Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, September 3, 2010

cuti sekolah dan tali pinggang.

Cuti sekolah untuk hari raya sudah bermula, hampir 20 hari.
Semalam, Khamis 2 Ogos 2010, hari terakhir Hurin bersekolah. Juga hari terakhir peperiksaan MOCK II, kertas Science. Wajahnya berseri tatkala datang ke kereta. “Ma, Cikgu Syamri bagi duit raya,” katanya dengan nada girang sambil menunjukkan sekeping sampul duit berwarna hijau.
”Dah dapat angpow..!?” sahut saya, teruja. “Bukak la, berapa?”
Hurin meneliti sampul duit itu dan membuka dengan hati-hati. “Wow, lima ringgit!” sorak Hurin riang. Matanya terus terpaku ke dalam sarung itu. Perlahan-lahan Hurin menarik sekeping wang kertas Brunei berwarna hijau.
“Alhamdulillah, wang raya pertama.”
Cikgu itu telah mengagihkan wang raya kepada semua pelajar darjah 6 A, B dan C, ramai juga tu. Hampir 60 orang. Mereka berkumpul di dewan untuk MOCK II.
Saya seperti dapat melihat betapa seronoknya pelajar-pelajar itu mendapat kejutan tatkala cikgu menghulurkan sampul-sampul duit. Dan saya seperti dapat merasai kepuasan dan kegirangan hati Cikgu Syamri sendiri.
Ya, menggembirakan hati seseorang, kita akan turut mendapat tempias hati yang riang itu. Saling memberi dan menerima, adalah anjuran ugama. Termasuk senarai moral yang baik. Ia menimbulkan kasih-sayang dan mengeratkan ukhwah. Diutamakan orang yang hampir dengan kita, kaum keluarga dan sanak-saudara sebelum melangkaui yang lainnya. Bersedekah! Tidak heboh. Sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan sebelah lagi. Maknanya, dengan hati yang ikhlas. Tidak ada udang sebalik batu.
Sekiranya ada hajat pula, bersedekahlah juga. Amat mujarab dan cepat hajat kita ditunaikan oleh yang Maha Mengabulkan Permintaan. Ikhlas, tidak semestinya nilai yang besar.
Beberapa kali saya melihat anak-anak saya yang masih kecil dihulurkan wang satu ringgit oleh seseorang, tiba-tiba. Kami sedang makan di kedai, salah-satu peristiwa itu. Mungkin pak cik perkenan pada anak-anak yang duduk baik-baik itu. Pak cik mengusap-usap kepala anak-anak. Apakah dia teringat dan rindu pada cucu-cucunya.. Kami rasa gembira. Baiknya hati pak cik itu. Lalu saling mengucapkan ucapan terima kasih, mewakili anak-anak yang sedikit terkejut berhati senang.
Mungkin pak cik yang berwajah redup tapi riang ramah itu memang mengamalkan budaya bersedekah.
Masih tak hilang nakal, saya minta lagi satu ringgit untuk anak perempuan saya yang terkulat-kulat, yang agak jauh dari abang dan adiknya. Pak cik itu berhenti, melihat ke arah gadis kecil saya dan mengeluarkan sekeping lagi wang kertas. He he he... Dia senyum.
Memberi anak-anak kecil seronok kerana mereka tak pandai menilai kecil besarnya wang itu. Yang pasti mereka gembira menerima. Menggembirakan anak-anak kecil, kita juga rasa gembira.
Gembira, sihat dan awet muda. Bersedekahlah selalu dan usaplah kepala anak-anak.

Cuti sekolah, bermakna Hurin, Hidayat dan Hanessa berkumpul di rumah sepanjang masa. Yang paling nakal, tentunya si rambut halus lembut tegak-tegak, yang matanya sepet-sepet sedikit dan satu-satunya anak lelaki bersama kami. Sekarang, saya mengucapkan kata-kata amaran dengan nada keras dan paling tegas. “Jangan cetuskan pergaduhan.” Saya menekan nada supaya mereka tahu, saya serius dan mesti mengambil perhatian besar kepada amaran ini. “Cuti dua minggu ni, hati-hati. Jangan sampai salah satu hari itu atau beberapa hari kamu terpaksa menerima hukuman,” saya menegaskan lagi. Masing-masing diam. Mungkin memamah kata-kata saya.
“Dengar tak?”
“Dengarrrr...”
Sehelai tali pinggang hitam selebar hampir tiga jari digantung di tengah-tengah pintu bilik. Biar cukup ketara dan cepat dilihat. Itu sindiran dan amaran. Siapa mahu menempah, silakan. Siapa tak mahu, ‘jangan cetuskan pergaduhan’.
“Kalau kakak kacau Hidayat, kakak kena, kan mama?” kata si nakal ini. Sengih-sengih, nakal sungguh tapi bijak sebenarnya. Dia lebih keras watak berbanding si sulung kami yang lembut dan berhati-hati memberi respon. (Tetapi jangan mencabar sampai over limit. Kalau dah marah, teruk si adik dikerjakan juga).
“Ya, kalau kamu yang mula dulu, kamu kena.”
“Tapi kalau kakak mula dulu, kakak kena kan mama.” Dia tanya lagi, sama. Tak puas hati.
“Siapa pun yang mulakan, dua-dua akan kena.” Ini lebih mudah. Anda tahu siapa yang salah sebenarnya dan siapa yang dipersalahkan? Masing-masing tak akan mengalah. Ini biasanya kerenah di tahap paling hyper. Mungkin sudah penat, mengantuk, lapar mencucuk-cucuk dan bosan. Tentu ada sahaja kerenah yang boleh mencabar keseimbangan fikiran.
Biasanya berkesan. Masing-masing lebih waspada. Orang yang bersalah ialah yang mencetuskan perbalahan dengan membesar-besarkan isu kecil. Juga orang yang tak pandai hendak mengalah dan membezakan hal besar dengan hal kecil. Ya, kamu tak salah pun akan kena. Kamu nakal dah tentu kena. Jadi, mengalah. Susah nak mengalah sebab geram sangat? Okay, buat hal sendiri-sendiri.
Ah, sebenarnya hidup memang saling berhubungan dan memerlukan. Setakat mana tahan buat hal sendiri-sendiri. Setakat mana tali pinggang hitam itu boleh menyindir. Setakat mana boleh mengalah buat-buat tak faham kerenah.
Anak-anak ... tak mengapalah selagi ada usaha hendak mengalah walau kadang-kadang hilang sedikit kawalan diri. Kita semua belajar membaiki diri, dan sentiasa belajar. Semoga Allah mempermudahkan kita.
Tak sabar menanti Along datang. Lagi tiga hari. Isnin ni akan ke airport menanti dia. Terbayang-bayang susuk Along yang gempal dan gigi Along yang besar-besar, gigi kapak atau gigi arnab tu. Along ... Along ... Along ... kami semua rindu pada Along. Juga pada semua keluarga, wan dan atuk, onyang dan semuaaaaa.

Sunday, August 29, 2010

Lawak Suami Isteri

Seorang suami sedang mencari-cari helah untuk membolehkan dia berkahwin lagi.
Antara alasan yang diberikannya:

Suami : Lelaki kawin 3 baru lah sah

Isteri : Kenapa pula?

Suami : Cuba terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, "satu" is one, "dua" is two, "tiga" isteri (is three). Baru betul dan sah!.

Isteri : Tapi abang kena faham Bahasa Inggeris, terutama tentang "singular" dan "plural".

Suami : Berkenaan apa tu?

Isteri : Satu tu "Singular"; dua atau lebih "Plural".

Suami : Contohnya?

Isteri : One car sebagai singular, two cars sebagai plural. Apa bezanya?

Suami : Ohhh... tambah huruf "s" untuk yang plural.

Isteri : Betul tu. Sama juga la untuk abang.

Suami : Macam mana pula boleh sama?

Isteri : Satu isteri abang MAMPU, jika dua isteri dah jadi plural, maka abang MAMPUS, tambah "s" je,kan?

Lepas daripada tu, si suami tidak pernah lagi berceritakan hasratnya untuk berkahwin lagi.

Friday, August 27, 2010

Teringat Munaliza

Satu ketika saya berusia 17 tahun.  Emak menghantar saya mengikuti kursus pendek di Seremban.  Tinggal menumpang di rumah ibu saudara.  Di kolej, saya berkenalan dengan Munaliza.  Gadis bandar yang cantik, manja dan serasi pula.  Baik dan semakin rapat.  Hingga tiba-tiba kursus pun tamat.  Saya pun pulang semula ke pangkuan mak abah.  Di satu-satu ketika, saya rasa begitu mengingati Munaliza.  Entah di mana dia sekarang.

Waktu itu, saya ingin menulis sesuatu.  Dan saya mencatatnya secara langsung di kertas.  Lalu saya kirimkan ke majalah Gila-Gila, majalah kegemaran waktu itu.  Tidak lama kemudian, saya tersenyum  gembira.  Terkejut pun ada, kerana Munaliza tertera di helaian Gila-Gila.  Tak sangka sungguh.


Semenjak itu saya fikir sajak adalah spontan.  Tidak perlu edit dan fikir.  Ia aliran yang muncul dari gelodak perasaan.  Dan ia hanya terjadi tiba-tiba.  Maka saya jarang-jarang menulis.  Lama-kelamaan saya bagai lupa untuk mencurahkan perasaan seperti itu.

Rupa-rupanya,  tidaklah demikian.  Kadangkala ia perlu renungan, memikir-mikir dan membaiki di mana yang perlu.

Munaliza, di mana dia sekarang..  Sajak itu pun entah di mana hilang.  Tidak dapat dibuktikan tetapi saya benar-benar menulisnya satu ketika dulu.

LST - antara faktor kegagalan pengarang puisi

a.  Idea, isu dan tema yang terbatas dalam karya; terlalu bersifat setempat dan peribadi.

b.  Kurang pendedahan pada peringkat nasional.

c.  Tidak mengikut perkembangan kesusasteraan luar dan antarabangsa.

d.  Tiada pegangan yang kukuh; pemikiran dan karya.

e.  Tiada kecenderungan ke arah memperkasakan budaya ilmu.

f.  Tidak serius; mengarang sambil lewa, iseng-isengan sahaja.

-Lim Swee Tin, muka surat 101.  Berkelana di belantara kata.

samb. LST - berkelana di belantara kata

Idea dalam karya - idea yang samar-samar akan mengaburkan karya menjadikan karya itu hilang punca sekaligus bercelaru.

Puisi sebagai pernyataan indah - bukan idea semata-mata.  Dalam puisi bukan semua bahasa digunakan.  Ia dapat diterjemahkan dengan licin dan baik menggunakan kata-kata yang sesuai dan tepat iaitu dengan memanipulasikan bahasa.  Dalam puisi ada imej, perlambangan dan kata-kata simbolik.

Penciptaan Puisi : satu proses kreatif - mahukan puisi yang baik mesti serius.  Ia mungkin muncul tiba-tiba atau difikirkan tentang sesuatu.  Namun ia tidak muncul sempurna sekali gus.  Murnikan sebaik mungkin, simpan dan baca lagi hingga ia benar-benar sebati.

Buku yang membuka dimensi baru buat saya terhadap puisi.

Satu Cerita Cinta

Di hari ia melahirkan cintanya
ia berkata kepada kekasihnya
"Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta."

Di hari perkahwinannya
ia berkata kepada kekasihnya
"Perkahwinan ini hanya ikatan
tapi kita tak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta."

Di hari-hari kemudiannya
ia berkata kepada dirinya
"Perkahwinan kadang-kadang mengajar kita
melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama."

(memetik petikan salah satu puisi dari kumpulan 'Keberangkatan' di sini)

Thursday, August 26, 2010

Lim Swee Tin berkelana di belantara kata..

Tarikh pulang ialah 28 Ogos 2010.  Beberapa 'menjak' saya mula tinjau-tinjau buku puisi.  Ada sedikit di rak, dan kebanyakannya milik penulis tempatan Brunei.  Saya fikir buku ini boleh membantu membuka pintu akal saya yang begitu daif tentang puisi. 

Saya pun cuba baca.  Sambil duduk, sambil mengereng, sambil baring, atau dalam kereta sambil tunggu tiga H keluar dari bangunan sekolah.  Beberapa muka surat, saya terlelap.  Terjaga semula, ulang muka yang sama, mamai.. Baiklah, lima minit.  Saya pun lelap semula. Kelemahan diri.

Selepas beberapa ketika, saya terjaga dan baca lagi.  Aduh..  Sebenarnya ada yang menarik dan memotivasikan.  Antaranya, penulis ini memberitahu hasil penelitian beliau terhadap puisi, syair dan sajak.  Saya petik sepenuhnya.

'Daripada pantun dan syair saya mengenali cara pemakaian bahasa yang halus.
Pertama, kata-kata yang dipilih tepat dengan gambaran yang mampu dijangkau fikiran kita.
Kedua, kata-kata ini amat indah sebenarnya.
Ketiga, susunan baris yang kemas boleh membangunkan apresiasi.
Keempat, maksud yang hendak disampaikan terang.
Dan akhirnya, dari segi kesan estetik.'
(muka surat 42-43)

Belum habis membacanya tetapi suka saya memetik kata-kata ini - Karya yang baik akan digemari pembaca, menghiburkan serta bermakna.

Thursday, August 19, 2010

Selamat Kembali buat Cik Mat yang diingati

Cik Mat nama panggilannya.  Baik tua baik muda memanggil begitu.  Setiap hari rutin beliau mengambil kanak-kanak untuk dihantar ke sekolah.  Tengahari beliau sudah siap-siap parkir dekat dengan pintu pagar untuk memudahkan kanak-kanak mendapatkan vannya.  Tugas berakhir apabila tamat sekolah ugama pada petang hari.

Tatkala hari hujan Cik Mat menunggu dengan payung.  Kalau ada yang merayau, Cik Mat tunggu dengan sabar.  Kalau ada yang terlewat bangun waktu pagi, lambat bersiap, Cik Mat tunggu juga.  Anak-anak saya pernah menggunakan perkhidmatan beliau.  Hurin pernah kelewatan.  Cik Mat tunggu juga walaupun kanak-kanak lain mula merungut.  "Sabar.. sabar.."  kata Cik Mat.  Pernah Cik Mat memujuk Hurin yang menangis terkejut ketika nak naik van.  Ada katak dalam kasutnya.

Selasa, 7 Ramadan di Malaysia.  Kami mendapat panggilan hampir jam 4 pagi.  Berita disampaikan oleh Cik Nafi, mengabarkan Cik Mat telah kembali ke rahmatullah.  Innalillah hiwainna ilaihirajiun..

Cik Mat rupa-rupanya sakit jantung.

Cik Mat mengadu sakit dada jam 12 malam, dihantar ke klinik dan terus ke hospital Klang.  Arwah menghembuskan nafas yang terakhir jam 1.15 pagi.

Tatkala bertukar-tukar berita dengan Cik Nafi, pengerusi Taman Sijangkang Permai 1, dikhabarkan arwah pernah bertemu doktor.  Doktor telah menasihatkan beliau ke hospital untuk rawatan lanjut.  Bermakna arwah memang ada mengalami simptom serangan jantung. 

Itulah yang membuatkan kami terharu.  Arwah kata, dia banyak tanggungjawab. Tak boleh memudah-mudahkan ambil dan hantar kanak-kanak nak belajar di sekolah.  Mereka nak menuntut ilmu untuk menyuluh hidup di masa depan.  Besar pengorbanan Cik Mat.  Beliau korbankan diri sendiri.

Jadi, arwah mengenepikan keperluan dirinya sendiri.  Sepatutnya beliau sedang mendapatkan rawatan dari doktor.

Kalau masuk wad, siapa pula nak ambil dan hantar kanak-kanak ke sekolah.  Bukan dua trip, tapi banyak trip sampai ke petang.  Bukan kanak-kanak taman sahaja, tapi serata kawasan sekitar.  Memang ramai yang menggunakan perkhidmatan Cik Mat.  Beliau sahaja yang menolak kadang-kadang kerana lagi jauh lagi banyak masa untuk sampai ke sekolah.  Nanti lewat pula.

Saya pun pernah bawa van tetapi hanya untuk bawa anak-anak sendiri juga anak-anak nurseri.  Itupun tidak lama, hanya beberapa bulan sahaja.  Tidak bersaing dengan Cik Mat pun.

Cik Mat peramah orangnya.  Kalau bertemu, pasti angkat tangan dan bertukar senyum.  Kerap juga Cik Mat menyalakan lampu sebagai isyarat menyapa.  Paling tidak angkat kepala sedikit.

Mak saya cukup suka mengusik Cik Mat.  Cik Mat pula pandai menyambut gurauan mak.  Kemudian terdengarlah suara Cik Mat yang besar garau ketawa berdekah-dekah.  Mak pula terkekeh-kekeh.  Pantang nampak Cik Mat lalu di depan rumah, tentu terpaksa berhenti kerana ditahan mak.  Ada-ada sahaja storynya..  Sebab tu mak dapat gelaran tak formah, Mak Ngah Joyah.

Jam 10 pagi semalam, jenazah arwah selamat dikebumikan di perkuburan Islam Sijangkang.  Pergilah seorang insan yang baik budi.  Hanya tinggal kenang-kenangan seorang bekas pengerusi taman yang budiman.  Tinggal ingatan Cik Mat yang besar tinggi agam orangnya.

Kini terpaksalah beberapa orang menjadi bidan terjun mengorbankan masa mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah.  Itulah tanggungjawab sosial yang perlu dipenuhi.

Selamat jalan dulu Cik Mat.  Kami utuskan doa semoga Cik Mat ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman.  Semoga Cik Mat tenang di sana.  Dengan rahmat Allah yang Maha Pengasih mencucuri rohmu.  Semoga Cik Mat berada di satu tempat yang adalah satu daripada pintu-pintu syurga.  Al Fatihah buat arwah Muhammad Tarmizi bin Tajul Arof.

Tuesday, August 17, 2010

Alhamdulillah syukur ya Allah

Satu petang kami menghulurkan sepinggan mee goreng hailam basah
tanpa diduga balasannya ialah kolo mee
nasi yang ditanak pun tak terusik
macam dah terlalu lama tak jumpa mee goreng sedap.

kemudian petang esoknya 
kami  punya nasi goreng dan kari ikan
tiba-tiba kami dihulurkan nasi goreng juga
rupanya nasi semalam yang tak disentuh oleh sesiapa
digoreng campur macam-macam.


tadi ada jemputan dari AJK Masjid Seria
malam ini malam istimewa
pegawai Kementerian Ugama akan sungkai bersama
solat terawih 20 rakaat 
khemah biru dan kerusi biru sudah tersusun rapi
siap dengan pinggan mangkuk sudu dan senduk
angan-angan mahu bersama merai jemputan

tapi rezeki dihulurkan ke tangan sendiri
sedulang hidangan menjelma
ada ayam sambal, ayam goreng butter, gorengan pucuk paku
ditambah lagi dengan membeli mee lambak, kue teow lambak
nun jauh di Restoran Amanah Harith
nampaknya hanya kukus nasi semalam je
dan buat air teh o nipis manis-manis buah
Alhamdulillah

kuih tradisional Kuih Cucur pun ada di sini tau!  Teringat kuih cucur yang pernah uwan buat

sedang selera dijamu
tiba-tiba pintu diketuk perlahan
burger berlapik keju dan kek dihulurkan
Alhamdulillahhhh syukur ya Allah
teringat pula tak semena-mena
tadi ada beli kuih donut
berbagai rupa dan rasa
memenuhi hajat anak yang keletihan berpuasa

bagai rezeki dari langit
yang turun terhidang
disampai-sampaikan oleh huluran tangan-tangan
rezeki yang murah di bulan penuh berkah
Alhamdulillah syukur ya Allah.

Sunday, August 15, 2010

Satu hari, Hanessa dan telatahnya.

Sejuk menggumpal diri di sudut

Tunggu cikgu.  Masih awal. 


Gaya bebas




Nama saya Hanessa



Main pasir, aktiviti kegemaran -  Pantai Seri Kenangan, Tutong.

Tudung berbunga baru beli pilihan sendiri - Miri.

Letihnya




Asyik


Gambar mama saya


Puteri Solehah


Selesai solat berjemaah

Mama, nanti kejut saya nak solat terawih.. (tapi berdengkur-dengkur tak mampu buka mata langsung akhirnya)

Panorama Alam 2


Bercanda di lopak air, di tengah-tengah jalan.  Indahnya suasana.




Pelbagai corak awan yang selalu mengindahkan langit Brunei

Di bawah jaluran pelangi 

Di puncak tinggi merenung alam

Thursday, August 12, 2010

Terima kasih sekali lagi

Hmm.. blog ni bukanlah blog yang mengejar populariti.  Tidak sarat dengan fakta ilmiah atau nasihat-nasihat, atau kata-kata orang alim, atau petikan maksud firman dan hadis.  Cuma ada sedikit di celah-celah, teramat sedikit.  

Kadang-kadang cemburu melihat blogs popular yang sangat cepat mendapat respon dan komen melambak dari bloggers.  Ada puji-pujian terhadap entri yang dikeluarkan.  Memang bagus, kerana ia mengisi kelaparan bloggers yang 'lapar ilmu pengetahuan' seperti kata pembimbing blogger di buku mari belajar membuat blog.  

Tetapi seperti tujuan asal, walaupun sedikit cemburu, tidak mengapa blog ini sunyi dari komen.  Cukuplah melihat ada pengunjung yang datang di 'Tang mana wehh.." tu.  Sebenarnya dah nak delete yang itu, tetapi tidak digalakkan.  Lagipun boleh juga menjadi penguat semangat, ohh ada juga yang baca blog sepi aku ni, hehe.. iyalah, maksud saya selain bapak diorang ni, kakak dan rakan bloggers yang follow.

Oh ya, terima kasih banyak to all followers.  Saya sangat menghargai kesudian anda, dan saya akan terus mengucapkan terima kasih kerana anda menjadikan blog ini sedikit lebih bererti buat saya sendiri.  Ada kenalan baru nampaknya; Rose.  Saya dah ziarah dan follow blog dia pulak.  Terima kasih Rose.  Dan ada  jugak orang yang kejap hilang kejap ada.  Hehe.. Kalau nak tambah followers jadi lebih ramai, boleh.. caranya macam petua bloggers  - selain bloggers luar yang tertarik untuk add dan follow, juga kita pakatlah dengan suku-sakat sedara mara dan sahabat handai supaya saling meng'add'..  

Saya sudah jarang dapat ziarah ke blog lain.  Hanya buka Naqhuhines dan fb.  Nak buka email pun selalu sangkut, payah nak bukak dari sini.  Saya menggunakan B-mobile, sekitar $1 untuk satu jam.  Di perpustakaan boleh juga tapi nak ke sana selalu tu payah sikit.  Jadi macam cuti-cuti ni dapatlah menumpang laptop abah Hanessa, atau sebelah malam dia pulang dari kerja.  Laptop sendiri belum upgrade lagi.  Cuma untuk menulis dan save dalam thumbdrive.  Itulah payahnya, bila diedit dari laptop suami, nak tengok di laptop sendiri dah tak boleh.  Leceh betul, tapi sabar saja la...  

Sebenarnya saya lebih selesa berada di blog yang 'cool' macam ni.  Saya tidak tertekan oleh tuntutan menulis.  Bila ada idea, tulis.  Tak de idea, tunggulah dulu.  Slow tapi steady.  Yang lebih penting, ada sesuatu untuk dibaca oleh Naqhuhines nanti bila-bila masa, tentang diri mereka, tentang ibu dan abah mereka, tentang apa sahaja yang berkaitan atau tidak.  

Baiknya menulis di blog ialah, saya sendiri merasakan dorongan untuk menulis dengan berhemah dan sebaik-baik cara mengikut kemampuan. Kadang-kadang sesuatu peristiwa itu kalau tidak dirakamkan, ia akan berlalu begitu sahaja.  Salah satu cara ialah menulis pengalaman itu dengan segala perasaan yang ada, sedikit komen dan penilaian.  

Kadang-kadang ia peristiwa lucu, sedih, indah dan luar biasa yang hanya sekali sekala berlaku.  Sayang andai dibiarkan peristiwa begitu berlalu tanpa mengambil sedikit peringatan dan pengajaran kalau ada.

Namun tidak dinafikan, tajuk-tajuk yang menjerat memang menjadi.  Entri-entri dengan tajuk sedemikian sangat banyak dikunjungi oleh bloggers.  Itu satu teknik mempopularkan entri sekaligus blog juga. 

Hanya saya suka menulis apa yang saya suka tulis.  Berjuta blog di luar yang padat dan sarat dengan segala informasi berguna.  Ini hanyalah blog picisan berbentuk kekeluargaan.  Apa yang pasti, ia menjadi rakaman perjalanan sebuah kehidupan, dan sesuatu yang menarik apabila saya seperti semakin mengenali diri sendiri setelah beberapa ketika menulis di sini. 

Setelah menulis, biarpun sudah terlalu lama entri itu, kadang-kadang ia muncul dalam ingatan dan saya memikirkannya semula.  Seolah-olah cuba menganalisa pula.  Benarkah?  Ok kah?  Betulkah?  Macamlah penting sangat.  Tapi penting juga, supaya tidak menjadi biawak yang lidah bercabang.

Itulah, saya keluarkan entri mengenai Facebook Melalaikan.  Kutuk la tu.. time terkena.  Tapi bila dah duduk jauh-jauh dari sanak saudara dan sahabat handai macam sekarang, saya akuilah fungsi fb  mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang renggang.  Manakan tidak, hampir semua kenalan  kecil besar sudah ada fb.  Walaupun tidak aktif, tapi kalau ada sesuatu nak dibicarakan, mudah sahaja.  Klik di hujung jari, gitu.  Jimat belanja jugak, bil telefon dan top up.

Kalau pepatah lama mengatakan perbuatan macam ni macam meludah ke langit. Hmm walau bagaimana pun penggemar fb perlu terus berhati-hati dengan kemudahan ini.  Semakin lama semakin menarik isu dan games di sana.  Anda lebih mengerti daripada saya.  

Saya hanya membayangkan andai satu hari tiba-tiba semua ini tidak ada.  Buka laptop klik connection berjam-jam tapi tak ada internet.  Atau klik facebook tak ada apa yang keluar, kosong je.  Lebih haru kalau klik http://naqhuhines.blogspot.com, skrin hitam je... apa dah jadi dan apa akan jadi?  Seluruh dunia pasti terkejut dan gempar!!

Sekian, selamat berpuasa, selamat berblog, selamat berfb, selamat semuanya.  Selamat melayari kehidupan dengan sebaik-baiknya.  Senyum selalu.


Tahap Kritikal

  Bulu matanya lentik seperti anak bulan..


Dia berasal dari India.  Ketika ibunya bertanya kelas tusyen Bahasa Melayu, saya pun menawarkan diri.  Sudah masuk bulan kedua dan dia sudah sampai ke buku 6.  Saya cerewet tetapi dia tidak mengulangkaji di rumah.  Ibunya pun tidak fasih Bahasa Melayu.  Hanya angguk dan geleng yang lebih.  Maka 'tahu' menjadi 'tahi'.  Kadangkala saya tidak dapat menahan diri tergelak kuat mendengar dia menyebut perkataan yang salah.  Tetapi cepat-cepat saya berhenti kerana amatlah tidak baik mengetawakan murid saya yang comel ini.  Biasanya saya serius sahaja dan saya agak dia merasa sedikit gerun.  Cuma Hurin suka membuat aksi lucu yang menyebabkan dia tertahan-tahan ketawa.

Sejak akhir-akhir ini saya lihat tulisan berangkai yang cantik istilah BI di atas beberapa perkataan. Saya mengerti sendiri tentu Rohidh tidak memahami apa  yang dibacanya selama ini, jadi ibunya telah menuliskan makna perkataan itu untuknya.  Saya pun sejak itu cuba menerangkan makna-makna perkataan dengan menggunakan Bahasa Inggeris, memek muka, aksi atau suara yang boleh membuatkan dia faham.  Rohidh selalu mengangguk-angguk, mengulang semula perkataan saya perlahan dan ketawa melihat aksi saya berlakon-lakon. 

Kadang-kadang saya agak putus asa kerana dia tidak begitu mahir Bahasa Inggeris.  Tetapi daripada tak faham langsung, sekurang-kurangnya puas hati juga melihat dia ketawa dan macam faham. 

Kini sudah ada tiga pelajar kritikal, iaitu Hurin, Rohidh dan saya sendiri. 

Hurin perlu menggandakan usaha untuk menyaingi kawan-kawannya di sekolah.  Nampaknya ada peningkatan dalam subjek bacaan seperti Sejarah.  Bahasa Melayu masih skor.  Matematik dan lain-lain kurang memuaskan.  Memang kritikal, PSR akan bermula selepas riang ria hari raya, iaitu 4 Oktober nanti.

Rohidh juga perlu menggandakan usaha untuk menguasai Bahasa Melayu.  Namun kesnya tidak terlalu kritikal.  Dia ada banyak masa untuk membaiki penguasaannya.  Cuma dia kenalah banyak membaca dan menyemak perkataan di kamus bergambar.

Saya pula? 
Ohh.. saya memang di tahap serius lagi kritikal.  Apa tidaknya... setelah ke sana ke sini terlonta-lonta, barulah saya sedar saya menyukai Sastera.  Tatkala meneliti tajuk-tajuk buku di rak, saya teruja melihat buku-buku rujukan aliran Sastera untuk PMR, SPM dan STPM.  Saya beli untuk rujukan sendiri sebuah buku peribahasa yang agak lengkap untuk pelajar SPM.  Apa yang pernah dipelajari waktu sekolah dulu tentulah tidak cukup untuk melengkapi penulisan.  Saya hanya menyedari ini tatkala saya sudah beranak 4, setelah saya mendaki usia dewasa. 

Itulah yang pelik lagi menghairankan.  Waktu sekolah dulu, saya dimomokkan dengan pandangan aliran Sastera untuk pelajar kurang berpotensi atau kurang pintar.  Kini saya rasa ia adalah sesuatu yang jauh dari benar. 

Saya mencintai Bahasa Melayu.  Hingga saya berangan-angan satu ketika nanti bahasa ini akan muncul lagi menjadi bahasa antarabangsa.  Orang bermata sepet berkulit kuning, orang tinggi besar berkulit putih, orang berhidung mancung berambut perang, orang berambut ikal bermata jeli; mereka semua berbicara menggunakan Bahasa Melayu!

Terlalu banyak yang saya tidak tahu tentang Sastera.  Jadi, memang saya pelajar kritikal di tahap kritikal dan perlu mengganda-gandakan usaha untuk memasuki kelompok orang-orang Sastera. 

Dan saya sedang memulai langkah awal.  Kini, beberapa ketika kebelakangan (baru sahaja), saya mula asyik membaca.  Saya pinjam buku-buku dan novel-novel yang memenangi hadiah.  Barulah saya menyedari, ada banyak yang saya tidak ketahui.  Terasa begitu kerugian membiarkan bertahun-tahun berlalu tanpa buku, atau tidak dapat menghayati pembacaan.

Kini saya di tahap kehidupan yang agak tenang.  Si kecil sudah 5 tahun.  Kami perlu menggalakkan mereka membaca sebagai jambatan ilmu.  Namun dalam ketenangan ada semangat dan kegusaran juga. 

Mungkin perlu meneroka fikiran bawah sedar.  Apakah yang telah dirancang oleh diri tanpa sedar?  Andai ia merugikan diri, perlu dibaiki dan ditanam azam-azam baru yang membawa kebaikan.  Usah takut mengejar kejayaan.  Usah ngeri mendaki puncak. 

Sempena Ramadan yang mulia penuh berkah.  Marilah bersama mengorak langkah.  Mencapai cita-cita dan impian yang diinginkan. 

Bismillah.. dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 

Kejayaan ummah dunia dan akhirat buat semua; kami, kamu dan kita bersama.  Insyaallah.

Tuesday, August 10, 2010

Bulan Penuh Rahmat menjelma lagi

Alhamdulillah.  Masih ada umur untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan berkah. 

Marilah bersama menguatkan azam untuk memenuhi malam-malam Ramadan dengan amal ibadah yang sudah dijanjikan Tuhan pahala berlipat kali ganda berbanding malam-malam lain.  Bulan di mana sudah dijanjikan keampunanNya, pintu-pintu neraka ditutup tanpa satupun dibiarkan terbuka.  Syurga-syurga dihiasi seindah-indahnya dan udara harum bertebaran merata, semua pintu-pintunya dibuka selebar-lebarnya tanpa satu pun dibiarkan tertutup.  Para bidadari pun berhias diri dengan segala perhiasan yang disediakan untuk mereka.  Jadilah mereka permata marjan yang kepalang indah, semakin indah jadinya.

Hidayat akan bercuti sekolah ugama selama satu bulan sepanjang Ramadan.  Pelajar pra, darjah 1-3 semuanya.  Manakala pelajar darjah 4-6 akan ke sekolah mulai jam 12.30 pm - 2 pm.  Separuh hari lagi mereka akan berada di rumah.  Semua pejabat kerajaan ditutup jam 2 manakala swasta bermula jam 4 pm.  

Demikianlah jadual harian sebulan ini.  Dengan kelapangan masa yang panjang untuk merehatkan diri yang lelah, semoga kita semua dan anak-anak dapat lebih menghayati ibadah di Ramadan yang mulia.  

Alhamdulillah juga, Hurin semakin sembuh dari sakit tekaknya.  Sejak semalam dia memberitahu tekak semakin kurang perit.  Dia kini sedang menghabisi set tiga botol ubat Homeopathy yang didapatkan dari satu-satunya (sepanjang pengetahuan kami) klinik homeopathy di sini, milik rakyat Malaysia.  Kata cikgunya, dia perlu mendapatkan lagi ubat-ubat itu sehingga sakitnya benar-benar sembuh.  

Buat masa ini, sehingga dibaiki apa yang tak kena, internet tidak akan dapat dibuka dari rumah.  Entah di mana silapnya, error memanjang apabila try connection or redial.  Hmm.. kena la tunggu ia dibaiki oleh rakan sekerja cik abang.  

Kemungkinan hari ini hari terakhir makan siang.  Esok atau lusa akan berpuasa.  Selamat berpuasa buat anda!  

Psst.. puasa qada dah settle ke?  Gurau je, hehe..

Friday, August 6, 2010

Perpustakaan Kampung Pandan Kuala Belait

Gembira sungguh rasanya apabila mata terpandang bangunan biru tercegel tidak jauh dari roundabout paling hening. Tertera perkataan memperkenalkan statusnya iaitu Perpustakaan Kampung Pandan Kuala Belait, Dewan Bahasa Dan Pustaka Brunei Darussalam dengan logo khas di puncaknya. Hurin bersorak-sorai. Akhirnya bertemu juga kami dengan bangunan yang ingin dicari-cari semenjak 5 bulan lepas.
Moden dan serba lengkap

Mudah sahaja rupanya lokasi perpustakaan ini. Ikut sahaja laluan ke Kuala Belait melalui jalan lama dari Seria. Tegak ke angka 12 di dua bulatan besar yang akan ditempuhi. Cukup mudah!

Sudah dua kali saya ke situ. Pertama kali bersama Hurin, ketika membawa dia pulang dari hospital Kuala Belait tempohari. Kami meminjam empat buah buku sahaja kerana saya khuatir tidak sanggup menghabis baca buku-buku itu seperti selalu.
Masjid berkubah hijau di bahagian belakang perpustakaan

Kali kedua pada Isnin lepas, 1 Ogos, untuk memulangkan buku-buku itu yang lebih awal dapat diselesaikan membacanya. Hanya 15 minit dari Seria. 15 minit dari rumah saya pula. Cuma pemanduan berhemah membuatkan perjalanan singkat menjadi lambat. Jalan begitu lurus membuatkan saya menahan geram. Kenderaan bergerak berkumpulan saling mengekori di kedua-dua lorong jalan lama ini. Saya perlu menjaga imej pemandu Malaysia yang antara paling terpercaya di sini. Kalaulah di sana, tidak saya, pasti ada pemandu-pemandu ranggi yang sudah berdesup jauh lalu menghilang. Di sini pun ada, Ferrari, Porche, Lotus yang lebih kerap ditemui di BSB.

Saya sudah menetapkan buku-buku yang perlu dipinjam seterusnya. Apa yang pasti, buku karya kreatif FT mesti saya pinjam. Aneh, saya tidak mengantuk membaca buku tulisannya. Itu petanda saya amat tertarik dan tulisan itu berjaya menarik hati saya. Padanlah dia memenangi hadiah novel sastera. Ada pengetahuan dan perjuangan dengan bahasa yang lancar indah.

Kali ini saya meminjam lapan buah buku. Tatkala mengambil buku puisi, saya rasa resah. Novel hantu berbahasa Inggeris. Buku panduan hak cipta penulisan. Buku cerita rakyat dan edisi khas trilogi cerpen yang tebal hingga menakutkan saya pula.

Dan, alhamdulillah, saya berjaya menghabisi karya kreatif FT pada hari pertama. Buku kedua dan ketiga pada hari seterusnya. Saya mula menikmati bahan bacaan dan melihat perbezaan-perbezaannya. Ada karya hebat dan ada karya sekadar hiburan. Dengan mata yang kabur, saya akan terus membaca, insyaallah.

Kini kembali kepada novel hadiah dari penulis tersohor yang amat saya hormati. Saya berhenti membaca novel beliau beberapa ketika, dan memulai semula dengan penghayatan yang lebih baik. Dapat dibayangkan gambaran ceritanya, dan mendengar debaran jantung sendiri. Saya berkali-kali menahan kemahuan melompat terus ke perenggan di muka sebelah. Saya mesti membaca dengan berhemah. Menjadi pembaca yang baik, dan tidak membuat konklusi cerita memandai-mandai. Memang beliau penulis yang hebat. Patutlah kerap menggondol tempat terbaik di pertandingan.

Maaffff.. saya berkata apabila mata melirik ke novel-novel tebal bersadur potret wajah romantik. (Mengapa kebelakangan ini saya kerap melihat novel-novel berwajah Pan Asian bertudung dan berkopiah di kulit luar novel-novel ini? Muka orang Melayu asli dah tiadakah?) Apakah satu ketika saya wajib meminjam novel tebal ini pula? Hmm..mungkin juga, dan membacanya dengan penghayatan yang cukup tinggi. Mampukah aku tanpa rasa terseksa?

Buku hantu itu! Kadang-kadang awak perlu berpura-pura suka, dan awak benar-benar akan suka. Saya pun menghadap buku hantu itu dengan penuh selera lalu menghabisinya tidak sampai ke petang. Tiba-tiba celakanya elektrik putus, ruang rumah yang bertutup rapi menjadi gelita dan terbayang-bayang muka hantu di kulit buku. (Seram sangat ke..? Tak pun, novel remaja je. Habih tu?)

Koleksi puisi yang tebal itu! Biarlah aku berpura-pura sendiri. Akan kuteliti setiap perkataan dengan ghairah yang hebat hingga ke noktah terakhirnya. Moga-moga memberi kebaikan dan tidak lagi kepura-puraan yang menyeksakan.

Kata seorang editor persendirian, saya mesti banyak membaca karya sasterawan. Menulis sesuatu perjuangan dan mengeluarkan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan sejagat melalui tulisan. Itulah yang ditekankan oleh penulis pembimbing saya. Itulah yang saya sedang fikirkan. Apakah perjuanganku?

Saya terhenti usaha menyiapkan bab di novel. Saya baiki cerpen awal remaja dengan bahasa yang saya fikir sesuai. Namun kata pembimbing, bahasa saya masih tidak secocok untuk remaja. Dia menyuruh saya memikir-mikir untuk novel dewasa atau akhir remaja.

Waktu ini, hati saya melonjak-lonjak hendak membaca karya Pak Hamka dan Kisah 1001 Malam. Masih belum berjumpa di perpustakaan Kampung Pandan. Ada ke tak ada, wallahualam.

Wednesday, August 4, 2010

Dia Tak Kisah..

"Lain kali kalau ada orang cakap macam tu, lempang je!"
Dia tertawa.  Pipinya yang tembam semakin tembam kelihatan.  Matanya bercahaya dan giginya terpamer putih bersih.

"Kamu ni lurus sangat!!"
"Kamu tak kesah ke budak sebaya ingat kamu makcik?  Sampai panggil kamu auntie lagi."  Saya sedikit sesal.

"Takkkk.."  sahutnya bersahaja, masih gelak-gelak.

Macam tak ada perasaan je.

"Kamu suka, orang tanya kamu ni bibik abah?  Atau orang ingat kamu adik mama?  Lebih teruk orang keliru antara mama dan kamu!"

Saya diam.  Satu ketika pasti kekeliruan tidak akan berlaku lagi.  Perbezaan akan semakin ketara.  Yang muda semakin remaja dan yang tua semakin menuju tua.  Namun buat beberapa ketika kekeliruan mungkin berlaku beberapa kali lagi.  Hehh..

Dia ketawa lagi. 

Saya tak terkata apa.  Abahnya pun tertawa sama.  Dia belum ada perasaan segan dengan keadaan dirinya.  Kami semua sayangkannya.  Tidak ada istilah pilih kasih.  Insyaallah setakat hari ini kami sayang sama sahaja.  Semuanya anak-anak yang kami kasihi.  Walau sekali sekala ada juga mulut-mulut mongel yang gatal mulut bertanya siapakah yang paling dikasihi di antara mereka.  Termasuklah dia.  Jawapannya tetap sama.  Oleh itu dia tidak pernah rasa terpinggir.

Hanya kami, lebih tepat, saya sendiri, terperasan kadangkala ada juga sikap-sikap memilih tetapi tidak perlu diendahkan kerana ia dari orang luar.  Bukan dari kami.

Dia memang tidak kesah dengan keadaan dirinya yang montel.  Hanya dia selalu marah kalau adik-adiknya mengata-ngata keadaannya yang begitu dengan perkataan-perkataan berbisa yang menyakitkan hati, apabila mereka berselisih pada waktu-waktu tertentu.  "Gemuk, gedempol, hitam berkilat, gemuk, gemuk, gemuk" yang diulang-ulang semata-mata untuk menyakitkan hati si kakak yang sedang berang.

Itu waktu gaduh-gaduh.  Kalau waktu berbaik-baik, adik-adik yang bermulut lancang tadi akan duduk dekat-dekat sebelah kiri dan kanan kakak menganga mulut.  Lalu kakak yang sedang menyuap pun dengan senang hati menyuapkan adik-adik yang tiba-tiba jadi manja tak menentu.

Ada pula kalanya Hanessa begitu teringin berbuai kain.  Dia pun dengan rela hati mengendong si adik dengan kain pelikat yang disandang di bahu sampai dia kelelahan.  Kadangkala kakinya yang tegap dipeluk si adik yang meniarap di lantai sekuat-kuat hati.  Apabila kakak menarik kakinya, adik pun menjadi 'mop lantai' sambil tertawa-tawa.  Kekadang juga usai solat, si adik terus menerpa ke pangkuan kakak berbaring mengada-ngada. 

Kadang-kadang rasa amat kasihan padanya.  Hatinya tercalar oleh kata-kata dan usikan yang berbagai.  Pernah ada yang bertanya tentang warna kulitnya.  Mereka banding-bandingkan dia dengan abangnya, yang hanya dilihat di gambar sahaja.  Mereka bertanya mengapa dia terlalu hitam.  Mereka mencemuhnya.  Macamlah mereka tu putih sangat.

"Tak mengapalah, biar kulit hitam asal hati putih.  Mulut tempayan tak mungkin dapat ditutup.  Kadangkala kita tak tahu mengapa orang suka pada kita, demikian juga akan ada orang yang tak pasal-pasal benci kita.  Itu lumrah biasa.  Mama pun sama.  Semua orang begitu.  Rasulullah s.a.w. pun menghadapi perihal serupa.  Yang penting kita tunjukkan akhlak yang baik dan, belajar sungguh-sungguh,"  pesan saya setiap kali dia mengadu dicemuh-cemuh kawan-kawan.

Sungguhpun demikian, syukur kerana di celah-celah kelompok yang buta warna, ada juga yang baik dan sangat menghargai kehadirannya.  Maka setiap hari dia menceritakan perihal kawan-kawan yang baik dan menggembirakannya dengan pelbagai telatah lucu.  Selepas dia mengalirkan airmata kesedihan, dia akan tertawa pula.

Sesungguhnya, yang memuliakan kita ialah Yang Maha Mulia, Yang Memiliki Segala Kemuliaan dan milikNYA lah segala kemuliaan.  Ya Allah, muliakanlah kami di dunia dan di akhirat,.  Selamatkan kami dari kehinaan dan sembunyikanlah keaiban kami.  Ampunilah segala dosa-dosa kami dan kasihanilah kami.  Ameen ya Rabbal Alamin.

Friday, July 30, 2010

Makanan Mencerdaskan Minda

Blog ini sebenarnya untuk tatapan Naqhuhines satu ketika nanti namun ia ingin juga dikongsikan.  Ia bukan blog yang popular.  Ada senarai draft terdiri daripada petikan-petikan berguna untuk tatapan Naqhuhines tetapi ada kalanya saya fikir tidak berapa bagus memetik-metik semata-mata untuk mengemaskini blog.  Ia sewajarnya diisi dengan sesuatu yang lebih hampir dengan diri barulah diikuti dengan perkara luar.  Ada juga sesuatu berbentuk fakta yang sangat berguna dulu, kini dan selamanya seperti petikan di bawah.  Ia untuk anda, saya dan mereka, dari segala usia.  Semoga bersama dapat mengambil kebaikannya.  Insyaallah.

1. Madu Lebah - untuk mengubati penyakit lemah berfikir dan mudah lupa. Ia berunsur manis yang menimbulkan kerajinan, kekuatan, kecemerlangan, bertenaga dan kesukaan. Hadis Rasulullah s.a.w, maksudnya "Hendaklah kamu berubat dengan dua perkara, iaitu madu dan al-Quran." (Ibnu Majah dan al-Hakim).
Ia mnengandungi vitamin A, B-Kompleks, vitamin C, dan K juga banyak zat galian.
Madu juga berperanan menghilangkan lendir dan kahak dalam dada yang menyebabkan lupa. Sabda Rasullah s.a.w, bermaksud "Sesiapa hendak menghafal, hendaklah minum madu. Ia adalah penyembuh segala penyakit, manakala al-Quran adalah penyembuh penyakit jiwa, kerana itu hendaklah kamu selalu menggunakan dua jenis ubat, iaitu madu dan al-Quran (pembacaan dan pengubatannya)."

2. Halia - paling baik ialah halia bara (berwarna merah). Berkhasiat untuk menyegarkan serta menguatkan saraf, menghancurkan dan menghilangkan kahak, membetulkan perjalanan darah serta menguatkan ingatan. Firman Allah, maksudnya: "Mereka (orang yang bertaqwa di dalam syurga) diberi minum segelas air yang bercampur dengan halia." (Surah Al-Insan:17).
Cara makan halia - dihiris atau ditumbuk dan campur dalam maskan.  Dijadikan halwa manisan dan dimakan pada waktu pagi, amat mujarab mengatasi penyakit lupa.  Direbus dan diminum airnya, dengan menambah susu atau gula supaya lebih enak.  Ditumbuk dan direndam dalam air panas.  Dicampur dengan madu lebah.  Minum dalam keadaan panas atau suam, jangan campur ais.

3.  Susu - minuman berprotein untuk menambah kekuatan, kesihatan dan kecerdasan.  Khasiat susu - membantu menambah tenaga fizikal, menguatkan tulang belakang, mengelokkan otak, meningkatkan kecergasan akal, menajamkan penglihatan, menghindari penyakit lupa, menghilangkan suhu panas badan dan jantung, dan menambah kecerdasan otak bayi di dalam kandungan ibu yang minum susu.
Cara minum susu - minum terus, campurkan 7 biji badam dan 21 biji kismis.   Cuci mulut selepas minum susu. 

4.  Kismis (zabib) - kismis kuning lebih baik dari kismis hitam (menurut Ibnu Qayyim).  Khasiat kismis - untuk menghilangkan batuk dan balgham (kahak), menormalkan kandungan air kencing, menguatkan perut, membantu mncerdaskan akal, menguatkan saraf, menghilangkan penyakit hempedu, menghindarkan keletihan dan mengelokkan jantung.  Cara makan kismis - sebelum sarapan pagi, tengahari dan sebelum tidur malm, sebanyak 7 biji sekali makan (21 biji sehari).

5.  Minyak sapi - sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya, "Hendaklah kamu sentiasa minum susu lembu betina kerana sesungguhnya ia penyembuh penyakit, lemaknya ubat dan dagingnya (dimakan berlebihan) penyakit."  (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi). 

6.  Lobak Merah - kaya dengan protein, karbohidrat, kalium, natrium dan kalsium.  Mengandungi alkali yang tinggi dan iodine dalam kadar sedikit, juga semua vitamin dalam nisbah yang baik.  Amat baik untuk gigi, mengatasi keletihan, mencegah jangkitan kuman dan bakteria, menjaga sistem saraf, awet muda, mencerahkan mata, mencerdaskan akal, mencegah serangan barah, melawaskan buang air kecil, membaikkan hati dan membasmi kelupaan (menurut Imam as-Sya'rani dalam Mukhtasar Tazkirah al-Imam as-Suyuti).  Cara makan - minum segelas air lobak merah setiap hari, jika dimakan berlebihan oleh kanak-kanak boleh menyebabkan over active dan sukar mengawal pergerakan.

7.  Telur - adalah makanan yang lengkap dan tinggi kandungan protein, lemak, vitamin dan zat galian.  Dimakan untuk menambah kekuatan badan dan menjaga kesihatan kerana mengandungi kalsium karbonat, magnesium. zat besi, sulfr dan fosforus. 
Cara makan kuning telur - campur kuning telur separuh masak dengan madu lebah, tumbuk 7 biji buah badam dan makan setiap malam sebelum tidur.

8.  Bunga cengkih - bersifat panas dan bagus untuk orang bertubuh sejuk juga untuk melancarkan darah. 

9.  Wangi-wangian - Imam Asy-Syaafie r.a : "Antara perkara yang dapat menguatkan tubuh ialah dengan mencium bauan yang harum."  Apabila mencium wangian, roh akan menjadi kuat maka akan kuatlah segala anggota badan kerana kekuatan roh menjadi punca atau sumber kekuatan tubuh.  Wangi sering dikaitkan dengan sifat syurga.

10.  Kasturi - sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Sebaik-baik wangi-wangian ialah minyak kasturi," (Riwayat Muslim dari Abi Said al-Khudri r.a.)

Paling-paling tidak sediakan sebotol madu di dapur setiap masa.  Kasturi asli susah nak jumpa tapi boleh beli wangian kasturi yang masih ala-ala, masih boleh mengharmonikan minda dan emosi yang kusut.  Bunga cengkih dan telur takkan tak ada kat dapur.  Pokoknya semua selalu ada di sekeliling kita.  Jadi, semoga minda kita cerdas dan cergas buat kelangsungan hidup yang sukses.  Juga doa, doa dan doa sepenuh harapan ke hadrat Penguasa seluruh alam yang Maha Mengabulkan Doa.

Monday, July 26, 2010

Hari yang mendebarkan..

Hati masih tenang, tidak ada debaran.  Namun saya anggap hari ini tetap mendebarkan.

Sudah beberapa kali saya membuat panggilan telefon kepada Naqib tetapi tiada jawapan.  Mujur panggilan ke telefon abah tadi berjawab, keresahan saya mengendur sedikit.  Sejak petang semalam pun sebenarnya panggilan ke telefon bimbit abah mengecewakan.  Saya agak risau kerana mak dan abah dalam perjalanan yang memenatkan dari Ipoh.  Apatah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.  Di sini hujan turun lebat dan reda silih berganti semenjak tengahari semalam.  Berita cuaca dari facebook mengatakan di Semenanjung juga demikian.  Apabila hujan turun jalan menjadi lebih licin dan boleh mudah tersasar, serta pandangan ketika memandu menjadi kurang jelas.  Boleh mengundang bahaya!  Walaupun ada seseorang yang mengambil tempat pemandu untuk perjalanan tersebut, saya masih sedikit resah.

Waktu ini, Naqib masih belum menjawab panggilan saya.  Sebenarnya bukan suasana di masjid Sri Petaling yang membuatkan saya gelisah.  Saya memikirkan cara dia mahu  pulang ke madrasah sebelum Asar berakhir petang ini.  Menurutnya esok hari terakhir cuti.  Paling tidak esok dia mesti kembali ke madrasah.

Hmm.. orang lelaki memang selalu tenang.  Kata abah Naqib, mungkin dia sedang berehat di dalam masjid, jadi telefonnya di'mute'kan.  Mungkin juga.  Jadi saya pun memujuk hati supaya turut tenang.  Kalau risau dan resah, fikiran akan menjadi lebih buntu.  Saya berharap dia semakin panjang akal untuk mencari jalan keluar dari masalah.  Saya perlu yakin diri dan yakin kepadanya.  Seperti keyakinan yang diberikan oleh abahnya kelmarin tatkala dia mohon izin mahu ke sana.

"Abah dulu, umur 13 tahun sudah naik bas sorang-sorang dari Segamat ke Klang,"  kata abahnya membangga diri.  Biar si anak pun yakin diri macamnya juga.

Jadi, saya pun menurut sahaja rentak yang dilagukan.  Walau naluri hati ibu tidak lepas dari rasa risau.  Bayangan bersulam tanda tanya bermain-main di fikiran.

Naqib, jawab la panggilan mama ni!

Ain pula akan masuk wad di Hospital Kuala Belait malam ni.  Doktor mahu buat pemantauan tonsilnya yang bengkak.  Sekiranya perlu, dia akan menjalani pembedahan.

Okay, cerita selanjutnya akan menyusul esok lusa bersama gambar Ain cemek di katil hospital, hihihi...  Doakan dia sembuh segera, peperiksaan MOCK akan bermula 2 Ogos ini.

Sunday, July 18, 2010

Hidayat hilang penat..

Seawal 5 pagi sudah mula bersiap, dan embun masih berkilau di hujung rumput Padang Bandaran Kuala Belait, kami sudah sampai di sana.  Orang tempatan pun masih belum nampak di mana-mana, hanya beberapa kerat sahaja.  Laluan berkhemah sudah siap mengelilingi padang dihiasi bunga-bungaan indah.  Pentas Diraja siap menanti sebarang aturcara di pentas persembahan yang berhadapan.  

Tercangak-cangak, lalu kami menuju ke kerusi untuk para jemputan menumpang duduk di situ.  Abah Hidayat sudah pergi memantau penyelenggaraan penghawa dingin di Rumah Bersantap Diraja.  Aduhh, perut memulas lagi.  Urusan pagi belum selesai.  Tadi sudah menjenguk di tandas, pemandangan yang ada membantutkan selera.  Tetapi kali ini tidak boleh tidak mesti diusaikan urusan.  Alhamdulillah tandas sudah dicuci dan saya jadi pengguna pertama.  Malangnya lantai tandas perlahan-lahan dipenuhi air.  Tersumbat rupanya.  

Kembali ke kerusi, dapat pula kawan baru.  Wanita Indonesia yang sudah 15 tahun mencari rezeki di sini, dan belum sampai setahun dikhitbah oleh orang tempatan.  Wanita yang anggun dan lemah-lembut bila berbicara.  Dia bersendirian selepas ditinggalkan oleh suaminya yang memantau kerja-kerja terakhir di sekitar Padang Bandaran.  Perut sakit lagi dan saya menggunakan tandas kedua yang terpaksa dipegang oleh Hurin pintunya kerana sudah pecah tempat kuncinya.  Sekali lagi tapi bukan kerana saya, tandas itu tersumbat bowlnya kerana ada pengguna sebelum saya yang memasukkan tisu.  Di luar ada wanita bersama anaknya sudah menunggu.  Terpaksa saya khabarkan keadaan tandas itu yang sudah saya rebahkan penutupnya.  "Ah, memang beginilah tiap tahun," rungut wanita itu menyahut cakap saya.  Oh, begitu rupanya.  

Hanessa dah tak larat, mula nak berdukung.  Mujur kakak masih kuat nak melayan adik manjanya

Hampir 4 jam melangut.  Kami diminta mengosongkan kerusi jemputan yang rupanya sudah siap dinomborkan di belakangnya.  Hurin dan Hidayat sempat bertepuk-tampar.  Dan beberapa kali mengulangi tandas berdekatan.  Akhirnya yang ditunggu-tunggu pun tiba.  Jam 1030 Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam tiba bersama helikopter sebelum menaiki Roll Royce masuk ke perkarangan padang.  Rakyat jelata kian sesak memenuhi padang.


 

 
Lagu kebangsaan Negara Brunei sedang berkumandang saat ini secara live.

Acara kemuncak ialah Acara Tarik Kalat Heavyweight antara pasukan Brunei Muara dan pasukan Kuala Belait.  Acara dimenangi oleh pasukan Brunei Muara.  Terdengar suara-suara berkata, "Mesti memang atu bah, badannya besar-besar."  Pasukan Kuala Belait juga tegap-tegap, cuma kalau ditimbang beratnya masih kurang sedikit dengan pihak lawan.


Persembahan diteruskan dengan ucapan serta nyanyian nasyid.

 
Anak dara kecil ni memang dah tak larat, nak berdukung sahaja.  

 
Selesai acara penyampaian hadiah kepada pemenang Tarik Kalat Heavyweight, penasyid memulakan barisan untuk menyambut salam Baginda Sultan di sepanjang laluan.  


Lautan manusia.  Berasak-asak untuk mendekati Sultan berjiwa rakyat.  Hidayat yang bercita-cita mahu bersalaman dengan Baginda Sultan sudah standby di hadapan.  
Gambar bersalaman tidak dapat dirakamkan kerana terlalu ramai dan terlalu cepat.  Namun Hidayat cukup puas hati dapat mengucup tangan baginda.  Rupa-rupanya Hurin, Hanessa dan abah mereka juga berpeluang bersalaman.  Juga bersalaman dengan Putra Mahkota Pengiran Muhtadee Billah dan kerabat yang lain yang mengiringi baginda.  
"Hilang penat dapat bersalam dengan Sultan," kata Hidayat.  Sebelum itu dia sudah merengek-rengek mahu pulang ke rumah.  Putus asa dengan rasa penat dan panas.  Walau bagaimanapun, kemunculan Baginda Sultan diiringi dengan suasana redup, sama seperti ketika acara di ABDB.


Sempat juga bergaya di kenderaan Bomba..

Saturday, July 17, 2010

Naqib dapat tetamu di hujung minggu

Jarang membuka emel sebab talian tidak memberangsangkan, tadi saya berjaya membaca beberapa emel yang sudah 'basi' tarikhnya.  Satu dari abang tunggal saya yang mengabarkan dia dan kakak ipar akan berangkat menunaikan umrah esok pagi.  Semoga mereka selamat menunaikan ibadah dan selamat pergi balik.  

 Dan emel dari kakak yang menziarahi anakanda Naqib di madrasah.  Tak sempat nak reply emel ini, terus saya copy paste di sini.  Minta izin ye, kak.. 

Terima kasih setulus hati kerana sudi meluangkan masa menziarahi dia.  Dan kebetulan pulak ye, Cik Izun dan Cik Zulnya melawat di waktu pagi, Mak Ngah Ani dan Pak Ngah Zeknya pulak melawat di waktu petang.  Suka benar la dia tu..  Setakat hari ni tak ada yang lain ziarah dia, selain dari uwan dan atuknya yang datang hujung bulan tolong bawak dia beli barang-barang keperluan di kedai.  Masing-masing yang lain ada urusan lain.  Terima kasih sekali lagi, ya.  

Terubat rindu pada dia bila menatap gambar-gambar ni.  Masih gempal macam biasa.  Kami risau juga memikirkan boleh ke dia potong kuku kakinya tu?  Iyalah, agak gendut nak membongkok mencapai kaki sukar sikit.  Selalu ada tukang potong bila pulang ke rumah.. Siapa lagi, mama atau abah dia la.  Juga tolong tengok kebersihan dirinya yang lain.  Entahlah, budak lelaki mungkin memang tak kisah sangat nak jaga diri lebih teliti, tak macam budak perempuan.  Hmm tapi mungkin uwannya boleh tolong 'bersihkan' dia, macam uwannya selalu cuci barang-barang lama hingga putih berkilat atau putih bersih guna klorox tu haha...


Pesanan buat Naqib ~ kalau nak ke Bangi tu pastikan jangan sampai menyusahkan sesiapa baik kawan yang nak ditumpangi ataupun Mak Ngah.  Pandai-pandailah arrange jadual kamu nak bergerak.  Kalau tak perlu dan agak sulit, tak pe la stay je kat madrasah tu.  


Salam sayang buat semua keluarga di mana sahaja berada.  Semoga kita bersua lagi insyaallah, tahun depan kott... moga-moga panjang umur dan sihat semua.  Ameen.  Err.. blog perjalananku tu tak open gak ke to public?  Nanti free kita jengah2 ye.  I followww!!  :)

***

Melawat Naqib

Oleh kerana tak balik kampung dan jeli kelapa ada sedikit, saya mengajak suami menziarah Naqib di Madrasahnya Ahad lepas. Kesian dia, hanya sekali saja pergi menziarahnya dulu, itupun selepas dia menalipon mencadangkan P Ngahnya jual jeli kelapa di madrasah.



Kedatangan kami disambut hujan renyai -renyai. Para pelajar bersidai di kaki lima bangunan selepas selesai solat asar. Naqib segera turun apabila nampak kami dan tersenyum. Lalu kami mengajak Naqib berkelah di pondok kosong berhampiran pintu masuk.

Lalu kami pun makanlah goreng pisang, cakoi dan keropok lekor yang dibawa dengan berselera sambil melihat titisan hujan. Cuma kami agak kurang senang dengan kereta TM yang berada berhampiran yang dihidupkan enjinnya begitu lama.

"Tangan Naqib dah Ok ke?"

"OK. Tinggal sikit je."

"Ada siapa datang?"

"Mak Cik Izun pagi tadi."

"Eh, dulu Mngah datang pun sama hari dengan dia. Ini pun sama hari juga!"

"Bila nak pergi Brunei. Berapa lama?"

"25 Ramadhan."

"Nak pergi Bangi?"

Naqib memberitahu dia ada kawan di Bandar Baru Bangi yang selalu balik pagi Ahad dan pulang petangnya.

"Bolehlah tumpang kawan tu. Tapi telefon dulu takut tak ada orang. Bolehlah chatting dengan Mama..."

"Aah..Naqib dah lama tak tengok blog Mama" ujar Naqib.

Kelihatan masjid yang sedang dibina sudah separuh siap. Bangsal yang menempatkan barang-barang seperti dulang dan sebagainya sudah tiada, hanya tinggal kawasan lapang.

Naqib pergi menyimpan bekas berisi jeli kelapa ke dalam peti sejuk. Mungkin akan dimakan bersama kawan nanti. Naqib memerhatikan kami pulang sehingga hilang dari pandangan.

Dalam perjalanan abang menalipon. Rupanya dia datang rumah, singgah dari menghantar Nano balik ke UKM. Dapatlah berjumpa abang dan K Imah sebelum mereka bertolak ke Mekah 17 hb ni untuk mengerjakan umrah.

Thursday, July 15, 2010

Mengolah Novel Terancang ~ Ummu Anas

Entri yang bulat-bulat saya copy paste dari catatan ketua kelas kami di blog Sastera.  Moga-moga manfaat entri ini berlanjutan makin berkembang, khasnya untuk diri saya sendiri mudah mengulang-ulang dan memahamkannya, juga untuk sesiapa yang berminat menyemai angan-angan sebagai penulis novel.  Jom mulakan langkah bersama!

***

MENGOLAH NOVEL TERANCANG
Saturday, July 10, 2010 Posted by Ummu Anas


oleh: Ummu Anas


Peserta bengkel yang budiman!

Setujukah anda jika saya katakan, pada peringkat permulaan ingin menulis novel, kita pasti tertanya-tanya; apakah cara terbaik untuk menghasilkan sebuah novel? Begitulah persoalan yang sering timbul, kita tercari-cari satu cara paling mudah dan berkesan yang mampu kita paraktikkan. Sebenarnya jika kita tanyakan mereka yang terlibat secara khusus dalam pengolahan novel, ada berbagai pendapat dari sekian ramai novelis. Setiap orang ada cara dan kaedah yang bersesuaian untuk diri masing-masing.

Sebenarnya, untuk menghasilkan sebuah novel tidaklah sukar. Asal saja kita menulisnya berpandukan kaedah mengolah sebuah novel, selesai dan tamat sebuah cerita kita tulis, maka sempurnalah ia sebagai novel. Namun, untuk menghasilkan sebuah novel yang bermutu dan layak memenangi pertandingan memang sukar. Hal ini sangat diidam-idamkan oleh setiap novelis. Saya sendiri juga walau masih terlalu baru dalam mempelajari kaedah menulis novel, juga turut teringin dan berangan-angan untuk menulis novel bermutu. Dari itu saya cuba melayari internet mencari-cari kaedah paling berkesan dan mudah diparaktikkan. Memang banyak cadangan dari pengalaman praktikal yang saya temui lewat internet. Ada beberapa kaeadah yang saya kira bersesuaian dan serasi dengan cara menggarap novel yang telah sifu ajarkan kepada kita semua.

Sebenarnya, saya tidak bercadang mengupas kaedah-kaedah yang saya temui itu. Saya hanya ingin mencari idea bagaimana kaedah sedia ada yang telah sifu tunjukkan kepada kita dapat dipraktikkan dengan lebih berkesan. Paling utama kita mampu menghasilkan karya yang bermutu di masa akan datang. Tidak salah bukan, jika kita berangan-angan...,sebagai murid sifu kita juga akan menjadi novelis sehebat sifu Azmah Nordin! Semoga begitulah hendaknya. Dengan angan sedemikian kita akan lebih teransang untuk bekerja keras dalam usaha kita menghasilkan novel bermutu.

Berbalik kepada persoalan cara berkesan yang saya cari-cari itu, sebenarnya untuk memudahkan proses menggarap novel itu sendiri. Pada fikiran saya, sekiranya cara menggarapnya boleh dipermudahkan, bermakna bayak masa boleh dimanfaatkan dan kertja buat novel itu juga akan berjalan lancar dan kurang menekan perasaan. Jika masa yang diambil dalam menggarap sesebuah novel sering tersangkut dan idea kerap terbantut, dikhuatiri kesudahannya hanya terbengkalai. Untuk menghindari masalah sedemikian, saya cuba adun cara semudah mungkin yang lebih kurang begini:
MERANCANG PENGOLAHAN NOVEL

Mari kita fikirkan dengan teliti, sebuah novel yang bermutu pastinya terhasil dari satu perancangan secara sangat teliti. Jika timbul pertanyaan, bila dan bagaimana merancang pembikinannya? Apa jawaban yang tergambar di minda anda semua? Ya, pasti ramai yang menjawab; rancang sebelum menulisnya lagi. Namun tidak dinafikan, ada juga yang akan menjawab, semasa sedang ditulis pun, perancangan masih boleh dilakukan. Benar, kedua-dua jawapan ini boleh diguna pakai. Tapi di awal pencarian saya tadi, saya inginkan cara paling tepat dan berkesan, supaya hasilnya juga cukup baik dan bermutu. Sudah tentu perancanagn awal sebelum memulakan proses penulisannya merupakan cara yang terbaik dan menjimatkan masa.

Sebelum kita memulakan praktik perancangan yang saya maksudkan di sini, terlebih dahulu kita mesti membina gambaran jelas dalam minda cerita yang ingin kita tuliskan menjadi novel. Bermula dari awal cerita sehinggalah tamat keseluruhan cerita bulat tergambar seperti wayang gambar di minda kita. Selepas ini barulah kita boleh memulakan perancangan novel kita. (ini draf, belum lagi menulis teks).

LANGKAHNYA BERMULA DI SINI
**( Kita sangat membuat perancangan awal ini kerana, sifat pelupa kita; sekali datang idea, tidak mustahil kemudiannya akan terpadam dari ingatan. Perancangan sedemikian juga sanagt berguna untuk memudahkan kita membuat semakan sepanjang menyiapkan kerja tulis novel kita kelak).

Langkah Pertama:
Ambil masa sejam memikirkan dan menyusun patah perkataan paling sesuai untuk membina ringkasan keseluruhan novel anda dalam satu ayat sahaja! Lakukan ini dalam keadaan tenang, tidak mendesak dan memaksa diri. Ayat ini tergambar bulat dapat anda lihat dalam minda bentuk seluruh cerita yang anda garap.
*saya beri contoh begini:
Anak muda itu membuktikan ibu kandung sepupu perempuannya itu merupakan ibu kandungnya juga.
Ayat yang anda pilih untuk mengambarkan isi keseluruhan novel anda ini sangat penting kerana ia menggambarkan bagaimana bentuk dan mesej cerita itu.

Langkah Kedua:
Ambil satu jam lagi untuk mengembangkan satu ayat ringkasan tadi menjadi satu paragraf lengkap; menggambarkan isi keseluruhan novel. Keseluruhannya mesti mengambil kira plot selengkapnya, kemelut utama, peleraian dan penamat cerita. Sebaik dan sesempurnanya novel dibahagikan kepada empat bahagian. Tiga bahagian kemelut dan satu bahagian peleraian. Ini bermakna setiap kemelut mengambil1/4 novel, peleraian 1/4 terakhir bab novel. Pergerakan cerita mesti semakin membukit setiap bab ke hadapan.

Sebaik-baiknya paragraf pengembangan ini mengandungi lima ayat lengkap. Ayat pertama menggambarkan plot dan flashback dalam novel tersebut. Manakala tiga ayat menjelaskan tiga kemelut utama. Ayat terakhir menerangkan peleraian dan penutup novel. Keseluruhan paragraf lengkap ini dikira sinopsis sebenar keseluruhan novel, paragraf inilah yang perlu dikemukakan kepada pembimbing dan penerbit yang ingin anda temui dalam usaha menulis teks keseluruhan novel.

Langkah Keempat:
Ambil 2-7 hari mengembangkan lima ayat pada langkah kedua di atas menjadi lima paragraf yang menggambar keseluruhan novel. Sepanjang menyusun paragraf ini, anda sedapatnya menghalusi plot keseluruhan novel. Paragraf terakhir mesti diolah begitu rupa sebagai penutup cerita secara sempurna.
Setakat langkah Keempat ini anda sudah menyediakan sinopsis yang lengkap dan sempurna juga menjadi rangka lengkap sebuah novel anda. Ia mesti sentiasa anda baca semula dan rujuk sepanjang bergerak dari bab ke bab.

Langkah Kelima:
Ambil 2-7 hari menyediakan sinopsis bagi semua watak, watak utama dan sampingan; satu muka penuh bagi setiap watak utama dan 1/2 muka surat bagi setiap watak sampingan. Sinopsis ini juga menjelaskan sudut pandangan watak terhadap plot cerita. Semasa anda mengemukakan sinopsis novel anda, lebih utama dan lebih menarik dikemukakan sinopsis gambaran watak di samping sinopsis plot.

Sekarang setelah anda sampai ke langkah kelima ini, saya yakin anda sudah dapat menangkap kaedah yang saya kongsikan dengan anda ini merupakan ‘step by step’ cara mengembangkan idea dalam mengolah novel yang terancang. Dengan meneliti kaedah ini, saya dapati ia banyak membantu saya mengembangkan idea secara lebih teratur dan teliti. Walaubagaimana pun, secara peribadi saya baru saja meletakkannya di tahap percubaan saya. Di sini saya menunggu sentuhan dari dari sifu az untuk menghalusinya lagi. Keseluruhan langkah hingga selesai sebuah novel ada sepuluh semuanya. Jika kaedah ini sifu setuju untuk saya teruskan berkongsi dengan anda semua, akan saya sambung sedikit masa lagi, insyaAllah. Saya juga membuka laluan perbincangan dengan peserta lain sehubungan hal ini, khasnya peserta yang karya novelnya sudah terbit. Semoga kita semua sama-sama beroleh manfaat dalam menghasilkan karya bermutu.

Selamat Hari Keputeraan Kebawah Sultran Brunei


Hari ini, 15 Julai 2010, Khamis adalah hari cuti umum Brunei Darussalam, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-64 tahun.  

Semoga baginda kekal qarar memerintah negara.  Ameen.


Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing