Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, November 23, 2013

hairan
makin ramai yang terawet
diawet
mengawet
dengan sengaja
tak ubahnya seperti mumia

apakah itu satu anugerahNya?

wajah anggun dijaja
ditaja
tersebar merata
indah berbanding usia
terkagum mata
melihat fana
ataukah ia hanya fatamorgana?

dunia oh dunia
sungguh telah tua
semakin renta
namun semakin dipuja
kian habis rahsia
dikongsi sesama di mana bila-bila
adalah realiti sepi
manusia yang sunyi

sedang sebuah zikrulmaut
ingat-ingat lupa
apakah aku sudah bersiap sedia
wahai jiwa yang sebenarnya tua
dikuliti muda yang sementara
jelita remaja
tiada tara beza
alangkah rugi rugi rugi
andai terlena tiada terjaga
sampai bila-bila
Walaupun selalu cuba mengawal diri,
             kerapkali masih terkalahkan.
 Ia sesuatu yang menyedihkan. 




mahu bangkit lagi
namun masih dilekakan
susah payah menyeret diri
di atas aspal berduri





nurani bersabarlah
tiada yang kekal selamanya
walau embun masih menitis dinihari
mentari dan bulan masih berkitaran
apabila tiba masa
pasti kan terjadi jua
walau siapa bila di mana bagaimana

kepada Allah berserah sentiasa
InsyaAllah ameen.
 


puteri itu ...



puteri itu
semakin riang
bagai rama-rama di taman syurga

hinggap kuntum ke kuntum
menghisap madunya.

puteri itu
ceria selalu
umpama burung terindah
yang melayang nun di angkasa tinggi
nun sayup tak tercapai hati
.
puteri itu
semakin ranum
bak sekuntum mawar yang sedang mekar
jiwa yang halus tulus
anugerah dari Pencipta

semoga kau akan terus riang
beriring syukur dalam sujud yang panjang
di malam yang hening
dan perasaan yang bening
insyaAllah.

 semoga anugerahNya ditambah lagi
dan lagi dan lagi
dan jadilah kau puteri sejati nan terindah
yang mengetuai para bidadari
insyaAllah.

Friday, November 22, 2013

Yang menghantarku ke sini

aku di sini.
tak pernah terfikir aku kan di sini.

selalu aku membaca
rezeki tiba-tiba
asbab solat zikir amal dan sebagainya
dari ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

apakah ini rezeki tiba-tiba buatku?
sedangkan solatku masih jauh dari sempurna
zikir amal masih penuh alasan membuatnya

Dunia yang penuh asbab
Namun ALLAH melakukan tanpa bersebab
Kerana ALLAH MAHA KUASA
Makhluk tiada kuasa.

Alhamdulillah syukur kepadaMU YA ALLAH

Yang pasti
Walau bumbung tempatku berteduh bocor merata
Hatiku rasa sejahtera
Lapang dada inilah rezeki yang sangat berharga
Syukur YA ALLAH.

Hatiku KAU yang memegangnya.

Hati yang banyak noda hitam
KAU-lah yang akan menyucikannya
Hati yang selalu prasangka
KAU-lah yang mendidik untuk sangka baik
Hati yang selalu pedih memendam rasa
KAU-lah yang menghiburkan

Alam ini milikMU
Bumi dan langit
serta segala perhiasannya

Tiada yang menjadi milikku
hatta nafas dan sehelai roma

sekujurnya dalam genggamanMU

Wahai Yang Esa
KAU berbuat sekehendakMU
dan tiada daya upayaku
hanya berserah semata padaMU

Ini semua hanyalah permulaan
Mungkin sudah di pertengahan
Atau apakah sudah semakin hampir ke penghujung jalan?

Hanya ENGKAU YANG MAHA MENGETAHUI

antara kita ada rahsia
rahsia di dalam rahsia
Sesungguhnya KAU MAHA PERAHSIA

Yang menghantarku ke sini
Akan mengeluarkanku dari sini.

Negeri abadi semakin mendekati
Ku mohon redhoMU YA ILLAHI.







Sementara Masih Ada Masa ~

As salam.
InsyaAllah.  Catatan akan berubah rasa, warna dan rupa.  Seiring dengan usia dan masa.  Selari dengan pelbagai peristiwa.  Kisah lama dibiarkan saja. 
Ada alun. Ada ombak.  Ada badai.  Ada tsunami.  Ada bayu.  Ada hujan.  Ribut taufan.  Ada banjir.  Ada panas terbakar.  Ada panas pijar.  Ada embun menyejuk. 
Adat orang melangkah.  Berjalan mengatur jejak di bumi yang kian retak.  Sarat dosa noda.  Sendat padat dengan harapan dan du'a. 
Takut dan harap silih berganti.
Riang dan hiba.
Risau dan pasrah.
KEPADA-MU YA ALLAH.

***
Kemarin aku mengantuk.  Separuh malam berlalu mengadap skrin laptop, meniti baris ayat demi ayat seorang sahabat yang pernah aku ketahui kisah tragisnya.  Buat sekian kali aku terpana dengan kehidupan yang tak ketahuan.  Semuanya di dalam ILMU ALLAH jua.  Saratlah hibaku buat dia. 

Wahai, sabarlah insan! 
Kau diuji.  Mereka jua.  Aku pun sama.
Kau menangis.  Mereka jua.  Aku pun sama.
Kau derita.  Mereka jua.  Aku pun sama. 

Namun ada yang berbeda
Pada nilai sebutir kilauan airmata
Yang menitis ke pipi
Yang jatuh menimpa hati.

Dan mengertilah
Matahari kan menghilang saat tabir hitam menjelma
Namun ia pasti muncul lagi esok pagi
InsyaAllah.

Bulan begitu jua
Ketika tabir cahaya muncul di ufuk timur
Ia menjadi sirna namun masih ada di sana.

Tiada yang terlepas hilang
Hanya perpisahan di sebuah persimpangan.

Sehingga tiba satu ketika
Ketika malam yang panjang
Dan siang yang seolah tiada kesudahan
Sangkakala pun ditiup dengan nada yang panjang.

Wahai, ketahuilah insan!
Itulah saat penghabisan
Buat semua yang masih bernyawa
Dan sebentar lagi bermula
Perhitungan yang amat membebankan
Tiada lagi tangisan airmata
Hanya darah yang menitis ke dada

Berbongkah-bongkah kesal menusuk ke jiwa
Namun tiada harapan untuk memulai semula.

Sementara masih ada masa ...
Sementara masih ada masa ...
Saat ini ...
Detik ini ...
Hari ini ...

Mari kembali.

***
untuk aku, yang pastinya.



 


Thursday, November 14, 2013

Apabila anakmu di madrasah

usah fikir kerana dia cepat menghafal maka dia layak berada di sini
kerana yang memilih adalah Allah Taala.

usah fikir dia sentiasa bagus seperti yang kau lihat di hadapan matamu
kerana di sini ujiannya adalah penapisan Allah Taala.

usah fikir dia lemah dan sakit seperti selalu hingga kau begitu risaukannya
kerana di sini Allah Taala yang telah memilih dia adalah sebaik-baik Penjaga anakmu.

usah fikir wang kau banyak berjuta maka keperluan dia serba lengkap
kerana di sini tempat belajar mujahadah dan qanaah.

usah fikir anak kau cukup baik dan anak orang cukup tak baik
kerana di sini Allah Taala adalah Pendidik mereka.

usah fikir yang buruk-buruk
kerana setiap fikiran dan perkataan semuanya menjadi doa
yang para malaikat sentiasa mengameenkan
doa yang mana yang kau mahu dimakbulkan Tuhan?

usah bersenang hati selalu
kerana bila-bila masa sahaja sesuatu bisa berlaku
tak siapa pun tahu
kerana semuanya urusan Allah Taala yang Maha Tahu.

Ya Allah
terimalah anak-anak kami
untuk menerima didikan berlandaskan al-Quran
berteraskan sunnah Rasulullah SAW
dan menjadi orang-orang akhirat
yang masih menghirup udara dunia.

Ya Allah
berilah mereka faham
berilah kami semua faham
yang tiada sesiapa pun dapat memahamkan kami
walaupun sejuta tahun mengulangi
melainkan dengan izinMu jua
yang tidak tertakluk kepada ruang dan masa
kerana Engkaulah yang Maha Kuasa
sedangkan makhlukMu tiada kuasa walau sebesar zarah.

Ameen ameen ya Robbal alameen.



Monday, November 11, 2013

catatan untuk Putam

Putam,
hmm ... macamana nak tulis untuk kau ni Putam.  Yang sahih tak mungkin kau akan membacanya hehe ...

Putam,
mengapa kau melalak-lalak hampir setiap masa?  Tak jumpa bini lagi ke?  Sakit telinga aku mendengarnya.

Putam,
tapi lama-kelamaan aku jadi musykil.  Siapa yang kau cari sebenarnya ni, Putam?  Setiap kali aku bukak pintu kereta, kau akan meluru masuk.  Sangatlah menambahkan kemsykilan hati.  Kau nak kencingkan kusyen ya!

Atau, Putam ...
Sebenarnya kau cuba nak beritahu aku, bahawa kau mahu balik ke Sijangkang.  Cakap Putam!  Cakap!!!
Erkk ...

Putam,
aku naik kesian tengok kau.  Kau cari Cantek ye?  Meh sini aku bagitau kau.

Sebenarnya, wahai si bulu hitam.
aku ada berwassap dengan jiran kita, Cikgu Ija.  Katanya memberitahu, bini kesayangan kau dah selamat beranak tiga ekor.  Dia beranak di rumah Cik Eda.  Ala ... jiran kita yang lagi satu tu. Takkan kau tak ingat.  Cepatnya lupa kau ni.

Lepas tu kan Putam,
aku wassap dengan Cik Eda pulak.  Aku risau Cantek akan menyusahkan dia sekeluarga.  Syukurlah Allah yang Maha Pengasih daripada orang-orang yang mengasihani telah mengabulkan doa kita, Putam.  Cik Eda sudi bela Cantek.  Bahkan nama Cantek pun dah tukar jadi Munga.  Eh silap, Bunga.  Cantik nama tu kan Putam.  Hihi ...

Putam,
udah-udahlah kau melalak sekeliling kampung.  Doakan Cantek kita tu bahagia di sana.  Cik Eda tak bagi makan nasi, tapi belikan biskut untuk dia.  Aku terkenangkan Cantek yang pandai bukak sliding door, pandai bukak bekas biskut dia dan pandai tangkap tikus.  Tak macam kau tu, huhh! 

Kau memang mengada-ngada, Putam. 
Kau pandai cari bini cantik.  Pastu kau suruh dia bukak sliding door.  Kau tau menyelitkan badan je.  Poyo la kau! 

Putam,
aku sebenarnya dah bincang dengan tuan kau yang sorang tu.  Pak Meon.  Aku bagi hint supaya dia hantar kau balik sana.  Tapi entahlah, dia macam sayang kat kau.  Kau memang nak bertuankan dia, katanya.  Sebab tu kau lari menyorok dalam kereta di satu tengah malam, ketika dia nak balik Sijangkang selepas mesyuarat pesantren di TTDI Jaya, U2.  Dia bukak semua pintu kereta nak suruh kau turun, tapi kau buat bodoh je.  Dan pagi tu kau hadiahkan seketul benda lembik kat atas alas kaki pintu bilik aku, arghh!

Putam, aku tak marah pun.  Allah yang izin kau ikut balik.  Sedangkan aku dah lama nak bela spesies macam kau tapi aku tahankan hati sebab aku ada baby.  Pak Meon pun macam tak bagi je, sudahnya dia yang angkut kau balik.  Kan tu semua kerja Allah.  Sohih tu Putam.

Lepas tu la kau bawak Cantek balik rumah.  Aku memang perkenan sangat tengok dia.  Matanya yang bulat besar bagai bercelak hitam memandang dengan jernih.  Dan dia sangat pandai bela anak.  Aku pun sayangkan Cantek tapi apakan daya.  Aku dah cerita dah kat Cik Eda, pasal kau melalak.  Pasal Miza dapat tangkap tikus mondok saiz anak Comel malam tadi.  Aku kata nak bawak Cantek balik sini, tapi nampaknya buat masa ni Cik Eda betul-betul sudi nak jaga dia. 

Allah Taala benar-benar mengabulkan doaku bersama air mata tempohari, semoga jiran-jiran TSP 2 semuanya jadi Mesra Kucing.  Antaranya yang sedia mesra kucing ialah Cikgu Ija.  Cik Eda menyusul.  Jiran baru tu pun memang penyayang orangnya.  Alhamdulillah syukur ya Allah.

Dah panjang berjela aku menulis ni, Putam.
Suara kau pun dah sayup lalu menghilang.  Semoga Allah sentiasa menjaga kau di mana saja berada.  Sama-sama la kita berdoa pula, agar satu hari kita dapat sekumpul semula dengan Cantek dan anak-anaknya.  Juga Sheba, Cheeta dan Fairyna. 

Cuma satu je Putam!!!
kau pergi cari Muezza sekarang!  aku dah pesan jangan belasah dia.  Muezza tu lembut dan penyayang.  Bukan kau saingannya.  Dia kan anak kau juga.  Sekarang ni dah tiga minggu Muezza tak balik, sampai termimpi-mimpi aku mendukung Muezza.  Plis la Putam, aku tak suka perangai macam ni faham!

Erk aku kena stop dulu.  Pak Meon udah pulang. 

Pesanan terakhir, jangan melalak lagi ye Putam.

Jumpa lagi hehe ...






untuk Mak Long kat muau (Muar)

Hari ni aku sarapan donut.  Selepas tiga kali percubaan, donut semakin lembut dan gebu, alhamdulillah. 
"Allah bagi sedap."  kata aku setiap kali pelajar memuji masakan.

"Mama, tak cukup.  Nak tambah lagi."  selepas minggu pertama nasi dan lauk tak habis, aku sukat nasi mereka yang disenduk ke dalam talam.  Hasilnya, hampir setiap kali itu mereka datang minta tambahan nasi.

"Mama, boleh tambah nasi tak?"  dah tanya siap-siap semasa ambil talam. 
Aku jenguk nasi, jenguk lauk.  "Boleh, nasi dan kuah je." 

Sebentar kemudian, ada la wakil membawa dua talam untuk setiap kumpulan.  Nasi licin, tetapi lauk ada diketepikan untuk dimakan dengan nasi tambah.

"Hmm kenapa tak habis lauk ni?"  tanya aku musykil.

"Tak de ... kita memang ketepikan la mama."  Ingatkan tak sedap hehehe ... kalau tak sedap takkan bertambah ye tak.  Saja je aku tanya tu.

"Boleh tambah tapi mesti dihabiskan.  Minggu pertama dulu banyak tak habis.  Mama cukup tak suka, tau tak.  Sebab tu mama sukat macam ni.  Tapi korang ni bila disukat cukup-cukup, tak cukup la pulak."  Aku beri amaran separuh masak. 

Aku dipilih Allah untuk berkhidmat di sini.  Sampai saat ini aku masih terfikir-fikir.  Alangkah hebatnya plan Allah.  Aku memang tak menyangka langsung ura-ura ini akan berlaku juga.  Kami sekadar membantu mudir yang bercita-cita besar.  Ada insan lain yang meronta-ronta mahu turut berkhidmat, namun kami tanpa mengetahui telah mendahului beberapa langkah.  Semuanya dengan izin Allah jua.  Tak semesti kami yang terbaik.  Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala isi hati dan suka duka kehidupan insan.  Dan perancangan Allah terus berjalan. 

Berhadapan dengan anak-anak awal belasan tahun yang keanak-anakan, sekitar usia anak-anakku sendiri juga.  Alhamdulillah Allah jua yang memudahkan.  Pasti ada ranjaunya, tetapi biarlah Allah bantu menyelesaikan.  Aku bukanlah manusia sempurna, masih terus belajar dan berazam menjadi tabah dan sabar.  Rata-rata anak-anak ini manja dan suka mencurahkan rahsia hati.  Biasa la adat berkawan.  Sedangkan lahir dari satu perut ibu pun macam-macam halnya.  Inikan pula dari lain-lain latar belakang.

Dalam tempoh 40 hari yang masih berbaki ini, peraturan ditekankan tetapi masih ada fleksibiliti.  Masih ada tolak ansurnya.  Aku dan mereka sama-sama belajar menyesuaikan diri secara malar.  InsyaAllah semoga Allah membantu madrasah ini terus berdiri dan beroperasi dengan lancar dan menghasilkan hafizah-hafizah muda yang cemerlang rohani dan jasmani.  Ameen.
 
*mengantuk.
Jumpa lagi.

maklong, nombor tepon aku dah tukar.  aku tukar pakej tunetalk sepatutnya boleh pakai nombor celcom tu balik.  ntah apa masalah dorang ni aku pun tak faham.  nak refer tak de masa.  patutnya ajen tu la punya keja.  ni nombor baru aku.  0111-1547-xxxx (inbox fb).  Hehe...


Friday, November 8, 2013

catatan lama 1 Sept 2013



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Mengemas rumah juga adalah satu bentuk ujian keimanan. Maksud aku, menyiapkan barangan rumah untuk berpindah ke tempat lain.  Iman dan nafsu saling berlawanan menguasai diri.  Mana barang yang memang perlu dan mesti dibawa.  Mana barang yang sudah lama tetapi masih boleh digunakan dengan sedikit kreativiti.  Mana barang yang ada sentimental value, macam fiil bapak aku DSHAMY yang sangat banyak barang lamanya yang penuh kenangan mengusik jiwanya.  Mana barang yang memang tak perlu tapi aku sudah beli dulu-dulu time jiwa mahu semua serba complete.  Mana barang yang pernah diperlukan tetapi sekarang sudah tidak digunakan, namun ia masih berkeadaan baik walaupun teknologi semakin canggih, macam dua bijik printer yang suami aku beli.  Mana barang atau pakaian yang masih cantik dan evergreen coraknya tetapi aku dah jarang sangat pakai semenjak berjubah @ berabaya ni.  

Tersedar malam tadi jam 2+ am sebab diserang selesema yang menjadi asbab aku bangun sampai pagi, waktu ini 10.47 pm aku mula rasa mengantuk.  Penat .. penat melihat barang yang banyak sehingga perlukan dua trip lori 3 tan untuk memindahkan barang ini.  Kasihan melihat lima anak muda yang funny tetapi sopan menyumbat segalanya ke dalam lori.  Apabila aku merungut-rungut kecil, ada yang menyampuk rungutanku.   
“Kak, rumah sana kecik je tau.”   

Macam la aku tak tau ish.  Tetapi aku tak dapat berbuat lebih baik melainkan hmm … angkut je la.  Itupun ada banyak juga benda yang aku rasa sudah tak diperlukan lagi, barang milik suami, aku masukkan ke dalam plastik hitam.  Aku harap dia tak akan bertanya apa-apa di satu hari nanti.  sedikit sahaja.

Malam kelmarin aku beritahu dia, pen waterman hadiah bekas bos dia di Brunei sudah aku buang ke dalam tempat sampah.  Tak lama selepas itu aku mula memindahkan sampah (mujur kering semuanya) ke dalam plastik lain dan hingga selesai aku tak menemui pen biru itu.  Untuk menyedapkan hatinya, aku yakinkan dia pen itu sebenarnya sudah aku simpan di dalam kotak.  Untuk perasaanku sendiri, aku katakan kepada diri untuk menghadiahinya pen berjenama sama di hari ulang tahunnya nanti, walau berapa harganya.  Hmm …

Naqib dan Ain, aku rasa jenis tak berkira dalam hal membuang.  Aku temui duit-duit syiling di dalam celah-celah beg yang dibuang di plastik sampah bilik Ain.  Oh, walaupun plastik itu berwarna hitam kedap, tetapi aku masih melihat isinya dari muka tong sampah yang besar dan mula memeriksa satu-persatu sampah itu.  Pasti ada yang aku ketepikan kerana ia masih berguna.  

Hidayat seorang yang cermat dan sayangkan barang-barang miliknya.  Bapak borek anak rintik.     Aku terpaksa berhati-hati dengan barangnya walaupun sudah terlepas sebuah miniature senapang besi berwarna hitam kesayangannya yang dibeli di Miri.  Abahnya pula membawa dia pulang sekejap.  Jadi sempatlah dia berpesan supaya barang-barangnya disimpan, setelah miniature itu aku campak dengan pejam mata.  Lama juga aku berfikir dan menimbangkan sikap Hidayat ini.  Akhirnya Allah memberi ilham, aku mesti tegas kepada diri sendiri dan kepada anak dalam banyak hal.  Aku masih memikirkan sikap dan cara Hidayat.  Mudah-mudahan dia tidak pernah teringat lagi kepada miniature itu, dan janganlah miniature senapang berwarna emas yang selamat (sebab aku tanya time dia balik) menjadi sebab.  Insya Allah.

Barang-barang yang aku duga dapat dijadikan hadiah menarik untuk kanak-kanak, telah menggembirakan hati kawan-kawan sepermainan Hanessa.  Menjelang hari perpisahan ini, dia menjadi lebih akrab dengan Mira, Saffa, Shahrul dan Farish.  Hmm … dia sudah bercuti sakan selama dua bulan semenjak seminggu Ramadhan kerana keluar darah segar dari mulutnya tanpa diketahui sebabnya.  Peluang masa yang ada digunakan setiap petang bermain basikal bersama kawan tetapi dia tetap semakin montel dan gelap (komen Alongnya).  Farish, Shahrul dan Saffa adalah teman-teman yang lebih muda, sangat berminat bermain dengannya.  hampir setiap petang loceng pintu akan berbunyi, ditekan oleh Farish.  Mira pula setahun lebih tua.  Meja abc yang empat buah dan sudah selesai khidmatnya kepada aku tetapi masih cantik warnanya telah menjadi hadiah kenang-kenangan Hanessa untuk mereka berempat.

Dan malam ini, aku teringin mencatat peristiwa hari ini begini. 
Selamat tinggal Sijangkang.
Selamat tinggal TSP 2. 
Selamat tinggal rumah no 56. 
Selamat tinggal jiran-jiran. 

Ya Allah, izinkanlah aku membawa Putam dan generasinya bersama kami.  Allah izin, tiada apa dapat menghalang.  InsyaAllah.  Selagi ada hayat, aku mahu bersama mereka walaupun Putam sudah ada dua rekod menyambar ikan separuh beku di dalam sinki, (rekod yang dirahsiakan).  Muezza yang sangat penyayang.  Muzi yang kaki bising tetapi manja, dan adik-adiknya Cheetah, Ferina dan Sheba yang suka golek-golek atas simen.  Malam semalam Comel bising semacam dan akhirnya beranak tiga ekor dalam almari baju kosong.  Seminggu lepas balik kampung, Kak Ayu beranak tiga ekor juga di dalam kabinet radio mak.  Adik Cat dilarikan orang, hanya rantai locengnya yang ditinggalkan berhampiran pagar rumah mak.  Tapi mak tak sedih sangat sebab ada tiga ekor ‘keledek gebu’ yang sudah mula bukak mata.

Semoga Allah memberi kebaikan dan rahmatNya kepada kami di tempat baru ini.  Ya Allah, pilihlah kami menjadi pembantu agamaMu dan tolonglah kami menyelesaikan tanggungjawab ini.  Ameen ya Rabbal a’lameen.

Patah tumbuh hilang berganti.
Semoga yang datang lebih baik, dan yang pergi menjadi yang terbaik.

In Shaa Allah.

~ Jumpa lagi.

Wednesday, November 6, 2013

bertemu si Miza leter

Mataku meliar.  Ternampak sesuatu yang berbulu, seperti kukenali di dalam pagar rumah yang sudah kosong itu.
"Tekan loceng!"  gesa suami dari dalam kereta.
Cepat-cepat aku tekan loceng di pagar 'bekas rumah'ku dan kembali ke pagar jiran sebelah.  Aku tak pasti, tetapi aku terus bersuara.
"Miza!  Miza!"

Sesuatu berbulu yang seperti kukenali itu bingkas bangun dari pembaringan di porch.  Dia berlari-lari dengan bising mendapatkan aku. Ohh!

Aku tangkap dan dukung kucing betina kesayangan Hidayat ini.  Akhirnya berjumpa jua.  Semasa kami pindah, dia entah ke mana.  Muncul sebentar dan hilang lagi.  Hidayat sedih tapi pasrah saja.

"Miza ni bang!"  kataku mengunjuk kepada suami.

"Bawak masuk kereta."

Sesuatu yang tak aku duga.  Allah yang memisahkan telah mempertemukan semula.  Allah yang memegang hati telah melunakkan hati suami kepada kucing ini.  Aku terbayang-bayang Hidayat tersenyum lebar melihat Miza di rumah nanti apabila dia outing.

Teringat beberapa ketika hampir berpindah.
"Mama, kenapa menangis?"  tanya anak ini memandang mata yang merah basah.
Aku menelan liur.  "Abah kata jangan bawak kucing.  Semua mesti ditinggalkan atau dihantar ke tempat lain."
Hidayat cepat-cepat menyahut.  "Mama, doa terus.  Hidayat terus doa lepas solat, supaya kita dapat bawak semua kucing kita nanti."

Tak di waktu itu.  Tetapi sebulan kemudian, kucing kesayangannya telah datang ke rumah ini tanpa pengetahuannya (dia di madrasah), dengan izin Allah.  Hebatnya kasih-sayang Allah yang Maha Pengasih dan Maha Mengetahui hati hamba-hambaNya.

Miza pernah keguguran dua bulan lepas.  Dia menghilang selama beberapa hari meninggalkan anak-anaknya terbiar (sekarang anak-anak kucing itu pun sudah mati kerana selesama).  Dia muncul dengan rupa hampir nazak.  Aku usap badannya dengan air doa.  Asbab itu, Allah izin dia sembuh dan sihat kembali.  Alhamdulillah.

Sampai saja di dapur, dia terus ke bekas makanan.  Di situ sudah tersedia ketulan-ketulan kecil kaki dan leher ayam.  Miza kelihatan lapar.

"Haa makan ... makan ..."  kata suami yang seronok memerhatikan.  "Kau lapar ya."

Kemudian aku mengangkatnya ke tingkap depan, memberitahu bahawa itu ruang untuk dia keluar masuk nanti.  'Jangan membuang di dalam rumah.'
 
Waktu ini kucing yang leter ini sedang berbaring di hujung kaki.  Perutnya kelihatan gendut sedikit.  Teringat kepada Muezza.  Entah di mana dia waktu ini.  Semoga selamat dalam pemeliharaan Allah.  In shaa Allah.

* hari ini pergi klinik gigi.  Doktor sarankan tampal sebab gigi masih kukuh.  Scaling  juga.  MasyaAllah, ngilu banget dong!  Suami menemani di hujung kaki, mencuit kaki beberapa kali apabila aku menguit.  Memberi isyarat 'saber aje!' barangkali.

* dalam perjalanan pulang bersama denyutan yang masih belum hilang, suami mahu singgan di 'rumah lama' untuk mengambil surat-surat jika ada.

* surat tiada, tetapi sebenarnya hanya asbab Allah mahu Miza berkumpul semula dengan kami.  Subhanallah!

*  ketika kereta bergerak perlahan, aku masih meliarkan pandangan.  Ternampak seekor dari tiga beradik sedang lepak di porch jiran lain.  "Sheba!"  aku terjerit.  Tetapi suami buat tak dengar je.

*  jubah hitam ditaburi bulu Miza yang resah.  Aku tak kisah.  Suami kisah tapi akhirnya dia buat tak kisah.

-> semuanya kerja Allah.  Aku sedang belajar iman yakin.  Allah menyembuhkan sakit gigiku dan Allah mempertemukan dengan Miza.  Ini tak akan terjadi tanpa izinNya.  Dengan izinNya tidak ada yang mustahil akan terjadi.  Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

-> Jangan putus asa dari berharap dan berdoa.  Ya Allah, jadikan kami orang yang sabar dan sentiasa berharap kepadaMu.  Tidak sekarang, lambat-laun akan dimakbulkan jua.

->  MENANTI PANGGILAN KAABAH.

~  jumpa lagi, in shaa Allah.

Tuesday, November 5, 2013

sakit gigi mak ...

As salam.
Selepas suami 'selesai' bertarung dengan sakit gigi, giliran aku pula. 

Aku bangga kerana aku bukan perokok, nauzubillah.  Secara tak langsung aku bangga kerana aku tidak sakit gigi waktu itu.

Namun Allah Maha Adil. 

Hari ini airmata terkeluar juga sambil tapak tangan memegang pipi kiri.  Denyutannya sudah sampai ke telinga.  Suami membaca doa hujan pula.  Iya la, aku yang kehujanan.  Aduhhh ...

Esok atau lusa suami akan ke projeknya lagi arah selatan.  Ya Allah, bagaimana nak aku lalui kesakitan ini dan tugas rutin yang menanti setiap hari ...

Hanya kepada Allah berserah diri.

Mak mertua yang derita sakit gigi tetapi doktor enggan mencabutnya kerana dia ada darah tinggi, kini sudah tamat deritanya.  Kata mak Leha, dia memaksa doktor mencabutnya juga dan sedia tanggung risiko.  Setahu aku lama juga mak Leha mengidap sakit giginya.  Aku yang tak gemar mengambil panadol dinasihatkan mak Leha makan pil penahan sakit itu.  "Haa kalau tak nak, tahan aje la ..."  katanya kemudian tergelak kecil.

Hari ini. 

Hari ini aku mengalah dengan suami.  Dia mengunjuk dua jenis pil - antibiotik dan kurangkan bengkak - miliknya tempohari kepadaku.  Pil itu aku telan dengan air Anugerah yang dibelinya.  Alhamdulillah, leganya ada sedikit.

Tapi itu tadi, siang tadi selepas zuhor.  Menjelang petang gigi kembali berdenyut.  Nyut nyut nyut!!! 

Istighfar istighfar istighfar.

Itulah, akhirnya keluar juga airmata. 

"Nanti makan pil killer."  kata suami sambil buka pintu nak ke mesjid.

"Hmm.  Sampai bila?"

"Esok gi doktor."

"Doktor bukan terus cabut."

"Yela, doktor check dulu.  Doktor ketuk-ketuk dulu."

Sayangnya gigi ni kalau dicabut.  Sudah rongak sebatang, mujurlah tersembunyi hehe ... Rongak bukan sebab dicabut tetapi pecah berserpih setelah ditampal.  Pasangan bawahnya yang sakit sekarang. 

* Belajar iman yakin.  Doa gigi sakit ~ Ya Allah, hilangkan daripadanya kejahatan dan keburukan yang dialami dengan doa nabi-Mu yang terpelihara lagi diberkati di sisiMu."  In Shaa Allah.

Allah yang bagi sakit, Allah jua yang bagi sembuh. 

Sunday, November 3, 2013

kisah terakhir budak bulu-bulu

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah.  Senyum.

Sebenarnya mahu senyum lebar.  Tetapi biarlah ucapan syukur kepada Allah lebih banyak lebih mendalam lebih indah dari senyuman yang lebar. 

In shaa Allah saya akan mencatat, kembali mencatat di sini.  Setelah lebih kurang 8 bulan, akhirnya Allah mengizinkan saya 'kembali'. 

Terlalu banyak kenangan yang berlepas pergi.  Hanya ingatan yang jelas berbaur kabur masih ada untuk dikongsikan.

Allah berbuat sekehendakNya.  Saya dan anda semua hanyalah hamba Allah yang tidak berdaya.  Lemah dan amat memerlukan Dia. 

Hari ini kompas hidup berubah lagi buat sekian kali.  Bergerak jarumnya mengikut kehendak Illahi.  Saya tidak berdaya, hanya akur dan patuh kepada jadual yang sudah ditetapkan sejak azali.  In shaa Allah tentu sahaja semua itu ada hikmah tersembunyi walau sedalam mana saya cuba mencungkil dan mengoreknya dari sangkaan dan jangkaan yang menggunung tinggi.  Hanya Dia yang Maha Mengetahui.  Dan Dia Maha Pengasih.

Kisah Budak Bulu-bulu sudah berakhir.  Semua kisah makhluk Allah yang satu ini kini menjadi mimpi indah yang entah kan berulang lagi, wallahualam.

Putam masih bersama saya.  Minggu ini dia meraung-raung mencari sesuatu.  Mungkin dia mencari Cantek kesayangannya.  Muezza muncul dalam mimpi saya malam tadi.  Kucing istimewa yang penyayang dan lembut itu saya dukung.  Sayangnya di alam nyata Muezza sudah lebih seminggu menghilangkan diri.  Risau, tetapi tak dapat berbuat apa-apa melainkan berdoa dan yakin Allah sentiasa menjaganya. 

Miza tinggal di rumah lama.  Adik-adiknya, Cheetah, Faryna dan Sheeba juga tinggal.  Hanya Comel yang mengikut saya kerana baru beranak dua hari sebelum kami berpindah. 

Anak-anak Miza ~ Kitty, Mizi dan Tupai kembali kepada Pencipta satu persatu kerana diserang selsema kuat.  Sungguh tragis saya rasakan.  Tak pernah saya melalui keadaan anak-anak kucing yang sedang segar dan lincah tiba-tiba berhingus pekat.

Ayu, baru beranak seminggu sebelum kami berpindah.  Dia di kampung.  Mak yang mahu menolong saya berpindah risau Ayu akan memindahkan anak-anak entah ke mana, membawa Ayu datang ke rumah.  Kucing berbulu tebal ini tenang dan tidak endah langsung suasana kelam-kabut orang mengangkat barang-barang.  Malam pertama kami di rumah baru, Ayu dan Comel ditinggalkan bermalam di rumah lama. 

Esoknya barulah kedua-dua kucing yang 'dalam pantang' ini kami bawa ke kediaman.  Ayu mula berubah.  Hanessa yang berangan-angan menjadi doktor haiwan menemui seekor anak Ayu mati kesejukan.  Sejak itu Ayu semakin lemah dan monyok.  Dia menyorok diri di dalam almari baju kosong.  Anak-anaknya yang dua ekor tidak diendahkan.  Bimbang anak-anak kucing yang belum bukak mata dan bersuara tu turut kaku, saya letakkan mereka di dalam kotak Comel.

Syukurlah ibu kucing yang muda ni memang comel dan baik.  Anak-anak Ayu menjadi anak Comel.  Kemudian mak pulang ke kampung membawa Ayu untuk kali terakhir. 

Rasa agak terbeban perasaan dengan kematian.  Hatta seekor kucing.  Apatah beberapa ekor kucing!  Satu persatu bermula dengan Mizi yang terbaik buat kami.  Sebelum itu kehilangan Muzi yang periang dan nakal. 

Terakhir, seekor anak Ayu yang menyusu pada Comel mengikut ibunya.  Tau tau dah sejuk.  Mungkin tak cukup susu walaupun nampak paling aktif.

Kini hanya ada Putam dan Comel serta anak-anaknya termasuk Boboi, anak Ayu.

Boboi, kucing kuning ekor pendek yang menjadi penjaga kedai juga entah apa khabarnya.  Mungkin dia kembali ke rumah tuannya, dan bertarung dengan taiko di situ.  Entahlah ... Allah Maha Penjaga dan Dia sebaik-baik penjaga. 

Berjela aku mencatat kisah Budak Bulu-bulu ini.  Mungkin ini catatan terakhir tentang mereka, mahkluk Allah yang lembut, nakal, manja, periang dan membuat aku riang juga dengan keletah mereka.  Hatta membuat airmata mengalir mengenangkan mereka yang terpaksa aku tinggalkan begitu saja. 

In shaa Allah menyusul kisah yang lebih bermanfaat, aku mengharapkan begitu. 

Kini aku bergelumang dengan pelajar-pelajar madrasah berusia 8-14 tahun.  Catatan sebelum ini aku tulis dari telefon bimbit yang sangat menyeksakan jiwa menulisnya.  Itulah catatan pertama tentang mereka. 

Allah sebaik-baik Perencana.  Ini memang di luar dugaan.  Aku tidak berdaya upaya tetapi jadual Tuhan selalu memeranjatkan dan luar biasa.

Anak-anak yang terpaksa berjauhan dari keluarga tersayang demi untuk mencari redho Illahi di sini.  Akulah yang menjadi ibu mereka.  Semuanya kerja Allah. 

Ya Allah, aku tidak berdaya upaya melakukan ini semua.  Hanya kepadaMu tempat kumengadu dan memohon pertolongan dan kekuatan.  Tolonglah aku mengikhlas diri dan hati untuk ini.  Mungkinkah ini jalan untuk aku memberi pinjaman yang baik kepadaMu?  Berilah aku faham, ya Allah.  Kerana Engkau sahaja yang boleh memberi faham, bukan selainMu. 

Hanya kepadaMu berserah diri.

~ In shaa Allah jumpa lagi~

Thursday, October 24, 2013

asatizah nakal

"mama, nanti nak tambah lag boleh?" "boleh, nasi dengan kuah je." ada lgi 15 minit untuk time makan, mereka dah ketuk pintu dapur. aku belum sempat nak tekan loceng, dah terjongol masing-masing. "mama, nanti kita nak datang lagi boleh?"kata Saudah, baru 10 tahun tapi sudah pandai bekam orang. "tak boleh. mama nak solat pulak." "ala...emergency!" "emergency 1 kali je!"" "emergency 10 kali, mama." "tak boleh, 1 kali je boleh. dah dah pi balik. jap lagi sazah datang." "mama, khadijah humairah panggil mama nenek." kata ainul, anak mudir sambil tunjuk jari lentik ke arah anak saudaranya yang berumur 6 tahun. "erkk, nanny la. takmo nenek. panggil nanny ye hihi..." poyo je aku hehe... "assalamualaikum. mabma "ooo mama." "waalaikumussalam. amenda? mama tengah doa la." "emergency, mama. ada lipan. besar!" gulp! "hah! abih dh bunuh?" "dah. ainul pukul guna kayu." "dah mati?" "dah...besar lipannya mama." "ok jap mama nak amik hp." "nak watpe mama?" "nak amik gambar, leh wassap tunjuk pakcik." aku pun melangkah dengan kain telekung menuju pintu belakang madrasah. bersemangat nak snap gambar walaupun aku tau hp ni blur gambarnya, nk repair tunggu dua jam pulak, tak kuasa aku. "mana lipannya?!" empat asatizah sudah ready di ruang belajar. yang lain mengerumuni tempat aku berdiri. "tu!" kecik je mata aku jadinya. lipan besar tu hanyalah sehalus lidi. sudah hampir hancur dihentak kayu mop patah. arghhh! kecoh je. aku melangkah balik dengan senyum sumbing. tak jadi la amik gambar!

Sunday, October 20, 2013

Seolah-olah cuti seminggu sempena hari raya aidiladha 1434 kali ini sangat luar biasa. Sebelum zuhor kami menghantar si sulung. Madrasah itu masih sunyi. Mungkin ada yang sudah sampai, sedang berehat di mana-mana. Nun di kawasan lapang sebelah bangunan taam ada dua lelaki sedang melipat kulit lembu dan dimuatkan ke dalam lori kecil. Ada tiga longgokan membukit kulit lembu yang memutih diliputi garam. Aku tidak terhidu apa-apa, kerana ditapis niqob harum di wajah. selepas zuhor kami menghantar sang puteri dan si bujang manja ke madrasah masing-masing. Hanya si bongsu yang tidak kembali ke madrasah. Aku dan suami sama-sama bersetuju, biarlah puteri yang ceria ini menemani aku nanti. Dan tempatnya di madrasah boleh diisi oleh pelajar yang lebih memerlukan. Hati terasa agak sayu, kerana pertemuan pada cuti ini terasa begitu luar biasa. Kutatap wajah langit. Ya Allah, Kau sedang melihatku. Ya Allah, nun di sana ada rahsia untukku. Sebuah tempat kerinduan yang terlalu mahal harganya. Tiba-tiba hatiku lapang selapang-lapangnya. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakhbar. Terima kasih kepada yang mengikuti blog ini. Aku tidak dapat menahan hati untuk menulis, walaupun tidak puas menulis dari adroid ini. jumpa lagu insyaAllah.

Wednesday, September 25, 2013

sedang menunggu saat untuk menulis setiap hari... semoga Allah permudahkan. insya Allah.

Thursday, August 22, 2013

Tajuk Novel

Syukur ke hadrat Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang. 

Fallahu khairon hafizhau wahuwa arhamur rahimin.. Maka Allah-lah sebaik-baik Penjaga dan Dia-lah lebih Mengasihi daripada orang yang mengasihani.

Dunia adalah sangkar kehidupan yang dijadikan Allah beserta peralatan dan ujian.  Allah beserta orang-orang yang sabar.  Sabar itu pahit dan payah lagi sakit rasanya tetapi manis indah di hujungnya.  Semua makhlukNya sudah ada kadar takdir dan rezeki.  Pilihlah untuk berdekatan denganNya dan menyintaiNya, dicintaiNya dan beroleh redhaNya.  Maka seluruh alam akan mencintaimu.  Itulah yang terbaik dari seluruh dunia dan isinya.  Kerna kita semua orang jauh,  bukan di sini tempat kita.  Di sini hanyalah sementara.

Syukur kepada Allah, alhamdulillah.  Aku baru beberapa minit menerima panggilan dari editor, Tuan Johariz (ITBM) mengabarkan tajuk yang telah dipilih untuk manuskrip aku.  SEHARUM DOA BONDA.  Aku benar-benar sukakan tajuk ini.

Untuk makluman semua, manuskrip aku telah diterima oleh ITBM untuk diterbitkan di bawah seliaan Tuan Johariz.  Aku sempat bertemu beliau semasa jamuan Aidilfitri Selasa kelmarin dan bercakap serba ringkas. 

Semua ini adalah anugerah dari Allah.  Aku kembalikan segala kesyukuran sepenuh hati kepada-Nya yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.  Semoga setiap aksara menjadi asbab hidayat seluruh alam.  Begitulah harapan dan doaku seandainya Allah mengizinkan aku menulis lagi selepas ini.  Aku tidak memiliki ilmu menulis novel.  Hanyalah sedikit kepandaian yang sangat ciput menulis karangan.  Dan aku sudah malas membaca novel.  Pening!  Aku beli novel karya penulis hebat, dah dua bulan tersimpan di dalam beg plastik itu.  Ralat membelinya kerana aku tak terasa nak membacanya.  Zaman gila membaca sudah selesai barangkali. 

Aku masih membaca.  Bacaan yang menyenangkan jiwa.  Berita benar belaka.  Bukan khayalan dan rekaan manusia.  Walaupun aku merangkak-rangkak di sela-selanya.

*  Nanti dah terbit aku maklumkan lagi.  Masih di peringkat awal.  Err ... kalau ada hati beli le ye ... semua orang ada hati maka semua kena beli hehehe ... lawak tak cerdik sangat.

*~*~*~*~*~* aku menulis bukan kerna nama!*~*~*~*~*~

Minal aidil wal faizin, selamat hari raya maaf zahir batin.

Terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, mak-mak-mak, abah-abah-abah-abah, suami, anak-anak, kakak abang adik, ipar biras, semua saudara mara dan kenalan.  Atas doa dan sokongan kalian.  Semoga Allah meredhai.  InsyaAllah ameen.

* aku harap tak la nampak kecoh sangat menulis macam ni.

Wednesday, June 26, 2013

Jaga Mata

Assalamualaikum.
Semakin lama semakin jarang online.  Atas asbab yang terjadi, saya bersyukur dan merasa satu kelegaan yang besar.  Berbanding sebelum ini, saya sangat suka membawa diri di hadapan laptop sehingga saya akan menulis apa sahaja yang saya suka.  Tetapi sikap sebenarnya ialah 'tidak mahu memberitahu tetapi mahu memberitahu'.  Entah apa-apa la kan.  Macam la sikap seseparuh orang yang 'tak mahu dilihat tapi mahu dilihat'. 

Saya jarang berhubung dengan kenalan di FB dan Whats App (sudah expired dan tak update). Hati masih teringat tetapi rasanya tak ada apa yang penting dan urgent.  Hanya FB membuat sesuatu perkara itu seperti penting dan membuat kita sibuk tentangnya.  Walhal kalau dibiarkan, tak jadi hal pun.  Demikian juga jaringan yang lain.  Ada perkara penting pada kebanyakan manusia, tetapi masih juga sampai ke pengetahuan.  Memang dunia akhir zaman ini jarak menjadi pendek dan masa menjadi singkat.  Satu kebaikan mengawal dan menjauhinya, ada perkara lebih penting yang boleh kita lakukan ~ menyiapkan diri untuk bekalan ke perkampungan abadi.  Itupun kelam-kabut juga!   Semoga Allah menetapkan saya dan kita semua di atas jalan keredhaanNya sampai akhir hayat ameen.

Alhamdulillah walaupun tak istiqamah, tetapi saya agak semakin kerap dapat menghadiri majlis ilmu bersama Tuan Guru Ustaz Fadhil Al-Yamani.  Terakhir minggu lepas beliau telah menjelaskan tajuk kecil 'Menjaga Pandangan Mata' dari kitab Minhajul Abidin karangan Imam Ghazali.  Penerangan beliau sangat mengesankan.  Paling ketara, kini saya tak rasa rugi pun tak menyebarkan pandangan jauh-jauh (walaupun masih sukar mengawal mata - kelemahan diri).  Celaka juga apabila masih bertembung pandang dengan mata-mata yang tak perlu dan tak sepatutnya.  Ini semua kelemahan saya.  Semoga Allah mengampuni dosa-dosa sepasang mata dan memimpin kita semua ke jalan yang diredhaiNya ameen.

Cuma satu kegemaran saya masih suka melihat awan dan langit.  Di angkasa tempat saya juga banyak awan tetapi jarang bergerombolan seperti di Brunei yang saya kagumi.  Pelangi ada tetapi sangat jarang.  Kalau ada pelangi, anak-anak menjadi sibuk dan suka kerana jarangnya ia muncul.  Di sini langit seperti sempit kerana dihalang oleh pokok dan selebihnya binaan tinggi.   Kadang-kadang saya masih diperli-perli, "eh eh tengok tu awan tu sebijik macam awan Brunei kan.  Awan tu kat Brunei je ada.  Kat Malaysia mana ada."  Sabar saja la, sebab gurau senda membawa bahagia hehe ...

Suatu hari saya khabarkan kepada anak-anak.  - Apabila melihat awan, kini pandangan mama menjangkau lebih jauh melihat apa yang ada di sebalik awan.  Apa yang ada di sebalik langit yang biru?  Apa yang ada di luar lapisan ozon yang mengelilingi bumi?  Apa yang ada nun jauh dan sangat jauh?

Di sebalik awan sana, ada satu alam yang tidak bising seperti di bumi.  Tidak tercemar oleh dosa dan maksiat.  Tidak tercemar oleh jerebu asap dan jerebu iman.  Satu alam yang terpelihara dan sangat rahsia.  Dan kita semua sentiasa dalam perhatian Allah yang Maha Pencipta.  Dan ada alam lain, di sana berkumpul roh-roh yang telah kembali kepada Tuhannya.  Ada alam lain, yang sentiasa bertambah ahlinya iaitu alam malaikat dengan tak terhingga-hingga dan hanya Allah yang Maha Mengetahui bilangannya.  Wallahu'alam.

Set 7 buah buku Para Wali Allah (ensiklopedia) yang saya beli di Sri Petaling, alhamdulillah selesai dibaca semalam.  Buku 1 sedang dipinjam oleh Syed (staf).  Buku 4 dibawa anak ke madrasah untuk menyelesaikan projek scrab book dengan pesanan sungguh-sungguh, 'tolong jaga jangan hilang atau lunyai!  Inilah reta mama ... huhu ...' 

Kisah-kisah di dalam buku itu walaupun ringkas tetapi juga sangat mengesankan.  Kehidupan para kekasih Allah yang dicintaiNya dan mencintaiNya sangat luar biasa hebat dan menggetarkan.  Terkadang membuatkan bulu roma naik menggerinding bersama rasa kagum, dan melihat diri yang tersangat lemah jahil serta banyak berdosa.  Astaghfirullah alazim!  Betapa hebatnya mereka ini menguruskan kehidupan dengan sangat sederhana dan memperuntukkan setiap saat berzikir menyebut nama Allah.  Tidak lupa walau sesaat.  Sehingga mendengar sepotong kalimah dari al-Quran boleh sahaja membuatkan mereka pengsan ketakutan bahkan sampai melayang roh ke hadratNya.  Dan Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang meninggikan darjat mereka, sehingga apa yang terlintas di hati muncul serta-merta di hadapan mata.  Sehingga penderitaan dan kesakitan yang menimpa diri mereka tidak berbekas kerana cinta ini.  Dan Allah tunjukkan hal-hal luar biasa pada diri mereka. 

Seperkara lagi, saya cuba menekuni ayat-ayat al-Quran yang disarankan oleh Rasulullah SAW untuk dijadikan zikir harian.  Ia untuk keselamatan diri dari pelbagai gangguan terutamanya jin dan syaitan, sihir dan kesulitan lain dengan izin Allah.   Zikir adalah caranya untuk mengingati Allah dan mendekatkan diri kepada Allah.  Itulah yang difahamkan oleh Ustaz Fadhil. Setakat yang termampu dan kebanyakan orang ada mengamalkannya.  Itupun ada tertinggal oleh kesibukan yang datang tiba-tiba.  Yang menarik adalah kesannya tak banyak sedikit sangat terasa.  Kepada sesiapa yang istiqamah berzikrullah, tentu memahaminya.  Pada emosi, pada fikiran, pada sikap dan keseluruhan.  InsyaAllah. 

Rasanya cukuplah saya mencatat setakat ini.  Ingin saya berpesan supaya jangan berlama-lama di sini.  Hargai masa yang ada, baca laju-laju dan buat la kerja lain yang lebih berfaedah.  Harapan saya semoga catatan ini ada baiknya untuk diambil pengajaran.  Mana yang tersalah mohon dimaafkan.  Dan sama-sama kita menjaga pandangan mata supaya hati menjadi bersih dan mudah sampai ilmu ke dalam hati insyaAllah.

Wassalam.


Monday, May 27, 2013

Kesal

Aku kesal dan menyesal.  Perasaan menyesal ini timbul setelah membawa Cantek (ibu Muezza adik beradik) dan Mizi injection untuk menghalang mereka bunting.

Cantek dibawa setelah melahirkan untuk kali kedua.  Tak lama selepas injection, Cantek menjadi garang kepada anak-anaknya yang masih menyusu.  Tapi tak lama lepas tu aku ternampak kesan luka di perut Cantek, jadi aku andaikan luka kecil itu juga turut menjadi sebab sampingan membuatkan dia enggan menyusukan anak-anaknya.  Aku maklum keberkesanan kaedah tu hanya sekitar 70% sahaja.  Kucing yang bunting selepas injection berkemungkinan janin menjadi cacat dan susah melahirkan.  Kini Cantek bunting lagi dan sentiasa garang menderam pada anak-anaknya.  Hasilnya anak-anak itu sudah pandai menderam dan tunjuk garang kepada sesama mereka, khasnya kepada anak-anak kecil Miza hmm ...  cepat betul diorang belajar.

Kes Mizi pulak, lepas injection kali kedua dan Miza sudah bunting, aku lihat dia mengawan depan mata kepala aku dengan Panjang kucing Cikgu Eja.  Terkulat-kulat aku memandang mereka ... pandai Panjang mengurat Mizi.  Semenjak itu Mizi semakin membulat terutama bahagian perutnya sehingga suami aku pun  perasan perubahan Mizi.  Aku mula merancang tempat yang sesuai untuk Mizi dan anak-anaknya nanti.  Tetapi pada masa yang sama aku risau perkembangan janin di dalam rahim Mizi.  Selalu aku usap perutnya yang makin memboyot sambil berdoa semoga dia dan anak-anaknya selamat, sihat dan cantik.

Hinggalah akhirnya ... Mungkin itulah hikmah yang tak tercapai dek akal.  Allah sahaja yang Maha Mengetahui sehingga takdir Mizi begitu.  Dia satu-satunya kucing kesayangan yang mati depan rumah setelah berpuluh tahun aku tak membela kucing.  Memang tersentak dan tragis, gitu.



asalnya Cantek ibu yang penyayang

anak-anak kelahiran kedua disusukan sekali dengan Muezza ...
sekarang Muezza pulak jadi 'ibu ganti' kepada adik-adiknya ... huhu

tapi tak taulah kenapa dia memang suka aksi macam ni ... lepas tu memang adik-adik datang manja2 dan 'menyusu' kat perutnya yang menggelambir dan ada dua puting susu buta ... tapi dia tak kisah ...
Tetapi sejak awal aku agak kurang bersetuju dengan usaha pihak tertentu yang mempromosi kaedah operate kepada kucing untuk menghalang kehamilan.  Jadi aku fikir injection tidak mempunyai kesan kekal, tetapi efeknya tetap ada.  Kanser terutamanya.

Sukar mahu memberi pendapat berjela-jela.  Aku yakin usaha kita yang sebenar ialah mengajak semua saling berkasih-sayang sama ada kepada manusia mahupun makhluk lainnya termasuklah kucing.  Andai semua orang jadi pengasih dan penyayang, tak ada kes lupus kucing terbiar.  Tak ada kes hentak kucing dengan tumit kasut.  Apalah salahnya letak saki-baki makanan tak habis di belakang rumah.  Yang paling utama ialah mencintai Allah Taala dan Rasulullah SAW.

Apabila mencintai akan dicintai.  Islam itulah penyelesaiannya.  Kalau fikiran bersih dan terpandu, tak ada kes kucing bonsai yang sangat menyedihkan tu.

Okaylah, tak mahu tulis berjela lagi. Aku dah berazam nak tulis pendek-pendek je tapi nampaknya masih tak pendek jugak.  Err aku pun dah lapar, anak-anak aku pun dah lapar.  Kami kat perpustakaan Raja Tun Uda ni.   Nak pergi jenguk cafe jap.

Cuma, aku menyesal atas apa yang telah aku lakukan pada Cantek dan Mizi. 

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing