Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, December 21, 2010

Temuduga, Tikus dan FB

Saya serahkan CV dan salinan sijil.  Wanita yang mudah tersenyum ini mula membelek-belek selepas mempersilakan saya duduk.  Saya mula menemuduga beliau.  Saya tanya dia jawab.  Saya tanya lagi dan dia terus menjawab.  Mula meleret kepada perkara-perkara luar yang tak ada hubung kait.  Hal anak dia, kes-kes semasa sekolah menengah dan hmm ... lain-lain.

Akhirnya sampailah bab upah.  Kemudian dia mencadangkan saya ajukan permohonan ke sekolah-sekolah swasta yang berhampiran juga memandangkan kelulusan yang saya miliki mungkin lebih bersesuaian di sana.  Wanita ini bangun mengambil buku panduan telefon yang tebal itu dan menulis alamat serta nombor telefon di kertas, lantas menyerahkan kepada saya.  CV dan sijil saya masuk senarai menunggunya. 

Sebelum beredar, saya bertanya namanya dan meminta nombor telefonnya.  "Nanti kalau dapat mana-mana, beritahu saya ya,"  katanya pula dengan senyuman. 

Sedikit catatan - apabila tiba-tiba muncul perasaan ingin bekerja semula. 

Tikus!  Ya, tikus itu terus termenung di dalam sangkar.  Hanessa memberinya biskut bantal beberapa butir.  Kepingan roti umpan pun masih ada sedikit.  Mogok tetapi Hanessa yang mengendap kata, "Dia makan bila Adik dah pegi."  Kesian ...  Malam menjelma, kemudian hujan turun tiba-tiba dengan lebat. Kesejukan menyucuk tulang.  Si tikus tentu separuh kaku di luar, berlapik akhbar di atas dan bawah sangkarnya.  Esok, selepas En. Meon pergi kerja, saya teringat si tikus yang masih terbiar di belakang rumah.  Kasihan ... mungkin sudah hilang semangat apabila beberapa kali dikerumuni kucing-kucing Kak Leha, merenung dan menghidu-hidunya dari luar sangkar. 

Akhirnya, si tikus dihantar oleh En. Meon ke tempat pembuangan sampah Jastre.  Di situlah tempatnya.  Hari ini, masih teringat-ingat.  Janganlah ada lagi tikus comel yang muncul di dapur kami.  Janganlah masuk perangkap lagi.  Tetapi sekiranya ada juga, saya akan minta En. Meon bersedia dengan perangkap jerat yang terus ... gap! Putusssss ... ambil dan buang jauh-jauh. 

Nampaknya Mieja pun sama juga - buang dalam hutan.  Semoga masalah Mieja pun dah selesai. 

Satu jam saya bergayut dengan mak di telefon awam.  Kad $5 boleh digunakan selama satu jam 45 minit.  Bercakap sepuas-puasnya.  Sampai panas ganggang telefon.  Hidayat dan Hanessa sekejap-sekejap datang minta duit untuk ke kedai runcit Nasa.  Hurilain monyok, menahan lapar dan dahaga berpuasa sunat Isnin. 

Kasihan mak.  Kali ini kedatangan mak, abah dan wan disambut bau busuk seluruh rumah - entah bila bekalan elektrik putus.  Segala stok makanan di dalam peti ais membusuk - banyak pula tu kata mak, macam-macam ada supaya senang nak masak bila datang sebulan sekali.  Semua bertukar rupa dan mengeluarkan bau yang urghhhh!!  Ditambah lagi bangkai tupai yang terperangkap di dalam perangkap yang dipasang oleh abah.  Tinggal bulu aje bersama ulat-ulat yang mengemut.  Huhh!!! Tak terbayangkan macamana bau rumah kami itu.  Kasihan mak, kerja bertambah dua kali ganda.  Biasanya mak tentu akan bersihkan seluruh lantai hingga bersih berkilat-kilat.  Kali ini mak terpaksa bersihkan seluruh peti ais pula. 

Terima kasih tak terhingga pada mak dan abah.  Tolong tengok-tengokkan rumah dan jenguk Along, kemudian bawak makan dan membeli barang keperluan serba sedikit.  Semoga perjalanan mak abah selamat selalu.  Hanya Allah yang dapat membalas budi baik, jasa dan kasih sayang mak abah.

Facebook.  Laman sosial untuk berhubung dengan ramai orang.  Tetapi kalau komen anda tidak diperdulikan, tidak dialu-alukan dan tidak mendapat respon, macamana?  Ternyata FB bukan wadah sebenar untuk menjalinkan silaturrahim.  Cuba lihat diri anda di mana ketika berada di dalam situasi sebenar, bukan di FB.  Jangan harap sitausi itu akan berubah 180 darjah semata-mata untuk berasa ceria dan dihargai. 

Jadilah ceria dan gunakan bahasa terkini, tak perlu terlalu protokol, dan sentiasa kemaskini cerita anda.  Anda akan jadi top dalam kelompok tersendiri.
 
Ada kawan lama yang cukup lama hingga tak cam, menyapa.  Alhamdulillah, terjalin semula persahabatan dengan kawan sekolah rendah dulu.  Ada saudara rapat yang ditemui di FB setelah search namanya.  Sampai sekarang tak memberi respon.  Bertanya khabar, sudahlah nak jumpa 2-3 tahun sekali pun payah.  Tetapi mungkin cikgu ini memang sibuk sangat, sebab wall dia pun tak aktif nampaknya.  Ada anak-anak saudara yang juga susah nak berjumpa, pun 2-3 tahun sekali terjumpa dek jarak dan tak selari masa.    Not bad, bertegur juga di FB kalau sesuai dengan topiknya, berjawab la komen diberi.  Kalau tak, jadilah macam 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong'...

Saya, setakat hari ini, rasa hati lebih ceria di sini. 

Sunday, December 19, 2010

Dah dapat!

Pagi ini abah Naqhuhines bersorak, "Dapat juga akhirnya.  Tu la, kena sabar..." katanya penuh kesedaran dengan senyum lebar macam baru dapat bonus 10 tahun je.  Iye la, dah tiga kali memasang perangkap, sekali roti hilang semuanya dan sekali roti hilang separuh.  Akhirnya perosak comel masuk juga.  Itu pun mula-mula perangkap tertutup dan dia terselamat.  Memang betul pepatah, 'Jerat tak pernah melupakan pelanduk', ohh perangkap tak pernah lupakan tikus.

Sekarang, macamana nak selesaikan si comel bermuncung kecil dan bermisai halus ini?  Saya pun menyusuri alam maya lagi.  Untuk makluman, kaedah yang pernah saya tuliskan sebelum ini pun dari alam maya juga. Gunting lehernya, hempuk ke dinding hingga mati, jemur hingga mati kering dan pukul dengan kayu.

Mencari kaedah yang lebih Islamik, saya temui di sini http://www.muslimdiary.com/forum/viewthread.php?thread_id=688  kaedah yang cepat dan mudah.  Disarankan menggunakan jerat penyepit yang akan terus menyepit langsung membunuh haiwan ini dengan cepat tanpa menyeksanya.  Hmm saya teringat pernah melihat jerat yang mak pasang, rasanya tidak ada darah yang keluar dari leher yang tersepit.  Teringat perangkap fesyen lama daripada bongkah kayu yang cukup berat untuk seekor tikus, rasanya masih ada lagi di atas loteng rumah kampung tu.  Pokoknya dia akan mati serta-merta.  Tak le payah nak memikirkan macamana nak menyudahkan haiwan ini lagi.

Jadi, bang ... lepas ni apa kata kita beli jerat tu pulak.  

Tut tut tut ... mak call.  Mak, abah dan wan sudah dalam perjalanan nak ke Sijangkang dan ziarah Naqib.  "Mak bawak kepak ayam dua kilo ni.  Karang nak cari kek-kek lepet tu bawak kat Along."  Suara mak macam selalu, ceria dan bertenaga.  Sudah lima hari berlalu dari tarikh lahir Along ke 14.  Tapi si nenek tetap mahu meraikannya dengan Along.  Lambat pun tak pe.  Tarikh tak kisah, janji tanda ingatan dan kasih sayang.  Tarikh lahir mak pun hujung Disember juga.  Raikan bersama la tu.  He he selamat hari lahir Mak!  Semoga mak sihat ceria dan sentiasa di dalam petunjuk Illahi.  Ameen.

Abah Naqhuhines yang sedang menggoreng mee beri isyarat supaya cerita pasal tikus yang tertangkap.  Mak kata, rendam je dalam air.  Jangan ditengok, kasihan pulak nanti.  Biar sekejap lepas tu ambil buang.

Hidayat kata, buatkan rumah kecil yang ada pintu kecil dan bela. Kasihan dia tentu ada anak-anak dan keluarga.  Terpengaruh dengan Stuart Little la tu.

Tikus termasuk lima jenis haiwan perosak dan merbahaya yang perlu dihapuskan agar dengan demikian kelangsungan hidup manusia dalam berterusan di dalam keamanan.  Menurut Muslim, Aisyah r.a berkata, dari Nabi SAW sabdanya:” Terdapat lima jenis binatang merbahaya yang boleh dibunuh di luar tanah haram ataupun di dalam tanah haram iaitu ular, gagak, tikus, anjing gila dan helang."

Tiba-tiba dapat sapaan dari Kak Ju di FB.  Borak-borak kejap, lepas tu tamat.  Seorang kakak yang sangat gigih menulis.  Dia sedang menyiapkan sebuah ensiklopedia nabi untuk sebuah penerbitan.  Semoga Kak Ju sukses selalu di dalam kehidupan.

Erk, novel aku?  Alahai ...  Sifuuuu, saya ada sesuatu nak utarakan pada Sifu ni.

Tikus dalam perangkap tu camana pulak ni???

Saturday, December 18, 2010

Hidayat antisosial

Saya tak sukakan tajuk ini tetapi inilah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perlakuan anak lelaki kedua saya ini.

Kami di Perpustakaan Pandan.  Hari ini adalah Hari Pustaka Ria di mana pemenang bagi setiap pertandingan yang dijalankan sepanjang awal cuti sekolah dua minggu ini akan menerima hadiah masing-masing sebentar lagi.  Alhamdulillah, Hurilain dan Hanessa berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan yang mereka sertai.  Kemudian kami dijamu dengan hidangan mee goreng, sandwic, tart telur dan air oren.  Nyaman bah! 

Hidayat?  Dia masuk pertandingan menulis cantik iaitu menulis semula dua rangkap sajak bertajuk Ayah secantik yang boleh dan menghiasnya.  Tatkala saya serahkan kertas hasil tulisan Hidayat, saya berkata, "Sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja," dan disambut gelak gelihati oleh pustakawan tersebut (saya fikir mungkin bosnya).  Hidayat langsung tidak cuba meninjau kanak-kanak lain di meja lain, dan dia menulis semula sajak itu seperti menulis karangan pendek dengan muka masam dan sedikit air mata.  Saya cuba membantu dia menulis sekali lagi di atas kertas yang lain tetapi dia enggan.  Jadi saya biarkan dan sokong dia menyudahkan tulisan yang 'aneh' itu.  Di bawah sajak itu saya minta dia melukis sesuatu sebagai hiasan dan dia melukis sebuah kereta yang besar tanpa mewarnakannya.  Mungkin ini ialah 'kereta ayah saya'.  Aduhh budak ini!

Di hari yang lain dia dan Hanessa masuk pertandingan mewarna gambar enam ekor anak kucing comel dan tiga biji bola.  Ini bukan gambar kegemaran budak lelaki.  Tetapi Hidayat akur dengan desakan saya.  Pertandingan yang mudah untuk dapat hadiah.  Cuma warnakan dan hantar.  Beberapa ketika Hidayat muncul di sisi saya di dalam CC, "Hidayat tak nak warna la,"  katanya berbisik.  Hanya dua ekor kucing yang diwarnakannya yang mana seekor daripadanya diwarnakan keseluruhan hitam hingga hampir hilang bentuk, seperti seekor kucing yang sedang meremang bulu.  Aduhh Hidayat!  Seketika dia sudah duduk berlawan dalam Counter Strike.  Jadi Hidayat tidak mendapat sebarang hadiah sedangkan hadiah yang disediakan lumayan semuanya.  Semua orang suka menerima hadiah kecuali budak ini - hadiah berkhatan dari wan masih ditangguhkan dan hadiah pertandingan ini dia tak hairan pun.  Alhamdulillah Hanessa yang memang hobi mewarna telah membawa balik hadiah Thomas & Friends Art Set.

Hanessa memang kerap meminta pensel warna.  Lima bulan persekolahan yang lepas, dia sudah membeli empat atau lima kotak pensel warna.  Si abah tak suka dia membeli kerap, jadi selalunya adalah rahsia untuk beberapa lama yang boleh.  Dia mewarna dengan tekun dan menekan pensel. Sekejap sudah pendek dan tugas saya menajamkan menggunakan pisau.  Jika guna pengorek pensel lagi cepat pendek.  Hidayat pula sangat cermat mewarna (atau tidak suka mewarna).  Set pensel warnanya 24 batang, jarang ditajamkan (kelihatannya cermat menggunakan). Kotaknya rebeh, sangat daif untuk melindungi semua pensel warna yang ada tetapi dia tak kisah langsung.  Dia meminta set 12 batang pensel warna untuk kegunaan di sekolah ugama petang, dan selepas sebulan baru dia memaklumkan set yang baru dibeli itu sudah hilang entah di mana (dirahsiakan dari abah seberapa lama yang boleh). 

Beberapa ketika kami menonton gelagat kanak-kanak yang memasuki sukaneka ringkas tadi, dia pun masuk ke dalam terus menuju ke komputer untuk bermain Counter Strike kegemarannya.  Walhal kawan baru dia yang sama rambut tegak dan muka nakal tu sudah memaklumkan, "Kau tak boleh main games sebab semua orang kena duduk di sini."  Tetapi apabila Hidayat bermain games, budak ini ada bersama di sisinya.  Huhh ...

Kami sudah terlepas permainan sukaneka pertama.  Apabila permainan kedua mahu bermula, saya ingin Hidayat dan Hanessa menyertainya.  Saya pujuk dan pujuk dan pujuk Hidayat.  Matanya langsung tidak beralih dari skrin komputer dan tangannya menggerakkan mouse dengan cekap.  "Dayat malu,"  alasan yang diberikan.  Grrr ... geramnya!  Kawan barunya tu pun tak bergerak langsung dari sebelah Hidayat.  Bila saya tanya nama pun tak mahu beritahu.  Apa masalah budak ni agaknya? 

"Dah la mama.  Lain kali jangan bawak dia."  Hurilain mula bosan melihat saya yang terus memujuk dan Hidayat yang terus enggan.
"Nanti jangan tumpang hadiah kitorang,"  kata Hanessa pula.  Hidayat tak perduli langsung.

Ya, nampaknya Hidayat mula bersikap antisosial.  'Malu' hanya alasan semata.  Dia pernah mengikuti pertandingan di Perpustakaan Seria pada cuti pertengahan tahun dan menang hadiah buku cerita.  Di sana, tidak ada games kegemarannya.   

Counter Strike - games tembak menembak yang telah membuatkan Hidayat asyik hingga dia sanggup tak makan selama 4 jam dan pernah terlepas solat Zohor.  Tanpa bersarapan sekadar milo segelas, dia tak menyentuh nasi katok yang saya beli dan hanya makan selepas waktu Asar di rumah.  Dia juga tahan sejuk, walhal suhu dalam perpustakaan ini membuatkan saya kecut dan menggigil.  Saya fikir dia pemain paling top di sini.

Ini SERIUS!  Ia mesti diperlahankan dan akhirnya dibenteras total.  Bayangkan otak Hidayat merakam imej tembakan dan orang mati kena tembak, diikuti perasaan teruja dan gembira kerana berjaya menembak dengan tepat, seterusnya menjadi igauan dan impian dia dan perlahan-lahan membentuk gambaran masa hadapannya.

Ya, dia bercita-cita mahu menjadi tentera hebat yang membawa jet pejuang.  Dia mahu menambrak pengganas dan penjahat di mana sahaja.  Dia kata, "Okey la mama, Dayat jadi jurutera, arkitek dan juruterbang jet pejuang," apabila saya pujuk dia dengan cita-cita yang pada saya lebih bermanfaat dan juga impian ramai ibu.

Pokoknya, andai kegemaran ini tidak dikawal dengan baik dari sekarang, jalan untuk Hidayat mencapai cita-citanya akan menjadi lorong yang sukar.  Tidak menafikan sedikit kebaikan kerana Hidayat cekap mengkoordinasi mata dan jari-jemari, cekap menembak musuh dan dia jadi tak sensitif pada bahasa tubuh si kakak yang selalu membuatkannya tercabar sendiri.  Tetapi ini sudah melampau.

Saya pernah ajukan cadangan kepada abah Hidayat untuk membeli desktop terpakai untuk dia bermain games.  Mungkin di sini dia tidak mahu bergerak langsung dari komputer itu kerana bimbang diambil alih oleh budak lain sedangkan dia belum puas bermain.  Mungkin jika desktop sendiri di rumah, kami boleh mendisiplinkan dia menggunakan masa.  Semasa di Sijangkang, kelihatan seperti dia boleh menguruskan masa dengan baik - bermain games, bermain basikal dengan kawan-kawan dan rutin lain.  Hanya perlukan pemantauan dan disiplin.  Kita anggap ini latihan keibubapaan dan latihan disiplin kepada anak-anak.  Sebenarnya lebih kepada ujian untuk ibu bapa sendiri - sejauh mana dapat menerapkan disiplin kepada diri dan kemudian kepada anak-anak.  Betul?

Betulllll!

Hidayat adalah anak zaman ICT.  Ditegah sama sekali menjadikan dia buta ICT dan ketinggalan zaman.  Dibiarkan akan merosakkan diri.  Ohh semoga saya menjadi ibu yang sabar.  Sesi persekolahan baru akan menjelma tidak lama lagi.  Hidayat, Hurilain dan Hanessa akan menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah.  Tidak ada Counter Strike kecuali dua minggu sekali ketika saya harus memulangkan buku yang dipinjam.

Ya Allah, daku bermohon kepadaMu, masukkanlah anak-anakku dan kami semua ke dalam golongan ulul albab yang tinggi ilmu, akhlak dan ketaqwaan kepadaMu.

Hidayat, tiga tahun lagi ya, insyaAllah.

P/s : noted untuk abah - 'dirahsiakan dari abah seberapa lama yang boleh' tu hanya TERHAD kepada hal-hal kecil seperti contoh di atas.  Hehehe ...

Friday, December 17, 2010

Mari bikin lassi

Sudah lebih seminggu susu penuh krim dalam kotak itu berada di dalam peti ais comel kami (semuanya comel di 'chalet' ini).  Saya tertunggu-tunggu, tetapi abah Naqhuhines tak menunjukkan petanda yang bagus langsung.  Hari berlalu macam biasa. 

Semalam saya dan Hurilain berpuasa sunat 10 Muharram.  Alhamdulillah.  Saya fikir mahu bersahur sesuatu yang menyegarkan.  Tentunya lassi penuh krim itu, yang si abah buat dek je tu.  Kebetulan saya terjumpa satu tray kecil limau sambal tersorok di sebalik sayuran dan barangan lain di dalam peti ais. Saya mesti cuba sendiri.  Kali pertama dia membikinnya sebulan lepas, dan ohh memang enak.  Kali pertama saya menikmati minuman susu masam buatan sendiri tetapi sangat berkhasiat untuk perut ini.  Sekelip mata susu lassi sekotak selesai oleh kami sekeluarga.  Memang rasanya sangat hampir dengan minuman kegemaran anak-anak iaitu Vitagen (dan lain-lain yang serupa dengannya).

Caranya mudah sahaja.  Perah beberapa biji limau ke dalam susu kotak (untuk tidak menambah lemak tepu kepada tubuh, gunakan susu rendah lemak) bergantung kepada kemasaman yang anda suka dan letak sedikit garam halus.  Goncang supaya sekata dan simpan semula di dalam peti ais untuk proses penapaian. 

Pagi esoknya blender susu ini bersama sedikit gula (bergantung kepada kemanisan yang anda suka) dan sudah boleh menikmatinya.  Lebih enak jika dikisar bersama sedikit ketulan ais.  Hmmmmmmmmm ... memang enak bangat!  Dan selepas solat tadi, susu lassi bikinan sendiri ini dalam sekelip mata juga selesai oleh kami sekeluarga hehehe ... Alhamdulillah syukur ke hadratMu ya Allah yang memberi kenikmatan rezeki kepada kami.  Terlupa mahu bersahur dengan air lassi, ternyata lebih enak menikmatinya bersama semua ahli keluarga.

Hari ini saya dicadangkan memasak Asam Pedas Ikan Mayong.  Ikan ini kurang terkenal di negara ini.  Kata abah Naqhuhines, pelanggan lain memerhatikan dia memborong empat ekor ikan mayong di pasar Gadong semalam.  Usah terkejut, satu kilogram hanya $2, berbanding RM 6- RM 10 satu kilogram di Segamat. Inilah kali pertama kami menemui ikan mayong di sini. 

Bukan apa, cuma terkenang-kenang masakan mak mertua di Segamat.  Boleh dikatakan setiap kali balik kampung, kami akan dihidangkan dengan Asam Pedas Ikan Mayong.  Kalau telefon tanya khabar, "Mak masak Asam Pedas Ikan Mayong,"  kata mak mertua saya, huh terliur dibuatnya.  Pasar Batu Anam sentiasa ada bekalan ikan mayong, kerana permintaan yang tinggi dari penduduk terutamanya dari keluarga mertua saya.

Jadi sekitar jam 9 pagi saya sudah membawa radio masuk ke dapur, mendengar siaran Nur Islam sambil menyiapkan bahan tumisan.  Untuk mendapatkan kuah yang lazat, bahan tumisan terutamanya cili mesti digoreng tua hingga cantik warna merahnya.  Saya panaskan minyak di dalam pan bertangkai tidak lekat dan campak sedikit halba.  Pan ini sangat sesuai untuk menumis lama kerana tidak berkerak hangus, hanya kecilkan api dan tutup dengan akhbar.  Kacau sesekali supaya masak rata.  Sesudah itu baru pindahkan ke dalam periuk besar sesuai dengan kuantiti ikan yang mahu dimasak.  Masukkan asam jawa pekat dan sedikit gula.  Garam kasar sudah ditumbuk siap dengan rempah tumis.  Kami tidak menggunakan sebarang bahan perasa tambahan, cuba mengelakkan seboleh mungkin. 

Kata mak, campur cili hidup dan cili padi sedikit lagi sedap.  Kalau mak saya memasak asam pedas, dia mesti akan letak beberapa tangkai daun kesum.  Memang besar khasiat untuk badan.  (Juga sedikit belacan.) Tetapi mak mertua tidak menggunakan daun kesum langsung.  Jadi abah Naqhuhines pun tak kesah tentang daun kesum ini.  Tentulah dia ikut cara maknya.  Saya ikut cara mak saya.  Abih tu?  Kat sini mana ada daun kesum, susah nak jumpa.  Hmm ... tak kesah la tu.

Si bongsu Hanessa orang yang pertama merasa masakan ini kerana dia lewat bersarapan.  "Mama, minta maaf dulu ya.  Bau ikan ni macam tahi ikan,"  katanya sambil mengerutkan dahi apabila saya tanya sedap ke tak sedap.  Hari ini puasa juga, bersama Hurilain.  Jadi saya tak cuba langsung untuk merasa menggunakan lidah.  (Tapi kalau anda perasan, masakan orang berpuasa selalu sedap aje).  Ohh risau saya dibuatnya.  Sebelum si abah merasa tengahari nanti, lebih baik saya mengaku awal-awal tentang ikan yang 'hanyir' macam kata Hanessa ni dan minta dia adjust rasanya nanti.  Boleh ke?

Haa, inilah rahsianya.  Kalau ikan mayong masih terasa hanyir (walaupun sudah dicuci dengan asam limau), tumis beberapa tangkai daun kari bersama sesudu lagi halba - petua abah Naqhuhines. Ternyata rasanya bertambah sedap dan tidak hanyir langsung.  "Okehh!!"  kata si abah tatkala menjamah lauk ini. Alhamdulillah.   Hehh, Hanessa memang bikin gempar hati saya aje.

Tips tambahan : Pastikan semua insang sudah dibuang dan tiada ketulan darah atau lendir tertinggal di celah bahagian kepala.  Jika menggunakan lobak asin, rendam selama setengah jam dengan air baru dimasukkan ke dalam kuah.  Tetapi saya lebih suka elakkan sayuran jeruk ini.  Mak mertua saya tak suka tetapi anaknya pula mahu mencuba kali ini.  Hmm ...

Selamat menikmati air lassi yang enak dan ... asam pedas ikan mayong juga!

Ada tikus!

Kelmarin malam, saya masuk ke dapur yang masih terang dengan lampu untuk membuatkan Hanessa air milonya.  Objek hitam bergerak laju di atas dapur dan berlari pantas ke bawah sinki yang dipenuhi beg plastik untuk guna pakai, sangat memeranjatkan. Sejak bila haiwan ini tinggal bersama kami?  Berani sungguh, terang benderang pun dia berani buat projek.  Boleh tahan saiznya, mungkin si bapak yang sedang mencari makanan.

Patutlah kadang-kadang ada bau hancing di satu-satu ketika, terimbas dek angin dari luar.  Mulanya saya menyangka mungkin ada kucing Kak Leha yang dah menyelinap masuk dan membuang kencing, tetapi tak logik pulak sebab pintu depan belakang memang tak pernah dibiarkan terbuka tanpa sebab.  Keluar tutup masuk tutup.  Kecuali kalau sengaja membiarkan pintu terbuka dan duduk di pintu. 

Jadi, terbongkarlah rahsianya iaitu bau itu datang daripada kencing makhluk yang satu ini.  Semenjak terserempak tanpa sengaja itu, saya mula temui najisnya yang kecil dan hitam di merata tempat di dalam dapur, seolah-olah "Alang-alang dah ketahuan, biarlah aku buang rata-rata."  Peket spaghetti sudah robek.  Tepung penyalut gorengan pisang juga digigit hingga berterabur isinya.  (Baik sangka je.  Itu maknanya sama dengan soalan "Bila nak masak spaghetti dan bila nak goreng pisang?")

Kini memasuki ruang dapur yang comel ini, terbit sedikit getaran halus di dada.  Ish, entah apa lagi yang sudah dirobek hari ini ...  Kemudian semua barangan makanan saya masukkan ke dalam beg plastik dan gantung di dinding.  Hmm insyaAllah dia tidak akan mampu memanjat dinding untuk mencapainya.

Semalam tiba-tiba Hurilain memberi isyarat kepada saya.  Dia mendengar suara halus datang dari arah mesin basuh pula.  Ohh, baik sangka sahaja agar jangan getah penyalur air menjadi mangsa gigitannya.  Teringat lantai yang sedikit basah ketika mencuci pakaian, yang tidak pernah basah sebegitu sebelum ini.  Teruskan baik sangka, mungkin ada cantuman yang sudah longgar disamping percikan air cucian itu sendiri.

Pokoknya, Kak Semuncit atau Mickey Mouse gelaran dari abah Naqhuhines ini masih berada di dalam rumah ini.  Perangkap sangkar yang dipasang hanya kehilangan umpan rotinya.  Memang pintar dia!  Kami terus sabar menanti.  Beberapa malam berlalu, kelihatannya haiwan ini seperti sudah bosan dengan umpan roti.

Membuat pencarian di alam maya. 

1.  Nampaknya yang paling mudah ialah mencari penyembur serai wangi dari pasaraya dan sembur rata-rata di tempat strategik tempat haiwan ini bersarang atau menyorok diri.  Lipas pun tak suka bau serai wangi.  Jadi faedahnya dua dalam satu.  Boleh dipraktikkan. 

Saya fikir kalau betul-betul alami iaitu serai wangi asal tentu lebih mujarab.  Teringat rumpun serai wangi di luar pagar PJAC yang ditanam oleh Encik Razali, ayah Ikhwan.  Sangat menyegarkan badan jika dibuat mandian bersama air suam.

2.  Batang atau ranting pokok durian Belanda?  Tetapi abah Naqhuhines kata daunnya.  Apa sahaja la, tetapi kat mana kami nak cari pokok durian Belanda di penempatan ini.  Petua ini terpaksa diketepikan dulu.  Kalau jalan-jalan nanti terjumpa pokok durian Belanda, bolehlah minta pada tuan punyanya. 

3. Beli sedikit kapur barus dan ditumbuk separuh hancur kemudian letak di pintu sarang.  Bahan ini tidak mahal dan mudah ditemui di kedai India atau kedai menjual peralatan untuk menguruskan jenazah.  Boleh cuba.  Mungkin Mahmoon atau Nasa ada menjual bahan ini.  Nanti kita cari, ok.

4.  Yang ini pun tak mahal.  Tetapi saya kurang suka kerana ngeri melihat tikus yang terperangkap dengan leher hampir putus berdarah di penyepit perangkap.  Juga perekat tikus.  Setakat lalat atau cicak, masih boleh kawal perasaan.  Tetapi membayangkan tikus melekat di atas perekat itu dan melihat matanya terkebil-kebil saling berpandangan dengan saya, ishh tak sanggup rasanya.  Lepas tu nak buat apa dengan tikus tu? 

Nak lenyek dengan kereta?  Masukkan dalam beg plastik dan  hentak ke dinding hingga mati?  Atau gunting lehernya dengan gunting yang paling tajam?  Saya tak pernah melakukan semua ini.  Dulu-dulu mak yang akan selesaikan masalah tikus di rumah kami.  Saya hanya diperingatkan jangan usik perangkap tikus.  Sampai sekarang saya terus menjauhinya.  Jadi, kalaulah ada yang terperangkap, abah Naqhuhines akan menyelesaikannya juga.  Macamana dia nak buat?  Dia kata, "Goreng sodap!"  Arghh!

Teringat semula nostalgia lampau.  Membeli katak dan melemaskannya di dalam air, pinkan di atas meja dan belah untuk lihat organ dalaman.  Mr Chua nama guru Biologi tu (harap tak salah nama).  Guru yang lucu dan mak masih simpan set peralatan bedah tu di kampung.  Kesian katak-katak tu!

5.  Begitu juga dengan racun tikus.  Saya yang daif dengan perihal haiwan ini mudah sahaja mencadangkan supaya meletak racun pada umpan makanan.  Tetapi abah Naqhuhines menerangkan, apabila racun mula memberi kesan, tikus akan melarikan diri ke tempat yang sejuk dan paling tersembunyi, mati dan mengeluarkan bau.  Tugas siapa yang mencari punca bau dan mengeluarkan bangkai tikus?  Kalau bau datang dari atas bumbung, siapa nak naik ke sana?  Jadi takdo kojo usah cari kojo.  Ringkasnya idea ini tidak mendapat persetujuan. Oh ya, anda juga perlu berhati-hati menyimpan racun ini di tempat yang selamat dan sukar dicapai kanak-kanak.

6.  Ultrasonic Rat Repeller.  Baru seekor tikus, rasanya tak payahlah guna yang ini.  Walaupun ia menjimatkan, tapi sebenarnya kami lebih suka menggunakan kaedah alami seperti serai wangi tu.  Melainkan jika nanti kami membuka restoran Nasi Katok Mama, peralatan ini mungkin bertukar menjadi satu keperluan.  Bukan satu, bukan dua tetapi mungkin 10 unit akan dipasang di merata sudut.  Ia menjadi alat bantu (selain kaedah alami tentunya) untuk memastikan kebersihan dan keselamatan stok bahan masakan, dan tidak ada pelanggan yang termakan tikus goreng.  Eeee!

Err bila nak buka restoran tu?  Ntah ... tapi insyaAllah.  Kalau tak saya, mungkin anak, mungkin cucu, mungkin cicit, mungkin piut, mungkin anda?

7.  Pelihara kucing?  Hmm kami dah tolong jeling-jelingkan kucing-kucing Kak Leha tetapi untuk bawa masuk ke dalam rumah, oh tidak!  Kalau nak bawa masuk pun mungkin si Moyeng, kucing jantan manja kesayangan Kak Leha yang gemuk tu.  Tetapi gayanya yang pemalas dan tak mengenal beza kucing jantan dan betina, rasanya tak menakutkan tikus langsung. 

Buat sekian kali, cukuplah rumah di Sijangkang yang bebas kucing-kucing kami keluar masuk.  Putih, Brown dan anak-anaknya serta Zara (mak Brown).  Dulu, Ewa kucing kesayangan arwah abah pun ada.  Kemudian Baby dan Noneng kucing kesayangan mak yang diangkut ke mana sahaja pun sama.  Kini, semuanya menjadi kenangan yang manis.  Ada yang mati dan ada yang hilang.  Putih dan Brown anak-beranak khabarnya sudah dihantar oleh Cikgu Ija ke sekolah tempat dia mengajar.  Dia sama tolong memberi makan tetapi sepeninggalan kami, kucing-kucing itu makin tidak berbela.  Jadi biarlah mengadu nasib di kantin sekolah dan kedai-kedai makan sekitarnya. 

Eh, bila pulak nak beli spray serai wangi ni???

Wednesday, December 15, 2010

Istighfar 100 kali

Hanessa bersahaja duduk di penjuru ruang sambil memandang TV dan jemarinya bermain-main dengan beg plastik kuning.  Ada beberapa keping wang kertas dan siling di dalam beg itu.  Dompetnya entah ke mana dicampakkan.  Beg plastik pula digunakan.  Hidayat dan Hurilain duduk dengan jarak dua kaki, bersandar di dinding.  Saya menghadap mereka.  Sesekali Hidayat mengesat matanya dengan leher baju.  Hurilain memasamkan mukanya.

"Kenapa buat kakak?"
Hidayat mahu menjelaskan tetapi tidak jelas langsung kerana berbaur dengan tangisan.  Dia kelihatan sangat marah sehingga perasaan itu dihamburkan dengan tangisan.  Dia cuba bercakap tetapi hujungnya adalah tangisan semata.  "Cuba cakap dengan jelas.  Berhentilah menangis!"

Saya toleh kepada Hurilain pula.  Dia menjelaskan punca mengapa sebentar tadi dia mengejar Hidayat dan mencubit adiknya itu sekuat-kuat hati sambil menangis dengan kuat. 

Hidayat telah memulakan serangan kepada kakaknya tanpa sebab yang kuat.  Hanya dia sangat marah kerana si kakak mengadu perihal adik yang terlalu kreatif makan biskut Belanda di hadapan TV. 

"Kenapa Hidayat marah sangat pada kakak?"
Hidayat memberi alasan, tetapi nyatanya alasan yang tidak kukuh dan berkait dengan ungkitan di masa lepas yang entah bila.  "Mengungkit la tu!"  kata Hurilain merungut.  Mendengar kata-kata si kakak, Hidayat semakin geram dan mahu terus menangis lagi.  Dia tidak bergerak untuk menyerang kakak kerana saya sedang berada di hadapan mereka.  Ah, rotan entah ke mana bersembunyi di saat seperti ini. 

"Malam tadi abah bawak rotan ke dapur masa mama ternampak tikus tu."  kata Hurilain.  Dia tersenyum-senyum sambil menggosok-gosok kesan lebam yang kecil di lengannya,  cubitan Hidayat sebentar tadi.  Tetapi saya tidak bangun untuk mengambil rotan itu.  Biarlah untuk sekian kali saya kendurkan marah si adik dan radang si kakak dengan lembut.  Sedang si bongsu yang menjadi punca berantakan ini terus bersahaja, seperti tidak ada apa-apa berlaku langsung.

"Tengok, dia selamba aje.  Kamu berdua bergaduh kerana dia."  Dan bermulalah ceramah pendek untuk petang ini.  Ya, kita semua sering melakukan dosa kerana kita bukan nabi atau rasul.  Hanya nabi dan rasul yang maksum, dipelihara Allah daripada dosa.  Allah sangat suka kepada orang yang bertaubat. 

Dan itulah bezanya antara orang lelaki dengan orang perempuan.  Orang perempuan lebih prihatin dengan hal kecil-kecil. Kakak tegur adik dan adukan perlakuan adik kepada mama kerana dia tak suka tengok adik buat macam tu.  Kalau kakak tak tegur, Dayat pun tak tegur, nanti adik buat macam tu kat dalam majlis, macamana?  Adik sapa, adik Dayat jugak!


"Kenapa kita buat dosa, nabi dan rasul tak buat dosa?"
"Boleh ke kita nak jadi wali Allah?"
"Macamana nak jadi wali Allah?"

Hidayat terkebil-kebil dengan bekas airmata yang kering di tubir mata dan pipinya.  "Jangan biarkan syaitan bersorak gembira dengan tangisan marah kamu ni.  Dia sedang bergerak di dalam saluran darah kamu dan berbisik menyuruh kamu terus marah dan bergaduh.  Mama nak denda kamu tetapi tak mahu merotan.  Kita tukar cara denda."

Penat sebenarnya jika saya turut naik darah dengan perlakuan anak-anak seperti ini.  Alasan yang sangat remeh, mereka bergaduh sakan.  Walhal beberapa ketika sebelum itu saya mendengar gelak tawa mereka tiga beradik.  Tadi si abah terkejut tatkala balik sebentar untuk rehat tengahari.  Khemah besar untuk enam orang menyekat jalan, memenuhi ruang famili di tengah rumah ala chalet kami.  Tak sabar nak berkhemah di pantai hujung  minggu, Hidayat tetap mahu khemah yang baru dibeli berharga $37.90 ini di dalam rumah.

Kalaulah peristiwa hari ini akan mereka ingati sampai bila-bila ...

Saya bangun mengambil tasbih hitam 100 biji dan duduk kembali di hadapan anak-anak ini.  Kami saling berpandangan.  "Kelmarin pertama kali mama denda kamu begini.  Hari ini kita buat sama-sama ya.  Mungkin ini cara yang lebih kamu suka daripada kena rotan atau kena marah, kan."  Masing-masing angguk.  Saya imbaskan pada mereka saat kemarahan menerpa si abah.  Anak-anak ini geleng kepala pula.  Mereka masing-masing tidak suka mendengar abah marah.  Kata-kata abah hebat sangat. 

Petang ini, kami beristighfar bersama-sama sebanyak 100 kali.  Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya dan terus memberi petunjuk untuk mendidik anak-anak ini dengan cara berhikmah.  Semoga hati ini kembali bersih dan jernih agar dapat menerima hidayat Allah tanpa titik-titik hitam yang menghalang.  Tidak lama kemudian Hidayat dan kakaknya saling bersalaman sambil mengulum senyum. 

Lain kali buat nakal lagi, tambah istighfar sehingga 1000 kali.  Lebih afdal daripada menerima hukuman rotan di betis atau tapak tangan.  Hati yang panas membara pun menjadi sejuk, menambah pahala pula, insyaAllah.

Selamat hari lahir buat Naqib

Sudah jam 11.28 malam.  Si abah sudah berdengkur tetapi budak-budak tiga orang ni sedang sibuk menulis sesuatu di kertas masing-masing.  Hari ini adalah hari lahir Along yang ke 14 mengikut tahun Masehi.  Tadi Hurilain membantu saya tampal salafon tape di lubang punch cerita tentang Imam Syafie.  Fotokopi ini akan saya poskan kepada Naqib.  Mudah-mudahan dia dan kawan-kawannya mendapat sedikit sebanyak pengajaran daripada kisah perjalanan imam ini semenjak remaja dalam mencari ilmu. Di dalam susunan tarikh lahir imam empat mazhab Sunni, Imam Syafie adalah imam yang ketiga.  Hidup dalam kemiskinan tetapi dikurniakan Allah hati yang terang benderang dan daya ingatan yang kuat sehingga dapat menghafaz al-Quran dan hadis dengan mudah semasa masih kanak-kanak.

Hidayat menulis sesuatu, melukis dan kemudian melipat menjadi kereta stakom.  'Along, sila baca di dalam' tulisnya di atas kereta stakom.  Tentu ada cerita dia tak jadi berkhatan tu ...  Hurilain menulis sedikit pengalaman pahitnya (tapak kaki melecet) semasa melawat Gua Niah tempohari.  Ucapan hari lahir dan kata-kata hikmah yang ditulis dengan pen berwarna-warni.  Si bongsu lain sedikit.  Dia menulis, memasukkan beberapa keping wang kertas dan siling Brunei ke dalam sampul surat putih, terus digam.  "Tak boleh tengok," katanya.  Setiap kali menulis untuk Along, mesti dia mahu mengirimkan wangnya juga.  Hmm entah apa-apa budak-budak ni.

Kotak pipih berisi Ferrero Rondnoir dan Ferrero Roche, key chain yang dibeli di gerai Gua Niah, biskut Hi Oats dan minyak wangi Aziz Ahsan bebas alkohol, serta tiga keping surat A4 sudah dibungkus dengan brown paper.  Akan dipos laju esok, dan insyaAllah selepas tiga hari bekerja akan sampai ke penerimaan Along, mungkin Sabtu ini.

Selamat hari lahir yang ke 14 buat Muhammad Naqib.  Semoga sentiasa di dalam pemeliharaan kasih sayang Allah dan beroleh bantuanNya untuk menghafaz ayat-ayatNya di lidah dan di hati.

Esok 9 Muharram, disunatkan umat Islam berpuasa diikuti 10 Muharram untuk membezakan dengan puasa orang Yahudi, atau menggandingkan 10 dengan 11 Muharram.  Menurut hadis riwayat Muslim, nabi SAW berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut Nabi Musa a.s diselamatkan daripada buruan Firaun.  Berdasarkan hadis nabi SAW juga, barangsiapa yang berpuasa pada 10 Muharram akan diampunkan dosa-dosanya setahun yang lepas, riwayat oleh Muslim.  Selamat berpuasa kepada sesiapa yang mengerjakan dan semoga amal ibadah diterima Allah.

Ohh ... ada Kak Semuncit berlari-lari di atas tungku dapur itu!!!  Harap-harap Kak Semuncit masuk perangkap malam ini.  Tak sanggup ... satu persatu peket makanan rabik dan koyak dikerjakannya.  Ya Allah, peliharalah kami dan barangan  kami daripada haiwan perosak ini.  Ameen.

Monday, December 13, 2010

Tak valid dah ...

Masing-masing terpaku seketika.  Voucher diskaun bernilai $600 dibelek-belek.  Tidak kedengaran ucapan tahniah pun.  Voucher berpindah tangan, dibawa ke dalam.  Sok sek sok sek.  Entah apa. 

"Eh, ini voucher sudah tak valid laa ... "  terdengar suara yang seolah sengaja dikuatkan supaya sampai ke telinga kami.  Suara itu ralat sahaja nadanya.  Ohh kasihan kami.  Dah tak boleh pakai rupanya voucher yang baru sahaja diterima dan dibuka di depan mereka sebentar tadi.

Pemilik suara yang tadinya berkata-kata kepada temannya, kini mengalih pandang ke arah kami dan mengulangi lagi ayatnya tadi.  Iye la, kalau voucher setakat $50 macam yang saya dapat iaitu sama macam semua voucher yang ditayangkan kepada kami di atas meja ini,  tentu tetap valid SAMPAI BILA-BILA.  Tapi dek kerana rezeki abah Naqhuhines dapat voucher $600 itu, tawaran untuk diskaun yang membuatkan mereka sendiri terkejut dan terkujat ini SUDAH TAMAT SEBENARNYA. "Err tapi kalau encik nak gunakan voucher ni boleh, mesti buat pembayaran tunai hari ini juga." 

Saya dan abah Naqhuhines saling berpandangan dan angkat kening.  Humm ... taktik dalam poket.

Itulah taktik sebenarnya.  Tetapi bukan kami yang mencari mereka, sebaliknya mereka yang mendapatkan kami.  Memujuk ajak duduk di meja sesudah mengumpan (ohh sudah termakan umpan) hadiah percuma iaitu pen yang gemuk dan buku nota.  Ok la, dapat digunakan untuk senaraikan100 impian 2011 nanti ... hehh. 

Dan mereka bertanya macam la kami ni kawan sekolah rendah dahulu yang dah bertahun-tahun putus hubungan dan tiba-tiba terserempak semula.  Ishh ...

"Bang, napa abang tak datang semalam atau kelmarin je?" tanya saya kepada abah Naqhuhines tatkala kami melangkah keluar dari pintu Giant Rimba ini.  Ketawa.  Peralatan elektrik yang dipamerkan semuanya berharga $1000 ke atas.  Hanya mereka bersikap serkap jarang menarik pelanggan, kami bukan orang yang tepat yang memerlukan barangan yang mereka tawarkan.  Kalau semalam atau kelmarin atau tahun lepas pun, andai jatuh ke penerimaan anda voucher $600 itu, ia memang TIDAK VALID melainkan anda beli secara TUNAI  pada hari ini juga!

Sunday, December 12, 2010

Dah kawan balik

Hari ini mesti bertegur balik.  Sudah tiga hari semenjak Khamis 9 hb lepas, iaitu hari penuh tragik, sadis, sedih, trauma, pilu hiba apa sahaja la ... buat Hidayat.

Tadi pagi, si abah senyum-senyum, "Meh duduk sini,"  katanya pada Hidayat yang duduk agak jauh darinya.  Waktu itu hanya mereka berdua sahaja di ruang tamu menonton tv (saya mengendap).  Hidayat geleng-geleng.  Malu agaknya.  Sudah beberapa kali dia ajukan pertanyaan pada si abah, macam biasa gelagatnya tu tapi tidak dilayan.  Ini, dia macam jual mahal pulak.

Kemudian Hidayat pula muncul di dapur dan bercakap sesuatu kepada abahnya.  Tiada jawapan.  Abahnya buat selamba je.

"Napa tak jawab dia tanya?"
"Saja je."  jawab si abah.  Dia memasak gulai otak lembu.  Kak Leha beli dan minta dimasakkan.  Bersama hirisan daun kunyit, baunya sungguh menyelerakan.

Akhirnya, tatkala di dapur waktu sarapan pagi, 'perang dingin' abah dan Hidayat pun tamat.  Hidayat bertanya dan abahnya menjawab macam biasa.  Macam tak ada apa-apa dah ... Syukur alhamdulillah.

Sebentar tadi saya mengorek hati si anak, "Abah dah kawan Dayat ke?"  Budak ini senyum lebar dan angguk kepala.  Macam selalu dia memegang remote tv di tangan, walhal abah sudah beri amaran jangan sesiapa pegang remote dan bawa ke hulu ke hilir.  Hmm waktu ini abah sedang berdengkur pulak.  Qailullah, isk.

"Abah cakap apa?"
"Ntah, tak ingat."  La pulak.  Inilah masalah budak yang suka menonton tv.  Hanya ingat cerita yang ditonton dan sudah mula bawa pinggan nasi makan di depan tv.  Memang nak kena benteras ni!

"Mulai hari ini ..."  pengumuman pun dibuat.  "Tak dibenarkan makan di depan tv.  Mesti makan di dapur bersama-sama."  Kalau diorang kata tak nak makan?  "Mesti makan tak boleh tak makan.  Tak ada makan di luar waktu makan.  Jadi tv mesti ditutup."

Hehehe ...

Menurut buku Dr. Danial, ada lapan kesan negatif kesan menonton tv dan antaranya ialah memisahkan seseorang dengan masyarakat sekitar.  Antara permulaannya ialah: "Saya tak nak makan sebab dah kenyang," walau sebenarnya bukan tak nak makan tetapi sayang nak meninggalkan cerita yang sedang disiarkan.

"Hidayat, cerita Superman tu dalam 15 minit aje sudah memaparkan 87 aksi keganasan tau!  Kat Sabah dulu ada 4 orang budak mati sebab terjun bangunan sebab nak tiru Superman terbang.  Mickey and Donald pun ada keganasan."
"Eh mana ada mama.  Mickey main sorok-sorok je."  Bab Superman tu dia tak sentuh pula.
Saya cucuk-cucuk perutnya dan dia ketawa.  Girang nampaknya, abah dah kawan balik!

"Okey, kalau ada kartun panggil mama.  Nanti kita kira sama-sama."  Ni menambah kerja makcik je ni, tapi tak mengapalah, sebab nak beri pengetahuan dan pendidikan pada mereka.  Sebelum membaca fakta ini pun, memang kita boleh lihat sendiri betapa kadang-kadang ada aksi ganas dan lucah pada kartun-kartun itu.  Moralnya mudah, orang baik lawan orang jahat dan orang baik menang setelah puas kena hempuk dengan si jahat.

Avatar kartun budak lelaki botak yang keluar dari ais tu sebenarnya kartun kegemaran saya.  Sebab?  Dia comel dan ketiga-tiga watak tu lucu juga.  Tetapi tak de la mesti menonton.  Selalunya kalau Hidayat terserempak cerita ini, dia sanggup panggil saya yang sedang berborak dengan Kak Leha kat dapurnya.  Ish ...  dan tak de la sampai berhenti memasak semata-mata nak tonton Avatar, hanya dapatlah saya berhenti berborak pada waktunya. Kak Leha kaki borak, dan terkadang saya pulak terlebih tanya dan Kak Leha akan beri jawapan berangkai dari satu isu ke satu isu lain.

Haa, ada lagi satu kartun yang baru dua tiga kali saya tonton, termenonton sebenarnya, iaitu siri animasi Ibnu Battuta pengembara yang hebat tu.  Ia memang animasi yang hebat.  Saya tak tau sama ada cd animasi ini ada dijual. Kalau ada, saya mesti beli.  Kartunnya hidup dan ada pengajaran.  Jadi walau saya tak kesah sangat bila Hidayat panggil untuk Avatar, tapi siri Ibnu Battuta saya mesti tonton.

Selain itu, Wonder Pet pun ok la.  Comel dan ada moral baik, walaupun ia bukan kartun orang kita.  Budak botak Upin Ipin pun bagus, semoga bertambah maju lagi dengan siri yang lebih baik.  Lain-lain, pening la. 

Anda tonton drama Taubat malam tadi?  Saya termenonton di akhir cerita ketika Zila Bakarin sedang mengomel pada suaminya.  Ingatkan drama Filipina yang suka terjerit-jerit tu.  Malam tadi saya lelap awal sebab terlebih mengantuk.  Tiba-tiba abah Hidayat mengunjukkan telefon bimbit, tertera sms dari Mak Ngah Ani budak-budak ni, "Salam, mak tanya Dayat dah berkhatan ke?"  Ohh terlupa nak memaklumkan tentang budak tu pada bonda saya.  Saya minta bonda mendoakan Hidayat semasa kami di Miri kelmarin.  Dan sesudah membalas sms, saya tidur-tidur ayam di depan tv.

Sapa pelakon perempuan ni, comel betul bertudung iras pelakon Suhana dalam filem Bukit Kepong tu.  "Haa, mesti mak budak pempuan tu sebenarnya Munirah yang dicari tu."  kata abah Hidayat.  "Dah boleh baca dah."

Cerita Melayu ... dah tau dah, katanya lagi.
Abih kalau dah tau, cuba abang tukar jalan cerita tu jadi lain, kata saya pula.
Nantilah ... la bertangguh pulak.  Hampir betul, sebab mak budak lelaki tu yang Munirah sebenarnya.  Markah sikit je la.

Seketika terkenang Ketika Cinta Bertasbih.  Anna tetap bertudung ketika adegan di dalam rumah bersama 'muhrim'nya.

Realitinya, manusia mahu memberi pengajaran kepada masyarakat melalui pengkisahan yang sangat real di kaca tv.  Untuk menjadikan ia sangat berkesan, semuanya mesti REAL walaupun kita tahu itu lakonan semata.  Ketika ilmu semakin jauh, kita digantikan dengan dengan kisah teladan di kaca tv.  Ohh ...

Saturday, December 11, 2010

Apa-apa aje laa ...

"Jering $2,"  saya meminta kepada penjual yang kelihatan sibuk mengemas barang masuk ke dalam van.  Baru jam 10.38 pagi.  Sedangkan orang lain masih menanti pelanggan.  Gerai ini terletak di hujung sekali, paling jauh dari tumpuan pelanggan.  Dan hanya di gerai ini ada jualan selonggok besar jering tua.  Tak dapat jering muda pun tak pe la ... memenuhi hajat Pak Meon. 

"Sudah mahu balik?"  tanya saya dengan slang Brunei yang tak menjadi.  Tiada jawapan.  Si suami terus menghulurkan jering.  Terima kasih saya pun tiada balasan.  Hmm tak mengapa.  Hanya si isteri yang berada agak jauh sesekali melayani pelanggan ini yang 'tak reti' tengok orang nak berkemas balik.

Sampai di rumah, tatkala mengangkat barang dari bonet kereta, saya terpandangkan jering dan terdiam sejenak.  "Agaknya orang tadi tu ada masalah.  Mungkin ada kecemasan, atau ada anggota keluarga yang meninggal.  Orang lain masih berjualan, mereka terpaksa berkemas barang."

"Ish mama ni.  Napa pikir macam tu?"  sambut Hurilain.  "Ntah-ntah ..."

"Apa ntah-ntah?"
"Mungkin pakcik tu nak kawin lagi satu tapi isterinya tak bagi."  Hurilain pun kena marah pulak dengan saya. 

Beginilah,  seeloknya usah kita membuat sangkaan kepada orang apatah lagi sangka buruk.  Percuma sahaja mengundang dosa.  Sanggup ke sesaja nak pergi kat dia yang tak dikenali dan mohon maaf atas sangkaan tadi?  Sebaiknya baik sangka sahaja.  Bersihkan hati dan jernihkan fikiran. 

Macam juga kalau kita memandu dengan hemat dan cermat.  Tiba-tiba di selekoh tajam atau garisan berkembar, ada kereta memotong laju tanpa memperdulikan keselamatan orang lain.  Hmm mungkin pemandu tu sakit perut tahap gaban dan terpaksa memecut untuk sampai ke bilik air terhampir.  Mungkin juga si isteri sedang sakit nak bersalin di rumah atau apa sahaja ... macam juga di satu ketika dulu kita pun terpaksa tekan minyak dan bagi signal kecemasan, potong dan mencelah kenderaan yang berderet sambil angkat tangan pada kereta peronda yang sedang parkir di bawah pokok. 

Selamat memandu kepada anda yang sedang dan akan memandu.  Pandu cermat jiwa selamat dan ingatlah pada yang tersayang.  Pesanan kepada diri sendiri juga.  Dan dan dan janganlah lupa membaca doa naik kenderaan, ringkas sahaja.  Hidayat sudah menghafal doa ini semenjak dia bercakap pelat lagi.  Jadikan rutin mengingatkan, "BACA DOA!" apabila mula naik kereta dan tutup pintu kereta.  Berhentikan dulu sembang-sembang yang lain.  Baca Ayatul Kursi dan tiga Qul.  Semoga perjalanan sentiasa dalam selamat pergi dan balik. 

Huhh pagi ni semacam pulak.  Sekadar ingat-mengingatkan sesama kita.  Hehh ...

Pagi semalam jam 730 pagi serentak dengan Kuliah Mufti di Nur Islam, mak pun bagi kuliah di telefon.  "Hahh, camana yang mak cakap semalam?"  Ohh rupanya mak nak follow up offer dia semalam. 

"Err tak pe la mak." serba salah sedikit rasanya.  Tetapi keadaan tidak sesuai untuk menerima tawaran mak.  "Cam gini la mak,  mak masukkan je duit tu kat dalam akaun Intan hehehe ..."  Kalau dapat kat saya, alhamdulillah.  Murah rezeki mak, melimpah ruah insyaAllah.

Naqib tiba-tiba miss call dari madrasah.  Dia mengabarkan pelajar tidak lagi dibenarkan menyimpan telefon bimbit pada ustaz.  Ringkasnya, tak perlu ada telefon bimbit langsung.  Bulan Mac tahun depan, semua pelajar akan bercuti seminggu dan sesudah itu masing-masing tidak perlu lagi membawa telefon bimbit ke madrasah. 

Semakin lama semakin ketat peraturan yang dikenakan kepada pelajar.  Tentu tindakan ini bukan dibuat sebarangan tetapi hasil musyawarah pihak pengurusan atas.  Sememangnya, walaupun mungkin sebulan sekali mereka dapat memegang telefon bimbit masing-masing, tetapi dalam beberapa jam itu mungkin terlepas sesuatu yang boleh menghilangkan kejernihan hati.  Apatah lagi telefon bimbit semakin lama semakin canggih.  Macam-macam ada dan boleh ada.  Sedangkan pelajar yang sedang di umur remaja ini, sentiasa diselubungi perasaan ingin tahu dan mahu mencuba.  Lagipun sekadar mahu menghubungi ibu bapa, pihak madrasah sudah menyediakan sebuah telefon untuk kemudahan pelajar. 

Jadi, mujurlah Naqib tak sempat nak beli telefon bimbit baru macam yang dipintanya. 

Alhamdulillah, dia sudah melepasi juz 25 dan masuk juz 24.  Lama juga dia mahu menguasai juz 25, katanya agak susah dan mengelirukan.  Mungkin kalau belajar Bahasa Arab, lebih mudah menghafaz kerana memahami ayat yang dihafal.  Jadi apa kata kita masukkan impian menguasai bahasa syurga ini dalam senarai perkara yang ingin kita buat mulai tahun ini.  Mama dah beli kamus Bahasa Arab dah ... tapi tinggal kat Sijangkang. 

Mama dan abah sentiasa mendoakan Along.  Semoga Allah SWT memudahkan Along menghafaz al-Quran di lidah dan di hati seterusnya menjadi hafiz yang sangat taqwa.  Semua orang turut mendoakan Along. 

Hidayat?  Hmm tiada komen hanya kasihan pada dia.  Hidayat lebih berhati-hati terhadap abahnya.  Si abah masih memboikot anak lelaki kesayangannya ini.  "Jangan lebih tiga hari ya!" saya mengingatkan dia.  Sebenarnya abahnya sentiasa memerhati dalam diam.  Namun tiada sapaan dan balasan senyuman.  Wah, hebat juga abahnya kali ini menahan diri.  Tak pernah macam ni pun.  Hehehe ... tapi acara berkhatan tetap bertangguh.  "Tak payah sunat!"  bentak si abah kelmarin.  Mungkin ke umur 12 tahun baru Hidayat berkhatan? 

Macamana agaknya si abah nak memulihkan semula 'perhubungan yang tegang' dengan anaknya ni ye ... saya tak akan lepaskan peluang menonton momen yang istimewa tu.  Mungkin saling berbalas senyum atau ... apa-apa aje!  Apa-apa aje laaaa ...

Thursday, December 9, 2010

Trauma

Hampir 12 tengahari. Vios putih masuk di persimpangan jalan, laju melepasi saya tanpa sebarang signal terus masuk ke tempat parkir. Mengesan sesuatu yang kurang pasti, saya menghampiri.  Pintu penumpang belakang terbuka perlahan dan muncul seorang budak lelaki memeluk kain pelikat hijau dan matanya berkaca.

Masa berlalu seperti biasa.  Namun suasana sunyi dan bungkam.  Setiap orang kelihatan sangat bijak membawa diri sendiri.

Jam 4.30 petang, saya menerima panggilan telefon dari mak.  "Haa, macamana Hidayat?"  tanya mak setelah berbasa-basi ehwal keluarga.
"Hmm ... dapat inject sebelah je.  Tak sempat nak inject sebelah lagi,"  bicara saya disambut gelak tawa mak. "Anak kau sorang tu lain sikit,"  sambung mak.  Orang tua memang cekap membaca feel cucunya.

Gagal menggunakan prosedur biasa, doktor mampir untuk meneruskan dengan bius sepenuhnya.  Tetapi usaha mendapatkan darah untuk pemeriksaan juga tak berjaya.  Hidayat, sesudah abahnya keluar untuk kembali bekerja, menunjukkan kesan lebam bekas cubitan di lengan kirinya.  "Abah cubit ... kuat."  Matanya berkaca semula.


"Lagi?"
"Abah lempang kat sini."  Dia menunjukkan pipi kirinya.
"Kat depan semua orang?"  Hidayat mengangguk.
Ohh ... kali pertama dulu kami mendengar kisah seorang anggota tentera melempang si anak yang enggan dikhatankan, dari pegawai perubatan yang ramah.  Kami kerut dahi dan geleng kepala, 'tak patutnya!!!"  Hari ini, cerita yang sama berulang kepada ... anak saya pula!

Kasihannya budak ini!

"Macam ni la, mak bagi tambang ekau balik kampung berdua, sunat kat sini."  Mak memberi saran.  Uhh ... praktikal ke?  Abih, budak perempuan berdua tu macamana?  Abahnya izinkan ke kami balik berdua semata-mata untuk menyunatkan si Hidayat ni?  Balik semua?  Out of budget.  Hmm ... mak terkadang sangat praktis berfikir dan bertindak.  Firasat saya, sekadar bertanya pada abah Hidayat boleh tetapi saya sudah jangkakan jawapannya.

"Mak nak datang sana tak boleh.  Baby mak ni sapa nak jaga."  Baby yang mak maksudkan ialah wan saya yang sudah menjangkau 85 tahun umurnya.  Masih sihat dan kuat ingatan, hanya lututnya yang tidak berdaya gara-gara tersungkur tatkala 'memandai-mandai' rajin menyapu daun rambutan yang gugur di laman belakang.  Saya bersalinkan Hanessa jam 4 pagi 16 Mac 2005, dan wan separuh pengsan di tanah pada Asar petangnya.  Jadi sudah lima tahun wan bertatih menggunakan tongkat.  Kasihan wan.

Masa berlalu seperti biasa.  Namun suasana sunyi dan bungkam.  Setiap orang kelihatan sangat bijak membawa diri sendiri.  

Hidayat tidak dibenarkan menonton tv.  Dia hanya mampu mencuri-curi pandang dari jauh.  Semua permintaan DIBEKUKAN, kata abahnya buat sekian kali.  Jangan harap!!! kata abahnya dengan berang.  Namun kembali bertemu di waktu petang, raut si abah sudah lembut kembali.  Sudah ada senyuman dalam geram.  Hidayat tetap tidak diendahkan.

Kasihan dia!

"Cubit sikit je.  Lempang pun buat syarat je,"  kata abah ini ketika saya pertikaikan tindakannya.  "Tak kuat pun."
"Iye la, tak kuat kat awak tapi kat dia ..."

Memang si abah geram sungguh, malu dua kali dek anaknya.  Tambahan tadi ramai pula yang datang untuk berkhatan.  Ramailah yang menonton drama live Hidayat.  Kata abahnya, raungnya macam kena cubit tatkala hendak dibawa ke bilik mengambil darah, "jadi biarlah betul-betul kena cubit!"  kata abah puas hati.

Kasihan dia!

"Tak apalah, satu hari nanti dia akan banggakan awak di depan orang ramai, insyaAllah."
"Nantilah dia dah besar sok, aku nak ketawakan dia pulak time anaknya bersunat!"  Nasib Hidayat nampaknya dapat bapak yang terejal macam ni.  Mudah-mudahan panjang umur kita melihat cucu-cucu ... hehehe.  InsyaAllah.

Dan saya bagai terdengar suara mak komplen tindakan  satu-satu menantunya ini dalam telefon tadi.  Aduhh ...

"Tadi ada juga budak menangis macam Dayat,"  Hidayat memulakan ceritanya pula tatkala kami selesai berjemaah solat Zuhor.  Ohh ...  Dia mengunjukkan lagi tanda lebam di lengan kirinya.  Saya gosok-gosok supaya kurang pedih di hatinya.  "Hari Isnin ni inject sebelah lagi ke?"  tanyanya.
"Tak apalah, kita tutup cerita ni untuk tahun ni."  Seandainya doktor dapat mengambil darah Hidayat tadi, temujanji akan dibuat untuk mengkhatankannya dalam tidur Isnin ini.

"Berdosa ke kalau tak sunat?"
"Dosa besar ke dosa kecik?"
"Masuk neraka ke?"

Satu persatu anak ini mengajukan soalan demi soalan kepada saya.  Air mukanya sayu dan matanya berkaca.  Hidayat, semua lelaki Islam wajib berkhatan.  Tentang syurga dan neraka, hanya Allah SWT yang menentukan.  Mama doakan Hidayat akan berkhatan juga nanti.

Kasihan sungguh pada dia!

Mak kata, bahawa sebenarnya Hidayat tetap diserbu rasa bersalah, tetapi macam kata doktor pula, bahawa Hidayat telah trauma dengan perihal berkhatan ini.

Kasihan dia!

Kasihan sebenarnya, kata abah Hidayat.  Cubit dan lempang tu main-main je.  Gertakan si bapa semata.  Manakan tak kasihan pada anak darah daging sendiri.  Hanya terkadang alah dengan kerenah si anak yang diluar dugaan.  Teringat tatkala menghantar Hidayat masuk ke kereta pagi tadi, dia duduk di tempat duduk belakang.  "Aik, napa tak duduk depan?"

"Tak apalah, karang mana tau Hidayat tak jadi sunat pulak ..."  itu jawapannya membuatkan saya dan si abah saling berpandangan.  Rupa-rupanya, memang tak jadi sunat!  Mungkin rezeki Hidayat juga untuk berkenduri menjamu jiran tetangga dan sanak saudara di Sijangkang hujung tahun depan, kata si abah lagi.  InsyaAllah.

("Novel tu bila nak siap???"  tanya abah Hidayat macam selalu.  Ohh ...)

Wednesday, December 8, 2010

5, 4, 3 ...

"5, 4, 3?"
"Ye lah, macam biasa."

"Letak kicap, boleh?"
"Suka hati lah."

Sebentar kemudian, kedengaran tung tung tung dari dapur.  Hurilain sedang menumbuk rencah nasi goreng, hidangan kegemarannya.  5 tangkai cili, kurang pedas kurang sedap.  4 biji bawang putih, dan 3 biji bawang merah (tapi kalau balik kampung, sukatan bawang jadi terbalik), serta segenggam kecil ikan bilis.  Tumbuk dan tumis, masukkan kobis dan akhirnya nasi putih.  Dia suka letak telur dan kicap.  Juga sudah pandai goreng sardin, telur dadar dan tumis sayur.  Sudah training potong daging semasa nak masak daging korban kelmarin.  Cuma siang ayam dan ikan belum berkesempatan.

Jadi, ringan sedikit bebanan di dapur untuk saya.  Memang abah Hurilain pun sudah pesan awal-awal sebaik sahaja cuti sekolah bermula, "Haah, cuti ni jangan nak seronok je.  Ekau tu anak pempuan.  Kena la pandai masak.  Tengok macam abah, umur 7 tahun dah masak nasi, goreng telur."  Ayat yang sama diulang-ulang macam biasa.  Iye la, mana ada budak lelaki 7 tahun yang sanggup masuk dapur dan memasak sementara mak ayah pergi motong getah kat kebun.  Kakak abang pula pagi-pagi dah pergi sekolah.  Hanya dia yang masuk sekolah sebelah tengahari.  Pengalaman yang jauh berbeza dengan diri saya.

Nampaknya Hurilain semakin yakin untuk memasak tanpa pantauan.  Saya ... huhh, belikat kanan dan bahu kanan sangat sengal dan sakit sebenarnya.  Abah Naqhuhines balik karang petang, kenalah mohon bantuan dia lagi untuk tolong urut anggota yang sakit.  Hmm kena survey tempat urut yang bagus di sekitar kawasan kalau macam ni.  Sudah lapan bulan saya tidak mendapatkan perkhidmatan dari tukang urut yang mahir, semenjak datang ke daerah ini. 

Esok, Hidayat akan ke hospital Tutong lagi bersama abahnya.  Kami telah bertanya sama ada dia benar-benar ikhlas dan sungguh-sungguh mahu dipotong kali ini, bimbang malu dua kali.  Hidayat mengangguk-angguk sambil tersengih.  Hanessa membaca doa dan menghembus ke air lalu memberi abangnya minum.  Mudah-mudahan berkat doa orang yang belum berdosa, jadi keras semangat si abang.

Novel Kiswah saya sembunyikan dari Hurilain.  Hanya saya dan abahnya  yang membaca novel ini.  Kami sama-sama bersetuju ia tidak sesuai untuk Hurilain.  Novel sebegini sudah tidak ada peluang untuk lepas ke khalayak pembaca jika di tanahair.  Esok, ketika Hidayat ke hospital bersama abahnya, saya akan ke Perpustakaan Pandan untuk mengembalikan novel terakhir saya untuk tahun ini setelah lewat tiga hari dari tarikh pemulangan.

Malam masih awal tetapi kepenatan percutian kelmarin masih belum hilang rasanya.  Ya, penatnya muncul apabila sudah kembali ke rumah.  Mahu mengunjungi blog Akhi Ahmad Kamal pun rasanya tidak sempat ni.  Tadi siang saya sempat berziarah melalui telefon bimbit sahaja, membuatkan kedua biji mata saya semakin kecil dan penat.  Ada pertanyaan juga untuk bapa kawan Naqib tetapi bertangguh lagi buat sekian kalinya.

Huhh, tak tau nak bagi tajuk apa pada entri ni.  Perasaan sejuk sesejuk cuaca, apatah mengambil lebih setengah jam untuk dapat masuk ke blog sendiri.  Berjumpa lagi di lain waktu.  Hati-hati apabila likes sesuatu di fb atau apabila membuat perkongsian informasi di blog peribadi, supaya berkongsi pahala bukan sebaliknya.

Mungkin sesekali perlu bertanya diri ~ mengapa perlu menulis di sini?



Tuesday, December 7, 2010

Bukan Sebarangan Penjual Soya

Saya sedang memerhatikan anak-anak mandi sambil memikirkan apa barang yang sudah terlupa untuk dibawa turun ke tepi kolam mandi ini.  Ahh, buku, kamera dan tuala mandi.  Seketika tadi bertembung dengan mamat yang menjaga fitness centre, dan dia mengatakan tuala untuk pengunjung yang mandi di kolam hanya tersedia jam 10.  Masih teragak-agak, perlukah saya mandi juga?  Larat ke? Jangan menyesal pulak dah sampai rumah kang baru teringin nak mandi, makcik! Ishh ...  Budak bertiga terus mengajak dan separuh mendesak.

Dari kolam ketiga yang berjajaran dengan kolam kedua sedalam 1 meter ini, seorang lelaki hitam manis tercegat di dalam air memerhatikan saya.  Di hadapannya ada tiga orang kanak-kanak lelaki sedang bermain air.  Kami saling pandang-memandang dalam jarak 5 meter lebih kurang.  Err macam kenal tapi tak ingat di mana.  Ishh sapa pulak ni pandang-pandang semacam je.  Rasa serba salah dan segan berbaur.  Saya pandang semula kepada anak-anak saya yang sedang terkinja-kinja mengajak mandi.  Pandang lagi lelaki hitam manis rambut tegak sedikit itu, dan dia terus tercengang melihat saya.  Tiba-tiba, "Kak ... ?"  Dia agak menjerit.  Saya ternganga sambil mengangkat dagu. 
"Saya yang jual soya kat Sijangkang tu!"

Ohh ... serta-merta ingatan menyerbu.  Secepat kilat saya melangkah mendekati tebing kolam berdekatan dengannya.  Ya, ya,  sah budak ni ialah penjual air soya dan taufu fa kegemaran kami sekeluarga di pasar Isnin di depan Sekolah Kebangsaan Sijangkang.  Tidak lama kemudian saya berkenalan pula dengan isterinya, Yati,  orang Tumpat.  Ah, kami dah macam kenalan lama yang baru bersua pulak di tepi kolam.  Tak boleh jadi, saya mesti naik ke tingkat 5 semula untuk memanggil 'pakcik degil' oppss ... abah Hanessa (gurau je la!!) yang sibuk nak main Mafia dulu.  Tadi sempat dia sound saya supaya tidak memaksa dia turun mandi di kolam bersama anak-anak.  Huh, tak sebulu juga kadang-kadang.  Rupa-rupanya kalau kita ulang-ulang pelawaaan yang sama, nadanya seperti memaksa walaupun tiada niat sedemikian.  Ni, mesti dia tak mengelak lagi.  Tentu ada banyak cerita nak dikongsi bersama Fauzi usahawan baru kita di Bintulu ni.

Orang Sijangkang tentu kenal benar dengan penjual air soya ini.  Air soyanya enak, sederhana manis dan tidak mudah basi.  Apabila dibiarkan beberapa lama, tidak ada keladak yang terbentuk.  Oleh kerana itulah air soya Fauzi menjadi kegemaran kami.  Tambahan, orangnya tidak lokek senyuman.  Kadangkala saya tidak singgah membeli tetapi tetap berbalas senyum.  Bukan apa, jari dah penuh dan dompet pula dah kering hehe ...

Tatkala abah Hidayat berbual bersama Fauzi, saya pula menyesuaikan suhu badan di dalam air sambil menduga-duga sendiri kemampuan menahan nafas dalam keadaan batuk dan hidung tersumbat begini. Setahun sekali berjumpa kolam renang, setengah jam saya mencari keyakinan.  Akhirnya, alang-alang dah masuk kolam kanak-kanak 0.5 meter ni, biarlah basah betul-betul.  Yang seronok sakan tentulah budak-budak bertiga ni.  Kami beredar ke kolam kedua dan buat sekian kalinya selepas setahun, saya berenang lagi di bawah air.  Wahh, memang mengujakan!  Tidak lama kemudian, Yati pun turun sama ke dalam air dan bersembang lagi sambil anak-anak bermain di sekeliling kami. 

Kagum mendengar cerita-cerita panjang yang diringkaskan oleh Yati tentang perjalanannya hingga ke Bintulu.  Rupa-rupanya sudah setahun mereka sekeluarga menetap di daerah tersebut semenjak Fauzi merintis perniagaan mengeksport produk kelapa ke Jepun bersama rakan kongsi dari negara matahari terbit itu.  Barulah saya tahu, selama ini saya membeli air soya seorang pemegang ijazah ekonomi dari universiti Jepun yang mahir berbahasa Jepun, demikian juga dengan isterinya memiliki ijazah IT dan mereka bertemu di negara bunga Sakura itu juga. 

Sekadar pertemuan dan perkenalan yang terlalu singkat, saya ingin memelihara persahabatan yang baru terjalin di perantauan ini dalam kepungan rasa hormat yang wajar.  Jadi hanya setakat ini yang dapat dikongsikan tentang kisah menarik Fauzi dan Yati.  Tentu mereka pun tidak menyangka sama sekali.  Psst maaf ye.

Sesuatu yang mengetuk pemikiran saya. Selain daripada sikap diri yang positif dan sentiasa ada matlamat untuk maju, kita perlu gunakan usia muda dengan sebaik mungkin untuk mencari ilmu dunia dan akhirat seimbang.  Fokus, sentiasa beristikharah dan cepat berfikir serta bertindak.  Tidak putus asa.  Juga sokongan dari keluarga menjadi tunggak kekuatan.  Persefahaman, keikhlasan dan kasih sayang.  Akhir sekali adalah nasib baik atau untung baik yang dikurniakan Allah untuk disyukuri. 

Semoga saudara Fauzi dan Yati ceria, berbahagia dan selalu dalam keberkatan Illahi.  Ameen. 

Kami juga memiliki kenalan Fauzi dan Yati yang lain dari daerah yang sama namun perjalanan hidup yang berbeza.  Semoga Fauzi dan Yati yang ini pun ceria, berbahagia dan sentiasa berada di dalam limpahan rahmat Allah yang berkah.  Ameen.

Buat sekian kali, Makcik Ju membuat kunjungan tahunan ke blog ini, iaitu makcik kepada Naqhuhines.  Kesibukan yang tidak pernah habis dan profesionalisme yang didukung membuatkan kemunculan tiba-tiba beliau sangat mahal nilainya kepada kami.  Sedikit komen yang memberi senyum.  Terima kasih ya ...  Seperti hadiah menjelang Maal Hijrah pula.  Jumpa lagi tahun depan ??

Sudah 10.12 pm.  Sudah sampai masa mengundur diri.  Semua ahli keluarga sudah mula membayar hutang mata masing-masing.  Sudah sampai giliran saya juga, semenjak berjaga dari jam 3.30 pagi tadi.  Sehingga ketemu lagi, semoga semua rakan bloggers ceria dan sentiasa beroleh petunjuk dan kasih sayang-Nya.  Ameen.

Selamat pulang ke pangkuan keluarga buat kekanda Hajjah Noraini Hassan dan Haji Razihin Mansor. 
Salam Maal Hijrah sekali lagi dan semoga bertemu di lain waktu, insyaAllah.

Rehlah ke Gua Niah

12.50 tengahari, 6 Disember 2010 bersamaan 30 Zulhijjah 1431Hijrah.

Kami baru check in di ParkCity Everly Hotel, Miri.  Alhamdulillah, sangat selesa dan 4 bintang.  Harga pun tidak jauh sangat (RM193 selepas tax, deluxe room - dua katil queen) daripada chalet di Gua Niah semalam (RM157), namun kemudahannya yang jauh berbeza.  Saat ini Hurilain, Hidayat dan Hanessa sedang 'bergumbira' di kolam renang yang biru airnya.  Pengunjung pun tak ramai, jadi tak sesak.  (Uhh terkenang pulak kat anak jantan sorang tu, yang nun jauh di pinggir perkampungan ...  Tapi, bukan di sini tempatnya.  Hanya ingatan rindu seorang ibu.)

Sedikit catatan menapak ke Gua Niah.  Bermula dengan check in di chalet tanpa penghawa dingin dengan andaian malam nanti tentu suhu jatuh dingin.  "Tak pe, esok kita tido kat hotel pulak," tatkala memujuk si anak yang tetap nak beraircond.  Huh, memang menjelang jam 3 pagi, saya perlu perlahankan kipas dan masing-masing nampaknya sudah berselubung dengan comforter.

Selepas check in, menyimpan bagasi dan menukar kasut, kami menaiki bot dengan bayaran RM1 setiap kepala.  Saya menjeling-jeling abah Hidayat, memuncung-muncungkan bibir kepada jaket keselamatan kuning yang bersusun rapi di rak atas kepala, tetapi dia buat tak kesah je.  Ish, kalau jadi apa-apa karang ...  bot mula beroleng-oleng di atas air.  Semua orang tenang dan senyum-senyum.  Ehh ... tiba-tiba ...

... Laa dah sampai pun.  Seberang sungai je.  Nak sarung jaket keselamatan pun tak sempat.  Alhamdulillah cuaca cantik.  Dan kami mula melangkah dengan penuh bersemangat melalui trek yang disediakan.   4.1km hingga ke mulut Gua Niah, pergi balik sama jaraknya dari rumah ke Seria.  Hidayat yang paling hebat, nun jauh di depan menyapa dedaun dan pohon-pohon dengan auranya.  Saya tenang sahaja melangkah, berhati-hati untuk mengelak krem sambil melayan Hanessa yang tak berhenti 'mencerabih'. 

Di pertengahan perjalanan, Hanessa mula kepenatan.  Tenaganya keluar laju.  Sesekali dia berlari anak, 'berjoging', bercakap tanpa henti dan akhirnya, "Mama, nak dukung!!!"  Hanya sekejap dia didukung oleh abahnya.  Selebihnya pergi balik dia terpaksa juga menapak dengan segala kekuatan dan daya.  Kami pun rasa nak berdukung juga sebenarnya!!

Ada beberapa kumpulan yang sama bersaing dengan kami.  India, Cina dan etnik sekitar bersama kanak-kanak.  Saya shot gambar lintah bulan berwarna hijau dan coklat.  Di satu tempat sepanjang jajaran pagar kayu, ada banyak Ulat Bulan yang merah menyala 4-5 inci panjangnya.  "Kalau kau makan sekor, kenyang tu!"  kata abah kepada Hurilain yang geli geleman melihat ulat tersebut.  Dia pernah mengunyah gonggok semasa sedang aktif merangkak dalam usia bayi dulu.  Hanessa pula selalu kagum pada ulat ini dengan saiz dan warnanya yang garang.  Ada dua tiga pasang ulat cincin yang saling melekat.  Ada longgokan batu semulajadi berwarna hitam berbentuk seperti cengkerang bertindihan di kiri kanan trek.  Suara reriang berlagu girang. 

Kami bertemu deretan gerai menjual pelbagai cenderamata hasil kerjatangan penduduk Iban dari rumah panjang berdekatan.  Selepas singgah sebentar melepaskan penat dan meneguk air, kami teruskan perjalanan. Kali ini mula mendaki anak tangga dan masuk lebih jauh ke dalam lingkungan batu kapur.  Tiang-tiang bekas pondok tanpa atap menyambut kami di Gua Dagang iaitu pondok pengumpul sarang burung dan bahan lain yang digunakan hingga akhir tahun 1970an.

Di ruang ini sudah mula jelas betapa luasnya Gua Niah walaupun belum sampai ke ruang sebenar.  Berjalan lagi dengan memanjat tangga kayu yang agak curam, akhirnya kami sampai ke kawasan kerja ekskavasi pada tahun 1950an dulu yang sudah dipagari jaring hijau.  Sebuah gua yang sangat hebat.  Sayup mendongak melihat atap gua.  Begitu tinggi.  Terasa ngeri membayangkan pengumpul sarang burung memanjat buluh-buluh hingga ke siling gua.  Seluas 12 hektar dan kawasan dalam gua seluas anggaran tiga buah padang bola sepak (sila rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Gua_Niah).  Ciptaan Allah yang Maha Hebat! 

Cuba anda bayangkan pergerakan kerak bumi satu ketika dahulu sekali gus penurunan paras air laut sehingga mengangkat terumbu karang yang kemudian dihakis sehingga membentuk gua ini. Juga menunjukkan bukti penghidupan awal manusia daerah ini dengan kesan-kesan penemuan seperti pinggan mangkuk dari Cina, pasu-pasu dengan ciri Hindu dan perhisan diri di sisi tulang rangka Homo Sapiens yang ditemui di muka gua.  Kami menyusur masuk ke kawasan samar-samar dengan lampu picit yang segan-segan menyuluh jalan walaupun kata abah Hanessa sudah ditukar bateri baru.

Bau tahi burung mula menusuk hidung.  Semakin gelap, mujur ada orang belakang yang mengikut kami.  Dapatlah menumpang cahaya lampunya yang biru terang.  Anak-anak agak mengelabah.  Satu pengalaman yang sangat baru.  "Tak pe, kira ni macam kem bina negara la ni."  Kami memujuk.  Nak undur ke belakang, sudah terasak ke depan.  Lagi pun rugi kalau tak mencuba, walau jauh di sudut hati saya pun sedikit ragu-ragu.  Alasan - lampu picit tak cukup.  Jadi, kena juga melangkah.

Hanessa dan Hurilain mendahului kami.  Si kecil ini nampaknya lebih tabah dan cekap.  Dia memimpin si kakak dan 'menceceh' menyuruh kakaknya berhati-hati tika mendaki dan menuruni tangga dalam samar cahaya.  Hidayat sudah undur dan kini sedang memegang jari tangan saya dengan kuat.  Abahnya di belakang menyuluh jalan kami.

"Dulu mana ada trek ni.  Kita ni ada la torch light.  Orang zaman dulu mana ada torch light dan trek."  Masing-masing cuba membayangkan orang-orang yang pernah tinggal di sudut-sudut gua ini satu ketika dahulu, di satu zaman yang sudah terlalu jauh, dalam 40 ribu tahun yang lampau selari dengan anggaran waktu Nabi Adam a.s. diturunkan ke bumi.

Di persimpangan jalan, kami memilih jalan keluar dari gua.  Mengimbangi keadaan anak-anak dan tanpa lampu suluh yang sempurna, kami tangguhkan lawatan ke 5 bukaan lain iaitu Mulut Besar, Lubang Tulang, Lubang Hangus, Gan Kira dan Lubang Tahi Menimbun yang lebih mencabar.  Di puncak gua, kami berehat seketika sambil memerhati sekitar.  Masing-masing terutamanya Hidayat membuat bunyi untuk mendengar lantunan suara.  Beberapa kumpulan baru terus melepasi kami untuk keluar.  Dan ah, peha tiba-tiba jadi gigil menggeletar apabila mula menuruni tangga untuk menyambung perjalanan pulang. 

Kali ini kami tidak lagi beriringan dengan mana-mana kumpulan. Namun di Gua Dagang, bertemu dengan sekeluarga suku kaum Iban datang dengan bayi digendong dan kanak-kanak.  Berbalas senyum dan sapaan.  Kami singgah lagi di gerai menjual cenderahati dan akhirnya termakan pujuk juga membeli gelang-gelang perhiasan dan beberapa tangkai key chain sebagai kenangan.  Bolehlah kirim untuk Along nanti.

Perjalanan pulang pun bermula.  Kasihan pada Hanessa tetapi kami masing-masing pun sudah hilang daya rasanya.  Abahnya dan Hidayat nun jauh di hadapan.  Tapak kaki Hurilain pula melecet.  Alhamdulillah saya tidak krem hingga saat ini.  Kami bersua dengan beberapa kumpulan lagi yang dalam perjalanan masuk.  Bersua juga dengan dua gadis berbaju kurung lengkap, katanya baru pulang dari majlis perkahwinan.  Wah, memang hebat mahu mendaki anak tangga dengan kasut bertumit.  Singgah sebentar di Jabatan Muzium Sarawak melihat bahan-bahan sejarah yang ditemui dan lukisan di Painting Cave yang tidak kami masuki.  'Bagaimana Gua Niah mendapat namanya?'  Lupa pulak nak tanya dan tak ada catatan mengenainya.

Naik bot lagi dan, alhamdulillah selamat sampai ke chalet semula.  Malamnya kami makan di kedai makan berdekatan.  Celuparnya si kakak empunya kedai makan.  "Tinggal di chalet mana?  Yang belakang sana tepi sungai tu dalam empat bulan lepas ada budak histeria.  Yang kamu tinggal tu ada orang mati dalam bilik air, kan bang?"  dia menerangkan dengan ramah sambil menanya suaminya meminta kepastian.  Tampangnya iras Kak Long Imah isteri Zul.  Kemudian kami saling bercerita lagi berbagai kisah macam kenalan lama dan akhirnya sampailah bab berkhatan.  Hidayat menepuk dahinya, "Berjahit pulak ke?" tatkala mendengar pelbagai cara berkhatan.  Alamak, dah terlepas cakap depan dia pulak ...

Chalet yang besar untuk kami sekeluarga.  Dua bilik dengan setiap bilik ada 4 katil bujang dan kabinet pakaian yang gedabak.  Lengkap dengan ruang tamu, peti ais dan kabinet dapur (tapi tak de kettle letrik, request pun tak dapat). Kami menggunakan sebuah bilik sahaja.  Tidak ada tv.  Radio tak ada siaran.  Tidak ada akses internet juga.Selepas saling tolong mengurut betis-betis yang sakit dan lenguh, masing-masing lena ke alam mimpi hingga waktu Subuh.  Alhamdulillah hari baru yang indah menjelma lagi.

Sila lawati sendiri kawasan Monumen Sejarah Kebangsaan 1958 dan kemudian diwartakan sebagai Taman Negara ini dan nikmati sendiri segala keseronokannya.  Kami menyimpan angan untuk mengunjungi Taman Negara Gunung Mulu pula di mana terletaknya 'Sarawak Chamber' iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh menampung 40 biji kapal terbang Boeng 747, insyaAllah.  Ok bang, tahun depan boleh?? 

Saturday, December 4, 2010

Mari makan Habbatus Sauda

Siaran Nur Islam Radio Brunei 93.9 atau 94.9 adalah siaran kegemaran saya.  Kini saya adalah pendengar setia Nur Islam terutamanya Kuliah Mufti jam 7.30 pagi dan siaran ulangannya pada 4.30 petang.  Anak-anak perlu tunggu slot Kuliah Mufti bermula hingga selesai jika ada apa-apa hal berkaitan dengan saya, hehh ...  Abah Naqhuhines pun rasa-rasanya sudah menukar channel radio keretanya kepada Nur Islam juga (bravo to you!).  Dia penggemar siaran Rangkaian Harmoni lagu-lagu lama tu yang membuatkan dia kembali teringat masa menapak ke sekolah dulu di celah-celah rumah jiran dan terdengar lagu-lagu tu dari corong radio jirannya.  (Bukan dia je, saya pun boleh reverse ke zaman kecik-kecik dulu hehe ).  Sebenarnya semua slot yang ada di Nur Islam sangat menarik dan sentiasa memandaikan pendengar dengan inforrmasi yang tak pernah basi.  Jadi eloklah kita tukar channel radio kepada Nur Islam.  InsyaAllah dan alhamdulillah.  Semoga mendapat kebaikannya. 

Saat ini DJ baru sahaja memberi jawapan sebenar kepada kuiz sempena Maal Hijrah, yang soalannya lebih kurang 'Bilakah doa awal tahun akan dibaca?  A. selepas azan Maghrib.  B. selepas solat Maghrib.  C.  selepas solat Isyak.' 

Apa jawapan anda? 

Ohh, nampaknya (arghh bangun lagi buat kali entah ke berapa.  Sebab?  Sat tadi abahnya panggil suruh tengok orang nak bakar bangkai ular buat santapan.  Lepas tu Hidayat pulak panggil suruh tengok orang menghepong ular yang dah masak tu.  Mereka semua sedang menonton tv dan saya sorang-sorang mengadap laptop hehehe ... ) 'pengikut' blog ini bertambah sedikit demi sedikit.  Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada anda semua.  Juga ribuan kemaafan saya mohonkan kerana sangat jarang mengunjungi blog anda.  Kesempatan yang ada sangat terhad.  Peluang membuka Jurnal Naqhuhines sudah cukup baik buat saya.  Untuk menjenguk blog rakan dan sahabat, selalu dicemburui waktu.  Namun insyaAllah pasti akan saya kunjungi juga untuk menjalinkan silaturrahim dan berziarah.  Ye la makcik,  takkan orang je datang jenguk ekau, ekau pun sudi-sudikanlah ziarah mereka juga. 

Terima kasih kepada Pujangga Seni.  Kehadiran anda menceriakan jurnal ini.

Dan Syafiq ... blog anda sudah dikunjungi.  Sebuah blog anak muda yang berani dan lantang menyatakan pendapat.  Saya pernah menulis surat kepada mak dan abah yang saya jumpa setiap hari, tetapi tidaklah sehebat Syafiq hehe ...  Dan ramai pengunjung yang kembali 'follow' anda.  Sama-samalah kita belajar dari kehidupan.  Di sini melalui peluang menghamburkan kata-kata tak bersuara tetapi kadangkala amat besar kesannya.  Anugerah Tuhan buat sementara, sebenarnya.  Terima kasih banyak-banyak kerana follow Jurnal Naqhuhines yang naif.

Kami sudah siap berkemas untuk bergerak pagi esok menuju Miri dan naik ke Gua Niah, kira-kira 90km dari Miri.  Namun sebenarnya saya dan abah Hanessa tidak berapa fit untuk 'mengembara' seperti ini, hanya cuba menguatkan semangat sambil berharap semoga kesihatan kembali pulih seperti sediakala.  Tekak kami terasa kering dan perlu dibasahi air dengan kerap, maka keraplah pula masuk ke bilik air.  Hidung tersumbat dan batuk.  Dada terasa sempit.  Tengkuk saya rasa tidak selesa.  Ahh ... janji perlu ditepati.  Lagipun sekiranya ada ura-ura penangguhan, situasi akan berubah serta-merta.  Hurilain, Hidayat dan Hanessa semakin ceria.  Cuma Hanessa turut batuk sedikit tetapi kelincahannya tetap sama.

Di tepi meja ini ada Habbatus Sauda di dalam botol Nescafe kecil dan sebotol Kismis Minda Doa.  Mutakhir ini terlalu banyak pemakanan dan kaedah ajaib untuk meningkatkan mutu kesihatan.  Seperti anda, saya tak terkecuali disogok secara langsung dan tak langsung.  Tergoda sungguh membaca segala kebaikan patch yang boleh membuatkan kita hilang berat badan selepas beberapa hari.  Ajaib kan?  Abah Naqhuhines baru sahaja menjadi ahli sebuah perniagaan langsung kad ajaib yang boleh membaiki kondisi kesihatan hanya dengan mempelbagaikan penggunaan kad hijau ini di samping dapat menambah duit poket juga. Sangat ajaib dan membuatkan saya terlopong.  Tiba-tiba saya menerima panggilan telefon dari nenek Yus yang memberitahu betapa baiknya air Ionsawa dari jenis perubatan dan sangat berkesan kepada kesihatannya dan Yus juga, langsung mengajak saya sama membeli.  Maha Hebat Allah SWT yang telah memberi akal yang luar biasa kepada manusia.

Walau apapun, saya rasa biarlah saya mengunyah sedikit habbatus sauda yang disulami kismis kering ini sahaja.  Semoga lebih diberkati dan jauh lebih besar manfaatnya kepada kesihatan saya.  Sabda Rasulullah SAW, "Habbatus Sauda mempunyai penawar bagi semua penyakit kecuali maut."  (  Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).  Saya yakin tanpa kompromi, insya Allah dan semoga Allah SWT memelihara keyakinan saya ini serta menguatkannya lagi.

Sedikit petikan dari buku Dr. Danial Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden edisi kemas kini cetakan kelima 2007 mengenai habbatus sauda - 'Dr. Peter Schleicher iaitu pakar bidang imunologi di Munich dan merupakan ahli sains termuda yang dilantik menganggotai Akademi Ahli-Ahli Sains Sedunia pada tahun 1986 mendapati bahan lemak tak tepu dalam habbatus sauda yang mampu mengeluarkan prostaglandin E1 yang merupakan bahan penting dalam sistem pertahanan badan.  Beliau kemudian menjalankan ujian ke atas 600 orang pesakit menggunakan habbatus sauda dan mengesahkan 70 peratus pesakit sembuh daripada penyakit alahan.  Beliau mendapati minyak habbatus sauda juga boleh digunakan bagi merawat penyakit demam selesema dan influenza.'

Nur Islam terus mengwar-warkan tentang Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun untuk dibaca menjelang tahun baru Hijrah 1432 pada 7 Disember 2010 ini.  Doa akhir tahun dibaca beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib iaitu akhir waktu Asar penghujung tahun hijrah 1431.  Tercatat bahawa barangsiapa yang membaca doa ini pada waktu tersebut maka berkatalah syaitan, kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam ini pada setahun ini.  Maka dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa ini maka diampuni Allah segala dosanya setahun ini. 

Doa Awal Tahun pula dibaca selepas menyempurnakan fardu Maghrib.  Barangsiapa membaca doa ini maka syaitan akan berkata, telah amanlah anak Adam ini daripada aku barang yang tinggal pada umurnya pada tahun ini, kerana Allah SWT telah mewakilkan dua malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan. (terjemahan).

Hujan turun tiba-tiba, sangat lebat.  Abah Naqhunines beredar dari ruang tamu kerana siaran Astro sudah lenyap, bererti isyarat untuk saya juga.  Makcik, esok pagi-pagi nak ke Miri dah ... hehe ... 


Tiba-tiba rasa sangat seronok kerana abah Naqhuhines menyuruh saya membawa radio bersama.  Err bang, kalau bawa laptop ni sekali boleh tak???

Selamat bercuti hujung tahun kepada semua.

Thursday, December 2, 2010

Hidayat Lagi

Semenjak pulang dari hospital semalam, dia menunjuk perangai manis bergula walaupun kami buat tak layan je.  Senyumnya manis menawan.  Duduk menyelit dekat-dekat.  Nak membeli jiwa.

"Mama, kalau Dayat sunat bulan depan, boleh dapat hadiah tak?"

"Ishh bulan depan dah sekolah!"  Geram.
Dia tanya lagi, "Malam ni boleh sunat?"  Sudah masuk Isyak, jam 7.30 malam.  Grrr!!!

Si abah, buat-buat garang tapi "Lepas gi Gua Niah ni, abah hantar hari Khamis nanti.  Mama tak yah ikut." Khamis minggu depan la tu, 9 Disember 2010.  Nampaknya rencana akan berjalan macam yang sudah dirangka.  Iyelah, kami yang lain ni tetap nak berehlah.  Tetapi si kakak seperti tak puas hati.  Dia mahu Hidayat dikhatankan dahulu baru mengunjungi Gua Niah.  Pulang semalam, si kakak slow talk berdua dengan Hidayat, entah apa yang dibicarakan.  Tetapi tentu si kakak memujuk adik yang selalu berseteru ini supaya mahu berkhatan.  Rasanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri je tu.

Apatah lagi cuti sudah dirancang, sulit mahu ditukar.  Rezeki Hidayat la dapat hadiah dan berjalan makan angin sebelum berkhatan.  Cumanya, helikopter idaman memang wan tahan sehingga dia benar-benar dikhatankan.  Apatah lagi wan jauh di kampung dan memang permainan itu adalah idamannya sejak lama.  Hidayat kena akur dengan wannya.

"Esok boleh, bah?" tanya Hidayat kepada abah yang sedang bersandar menonton tv.
"Esok abah ada meeting.  Tak boleh."  Tak mencapai kompromi.
"Kalau mama je hantar, boleh?"  mata abah pun mencerlung.  Budak ni auta betul la.

Mungkin dia sudah ternampak jelas helikopter remote dan basikal berkepak-kepak terbang buat pusingan U lalu mendekatinya dan mendarat di hujung kaki.  Nun sayup-sayup note RM200 tertinggal di celah awan sebab kepaknya halus je.  Hidayat tersenyum-senyum.

Tadi petang, saya yang semakin berhemah melayan kerenah anak-anak, memukul bulu tangkis ke arah Hurilain.  Semakin sedar, andai saya sabar, anak-anak pun ikut rentak saya (dan sebaliknya).  Hanya waktu-waktu 'khas' sahaja saya terlepas kawal dan mereka pun ikut sama.  Aduhai, putaran hukum alam yang ditetapkan Allah SWT tak pernah mungkir.

Rohith, kawan baik Hidayat dari India pun ada sama bermain basikal barunya.  Dia bergilir-gilir mengayuh dengan Hidayat.  "You two times.  I three times haa!"  Tuan punya basikal mestilah lebih satu giliran.  Berapa berapa pun tak apa, tapi dia pun mahu membeli jiwa Hidayat, the only friend yang dia ada di penginapan ini.

"Rohith!  You join Hidayat go to cut ok."  Saya maksudkan potong anunya tu.  Kelmarin semasa saya katakan demikian, serta-merta dia mengepit kedua-dua kakinya dan berkata dengan cemas sambil menggeleng kepala berkali-kali, "No! No! No!"  Selepas itu dia memeluk tiang elektrik di tepi jalan tar tempat kami bermain badminton kuat-kuat.  Takut benar pulak budak ni.  Gelagatnya jadi bahan ketawa.

Tetapi tadi, dia berubah sama sekali.  "Ok, I cut!"
"Really?  Don't lie to me haa!"  Rohith beria-ia mengangguk, "I cut!  I cut!" Dia terjerit-jerit kecil sambil tersengih-sengih.  Wajahnya berpeluh-peluh dek bahang petang dan penat bermain basikal.

"I ask your mother haa!"  Betul ke budak ni? Saya masih cuak.
"My mother said i cut."  Saya terus memukul bulu tangkis sambil terfikir-fikir.  "Ok, you go to hospital with Hidayat then."  Dia angguk-angguk lagi, dan geleng-geleng sikit - lenggok kepala gaya semulajadi orang India.

Tidak lama kemudian mak Rohith yang bernama Suja muncul mengajak dia masuk ke rumah.  Sudah rembang petang.  Kami pun mahu masuk apatah lagi satu-satunya bulu tangkis yang kami ada sudah tersangkut di puncak pokok pinang hiasan.  Puas digoyang-goyangkan batang pokok tetapi bulu tangkis terus kaku di sana.  Mahu dicapai dengan ranting kayu pun tak cukup panjang.  Huhh, sebenarnya sudah tiba masa untuk berhenti bermain 'tapi kamu tak faham-faham lagi ke?'  Takkan nak tunggu azan berkumandang kot.

Saya bertanya kepada Suja untuk meminta kepastian.  Ternyata benar, dia bercadang-cadang untuk mengkhatankan Rohith juga.  Memang besar dan benar kebaikan berkhatan, khususnya untuk menjaga kebersihan dan mengelakkan jangkitan.  Dan dia tersengih lebar gelihati apabila mendapat tahu hal Hidayat.  Jadi saya ajukan pelawaan agar Rohith menyertai Hidayat nanti pada hari Khamis ini.  Suja angguk dan geleng lenggok sejatinya, "I discuss with his father."  Tetapi sepertinya sudah 80 peratus bersetuju.

"Hah, jangan esok Rohith sunat, kau tak sunat jugak!"  kata abah Hidayat.  Menggertak.  Hidayat senyum nakal.

Saya tak mahu membayangkan apa-apa melainkan terus cuba berfikiran positif.  Abah Hidayat akan membeli Nasi Katok untuk disedekahkan kepada para pegawai  yang terlibat di bahagian kaunter dan pegawai kesihatan yang bertugas.  Kalau boleh kami mahukan pegawai yang sama seperti semalam iaitu Haji Anuar dan Haji Isa.  Dua keping sampul surat kecil juga akan disediakan untuk berian (saguhati)..  Semalam hanya sekeping sampul surat yang terpaksa dikoyakkan  dua dan akhirnya tak sempat dihulurkan bersama keengganan Hidayat.  Kami tidak menyangka ada dua pegawai yang mengendalikan kanak-kanak berkhatan.

Kata abah Hidayat, mungkin itulah rahsia penangguhan ini.  Allah SWT Maha Mengetahui.  Apabila sesuatu niat sudah dipasang di hati, Dia yang sebaik-baik Perencana akan menyusun sehingga niat dapat ditunaikan dengan sempurna.  Dan rencana awal ialah menghantar Nasi Katok ke masjid berhampiran untuk jemaah.  Kiranya lebih afdal diserahkan kepada pegawai bertugas.  Seandainya ada rezeki lebih, insyaAllah akan dipanjangkan sedekah ke masjid juga.  Semoga Allah SWT menerima dan meredhai kami.  Ameen.

Tidak ada khemah dan jemputan seperti majlis berkhatan Alongnya.  Setiap anak memang berbeda rezeki masing-masing.  Situasi yang berbeza dan perjalanan hidup yang tidak serupa.  Maha Kaya Allah SWT yang Maha Pencipta Maha Bijaksana.  Semoga Hidayat redha akan takdirnya berkhatan di bumi ini sampai bila-bila.

"Kalau kamu nak bersunat umur 12 tahun ke, 30 tahun ke, tetap bersunat juga."  kata abahnya.  Teringat kata-kata bapa budak lelaki dua beradik semalam, "Lebih baik kamu sunat hari ini.  Kalau sudah besar lagi sakit.  Lagi payah tu karang!"  Ah, Hidayat ... dia mahu berkhatan umur 12 tahun atau 19 tahun nanti.  Lagi 3 setengah tahun, masih boleh diterima.  Tetapi kalau sudah usia 19 tahun, tak dapat dibayangkan! 

Semoga doa Mak Ngah Ani dan Pak Ngah Zeknya yang masih berada di Tanah Suci dikabulkan Allah.  Saya sempat mengirim sms kepada mereka yang akan pulang lusa, 4 Disember.  Bertanya khabar dan tarikh akan kembali ke tanah air. 'Tolong doakan Dayat nak sunat.   Terpaksa postpone coz badan dia jadi keras atas katil.'  Sejauh merentas lautan ke sisi Kaabah doa dipanjatkan.  Semoga diberkati Allah dan dikabulkanNya.  Ameen ya Rabbal Alameen.

Hidayat, tolong jangan buat kerenah lagi ya!

Wednesday, December 1, 2010

Alahai Hidayat

Haah, postpone la.

“Mak, Dayat tak nak sunat.”

Kih kih kih mak mula tergelak di hujung telefon.

“Kitorang bo-layan ngan dia nih. Tu ha tengah terlelap dalam kereta, penat menangis. Sume batal. Kensel.” Saya melihat Hidayat terlentok di kerusi belakang. Pagi tadi semasa kami mahu bersiap untuk ke hospital, dia meminta izin untuk duduk di depan sebelah abah. “Kan ni hal Dayat, jadi Dayat duduk depan la ye mama.” Hari ini giliran Hanessa duduk di kerusi depan sekiranya saya yang memandu. Saya terbayang balik karang Hidayat duduk depan memakai kain pelikat kotak-kotak hijau milik abahnya.

“Okay, no problem.”
“Tapi Dayat kena buang sampah la,” sambungnya lagi. Itu tugasan sesiapa yang giliran duduk di depan untuk keluar dan ambil beg sampah di bonet kereta dan campakkan ke dalam tong besar di Jastre, tempat pembuangan sampah awam.

“Jangan ekau buek cam tu kek dio. Tunggu la wan datang, nanti wan pujuk dio.” Huh, bunyinya macam la esok mak nak datang. Macam kami ni kat Sijangkang je gayanya.

“Bila mak nak datang?”
Mak ketawa. “Ghamai nak datang ni. Tapi nanti la dulu.”
“Kalau cam tu, memang tak sunat la tahun ni nampaknya.” Pegawai di tempat berkhatan tadi mengabarkan operasi berkhatan ini akan berjalan sehingga minggu kedua bulan Disember. Proses berkhatan adalah percuma, hanya atas budi bicara keluarga untuk menghulurkan berian kepada tok mudimnya. Kelihatan dua orang yang bertugas mengendalikan seorang kanak-kanak.

“Tak baik ekau marah-marah dio. Pujuklah dio. Anak jantan ekau tu la sorang (yang lum sunat la ...)”

“Mak tau (?), setengah jam pujuk dia atas katil tu. Intan pun masuk sekali peluk leher dia dan tiup ubun-ubun dia (nak ambik gambar je mulanya). Abah dia pegang tangan dia. Tang kaki tu yang susah nak lurus, keras macam pokok kayu. Tak boleh nak inject takut salah urat. Ni memang kepit habis. Jenuh pegawai kesihatan berdua tu melayan.  Lepas kitorang keluar, masuk pulak staf lain dua orang lagi nak pujuk dia. Keluar geleng kepala dan masuk lagi sorang, pun sama gak. Sume tak jalan.”

Mak ketawa lagi. “Omak baghu nak poie bank ni. Dah jumpo cek kau tu dek abah. Ingat nak masukkan duit Dayat sekali. Kensel la ni.” Hmmm ... tak do joki la nampak eh. Melopeh la ekau, Dayat.

“Mak tau, dia dah dapat hadiah dah. Hari tu abah dia main pistol dia sampai rosak. Pas tu abah dia bagi la dia $20 beli mainan lain. Haa ni ingat lepas sunat nak beli biskal, kensel la ni.” Terbayang sebuah basikal berkepak-kepak terbang jauh di balik awan. Huhuu... sian dia.

Mak ketawa, “Tak apolah. Tu la dio takut tu tengok oghang bersunat.”

Apa taknya, kami bertiga masuk berlegar setengah jam di hadapan bilik operasi. Entah mengapa kami dipanggil masuk lebih awal. Walhal ‘calon-calon’ lain masuk terus menghilang di dalam bilik operasi. Ada tiga bilik semuanya. Menariknya semua budak lelaki yang keluar dengan kain pelikat terikat di leher atau digenggam erat di dada mempamerkan wajah riang dan senyuman. Bahkan ada yang berjalan seperti biasa dan hampir berlari anak. Hebat tu! Tidak ada langsung wajah yang basah dek airmata.

Hidayat ceria bermain kerusi roda yang tersadai di situ. Sekejap dia naik ditolak oleh abahnya. Sekejap dia pula menolak abah yang berlakon jadi budak baru lepas bersunat. Tenang dan ceria sungguh dia!

Sempat berbual dengan seorang ibu yang anaknya sedang ‘dipotong anunya’ tua sedikit dari Hidayat, 9 tahun umurnya. Tambah kenalan lagi. Peramah sungguh ibu ini. Balik karang boleh add dia kat FB. Yang bestnya, kami boleh nampak dari luar anaknya tu sedang terbaring, melepasi dua lapis pintu kaca yang bersih tembus pandang. Hanya terhalang dek tubuh tok mudim sahaja. Benar-benar memberi peluang Hidayat ‘menikmati’ pemandangan yang bakal dilaluinya. Kata ibu ini, anaknya yang mahu sendiri untuk dikhatankan. Dia dijemput masuk sama tetapi kerana kengerian, dia hanya mengambil gambar dari luar sahaja.

Selepas wanita ini berlalu dengan suami dan anaknya itu, tuk mudim berdua berehat pula sebentar menikmati sarapan pagi barangkali. Huhh, tunggu lagi sekitar 15 minit.

Teringat tatkala Naqib berkhatan dua tahun lepas. Hidayat ikut mengiringi Alongnya bersama abah dan atuknya masuk sama-sama ke dalam bilik doktor. Dia melihat Along menahan perasaan dan menangis sedikit. Dia juga sibuk menemuduga Dr, Yunus (sekarang YB) tentang apa yang dibuat oleh beliau kepada Alongnya tu. “Risau saya nih, karang dibuatnya pulak sendiri kat orang lain.” Kata Dr. Yunus tergelak sambil meneruskan tugasnya.

Cuma satu perkara je, kata Hidayat, “Along dulu nangis sikit je. Dayat nak nangis kuat-kuat biar sampai satu planet dengar.” Wahhh!!! Dan itulah kesudahannya. Tak jadi potong kali ni. Huhh ...

Kami turun ke ruang legar hospital. Di sana terserempak dengan sepasang suami isteri yang turut menghantar dua anak lelaki berkhatan tadi, berusia 9 dan 10 tahun. Hanya si abang yang cemik sedikit dan banyak duduk. Manakala si adik lincah bergerak ke sana sini. Masing-masing memakai kain pelikat. Ibunya telah memujuk Hidayat hampir 15 minit. Lemah-lembut dan terus memujuk. Saya dan abahnya hanya memerhati sambil sesekali menyampuk. Nampaknya ibu ini sungguh-sungguh memujuk Hidayat bahkan dia sudi menemani Hidayat ke atas semula. Baik sungguh. Hidayat sesekali terangguk-angguk dan tekun mendengar pujukannya. Akhirnya dia pun mengucapkan selamat tinggal selepas memeluk dan mencium pipi Hidayat. Hingga dia dan keluarganya beredar, Hidayat masih tegak berdiri dengan mata yang merah bekas menangis. Terpesona saya melihat wanita ini. Peribadi yang indah dimilikinya. Penuh keibuan. Walhal semasa sama-sama menunggu giliran tadi, kami tidak saling menyapa pun kerana duduk berjauhan. Teringat kepada jiran sebelah rumah yang berhijrah ke Batu Pahat, Kak Ina. Iras sungguh wajah dan perwatakan wanita ini dengan Kak Ina.

Semasa saya di dapur, anak lelaki saya muncul bertanya, “Mama, tadi wan belikan hadiah Dayat ke?” Dia tahu saya menelefon wannya di kampung.
“Tak”
“Napa?”
“Dayat rasa napa?” Budak lelaki ni senyum-senyum mempamerkan gigi arnabnya.
“Kalau sunat je baru dapat.” sambung saya. Hidayat diam. Tak ada tanda positif. Selamba. Huhh ...

Tiba-tiba telefon tangan berdering. “Mana Dayat, mak nak cakap ngan dia.” Hampir 18 minit telefon terlekap di cuping telinga kiri Hidayat sambil dia menonton tv. Entah apa la yang dicakap oleh wannya.

“Apa yang wan cakap tadi?”
“Wan kata nanti atuk nak beli helikopter remote dan pos laju ke sini. Duit RM200.”
Lagi apa wan cakap?
“Entah, Dayat tak dengar. Wan cakap laju sangat.” Laa pulak ...

Melihat fadhilat di sebaliknya. Semoga ada kebaikan penangguhan ini. Bukan bermakna peribadi yang lemah. Tetapi mungkin rezeki Hidayat dapat hadiah dan rehlah ke Gua Niah sebelum berkhatan, serta helikopter remote yang diimpi-impikan. Dan mencukupkan sedekah berian yang lebih sempurna, insyaAllah. Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan. Rabbi yassir wala tu’assir.  Ameen.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing