Ulasan
Buku
Hati Emas - Remaja dan Perjuangan
Tajuk buku : Hati
Emas
Penulis : Noraini
Eslah
Alhamdulillah. Hati Emas, karya Noraini Eslah ini telah saya
tamatkan pembacaannya buat kali kedua pada tengahari tadi, sebaik kami
sekeluarga sampai di majlis resepsi perkahwinan anak saudara saya. Pertama kali saya membaca novel remaja 229
muka surat ini adalah pada sekitar Septembar 2014, selepas menerima kiriman
buku ini daripada penulisnya, atas dasar bertukar-tukar karya sendiri. Saya pula mengirimi pemilik nama pena Ummu Anas ini dengan novel remaja sulung saya yang bertajuk
Seharum Doa Bonda terbitan ITBM juga.
Meniti ayat demi ayat dalam
pembacaan kali kedua ini, saya semakin dapat menyelami perasaan Zahira. Segala perasaan yang berlegar di dalam diri
Zahira itu disampaikan dengan mendalam dan mengesankan di sepanjang penceritaan.
Gadis kurus yang selalu pucat dan sentiasa dihantui dukacita kecewa oleh pembawaan
Hepatitis B yang entah bagaimana menjangkiti dirinya ini benar-benar memiliki
semangat juang yang luar biasa hebat. Berperang
dengan perasaan hampa kerana terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi seorang
doktor, Zahira sentiasa bangkit semula dengan kata-kata saranan motivasi yang
diulang-ulang dalam diri untuk terus melawan perasaan negatif yang mengasak emosi.
Zahira bertindak menyembunyikan
rahsia besar yang sangat meruntun seluruh jiwanya ini dari seluruh ahli
keluarganya termasuklah kawan rapatnya, Habibah. Namun rahsia penting ini sampai juga ke
pengetahuan ibu Zahira ekoran demam yang dialaminya sehingga terpaksa bercuti
di rumah. Siapakah lagi yang wajib
mengetahui keadaan seseorang jika bukan ibu dan ayah sebagai insan paling
hampir? Namun Zahira semakin menderita
jauh hati gara-gara sikap ibu dan ayah yang tiba-tiba dirasakannya telah bertukar
dingin. Apatah lagi setelah dia perlu membuat pertukaran pengajian kepada bidang farmasi. Abang Hilmi yang selalu cemburu kepadanya semakin menunjukkan sikap mencemuh
setelah mengetahui rahsia ini. Kadang-kadang
Zahira bingung dengan perasaannya sendiri.
Apakah sememangnya ibu ayah menjadi dingin kerana kecewa dengan apa yang
telah berlaku, atau itu semua hanya perasaannya semata.
Pada masa yang sama, Zahira
merasakan sangat memerlukan sokongan dari ibu.
Dia ingin berkongsi resah hati dengan ibu malahan nenek juga, yang telah
memeliharanya sejak usia 6 bulan. Namun itu
semua hanya bagaikan mimpi belaka. Kesibukan
ibu serta janjinya dengan ayah untuk terus merahsiakan penyakit bawaan dari
nenek dan Anis, adiknya sangat membebankan perasaan. Pada masa yang sama Zahira amat bimbang rakan-rakan
sekuliah akan menjauhinya rentetan penyakit yang dihidapi lalu berazam
merahsiakan hal itu serapi mungkin. Ketika
Zahira merasakan ibu dan ayah bersikap dingin kepadanya, dia pula berusaha
menjarakkan hubungan dengan Habibah sehingga menimbulkan kehairanan rakan akrabnya
itu.
Dalam melayani perasaan sebak hampa
yang menyelubungi diri sambil cuba sentiasa bangkit berjuang meneruskan
langkahnya yang goyang, Zahira turut menerima tiupan motivasi daripada
kata-kata Pengarah IPTS JB yang sentiasa terngiang-ngiang memalu
semangatnya. Rasa jauh hati dengan sikap
ibu yang dingin pula diisi dengan kehadiran Puan Suriani, penyelia kumpulan
tutorialnya yang begitu prihatin kepada diri Zahira. Rahsia hidup penyelia manis yang juga penulis
buku motivasi terkenal itu, yang telah menjadi yatim piatu semenjak kecil turut
menyemarakkan semangat Zahira yang kerap luntur.
Sambil menelusuri perenggan demi
perenggan, saya tiba-tiba tersenyum simpul dengan kehadiran Syamil, rakan
seperjuangan Zahira yang kacak. Syamil
dan perasaan aneh Zahira hanya mengingatkan saya kepada novel Seharum Doa
Bonda, di mana watak utama bernama Sakinah turut mendapat tempias keanehan yang
tercetus tanpa dipinta dalam jiwa oleh teman sekelasnya, Amirul. Persamaan yang tidak disengajakan ini
sebenarnya adalah lumrah di dalam kehidupan.
Remaja mudah tercuit rasa namun haruslah ada sikap waras mengawal diri dan
emosi. Namun berbeza dengan sokongan
Puan Suriani kepada Zahira, Sakinah terpaksa berhadapan dengan sikap Cikgu
Zairul yang cengih amat tidak menyenangkan hati.
Selain berpeluang menyerap kekuatan
semangat Zahira, pembaca turut mendapat maklumat yang tepat walaupun tidak
menyeluruh tentang penyakit Hepatitis B, dari segi cara ia tersebar dan cara
mengawal penyakit ini. Pembaca juga akan
mendapat menyelami perasaan pesakit yang mungkin tertekan dengan keadaan yang
menimpa diri. Layanilah setiap individu
dengan sikap mulia dan ikhlas hati. Jadi,
berhati-hatilah tatkala melihat perubahan sikap orang tersayang anda. Mungkin ada sesuatu rahsia besar yang sedang
disembunyikannya.
Bersama harapan untuk memiliki hati
yang benar-benar sihat, Zahira turut menyemai azam untuk menjadikan hati
miliknya umpama hati emas yang bukan calang-calang. Keistimewaan ‘gerak hati’
Zahira menjadikan watak ini lebih menarik.
Gabungan hati emasnya serta firasat yang selalu tepat itu, dia akhirnya
berjaya mendekati Linda, bekas pelajar ibunya yang bermasalah. Akhirnya dapat juga Zahira melunaskan ‘hutangnya’
kepada ibu, walaupun terpaksa mengorbankan prinsip diri untuk terus merahsiakan pembawaan bahaya yang
ditanggungnya dengan mendedahkan rahsia itu kepada Linda. Tetapi baiknya, pengorbanan itu berbaloi apabila Linda mendapat suntikan semangat untuk bangkit lagi mencipta kejayaan sehebat Zahira. Analoginya, pengorbanan pasti mendapat ganjaran baik yang datangnya dari Tuhan.
Novel ini menyimpang dari aliran novel
popular yang kerap fokus kepada cinta semata.
Novel sarat perjuangan remaja oleh rakan seperguruan saya bersama penulis
prolifik Azmah Nordin ini sebaliknya menumpukan kekuatan semangat waja tanpa putus
asa di dalam kehidupan seharian. Penceritaan
ini diselesaikan dengan kegembiraan apabila penulis akur kepada hukum alam
bahawa usaha yang bersungguh-sungguh biasanya pasti disusuli kejayaan yang
cemerlang. Saranan ajaran Islam supaya
sentiasa menjana baik sangka juga memberi hikmah yang besar. Akhirnya hubungan dingin di antara ahli
keluarga Zahira bertukar penuh mesra dan kasih sayang.
Kenyataannya, tiada penyakit yang
diturunkan oleh Tuhan tanpa ubatnya, melainkan mati dan tua. Zahira masih mengharapkan suatu hari nanti,
rakan-rakan seperjuangannya yang meneruskan langkah dalam bidang kedoktoran
akan mampu merawatnya sehingga benar-benar sembuh. Sebenarnya penyakit bawaannya itu semakin terkawal oleh imunisasi yang diberikan doktor. Saya
yakin selain harapan, semangat juang dan sekeping hati yang bersih berkilau, kekuatan
utama yang turut membantu Zahira adalah rutinnya membaca Al Quran di surau
tempat dia sering menyisihkan masa mencari ketenangan. Zahira yang berhati emas tekun membaca
butir-butir bicara Allah Taala, mukjizat hebat hingga kiamat. Zahira juga suka menyampaikan resah gundah
dan harapan jiwa melalui doa demi doa yang dititipkan kepada Yang Maha
Mendengar tanpa sekatan masa. Dia-lah sumber
kekuatan insan sebenarnya; Yang Maha Kuat lagi Maha Kuasa. Masya Allah.
Alhamdulillah.
Kesimpulannya, novel Hati Emas ini
penuh dengan nilai-nilai murni yang diselitkan oleh penulis di sepanjang
helaiannya. Kadang-kadang sesuatu
musibah itu sebenarnya titipan dari Tuhan untuk menggerakkan tenaga luar biasa
seseorang mengorak langkah mencapai kejayaan yang cukup cemerlang. Allahu Akhbar.