Kerana kecuaian sendiri, aku ingat-ingat lupa majalah apa yang menerbitkan cerpen ini :(
(Oleh : Nor Mazzuin Manaf Hassan)
Alif
sedang berada di hospital menziarahi datuknya. Datuk Alif diberi
rawatan setelah mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. Setelah
beberapa ketika berada di sisi datuknya, perlahan-lahan Alif mengatur
langkah. Dia ingin melihat-lihat keadaan pesakit di wad itu. Wad itu
ialah wad pesakit am. Pesakit yang tidak kritikal tetapi memerlukan
rawatan lanjut ditempatkan di situ. Alif terus berjalan sambil melihat
pesakit yang berbaring di atas katil masing-masing.
Tiba-tiba Alif
terpandang seorang budak lelaki yang bertubuh gempal sedang berbaring
sambil membaca majalah. Ada seorang wanita setengah baya sedang duduk
di sisinya. Alif memerhatikan budak itu dengan cermat. Wajahnya ceria
dan tidak kelihatan seperti orang sakit.
Alif berasa hairan.
Situasi budak itu berbeza dari situasi pesakit lain di wad tersebut.
Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dirinya. Lantas Alif
memberanikan diri menghampiri budak itu, “Assalamualaikum,” kata Alif
sambil tersenyum. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman. “Saya
Alif.”
“Waalaikumussalam. Saya Azam. Ini ibu saya,” jawab Azam menyambut salam sambil memperkenalkan ibunya kepada Alif.
“Apa khabar, makcik?” Alif berbahasa dengan sopan kepada ibu Azam.
Ibu Azam tersenyum, “Khabar baik, Alif. Kamu menziarahi siapa?” tanya ibu Azam lagi.
Alif menerangkan perihal datuknya serba ringkas kepada Azam dan ibunya.
Kemudian Alif bertanya dengan perasaan yang tidak sabar, “Azam, saya lihat awak sihat. Mengapa awak dimasukkan ke hospital?”
Azam
dan ibunya ketawa mendengar soalan Alif. “Saya nampak sihat tetapi
sebenarnya saya kurang sihat,” jawab Azam sambil membetul-betulkan
duduknya.
Dahi Alif berkerut. Dia tidak memahami maksud Azam. Sihat tapi sakit?
Azam
ketawa melihat Alif yang terpinga-pinga dengan jawapannya. “Cuba awak
lihat saya betul-betul, tentu awak faham,” kata Azam lagi seperti mahu
berteka-teki.
Alif membelek-belek tubuh Azam. Tidak ada tanda-tanda
luka. “Tidak ada sebarang kecederaan pada awak!” seru Alif. Dia
merasa tidak puas hati. Dia cuba lagi memeriksa tubuh Azam.
Azam
ketawa melihat perbuatan Alif, dada dan perutnya bergoyang-goyang ketika
dia ketawa. “Cukuplah Alif, jangan periksa tubuh saya lagi,” kata Azam
sambil termengah-mengah menahan ketawa. “Sebenarnya saya mengalami
obesiti yang serius,” kata Azam dalam ketawa yang mula reda.
Alif semakin hairan mendengar penjelasan Azam. “Setakat obesiti awak perlu tinggal di hospital?”
Azam
menyeringai, “Sebenarnya ini kali kedua saya dimasukkan ke wad ini.”
“Saya cepat penat. Saya juga selalu diserang asma” sambung Azam.
Alif mendengar dengan cermat. “Berapa umur awak?” tanya Alif. Dia menduga Azam berumur 12 tahun, sebaya dengannya.
“Saya baru berumur 10 tahun.”
“Tetapi tubuh awak besar seperti berumur 12 tahun.”
Azam ketawa lagi. Dia seorang budak yang periang dan peramah.
“Apa yang menyebabkan awak menjadi gemuk seperti ini? Ibu awak tidak gemuk seperti awak.”
“Saya…”
Tiba-tiba
muncul seorang perempuan muda yang bertubuh langsing di sisi Azam
sambil memberi salam. Dia bersalam dengan ibu Azam. “Apa khabar,
Bulat?” sapa perempuan itu kepada Azam sambil menghulurkan sebungkus
roti.
Azam tersengih, “Ini kakak saya, Azimah,” dia memperkenalkan Azimah kepada Alif.
Ibu Azam menyampuk, “Hanya Azam yang gemuk, anak-anak makcik yang lain kurus belaka.”
Azimah
mencubit pipi Azam sambil berkata, “Dia tidak suka makan masakan ibu.
Tiap-tiap hari makan makanan ringan yang tidak berkhasiat itu.”
“Adoi…!”
jerit Azam sambil mengusap-usap pipinya yang merah kesan cubitan
Azimah. “Saya amat gemar makanan ringan dan makanan segera.
Rupa-rupanya makanan itu tidak baik untuk kesihatan kita,” kata Azam.
Alif mendengar dengan tekun. “Adakah makanan sedemikian mampu menggemukkan?”
“Ya,
makanan segera diproses daripada campuran pelbagai lemak haiwan dan
sedikit daging. Makanan ringan pula mengandungi garam dan gula yang
tinggi. Ia boleh merosakkan fungsi organ dalaman kita seperti ginjal dan
buah pinggang,” Azam menerangkan dengan bersungguh-sungguh.
“Saya semakin faham sekarang,” Alif mengangguk-angguk.
Azam
tersenyum. “Di sini, saya diajar cara memilih makanan yang sihat oleh
pakar pemakanan. Makanan berprotin seperti ikan dan daging merah
diutamakan manakala makanan berlemak dihadkan.”
‘Alif, Azam, lebih
bagus kita mengambil kismis sebagai kudapan. Ia penuh khasiat untuk
tubuh dan otak. Kurma juga. Sekarang kurma boleh diperolehi sepanjang
tahun, bukan di bulan Ramadhan sahaja,” sampuk Azimah.
Azam membuka
laci kabinet di tepi katilnya lantas mengambil sesuatu. “Tengok gambar
ini,” Azam mengunjukkan sekeping gambar kepada Alif.
Alif memerhatikan gambar itu. “Ini awak? Wah, gemuknya!” Alif memandang gambar itu dan Azam silih berganti.
Azam
mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum. “Gambar itu diambil dua
bulan lepas. Saya sudah kehilangan berat badan sebanyak 8 kilogram,”
ada nada bangga dalam suara Azam. “Kuantiti makanan disukat mengikut
keperluan sebenar tubuh saya. Waktu makan juga ditetapkan. Jadi saya
tidak rasa letih dan lapar keterlaluan.”
Alif mengangguk-angguk
mendengar penerangan Azam. ‘Makanan ringan memang sedap, rupa-rupanya
ia membawa mudarat kepada kita.’ Alif terbayang-bayang beberapa peket
makanan ringan yang disimpan di kabinet dapur rumahnya.
“Ya Alif,
makanan segera juga mengandungi lemak tepu. Makanan kita memang banyak
menggunakan minyak ditambah dengan lemak makanan segera, awak
bayangkanlah sendiri.”
“Makan banyak sayur dan buah-buahan.
Budak-budak sekarang selalu ketepikan sayur dan kurang makan
buah-buahan. Pengambilan makanan mereka tidak seimbang, sebab tu
gemuk,” sekali lagi Azimah menyampuk sambil mencubit dada Azam pula.
Azam menjerit kesakitan. Alif tertawa melihat telatah Azam dan Azimah.
“Saya akan lebih berhati-hati memilih makanan, saya tidak mahu gemuk seperti awak,” kata Alif sambil ketawa.
Pengambilan
lemak dan minyak yang tinggi di dalam menu harian menyebabkan
pengumpulan lemak berlebihan di dalam badan. Cara hidup masyarakat masa
kini yang kurang menggunakan tenaga menyebabkan lemak ini terus
tersimpan sehingga menimbulkan masalah kegemukan.
Azam mengambil
sepotong kecil roti gandum kasar yang dibawa oleh Azimah lantas menyuap
ke dalam mulutnya. “Roti ini bagus. Ia mengandungi serat yang tinggi,
banyak bahan mineral dan vitamin,” kata Azam sambil mengunyah perlahan.
Alif melirik kepada roti di tangan Azam, “Saya lebih suka roti gandum halus, roti ini menyebabkan saya rasa tercekik.”
Azam
ketawa mendengar kata-kata Alif. “Kunyahlah perlahan-lahan, awak akan
terasa nikmatnya,” kata Azam dengan nada seperti iklan di televisyen.
Alif turut ketawa.
“Baiklah,
saya mohon diri dahulu. Terima kasih di atas maklumat yang sangat
berguna ini. Semoga awak segera sembuh,” Alif menghulurkan tangan
bersalaman dengan Azam. Dia ingin berkongsi cerita mengenai Azam dan
keburukan makanan ringan dengan datuknya. Alif berazam untuk mengawal
dirinya daripada mengambil makanan ringan dan makanan segera. Dia tidak
mahu menjadi gemuk seperti Azam. Alif juga merasa tidak sabar hendak
berkongsi maklumat mengenai kebaikan pengambilan makanan yang sihat dan
berkualiti kepada kawan-kawannya.
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين
Bismillah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Search This Blog
Blog Archive
-
▼
2013
(114)
-
▼
Mar 2013
(28)
- DUTA KASIH SAYANG
- sepagi bersama budak bulu-bulu
- TUNJUK bukan beritahu
- selangkah demi selangkah
- proses penulisan kreatif- melayari bahtera digital
- petua penulisan kreatif
- novel remaja yang paling diminati?
- memulakan novel misteri
- menerap nilai murni dalam penulisan
- Mengolah novel terancang
- Kek Coklat Lembap mudah
- kembara keTuhanan
- memilih/menggambarkan persekitaran cerita
- terjebak di entri
- Apa beza
- 12 Petua
- kembali menghadap tuan guru
- pahlawan kehidupan
- Allah selamatkan kamu
- pagi ini
- Maafkan Kakak
- Alif Tidak Mahu Gemuk
- Alif Naik Pelamin
- Terima Kasih Abah
- Bosan bermusimkah
- Rutin uwan
- bila rasa kurang sihat
- kisah budak stray kita
-
▼
Mar 2013
(28)
Terima kasih :)
utamakan Bahasa Melayu
Pantai Lumut
Pantai Mersing

No comments:
Post a Comment