Cerpen diterbitkan di Dewan Pelajar terbitan Februari 2011.
(Oleh : Nor Mazzuin Manaf Hassan)
Pang, pang, kepang, kepang, kepang…
Kedengaran
suara kompang bergema bertalu-talu tanpa nyanyian. Alif kian
berdebar-debar. Jari-jemarinya dirasakan dingin, perasaannya gelisah.
Sesekali Alif memegang hulu keris kecil yang terselit di celah kain
sampin songketnya. Kadang-kadang Alif menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal. Aduh, saspennya. Bisik Alif sendirian.“Okey, naik,” arah Pak Cik Azman seraya duduk bertinggung di sisi Alif.
“Pak Cik… Alif rasa gementar,” Alif memohon simpati sambil memandang pakciknya.
“Buat
biasa sahaja, Alif. Bacalah selawat banyak-banyak,” jawab Pak Cik
Azman. “Cepat, kompang dah lama menunggu tu. Tetamu pun sudah tidak
sabar nak lihat pengantin,” gesa Pak Cik Azman apabila melihat Alif
masih teragak-agak.
Matanya melingas ke sekitar. Alif terpandang
wajah Anuar dan Kamal di celah-celah kanak-kanak yang berhimpit-himpit
di hadapannya, seolah-olah sedang melihat sesuatu yang pelik. Anuar dan
Kamal tersengih-sengih. Anuar mengacungkan dua jari telunjuknya ke udara
membuat aksi sedang memotong sesuatu. Kemudian Anuar dan Kamal tertawa
terbahak-bahak. Mata Alif tunak memerhatikan aksi Anuar. Ada rasa ngilu
yang tajam menyelinap ke sanubarinya apabila melihat perlakuan dua kawan
sepermainan yang suka menyakat itu.
Huh! Tidak lama lagi giliran kau
akan tiba juga. Waktu itu aku akan potong timun dengan pisau depan kau.
Tunggu sahajalah! Gerutu Alif di dalam hati. Alif memanjat ke tengkuk
Pak Cik Azman. Pak Cik Azman membetulkan kedudukan Alif agar lebih kemas
dan bangkit perlahan-lahan. Mereka menuju ke rumah Alif. Kumpulan
kompang mengiringi langkah Pak Cik Azman. Kumpulan kanak-kanak berjalan
mengekori Alif dan pakciknya.
Perasaan Alif silih berganti antara
gerun dan seronok . Dia gerun membayangkan sesuatu yang bakal dilaluinya
usai majlis yang meriah ini. Pada masa yang sama, hatinya kembang
apabila diberikan sepenuh perhatian oleh seisi keluarganya.
Terbayang-bayang di ruang matanya kereta kawalan jarak jauh yang hebat
dan alat mainan PS3 yang telah dijanjikan oleh ayahnya tempohari. Tanpa
sedar Alif mengukir senyum sendiri. Alif seperti di awang-awangan. Mata
Alif silau dek cahaya kamera yang tidak henti-henti merakamkan
gambarnya.
Dari jauh Alif melihat pelamin yang dihias indah sudah menunggu di bawah khemah.
Serta-merta
wajah Latifah bermain di benaknya. Alif tersenyum-senyum lagi. Pelamin
itu begitu indah dengan bunga-bungaan berwarna putih, merah dan biru
bertaburan di kain tabirnya, secantik langsir tingkap rumah Latifah,
seindah warna bunga Kembang Pagi di pasu-pasu bunga di sepanjang pagar
rumah Latifah. Sebuah kerusi kayu yang berukir indah diletakkan di
tengah-tengah pelamin. Pelamin itu beralas dengan karpet merah. Terdapat
dua pasu bunga telur warna biru putih di kiri kanan pelamin. Di sudut
kiri pula diletakkan bekas-bekas tembaga berisi beras kuning, air mawar,
inai dan daun kaduk yang sudah berikat kemas, buat menepung tawar Alif
nanti. Alif kian gementar.
”Tak mahu turun ke Alif?” tiba-tiba suara Pak Cik Azman menerjah telinga Alif.
Rupa-rupanya
Pak Cik Azman sudah lama duduk bertinggung betul-betul di hadapan
pelamin. Sambil tersipu malu, Alif turun dari tengkuk Pak Cik Azman.
Alif kebingungan sebentar. Kerusi berukir indah di pelamin seolah
menggamitnya namun untuk terus menuju ke situ sendiri, Alif begitu silu.
“Tunggu apa lagi, naik cepat ke pelamin tu,” sergah Kak Anom tiba-tiba.
Telinga
Alif menangkap suara tawa di sekitarnya. Wajah Alif merona merah. Aduh,
mengapa nenek buat pelamin ni, gerutu hati Alif lagi. Perlahan-lahan
Alif memanjat pelamin lalu duduk di kerusi berukir. Kak Anom berdiri di
sebelah Alif, seperti pengapit pengantin. Kak Anom juga berpakaian
indah, baju kebaya berlabuci warna pinang masak sedondon. Haruman Kak
Anom menerpa hidung Alif membuatkan dia tenang seketika.
“Mana pengantin perempuan, Alif?” kedengaran suara bertanya, entah suara siapa.
Alif
tersengih. Mata Alif melingas mencari seseorang. Matanya menangkap
kelibat gadis ayu di sebalik tiang bertentangan dengan pelaminnya.
“Tu!”
Alif memuncungkan mulutnya ke arah Latifah. Sungguh ayu Latifah
berbaju kurung merah muda dan bertudung warna krim. Latifah tersenyum
malu, wajahnya jadi kemerah-merahan.
“Ha ha ha ha…” kedengaran suara ramai tertawa dengan jawapan Alif.
“Kenapa tak naik pelamin sama?” Tanya suara lain pula.
“Kerusi ada satu je…” jawab Alif lurus. Kedengaran lagi gelak ramai.
“Sementara nak tunggu kau cukup umur, Latifah dah kawin dah,” terdengar suara lain menyahut.
Alif
mula berasa seronok. Dia melayan sahaja usikan demi usikan menjadikan
suasana bertambah rancak. Kedengaran suara Pak Cik Azman membuat ucapan
pendek seterusnya menjemput nenek memulakan majlis menepung tawar. Nenek
mengatur langkah membawa tubuhnya yang gempal mendekati pelamin. Senyum
nenek menguntum di bibirnya. Wajah nenek begitu gembira. Alif membalas
senyuman nenek lantas mencium tangan nenek. Nenek mencampakkan beras
kuning ke arah Alif. Nenek ambil lagi segenggam beras kuning dan
mencampakkan kepada tetamu di sekitar pelamin. Kemudian nenek
mencalitkan inai ke tapak tangan Alif. Akhir sekali nenek mencapai bekas
tembaga berisi air mawar lalu merenjis-renjis sehingga aroma mawar
menguasai udara.
Selesai menepung tawar, Kak Anom menghulurkan
setangkai bunga telur berwarna biru muda kepada nenek. Acara menepung
tawar diteruskan oleh ibu dan ayah. Moyang Alif yang bertongkat dua
juga dijemput. Orang tua itu terpaksa menggagahkan diri memanjat pelamin
Alif untuk menunaikan hajat menepung tawar cicit lelaki tunggalnya itu.
Tiba-tiba, “Batang pisang! Dah ambil batang pisang? Tok Mudim dah sampai,” kedengaran suara-suara agak riuh.
Alif
terpandang Pak Tamnya sedang menjunjung batang pisang melintas di sisi
pelamin lantas menghilang di dalam rumah. Alif merasakan jantungnya
bagai berhenti berdenyut.
“Ke tepi! Ke tepi! Tok Mudim nak lalu.”
Alif
melihat seorang tua muncul di hadapannya. Kali ini Alif serasa ingin
pengsan apabila bertentang mata tanpa sengaja dengan orang tua itu yang
menjinjing sebuah beg kulit di tangannya. Misainya tebal melintang dan
raut wajah yang serius menambah gelora di jiwa Alif. Anak mata Alif
mengekori orang tua itu yang turut menghilang di dalam rumah.
“Alif…. Zasssss!” muncul kelibat Anuar dan Kamal lagi di hadapan Alif sambil menunjukkan aksi yang sama.
Alif
tidak terkata apa, perasaan takut lebih hebat daripada rasa geram
kepada kawan-kawannya itu. Alif merapatkan kedua pehanya yang dirasakan
kaku. Alif meramas-ramas jari-jemarinya yang semakin dingin. Alif
berperang dengan perasaannya sendiri, antara takut dan semangat ingin
menjadi lelaki sejati.
Kata-kata ayah terngiang-ngiang di telinganya.
Ayah memberitahu selepas berkhatan, Alif boleh solat Jumaat di sebelah
ayah. Alif tidak perlu lagi ke barisan kanak-kanak di belakang. Dirinya
sudah suci dan tidak akan memutuskan saf solat. Ayah sudah menerangkan
bahawa berkhatan adalah wajib ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi
syaratnya kerana ia mengandungi kebaikan meliputi rohani dan jasmani
seseorang Ayah juga memberitahu terdapat orang bukan Islam yang
berkhatan kerana ingin mendapatkan kebaikannya.
Perlahan-lahan perasaan Alif kian tenang. Jiwanya membara semula.
`Aku tak takut berkhatan. Aku ingin menjadi Muslim yang baik. Aku ingin menjadi seperti ayah!'
Kelibat Latifah sedang melontarkan senyum ayu menjelma di ruang matanya. Senyum terukir kembali di wajah Alif.
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين
Bismillah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Search This Blog
Blog Archive
-
▼
2013
(114)
-
▼
Mar 2013
(28)
- DUTA KASIH SAYANG
- sepagi bersama budak bulu-bulu
- TUNJUK bukan beritahu
- selangkah demi selangkah
- proses penulisan kreatif- melayari bahtera digital
- petua penulisan kreatif
- novel remaja yang paling diminati?
- memulakan novel misteri
- menerap nilai murni dalam penulisan
- Mengolah novel terancang
- Kek Coklat Lembap mudah
- kembara keTuhanan
- memilih/menggambarkan persekitaran cerita
- terjebak di entri
- Apa beza
- 12 Petua
- kembali menghadap tuan guru
- pahlawan kehidupan
- Allah selamatkan kamu
- pagi ini
- Maafkan Kakak
- Alif Tidak Mahu Gemuk
- Alif Naik Pelamin
- Terima Kasih Abah
- Bosan bermusimkah
- Rutin uwan
- bila rasa kurang sihat
- kisah budak stray kita
-
▼
Mar 2013
(28)
Terima kasih :)
utamakan Bahasa Melayu
Pantai Lumut
Pantai Mersing

No comments:
Post a Comment