Alhamdulillah.
Bersama sebab atau tanpa asbab, Allah boleh bagi sembuh.
Ini pagi kedua aku bawa anak-anak berjalan perlahan-lahan
santai-santai mengelilingi tasik rekreasi Kota Kemuning. Pagi semalam sampai sana seawal jam 7
pagi. Matahari masih main
sembunyi-sembunyi. Tapi pagi ni, sampai
sudah 7.30 pagi. Matahari sudah mula
bersinar garang. Namun panorama alam
masih tekal indah di pagi yang segar. Merenung
water fountain di bawah sinaran matahari menghadiahkan rainbow yang menyerak
warnanya dengan bangga. Masya Allah. Memerhati sekeliling, nampaklah pepatung
merah, burung dan lebah berbelang kuning hitam.
Menadah telinga, terdengar bunyi kicauan burung yang keriangan
mengucapkan zikrullah. Memandang air
tasik yang berombak perlahan, kelihatan ikan keli di tepian, kura-kura
menjenguk ke permukaan air.
Naqib dan adik-adiknya nampak cergas. Masih awal hari kan. Alhamdulillah.
Naqib, tentu tak siapa menyangka dia masih dalam kategori
orang sakit. Tubuh yang gempal berisi
(dah turun banyak juga tu, lebih kurang 14 kilo sejak mula sakit teruk), wajah
yang cool ala-ala macho, sengih yang sampai ke telinga, dan nakal menyakat
mengusik menjentik adik-adik terutamanya Hidayat. Tak nampak langsung dia sebenarnya sedang
bertarung dengan sakit.
Alhamdulillah, setakat ini dia sihat mengikut
keperluan. Balik kampung ikram wan atok,
dia sihat. Ziarah Atok Leha Atok Arbak
semasa mereka di Kajang, alhamdulillah dia kelihatan begitu sihat. Dan dia memang mencari waktu sihat untuk
ikram kawan-kawan di madrasah berdekatan.
Tetapi apabila datang sakitnya, dia tidak mampu bangun. Solat terpaksa gunakan kerusi. Ada sekali dia masih cuba melawan sakit dan
mengikut abahnya solat terawih di surau Al Falah ~ Naqib solat di belakang
bersama-sama beberapa orang jemaah yang menggunakan kerusi. Namun esoknya dia dah rasa lebih sihat, pergi
teraweh solat macam biasa.
Ya, sakitnya tak boleh diduga. Bila-bila nak sakit, sakitlah dia. Bila-bila nak muntah, muntah la dia.
Satu ketika tekanan darahnya antara yang tertinggi, 220. Abahnya
yang berada jauh mula kerisauan dan muat naik di fb, dan ramailah yang begitu
prihatin memberi simpati dan berbagai usul untuk pengubatan, yang dekat dan
yang jauh. Masya Allah memang terharu
atas keprihatinan mereka semua. Waktu ini
juga Naqib hanya berbaring dan bangun untuk solat, dan muntah.
Aku sambil menyembunyikan risau, sempat berleter bersama
airmata yang terbit di hujung bicara. Membebel
sikap kurang endah pada pemakanan yang diambil.
Kurang endah pada disiplin
mengambil ubat. Kurang endah menjaga minuman air garam yang sepatutnya diambil
kerap.
Tetapi Naqib selalu ada jalan keluar. Dia meminta air batu untuk mandian. Maka satu famili mandi air batu yang … masya
Allah tak terucap dengan kata-kata akan ‘nikmat’nya. Sekurang-kurangnya mandian ini ada memberi
kesan baik pada dia. Alhamdulillah.
Sedapatnya, segala apa yang diketahui sebagai ubat, kami
mahu dapatkan untuk dia. Kami mahu dia
sembuh sepenuhnya.
Sesungguhnya amat benar sekali, Allah menjadikan dunia ini
sebagai tempat asbab. Ternyata Allah
maha kuasa boleh saja menjadikan sesuatu berlaku tanpa asbab.
Setelah hanya mampu berpuasa tiga hari pertama Ramadan, hari
ini Naqib memberitahu mahu berpuasa. Abahnya
sudah pun menyerahkan fidyah dia tidak berpuasa kepada madrasah di
Mersing.
“Yang penting kamu rasa boleh. Tidak sakit.
Nak puasa tak ada masalah,” begitulah jawapan aku.
Sehingga ke saat aku menulis ini, dia tidak sakit walaupun
TEKANAN DARAH MASIH TINGGI DARI NORMAL, lebih dari 180/120.
Ini memang LUAR BIASA!
Aku dan Naqib saling berpandangan kehairanan.
Allah dengan segala sifatNya yang Maha Sempurna, Maha
Pengasih, Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, segala
kesempurnaan dan keagungan milik Allah semata.
Aku terus berharap, semoga Allah memberi kesihatan total
kepada Naqib.
Ada beberapa asbab yang kami fikirkan.
~ kerap aku nyatakan kepada Naqib. Dalam hidup ini Allah beri penyakit dan Allah
sertakan ubatnya. Ada banyak ubat yang
boleh manusia dapati, sesuai dengan kemampuan dan rezeki. Namun, sesuai pula dengan dua petunjuk Allah
kepada manusia melalui Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Di situ ada apa yang dipanggil
KEBERKATAN. Maka, usahalah apa sahaja
kecuali yang haram. Engkau akan dapati
apa yang ditunjukkan Allah itu jauh lebih hebat dan amat mengharukan. TANDA ALLAH SAYANG. Carilah yang membawa KEBERKATAN. Keberkatan itu amat penting, itulah rahsia
keajaiban dalam kehidupan.
Syukur alhamdulillah, semua dari Allah. Benarlah, Engkau tidak menghampakan doa dan
harapan yang tidak kunjung padam. Semoga
ini semua adalah permulaan yang baik untuk Naqib. Ya Allah, izinkanlah dia syahadah, dan
pilihlah dia menjadi hafizMu, alimMu dan sebagai pembantu agamaMu. Kurniakanlah dia ilmu, iman dan ihsan. Kurniakanlah dia isteri yang solehah lagi
bertaqwa. Pilihlah dia dan keturunannya
membantu agamaMu sampai kiamat. Allahumma
aameen.
~ catatan. Syukur alhamdulillah, Allah pertemukan kami dan
gerakkan hati kami untuk bertemu dengan Haji Yusuf.
Jazakumullah khoyr kathira atas doa semua ahli keluarga dan
kawan-kawan, dan atas semua usul, cadangan dan keprihatinan. Semua dengan izin Allah belaka.
* mula mencari erti KEBERKATAN HIDUP. KEREDHAAN ALLAH ADALAH TUJUAN HIDUP.

