Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, September 16, 2009

Ayam dan Aku

Apabila Hidayat membawa balik Si Cici, serta-merta aku terkenang semula ayam aku. Sebagai seorang anak tunggal, aku sentiasa bersendirian tanpa kawan semasa di rumah. Kawanku adalah mak dan abah (arwah). Kalau abah kerja, aku berkawan dengan mak. Kalau mak keluar, aku berkawan dengan buku. Atau menyanyi semua lagu yang aku tahu. Atau memasang angan-angan melangit tinggi. Ada juga kucing tetapi kucing pun selalu keluar merayau. Hingga satu hari aku menculik seekor anak ayam yang terlepas sendirian dari ibunya yang garang. Mak membiarkan aku bermain dengan anak ayam di dalam rumah. Manjanya anak ayam itu, mengekori aku ke mana sahaja kaki melangkah. Ia mematuk-matuk jari kakiku. Kadang-kadang aku menyembunyikan diri hanya untuk berseronok mendengar anak ayam tercari-cari dengan bisingnya. "Cip cip cip..." Aku baring dan anak ayam akan memanjat untuk bersembunyi di bawah rambutku, cuba mendapatkan haba di leherku. Seronok bermain dengan anak ayam melainkan apabila mak memarahi aku kerana tidak peka dengan berak anak ayam yang kecil dan merata-rata. Akhirnya aku menangis kerana satu hari menemui anak ayam telah kejung dan dihurungi semut. Kata mak, anak ayam patah bulu roma, tidak boleh dipegang-pegang, walhal bagi aku anak ayam amat suka dipegang-pegang. Buat beberapa kali seterusnya, anak ayam mati diganti dengan anak ayam lain yang sebaya dan comel-comel belaka. Natijahnya tetap sama, mati dan ditangisi.
Satu hari abah menyembelih ayam jantan kesayangannya. Selepas sempurna sembelihan itu, abah melepaskan ayam menggelepar. Airmataku bergenang dan meleleh di pipi. Tiba-tiba ayam jantan itu bangun dan berjalan merata-rata dengan leher terlentok dan terbuai-buai. Darah berciciran di tanah. Kata abah, ayam ini hebat dan liat nyawanya. Setelah beberapa lama, barulah ia tumbang ke tanah tidak bergerak lagi. Sungguhpun airmataku mengalir kerana teramat kasihan kepada ayam yang disembelih itu, aku tetap berselera makan masakan gulai ayam masak lemak cili api atau ayam goreng yang mak buat. Sedappp...

Si Cici

Jam sudah 1.10 tengahari. Naqib pun sudah keluar untuk mengambil Ain dan Hidayat di sekolah. Sepatutnya mereka sedang dalam perjalanan pulang. Tiba-tiba saya agak kaget melihat Naqib masuk dalam keadaan berpeluh-peluh, "Minyak motor habis," kata Naqib agak merungut.
Saya yang sedang santai menonton Soleha bingkas menyarung tudung dan mencapai kunci kereta. Semasa kereta menyusuri pagar sekolah, kelihatan Hidayat sedang duduk bersendirian di gerai makan di tepi sekolah. Dia tersenyum sambil menuju ke kereta.
"Apa di tangannya itu?" tanya Naqib kepada saya.
"Apa?" tanya saya semula tidak pasti.
Hidayat semakin hampir, "Mama, nyanyi!"
Ada anak ayam kenit di dalam tangannya. "Mama, nyanyi. Anak ayam nak tidur," kata Hidayat lagi.
"Kamu selawat saja, mudah-mudahan ayam ini menjadi ayam yang beriman," sahut saya sambil tersenyum kepada Hidayat.
Saya terus mengajukan soalan demi soalan kepada Hidayat. Saya tidak berpuas hati kerana tidak mendapat jawapan yang saya inginkan. Bagaimana anak ayam kenit boleh berada di dalam tangan Hidayat?
Akhirnya kami pulang bersama-sama anak ayam kenit yang tidur di dalam tangan Hidayat.
Naqib dan Ain tertawa kecil. Hanessa pula begitu teruja hendak memegang anak ayam kenit. Anak ayam kenit kelihatan selesa.
Hidayat berselawat perlahan-lahan, kemudian, "Mama, buka lagu nasyid handphone."
Kemudian masing-masing mula berbincang tentang apa makanan anak ayam, di mana anak ayam akan diletakkan dan memilih nama yang sesuai. Naqib mengatakan dia akan mencarikan seekor cacing untuk santapan Si Cici.
Saya menoleh kepada Hidayat, "Tidak perlu takut lagi tidur sendirian di dalam bilik, sudah ada kawan," kata saya. Hidayat mengangguk-angguk setuju.
Di rumah, saya mencari kotak kertas yang sudah tidak digunakan lagi dan meletak sehelai kain buruk. Si Cici diletakkan di dalam kotak itu dan didedahkan kepada sedikit cahaya matahari petang supaya dia mendapat haba.
Entah sampai bila hayat Si Cici. Sekiranya Hidayat bertahan hendak membela Si Cici, kami perlu membawanya balik ke kampung. Mustahil membiarkan Si Cici bersendirian di rumah selama satu minggu. Anak-anak ini mula membayangkan Si Cici akan membesar menjadi seekor ayam yang cantik. Saya pula membayangkan Si Cici akan pergi dalam beberapa hari lagi. Seandainya Si Cici panjang umur, saya membayangkan pula seekor ayam manja yang berak merata-rata di dalam rumah. Seterusnya lebih tragis, saya terbayang airmata anak-anak di saat Si Cici hendak dikorbankan untuk menjadi ayam goreng bersalut tepung Kentucky.....
'Ploppp!' Ah, Si Cici sedang buat bising di dalam kotak mengharapkan belaian ibunya. Kasihan...

Pakaian terpakai dan janji Tuhan


Semua pakaian yang hendak diagihkan kepada golongan asnaf telah dilonggokkan di ruang tamu betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk. Tadi malam kami anak-beranak mendapat arahan dari big boss supaya mengasingkan pakaian itu mengikut jenis, pakaian kanak-kanak lelaki, pakaian kanak-kanak perempuan, pakaian dewasa dan seterusnya. Malam sudah larut tetapi rumah kami masih ceria sehingga big boss jadi sedikit berang dengan jerit pingkau anak-anak terutamanya Hanessa dan Hidayat yang tidak penat bergurau dan menjerit-jerit. Semasa proses pengasingan itu, ada juga tangan-tangan yang menarik beberapa pakaian ke tepi.

"Mengapa diketepikan lagi pakaian itu?" soal saya sedikit geram. "Bukan dipakai pun!"

"Nak pakaikan doll..."

"Hah?!!"
"Baik, sekiranya almari kamu tidak tersusun dengan kemas, kamu siap!!" kata saya dengan tegas.

Anak-anak tertawa dan terus ceria.

"Bagi yang ini kepada Amni dan adik-adiknya," saya menyuakan beberapa pakaian. Amni adalah anak jiran sebelah. Mereka bukan golongan asnaf. Saya hanya ingin mengeratkan lagi silaturrahim di antara kami. Rumah kami jenis semi-D. Setiap bumbung mempunyai dua pintu. Jadi kami merasa lebih rapat berbanding dengan jiran-jiran lain. Saya fikir mereka yang lain juga merasakan sedemikian dengan jiran sebumbung masing-masing. Sekiranya perlukan bantuan, jiran sebumbunglah yang paling hampir untuk mengadu.
Saya amat bersyukur ke hadrat Illahi yang mengurniakan saya jiran yang baik ini. Sebaik sahaja kami membuat keputusan hendak membeli rumah ini, saya sering memanjatkan doa ke hadrat Illahi agar kami mendapat jiran-jiran yang baik dan kawasan kejiranan yang sepakat. Sepakat membawa berkat. Alhamdulillah, semenjak perkenalan pertama dahulu, kami selalu sepakat walaupun jarang-jarang bersua muka. Saya benar-benar bersyukur. Semoga Allah SWT menambahkan lagi kurniaan ini dan meletakkan kasih-sayang yang ikhlas di hati kami di dalam kejiranan yang tidak ramai ini.

Kembali ke topik asal...

Pakaian yang berlonggok itu sebenarnya adalah pakaian kami sekeluarga. Kami bukanlah kaya-raya namun rezeki kami setakat ini alhamdulillah. Pakaian kami sederhana sahaja, tidak branded. Cuma ada pakaian yang tidak menepati selera dan gaya berpakaian masing-masing, lebih afdal diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan. Ada pakaian yang semakin 'mengecil' kerana tubuh semakin membesar, juga afdal diagihkan. Pakaian yang bercorak out-dated iaitu corak muncul bermusim seperti corak ubat nyamuk, corak manik, sutera dengan design 10 tahun lepas, apa salahnya diberi kepada orang juga. Ia lebih baik berbanding disimpan dan menjadi buruk bertompok-tompok hitam atau digigit lipas.
Ketika keluar nada ralat di ulas bibir anak-anak, saya ulang lagi bahawa Allah Taala TIDAK PERNAH MUNGKIR JANJI. Ganjaran bagi setiap sedekah ialah 10 kali ganda. Ia ditambah menjadi 70 kali ganda semasa bulan Ramadhan yang berkah ini. Manakala di akhirat kelak Tuhan menyediakan ganjaran 700 kali ganda. Bayangkanlah betapa hebat dan besarnya kurniaan Tuhan. Dan ingat, Tuhan TIDAK PERNAH MUNGKIR JANJI.
Lagipun, baju-baju lama perlu dikeluarkan supaya ada ruang untuk memasukkan baju-baju baru. Betul tak?
Semasa menetap di Cheras, saya sering bertegur-sapa dengan seorang wanita Indonesia yang berulang-alik ke tempat kerjanya. Suatu hari saya hulurkan seplastik baju bayi dan kanak-kanak (pastinya setelah meminta izin dari suami) untuk diagihkan kepada kawan-kawannya yang mempunyai bayi. Wanita ini amat gembira sekali walaupun dia sendiri tiada bayi. Alhamdulillah, saya turut merasa gembira.
Semasa tsunami melanda pantai Malaysia, suami saya turut turun tangan mengambil inisiatif membuat pungutan derma pelbagai keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa tsunami yang tinggal sehelai sepinggang. Sekali lagi saya mengumpulkan pakaian keluarga untuk didermakan. Alhamdulillah, semoga Allah menerima sumbangan barangan dan tenaga yang dicurahkan.
Oh ya, kami juga pernah menerima berkotak-kotak pakaian kanak-kanak lelaki dan wanita dari seorang kawan berstatus jutawan yang mengemaskini almari pakaian keluarganya. Sekali lagi dari seorang kenalan bertaraf jutawan juga yang hendak berpindah ke rumah baru beliau yang bernilai jutaan ringgit di Damansara. Cantik-cantik pakaian itu.

.....> Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.
.....> Harta-benda yang tidak digunakan sebaliknya hanya disimpan sahaja akan dipersoalkan di akhirat kelak berkenaan hak penggunaannya.
.....> Memberi dengan ikhlas demi keredhaan Allah dan yakin pada janjiNya.

....>> Selebihnya adalah urusan Allah, aku hanya melakukannya dengan berbaik sangka sentiasa.

Soleha


Saya amat kagum pada peribadi Soleha. Dia tulus dan polos. Bicaranya lunak, mesra dan telus. Senyumannya amat menawan. Kerlingan matanya begitu ayu. Dia sentiasa menjaga maruah dirinya. Dia memang gadis yang baik. Saya amat gemar mendengar kata-katanya, "ya, udah!" Dia sentiasa dalam kawalan emosi yang baik. Tidak pernah salah sangka kepada sesiapa sehingga musuhnya amat mudah mengambil kesempatan mendatangkan mudarat terhadap dirinya. Dia juga bukan kaki kritik kerana peribadi orang di sekelilingnya yang kurang menyenangkan tidak pernah mengganggu fikirannya. Cuma dia seperti tidak peka kepada perasaan orang yang mencintainya. Saya fikir dia benar-benar setia kepada kekasihnya sehingga material tidak mampu menggugat cintanya. Namun dia memang hebat kerana selalu membuatkan ramai orang jatuh hati dengan mudah kepada dirinya yang santun dan amat baik itu.
Mungkinkah benar-benar wujud insan berperibadi tinggi seperti ini di alam nyata... Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Puan Ainon dengan kejelitaan sosial (?). Saya memutarkan semula ingatan kepada beberapa watak yang pernah muncul menjadi kegemaran saya sejak dahulu seperti watak pemuda miskin yang menjadi doktor terkenal, watak gadis cina yang menjadi puteri raja, watak Kaoru yang amat penyabar.
Kesimpulan awal yang ringkas pagi ini ialah bahasa itu benar-benar berperanan membentuk peribadi yang mulia. Bukti paling utama dan benar ialah al Quran itu sendiri yang mengandungi rangkaian ayat bermutu tinggi sehingga tidak dapat ditandingi oleh sebarang pakar bahasa sejak zaman berzaman. Jadi ringkasnya, marilah kita menggunakan bahasa dengan segala keindahannya mudah-mudahan peribadi kita juga menjadi indah.

Tuesday, September 15, 2009

Madrasah Miftahul Ulum - Selamat Datang


Semalam sepucuk surat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba ke penerimaan kami. Alhamdulillah, ia membawa khabar gembira Keputusan Temuduga Naqib di Miftahul Ulum Bandar Baru Seri Petaling tempohari. Anakanda Muhammad Naqib telah berjaya dalam temuduga tersebut untuk mengikuti Pengajian Tahfiz Al Quran sesi 2009/2010 Masihi bersamaan 1430/1431 Hijrah.
Pendaftaran kemasukan diadakan pada 16 Syawal 1430 / 05 Oktober 2009, jam 8.30 pagi bertempat di Pejabat Madrasah Miftahul Ulum, Lot 3249, Bt 35, Jalan Kuntum, Kampung Bondry, Bukit Changgang, 42700 Banting, Selangor Darul Ehsan.
Ibu bapa dan penjaga perlu menghadiri taklimat pada hari yang sama pada jam 11.00 pagi di Dewan Pengajian Madrasah.
Kemasukan pelajar akan dibatalkan sekiranya ibu bapa atau wakil tidak dapat menghadirkan diri di majlis taklimat tersebut.
Terdapat lampiran barang-barang keperluan yang perlu dibawa dan Undang-Undang Madrasah yang sudah dihafal sebelum hari pendaftaran. Pelajar tidak akan dibenarkan memasuki kelas pengajian selagi belum menghafal undang-undang tersebut.

Sebaik Naqib pulang dari Pasar Ramadhan menjalankan perniagaan mercunnya itu, aku segera menghadiahi dia sekuntum senyuman gembira dan mencium pipinya. Naqib agak terpinga-pinga sebentar sebelum aku serahkan surat penerimaan temuduga itu sambil mengucapkan tahniah. Ada sedikit riak yang aku khuatiri di wajah anak ini. Tetapi aku mengambil sikap tidak endah kerana tidak mahu dia membesar-besarkan perasaan kurang selesa di dalam fikiran bawah sedarnya. Ini amat penting kerana dia perlu sedar dan faham sepenuhnya arah tujuan dia sekarang dan akan datang. Ayahandanya juga berlapang dada dengan kedatangan surat ini. Bahkan ayahandanya sejak awal-awal bersikap optimis dengan hasil temuduga itu.

Kami membaca undang-undang Madrasah yang perlu dihafal oleh Naqib. Terdapat 23 undang-undang atau peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap pelajar madrasah ini. Ia adalah peraturan asas yang lazim dipraktikkan di kebanyakan sekolah berasrama. Pihak madrasah benar-benar mahu menekankan dan memberi faham kepada setiap pelajar tentang peraturan ini sehingga mereka hanya akan mula belajar apabila undang-undang ini telah masuk ke hati. Mungkin ia sebagai saringan terakhir kelayakan pelajar memulakan pengajian.

Aku bersetuju dengan semua peraturan yang telah ditetapkan itu. Secara umum, pentadbiran madrasah ini adalah profesional dan tersusun. Aku berasa amat lega dan memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Illahi yang telah memperkenankan doa kami sekeluarga. Semoga Naqib dibantu Allah Taala dalam mencapai cita-cita dan sentiasa di dalam pimpinanNya untuk kehidupan yang dibekati dan cemerlang di dunia dan di akhirat.

Kelmarin aku menelefon ibuku dan ibu mertua bertukar khabar. Ibu-ibuku tidak lupa menanya perihal Naqib yang bercuti panjang sambil menyuarakan harapan agar ada 'wakil' Hafiz dari keluarga kami. Ibu mertua pernah menghantar putera bongsunya ke pusat tahfiz di ibu kota tetapi tidak berpanjangan. Alhamdulillah, ibu. Berkat doa ibu-ibu semua akhirnya Naqib bakal memulakan langkah pertama semula.

Kepada anakanda Muhammad Naqib, semoga kali ini anakanda benar-benar menikmati kehidupan sebagai pelajar dan benar-benar menghayati pelajaran anakanda. Berusahalah tanpa jemu dan usah sekali-kali berputus asa. Bonda sentiasa mendoakan anakanda beroleh pertolongan Allah di dalam segala usaha anakanda mencari ilmu buat penyuluh hidup dan penyegar jiwa. Usah difikirkan bonda dan keluarga. Ingatlah bahawa anakanda sentiasa di bawah siraman kasih sayang Allah, dan anakanda sentiasa dinaungi sayap para malaikat yang berkeliling di sekitar mendoakan anakanda. Alangkah hebat dan indahnya!!! Kami di rumah tetap seperti biasa dengan keletah adik-adikmu yang kadang-kadang memeningkan kepala bonda. Apa yang bonda harapkan agar suatu hari kamu pulang ke rumah ini dengan perasaan bangga menjadi pelajar tahfiz. Semoga kamu benar-benar menjadi idola, perintis dan mentor yang terbaik kepada adik-adikmu. Doa bonda sentiasa mengiringimu. Selamat berjuang!!!

Monday, September 14, 2009

Facebook


Beberapa hari ini saya menjadi aktif di FB. Rasa sedikit teruja. Asalnya mengikuti fb Puan Ainon dan PTS. Kemudian suami saya pula asyik dengan games Mafia dan dia mendapat ramai kenalan baru. Kelihatan saya juga antara pengganas di fb walaupun hakikatnya saya tidak tahu menahu games ini. Inilah akibatnya apabila password saya jatuh ke pengetahuan 'pengganas' sebenar. Sudah saya maklumkan usah menggunakan fb saya lagi tetapi setakat hari ini ia masih aktif di situ. Saya agak terperanjat apabila si anak yang agak mahir menunjukkan nama samaran saya, Don Hantamsajalah.
Saya invite dan add seramai mungkin nama yang tertera dengan tujuan hendak menambah kenalan. Ada sedikit kebetulan dengan personaliti bulan Ogos saya iaitu suka menambah kenalan. Saya ingin melihat cetusan idea setiap kenalan yang rajin menulis di fb. Hasilnya saya mendapat ramai kenalan dari pelbagai usia, latar belakang dan pendidikan termasuk penyokong-penyokong parti politik utama Malaysia. Saya mengambil kesempatan mengikuti isu semasa melalui rakan-rakan fb setelah semakin kerap kesuntukan masa menyelak akhbar harian.
Pada mulanya saya enggan mendedahkan identiti sebenar. Saya ingin membuat tinjauan terlebih dahulu gaya rakan-rakan fb memperkenalkan diri mereka. Setelah beberapa ketika, saya menukar fikiran untuk lebih telus tanpa menggadaikan maklumat yang perlu dirahsiakan dengan 'pendedahan berani mati' di blog persendirian seterusnya di fb. Hakikatnya, setiap orang mempunyai prinsip dan pilihan masing-masing. Ada yang berterus-terang dan ada yang menyorok di belakang identiti palsu.
Saya tertarik dengan cara Puan Ainon mempergunakan fb sebagai alat menyebarkan maklumat kepada pengikut dan peminat beliau.
Keberanian saya menyampuk di fb timbul peringkat demi peringkat. Awalnya saya hanya mengikuti perbincangan yang ada di fb. Saya hanya 'menyampuk' di isu-isu yang serasi. Menarik, sehingga ketelusan saya pernah membuatkan saya dikritik oleh seseorang dan dipertahankan oleh seorang yang lain. Tuan pncetus isu hanya memerhati... Kemudian saya terfikir hendak memberitahu rakan-rakan fb mengenai mikrowave yang rosak gara-gara membakar biskut suji. Saya mendapat kunjungan daripada seorang 'orang putih' yang mendapat pujian Puan Ainon kerana menggunakan Bahasa Melayu Tinggi di fb. Kami bertukar-tukar cerita mengenai cara tradisional membakar biskut yang menggunakan sabut.
Saya bersembang dengan bekas rakan-rakan sekolej, bertukar-tukar kiriman hadiah di alam maya, memberi komen-komen mesra dan terus menambah kenalan baru.
........> Peringatan untuk diri - gunakan kemajuan IT untuk mendapatkan maklumat dan menambah ilmu. Berhati-hati agar tidak dilalaikan sehingga melupakan kewajipan.

Sunday, September 13, 2009

Biskut Suji

Hari ini aku cuba membuat biskut suji, biskut kegemaran Hidayat. Kelmarin suamiku telah membeli sekilo tpung suji. Aku rasa seronok melihat Ain, Hidayat dan Hanessa yang begitu teruja hendak membantu. Kata lain ialah hendak bermain tepung atau bermain masak-masak. Aku hanya duduk di kerusi dan mengeluarkan arahan demi arahan yang sentiasa dipatuhi oleh mereka. Sampailah ketikanya membentuk adunan menjadi bulat, aku seorang yang membuatnya. Jari anak-anak bermain dengan adunan sambil mata mereka melihat peti televisyen yang memaparkan kisah Puteri Kijang Emas versi Indonesia. Selesai satu trip untuk dibakar, aku memasukkan tray ke dalam mikrowave dan menekan menu untuk membakar biskut. Tidak berapa lama kemudian, bekalan elektrik terputus.
Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Hatiku berbisik. Hanya dua alat elektrik yang sedang digunakan iaitu televisyen dan mikrowave. Aku menaikkan semula suis dan menekan mikrowave tatapi tidak ada apa-apa yang berlaku.
Sah, rosak lagi!
Ini adalah kali kedua mikrowave ini rosak. Membaikinya memakan masa dan kos. Namun ia selalu memudahkan pekerjaanku.
Biskut Suji yang separuh masak mesti disudahkan. Aku menelefon jiran sebelah dengan hasrat ingin meminjam oven namun panggilan tidak dijawab. Sibuk barangkali. Akhirnya aku meletakkan pan di atas tungku dapur, letak tray dan tutup dengan tudung kukusan. Pasang api kecil sahaja.
Ahli keluarga mula menjamah biskut suji yang telah masak. Ada sedikit komen tetapi masih disuap ke dalam mulut. Aku tidak bercadang hendak mengeluarkan biskut suji ini kepada tetamu. Biarlah anak-anak makan sampai habis. Tetapi aku juga tidak menolak kemungkinan ingin mencuba lagi di lain kali, sebab anak-anak suka, aku pun amat menyukai biskut yang mudah tetapi enak ini.

Madrasah Al Masriyah


Qiamullail pagi ini di Surau Tuan Haji Hassan dibawa oleh seorang ustaz dari Johor. Beliau membuka sebuah madrasah sebagaimana berikut.

Alamat : BT 40, Jalan Johor, 86200 Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Info : nama asal ialah Darul Dakwah Wal Irsyad merupakan sekolah Arab swasta yang ditubuhkan pada 1985 oleh Tuan Guru Hj Mohd Tahir Daeng Mengati iaitu bekas guru Madrasah Arabiah Kluang dan Madrasah Arabiah Bugisiah Tampok, Benut.

Falsafah : Ke arah melahirkan insan beriman, berilmu, beramal, bertaqwa dan berjihad.

Matlamat : menjadi salah sebuah pusat pengajian ilmu Islam dan pengembangannya ke tengah masyarakat. Menjadi pusat penghayatan dan pentarbiyahan Islam berasaskan Al Quran dan as Sunnah. Menjadi pembekal para ulamak Warasatul Anbiyak yang teguh membela Islam sebagai ad Deen Wad Daulah dan menjadi markaz kefahaman dan kemahiran Bahasa Arab.

Syarat kemasukan : 1. Pengajian Akademik / Ta'lim - berumur 11 tahun ke atas, berminat dan bersedia belajar serta boleh membaca dan menulis.
2. Tahfiz - berumur 10 tahun ke atas, berminat dan bersedia menghafaz, boleh membaca Al Quran, boleh membaca dan menulis Jawi dan Rumi serta lulus ujian kelayakan ke Tahfiz Penuh.

Kos pengajian - yuran pendaftaran (sekali) RM75, yuran tahunan (aktiviti ko-kurikulum RM40, yuran kebajikan ibu/bapa RM5, Kibat RM80, Lembaran kerja/peperiksaan RM50, cagaran kerosakan RM50) RM300, yuran bulanan RM160.
Kos pelajar baru RM460.
Kos pelajar lama RM325.

Sempena Ramadhan Al Mubarak, pihak madrasah mengalu-alukan sebarang sumbangan derma dari umat Islam untuk dana Madrasah Al Masriyah. Semoga sumbangan ikhlas ini mendapat balasan berlipat kali ganda dan menjadi amalan jariah berkekalan ganjarannya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun : RHB Bank 20131636006560 atas nama Madrasah Al-Masriyah @ Darul Dakwah Wal Irsyad.

Hubungi :
Ustaz Abdullah 013-7771700
Ustazah Habibah 013-7778262
Ustaz Azlisham 019-7285832
Ustaz Nizam Al Hafiz 013-7441220
Ustaz Ahmad Selamat 016-7616624

Jazakumullahu Khairan Kathiran.

Qiamullail pertama di surau


Naqib dan Hidayat pulang dari surau Tuan Haji Hassan pagi ini dengan penuh ceria. Ini adalah kali pertama mereka qiamullail di surau THH. Pertama kali buat Hidayat tidur di surau. Selepas solat Tarawih, Naqib menyertai tadarus Al Quran. Dia mengajak Hadi yang muda 2 tahun darinya untuk bersama qiamullail. Hidayat pula yang teruja hendak mengikut, siap bawa toto dan bantal kecil dengan sarung bantal gambar kartun, berjubah dan berserban.
Sekembali mereka, aku pun bertanya perjalanan qiamullail mereka dinihari tadi. Naqib sempat melelapkan mata sebentar. Sekitar jam 3 pagi jemaah mula mendirikan qiamullail. Ada lebih kurang 20 orang dewasa termasuk beberapa orang wanita yang datang kemudian. Usai solat, jam 5 pagi jemaah bersahur dengan Nasi Ambeng.
Aku tidak dapat bertanya panjang kerana Hidayat juga cukup seronok bercerita, keluar juga mengenai Power Rangers dan Ultraman. Macamana pula ini yang keluar di celah-celah cerita mengenai qiamullail??... Hanessa yang jarang-jarang bangun begitu awal juga tumpang semangkuk, seolah-olah abang-abangnya baru pulang dari bulan. Begitu ceria dan menyeronokkan. Hanya Ain yang terus aman dalam lenanya.
Kuharap ini menjadi permulaan yang baik untuk anak-anak ini belajar mengimarahkan surau atau masjid. Sekiranya malam ini dan malam-malam seterusnya ada jemaah yang qiamullail di surau THH lagi, biarlah Naqib and the gang terus menyertai mereka.
Aku?? Mudah-mudahan umur panjang sehingga Ramadhan 1431, insya Allah. Mudah-mudahan tahun hadapan Allah Taala memudahkan kami seisi keluarga pula menyertai jemaah sepanjang Ramadhan. Amin.

Saturday, September 12, 2009

Terima Kasih Kakak

Dalam ramai-ramai kakak yang tak ramai, hanya ada 3 orang kakak yang mana seorang daripada mereka telah kembali ke rahmatullah pada Februari lepas (Al Fatihah buat kakak Norliza Hassan) kerana kanser tulang di tulang tengkuk, Kak Ani yang aku panggil Mak Ngah Ani dan dia pun membahasakan dirinya Mak Ngan Ani pada aku sebab dah biasa panggil macam ni sejak kecil-kecil jadi bila satu masa tu semasa aku belasan tahun aku cuba panggil dia kakak, dia ketawa kecil dan aku rasa kekok, jadi kami terus tak tukar panggilan selepas itu. Kak Ani suka bagi aku motivasi, jadi satu hari dia hantar sms suruh aku tengok blog dia yang rahsia tu (sebab belum buka kepada umum) rupa-rupanya ada cerita terbaru mengenai usaha mencari rezeki yang berkat di bulan yang penuh berkah. Akhirnya setelah fikir dan bincang aku kata nak kursus dengan dia dan dia pun tawarkan nak bagi kursus. Aku mula berangan-angan nak jadi usahawan wanita yang berjaya supaya dapat keluar dari kepompong minta-meminta pada suami dan dapat bantu keluarga dan dapat mencapai cita-cita berbelanja dengan menyukat poket sendiri. Aku nak bayar hutang pada JPA yang menghantar bil setiap bulan, dan pada mak walaupun mak tak sebut pun.
......> aku nak jadi usahawan froozen food! Terima kasih kepada kakak aku, atas dorongan dan buah fikiran yang sentiasa terkini untuk aku.
.....> kalau tak jadi, entri ini akan jadi kenang-kenangan yang tak mungkin dilupakan.
......> Kakak yang lagi seorang juga selalu memberi perangsang untuk aku menulis novel.

Kesimpulannya, aku rasa sentiasa dibantu untuk maju.
Terima kasih kepada kekanda-kekanda yang dikasihi.

Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri

Aku link beberapa blog tetapi aku jarang-jarang amat membaca entri di sana. Aku hanya melirik kepada tajuk-tajuk entri terkini. Di antara blog yang menjadi mangsa aku kerana link tanpa izin ialah blog Rihan Hashim. Blog ini dicadangkan oleh Puan Ainon kerana ia menggunakan Bahasa Melayu Tinggi yang amat tersusun. Baru sebentar tadi aku suka-suka membaca satu entri beliau, kemudian berpindah ke entri-entri lain pula. Di antaranya ialah entri mengenai 'Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri' oleh Pendita Za'ba.
Aku baca, baca, dan baca sehingga ke komen dari pembaca lain di hujung entri tersebut. Aku ini tegar dan jarang mudah tersentuh tak tentu pasal. Namun kali ini aku benar-benar tersentuh.
Biar kujelaskan, ya.
Aku juga pencinta buku. Aku pencinta buku bercorak psikologi dan falsafah hidup. Malang seribu kali malang, aku pencinta buku tetapi bukan pencinta ilmu. Aku melonggokkan buku-buku tetapi aku tidak bersungguh-sungguh membacanya. Aku tersentuh di sini kerana aku juga memiliki buku PBKDS itu!!! Aku ingat aku ada buku ini selepas membaca entri Rihan Hashim. Buru-buru aku mencari di rak-rak buku dan pasti aku temuinya. Aku membelinya di UKM pada 28 Julai 1994. Harganya murah, hanya $5.50, cetakan DBP 1984.
Aku masih ingat saat aku membiarkan mata melingas di segala tajuk pelbagai jenis buku di pameran buku-buku di ruang terbuka UNIKA. Aku tertarik pada buku ini dan mahu memilikinya untuk melengkapi koleksi. Aku juga pernah melihat seorang kawan sekolah membaca buku ini. Aku tidak mahu ketinggalan dan aku membelinya.
Seminggu sebelum Ramadhan, orang datang memasang rak buku pasang siap di satu sudut rumah. Aku mengambil masa menyusun semua buku-buku yang telah dibeli selama ini. Banyak juga, sekejap sudah penuh semua rak itu. Aku memikirkan tidak lama lagi terpaksa memasang rak di sudut lain pula.
Ada diantara buku-buku itu yang belum aku baca walau telah bertahun aku beli. Alangkah teruknya aku! Tetapi aku amat sayangkan buku-buku itu. Aku masih ralat sehingga kini kerana telah kehilangan sekurang-kurangnya dua buku iaitu buku Rabiatul Adawiyah, Sufi Wanita dan novel Imam. Aku buka-buka dan simpan. Kemudian dipinjam orang dan kata mereka sudah dipulangkan. Tetapi ia tiada di rak buku. Geledah satu rumah pun tiada.
Di entri ini, aku ingin berpesan kepada diri; berpada-padalah meminjam buku dari perpustakaan desa itu. Walaupun engkau memang teringin sangat hendak menjadi penulis. Dan engkau fikir engkau perlu menelaah novel-novel yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit termasyhur untuk mengetahui gaya kesukaan editor dan pembaca. Bacalah juga buku-buku yang telah engkau kumpulkan itu. Yang telah engkau beli menggunakan duit poket, duit pinjaman, duit emak abah semasa engkau pernah bergelar pelajar dulu, dan sekarang duit dari peluh suamimu. Usah engkau biarkan buku-buku itu menjadi penghias di rak yang sederhana mahal itu. Jangan engkau perasan telah banyak ilmu di dada hanya dengan membeli dan mengumpul buku. Engkau perlu membaca, membaca, membaca dan membaca. Agar di Padang Mahsyar kelak engkau tidak dibaling dengan timbunan buku-buku itu dan engkau tidak ditempelak kerana berlagak dengan himpunan buku-buku itu. Keluarlah dari kebodohan dan kelalaian. Masa yang kian singkat. Bacalah dengan nama Tuhanmu!!!

...> malam ini aku akan baca PBKDS, insya Allah.

Ramadhan ke-22


Sejak semalam, cuaca terik amat. Tengahari tadi sekitar 12, tiba-tiba turun hujan renyai-renyai. Aku bergegas pulang ke rumah dari rumah jiran, Puan Haniza, untuk mengangkat pakaian dari jemuran. Rupanya hujan sebentar sahaja. Aku sidai semula pakaian yang belum sepenuhnya kering. Aku ke rumah Puan Haniza untuk rewang majlis berbuka puasa dengan acara kemuncak mengacau dodol. Setelah menjemput Ain dari rumah Cikgu Darwina, aku kembali ke rumah Puan Haniza menyambung rewang, masak-memasak dan menanti waktu berbuka puasa.
Stop.

8.15pm. Baru balik dari majlis berbuka puasa di rumah Puan Haniza. Bermacam-macam juadah disediakan untuk tetamu termasuklah nasi beriani, ayam masak merah, acar jelatah, kari dal, ayam percik, kuih-muih dan pastinya kurma sebagai makanan sunnah untuk berbuka puasa.

Di luar rumah, sebuah khemah didirikan dan dua tungku kawah dodol sedang dikacau oleh orang lelaki. Kelibat kanak-kanak yang bermain ke sana ke mari menceriakan suasana. Bahang hari raya semakin terasa!

Saat ini kelopak atas mata kiri terasa agak sakit. Terbit rasa khuatir andai hari raya ini ku rai dengan mata bengkak kerana timbil. Ya Tuhan...bagaimana! Sekiranya terjadi juga aku pasrah dan harus redha.

Cerpen diterbitkan November

Kelmarin aku menerima emel ringkas daripada editor. Mesej mengatakan cerpen aku bakal diterbitkan di majalah beliau (majalah untuk awal remaja) pada November ini dengan sedikit ubahsuai. Aku mengucapkan syukur alhamdulillah. Perasaanku amat seronok. Ia menyuntik semangat untuk aku terus berkarya. Dunia kanak-kanak penuh warna-warni. Dunia remaja pula selalu diisi dengan kekeliruan yang perlu dijawab segera walaupun tidak semuanya memuaskan naluri ingin tahu mereka. Aku sedang menyudahkan siri Diari Kehidupan terbitan PTS yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi yang ringkas, padat dan terus kepada maksud. Ia tidak banyak bermain dengan perasaan dalaman. Buat masa ini dan sekian lama, novel seperti inilah yang aku minati. Buat sementara waktu dan mungkin lama lagi, aku masih mengenepikan novel-novel perasaan.
Tetapi tidak mustahil tiba-tiba keluar novel cinta yang penulisnya ialah aku...bagaimana agaknya garapan kisah cinta itu ...?? Tidak dapat dibayangkan!

Bersahur seteguk air

Tiba-tiba aku terjaga lalu bingkas bangun. Kucapai telefon bimbit untuk melihat waktu. 5.45 pagi! Aku termangu. Walaupun terlambat tetapi belum terlewat. Aku bergegas ke dapur dan mengambil segelas air masak membawa semula ke dalam bilik. Aku kejutkan suami dan anak-anak untuk meneguk air yang kubawa. Mudah-mudahan diberkati seteguk air ini sebagai sahur pada pagi ini.
Semua anak-anak menumpang tidur di bilik kami. Ada penghawa dingin. Cuaca siang semalam yang panas terik menyimpan bahang sehingga ke malam. Hanessa yang terlelap lebih awal berpeluh tubuhnya walaupun tidak berselimut. Tetapi untuk mengelakkan kedinginan di dalam tidur, kututup tubuh anak-anak dengan comforter. Memang enak dan nyaman, sehingga tangan menutup alarm yang berbunyi untuk bersahur pagi ini...

Friday, September 11, 2009

Tidur lewat

Malam ini hilang rasa mengantuk setelah aku terjumpa blog Liza Ali, seorang kawan lama semasa di ITM Melaka dulu. Kami sama-sama menjadi OC, fasilitator junior dan terlibat dalam AJK asrama kediaman. Liza memang aktif, dan terus aktif hingga kini mengendalikan majalah PA&MA. Seronok membaca blog beliau. Aku ingin memberi sedikit komen atau salam ingatan tetapi tidak diteruskan. Aku memilih menjadi follower sahaja. Tidak mengapa, aku akan terus mengikuti dia dalam diam. Aku merasa kagum kerana dia telah menghasilkan 5 buah novel.
Aku tidak khuatir sekiranya ramai kawan-kawan lama tidak mengenaliku, kerana aku mempunyai nickname lain. Tetapi aku juga tidak merasa hairan jika ada yang masih mengingatiku dengan namaku ini, walhal aku tidak perasan orangnya. Perkara biasa... kita mengingati tetapi dilupai, atau kita lupa tetapi masih diingati.

Hanessa yang masih menemani semakin tidak sabar menanti aku menyudahkan ketekunan ini. Selamat malam. Aku ingin jadi penulis. Aku akan menulis. Aku benar-benar akan menulis. Detik larut malam kadang-kadang membawa aku kepada diri sendiri.

Noktah. 'Jom, Hanessa kita masuk tidur!'

Thursday, September 10, 2009

Sayur Kacang Parang

Hidangan berbuka puasa semalam ialah gulai masak lemak cili api ikan Kisi dan sayur campur terdiri daripada putik jagung, tahu telur, bunga kobis dan kacang parang. Suamiku membeli dua ketul ayam masak sambal atas permintaan Hidayat yang terliur terpandang Hanessa menjamah ayam masak merah, baki dari lauk nasi Beriani yang dibeli di Subang Jaya. Sebenarnya beberapa hari ini kami makan lauk ayam. Untuk keseimbangan pemakanan, kami menetapkan hidangan dari ikan pula, tetapi kanak-kanak seperti Hidayat masih sukakan ayam. Jadi kami turutkan kehendaknya, apatah lagi dia sanggup berpuasa sehingga waktu berbuka. Selain itu ada juga satar, otak-otak, ikan Cencaru sumbat dan air tebu fresh yang segar.
Suamiku komplen gulai ikan tidak diletak serai. Aku diam saja.
Semasa bangun untuk bersahur, aku hiris Pucuk Gelugor yang mak bawa dari kampung dan campurkan ke dalam gulai ikan Kisi. Kemudian aku tambah lagi campuran sayur goreng dengan kobis bunga dan kacang parang yang masih berbaki.
Semasa sedang makan sahur, tiba-tiba aku teringat bahawa inilah PERTAMA KALI sayur kacang parang dijadikan sebahagian dari bahan sayur campur. Sengaja kubeli kekacang ini setelah sekian lama hanya menjeling sahaja.
Sebenarnya Naqib tidak boleh menjamah kekacang ini ekoran G6PD yang dihidapinya. Beberapa ubat-ubatan seperti ubat Malaria juga menjadi pantang kepadanya. Doktor yang mengenalpasti keadaan Naqib ini semasa kelahirannya dahulu telah memberi kami senarai pelbagai ubat dan bahan kimia yang perlu dielakkan olehnya. Sekiranya dia terdedah kepada bahan ini, sel darah merahnya akan pecah dan memburukkan kesihatannya.
Hal yang tidak diingini pernah terjadi kepada Naqib semasa dia berumur sekitar 3 tahun. Kami sekeluarga telah menziarahi keluarga abang suamiku di Perak. Aku telah mula cuba memahamkan Naqib apa-apa makanan yang tidak boleh diambil olehnya. Kemudian kami bertolak balik ke rumah. Tiba-tiba Naqib mula muntah-muntah di sepanjang perjalanan. Aku terus mengganti baju Naqib sehelai demi sehelai apabila dia muntah di atas bajunya termasuk memakaikan semula baju busuk yang sudah dipakai. Sehingga akhirnya tiada baju lagi dan aku menutup tubuhnya dengan tuala mandi. Sambil itu aku menelefon Doktor Mazlah, merujuk keadaan Naqib. Kami diminta merujuk terus kepada mana-mana klinik berhampiran. Akhirnya Naqib berhenti muntah apabila tiada apa lagi yang dapat dimuntahkan dari perutnya dan dia terkulai keletihan. Apabila kami sampai di rumah, Naqib terus stabil menyebabkan kami menangguhkan membawa dia ke klinik. Aku mula merisik sekiranya dia ada memakan sebarang makanan sebelum kami bertolak balik dari Perak. Akhirnya kami maklum dia telah mengambil seulas jajan yang dibuat daripada kacang parang daripada sepupunya.
Setiap kali aku menghantar Naqib ke klinik kerana demam dan lain-lain, aku selalu merujuk kepada doktor berkenaan tentang G6PD. Aku dimaklumkan penyakit ini akan berkurangan apabila umur kanak-kanak semakin bertambah. Untuk mengetahuinya, pesakit dibolehkan melakukan ujian kepada dirinya sendiri seperti mengambil makanan dan mengenalpasti kesan makanan tersebut.
Naqib memberitahuku dia telah mengambil jajan kacang parang dalam kuantiti yang banyak semasa dia menginap di madrasah. Makanan itu tidak memberi kesan negatif kepada dirinya.
Oleh kerana semasa berbuka petang semalam dia tidak ada bersama, maka aku memasak lagi kacang parang dalam sayur campur dan meminta dia memakannya. Tetapi dia merasa enggan. Aku terangkan sekiranya penyakitnya telah berkurangan atau tiada, sayuran ini tidak akan memberi kesan kepada dirinya. Ia menjadi tanda aras penyakit itu di dalam dirinya. Suamiku pun tidak menyokong Naqib menjamah sayur itu. Akhirnya sayur campur ini habis juga tanpa disentuh langsung oleh Naqib.

Wednesday, September 9, 2009

Kad Raya

Seperti tahun-tahun sudah, suamiku membeli sepeket kad raya dan sekeping besar setem 30sen. Dia telah mengecop semua kad itu dengan cop nama perniagaannya yang baru dan alamat rumah terkini. Sudah dapat diagak orang-orang yang bakal menerima kad beliau. Ayahandanya, ibu saudaranya, bapa saudaranya, kenalan di Brunei yang menyewakan rumahnya kepada kami (rumah sewa pertama) iaitu Awang Hasnan di Bengkurong, dan juga Sultan Hassanal Bolkiah. Amat berbesar hati rasanya kerana setiap kali kad dilayangkan kepada baginda, pasti mendapat balasan. Cepat atau lambat bergantung kepada tarikh kiriman dari kami.
Aku juga bersemangat hendak melayangkan kad kepada sanak-saudara dan kenalan. Aku meniru tulisan Jawi pada kad yang ditulis oleh suamiku sambil memberi komen yang tidak pasti tentang betul atau salahnya ejaan itu. Teruk rasanya sudah lama tidak membaca dan menulis Jawi. Tetapi nampak suamiku yakin pada ejaan yang ditulisnya. Sekeping kad untuk Mak Juriah, Mak Ramlah dan Uwan Halibah masing-masing. Juga untuk kekanda Ariff yang selalu miss berjumpa pada hari raya.
Aku menelefon seorang kawan sekolah rendah, Hisyam Yem, yang kini menetap di Langkawi meminta alamat tanpa memberitahu tujuan. Kemudian aku minta pula alamat guru BM semasa di sekolah rendah, Cikgu Ismail bin Hanapiah, yang berasal dari Langkawi. Aku difahamkan Hisyam berhijrah ke Langkawi mengikut Cikgu Ismail. Aku mengagak pasti Cikgu Ismail terkejut menerima kad raya ini. Aku menulis ucapan dan namaku dengan tulisan Jawi. Adakah beliau masih ingat kepada anak muridnya ini?
Aku mencari buku alamat berbelas tahun lepas yang masih disimpan di celah-celah fail lama mencari alamat ibu saudara di Rasah Jaya. Di buku alamat ini aku terjumpa pula alamat kawan di ITM yang kini menetap di US, Zam Zelawati Itam. Ada nombor telefon di situ, Kg Temin di Jerantut. Aku terus mendail dan panggilan dijawab oleh Zam sendiri. Rupa-rupanya Zam telah bercuti di kampung halaman semenjak bulan Jun. Mujur nombor telefon itu tidak pernah berubah. Silaturrahim yang terputus hampir 17 tahun bersambung semula. Selanjutnya aku menulis alamat Zam di sekeping sampul kad raya.
Wah, bersemangatnya aku hendak melayangkan kad-kad raya tahun ini. Tidak seperti tahun lepas, kad-kad raya itu disimpan di dalam laci kerana aku tidak berkeinginan hendak menulis walaupun sekeping kad.
Aku menyuruh Naqib menghantar kad kepada ustaz-ustaz di Madrasah seksyen 13. Tulisan Naqib sungguh kecil dan tidak lurus. Naqib meminta maaf kepada ustaz-ustaz kerana sabak tidak lancar, memohon halalkan makan minum dan maafkan segala-galanya.
Ain juga tidak ketinggalan menulis dua keping kad untuk guru-gurunya. Guru SKS bernama Cikgu Halimah dan guru SRA bernama Ustazah Halimah. Lucu rasanya kerana dia mempunyai dua guru yang sama namanya. Ain menggaris kad supaya tulisannya lurus sebaris. Dia menulis menggunakan pensel terlebih dahulu kemudian menulis semula di atas tulisan pensel itu dengan pen berwarna-warni. Kemudian garisan halus dan pensel itu dipadamkan. Ada sedikit kesan pensel tetapi masih kelihatan cantik dan kemas.
Aku tidak mengharapkan balasan di atas kiriman kad ini. Ia hanya tanda ingatan dariku, terutama kepada kawan-kawan lama. Kawan lama dan cikgu yang terlalu lama berpisah. Inilah waktunya menjalinkan semula silaturrahim, sempena menyambut Ramadhan yang mulia dan hari raya Aidilfitri. Aku rasa sedikit aneh kerana tidak pernah menghantar kad kepada kawan-kawan lelaki seperti Hisyam dan Kamarudin. Aku tidak pernah bercakap dengan mereka semasa di zaman persekolahan dulu. Kini aku fikir sekiranya dapat mencari semula semua kawan-kawan lama dulu, aku ingin menghantar kad kepada mereka juga. Aku bukan gadis pemalu yang sangat sukar diajak berbual lagi. Kini aku seorang wanita yang kian dewasa dan semakin tua....

Naqib belajar berniaga

Naqib meminta izin menunaikan solat Asar di surau. Saya berpesan agar dia cepat pulang. Sesudah itu dia pulang dengan riak wajah yang berseri-seri. Naqib memohon keizinan saya untuk membantu Encik Mazlan berniaga mercun. Rupa-rupanya sesudah solat tadi Naqib sempat merayau ke Batu Satu meninjau pasar Ramadan di situ. Encik Mazlan yang melihat kelibat Naqib melambai agar menghampirinya lalu menawarkan pekerjaan membantu dia menjual mercun dengan permit. Encik Mazlan ialah jiran kami di Taman Sijangkang Satu. Beliau pernah menghantar bayinya bernama Aina untuk diasuh di nurseri saya.
Saya menelefon suami yang keluar ke Shah Alam untuk bertanya pendapat beliau. Suami saya seorang yang suka berdikari dan dia juga mahu anak-anaknya sedemikian. Jadi Naqib tidak mendapat tentangan bahkan dia digalakkan untuk mendapatkan pengalaman berniaga. Petang ini Naqib mula membantu Encik Mazlan menjual mercun di Taman Perwira.
Semasa Ramadan baru bermula, Naqib pernah meminta izin hendak membantu di gerai menjual makanan, tetapi saya keberatan. Bukan tidak ada kenalan yang menjual makanan di pasar Ramadan tetapi saya fikir tidak perlu. Kelihatan rezeki Naqib sudah ditentukan Allah di pasar Ramadan juga, hanya yang tidak sama ialah barang jualannya.
Upah yang dijanjikan ialah RM13 - RM15 sehari bermula jam 4.30 petang - 7 malam. Rehat untuk berbuka puasa sehingga 8 malam. Kemudian sambung berjualan sehingga 9 malam. Sabtu dan Ahad pula, kerja lebih masa awal pagi sehingga jam 12 tengahari dan petang seperti biasa. Jangkamasa tidak lama sekitar 10 hari. Jika dikira upah asas dapatlah RM130 jika setiap hari Naqib membantu di gerai mercun itu.
Selesai kami sekeluarga berbuka puasa, Naqib balik membawa seplastik kuih-muih. Makcik yang menjual kuih di sebelah gerai mereka telah bersedekah kuih yang tidak habis dijual. Naqib diberi belanja makan sebanyak RM2 dan belanja ini dinaikkan menjadi RM3 mulai esok.
Saya berpesan agar Naqib berlaku jujur kepada majikannya dan pelanggan-pelanggan. Juga patuh pada majikan dan tidak meninggalkan solat. Melayan pelanggan dengan akhlak yang mulia. Ini sebagai medan untuk Naqib berhadapan dan mengenal pelbagai ragam manusia. Saya juga berpesan supaya upah yang diperolehi kelak dilekatkan pada sesuatu barang yang bernilai untuk kegunaannya dan sebagai kenang-kenangan. Lalu saya mengingatkan Naqib pada mp3 Al Quran yang diingininya atau telefon bimbit berperisian 30 juzuk Al Quran yang pernah dimintanya untuk membantu menghafaz Al Quran. Upahya akan diperolehi pada hujung minggu. Sekiranya dapat RM130, selebihnya yang tidak cukup bolehlah kami tolong tambahkan. Naqib tersenyum. Dia tidak berselera hendak makan nasi kerana kenyang minum air. Saya fikir dia hilang selera kerana masih rasa teruja dengan pengalaman berniaga mercun petang tadi.
Selepas solat Maghrib, Naqib menelefon Encik Mazlan untuk mengikut berjual mercun lagi, tetapi Encik Mazlan telah pergi ke gerainya. Sebenarnya Naqib telah berjanji untuk membantu beliau sehingga jam 9 malam mulai esok. Akhirnya Naqib pergi ke surau untuk solat Isyak dan solat tarawih.
Selamat bergelandang di medan niaga untuk anakanda Naqib. Selamat maju jaya dari mama dan abah serta adik-adik. Salam kasih sayang.

Sunday, September 6, 2009

Mohon Maaf


Kepada semua blogger (kecuali ahli keluarga) yang saya link di sini, mohon maaf saya dahulukan kerana tidak memohon keizinan untuk link ke blog saya. Kalau ada tuan punya blog yang membaca permohonan maaf ini harap sudilah memaafkan saya. Kesilapan yang tidak disengajakan dan baru disedari. Tujuan saya link kerana saya suka membaca entri yang ada di blog tuan puan, walaupun kebanyakan masa saya tidak sempat membaca setiap hari. Sekali lagi, maaf diminta dari saya yang baru menjengah ke dunia blog ini. Nor Mazzuin. 16 Ramadan.

Di mana Wak sekarang?

Menulis tentang Encik membuatkan aku teringat kepada seorang lagi insan yang padaku memang pelik, pelik dan pelik. Beliau berumur sekitar akhir 40an atau awal 50an. Bagaimana suamiku berjumpa dengan beliau, tidak aku maklum. Dia pernah menumpang di pejabat kami. Dia pernah membantu aku dan mak membungkus makanan semasa kami terlibat dalam katering kecil-kecilan dulu. Akhir sekali mak akan ketepikan sebungkus nasi untuk dia.
Mak memanggilnya 'Wak' walaupun Wak tidak ada darah Jawa. Jadi kami semua terikut-ikut dengan panggilan ini. Dia amat menyenangi mak yang dipanggilnya 'Mak Aji'. Sikap mak yang peramah dan tidak kekok membuatkan dia rajin membantu (Aku rasa Wak anti perempuan. Kalau di laluannya ada wanita, dia akan melencong jauh dari laluan itu. Apabila mendengar Wak berbual dengan mak, banyak komen provokasi dan negatif diberikan oleh Wak kepada wanita. Aku selalu bengang dengan komen-komen Wak ini. Tapi dengan mak, Wak kalah. Kalau nampak Mak, dia yang akan datang mendapatkan). Macam-macam rahsia yang mak dapat korek berkenaan dirinya. Yang paling mengesankan ialah apabila Wak menyerahkan kertas wasiat kepada kami. Kami dianggap sebagai keluarganya dan semua hartanya diserahkan kepada kami (sekiranya dia belum beristeri). Suamiku ketawa besar membaca wasiat itu. Suamiku selalu mengutuk Wak sama ada serius atau bergurau, tetapi tidak memberi bekas kepada hati Wak. Bahkan Wak rasa lebih rapat dengan kami. Sebab itulah Wak sanggup menulis surat wasiat tersebut. Aku menyimpan wasiat itu di dalam fail keluarga sebagai kenang-kenangan.
Apabila kami berpindah ke Sijangkang 4 tahun lepas, Wak tidak ikut serta. Namun beberapa kali dia muncul untuk menumpangkan barang peribadi di pejabat suamiku. Sehingga kini Wak terus menghilangkan diri. Khabar terakhir mengatakan Wak berada di Perak (tidak dapat dipastikan). Khabar itu juga memberitahu Wak semakin kurus dan kelihatan tidak sihat. Kami yang mendengar hanya dapat meluahkan simpati. Suamiku berpesan kepada kawan-kawan lamanya di TTDI Jaya agar memaklumkan kepada kami sekiranya Wak muncul lagi.
Apa yang pelik pada Wak?
Kata mak, Wak seorang wali sebab Wak suka berpuasa selang sehari. Cerita Wak berkisar hukum-hakam dalam Islam dan komplen berjela tentang perangai wanita yang Wak nampak. Masalahnya Wak tumpukan pada wanita-wanita lincah di luar sana, tapi Wak tak sentuh langsung wanita-wanita solehah bertudung litup yang sentiasa menjaga pandangan matanya. Aku selalu rasa Wak tak seimbang melihat kewujudan wanita di dunia ini. Wak bekerja tetapi tidak pernah kekal lama. Sikap Wak yang cepat meradang mungkin menyebabkan dia tidak betah bertahan lama di satu-satu tempat. Wak suka memberi salam penuh, "Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh." Apabila berjalan, dia seperti sedang berada di dalam dunianya sendiri. Dia sering bercakap-cakap seorang diri. Apabila kita memberi salam, dia akan memberi salam semula dengan lengkap. Rasanya dia jarang menjawab salam kerana lebih kerap memberi salam. Sikap Wak ini kadang-kadang menimbulkan kelucuan.
Wak belum berumahtangga. Bermacam-macam alasan yang diberi Wak semasa mak mengorek rahsia Wak yang bertahan solo. Rupa-rupanya ada juga yang Wak minat, seorang artis yang sehingga kini juga masih solo (aku dan mak selalu pulang paku buah keras pada Wak semenjak dia membocorkan rahsia hatinya ini. Kenapa Wak pilih artis? Almaklum artis macamana kehidupannya? Kami cadangkan Wak pilih anak dara tua atau janda tapi Wak tak mahu. Ada citarasa tersendiri juga). Bila difikir-fikirkan, sepadan juga. Tapi Wak tak boleh teruskan sebab Wak tak ada pekerjaan tetap walaupun ada kelulusan yang baik. Akhir sekali sebelum kami berpindah, Wak minta mak risik seorang ustazah yang masih muda belia. tapi tak menjadi juga.
Wak ada adik-beradik. Tetapi kalau berdasarkan kenyataan Wak semata, seolah-olah Wak dibuang adik-beradiknya. Biasanya dalam hal sebegini, kami mengambil sikap tengah kerana kami tidak mahu berat sebelah mendengar dari satu pihak sahaja. Kalau dia bercerita dengan mak, aku memasang telinga sahaja. Sesekali aku menyampuk memberi komen sekiranya aku tidak suka kepada pendapat dia (sebenarnya mak pun kena tempias komen-komen berjela Wak. Mak tak ambil hati tapi aku selalu menyimpan geram yang kadang-kadang terkeluar juga di mulut. Aku tak pernah dia komplen depan-depan, belakang tak tahu pula).
Kenangan yang paling tidak dapat aku lupakan ialah ketika dia mengajak kami melihat persembahan Samrah di KL. Kami dikelilingi oleh lelaki-lelaki keturunan Arab yang kacak-kacak belaka. Mungkin hanya kami sekeluarga sahaja yang berwajah Melayu. Wak sebenarnya mirip Arab juga. Aku seronok melihat persembahan tetapi kami terpaksa pulang cepat. Di waktu lain, Wak mengajak kami memenuhi jemputan ke rumah kenalannya yang mengadakan majlis (tak ingat majlis apa). Aku hanya mampu tersipu-sipu apabila menyedari sedang dikelilingi oleh kaum wanita berketurunan Arab. Begitu indah wajah mereka baik yang muda mahupun yang telah berumur. Kanak-kanak di situ juga teramat comel dan mulus kulitnya. Mereka berpakaian serba hitam tetapi wajah mereka langsung tidak pudar oleh warna hitam itu bahkan semakin menyerlah. Terasa kecilnya aku di situ...namun aku senang hati kerana mereka rajin menghadiahi aku senyuman manis.
Di mana Wak sekarang?... Wak tidak mempunyai telefon bimbit. Kami hanya boleh menerima panggilan beliau sahaja. Sudah sekitar 3 tahun Wak tidak muncul dan tidak menelefon. Aku dan keluarga mengharapkan beliau sihat dan sentiasa di dalam hidayah Allah walau di mana juga berada. Kadang-kadang apabila kita mengingati seseorang, dia juga mengingati kita. Mungkinkah Aidilfitri ini Wak akan muncul di hadapan rumah kami... Selamat datang, Wak.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing