Seperti tahun-tahun sudah, suamiku membeli sepeket kad raya dan sekeping besar setem 30sen. Dia telah mengecop semua kad itu dengan cop nama perniagaannya yang baru dan alamat rumah terkini. Sudah dapat diagak orang-orang yang bakal menerima kad beliau. Ayahandanya, ibu saudaranya, bapa saudaranya, kenalan di Brunei yang menyewakan rumahnya kepada kami (rumah sewa pertama) iaitu Awang Hasnan di Bengkurong, dan juga Sultan Hassanal Bolkiah. Amat berbesar hati rasanya kerana setiap kali kad dilayangkan kepada baginda, pasti mendapat balasan. Cepat atau lambat bergantung kepada tarikh kiriman dari kami.
Aku juga bersemangat hendak melayangkan kad kepada sanak-saudara dan kenalan. Aku meniru tulisan Jawi pada kad yang ditulis oleh suamiku sambil memberi komen yang tidak pasti tentang betul atau salahnya ejaan itu. Teruk rasanya sudah lama tidak membaca dan menulis Jawi. Tetapi nampak suamiku yakin pada ejaan yang ditulisnya. Sekeping kad untuk Mak Juriah, Mak Ramlah dan Uwan Halibah masing-masing. Juga untuk kekanda Ariff yang selalu miss berjumpa pada hari raya.
Aku menelefon seorang kawan sekolah rendah, Hisyam Yem, yang kini menetap di Langkawi meminta alamat tanpa memberitahu tujuan. Kemudian aku minta pula alamat guru BM semasa di sekolah rendah, Cikgu Ismail bin Hanapiah, yang berasal dari Langkawi. Aku difahamkan Hisyam berhijrah ke Langkawi mengikut Cikgu Ismail. Aku mengagak pasti Cikgu Ismail terkejut menerima kad raya ini. Aku menulis ucapan dan namaku dengan tulisan Jawi. Adakah beliau masih ingat kepada anak muridnya ini?
Aku mencari buku alamat berbelas tahun lepas yang masih disimpan di celah-celah fail lama mencari alamat ibu saudara di Rasah Jaya. Di buku alamat ini aku terjumpa pula alamat kawan di ITM yang kini menetap di US, Zam Zelawati Itam. Ada nombor telefon di situ, Kg Temin di Jerantut. Aku terus mendail dan panggilan dijawab oleh Zam sendiri. Rupa-rupanya Zam telah bercuti di kampung halaman semenjak bulan Jun. Mujur nombor telefon itu tidak pernah berubah. Silaturrahim yang terputus hampir 17 tahun bersambung semula. Selanjutnya aku menulis alamat Zam di sekeping sampul kad raya.
Wah, bersemangatnya aku hendak melayangkan kad-kad raya tahun ini. Tidak seperti tahun lepas, kad-kad raya itu disimpan di dalam laci kerana aku tidak berkeinginan hendak menulis walaupun sekeping kad.
Aku menyuruh Naqib menghantar kad kepada ustaz-ustaz di Madrasah seksyen 13. Tulisan Naqib sungguh kecil dan tidak lurus. Naqib meminta maaf kepada ustaz-ustaz kerana sabak tidak lancar, memohon halalkan makan minum dan maafkan segala-galanya.
Ain juga tidak ketinggalan menulis dua keping kad untuk guru-gurunya. Guru SKS bernama Cikgu Halimah dan guru SRA bernama Ustazah Halimah. Lucu rasanya kerana dia mempunyai dua guru yang sama namanya. Ain menggaris kad supaya tulisannya lurus sebaris. Dia menulis menggunakan pensel terlebih dahulu kemudian menulis semula di atas tulisan pensel itu dengan pen berwarna-warni. Kemudian garisan halus dan pensel itu dipadamkan. Ada sedikit kesan pensel tetapi masih kelihatan cantik dan kemas.
Aku tidak mengharapkan balasan di atas kiriman kad ini. Ia hanya tanda ingatan dariku, terutama kepada kawan-kawan lama. Kawan lama dan cikgu yang terlalu lama berpisah. Inilah waktunya menjalinkan semula silaturrahim, sempena menyambut Ramadhan yang mulia dan hari raya Aidilfitri. Aku rasa sedikit aneh kerana tidak pernah menghantar kad kepada kawan-kawan lelaki seperti Hisyam dan Kamarudin. Aku tidak pernah bercakap dengan mereka semasa di zaman persekolahan dulu. Kini aku fikir sekiranya dapat mencari semula semua kawan-kawan lama dulu, aku ingin menghantar kad kepada mereka juga. Aku bukan gadis pemalu yang sangat sukar diajak berbual lagi. Kini aku seorang wanita yang kian dewasa dan semakin tua....
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين
Bismillah
Search This Blog
Blog Archive
-
▼
2009
(262)
-
▼
Sep 2009
(31)
- Abang Berfikir
- Mimpi Naqib
- Kerjasama
- Kembara di Aidilfitri
- Balik Kampung
- Ayam dan Aku
- Si Cici
- Pakaian terpakai dan janji Tuhan
- Soleha
- Madrasah Miftahul Ulum - Selamat Datang
- Biskut Suji
- Madrasah Al Masriyah
- Qiamullail pertama di surau
- Terima Kasih Kakak
- Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri
- Ramadhan ke-22
- Cerpen diterbitkan November
- Bersahur seteguk air
- Tidur lewat
- Sayur Kacang Parang
- Kad Raya
- Naqib belajar berniaga
- Mohon Maaf
- Di mana Wak sekarang?
- Musibah di Ramadhan
- Cerita Satu Impian - Haslisa Ramli
- Hidangan petang ini
- Naqib bercuti panjang
- Naqib demam
- Lelaki yang suka buat action
-
▼
Sep 2009
(31)
Terima kasih :)
utamakan Bahasa Melayu
Pantai Lumut
Pantai Mersing

No comments:
Post a Comment