


t-shirt logo madrasah Hidayat

makan ayam golek bersama kawan-kawan baru (senior)



Hidayat, senyum dan terus senyum.  Aku tak tau, apakah mungkin sebenarnya dia sedang berjuang menyembunyikan debaran di hati dan mengawal perasaannya.  Dia kelihatan sungguh comel ... err ... hensem ... segak ... soleh ... hmm ... dalam pakaian jubah putih dan ketayap.  Dia dan abahnya 'hilang' hampir setengah jam meninggalkan aku, Hurilain dan Hanessa berpeluh di dalam kereta.  Tak berapa lama kemudian beberapa biji kereta sampai dan diparkir di belakang dan sisi kami.  Ada pelajar baru lagi baru sampai.  Kecik je orangnya dan lengkap berjubah ketayap juga.  Dia diiringi sejumlah besar anggota keluarga termasuk datuknya yang berkerusi roda dan tersangat peramah mengajak suamiku berborak panjang lebar. 

Ketika Hidayat dan suamiku muncul semula, aku mula memunggah beg pakaian, bantal, baldi dan tilamnya, diletakkan di ruang solat (gambar di atas tu).  Ada beberapa orang pelajar di situ.  Suamiku menegur semuanya dan memperkenalkan Hidayat kepada mereka. 

"Adik ni baru berkhatan.  Nanti tengok-tengokkan dia ya.  Jangan bagi dia lasak sangat."  kata suamiku. 

Di ruang terbuka, ada beberapa orang pelajar muda bermain sepak-sepak bola getah.  Pelajar-pelajar senior tu senyum-senyum dan angguk-angguk kepala, segan barangkali sebab baru jumpa.

Suamiku memberitahu, undang-undang madrasah tak membenarkan sebarang makanan luar di bawa masuk ke dalam.  Pelajar tak digalakkan mengambil makanan luar kerana makanan yang disediakan oleh madrasah insyaAllah sudah memadai.  Ibubapa boleh membekalkan sedikit wang saku kepada pelajar dan disimpan oleh ustaz.  Di hadapan madrasah ada bangunan kecil koperasi yang menjual keperluan pelajar termasuk sedikit makanan.  

Ketika kami akan pulang, aku teringat ayam panggang yang dibeli di JJ tadi (permintaan Hidayat).  Nak makan di mana ... aku terpinga mencari tempat untuk dia makan, kerana ustaz sudah berpesan makanan luar mesti dimakan di luar pagar madrasah.  Tak ada tempat duduk pun.  Akhirnya dia makan di tepi tempat solat bersama kawan-kawan yang baru berkenalan tadi.

Aku lihat dia seperti salah tingkah.  Katanya nak cuci tangan di paip, tapi yang dicucinya ialah kaki yang berselipar.  Dan dia senyum senyum dan senyum.  Ketika kami nak beredar, aku cium kedua pipi dan dahinya.

"Takyah la cium-cium."  katanya perlahan menyembunyikan rasa malu.

"Eh, tak apa la cium.  Tu tanda mama abah sayang!" jawab suamiku.

"Haah la ... Along tak kisah pun kalau mama nak cium dia.  Lagi dia hulur pipi suruh cium..."  kataku pula, teringatkan Naqib.

Kami berempat mengerumuninya seketika di pintu pagar madrasah untuk bersalam dan mengucapkan selamat tinggal.  Ketika dia leka menjamah ayam panggang, kami beredar perlahan-lahan menuju Bukit Naga pula.


Sunday, December 2, 2012

blackout, tidur di court

"Teruk ah, ma!"  mukaddimahnya begitu.

"Berapa jam?" aku tanya.  Piring-piring bekas makan sarapan pagi mee goreng sedap dah mula kering kat depan aku ni ...  nak borak je.  Orang lain dah angkat punggung, tinggal kami berdua.

"Yang kali ketiga ni lama ... dari kul 12 sampai 4 pagi."  senget-senget mulutnya bercakap.

Katanya, sekampung blackout malam tu.  Masing-masing yang tak tahan kepanasan turun ke court di bawah, lepak di situ.  Ada pula yang mengangkat tilam dari dorm, dan baring beramai-ramai sambil menatap bintang-bintang di langit.

"Ok, adventure la! Tu semua jadi igauan bila dah keluar nanti."  kata aku lagi.  'I like!!!'

Dia menceritakan betapa dia jadi tukang kipas kawan-kawan.  Dia memang tak tahan panas, cepat berpeluh.  Akhirnya berkhidmat la pulak tolong mengipas kawan-kawan yang manja-manja belaka, walaupun mulutnya bising memarahi kawan-kawan yang mengada-ngada.  Hati tetap baik hehe ...

"Kul 4 baru ada elektrik.  Kitorang ingat ustazah kensel kelas pagi tu, sebab kitorang tak leh tido langsung ... rupanya ada gak kelas ... huhh"

"Wehh ingat senang-senang ke ustazah nak kensel kelas?  Banyak cantik muka ko ... dorang kena mesyuarat sampai kat SP tuuu."  Entah ia ntah tak, tapi aku tau apa-apa mesti mesyuarat dulu cuma mungkin kalau sampai ke SP tu aku tak sure.

Dia tercengang.

"Betul la!  Mesti mesyuarat dulu.  Dah, basuh pinggan ni, kang sidai baju 3rd trip tu."

Selesai.

zuhud giler

'zuhud giler la ko ni!' kata kawan-kawan Hurilain.

"Woii ko tak nampak ke nama tu hahh?"  tanya dia semula, separuh bengang.

Masing-masing gelak je.
 
Hahah ... dia dah tertukar cadar katil dengan Naqib.  Yang terkoyak  bertulis nama Naqib dah diberi pada dia, yang elok dan agak baru miliknya Naqib pakai, tak perasan ... Sebelum tu, semua cadar diangkut Naqib ke madrasahnya dan si adik terpaksa tidur tilam tak berlapik.

Aku nak belikan baru, dia kata tak payah.  So tunggu la dua minggu sebelum aku ziarah Naqib dan ambil cadar ... salah cadar la pulak.

Apapun, sedikit demi sedikit ada sifat berlebih kurang mula kenampakan pada dirinya.  Kalau selalu dia kisah, sekarang ni dia kurang kisah.   Aku pulak yang rasa kesian pada ketakkisahannya tu ...  alhamdulillah, baguslah ... salah satu kebaikan duduk di madrasah selain belajar mujahadah dengan segala perihal dan ujiannya ...

*~* betul2 catatan pendek.  Dah tukar nama baru reti nak tulis pendek2 :D


Saturday, December 1, 2012

mari berkasih sayang

sejak budak bulu2 makin membesar, sejak aku kensel nak bagi budak bulu2 kat Abu Darda, sejak Abu Darda tak mau kucing sebab dia kata kucing dia dah beranak, sejak suami aku rungut2 pasal kucing, sejak Cantek ngandung dan beranak lagi, sejak bersejak ... tiap2 hari aku fikir pasal budak bulu2 ni ... hari2 aku rasa naik fenin.

Sebab susah rasanya nak buat keputusan.  Nak hantar mana?  Nanti dia masuk rumah orang cari makanan, kena balun camana?  Kucing2 ni semua manja2, tiba2 kena hantar tempat asing, tentu diorang takut, sedih, kebulur, kena kejar ngan budak2 ... memacam boleh jadi.

Kalau kat bandar2 besar, kena tangkap dan kena lupus.  Kalau kat area zoo, jadi santapan buaya.  Tak caya ke? Cer baca kat blog kakimotong.blogspot.com tu.

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Lemah-lembut, Maha Kuasa dan segala sifat kesempurnaanMU yang tak mampu kami sebut dan bayangkan ... bagi lembutlah hati manusia ni kepada makhlukMU yang bernama Kucing dan sejenis dengannya, semua haiwan yang ada di dunia ciptaanMU ni ... termasuk la ikan-ikan dolphin yang dijadikan korban semata-mata untuk meraikan perayaan bodoh kaum kafir laknatullah, juga lembu-lembu yang ditusuk besi tajam untuk membuktikan kepahlawanan bongok ... tak payahlah aku catat satu persatu ... hanya membuat hati jadi luka dan perasaan rasa terseksa je.

Marilah kita mengangkat tangan berdoa, semoga hidayat Allah tersebar ke serata alam, kepada semua umat, semoga Islam kembali meratai segenap ruang masa dan tempat, segenap hati dan kalbu, semua kembali kepada fitrah Islam yang penuh kasih-sayang dan cinta kerana ALLAH SWT ... kembali kepada sunnah Rasulullah SAW ... semoga rahmat Allah tersebar umpama wangian syurga bertiup memasuki segala ruang yang ada ... InsyaAllah insyaAllah InsyaAllah.  Aameen.

:'(

*~*


Friday, November 30, 2012

jahit nama di baju

sepanjang siang semalam, Khamis, aku duduk di mesin jahit antik milik mak tu.  Aku menjahit name tag sekolah Hidayat dan Hanessa ke jubah dan tuala masing-masing.  Name tag tu aku cabut dari uniform sekolah dan tudung sekolah.  Ada yang dah agak luntur sebab direndam dalam klorox.  Ada yang masih cantik dan terang.  Tak kisah, yang penting nama dapat dibaca. 

Mulanya nak jahit tangan je, tapi banyak tu ... maka mesin jahit yang dah disimpan dalam bilik ditarik keluar ke tempat terang dan projek letak name tag pun bermula.

Kini jubah Hidayat ada nametag di atas poketnya.  Mudah je dibaca oleh ustaz dan kawan-kawan nanti.  Nama Hanessa disorokkan di kolar jubahnya.  Cadar pun dijahit nama.  Kopiah, serban dan tudung.  Hmm ... hampir semua ditanda.  Apabila name tag dah habis, aku tampal keratan kain pelikat lama yang dah tak boleh digunakan lagi di pakaian lain.  Terutama Hidayat, pakaian rasmi dan pakaian basahan tentu sama untuk semua pelajar iaitu t-shirt putih, seluar putih atas buku lali dan jubah.  Memang dah dicatat di dalam senarai pakaian yang diberikan supaya setiap satu diletak nama.

Kerja aku akhirnya siap selepas Isyak.  Alhamdulillah.  Kini tinggal melipat kemas-kemas dan cari beg.  Nampak macam kena beli beg baru sebab semua beg yang ada dah rosak zipnya di tangan pemakai awal ... Naqib khususnya.  Ada yang jem, ada yang tanggal zip dan ada yang koyak.  Yang ada beg-beg besar gedabak tu ... tak sesuai langsung nak dibawak ke madrasah.

"Alahh ... bungkus je ngan kain ... bukan nak pakai beg tu ... lepas tu disimpan je"  kata suami aku bila aku khabarkan pasal beli beg baru.

gambar hiasan


Thursday, November 29, 2012

kampungku banjir

kalau dalam geografi, kawasan paling kering dalam Semenanjung Malaysia ialah Kuala Pilah dan kawasan sekitarnya.

Just now i received a sms from my sister, informed me air naik separas lutut di rumah mak Ramlah aku di Kg Bukit Perah, Batu Kikir.  Subhanallah!

Mujur ada anak saudaraku, Shahamin, yang tolong angkat peti ais, mesin basuh dan segala bagai ke tempat tinggi malam tadi. 

(* correction ~ baru dapat berita sebenar.  Shahamin balik tengah malam air dah naik, dan dia tolak je peti ais dalam air tu ke tempat lain.  Semua barang dapur terapung-apung dalam air.  Alhamdulillah pagi ni peti ais masih boleh di on macam biasa.  Syukurlah tak de short circuit, sangat bahaya kalau arus elektrik mengalir dalam air.   Tapi mesin basuh lum check lagi, katanya.)

Syukurlah mak R tak tidur di bilik bawah.  Dan juga mak R (serta semua orang) lega, sebab wan dah balik kampung ... tak tidur di bilik bawah tu ... aku cuma membayangkan wan tiba-tiba rasa basah dan sejuk di tengah malam buta, sebelum menyedari air dah naik paras lutut orang dewasa yang sama aras dengan katil ...


Alhamdulillah, apabila abang ipar aku bergegas balik dari Bangi bersama anak bujangnya (my sis stuck in the office) untuk tolong bersihkan dapur yang dinaiki air lumpur tu.  Dan tiba-tiba mak R rasa macam kakinya (bahagian tapak kaki kanan) terpelecok tanpa sebab, bangun tidur pagi tadi rasa sakit nak pijak lantai.  Then abang ipar aku bawak gi urut dengan tukang urut Hajah Hafsah.  Hmm memacam ya ... tiba-tiba air naik dan tiba-tiba kaki mak sakit.  Semuanya dugaan dan ujian dari Allah.  Semoga mak diberiNya ganjaran pahala atas kesabaran.

Aku call mak J tanya khabar.  Dia kata rumah pusaka juga dinaiki air di ruang dapur aras buku lali.  Mujur rumah tu bertiang tinggi, yang dinaiki air tu ialah dapur bawah termasuk bilik uwan.

Camana la tu ... aku terbayangkan uwan nak berjalan dalam air bertakung ... teramatlah bahayanya.  Lantai jadi licin.  Mak cakap wan terbuang air besar sebelum sempat sampai ke toilet.  Now mak sedang mengemaskan lantai dan cuaca pulak sejuk lembap.

Semoga Allah beri mak iman yang tinggi dan ketabahan yang cukup kental meladeni uwan, insyaAllah.  Semoga mak sabar dan amat-amat sabar.  Allah tak akan menguji hamba-hambaNYA lebih dari kemampuan yang Dia berikan.

Now kat sini cuaca panas terik walaupun pagi tadi lambat terang.  Aku nak sidai baju 2nd trip ni, ada lagi satu trip cucian pakaian yang baru dibeli untuk Hidayat dan Hanessa tu ... semoga cuaca cantik hingga semua sidaian kering garing, insyaAllah.

peristiwa minggu ini

1.  Puan Cantik manis selamat bersalin beranak kat bawah katil Naqib, tempat yang sama dia beranak Budak Bulu2 bulan April 2012 lepas.  Kata budak-budak ni, anak dia 4 ekor jugak.  Ada yang hitam macam Putam.  Sahih anak Putam.  Budak Bulu2 tu tak tau la anak sapa ... tak kesah n tak jadi hal la ...

Suami aku tak perasan langsung perubahan Cantik.  Dia kata nak buang hantar Cantik ke mana-mana tempat ramai orang, "karang dah beranak, susah."  Aku naikkan status 'ahli zikrullah dah bertambah kat rumah ni' kat fb pun suami aku masih blur lagi.  Dia tanya maksud status tu, aku sengih je.  Tunggu dia tau sendiri hehe ....

Malam tadi, dia balik dari kedai terus menuju ke bilik Hidayat yang bertutup pintu.  Dia dah terdengar suara anak kucing yang halus tu.

"Dah beranak eh?" katanya mencari-cari arah suara anak kucing.  Memang telinga lintah, bunyi halus pun dia dapat tangkap.

Dia kata nak buang jugak si Cantik tapi aku sejukkan hatinya.  Cantik dalam 'berpantang' macam tu, aku tak sanggup dia dihantar ke mana-mana.  Memang aku bantah, dan memang aku benci sikap manusia yang sanggup membuang ibu kucing yang baru beranak.  Kalau nak buang, tunggu la anak tu besar sikit.

Ibu kucing tu masih belum pulih kesihatannya, nak menjaga anak kecik yang belum bukak mata, nak sesuaikan diri dengan keadaan baru pulak.  Haihh tak kesian ke?  Anak bukan sekor plak tu, selalunya lebih dari tu.  Cer bayangkan!!!  Inilah agaknya kes Tompok yang aku jumpa kat tepi tayar kereta orang dalam hujan tu.  Tali pusat belum tanggal lagi, mata pun belum bukak, nyaris jadi leper kena lenyek. 

2.  Allah SWT jadikan manusia ni memang berlainan bangsa dan sikap.  Lain personaliti dan lain takdir.  Lain keturunan dan lain rupa paras.  Tak ada yang sama, hatta kembar seiras yang paling serupa.  Mesti ada lainnya.  Maha Hebat Allah yang Maha Pencipta.

Aku selalu jumpa orang-orang yang aku rasa ada persamaan personaliti.  Bukan sama dengan aku, tapi orang-orang yang mereka saling tak kenal (aku je kenal) dan mereka ada persamaan sedikit-sebanyak.  Terkecuali, untuk diri dan suami aku.  Selain tu, ada je yang pada aku, 'eh dia ni macam kawan aku yang tu laa ...'

Terbaru, aku terkesan dengan seorang wanita ni.  Orangnya gempal dan putih kuning.  Nampak seperti suri rumah sepenuh masa, dan aku sungguh tak menyangka dia ligat bergerak dalam diam, dan ligat bisnes rupanya.  Hmm ... sama la dengan rakan aku yang sorang lagi tu ...

Tak sama langsung dengan aku hehe ...  Terkesan?  Ye le ... ligat bisnes duit masyukkkk ... boleh fly2 selalu ... sapa tak mau ... ye tak?

Dan aku ada urusan penting dengan si polan seorang ni ... semoga Allah permudahkan dan berikan kesudahan yang terbaik.  InsyaAllah.

Persamaan faktornya antara yang aku nampak, mereka memiliki kurang tanggungjawab di rumah walaupun bergelar surirumah.  Anak mereka seorang atau dua, dan suami mereka selalu ada urusan yang lama di luar.

Sebagai perbandingan, aku juga ada seorang kenalan  yang ligat ke luar rumah untuk urusniaganya, dan dia memiliki 4 anak yang sedang membesar, yang selalu ditinggalkan, pandai-pandaila nak goreng telur ke apa ke untuk makanan sendiri.

Tapi tak aku nafikan ada ramai wanita yang beranak ramai masih menjadi peniaga berjaya sambil menguruskan anak-anak tanpa terbiar.  Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.  Allah sebaik-baik penolong dan pemudahcara.

* sebenarnya peristiwa no 2 ni lebih penting dari peristiwa no 1 ... 

*~*



Tuesday, November 27, 2012

Hanessa ke madrasah

Tiba-tiba telefon suami berbunyi.  Dia berbicara sesuatu dengan seseorang, macam orang perempuan gayanya.

"Ustazah SH tepon.  Dia tanya bila Adik nak masuk asrama."  habis bertelefon, suami memberitahu aku begitu.

Ahad ni, 2 Disember, dia dan Nisa Irdina akan kami hantar ke madrasah.  Begitulah aku dengar suami memberitahu di telefon tadi.

Aku setuju.  Memang dia akan duduk di madrasah sepenuh masa untuk cuti Disember je.  Tahun depan aku akan hantar dan jemput dia setiap hari.  Ustazah dah beritahu semasa temuduga tempohari, pelajar paling kecil dibenarkan duduk di asrama ialah 11 tahun.  Hanessa hanya berumur 8 tahun pada Mac 2013.  Kelebihannya, dia ada kakak di sana.  Tapi, nampaknya macam ustazah keberatan nak menerima Hanessa sepenuh masa.  Aku pun rasa hmm ... biarlah dia seorang ulang-alik.  Tak le aku sunyi sangat setiap hari.

"Ustazah kata Adik boleh duduk asrama tahun depan."  suamiku menyambung.

Hahh?!!  Aku terkejut, tapi segera aku ucapkan alhamdulillah.  Mesti ucap syukur kepada Allah,  tentulah ada kebaikannya.  Sebab sebenarnya aku memang nak dia duduk asrama, tapi aku akur pada keputusan awal ustazah.  Tak sangka pulak keputusan mesyuarat berubah begitu.  Semua permohonan dan sebarang hal mesti melalui mesyuarat terlebih dahulu di antara para ustazah dan mudir.  Jadi, aku yakin mereka telah membuat keputusan yang betul dan tepat.

Kiranya Hanessa bakal menjadi pelajar paling muda tinggal di madrasah.  Pelajar muda yang lain semuanya ulang-alik.  Apa-apapun, menginap di sana untuk cuti ini akan menjadi testing kepada dia.  Apabila habis cuti dan musim sekolah bermula, semua pelajar sementara akan pulang ke rumah masing-masing termasuk Nisa Irdina nanti.  Yang ada ialah pelajar yang jauh lebih tua termasuk kakaknya.  Aku tak sure ... tapi sentiasa aku titip doa untuk Hanessa semoga hatinya cukup kental dan tabah.

"Dik, ustazah kata Adik boleh tinggal di asrama tahun depan.  Adik nak ke?"  aku tanya ringan pada dia.

Hanessa angguk.  "Sure??"  aku tekankan lagi.

Dia angguk, "InsyaAllah!"  jawabnya tegas.

"Alhamdulillah.  Kita try ok.  Mama akan doakan Adik."

"InsyaAllah."  sahutnya sama, selamba.  Dia apa-apapun kini, akan menjawab 'InsyaAllah'.

Aku teringat kakaknya.  Minggu lepas, ketika bercakap di telefon, dia berkata, "Ma, kalau Ain cakap mama jangan marah ya ..."

Aku dah mula saspen.   Ada kes ke?

Hmm ... dia dah langgar peraturan kerana mengikut ajakan rakan (naik ke bilik ketika semua ustazah sedang bermesyuarat).  Aku anggap ini kes nakal dan tak menggunakan pertimbangan waras serta terpengaruh dengan rakan.


"Macamana kamu ni?  Diri sendiri pun tak boleh jaga, macamana nak jaga adik kamu?"  begitulah lebih kurang ustazah memarahinya.  Katanya, selepas itu dia menulis surat kepada ustazah memohon kemaafan.  Entah apa lagi ditulisnya, aku bertanya tapi tak diberitahunya. 

"Ustazah senyum-senyum kat Ain lepas baca surat tu, ma ..."  Hmm ... apa la yang dah dirapunya dalam surat tu hehe ...

Aku pun tambah sikit mencukupkan perencahnya di telefon.  Dek kerana kes inilah aku tak harap sangat Hanessa akan diterima tinggal di asrama. 

Walaupun si kakak telah tolong backing Hanessa, "Adik saya tu lebih berdikari berbanding saya, ustazah."

Hahaha ... kalau dibelek-belek dan diperhatikan personaliti dan fiil keduanya, nampak si adik terkadang lebih tegas dan jelas prinsipnya berbanding tiga yang lain.  Wallahu'alam.  Setiap anak ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.  Ada banyak faktor khususnya ketetapan Allah sejak azali di Lauh Mahfuz.

Menanti Januari 2013 tiba, ada beberapa perkara penting bakal berlaku dalam hidup kami sekeluarga.  Antara yang pasti insyaAllah ialah Hidayat dan Hanessa memulai pengajian di madrasah sebagai pelajar hafiz dan hafizah.  Lain-lain ... sama-sama kita tunggu ceritanya nanti insyaAllah.



cari jubah di SP

Hari ni aku bercadang nak cari jubah anak-anak.  Target pertama ialah di kedai-kedai di kawasan masjid Sri Petaling.  Hurilain kata kat situ insyaAllah ada jubah kanak-kanak perempuan juga, dan harganya berpatutan.  Kalau tak ada, kami akan cari di masjid TTDI Jaya, seperti cadangan suamiku.

So aku call jiranku, Wati.  Anaknya Nisa Irdina yang tua dua tahun dari Hanessa dah terpikat nak ikut sama ke madrasah untuk program cuti sekolah sepanjang Disember ni.  Katanya, dia berkali-kali bertanya untuk memastikan betul-betul ke Nisa nak ikut.  Ternyata budak tembam tu memang dah terkinja-kinja nak bersama Hanessa ke madrasah.  Abangnya, Ariff yang sebaya Hidayat pulak sebaliknya, tak hingin langsung nak menyertai Hidayat ke madrasah.  Hmm ...  semoga Allah buka hatinya satu hari nanti insyaAllah.

Aku khabarkan kepada Wati di pejabatnya yang aku nak beli jubah hari ni.  Nanti aku singgah menjemput Nisa di nurseri untuk dibawa bersama mencari jubah hitam yang bersesuaian.  Kelmarin mamanya mencari jubah di PKNS Shah Alam, harganya terlampau ... hampir RM80.  Bukan tak boleh beli, katanya, tapi untuk Nisa tak perlu la mahal sangat sementelah aku dah khabarkan harga jubah yang berpatutan di Sri Petaling.

Setelah mengambil Nisa, kami singgah di JJ.  Suamiku keluar sebentar menuju tempat tukaran wang asing ... kelmarin aku terjumpa $B101 ketika menyelak-nyelak diari lama.  Boleh la buat tambahan untuk beli apa-apa keperluan anak karang.  Rate hari ni ialah 2.78.  Kira ok la tu, bahkan ok sangat.  Syukur alhamdulillah. 

Duit lama mas kawin aku pun aku bawak sama.  Bukan apa, aku fikir dah tak perlu la dok simpan je duit tu, tak banyak pun, hanya RM22.50 je.  Yang 50sen pun dah lesap ntah ke mana.  Ntah la, dari sejak kawin suami aku suruh simpan je duit tu.  Tapi hari ni bila aku kata nak gunakan, tak mau simpan lagi, dia akur je. 

"Doa semua ... doa banyak-banyak ... kita nak cari jubah ni ... biar karang jumpa jubah yang kita nak.  OK?"

Dalam perjalanan aku pesan begitu pada anak-anak.  Masing-masing jawab dah berdoa.  Aku pun berdoa sama, berkali-kali.  Hanya Allah yang memudahkan semua urusan.  Keluar rumah bersama harapan dan doa lebih aku sukai.  Inilah caranya nak mendidik anak-anak, bukan setakat teori tapi praktikalnya juga.  Supaya mereka faham dan mengerti, bukan bergantung harap pada ibubapa.  Bukan berharap penjual jubah ada jual jubah yang sesuai.  Bukan berharap kosong je.

Tapi doa minta pada Allah.  Apa-apa mintak pada Dia.  Doa banyak-banyak.  InsyaAllah.  Allah Maha Mendengar dan Maha Pengasih.

Ketika jubah Hanessa dan Hidayat dah dibeli di gerai luar kawasan masjid SP, jubah untuk Nisa belum ditemui.  Yang ada, sempit dan sendat.  Aku suruh dia berdoa lagi, "Nisa, minta kat Allah, sat gi kita jumpa jubah Nisa pulak.  Doa tau!"  Makcik penjual tertawa kecil mendengarkan aku yang kepoh sikit.  Hanessa dan Nisa cuit-mencuit, bertolak-tolak dan bersenda-gurau, naik rimas aku. 

Kami  cari di deretan kedai dalam kawasan masjid.  Kedai pertama tak ada yang sesuai.  Kedai kedua, alhamdulillah syukur.  Bukan je penjualnya sangat membantu (hensem plak tu hehe), jubah yang sangat sesuai dengan saiz badan Nisa ada di situ.  Tak payah nak kerat lagi, memang ngam sangat dengan dia.  Alhamdulillah.  Aku belikan dua helai untuk dia. 

Aku teringat buku kisah-kisah wali yang aku idam-idamkan.  Dulu datang tak ketemui.  Tadi, dua kedai yang aku bertanya pun kata tak ada, kisah nabi-nabi ada le ... Tinggal satu kedai je belum masuk lagi.  Kedai yang hujung sekali tu.  Kedai yang itu memang jarang aku singgahi sebab jauh ke hujung.  Urusan anak-anak semua dah selesai, kalau tak ambil kesempatan secepat mungkin bisa je aku terlepas peluang keemasan yang ada. 

Ketika suami menunggu urusan pembayaran jubah selesai, aku segera mohon pada dia untuk ke kedai paling hujung tu.  Aku bergerak sorang-sorang sebab nak cepat, tapi bila dah masuk kedai rasa teramatla janggalnya.  Pelanggan tak ramai, tapi aku sorang je wanita kat situ.  Aku keluar semula ke kaki lima kedai meninjau memerhati kelibat anak-anak dan suami.  Akhirnya aku terpandang Hidayat dah siap berjubah dan serban duduk di kaki lima kedai nun di hujung sana.  Segera aku lambai-lambai dia supaya datang untuk menemani aku.

Melihat Hidayat berjubah serban, sejuk rasa hatiku.  Nak pulak dia pakai, desis hatiku.  Dia kelihatan gebu, sebab pakaian asal tak dibukanya, disarung lagi seluar putih baru dibeli, kemudian berjubah dan serban.   Hmm ... tentu abahnya yang suruh pakai tu.  Kalau aku yang suruh, wallahualam ...

"Ada buku kisah wali-wali tak?" tanyaku pada penjual.

"Ada, sana."  tunjuknya ke satu arah yang ada banyak kitab dan buku.

"Mana?"  tanya aku balik buat-buat tak faham. 

Di kedai pertama tadi, macam tu juga aku diberitahu oleh penjual yang berada di kaunter.  Aku cari tak jumpa.  Dia kata sebelah kiri, aku konfius kiri dia ke kiri aku ...  Aku cari semua rak tak ada pun.  Tak ada la tu ...

Si penjual menuju ke rak yang dimaksudkannya tadi dan mengambil satu susunan buku lalu meletakkan di hadapanku.  Uihh ... rupanya ada 7 jilid ensiklopedia kisah wali-wali.  Harga sebuah buku ialah $10.  Aku mesti ambik semua ni, tak boleh lepas.  Aku congak-congak duit dalam dompet.  Tawakkal Allallah ... aku setuju nak ambik semua buku tu.  Lepas tawar-menawar, dapatla kurang $10.  Tengah terkial-kial mencari duit secukupnya, suamiku menghulur not 50 buat tambahan. Alhamdulillah,  akhirnya semua buku kisah wali-wali Allah diizinkan Allah menjadi milik aku.

Puas benar rasa hatiku.  Bagi aku, kisah wali-wali Allah jauh lebih afdal dan bermanfaat lagi berkah untuk aku tekuni daripada novel-novel yang ada di pasaran, seIslamik manapun novel rekaan itu.  Ia kisah benar, kisah unggul para kekasih Allah yang aneh-aneh lagi ajaib.  Kisah yang satu dalam sejuta.  Kisah digiring iman dan taqwa.  Pertama kali aku terdedah kepada kisah para wali Allah ketika form 4-5 di Canossian Convent Segamat.  Aku mencari buku-buku ini di celah-celah berbagai buku cerita yang ada di library. (Aku turut terjumpa dan membaca buku-buku nukilan penulis Yahudi dan Nasrani.  Di situ juga aku membaca buku cerita tentang wujud Allah yang bertempat macam yang dianuti oleh para WahabiSalafi hari ini.)

Terpesona dan terikat hatiku, kini akan aku ulangi perjalanan yang dirintis pada kisah para kekasih Allah.  InsyaAllah.  Alhamdulillah.












Monday, November 26, 2012

Pasal niqab ni, aku perasan mak masih tak boleh terima lagi penampilan aku begini.  Aku perasan airmuka mak yang tak suka tapi kurang ketara.  Semasa aku ziarah uwan di hospital, aku bertembung dengan anak tiri mak @ kakak tiri aku jugak ... Aku tak tau la mereka terkejut tahap mana, tapi aku selamba je bersalam dan peluk kakak ni. 

Kata kak Lia berbasa-basi semasa berpelukan, "ni sapo ni?" 

Aku berborak macam biasa cuma senyum sengih aku terselindung di sebalik kain purdah.  Tapi aku yakin mereka boleh agak bila aku tersengih.

***

Ketika akan pulang, aku bersiap-siap selengkapnya tinggal pakai niqab je yang terakhir, dah ready dalam kotak bulat tu.   Tadinya, aku solat Dhuha beserta solat hajat, semoga Allah mudahkan semua urusan dan tetapkan kami dalam iman.  Aku dapat merasakan hatiku yang agak bergetar beransur tenang sesudah itu.  Ya, aku mahu menjadi kebanggaan Rasulullah SAW.

Selepas bersalam peluk dengan kakak ipar, akupun mengikat niqab ke wajah.  Mak mertua yang dah ready duduk di muka pintu tak menegur apa.  Kakak ipar pun bersahaja.  Aku je yang ... tak tau nak kata apa pada perasaan sendiri.  Akhirnya aku bersalaman pula dengan abah mertua.  Mereka semua selamba je.  Hmm ...

Kami singgah pula ke rumah bapa saudara suami sebelah ibunya untuk bertanya khabar.  Lalu di depan rumahnya, tak patut la tak singgah.  Perasaan aku masih terasa aneh, namun selalu aku ingatkan diri bahawa aku mahu jadi kebanggaan Rasulullah SAW. 

Ketika bersalam peluk dengan mak saudara suami, dia seperti keliru.  Cepat-cepat aku perkenalkan diri.  Muncul pula bapa saudara suami (adik mak mertua).

Katanya, "Wah, dah pakai purdah ni, alhamdulillah.  Hah, salam! (sambil dia menyuguhkan tangannya kepadaku) tak batal wuduk, bapak saudara sendiri."

Aku terkesima.  Bapa saudara yang ini khabarnya memiliki prinsip keras dan tegas.  Aku tak tau sangat, tapi dari khabar ceritanya, bapa saudara bekas tentera ni kalau hitam katanya, hitamlah.  Kalau putih katanya, putihlah.  Dek kerana tak begitu mengenali peribadi pak usu, aku pernah 'menegur' apabila pak usu sharing gambar arwah anak perempuannya di fb (potret tak menutup aurat).  Boleh refer kat entri lama aidilfitri lepas.

***

Ketika menemani wan di hospital, wan memerhatikan aku seketika.  Kemudian wan berkata, "bukak la muko tu ... wan tak dapek tengok ... bukak la ..."

Suara wan perlahan je, iye la, semput.  Aku pun jawab perlahan, "nanti kek umah bukak la yo wan ..."

***

Masih ramai ahli keluarga yang belum maklum dan belum melihat aku secara 'live'.  Mungkin ada yang dah mendengar khabar.  Aku tak kisah.  Aku suka menjadi orang asing.  Ketika sunnah dipandang pelik dan janggal, aku berdoa semoga keluargaku dan anak cucu keturunanku menjadi pejuang sunnah sehingga kiamat menjelma. InsyaAllah.  Ya Allah, kumohon kekuatan dariMU, bantuanMU dan pimpinanMU.  Pilihlah kami untuk menjadi penguat agamaMU, pembantu agamaMU dan janganlah KAU keluarkan kami setelah KAU pilih kami.  Ya Allah, janganlah biarkan kami walaupun sesaat.  






mak nak belanja makan kfc tapi ...

semasa di kampung, ketika minum petang, tiba-tiba mak ajak abah masuk ke ruang hall dapur yang terlindung dari kami.  Entah apa yang dibincangkan ... kami tak kesah.  Terus minum dan layan uwan borak-borak macam biasa.  Hujan turun barai-barai ...

Mak abah muncul semula.  Mak kata, "ada sepraissssss!!! nanti malam atuk nak belanja kfc!!!"  Mak tepuk-tepuk belakang Hidayat sambil tersenyum lebar.

Aku spontan bersorak gumbira.  "Yeayyyy!!! makan kfc!!! mama nak cheezy wedges, tak mo ayam.!"  Cehh, dengan tak malunya aku segera membuat order.

Hidayat dan Hanessa sama la bersorak ... kanak-kanak riang ... patut le ... aku?  Hehe ... mak kanak-kanak riang :P

Kata suami aku pulak, "Laa tak de la sepraisnya dah cakap awal-awal ..."  Hihihi ... lantak la ... mak saja nak belanja Hidayat tu, sebab telah selamat berkhatan tanpa kerenah. 

***

Petangnya aku ditugaskan mengacau rendang.  Maka akupun bermain mata dengan asap-asap yang menerpa dari api yang marak membakar kayu di bawah kawah rendang, sambil didendangkan nasyid kegemaran dari hp.  Hanessa menemani sehinggalah dia terlompat-lompat mengikut suami dan mak ke rumah Tuan Imam untuk urusan tepung tawar kereta.  Aku tinggal bersendirian.

Sebelum mak pergi, mak sempat berbicara begini : "Karang nak makan kfc tak yah la pakai jebeng tu (niqab) ... kang susah nak makan."

Aku diam, terdiam dan mendiamkan diri.  Senyap tak menyahut walaupun sepatah. 

Confirm, aku tak akan ikut makan kfc, insyaAllah!  Itulah keputusanku, muktamad. 

***

Ketika mak mula menggera anak-anak aku bersiap untuk keluar makan kfc, aku masih santai bersama telekung.  Mak menyuruh aku menyiapkan makanan suamiku tadinya pun aku masih bertelekung.  Sehingga saat akhir mereka semua dah siap, aku tetap dalam telekung. 

"Jom la copek siap.  Kato nak makan kfc ..." kata mak hairan melihat aku.

"Tak po la mak ... kang susah nak makan."  sahut aku slow. 

Mak suruh abah pulak ajak aku.  Jawapan aku sama.  Suami dan anak-anak mengajak, pun sama jugak aku jawab.

Haihh ... kenapa la mak tak faham.  Kenapa mak tak cakap macam ni, "tak po la ... kau nak pakai jebeng tu pakai la ... dah jom copek ..."  kan senang hati aku.

Ni aku cakap karang susah nak makan, mak tak cakap apa pun.  Walhal aku ada maksud di sebaliknya.  Aku sebenarnya nak la ikut, tapi biarlah aku pakai niqab.  Aku dah janji pada Allah Taala, janji pada diri sendiri, aku tak akan bukak niqab sehingga nafasku yang terakhir.  InsyaAllah.  Takkan nak pi makan kfc, aku bukak niqab ni.  Aduhaiiii ...  Aku rasa janggal la ...

Bila mereka semua dah bergerak, aku rasa nak menangis. Apakah aku terlalu keras hati?  Tapi keras hati ke keras kepala ke ... aku hanya tak nak bukak niqab je.  Suami aku ok je ... bahkan dia kata kalau boleh dia pun malas nak pergi (agaknya sebab aku tak mo ikut) tapi dia kena la pergi jugak at least dia cover line, dan jadi drebar, bawak kereta baru plak tu ... hihi ... so as long as suami aku ok, aku tak kisah apa mak nak kata.

Dan akhirnya meleleh jugak airmata aku.  Tapi tak boleh jadi ni!  Aku angkat beg berisi al-Quran dan kitab taklim ke bilik uwan.  Kat bilik uwan, aku duduk atas katil dan membaca semua surah-surah yang biasa aku baca setiap malam, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.  Selepas tu aku baca Ayat Manzil.  Masa ni lampu bilik uwan tiba-tiba jadi malap macam nak terbakar, terpaksa pulak aku rapatkan kitab dekat ke mata.  Habis je sekali round Ayat Manzil, mereka yang pergi kfc pun balik.  Aku ingat nak buat tiga round Ayat Manzil so kena la kensel.  Karang lagi satu isu aku melekat kat bilik uwan pulak ... haihh ...

Hahaha ... aku gelak dalam hati ... sebab rupanya mak beli tapau bawak balik rumah satu bekas besar kfc.  Ingatkan makan kat sana, sebab dengar macam tak best makan kat rumah (sebab dah sejuk).  Aku tak tunggu lama, terus je duduk mencelah dan ngap cheezy wedges yang dibelikan untuk aku.  Buat dek aje le ...  tak lama kemudian uwan pun datang join dan sama-sama makan cheezy wedges.  Suka rupanya uwan makan kentang tu ...

Kesimpulannya, bila Allah dah tetapkan rezeki aku makan cheezy wedges malam tu, aku tetap akan dapat makan cheezy wedges.  Bila Allah tetapkan aku dapat pakai kereta besar sikit, aku dapat pakai walaupun aku rasa macam tak percaya je.  Means selagi masih ada rezeki aku di alam fana ni di mana-mana corok sekalipun, aku akan dapat rezeki tu sehinggalah bila dah habis semua, ajal pun akan tiba.  





catatan untuk maklang (1)

Assalamualaikum mak lang ...

lama kita tak bersua ... mak lang apa khabar?  kali terakhir kita bertemu masa kat Kg Delek ... bila ya ... awal tahun ni ke ... akhir tahun lepas ke ... tak ingat pulak.

mak lang dah jenguk wan ya ... kata orang katil depan wan, ada sekeluarga datang berziarah sekitar jam 11 malam Ahad menjenguk wan.  Tentulah mak lang dan anak-anak.  Alhamdulillah.

Dengarnya mak lang dapat cucu baru, lelaki lagi.  Syukur dan tahniah, bertambah lagi ahli keluarga mak lang.  Tentu comel si kecik tu.  Dan cucu di Segamat pula baru berkhatan.  Kami sekadar mendengar berita di angin lalu sahaja.  Semoga majlis yang meriah dirahmati Allah.

Bila mak lang nak balik kampung pulak ya ... syukurlah aidilfitri lepas Along, kak Tam dan Ateh ada balik ziarah wan. 

Hmm ... bersambung.

Flashback ~ uwan jatuh



Hari Jumaat, aku sampai dari Sijangkang.  Aku perasan kaki wan tegang bengkak.  Bermakna ada air di dalam tubuhnya.  Bila aku picit, meninggalkan lekuk dan uwan rasa sakit. 

Kemudian aku disuruh mak mesin berkeping-keping kelapa untuk buat rendang daging.  Macam biasa, bila ada tetamu datang uwan akan datang ke meja bulat di luar dan duduk bersantai bersama.  Tadi aku tinggalkan uwan di situ dan mula mesin kelapa.  Entah mengapa sedang asyik mesin kelapa sambil berzikir dan berdoa janganlah jari aku terkena duri mesin tu, aku tertoleh ke arah pintu masuk ke hall dapur. 

Aku terpandang wajah uwan yang macam nak menangis.  Uwan sedang berdiri di pintu memandang aku.  Secepat kilat aku off suis mesin kelapa dan bergegas mendapatkan uwan.  Rupanya uwan sukar nak angkat kaki melangkah bendul yang rendah tu. 

"Allah ... hari ni lutut uwan sakit bonar ... tak ponah macam ni ..."  adu uwan pada aku. 

Aku serba salah nak membantu bagaimana ... akhirnya wan suruh aku paut tangan kirinya dan bimbing dia melangkah perlahan-lahan.  Aduhai ... aku teringat anak perempuanku di madrasah.  Kalau dia ada sama, tentu dia yang sedang membimbing tangan uwan.  Memang dia lebih banyak spare time dengan onyangnya lebih daripada buat kerja lain, dan uwannya akan bising sebab dia kurang menolong di dapur ... hehe ...  Dan onyang pun akan panggil dia semata.  Peliknya kalau aku yang panggil ... hmm ... lagi laju dia mendapatkan onyangnya daripada datang kat aku.  Entah apa daya penarik onyang padanya, hanya Allah yang Maha Tahu.  Tapi dia pernah menangis teringatkan onyang ... aku garu kepala.

***

6.30pm ~ aku teringat Uwan suruh aku buat lauk sayur kobis untuk dia makan petang nanti.  Ketika ini aku masih mengacau rendang nun di belakang sana bersendirian.  Suami dan anak-anak mengikut mak ke rumah Imam Gamin untuk tepung tawar kereta crv tu.  Sebentar lagi waktu berbuka ... Alhamdulillah, tak lama lepas tu mak balik dan aku serahkan urusan rendang pada mak. Aku bergegas buatkan sayur kobis untuk wan, dan mandi sunat hari asyura.

2am ~ uwan jatuh terduduk di bilik air.

4pm Sabtu ~ uwan dihantar ke hospital.  Mak memberitahu, selepas aku sekeluarga bergerak meninggalkan kampung, uwan tidur tak bangun.  Tak makan tengahari dan tak solat.  Ketika mak jenguk sekitar jam 3pm untuk bertanya keadaan wan, wan kata nak buang air dan nak bangun tapi wan tak berdaya.  Kata mak, wan macam sedar tak sedar.  Bercakap pun tak clear.  Aku rasa semput wan semakin teruk tapi mak tak perasan.  Wan tak berani sangat jamah makanan berangin macam pulut dan tapai, tapi dia dengan selamba dah makan pulut cicah rendang masa sarapan bersama pagi tadi.  Mungkin kesannya dah menguasai diri uwan.

12pm Ahad ~ aku sekeluarga tiba di hospital Kuala Pilah.  Uwan memakai tiub oksigen di hidung dan ada saluran bersambung ke peket beg untuk air kencing.  Aku berada di sisi uwan hingga jam 3pm.  Aku cuba melayani uwan sebaik mungkin.  Aku beberapa kali siputkan rambutnya yang tak bersarung.  Aku picit pelan-pelan lengan dan tangan uwan, serta lutut uwan. 

Apa yang pasti, uwan resah.  Uwan tanya tongkatnya.  Uwan kata makan tak kenyang sebab lauk sayur liat.  Gigi palsu wan sudah ditanggalkan oleh attendant ketika menjemputnya tadi.  Wan macam mengantuk tapi katanya dia tak mengantuk. 

Aku belek uwan dalam diam.  Aku sempat snap gambar wan.  Aku doakan semoga Allah permudahakan urusan kehidupan wan. 

Ketika mohon diri, aku minta ampun maaf pada wan, dan berpesan agar wan banyak-banyak berzikir ingat Allah.  Wan angguk dan kata, 'InsyaAllah ...'

Alhamdulillah.  Tahap kesedaran wan masih normal, cuma mungkin kesan ubat berserta oksigen yang masuk ke hidung wan membuatkan wan separuh mamai.

Semoga kita bertemu lagi, wan.  InsyaAllah.

~> jazakillahu khoir to my sister Noraini sebab buatkan lemang bungkus dan bagi talam ubi, sedap ... Alhamdulillah. 

Uwan masuk hospital lagi

Aku tersentak jaga.  Ada suara mendayu-dayu meminta tolong dari arah dapur. 

'Suara wan!' bisik hatiku.  Dalam samar cahaya lampu tangga, aku meraba getah rambut dan mencapai tudung.

Sambil tu, aku menggesa suami supaya bangun.  "Bang!  Bang!  Bangun ... suara wan tu!!"

Aku berlari ke dapur.  Suamiku pun ikut sama berlari-lari.  Kami dalam keadaaan mamai bercampur cemas.  Melintasi pintu ke ruang bilik air, aku ternampak kaki uwan di pintu bilik air.

Uwan jatuh!  Dia terduduk, punggungnya di atas lantai bilik air dan kakinya menjulur keluar.  Seketika itu, mak muncul di belakang kami. 

***

Suamiku cuba mengangkat uwan tapi tak berdaya.  Bukan mudah nak mengangkat tubuh uwan yang besar tinggi apabila dia hilang upaya.   Walaupun suamiku menganggarkan berat uwan sekitar 80kg sahaja.  Mak pun melarang suamiku kerana risaukan problem sakit pinggang yang meletup (kesan angkat aircond, dan terbaru angkat susunan pinggan di cafe).  Masing-masing terdiam, termenung, mencari akal.  Alangkah belasnya aku melihat wan.  Tentu dia kesejukan terduduk di atas simen tu, selain tentulah dia kesakitan.

Akhirnya wan kata biarlah dia mengensot perlahan-lahan hingga ke anak tangga naik ke ruang atas rumah.  Anak tangga tu tingginya anggaran sejengkal orang dewasa, bolehlah uwan mengangkat punggungnya sebelum menguja untuk berdiri nanti.  Pecah rasanya hatiku melihat uwan mengensot begitu.  Nak menangis tak ternangis.  Aku hanya mampu melihat dan berdoa semoga Allah memudahkan uwan. 

Sampai di pintu luar bilik air, suamiku cuba juga mengangkat uwan ke kerusi sofa lama berwarna putih susu di situ.  Pun mak melarang dengan bimbang.  Tapi aku rasa suamiku dah tak sanggup nak biarkan uwan terus mengensot begitu, walaupun tangga rendah dah tak jauh dari situ.  Kerusi sofa lama tu dipusingkan menghadap belakang uwan, dan suamiku usahakan mengangkat uwan sehingga punggungnya terletak elok di kerusi itu.

Syukur kepada Allah.  Uwan kelihatan lega.  Dia berehat dan aku menunggu sambil mengurut-urut lutut uwan dengan minyak Habbatus sauda.  Jam dinding menunjukkan tepat pukul 2 pagi.  Dari situ, aku terdengar mak berbincang dengan suamiku rencana untuk membeli kerusi roda untuk kegunaan wan.  Seketika itu aku terfikir, berkerusi roda pun sebenarnya masih satu kesulitan buat uwan.  Ia hanya sedikit kemudahan untuk uwan bergerak tanpa menggunakan tongkat.  Ternyata apabila usul itu diajukan kepada uwan kemudiannya, uwan memang menolak.

Kalau dilihat pada peribadi uwan, dia bukan orang yang mudah mengalah.  Sejak  muda, dia sudah biasa berusaha dengan segala kekuatannya untuk mencari rezeki membesarkan anak-anaknya.  Sekali pandang kadang-kadang aku melihat ada persamaan pada uwan dan Auntie Sarimah (mak angkat aku yang dah bertahun tak jumpa  ... pelakon terkenal tu).  Ada satu ketegasan yang sukar dilentur pada mereka berdua.  Dengarkan cara mereka berbicara dan ayat-ayat yang disusun ...

Jadi, aku tak heran kalau uwan tak mau pakai kerusi roda.  Memang dah aku jangka tapi aku diam je. 

***

Aku mohon diri pada uwan ketika akan bergerak ke Segamat.  Kami nak berziarah mak mertua dan abah mertua pulak.  Alang-alang dah balik Kuala Pilah, perjalanan dalam sejam lebih je.  Raya haji kelmarin kami tak balik kampung.

Uwan mengangguk-angguk.  Aku cium pipi uwan dan tangannya.  Tadi uwan sama menjamah pulut tanak yang tak jadi dibuat lemang even lemang rebus tu (sebab macam banyak  kerja, ada kekangan masa dan hari hujan membuatkan mood merudum).  Malam tadi uwan makan 3 ketul cheezy wedges (mak belanja cucu makan kfc, aku pesan cheezy wedges).  Berselera nampaknya.  Kalau biasanya uwan tak gemar makan 'benda-benda' yang tak biasa dijamahnya.  Tapi semenjak masuk hospital tempohari, nampak uwan bedal je jajan budak-budak yang tinggi garam tu.  Masa ni mak dah mula sound wan tapi wan selamba je, dia makan bila aku offer lagi hehe ...

***

Di rumah mak mertua, aku macam dalam syurga.  Apatah lagi bila mak mertua tau aku berpuasa Hari Asyura.  Dia suruh aku tidur tidur dan tidur.  Aku taklah letih dan mengantuk sangat.  Sampaikan entah berapa kali aku tersentak (terlelap la jugak hehe) aku rasa sangat janggal dan risau.  Aku dah lama tak tidur pulas di siang hari.  Janggal sebab sepatutnya aku bukan tidur tapi berbuat sesuatu.  Ish ish ish ... syurga tidur ni pelik sungguh.  Dua anak-anakku leka mengadap tv.  Mak mertua aku sama melayan sambil berborak dengan mereka.  Suami aku ... memang sedang di alam syurga agaknya berdengkur-dengkur.

Hampir masuk Asar, aku bangkit mencari hp.  Ada miscall dari kakak aku.  Bila aku return call, aku dikhabarkan wan sudah dibawa ke hospital sebentar tadi menggunakan ambulan.  Aduhai uwan ...




Wednesday, November 21, 2012

cheese cake

tengah malam tadi, aku sudah bikin dua jenis cheese cake.  Macam selalu, aku suka resepi simple tapi sedap.  Alhamdulillah, menjadi!!!  Allah dah bagi jadi cheese cake aku ... yahoo!!!

1st, bake cheese cake.  So simple ... dan ada campuran tepung sikit.  Rasanya walla2, very nice.  Alhamdulillah.

2nd, chilled cheese cake ... base aku gunakan cebisan marble cheese brownies yang masih berbaki tu. tapi aku tak tekan-tekan bagi padat, no butter anymore. aku just biar je berterabur dalam bekas plastik bekal anak ke sekolah.  lepas semua dah putar dengan mixer, aku curah je atas cebisan mcb tu, so dah pastilah ia naik ke permukaan liquid.  aku tutup dengan penutup bekas dan masukkan dalam peti ais bawah.

Pagi ni, sarapan aku ialah bake cheesecake dan chilled cheese cake ... alhamdulillah.  Allah bagi sedap.  Memang sedap.  bila buat dua cara ni, aku rasa bake cheese cake is more delicious than chilled cheese cake.  tak caya?  meh kita try ... nyum2 ...

* no pic.  sorry.

aku pakai cream cheese philadelphia sebab kata dorang, cream cheese ni is the best for cheese cake.   Syukur ke hadrat Allah  yang memberi rasa sedap dan lazat. 

template classic

template classic ni ok. tak sarat.  tapi aku panik sekejap bila tak tau macamana nak sign in.  dulu dah pernah terkena.  kelam-kabut jugak dibuatnya.  aku try n error.  dah tu, kenapa tak semua catatan ni keluar?  aku tak faham. kena la godek2 lagi ... ooo tick kat full tu ... baru la semua keluar penuh. 

apa yang penting, aku dah reti nak sign in balik hehe ... kalau tak, tak de la aku dapat tulis entri pasal template classic ni kan ...  just klik kat B blogger tu ... so lain kali ingat le ye ...

Untuk Norlaila Hussin, napa senyap je?  Sibuk layan anak-anak yang bercuti ... atau mungkin sedang cuti-cuti Malaysia :D ... 

Budak Bulu2 stay outside

Dah 4-5 hari budak bulu2 duduk kat luar.  Aku tutup pintu dan semua tingkap.  Aku bagi makan kat porch depan dalam dulang.  Mula-mula mereka tak faham apa yang aku lakukan.  Mereka meluru-luru masuk dan beramai-ramai lepak atas katil aku sambil jilat-jilat bulu.

Kesian aku tengok budak bulu2 ni.  Rancangan nak seludup yang jantan (Muezza dan Muzi) ke kedai makan suami aku secara senyap-senyap tak jadi.  Aku rancang nak bagi makan sedap-sedap sampai kenyang betul dan hantar ke kedai suami aku waktu malam.  Aku nak hantar Ayu sekali stay beberapa hari kat kedai, supaya Muezza dan Muzi tak rasa takut dan janggal sangat.  Tapi rancangan tak menjadi.  Aku tak sampai hati.

Cantik, nak aku hantar dekat area rumah orang tua Haji Badrul, member suami aku sebelum dia beranak.  Nanti aku pesan kat Cantik, supaya cari rumah kampung Haji Badrul dan cari port sesuai untuk beranak, sebab aku yakin keluarga Haji Badrul baik-baik belaka.  Aku doakan Cantik jumpa orang yang lebih penyayang kucing daripada diri aku yang kadang-kadang datang angin garang hehe ...  Aku tak mau dah beranak karang baru nak hantar dia.  Kesian nanti Cantik nak pindah-randah, nanti jadi macam kes Tompok, tersadai kesejukan dalam hujan kat tepi tayar kereta orang.  Pun tak jadi.  Aku fikir biarlah dia beranak kat dalam rumah aku je.

Putam, aku plan nak bawak inject vaksin dan hantar balik ke TTDI Jaya, tempat dia dulu.  Dia datang comel-comel, hantar balik pun bagi comel la konon, sebab punggungnya dah macam kurap.  Parut sana sini kesan luka bergaduh.  Lum lagi nak hantar.  Aku fikir biar je la dia kat sini, walaupun tadi dia baru je memancut kat tepi sinki sampai terpercik kat kaki aku ... sempat aku sepak dia dengan kaki, dan bantai sekali dengan pemukul lalat.  Zalimkah aku dengan tindakan spontan tu?  Lepas ni memang tak merasa la dia masuk dalam rumah lagi, walaupun aku selalu tak sampai hati kalau dia buat bunyi mengeow paling manja tu ...  no way no more chance for you, Putam.  Lepas ni kena info kat budak-budak tu, jangan bagi Putam masuk rumah.  Kalau masuk pun, 5 minit je. Bagusnya Putam tak pandai bukak sliding door macam Cantik hehe ... So kena pesan bukan kat budak-budak berdua tu je,tapi bagi warning kat Cantik gak.  Lepas bukak sliding, kena tutup balik hahaha ... reti ke dia?

Yang aku tak plan nak hantar mana-mana ialah dua ekor budak bulu2 betina tu, Miza mulut leter yang comel hidung pink (ada tahi lalat sikit) dan Mizi kucing Hanessa yang sopan selalu, juga Ayu yang cute tak banyak mulut.  Aku nak hantar inject perancang keluarga dan bela dalam rumah je.  Kalau setakat dua tiga ekor, bolehlah aku handle rasanya insyaAllah.  Kalau semua 7 ekor besar-besar dan semakin matang tu yang aku tak larat biar duduk dalam rumah. 

Sebab ... pantang ada pasir bersih sekor-sekor pegi memburan kat pasir tu,  paling tak bagi kencing.  Kalau pagi-pagi, ada 4-5 timbunan memacam rupa kat pasir tu ... ada yang bulat pusing2, ada yang cair meleleh, ada yang panjang macam asam jawa ... sampai aku rasa aku bakal jatuh sakit kalau terus menghadap benda ni setiap hari.

Jadi, dorang pun dah besar, duduk luar je la.   Sesekali masuk dalam, boleh la ... tapi aku tengok bila pagi-pagi aku bukak pintu, meluru-luru dorang masuk, lepak-lepak lepas tu main kat luar semula.  Hmm ... dah faham la tu hehe ...

Cuma aku bimbang dan risau, bila dorang lintas-lintas jalan pergi menyusur longkang kat depan rumah.  Kereta motor agak laju kat sini.  Bonggol ada dua je, kat hujung kiri dan hujung kanan.  Aku dah pernah bagitau suami masa dia jadi pengerusi taman supaya buat lagi bonggol tinggi kat tengah-tengah dan satu kat depan rumah ni, tapi tak de respon.

Dulu anak kucing yang aku bela bagi minum susu dalam botol, Tiger, kena langgar depan rumah.  Balik dari luar, tengok Tiger dah tergolek kaku.  Ntah motor or kereta mana yang menggelek Tiger ... aku tak nampak.

So, aku kembali kepada Allah SWT.  Aku yakin Allah yang Maha Pemelihara menjaga kucing-kucing ni ...

Setiap kali aku bagi makan, aku berkata, "YA Allah, Engkaulah yang memberi kenyang, bukan aku dan bukan makanan ni ...".

Setiap kali aku bimbang dan risau, kalau cuaca hujang ribut sebagainya, aku berdoa, "Ya Allah, Engkaulah yang Maha Pengasih, lebih dari aku kasih dan sayang pada kucing-kucing ni."

Aku cuba tanamkan iman yakin dalam hati.  Aku ambil pengajaran dari kes anak kucing kecik Tompok tempohari.  Anak kucing yang masih bertali pusat dan belum bukak mata tu aku kutip dari tepi tayar kereta orang ketika hujan lebat, dalam keadaan dia menggigil dan hilang suara.  Aku bagi susu khas untuk kitten dan beli botol khas (anak perempuan aku keluar belanja ... dia offer sebab nak bela sangat).  Aku terlupa bahawa Allah yang Maha Pemberi rezeki dan Maha Pemelihara.  Hanya dapat bela Tompok tak sampai seminggu, lepas tu Tompok mula sejuk dan terus kaku.

Jadi, aku memang tak ada kuasa.  Aku bagi makan, bukan aku bagi kenyang.  Makanan tu pun Allah yang bagi.  Aku betulkan semula konsep dan pendirian aku selama ni.  Aku dah salah dan silap.  Aku mesti yakin sebenar-benar yakin.  Bahawa aku tak de kuasa apa, yang Maha Berkuasa hanyalah Allah.  Nasi, susu dan segala makanan tu hanya asbab untuk kenyang.  Boleh je dorang tak kenyang-kenyang walaupun makan sekilo nasi lauk ikan.  Allah yang bagi rasa kenyang.  So Allah juga boleh bagi kenyang walaupun tak ada makanan.

So, kita hidup kat dunia ni ada asbabnya.  Supaya kita berfikir dan sentiasalah kaitkan dengan kekuasaan dan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Sempurna.  Tengok kucing manja comel, kita puji Allah yang Maha Pencipta.  Tengok keletah kucing yang nakal bergurau senda sesama sendiri, kita puji Allah yang Maha Pengasih.  Tengok kucing lintas-lintas jalan sampai dada berdebar risau, kita yakin Allah yang Maha Pemelihara dan berdoalah supaya selamat.

Doa untuk kucing ... jangan sampai lupa doa untuk diri sendiri ... kata maulana, sekurang-kurang setengah jam sehari kita mesti berdoa untuk diri kita sendiri.

* Ada tak pengajaran yang boleh dikutip dari catatan aku kali ni?  Kalau ada, alhamdulillah.  Kalau kosong merapu, insyaAllah lain kali aku try lagi. 


baca majalah

ada orang-orang yang gemar membaca majalah, lebih dari gemar membaca ayat-ayat Allah (al-Quran). 

Aku tengok trend majalah sekarang, di celah-celah bermacam cerita aneh dan porno selain politik, diselitkan tazkirah yang menginsafkan. 

Alangkah sedih dan pedih, melihat kusyuknya orang-orang yang ralit dengan pelbagai kisah di dalam majalah.

Mana al-Quran dah disimpan?  Simpan dalam almari dan susun cantik-cantik.  Kumpul al-Quran buat koleksi, bukan untuk dibaca dan dihayati.

Ya Allah ... selamatkanlah kami dan berilah kami hidayatMU.  

Berkatalah!

"Berkata-katalah!  Jangan simpan dalam mulut je ... Cakap!  Cakap! Cakap!  Kalau salah pun tak mengapa."

Itulah antara ayat-ayat yang aku ingat, yang meluncur keluar dari mulut Kak Yati.  Kak Yati bakal berangkat (mungkin hari ini tadi) ke Indonesia.  Katanya, kadang-kadang bicaranya lari topik, kesan suntikan vaksin yang diambil.  Tapi aku dengar ok je.  Inilah yang paling aku suka, selepas kami mendengar taklim kitab Muntakhab Ahadits dan Fadhilat Amal. 


Monday, November 19, 2012

anakku kemas bilik

Hari ni cerah sekejap je pagi tadi ... lepas tu cuaca redup dan hujan turun.  Pada masa aku menulis ni, hujan dah berhenti.

Tadi Hidayat minta penyapu.  Dia aku suruh mengemas biliknya.  Tiba-tiba dia mula mengangkat satu persatu barang-barang dari dalam bilik dilonggok di depan pintu bilik. Adiknya Hanessa membantu.

Aku mula risau.  Adoii ... apa yang diaorang nak buat ni???

"Nak kemas bilikla mama!"  katanya bila aku tanya dua tiga kali.  Tak percaya!

Apa kena?  Aku hairan betul.  Bila tak ada games, jauh jugak fikirannya berjalan.  Hingga nak kemas bilik kawkaw punya kemas.  Aku tak terbayang kalau dia kepenatan dan buat halfway karang ...  eh mesti bagi dia peluang untuk buktikan dia mampu berkemas.

Ok, hari ni dia dah tepuk laptop aku hingga keluar belang-belang kat skrin.  Aku marah terlampau hingga aku ugut dia, jangan harap nak dapat tablet dan duit sunat dia aku nak gunakan untuk bayar repair laptop aku.  Aku tak lempang dia atau rotan atau belasah apa.  Tapi aku sekadar gunakan kuasa kata-kata je ... aku betul-betul marah.  Respon dia, tak payah cakap.  Tentu bergenang airmata.

Dia tepuk laptop lain tu aku marah jugak.  Ni, sampai rosak laptop aku gara-gara dia bengang games slow.  Wahhhh ... dahlah memang aku kawal dia dari gunakan laptop aku.  Tiba-tiba ... ohh ... aku belum berani nak on laptop tu, aku doa dulu baru nak hantar kat Epol suruh check.  Aku buat solat hajat dan berdoa macam-macam, antaranya termasuklah minta Allah 'sembuhkan' laptop tu balik.  Bab terakhir novel Sakinah ada dalam tu ... aku mesti siapkannya.

Lepas tu dia tidur, merajuk la konon.  Adiknya main henpon pulak.  Bila dah makan, dia dah hilang rajuk, dia pulak mengerjakan henpon tu.

Lama-lama aku naik angin balik.  Aku jenguk dia kat bilik dengan hanger.  Kalau aku datang dari bilik aku, memang aku bawak tali pinggang je.  Ni aku melepak kat bilik lain, kat situ ada hanger je.  So hanger yang aku bawak.  Dia memang gerun sikit kalau aku bercakap dengan sesuatu kat tangan.

Aku ambik henpon dan suruh dia dua beradik baca buku.  Dan sudahnya inilah kerjanya berdua...  Now, aku sedang menyaksikan (sambil menulis) segala barang sedang diangkut keluar dari bilik itu.

"Kita kosongkan bilik." Aku dengar dia mengarahkan adiknya.

Aku no idea ... ni macam aku punya kerja je ...

(Setengah jam kemudian).
Aku dengar bunyi ketukan di dinding.  Bila aku jenguk, Hidayat sedang mengetuk sebatang paku ke dinding menggunakan alat mainan.  Katanya nak buat tempat penyangkut beg raket badminton.  Aku katakan tak perlu, sebab sebelum ni semua beg raket aku sangkut di belakang pintu biliknya.   Tak perlu jadikan hiasan dinding, makin menyemakkan nanti.

Sebelum tu aku jenguk sekejap, katil bujang (asalnya double-dec) sudah dirapatkan menjadi katil queen.  Dah tentu aku tak setuju.  Ruang bilik jadi semakin sempit.  Aku arahkan buat macam asal semula supaya ada ruang untuk solat.  Hidayat merungut-rungut penat.  Akhirnya katil dijarakkan semula ke tepi dinding dan ruang bilik terbahagi dua.  Hmm ... bolehlah solat di tengah-tengah.  Inilah susunan asal yang aku buat ketika mula-mula masuk ke rumah ini dulu, hehe ...

Dan akhirnya sampai juga ke telinga aku kata-kata perlahan Hanessa ... "Ma, tolong kemas, kitorang dah penat la ..."

Hahh, aku dengan nada garang menyuruh mereka sudahkan juga kerja mengemas yang tinggal sedikit.  Ada juga la aku tolong, tapi tak bagi can mereka nak melepak.  Habis semua baru boleh lepak!

Hehe ... siap juga akhirnya ... Tu le, mama suruh kamu kutip benda-benda kecik yang bersepah atas lantai tu je, yang kamu pegi rombak dan keluarkan semua barang sapa suruh??? Takdo kojo carik kojo haha ...  Tapi, ok la jugak.  At least mama sedar kamu sebenarnya boleh bekerjasama, dan kamu ada idea untuk mengemas bilik.  Bolehla bagi thumbsup!

* aku tak berani nak on laptop.  Aku doa, doa dan berdoa.  Epol balik kampung ziarah ibu masuk hospital.  So aku terus tangguh nak on laptop.  Tapi tadi siang aku beranikan diri bukak laptop ni, dengan lafaz Bismillah ... Alhamdulillah, laptop aku 'sihat walafiat'.  Syukur kepada Allah.  Aku pesan pada budak berdua, 'JANGAN USIK LAPTOP MAMA!'.

* siang tadi aku bawa Hanessa pergi interview kat madrasah Bukit Naga.  Dia perlu mengisi borang yang disediakan.  Antara soalannya ialah nyatakan rukun iman dan solat fardhu.  Tulis nama sendiri, kalimah syahadah dan sebab nak belajar di madrasah dalam tulisan Jawi.  Akhir sekali menghafal satu ayat pendek untuk test ingatan (aku agak begitulah.)  Aku sama-sama menghafalnya. 

'Khairukum ahsanukum akhlaqan iza fauquhu' yang bermaksud 'sebaik-baik kamu ialah yang baik akhlaqnya dan faham agama.'

Sebenarnya ustazah Siti Hajar (yang mengendalikan temuduga) dah puashati dengan jawapan Hanessa, tak pula dia menyuruh Hanessa membaca hafalannya. 

Aku tanya, 'err, yang dihafal tu camana ustazah?'

Dah hafal, dan memang dalam borang tu kena hafal, so eloklah uji terus kan ... Maka ustazah pun menyuruh Hanessa ulang apa yang dah dihafalnya.  Alahai, dengan malu-malu anak bongsu aku ni pun membaca hafalannya dengan suara ala-ala Doreamon-nya tu ... Alhamdulillah, pass!

Kemain sengih lagi dia lepas tu ... Dan ustazah kata, 'hmm ... insyaAllah.  Nanti apa-apa kami akan telefon semula.'

* Otw balik, aku singgah di madrasah Ummul Qura' untuk menyerahkan borang permohonan Hidayat pulak.  Tapi pejabat dah berkunci (hampir waktu zohor).  Aku temubual beberapa pelajar yang ada yang 'menyambut' kami.  Dan ada seorang pelajar tu dari tempat kami juga, rumahnya di belakang dewan batu 7.  Hidayat kata dia kenal tapi tak tau nama.  Pelajar bernama Ikhwan (darjah 5) tu pun memberitahu biasa melihat Hidayat di sekolah.  Dia baru masuk semalam (Isnin) dan datang ke madrasah untuk belajar mengaji (full time untuk cuti sebulan).   Hidayat senyum sengih, tak sabar katanya nak masuk ke situ sebab ramai kawan.  Hmm ... kena cari jubah dulu.


Ya Allah, tolonglah anak-anakku berkemas hingga selesai.   Semoga dengan itu menjadi asbab mereka mendapat hidayat dan taufikMU.  Semoga mereka dipilih menjadi pembantu-pembantu dan penguat agamaMU.  Semoga mereka ENGKAU masukkan dalam list hafiz dan hafizah yang bertaqwa.  Aameen.  (semoga doa aku yang sedang berpuasa sunat hari Isnin makbul, insyaAllah.)

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing