Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, September 2, 2009

Naqib demam

Menjelang Maghrib petang semalam, Selasa, 1 September 2009, Naqib mengadu demam. Aku jamah dahinya dengan belakang tangan, memang panas. Dia berkelubung dengan sehelai toto tebal hingga ke kepala. Sejuk, katanya. Sesekali dia mengadu ada rasa nak muntah. Agak bimbang, aku suruh dia berehat saja sehingga waktu berbuka nanti.
Selepas berbuka puasa, suamiku menyuruh dia menelan sebiji panadol. Dia tidak pergi ke surau seperti selalu sebaliknya terus baring di katilnya.
Sahur dia bangun seperti biasa, masih kurang ceria. Dua butir spirulina ditelannya untuk membantu pertahanan diri dari dalam disusuli dengan sebutir panadol. Dan tadi kami ke klinik kerajaan di hadapan sekolah, sekali dengan menghantar Ain dan Hidayat. Mujur hari ini kurang pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan, tidak seperti bulan lepas semasa aku membawa Ain yang sakit tekak dan lidahnya. Naqib dapat nombor pertama.
Pegawai perubatan yang memeriksa, Encik Din yang ramah itu melakukan pemeriksaan seperti biasa. Katanya degupan jantung Naqib agak laju. Dia menasihatkan sekiranya Naqib mengalami sakit di bahagian dada (jantung) bersegera berjumpa doktor. Kemungkinan kerana Naqib demam atau ada sesuatu yang lain yang perlukan rawatan lebih teliti. Memang beberapa kali sebelum ini Naqib pernah mengadu sakit di dadanya. Encik Din meminta Naqib buat pemeriksaan darah (cucuk sedikit di hujung jari), tetapi Naqib enggan. Aku merungut kecil tetapi dia tetap enggan. Anak yang seorang ini, prinsipnya kalau hitam, hitamlah, kalau putih, putihlah. Kecuali dengan abahnya, dia terpaksa akur dengan hitam putih abahnya.
Semasa kami menunggu mengambil ubat di farmasi, dia memberitahu, kawan-kawannya mengatakan pemeriksaan darah dengan cucuk di hujung jari itu amat menyakitkan. Sama seperti ramai mengatakan berkhatan itu hanya seperti gigitan semut walhal dia merasakan amat sakit. Laa... begitu sekali dia dipengaruhi oleh kawan-kawannya.
Aku terkenang peristiwa Ain yang menangis ketakutan semasa pengambilan darah di urat lengannya beberapa bulan lepas. Dalam suasana kalut, aku sempat mengambil gambar Ain sambil pegawai perubatan yang boleh tahan kacak itu cuba menenangkannya. Aku cuba bayangkan keadaan Naqib pula di tempat yang sama, macamana agaknya ya.
Aku mengharapkan agar tidak ada apa-apa yang serius berkaitan dengan kesihatan kami sekeluarga. Setakat ini suamiku dan Naqib sudah menjalani pembedahan membuang apendiks. Naqib mempunyai G6PD. Ain dengan sakit tekak dan asmanya. Hidayat dan Hanessa belum ada apa-apa simptom penyakit yang spesifik. Suamiku dengan ulser ususnya. Aku, setakat ini alhamdulillah. Asma teruk yang selalu menyerangku semasa kanak-kanak sudah tidak lagi kualami. Naqib juga mungkin sudah semakin sembuh dari G6PDnya, dia pernah makan kacang parang dalam kuantiti yang banyak tanpa mengalami apa-apa simptom yang teruk, semasa tinggal di madrasah tempohari. Untuk rekod, dia pernah mengalami muntah sepanjang perjalanan kami balik dari Perak sehingga tiada apa yang keluar dari perutnya dan tiada pakaian lagi untuk dipakai, kerana makan makanan ringan daripada kacang parang (hanya satu batang sahaja, bukan satu peket). Waktu itu dia berumur 3 tahun dan makan makanan ringan itu tanpa pengetahuan kami (sepupunya, juga 3 tahun, beri padanya).

..........> Sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan. Bersabar, bersyukur dan redha demi keredhaan Allah.

Aku catatkan ini sebagai peringatan sewaktu pandemik H1N1 yang tidak mengenal mangsa melanda dunia. Ya Allah, selamatkan kami dan rakyat Malaysia dari penyakit yang merebak ini.

Tuesday, September 1, 2009

Lelaki yang suka buat action


Ahad pagi, kami diperingatkan supaya bersiap pada 5 petang untuk berbuka puasa di luar. Orang perempuan diminta bawa telekung untuk solat. Saya meneka mungkin kami akan akan ke masjid TTDI di Shah Alam, tapi dia menafikan. Ikut sajalah, katanya. Tandatanya bersarang di hati tetapi saya yakin tujuan tetap ke TTDI. Ke mana lagi nak berbuka kalau tak ke masjid. Dia bukan jenis suka bawa anak bini merambu ke mana-mana. Mesti ada tujuan yang pasti. Samalah juga kalau mencari rumah kenalan yang pertama kali nak dikunjungi. Mesti ada alamat lengkap, siap dengan landmark supaya senang dijumpai kelak. Kalau setakat main teka-teka, balik ke rumah semula la jawabnya.
Dia memandu masuk ke jalan yang lain. Nak ke rumah Bang Ngah Iwan ke? Dia ketawa, nak buat apa ke rumah dia? Manalah tau, kot-kot kita dapat jemputan berbuka puasa. Setelah agak jauh sedikit, saya dah boleh teka arah tujuan kami. Rupa-rupanya kami dibawa berbuka puasa di De Selat, Pelabuhan Utara Klang.
Sesekali kami ada ke sini. Makanan seafoodnya boleh tahan sedap dan sesuai dengan harganya. Sudah banyak kali kami ke sini untuk menjamu ahli keluarga. Arwah abah, mak, uwan dan terkini ialah abah Hj Mat, suami mak yang baru, juga berkesempatan ke sini.
Setelah menjamah kurma dan meneguk air, kami bergilir-gilir menunaikan solat di surau yang disediakan. Yang kecil-kecil tinggal di meja menunggu hidangan. Kemudian kami sama-sama menjamu selera dengan penuh semangat. Hidangan yang dipesan ialah siakap kukus, udang goreng butter, kailan goreng ikan masin, sup tulang, tuka bakar dan air teh o satu jug. Kurma, bubur kacang hijau dan kuih-muih disediakan percuma oleh pihak restoran. Semasa sedang menyuap, tiba-tiba dia kata yang ditujukan kepada anak-anak, "makan-makan ni sempena hari jadi mama. Selamat hari lahir pada mama.." Semua anak-anak mengucapkan hari lahir kepadaku hampir serentak. Lucu juga mereka bercakap sambil mulut mengunyah dan tangan silang-menyilang mencedok lauk-pauk. Aku rasa sungguh terharu. Cepat-cepat aku sambut dengan meminta anak-anak semua ucap terima kasih pada abah mereka di atas kejutan yang diberinya ini.
Dia memang suka buat kejutan. Yang ini aku suka. Ada juga kejutan yang aku tak suka. Aku kadang-kadang risau sekiranya satu hari mendapat kejutan yang menakutkan.
Namun, untuk ketika ini, kali ini, aku amat sukakan kejutan ini. Aku rasa seronok dan dihargai.

Kesimpulannya, lelaki memang tidak pandai menggunakan perkataan. Mereka memilih menggunakan perbuatan untuk menyatakan perasaan.

Kepada abang, terima kasih di atas kasih sayang yang diberikan.

Monday, August 31, 2009

Nisa Irdina semakin maju


Nisa telah masuk buku 6 dalam Siri Bacalah Anakku. Dia semakin lancar membaca, cuma kadangkala agak keliru dan tidak yakin hendak menyebut perkataan baru, seperti 'mem'. Apabila tamat buku 5 tempohari, saya menyerahkan bungkusan hadiah ke tangannya, kecil dan ringan sahaja. Tempat letak pensel yang dibeli dari kedai RM2. Tetapi budak ini mempunyai citarasa yang tinggi. Dia pernah komen hadiah sebelum ini. Saya hanya tersenyum. Tujuan saya cuma untuk memberi keseronokan kepada dia saat menerima hadiah dan motivasi untuk menamatkan buku-buku seterusnya. Selain itu, saya juga akan mencolekkan sedikit minyak wangi tanpa alkohol di urat nadi pergelangan tangannya setiap kali selesai belajar. Dia akan terkekeh-kekeh ketawa gembira sambil mencium tangannya. kadang-kadang saya colekkan sedikit di belakang telinganya, supaya bau harum itu dapat bertahan lebih lama. Saya berjanji akan menghadiahi dia sebotol minyak wangi Epal apabila dia tamat buku 8 nanti (bersama bungkusan hadiah yang telah siap awal-awal lagi). Dia bertambah tidak sabar hendak menyelesaikan tusyen membaca ini.

Naqib pergi temuduga


31 Ogos / 10 Ramadhan 1430.

Pagi ini Naqib (13 tahun) ke Sri Petaling untuk menghadiri temuduga. Dia dihantar oleh bapanya dan diiringi oleh adiknya, Hidayat. Dia menyarung jubah putih dan melilit serban di kepala. Semoga Naqib lulus temuduga.

Temuduga apa? Untuk kemasukan ke madrasah di Dengkil. Semoga Allah memasukkan anak ini dalam golongan yang diberi takdir baik dalam hidupnya, mencapai kecemerlangan dalam usahanya menuntut ilmu, dimudahkan segala urusannya di atas landasan yang benar dan Husnul Khatimah. Amin.

Sunday, August 30, 2009

Kamsis Aminuddin Baki

Aku pernah menginap di kamsis ini. Kemudian tanpa disangka-sangka, anak saudaraku, Nur Aisyah, juga menginap di kamsis yang sama, setelah bertahun aku meninggalkan kediaman penuh kenangan itu. Semua kawan-kawan yang pernah bersama sebumbung juga entah ke mana.

Nano baru menerima ijazahnya pertengahan bulan ini. Tahniah kepada Nano dan selamat maju terus maju.

Friday, August 28, 2009

satu sinopsis


saya baru selesai membuat satu ringkasan novel yang saya targetkan untuk remaja sekitar 14-15 tahun. Berapa lama masa yang saya perlukan untuk menyiapkannya dari langkah pertama sehingga perfect, wallahualam. Jadual harian mungkin perlu diubahsuai dan berbincang dengan ahli keluarga mengenai penggunaan laptop ini.

Pengisian kursus tempohari memberi satu keseronokan kepada saya untuk memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi di dalam novel saya kelak. Ada perbezaan yang besar di antara novel yang menggunakan BMT dan BMR. Cubalah anda baca dan bandingkan sendiri!

Selamat Berpuasa, hari ini hari ke-tujuh Ramadhan.

Novel

Ada kawan suruh saya tulis cerita semasa zaman persekolahan. Satu era remaja yang penuh warna-warni. Mungkin boleh dijadikan cerita yang menarik jika dapat diolah dengan BMT dan alunan perasaan yang mendalam.

Wednesday, August 26, 2009

Seorang insan yang mengkagumkan


Pagi ini saya bangun awal seperti biasa untuk menyediakan juadah ringkas bersahur. Keheningan yang mencengkam membuatkan saya tergerak untuk membuka siaran tv. Peti tv lama milik abah yang dibawa dari kampung (dua tv lain jadi perhiasan di tepi dapur kerana kerosakan yang mengganggu siaran lebih lancar) ini telah 'lari' tune siarannya. TV1 tidak berwarna namun masih jelas gambarnya. Pagi sebegini saya tidak berselera pula hendak menonton tv swasta yang sentiasa ceria itu, lalu tv1 menjadi pilihan (saya jarang menonton siaran tv1). Masa pun berlalu perlahan sambil saya ditemani suara tv yang sedang menyiarkan siri Syahadah.
Setelah lengkap hidangan di meja makan seadanya, saya mula menggerakkan setiap anggota keluarga untuk bangun bersahur bersama-sama. Kala itu, siaran siri Syahadah telah tamat dan rancangan baru mengambilalih. Ia mengenai seorang insan kurang upaya bernama Roslan Bidin. Sambil menyuap makanan sambil mata saya melihat siaran di tv. Semakin lama semakin menarik cerita mengenai individu ini. Ia memperlihatkan kehidupan harian beliau serta beberapa usaha yang dilakukan untuk menyara hidup. Dipaparkan juga beberapa novel dan buku kanak-kanak yang telah dihasilkannya. Ini yang amat menarik perhatian saya sebenarnya. Rakaman menunjukkan beliau sedang menaip (saya tidak berapa pasti sama ada komputer atau mesin taip) di meja dengan tekun menyebabkan hati saya berdetik. 'Sesungguhnya hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih'. Saya mula merasa kagum kepada pemilik nama ini. Saya akan cari novel yang telah dihasilkannya untuk dibaca. Dan tidak dinafikan cerita beliau sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada saya untuk menulis novel juga.
Semoga kehidupan kita dipermudahkan oleh Allah SWT. Tiada kudrat melainkan dengan kudrat-Nya, maka hanya kepada-Nya kita memohon kekuatan menjalani hidup.



..: idea ada tapi tak cuba dikembang-kembangkan. sudah ada yang menunggu novelku tapi aku belum memulakan. sedangkan masa terus berlalu tidak menunggu. perasaan tidak mampu ini perlu diatasi. sebuah keyakinan diri.

Tuesday, August 25, 2009

Pengurusan blok berasingan

Blog untuk anak-anak, bagi rakaman memori, akan diasingkan untuk masing-masing menguruskan dan update sendiri. Bermula dengan Nurhanessa, saya telah membuat satu blog berasingan, dan blog di sini akan ditutup. Semoga saya diberi kemampuan oleh Tuhan untuk melakarkan sesuatu yang berguna, yang boleh diambil manfaat terutama oleh Nurhanessa di tahun-tahun akan datang apabila dia akan mampu membaca dan menulis, waktu dia bakal menempuh era persekolahan.

Monday, August 24, 2009

Mampukah aku...??

Saya menghantar emel kepada Puan Sifu seperti yang telah dipesan oleh beliau kepada para peserta kursus pagi kelmarin. Tadi saya telah menerima contoh sinopsis untuk ditelaah. Sifu juga berpesan agar saya menelaah novel-novel terbitan PTS untuk mengenalpasti kehendak editor. Sebenarnya saya mula rasa tergugat, keyakinan dan hasrat saya bergoyang. Aduh, mampukah aku???
Saya berkongsi berita kepergian ke kursus dengan dua orang kawan, seorang ialah bekas staf yang sangat akrab dengan saya, manakala seorang lagi kawan lama yang tersangat lama dari zaman persekolahan usia awal remaja.
Tatkala saya adukan perihal idea yang masih kabur, yang seorang menyarankan saya bersendirian dan bermenung-menung. Manakala yang seorang kawan lagi terus menyarankan zaman persekolahan dulu.
Sebelum saya mula menyusun huruf, saya hendak lihat dahulu contoh sinopsis dari Sifu. Saya perlu menyelami kehendak PTS agar saya tidak berbuat sia-sia.
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Aduh saya rasa amat mengantuk, selamat malam semua. Esok bangun sahur semua. Pagi tadi kami semua terlewat tidak sempat bersahur. Hidayat, 7 tahun, pun menguzurkan dirinya untuk menjamu selera bersama adiknya, Hanessa, 4 tahun.

Sunday, August 23, 2009

Bangun sekarang!

23 Ogos 2009, Ahad.
2 Ramadhan 1430.

Sudah 7.50 pagi! Namun saya masih seperti melekat di kerusi ini, menghadap laptop. Saya sedang menyusuri blog Web Sutera yang saya temui di shout box PTS. Saya baca sepintas lalu catatan penulis. Walhal saya perlu bangun untuk bersiap sekarang, atau saya akan terlewat untuk menghadiri kursus penulisan pertama pagi ini. Sudah bertahun saya tidak memandu sendirian ke kawasan Hulu Klang. Kali ini saya akan ke sana dan saya bercadang membawa Naqib bersama sebagai teman. Namanya telah saya daftarkan petang semalam di blog PTS bersama nama adik saya, Hasni, yang akan bergerak dari Seremban. Saya amat berharap Hasni akan turun, dapatlah saya bertemu dia setelah beberapa lama tidak bersua.
Saya akan berkursus, setelah lama tidak menghadiri sebarang kursus semenjak menjadi surirumah sepenuh masa. Saya akan bertemu dengan manusia-manusia yang tidak saya kenali. Saya cuba membayangkan sedikit sebanyak suasana yang bakal saya lalui. Agak mendebarkan juga.
Saya akan bawa dua cerpen yang telah selesai yang mana satunya telah keluar di majalah e-baca, berkat pertolongan kekanda saya, Zulina Hassan. Saya benar-benar berharap akan mendapat sebanyak mungkin ilmu yang bermanfaat sepanjang kursus percuma 3 jam ini, demikian juga anakanda saya, insyaAllah. Juga saya ingin benar menambah kenalan seperti mana yang sering saya lakukan.

Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah perjalananku ini, perjalanan kehidupan seorang perempuan yang sering kelelahan. Hanya padaMu tempat berserah diri dan mengharap kebahagiaan dunia dan akhirat. Amin.

Saturday, August 22, 2009

Naqib, buku dan saya.


Naqib memang seorang penggemar buku. Dia pandai memilih buku-buku yang menarik untuk dibaca. Ketika saya berbual sebentar dengan Puan Rina di kaunter perpustakaan desa minggu lepas, saya katakan bahawa kini saya mula membaca buku-buku yang anak-anak saya pinjam. Saya dapati buku-buku itu menarik dan berjaya memancing minat saya. Lantas Puan Rina segera mengakui citarasa Naqib dalam pemilihan buku.
Naqib juga sangat pantas membaca. Novel setebal lebih setengah jengkal dapat dihabiskannya dalam beberapa jam sahaja. Dia akan duduk atau baring membaca dengan tekun. Kadang-kadang tidak sesuai dengan keperluan matanya terhadap pencahayaan kerana suasana samar. Kerap kali saya menegur tabiat yang kurang baik itu.
Novel yang dipilih oleh Naqib tidak terhad untuk remaja walaupun kebanyakannya memang untuk usia sepertinya. Novel jibunsyi Dalam Kehadiran Sofiah dia yang meminjamnya. Katanya, best gila. Memang tidak dinafikan, saya juga tidak mengantuk langsung menatap buku ini baris demi baris. Touching!
Minggu ini Naqib bercuti di rumah. Namun dia tidak dapat meminjam di perpustakaan kerana perpustakaan itu ditutup sehingga Selasa ini. Kadang-kadang kami pergi ke perpustakaan Shah Alam yang besar dan sejuk itu. Namun buku-buku di sana agak mengecewakan kerana sukar mendapatkan buku yang bersesuaian dengan kehendak kami. Perpustakaan desa yang kecil ini lebih memenuhi permintaan hati kami. Mujur ada perpustakaan desa dan berhampiran dengan rumah.
Seperkara lagi, saya semakin pandai menikmati penceritaan samada cerita novel mahupun cerita di kaca tv. Saya hentam membaca semua buku-buku dan koleksi cerpen yang dipinjam oleh anak-anak mahupun saya sendiri meminjamnya sambil memerhatikan perkataan yang disusun oleh penulis. Saya rasa sungguh menarik. Kata Puan Rina setiap kali saya update tarikh pinjaman buku, "kakak bukan membaca tapi kakak menelaah!"
Kesannya yang lain ialah saya kini telah berebut remote tv dengan Hanessa, aduh...memang teruk betul diri saya. Mujurlah cerita Soleha tidak bertembung dengan siri animasi kegemarannya, Wonderpet. Cuma semalam saya ambil remote itu yang tidak pernah lekang dari tangan kecilnya semasa menonton cerita Tukang Penggali Kubur setengah jalan. Oh ya, saya baru saja mula menonton tv, maka cerita-cerita seperti Soleha, Aqso dan Madina itu tidak saya tonton dari awal dan saya tidak faham cerita awalnya (saya bukan peminat siri tv dari Indonesia terutama semenjak siri Bawang Putih Bawang Merah yang sangat menyakitkan hati saya). Saya cuba melihat dari sudut sebagai penulis skrip, yang sangat pandai menyusun ceritanya, walaupun kalau di baca komen-komen yang diberikan oleh orang-orang muda Indonesia di internet, kebanyakannya negatif terhadap keseluruhan cerita tersebut. Saya terfikir-fikir samada saya perlu menonton cerita Hindustan pula, yang telah bertahun tidak saya tonton, untuk melihat jalan ceritanya. Hmmm, mungkin belum ke situ. Cerita Hindustan panjang berjela. Saya tidak larat nak melihat tarian dan pakaiannya.

***Apabila sesuatu itu difikirkan ada gunanya barulah dirasakan kebaikan yang ada padanya. Bersihkan hati maka bersihlah pandangan. Sayangi masa yang masih berbaki, agar tidak sesal di kesudahan. Carilah ilmu dan dekati orang berilmu, agar mendapat tempiasnya seperti keharuman yang terbau apabila berhampiran dengan tukang minyak wangi.

Setelah beberapa waktu berlalu...

Assalamualaikum!
Saya telah kembali, saya fikir begitu.
Insya Allah blog ini akan saya tuliskan sesuatu jika tidak hari-hari, mungkin selang beberapa hari. Saya fikir telah ada sesuatu yang boleh saya coretkan di blog ini.

Pagi ini saya menziarahi blog PTS untuk mengambil alamat tempat kursus yang bakal saya ikuti esok. Kemudian saya layari entri-entri sekadar melihat tajuk, lalu saya terhenti di tajuk ini. Kepada Puan Ainon, maaf saya mohonkan, dan selepas ini saya akan nyatakan kemaafan ini di blog puan. Saya ambil entri di bawah kerana saya sangat terpesona dengan pengisiannya, sedikit pemakluman yang menjawab banyak persoalan. Terima kasih kepada Puan Ainon yang tidak terhingga.

Sila baca...

Novel Sastera dan Novel Picisan

Banyak novel yang bermutu sastera sebenarnya ceritanya biasa-biasa sahaja. Banyak juga novel picisan yang mengemukakan cerita yang bermutu. Yang mengangkat cerita menjadi sebuah karya sastera adalah bahasanya.

Apalah luar biasanya cerita seorang perempuan bernama Salina, yang berhati mulia, tetapi telah menjadi perempuan-P akibat Perang Dunia II yang menimpa Singapura. Apalah luar biasanya cerita gadis kampung bernama Siti Nurbaya di Sumatera pada tahun 1940-an, yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tua kayaraya akibat ibu bapanya yang tidak mampu membayar hutang kepada si tua itu.

Cerita biasa-biasa seperti kisah Salina dan Siti Nurbaya, apabila ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, maka cerita itu menjadi luar biasa disebabkan bahasanya yang luar biasa, yang tidak akan kedengaran digunakan orang di kaki lima, di stesen LRT, di dalam disko, dan di gerai nasi campur.

Jadi, yang dikatakan sastera itu ada pada bahasanya. Ayat-ayat dan dialog-dialog yang tertulis dalam karya sastera itu tidak akan dapat didengar dalam percakapan sehari-harian.

Friday, August 21, 2009

Sebuah novel jibunsyi

Sebuah novel jibunsyi terbitan PTS, Dalam Kehadiran Sofiah, kisah ibu bapa muda yang direzekikan oleh Allah seorang anak istimewa. Kelahiran yang sukar sehingga lemas meenjadi sebab kepada kecacatan kekal cerebral palsy iaitu masalah gangguan dan kerosakan pada otak. Sofiah telah dua minggu lewat dilahirkan dari tarikh sepatutnya, bahkan air ketuban telah kering dan beberapa drip ubat telah dimasukkan ke tubuh ibunya namun tidak memberi sebarang tindakbalas untuk melahirkan. Akhirnya dia bergelar blue baby dan mendiami inkubator dengan wayar berselirat di tubuhnya.
Yang menjadi keanehan ialah sikap doktor yang masih memaksa kelahiran normal kepada ibunya walhal dia memang tidak berdaya sehingga separuh pengsan akibat kesakitan dan kesan ubat penahan sakit yang diberikan. Bayangkan, dua minggu sesudah semua operasi kelahiran normal dirancang oleh doktor gagal, masih dipaksakan kelahiran secara semulajadi. Siibu tiada masalah penyakit kritikal yang menghalang pembedahan dilakukan. Dia juga telah dimaklumkan akan dibedah sekiranya lewat tetapi doktor di hospital bukan sahaja bersikap kasar kepadanya, malah mengugut akan membiarkannya sekiranya dia tidak meneran bayinya.
Mungkin ini takdir. Tuhan telah menentukan takdir lewat sikap manusia sendiri. Ibu dan bapa muda ini yang masih jahil tentang ilmu keibubapaan terus dilanda pertanyaan demi pertanyaan di setiap temu janji dengan doktor yang memeriksa bayi mereka setiap bulan. Pemeriksaan yang berlanjutan tanpa sebarang keputusan, hanya menimbulkan persoalan tidak berpenghujung.
Satu kisah yang lain dari yang lain. Bukan kisah cinta yang direka-reka. Sebuah catatan kehidupan realiti penulis. Amat sesuai untuk dibaca bagi membuka pandangan baru terhadap mereka yang malang bergelar OKU serta memahami perasaan ibu bapa yang dianugerahkan insan istimewa seperti itu.

Tuesday, August 18, 2009

harapan berpanjangan

dalam tenang ada duka
dalam duka ada harapan

apakah harapan akan kesampaian...

apakah kesampaian akan berpanjangan...

...lebih satu jam saya berbicara dengan Ustaz Firdaus.

saya cuba memahamkan ustaz muda ini dengan cerita sebenar di sebalik apa yang telah dan sedang berlaku.

gaya ustaz ini yang rilex dan tidak keberatan untuk tertawa kecil pada satu-satu ketika membantu saya lebih santai dan sedikit demi sedikit muncul kisah-kisah yang diharapkan dapat membantu membaiki pandangan semasa.

pelajar sedang direhatkan memandangkan beberapa orang telah mendapat demam, yang diharapkan tidak seserius wabak yang sedang melanda negara. Insya Allah.

selamat...selamat...selamat...

Thursday, August 13, 2009

Samudera Nasihat


Bismillahirrahmanirrahim.
Sudah lama blog ini saya pinggirkan. Bukan tiada idea tetapi kegilaan yang menyerang pada pertama kali saya membuat blog ini tiada berbisa lagi. Saya hanya ternanti-nanti kedatangan Ramadhan yang mulia. Ada sedikit kelainan yang di luar kebiasaan. Saya sendiri tidak mengerti.
Untuk tidak membiarkan blog ini terus terpinggir sedangkan ia boleh dimanfaatkan, saya berhajat untuk mengambil petikan, menyadur, atau menulis semula sesuatu yang semoga dapat memberi manfaat kepada jiwa saya sendiri khususnya buat peringatan dari kelalaian dan keterlekaan dengan urusan duniawi yang sentiasa sibuk setiap saat.
Buat awalannya di sini, saya mengambil petikan dari buku Nasihat Buat Setiap Diri, yang saya beli ketika bergelar pelajar dulu. Ia mengandungi nasihat yang telah disusun bab demi bab, yang diambil dan diterjemahkan oleh penyusunnya dari kitab Nasoihul Ibad dan Al Wasail Ila Ma'rifatil Awail karangan Imam Sayuti.

Berkata Jibril a.s :
1. "Wahai Muhammad! hiduplah sesuka hatimu, tapi ingat sesungguhnya engkau akan mati."
2. "Wahai Muhammad! kasihilah sesiapa sahaja yang engkau suka, tetapi ingat sesungguhnya engkau akan berpisah dengan mereka."
3. "Wahai Muhammad! berbuatlah apa yang engkau suka tapi ingat sesungguhnya engkau akan dibalas tentangnya."

Semoga bersama mandapat manfaat, inysa Allah.

Monday, July 27, 2009

Anakku Sayang


"Baby saayyaannggg maamaaa sebaaabbb maaammmaaa...seeee...eee...kooorrrrr ibbbuuu yaannngggg baaaiikkkk..!!" Kata Hanesa, 4 tahun, lambat-lambat malam tadi sambil bermanja-manja di samping saya. Oohhh anakku...maafkan mama sebab lambat membetulkan istilah sampai akhirnya mama sendiri yang kau kenakan tanpa sengaja...

Monday, July 20, 2009

Undur Dulu



Keghairahan blogging beransur hilang. Mungkin perlu berehat seketika. Bersendirian kembali ke dalam diri. Merenungi tujuan. Mudah-mudahan akan kembali semula dengan sesuatu yang lebih bermakna.

Wahai Pemberi Hidayah, selamatkan daku dari kelalaian dan kerugian, agar aku tidak kesal berpanjangan di hari yang tiada kesudahan. Hanya pada-Mu tempat berserah diri dan tempat kembali. Amin ya rabbal alamin.





Friday, July 17, 2009

Allah Maha Pemelihara

Saya baru balik dari menjemput Naqib di madrasah. Minggu lepas saya hantar dia balik jam 10 malam. Kali ini menjemput dia pun jam 10 malam bergerak dari rumah. Hubby ada hal tak mahu tolong jemput. Saya menahan mengantuk bawa kereta malam-malam. Kereta melelong-lelong ke tepi ke tengah. Benar-benar bahaya! Tiba-tiba saya terperanjat apabila dah hampir benar dengan bonet kereta di hadapan, hilang sekejap rasa mengantuk. Saya buka tingkap kereta dan tutup penghawa dingin. Saya tarik nafas panjang-panjang, tahan lama-lama sikit dan lepaskan sebanyak mungkin karbon dioksida dari paru-paru saya. Lepas tu saya terbuai semula dek mengantuk.
Minggu lepas, saya terlampau mengantuk sehingga saya ambil masa sebentar melelapkan mata di hadapan madrasah. Naqib tunggu sampai saya terjaga sendiri. Rupa-rupanya saya dah terlelap sekitar 10 minit, saya rasa agak segar tetapi masih keletihan. Kemudian barulah saya memandu pulang ke rumah. Tidak lama kemudian mata saya kembali semula mengantuk bagai ditindih batu di kelopak mata. Sepanjang perjalanan saya berlawan dengan rasa mengantuk. Dalam pada mengantuk tu saya bawak agak laju jugak hampir 100km/j. Alhamdulillah, akhirnya sampai jua ke rumah dengan penuh kesyukuran ke hadrat Illahi yang Maha Pemelihara.
Tadi, dah separuh perjalanan tiba-tiba saya terperasan jalan raya bertukar gelap, lampu jalan mendekati kawasan Hicom tak ada atau tak menyala, dan rupa-rupanya saya tak menyalakan lampu kereta semenjak bergerak dari madrasah. Cepat-cepat saya hidupkan lampu kereta. Gara-gara mengantuk sampai tak perasan. Maha Suci Allah yang memelihara kami. Saya ajak Naqib berbual tentang ijtimak tempohari. Saya nak tahu berapa orang kawan-kawan madrasahnya yang dah pergi ke ijtimak. Naqib bercerita dengan suara perlahan, lebih tepat mengumam menyukarkan saya mendengar dengan jelas. Kereta pun melelong ke tepi ke tengah...sekali lagi saya berperang dengan rasa mengantuk. Mendekati Johan Setia, barulah saya dapat mampir ke Petronas membeli sebungkus kuaci hitam Sunflower, kali ke dua saya beli, dengan keyakinan kehalalannya. Saya dan Naqib sama-sama mengunyah kuaci. Kalau dulu-dulu, saya betul-betul bawa laju mencecah lebih 120km/j berlumba-lumba di highway, kaedah saya menghilangkan mengantuk, kerana fokus saya meningkat apabila memandu laju. Jarang pulak kena saman. Masa tu keretanya pun memang kena bawa laju, tekan sikit dah jauh lajak ke depan. La ni, tak kuasa nak bawa laju sangat, nak kereta ni tahan lama. Lagipun tak kuasa nak bayar saman. Seiring dengan usia, kematangan pun bertambah tak banyak sikit, biarlah pandu cermat jiwa selamat.
Malam ini kami sampai ke rumah dengan selamat, alhamdulillah. Jangan lupa baca doa, latih anak-anak baca doa naik kenderaan bersama-sama. Saya selalu suruh Hidayat baca doa, atau Naqib, dan kami aminkan bersama-sama. Dalam kelas Hidayat, hanya dia yang boleh membaca doa naik kenderaan. Bukalah siaran IKIM, ada mengaji dan sekurang-kurangnya nasyid yang memuji Illahi, lebih afdal daripada siaran radio yang memutarkan lagu-lagu evergreen atau pop atau rock atau sebarang lagu terkini dan gelak ketawa DJ yang berdekah-dekah.
Banyak-banyak berdoa mohon keselamatan dari Allah yang Maha Pemelihara, semoga selamat sepanjang perjalanan sampai ke destinasi.

Wednesday, July 15, 2009

Salam Buat Along Naqib di Madrasah

Bismillahirrahmanirrahim.
Along, sedar tak sedar dah nak masuk 8 bulan Along di madrasah. Mama rasa Along masih lagi homesick. Kalau nak meninggalkan Along selepas hantar ke madrasah tu, berkali-kali Along cium pipi mama. Ciuman yang paling akhir, Along akan lama-lama cium pipi mama seolah-olah nak bau pipi mama yang wangi dek bedak bertepek ni kekal lama di hidung Along. Lepas tu Along cakap nanti mama tengok Along kat tepi tingkap bilik atas madrasah, sebelum berpisah seminggu lagi.
Along...Along...
Mama tak pernah manjakan Along lebih-lebih, marah lebih-lebih adala...kan mama dah cakap Along mentor pada mentee yang 3 orang tu. Mama nak ALong jadi contoh yang baik pada adik-adik.
Ni, kejap kejap ada je call ntah henpon sapa Along tumpang pakai, suruh mama call Along nanti malam. Ishhhh, segan rasanya kat ustaz Umar tu. Kalau dia faham, tak pa la. Kalau dia tak faham, tu yang mama segan.
Mama tak tau la pelajar-pelajar lain macamana...tapi abah Along kata mama ikutkan sangat kerenah Along. La ni Along merengek semula nak bawak henpon ke madrasah. Hukuman rotan kat tapak tangan sehari sekali selama 3 minggu tu pun tak dijalankan lagi, Along nak tambah kesalahan baru. Mama tak tau la sama ada ustaz saja gertak Along, benar-benar lupa atau buat-buat lupa pasal hukuman tu. Nak mama remind ustaz ke??
Mula-mula masuk tu, atas rayuan Along gak, mama minta excuse kat ustaz agar benarkan Along bawak henpon ke madrasah dan ustaz benarkan. Mama tau Along hanya nak dengar suara mama je, cakap-cakap sikit nak lepaskan rindu. Dan mama selalu ambil kesempatan untuk ingatkan Along supaya mandi 2 kali sehari dan jangan, jangan lupa berus gigi, pakai kayu sugi ke pakai berus gigi ke. Bila mama nak datang, mama akan sms suruh Along bersiap wangi dan pakai jubah bersih, sebab mama tak larat nak hidu bau Along yang tengik bila cium pipi Along. Tapi dah masuk bulan ke 4, then ke 5, mama kena timbang jugak peraturan madrasah tu. Mama dah kata tak yah bawak henpon ke madrasah, Along nak bawak gak. Akhirnya kantoi, masa Along mc dek demam tempohari, kawan-kawan yang kantoi di madrasah dah report nama Along sekali.
Mama nasihatkan jangan ulang lagi kesilapan tu. Madrasah ada peraturannya dan setiap peraturan tu ada alasannya, bukan ustaz suka-suka nak halang pelajar bawak henpon. Lebih banyak keburukan daripada kebaikannya, kata ustaz pada mama tempohari.
Ustaz pun baik, time belajar kena la belajar. Time gurau, dia gurau. Time main bola, ustaz pun main bola sama-sama. Mama tak kisah kalau ustaz nak rotan Along, sebab mama yakin hukuman tu ada sebab dan pastinya dengan niat yang baik. Along kena faham, bukan senang nak jaga anak orang tau, bukan seorang, tapi hampir 40 orang. Bukan perempuan, tapi lelaki yang lasak-lasak belaka. Ustaz Umar tu memang hebat, kalau pemuda-pemuda kat luar sana bergelandang sebagai mat rempit, dia bergelandang di madrasah mendidik kamu semua. So belajarlah mendekati ustaz, jangan tak pasal-pasal takut tak tentu arah. Kalau boleh, timba juga sebanyak-banyak ilmu secara tak formal dari dia. Ilmu tak datang sendiri, kita kena cari dan usaha mendapatkannya.
Along, mama tak nak Along berhenti sekerat jalan je. Mama tak nak Along buat macam Pak Su Ajib, sekejap je kat madrasah di KL tu. Pak Su tu, mama maklum benar, anak bongsu, tetiba duduk berjauhan dengan mak bapak, kena pulak settle hidup sendiri, dengarnya masak pun kena sendiri. Bukan calang-calang budak boleh buat macam tu, Pak Su pun baru 13 tahun masa tu sama umur macam Along.


(Abah dah warning, kalau Along berhenti, ALong masuk sekolah biasa. Itulah yang mama nak elakkan walaupun mama faham abah hanya nak menggertak Along. Stail abah macam stail tentera, tak ada diplomasi dengan anak-anak. Mama pun heran ke mana kemahirannya berdiplomasi hilang bila berhadapan dengan anak-anak. Mama cukup risau dengan pelbagai kes di sekolah-sekolah satu Malaysia sekarang ni. Kak Lily dan Kak Lin pernah cerita macam-macam pasal sekolah mereka. Baru mula sesi persekolahan Januari, Anis dah cerita kat mama ada budak lebam sana sini kat badan, ada geng suka buli pelajar baru. Ada kes raba-raba dan kes cabul. Mengerikan telinga mendengarnya. Tapi bukan maksud mama jauhkan Along dari benda-benda macam tu semata-mata lalu hantar ke madrasah, tapi mama nak Along belajar ilmu yang sebenarnya diperintahkan kita menuntutnya. Apabila intipati ilmu yang haq itu ada di dada Along, kelak ilmu-ilmu sokongan yang lain akan jadi mudah, bahkan boleh saja Allah SWT bagi dengan syarat mestilah jadi orang bertaqwa. Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya; "Sesiapa yang mahu keduniaan mesti dengan ilmu, dan sesiapa yang mahu akhirat mesti dengan ilmu, dan sesiapa yang mahu kedua-duanya juga mesti dengan ilmu." )

Tapi kat madrasah Along ni, tak payah masak. Baju pun masuk mesin basuh, hanya sidai je kat ampai. Bahkan malam-malam tertentu Along boleh main futsal dengan kawan-kawan dan ustaz. Tak pernah mama dengar orang main bola tengah-tengah malam macam tu. Mama tak kisah, janji Along seronok dan boleh buang lemak-lemak kat badan tu.
Kita pun tak jauh sangat. Klang dengan Shah ALam, mana la jauhnya. Kalau mama speed kat Kesas tu, 15 minit dah sampai. Mama terfikir gak nak pindahkan ALong ke cawangan di Klang ni, tapi mama rasa lebih selesa ke Shah ALam daripada Klang. Mama ni nama je tinggal kat Klang tapi ceruk rantau Klang pun mama tak mahir, hanya Kg Delek je yang mama arif. Mama lebih mahir dengan Shah Alam. Along pun biasa dengan Shah Alam kan...
Along, kalau Along nak tau, bahawa mencari ilmu adalah kegemaran para ulamak zaman dulu. Mengembara mencari ilmu pengetahuan telah mendarah-daging dalam tubuh mereka, bukan naik kereta di hantar keluarga atau naik bas, tapi naik unta dan menembusi malam yang gelap-gelita selama berbulan-bulan lamanya, siang dan malam. Hanya berpandukan bintang-bintang di langit.
Cubalah Along renung-renungkan balik kisah Ustaz Firdaus tu, umur 9 tahun dah dihantar dek ayahandanya ke Kelantan, dia pun homesick jugak, sampai nak lari dari madrasah, tapi sempat ditangkap dek ustaznya. Ustaz Umar tu, muda benar dah pergi belajar ke Arfika. Bukan sekejap, 6 tahun. Maksu Hasni 6 tahun duduk Jordan, sampai akhirnya tak sempat nak jumpa atok Along sebab belum balik Malaysia, atok dah meninggal dunia.

(Hmmm...jangan ikut macam mama. Duduk asrama pun boleh kata hari-hari uwan datang tengok mama. Dapat kerja kat Menara Maybank, tak dibenarkan pergi. Dapat kerja kat Pahang, pun tak dapat pergi. Kawan-kawan ajak sambung belajar kat oversea, hati dah tertutup nak jauh-jauh dengan mak abah mama. Nak g Timur Tengah tak ada kawan nak ke sana pulak. Masing-masing nak ke US. Akhirnya...ginilah mama seadanya, namun mama sentiasa yakin ada hikmahnya cuma kadang-kadang tu rasa ralat jugak. Astaghfirulillah... Tapi buat macam abah, berani melangkah jauh-jauh.).

Anak Mak Long Imah yang sebaya dengan ALong pun masuk madrasah juga, di Kelantan. Dengar ceritanya pun homesick jugak, mana boleh tak gitu, selama kini duduk celah ketiak mak bapak, tetiba berpisah jauh. Ayah dia sesekali je datang ziarah sebab jauh, masa dan belanja pun kena ambik kira. Dan madrasah dia tu hanya benarkan lawatan parents pada tahun pertama je, tahun kedua nanti tak dibenarkan langsung bahkan akan dihantar untuk praktikal jadi imam dsb (nak lebih pasti,refer Mak Long Imah semula) ke tempat-tempat yang jauh. Kan hebat tu!!!
Madrasah Along tak ada macam tu kan. Belajar macam biasa sampai habis lepas tu baru lanjutkan pelajaran ke mana-mana, masih boleh jumpa dan balik rumah macam biasa.
Cuba Along ikut macam Harqil tu, dia lebih suka tinggal di madrasah daripada balik rumah pada hujung minggu. Mak Harqil, Makcik Yati cerita kat mama, Harqil kata tak payah ambil dia selalu sebab dia tak nak balik. Bahkan dia nyaris-nyaris nak ke Kelantan gak, tapi last minute Makcik Yati yang tak bagi pergi sebab Harqil anak kesayangan, anak bongsu, kang Makcik Yati pulak yang menangis rindu kat rumah.
Mama nak Along kuat semangat, jangan memanjakan diri. Mama nak cerita sikit pasal bab manja ni, berdasarkan pengalaman mama sendiri. Along tau kan, mama ni sorang je anak uwan dan atok. Makanya memang mama terlalu dimanjakan. Kecik-kecik dulu memang seronok, semua orang tau mama anak manja. Tapi beransur besar, mama rasa terkongkong pulak. Cara uwan dan atok tu cara ortodoks. Mama selalu memberontak dalam diam.

Mama kan dah cakap, korang tak boleh manja macam mama, mama anak sorang, korang 4 orang...

Mama tak nak mengasuh anak-anak mama dengan cara yang sama. Sedikit sebanyak minat mama pada ilmu psikologi dan asuhan kanak-kanak memberi pengetahuan baru yang besar gunanya pada mama. Mama nak anak-anak mama berdikari sejak kecil. Mama cuba tak over protected pada anak-anak.
Nampaknya abah pun sebulu dengan mama dalam bab ni. Bahkan bila mama ceritakan angan-angan mama nak ajak anak menantu duduk satu rumah esok-esok, abah membantah. Katanya, anak lelaki biarkan berdikari, lepaskan dia jauh-jauh. Anak perempuan ikut suami.
Cuba pula Along renung-renungkan kisah abah, umur 6 tahun dah pandai masak nasi bagi adik-adiknya makan, masa atuk Leha dan atuk Arbak keluar ke kebun. Abah pandai cari sayur kampung bawak balik ke rumah buat lauk. Atuk bukan orang senang, makanya abah kecik-kecik dah pandai berdikari. Dia berani melangkah jauh dari atuk untuk mencari rezeki. Ingat tak cerita abah bagaimana dia menahan pilu di pagi raya seorang diri makan KFC kat Brunei? Masa tu dia baru sampai ke sana, tak kenal sapa-sapa lagi kat situ, dan tak tau ada sedara mama kat sana (mama baru bertunang dengan abah, mama pun tak tau ada sedara kat sana).
Along pun tau kan, adik-adik Along pun mama nak hantar ke madrasah jugak. Kalau boleh, sekarang jugak mama nak hantar Ain dan Hidayat tu. Tapi mama kena patuh pada abah sebagai ketua keluarga. Abah kata ambik UPSR dulu. Kalau ada rexeki, Ain akan masuk madrasah lagi setahun. Mudah-mudahan Allah permudahkan, amin.
ALong kata kat AIn, nanti AIn jadi macam zorro. Pelajar perempuan kena pakai purdah, nanti kat mata ada belang hitam, yang lain putih. Kalaulah AIn boleh cerah sikit, baguslah. Tapi Along jangan cakap macam tu lagi kat Ain ya. Nanti dia benar-benar fikir macam zorro...Makcik Ju dulu pun pakai purdah, tak de pun macam zorro. Ala, gurau je kan.
(Mama pun pernah pakai purdah sekejap, Uwan Ramlah peluk dan cium mama bila balik dengan purdah. Tapi mama lemah, Uwan Ju tak suka mama berpurdah. Mama tak tau ke mana purdah tu lepas tu).

Mama jeling jam kat sudut bawah pc ni, dah pukul 2243. Mama ingat janji mama nak call ALong, Along telefon petang kelmarin nangis-nangis. Macam selalu, mama rasa tak sampai hati kalau tak telefon Along, sebab tu abah kata mama ikutkan sangat kerenah ALong. Abih tu, kalau mama tak telefon, ok ke???
Tak sampai hati...sekarang mama call ye.

....hantar sms kat ustaz bagitau nak tel Naqib tapi tak telefon pun...kenapa tak telefon pulak? Sebab ustaz tak respon, mungkin ustaz balik rumah dia malam ni, tak pa la, tak mahu menganggu. Sabar la Along, esok mama call ye.

Along, manusia sememangnya lemah dan tidak berupaya melakukan apa saja. Kita sentiasa memerlukan pertolongan Allah Taala. Allah-lah yang menggerakkan hati kami untuk menghantar Along ke madrasah, dan Allah jua yang akan memudahkan semua urusan Along. Mama tak paksa Along, tapi mama ajak Along berbincang. Mama nak Along mengerti mengapa jalan ini yang perlu Along ikut. Hidup kita bukan di dunia fana ni saja, tapi tujuan kita ialah kehidupan yang abadi di akhirat sana.
Along, semua perbuatan kita berasal dari cetusan di hati, itulah niat. Tanpa niat, tak ada apa yang terjadi. Dan setiap niat itu tiada nilainya jika tidak dihubungkan dengan Allah Taala. Mantapkanlah hasrat Along untuk terus belajar di madrasah tu dan mohonlah kepada Allah Taala sentiasa agar beroleh kekuatan dan pertolongan dariNya selalu. Mama sentiasa mendoakan Along, mama nak Along jadi insan yang tabah dan sentiasa bergantung hati kepada Allah Taala. Walau apa pun yang terjadi di dalam hidup kita, mama nak ALong sentiasa menerima dengan redha dan yakin dengan segala hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Yang penting, jadikan Al Quran dan Sunnah sebagai pegangan hidup sampai bila-bila, selama-lamanya.
Along, satu hari kita pasti akan berpisah. Ada rezeki Along akan melanjutkan pelajaran ke mana-mana. Kemudian Along akan menginjak dewasa, mama akan bertambah tua. Along cari ilmu, cari rezeki, kena la keluar merantau. Kalau ikut orang kampung mama, orang lelaki memang kena keluar dari kelompok, pusaka jatuh ke perempuan. Tapi kita ni dah tak pure sebab dah campur dua negeri.
Itu perpisahan pertama. Perpisahan sementara lagi satu ialah bila salah seorang dari kita akan menemui Tuhan Yang Maha Esa, memang fitrah yang tak boleh dielakkan. Makanya, wahai anakku, belajar-belajarlah menikmati perpisahan dengan sebaik-baiknya, agar apabila berlaku apa yang dinamakan perpisahan itu, kamu akan lebih tabah dan sabar menghadapinya. Tiada yang kekal melainkan Yang Maha Kekal selamanya.
Abah balik dari main badminton. Abah tanya mama dah call Along ke? Kelmarin masa abah hantar baldi dan baju ALong yang tertinggal, ALong pesan kat abah minta mama call Along kan. Tapi abah kata nak cakap apa dengan mama, tak sudah-sudah nak telefon je. Tapi kan Long, rupa-rupanya abah ambil berat sebenarnya, kalau tak takkan abah tanya macam tu sampai-sampai je kat rumah. Mama kata cubalah call (sambil memendam rasa ralat jauh-jauh dalam hati sebab tak call tadi), then abah kata budak dah tido la, sekarang dah jam 2350. Ohhh...
Okey la Long, kami semua sayang dan rindu kat Along gak. Berjauhan macam ni menyebabkan kita akan lebih menghargai saat-saat berkumpul bersama. Lagipun kita memang tak pernah berjauhan selalu dan lama-lama macam ni. Mama pun kena belajar tabahkan hati kelak seorang demi seorang akan mengikut jejak Along, insyaALlah.
Sekali lagi, last but not least, mantapkan niat Along demi untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT semata-mata. Mama yakin ustaz selalu peringatkan hal ni pada Along dan kawan-kawan. Jangan sia-siakan setiap saat hidup Along, bergantunglah kepada Allah sentiasa. Mudah-mudahan beroleh berkah dan rahmah-Nya. Sesungguhnya sentiasa ingat Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Mengetahui segala keluh-kesah di hati kita. Maka mengadulah kepada-Nya selalu. Selangkah Along mendapatkan-Nya, sepuluh langkah Dia menghampiri Along. Kasih sayang-Nya amat hebat, lebih hebat dari kasih-sayang mama kepada Along. Dia-lah yang menciptakan kita, Dia Maha Tahu segala bisikan hati kita. Mintalah yang baik, insyaAllah akan dapat yang baik dari-Nya.
Mama dan abah akan terus menyokong Along, mendoakan Along. Semua ahli keluarga kita juga demikian, mereka amat berbesar hati dengan kesanggupan Along terus berada di tempat Along sekarang. Ingat juga maksud nama Along tu, yang Allah gerakkan hati mama untuk memilih nama itu, bukan suka-suka nak bubuh nama tu. Muhammad Naqib, maksudnya 'Pemimpin Yang Mulia / Ketua'. Jadilah pemimpin masyarakat, setidak-tidaknya pemimpin keluarga, paling tidak pemimpin diri sendiri. Jadilah pemimpin yang BERTAQWA.

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya; "Barangsiapa melalui satu jalan untuk menuntut ilmu Allah akan dipermudahkan untuknya jalan ke syurga dan sesungguhnya para malaikat melebarkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu lantaran redha atas apa yang mereka lakukan. Sesungguhnya orang yang berilmu itu akan dipinta keampunan untuknya oleh apa saja yang ada di langit dan barang apa saja yang ada di bumi hinggakan ikan-ikan dalam lautan. Kelebihan orang yang berilmu dibandingkan dengan orang yang tidak berilmu adalah ibarat kelebihan bulan atas lain-lain bintang. Sesungguhnya ulamak adalah pewaris nabi dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar, tidak juga dirham dan sesungguhnya mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa mendapatkannya sesungguhnya ia telah memprolehi keuntungan yang besar."
(Abu Daud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Ya Allah, tabahkan hati anakku dan berkatilah perpisahan ini agar ia memberi kebaikan tidak memberi bekas yang buruk kepadanya. Terangkan hatinya, mudahkan kefahamannya dan kuatkan imannya. Berikan dia guru-guru dan kawan-kawan yang bertaqwa. Mudahkan urusannya dan masukkan dia ke dalam golongan yang beruntung di dunia dan di akhirat. Hanya padaMu tempat aku berserah diri dan kembali. Amin.

Insya Allah , lain kali mama sambung lagi bingkisan ini untuk Along.

Tuesday, July 14, 2009

Brunei mari...

10 Julai, hari lahir Hidayat ke 7. Tanpa dirancang, tetiba Hakim dan kawan-kawannya, Nas, Halim dan Mali kata nak datang ke rumah kami. Terkojut tengok Hakim dah bosa panjang, ada janggut sejomput laie tu, dah pakai spek plak. Kuek mencerabih macam mak dio gak...
Baguih sangat la nampaknya, ada la sempenanya ye tak. Saya send sms kat kekawan jemput kanak-kanak je datang pada sebelah malamnya, anak-anak depa la. Saya sudahkan pelawaan tu dengan setinggi-tinggi tima kasih, ada gak yang balas dengan pertanyaan, takkan jemput anak je kot... Ala, majlis ala kadar je, untuk menceriakan Hidayat sambil jamu budak-budak. Tengahari tu, saya ajak Naqib g kedai pilih kek, dapat kek gambar spiderman. Pas tu beli jajan dan minta tolong Naqib bungkus. Then Saya prepare bahan untuk meehon goreng, tak sempat nak goreng, abah depa dah tolong gorengkan. Dalam perjalanan balik petangnya tu, dia singgah kedai beli nasi lemak special dan sate, coz Hakim kata nak rasa nasi lemak sini pulak. Demikianla adanya peristiwa hari tu yang boleh dibuat kenang-kenangan bawak balik dek Hakim ke Brunei. Oh ya malamnya pulak seusai majlis simple tu, abah depa bawak bujang-bujang Brunei tu g Serindit. Balik jam 2 pagi, pagi esoknya tengok masing-masing dah terbungkang kat hall. Selesai bersarapan, mereka pun bergerak ke Cheras pulak, rumah auntie Halim. To all of you, Maaflah dengan sambutan yang seadanya ni, jangan serik plak nak datang lagi yo. Info la awal-awal, boleh masak ekor lembu...buat sup thursun, hehehe. To kak Lang, eden dah tengok-tengok rate kapaterobang kek air asia tu, tahun dopan boleh la poie, nanti den nak hanta kad rayo kek sultan Brunei mintak duit rayo buleh buek duit tambang...errr...ekau pun buleh bagi den duit rayo, apo...den tunggu yooo...jangan lupo lak!!!


Nisa Irdina dapat hadiah


Hari ni Nisa Irdina tamat baca buku 4. Tapi bila ditest muka surat awal masih sangkut sebab salah sebut, suka benar dia bunyikan 'cha' untuk 'ta' dan 'ya'. Dia boleh sebenarnya tapi ambik masa nak sebut, yang senang sebut pada dia 'cha' tu la. Jadi 'cha' yang banyak keluar dari mulutnya. Bila saya kata, ulang!, dia senyum-senyum, tak boring macam selalu. Dia tahu hari ni dia akan dapat hadiah. Tak sampai hati nak tahan hadiah tu, lebih kurang la dengan budak ni, fikir saya. Tapi saya tegaskan, bila-bila saja saya akan test dia lagi. Untuk utuhkan lagi imej dan sebutan, saya lakar huruf t dan y besar-besar di atas A4, dan dia warnakan menggunakan jari. Dia suka je buat kerja tu, dah habis masa pun nak buat lagi. Akhirnya saya serahkan hadiah comel yang tak seberapa tu padanya. Hati saya pun rasa riang... Alhamdulillah. Memang kita digalakkan memberi hadiah untuk menjalinkan kasih-sayang. Ya Allah, murahkanlah rezekiku dengan rezeki yang berkah agar dapat memberi hadiah selalu, aminnnnnnnn. (dan bayar hutang!!!).

PJAC - sesi belajar pertama


Lewat 10 minit, sepatutnya jam 930 dah sampai di PJAC. Time nak keluar macam-macam la sangkut nak diselesaikan. Cepat-cepat tukar baju dan cepat-cepat menuju ke PJAC. Su sengih je lihat kelibat saya di depan pintu. Bersepah kak, katanya. Saja saya tak maklumkan nak datang, sambil boleh spot check. Hmmm...belum berapa clear.
Mejanya katanya kelmarin dah ada tapi hari ni dah diletak tv pulak. Kena la buat aktiviti atas lantai je. Saya panggil Iman, Dina, Hakim dan Najwa masuk ke bilik. Yang lebih kecil tidur dan yang lebih besar masih di tadika. Tadah tangan dan baca doa penerang hati sama-sama. Kami buat aktiviti pertama hari ni, mengenal huruf 'a' - angsa. Saya cerita sikit-sikit tentang angsa, dalam pada tu terfikir pulak kena ada buku untuk BI jugak. Iman nampak lebih fokus, Najwa asyik merenung saya, Dina nampak kurang selesa dengan hingusnya, dan Hakim senyum-senyum ceria. Semasa mula mewarna gambar angsa, Hakim nampak resah, rupa-rupanya sakit perut nak membuang. Apabila Hakim masuk semula selesai urusannya, kami dah beralih ke sesi seterusnya, iaitu sesi mendengar cerita. Hari ni saya bercerita mengenai 'Pengail dengan Raja Ikan'. Dina mula menguap-nguap, alahai...Tapi bila saya ubah suara kecil untuk watak Raja Ikan tu, Dina nampaknya berminat untuk terus mendengar. Yang paling fokus ialah Iman dan Hakim. Mereka ni dah 4 tahun, pegang pensil pun dah cekap. Dina dan Najwa baru 3 tahun. Nampaknya sesi belajar ni perlu diringankan lagi, dipendekkan masanya atau diselitkan dengan aktiviti lebih menarik seperti keluar dari nurseri melihat alam sekeliling. Dulu saya buat macam ni dan kanak-kanak memang seronok sangat, tapi sebelum tu kena janji dulu sentiasa dekat dengan cikgu dan tak lari-lari jauh, kalau tak, itulah pertama dan terakhir kali keluar nurseri. Kadang-kadang saya bawa mereka ke taman permainan tak jauh dari nurseri. Hasilnya hingga kini, kebanyakan kanak-kanak yang dah keluar dari nurseri ni masih 'berminat' dengan saya. (Cerita dah menyimpang pulak ni...). Balik ke sesi belajar tadi, tengah syok bercerita, hset saya berbunyi, cik abang tanya saya kat mana dan suruh balik sebab dia dah nak keluar. Akhir sekali, saya sapukan sedikit wangian ke tangan masing-masing sebagai penghargaan. Selesai, saya bergegas balik. Dalam hati, saya menjangkakan kedatangan saya selepas ni pasti ditunggu-tunggu, mudah-mudahan tak banyak sedikit mereka dapat sesuatu yang bermanfaat hari ini.
Ya Allah, mudahkan urusanku dengan kanak-kanak ini. Berikanku kekuatan untuk mengenalkanMu, Tuhan, kepada mereka. Terima kasih, Tuhanku.

Monday, July 13, 2009

Bacalah Anakku

Nisa Irdina dah sampai buku 4 Bacalah Anakku. Setelah beberapa minggu, saya dapati setiap hari Isnin dia boleh membaca agak laju. Tapi Selasa dan Rabu, dia mula tersekat-sekat semula. Isnin seterusnya laju balik. Minggu lepas saya nasihatkan dia jangan banyak sangat bercakap nanti ilmu hilang bersama cecerannya. Tujuan saya sebenarnya supaya dia tidak hilang tumpuan. Guru sekolahnya pun kata dia macam mak nenek. Masa dia stay sekejap di PJAC dulu, Cik Yam dan Siti yang menjaga dah panggil dia mak nenek. Kuat mencecer, bahasanya pun macam orang tua-tua. La ni bila saya mula merenung time dia nak mencecer, cepat-cepat dia menekup mulutnya dengan tangan tapi masih bercakap, tak nak ilmu keluar, katanya.
Hari ni dia terlupa nak ambil bungkusan hadiah untuk diletakkan di sampingnya. Saya pun buat-buat tak tahu saja. Lima bungkusan hadiah yang simple dibalut kertas pembalut yang cantik untuk setiap buku Bacalah Anakku yang dia habiskan, mulai buku 4 sehingga buku 8, insyaAllah. Idea ini muncul apabila Nisa mula merasa enggan datang untuk sesi Bacalah Anakku seperti selalu. Sementelah ibunya baru melahirkan dan berehat di rumah sepanjang masa. Saya mula risau seandainya saya gagal menarik hatinya untuk datang belajar.

Masa ibunya mencurahkan kegusarannya (masa tu Nisa belum belajar dengan saya lagi), saya ingatkan saja bahawa baru 3,4 bulan masuk tadika takkan dah expect Nisa lancar membaca. Saya masih ingat pesanan Dr Datin di UM agar tidak memaksa anak-anak atau meletakkan harapan terlalu tinggi di usia muda. Saya berpendapat Nisa lebih pick-up berbanding Arif, abangnya. Kanak-kanak perempuan biasanya lebih tekun berbanding kanak-kanak lelaki. Saya yakin Nisa absorb apa yang dibaca walaupun dia selalu cepat lupa. Di sinilah perlunya guru atau tenaga pengajar membuat pendekatan lebih kreatif dalam mangajar kanak-kanak kerana daya kreativiti boleh menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik dan memberangsangkan. Saya benar-benar berharap Nisa akan menyudahkan Bacalah Anakku sehingga buku 8 dan benar-benar lancar membaca sebelum dia masuk Tahun 1 tahun depan. Saya tak mahu menetapkan tempoh untuk Nisa walaupun testimoni mengatakan 3 bulan untuk tamat dengan jayanya. Apa yang penting ialah hasilnya bukan tempohnya. Lagipun ini percubaan pertama saya (Arif tidak sempat menghabiskan sesi ini dengan saya). Ya Allah, permudahkanlah urusan ini bagiku dan Nisa. Terangkanlah hatinya, mudahkanlah kefahamannya dan kuatkanlah ingatannya, mudahkanlah dia belajar. Berkatilah usaha ini dan lorongkan kami ke jalan yang Engkau redhai. Amin.

Sewaktu Azan Mendayu-dayu


Sejak akhir-akhir ini, Alia kerap tidak berselera untuk menjamah makanan. Dia hanya mencubit lauk saja, nasi pun hanya beberapa suap. Kalau dulu, alasannya nak diet, nak kurangkan berat badan. Dari 61kg nak diturunkan ke 48kg, berat ideal yang disahkan oleh jiran gerai sebelahnya di ekspo tempohari. Gerai itu menjual produk makanan untuk menguruskan badan. Dia berminat, tetapi harganya mak oi, mahal benar dan kena beli ikut pakej. Sambil menegur sapa dan beramah mesra dengan mereka, dia ambil kesempatan menimbang berat dan mengambil ukuran ideal untuk dirinya. Suami dan anak-anaknya yang debab-debab belaka tu pun tumpang semangkuk.
Tapi beberapa waktu kebelakangan ini, dia sendiri pun pelik. Tengok nasi dan lauk-pauk, tak mengecurkan air liurnya. Mungkin berkat Ramadhan telah mula tersebar di bulan Rejab, bulan Allah, bisik hatinya. Alhamdulillah, dia mula memasang niat untuk berpuasa sunat Rejab. Kalau boleh dia nak puasa sunat Syaaban juga seterusnya menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh berkah.
Pada masa yang sama, pandangan matanya mulai kabur, terutama mata kanan yang diserang penyakit mata tempohari. Suami dan anak-anaknya pun kena sakit mata juga, tapi mereka tak ada merungut tentang mata kabur. Bermakna mata mereka benar-benar kembali pulih seperti sediakala. Dia pula, bukan sahaja terburu-buru membuat kaca mata baru yang mahal harganya, bahkan tidak membantu pun menajamkan pandangannya, pakai kaca mata tu pun sama saja rasanya. Akhirnya kadang-kadang dia pakai, kadang-kadang dia tak pakai pun. Kemudian, Alia terfikir pula nak buat check-up di hospital. Namun membayangkan prosedur untuk sampai ke meja doktor pakar dan masa yang bakal dipenuhi dengan menunggu giliran, dia melupakan saja hasratnya itu. Kesudahannya, dia mencari semula ubat titis Permata Hijrah yang dibelikan oleh suaminya tempohari dan mula menitikkan ubat titis itu di matanya kerap kali. Alia benar-benar berharap ubat ini dapat membantu memulihkan matanya seperti sediakala.

Okey, minta perhatian dari Kak Ju. Kisah seorang wanita yang tanpa disedarinya sedang menanti maut kerana penyakit barah rahim yang kritikal, tidak dapat dikesan langsung sekian lama, tiada simptom ketara. Barah merbahaya yang dalam masa singkat telah merebak ke seluruh organ utama. Simptom tidak dikesan kerana kerajinannya menjaga pemakanan dan suka ulam-ulaman serta mengambil makanan kesihatan keluaran tempatan yang terkenal dengan testimoni yang menakjubkan. Kisah ni ditumpukan kepada hubungan ibu dan anak-anaknya. Mereka suka menyanyi bersama-sama, di antaranya ialah nasyid Sewaktu Azan Mendayu-dayu. Tetapi biasanya hanya dia yang menyudahkan nasyid ini kerana anak-anaknya enggan meneruskan, mereka bimbang nasyid itu menjadi realiti dalam hidup mereka. Malangnya, rupa-rupanya, itulah takdir yang telah ditentukan Tuhan. Suatu hari mereka menyanyi lagi bersama-sama, atas permintaan ibu yang telah terbaring tidak berdaya, hanya untuk berhibur hati, namun menghiris kalbu tidak terperi. Kemudian, ibu sakarat dan kembali ke tempat abadi.

Biasanya, kalau nak bayangkan, kena bayangkan diri sendiri. Tapi nak meneruskan tu yang tak sanggup sebab idea terus meloncat ke sudah, yang tengah-tengah tu rasa payah (sebab nak kena fikir/study/bayangkan betul2). Amacam, boleh buat novel tak? Ni idea sendiri, tak de ciplak mana-mana. Tak tau la kot dah ada novel sebegini tapi saya yang tak baca. Terima kasihhhhhhh...

Sunday, July 12, 2009

Awas dengan Kod E

Artikel ini saya copy dari laman sesawang...isu lama yang tak pernah basi tetapi selalu tidak diendahkan bahkan sering ditutup-tutup oleh pihak berkenaan.


Elakkan makanan Kod-E

Sebelum ini aku selalu mendengar tentang kod E yang menurut sesetengah pihak mengandungi lemak khinzir. Jadi aku turut mengelakkan daripada membeli produk yang mengandungi kod E tersebut. Dalam masa yang sama aku juga cuba untuk mengetahui lebih lanjut apa sebenarnya kod E ini. Jadi di sini aku ceritakan sedikit sebanyak sejarah kod E.

Di negara-negara barat, termasuklah eropah, pilihan utama bagi sumber daging ialah khinzir. Terdapat begitu banyak ladang khinzir di negara barat bagi menternak haiwan tersebut. Di Perancis sahaja terdapat lebih daripada 42000 buah ladang ternakan khinzir.

Khinzir mempunyai kandungan lemak yang sangat tinggi di dalam tubuh mereka berbanding haiwan lain. Namun demikian, orang-orang barat dan eropah, mereka lebih suka mengelakkan daripada mengambil lemak dalam pemakanan mereka. Kesemua khinzir diurus oleh Jabatan Pentadbiran Makanan di negara-negara eropah dan disembelih di rumah sembelihan dan menjadi satu masalah besar bagi setiap rumah sembelihan untuk membuang lemak-lemak yang terdapat pada daging khinzir tersebut.

Dikatakan lebih kurang 60 tahun yang lalu, mereka terfikir untuk menggunakannya. Pertama kali, mereka cuba membuat kajian bagi menukarkan lemak-lemak tersebut sebagai sabun. Cubaan tersebut berjaya. Kemudian, lemak khinzir ini mula diproses secara kimia, dipaketkan dan diedarkan di mana syarikat lain akan membelinya bagi tujuan masing-masing. Dalam masa yang sama, kesemua negara-negara eropah membuat undang-undang di mana setiap barangan makanan, perubatan dan kesihatan yang mengandungi kandungan lemak khinzir ini ditulis pada bungkusan produk tersebut sebagai "Lemak Khinzir".

Mereka yang tinggal di eropah 40 tahun yang lalu pasti menyedari perkara ini. Namun demikian, produk-produk ini telah diharamkan oleh negara-negara Islam pada ketika itu. Perkara ini menyebabkan berlakunya kejatuhan dagangan produk terbabit.

Dalam sejarah Asia Tenggara, kita dapat mengetahui hakikat perkara ini melalui sejarah perang saudara 1857. Pada masa itu, peluru senapang dihasilkan di eropah dan diangkut melalui laut merentasi benua. Pengangkutan peluru senapang ini memakan masa berbulan-bulan lamanya dan menyebabkan kerosakan pada peluru tersebut akibat terdedah kepada laut.

Kemudian, eropah menemui jalan penyelesaian dengan cara menyalut peluru-peluru terbabit dengan lemak khinzir. Salutan lemak khinzir tersebut terpaksa diasah dengan gigi terlebih dahulu sebelum dapat digunakan. Apabila perkara ini diketahui umum, sebahagian besar orang beragama Islam dan golongan vegetarian tidak mahu berperang menggunakan peluru itu dan akhirnya membawa kepada perang saudara. Eropah menyedari hal tersebut dan akhirnya menukar perkataan "Lemak Khinzir" kepada "Lemak Haiwan". Mereka yang tinggal di Eropah sekitar tahun 1970-an juga mengetahui perkara ini.

Apabila eropah ditanya oleh komuniti negara-negara Islam tentang apakah maksudnya "Lemak Haiwan" maka mereka mengatakan ianya adalah lemak daripada lembu dan kambing bebiri. Dalam hal ini juga satu perkara ditimbulkan iaitu meskipun lembu dan bebiri tidak haram dimakan bagi umat Islam, namun lemak yang digunakan eropah itu masih lagi haram kerana lembu dan bebiri tersebut tidak disembelih mengikut kaedah Islam. Maka sekali lagi produk eropah diharamkan di negara-negara Islam.

Hasilnya, syarikat-syarikat antarabangsa sekali lagi mengalami kejatuhan memandangkan 75% keuntungan mereka diperolehi daripada hasil jualan kepada negara-negara umat Islam dan keuntungan berbilion dolar hasil daripada eksport ke negara umat Islam.

Akhirnya mereka membuat keputusan untuk menggunakan bahasa kod, supaya hanya mereka daripada Jabatan Pentadbiran Makanan tersebut sahaja yang mengetahui apakah sebenarnya bahan yang digunakan dan pengguna dibiarkan tidak mengetahui apa-apa. Maka mereka mula menggunakan kod E. Bahan-bahan E ini menjadi isi kandungan kepada majoriti produk-produk multinasional dan antaranya ubat gigi, chewing gum, coklat, gula-gula, biskut, makanan dalam tin dan pelbagai lagi jenis makanan dan produk.

Oleh itu, sebelum membeli apa-apa produk eloklah jika kita memperhatikan dahulu kod-kod E ini. Aku harap perkara ini dapat diberitahu kepada semua umat Islam. Sila rujuk jadual di bawah.

Perempuan Tua dan Lembu Tua


Petikan : Kisah perempuan tua dan lembu tua
Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dahsyat ini juga sampai ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.
Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati yang amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu hari Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.

Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk Tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah... bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing- masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.

Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.
Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00) !

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.
"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.

"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.

Secawan kopi daripada guru


Secawan Kopi daripada Guru - memuatkan 42 cerpen yang ditulis oleh guru-guru - amat menarik dari segi idea dan sudut pandang cerita.

Jika kita tidak ada idea untuk menulis cerpen, buku ini boleh saja mencetuskan 1001 idea yang baru dan segar.

Buku ini boleh dipinjam di mana-mana perpustakaan desa di negara kita.

Ijtimak

Saya dan anak-anak sampai di kawasan kuarters KLIA jam 1230 tengahari. Saya menyusur perlahan tak tau nak ke mana atau nak parkir di mana. Pelbagai jenis kenderaan begitu banyak berderet di tepi sepanjang jalan di mana-mana. Van, bas-bas sekolah dan bas eksekutif juga mengambil tempat di tepi jalan dan kawasan parkir. Ada juga lori-lori parkir di tepi jalan menjual buah mangga dan air mineral. Polis-polis trafik kelihatan mengawasi suasana. Lelaki-lelaki berjubah, berkurta, berkopiah, berserban dan bercelak mata bertaburan di merata kawasan. Tiada wanita! Kelibat kanak-kanak juga tiada.
Setelah menjangkakan kami telah hampir dengan pusat tumpuan, saya pun menyelitkan kereta comel ini di tepi jalan, strategik fikir saya. 15 minit kami berdiri di tepi kereta, tercangak-cangak dan saya terus menimbang-nimbang sama ada akan bergerak ke mana-mana atau menunggu di kereta sahaja. Saya rasa cuak. Puas melingaskan mata sejauh pandangan, tak ada kelibat wanita baik bertudung mahupun berpurdah. Kalau ada pun yang bertudung, adalah lelaki yang meletakkan kain serban di atas kepala, dari kejauhan seperti wanita bertudung rupanya.
Naqib menawarkan diri bertanya kepada seorang lelaki berwajah Melayu berkurta kelabu kebiruan yang sejak tadi berdiri tidak jauh dari kami seperti sedang menunggu seseorang, sesekali bertembung pandang dengannya, mungkin hairan dengan kewujudan saya di situ. Naqib cuba membantu saya membuat keputusan, daripada jawapan lelaki itu tentunya. Tumpuan kami ialah ke khemah-khemah besar itu. Apa yang ada di situ? Malangnya jawapan sebagaimana yang diduga, tiada wanita dibenarkan ke situ dan tiada seorang wanita pun yang ada di situ.
Apa tujuan saya ke ijtimak ini?
Saya hendak menunaikan hajat si anak, Naqib, yang mana ustaz-ustaznya terlibat dengan Ijtimak ini, sedangkan dia tidak dibenarkan turut serta melainkan dengan ibu bapa, kerana prasyarat ialah umur 15 tahun ke atas sahaja yang dibenarkan, dikhuatiri hilang ditelan perkumpulan yang ratusan ribu itu. Suami saya tidak mampu turut serta dikekang tuntutan kerja, terpaksa hadir untuk memantau testing aircond di kilang di Puncak Alam. Kata Naqib lagi, perhimpunan begini akan berlaku lagi di Malaysia pada 20 tahun akan datang. Jawab saya, baguslah... masa tu dia bukan saja dah cukup dewasa bahkan boleh bawa anaknya juga, mungkin. Riak wajahnya menunjukkan kekecewaan, tambahan pula Mukhlis, kawannya yang telah hafiz tu tak semena-mena menalifonnya sebentar tadi mengabarkan dia telah sampai ke Ijtimak dengan bapanya. Kata Naqib, dia mendengar bunyi suara ramai melatari suara Mukhlis. Harqil yang agak nakal dan lucu tu pula, awal-awal dah mengabarkan bahawa dia akan membawa beberapa orang kawannya ke Ijtimak agar mendapat sentuhan dakwah di situ. Jadi, tiada pilihan, sementelah rasa ingin tahu yang membuak di dada, saya akhirnya berada di tempat ini, sekarang tenggelam bungkam dalam perasaan terasing berbaur dengan segan silu.
Setelah memantapkan fikiran dan yakin dengan keputusan yang dibuat, alang-alang dah berada di sini, bukan dekat nak datang... saya heret Ain dan Nisa berjalan menyusur tepi gerai-gerai. Naqib dan Hidayat saya izinkan beredar untuk mencari khemah jualan Ustaz Umar Abdul Aziz, ustaz muda yang mengendalikan madrasah di Shah Alam. Alangkah senangnya hati saya apabila menemui beberapa orang wanita yang berjualan di gerai-gerai. Kemudian, saya bertembung pula dengan satu keluarga yang lengkap dengan nenek, ibu dan anak perempuannya. Saya mengekori perlahan seolah-olah sebahagian dari mereka. Tak berani saya menebarkan pandangan lagi, hanya memerhatikan barang-barang jualan dari gerai ke gerai. Semua mata di situ milik lelaki, bercelak hitam, berbagai bangsa, bermacam warna kulit, berjanggut dan berambut panjang mencecah kolar baju. Ada juga yang mewarnakan janggutnya dengan inai merah. Sedikit sebanyak saya kecut. Namun cepat-cepat saya bertenang dan menaruh baik sangka. Saya faham tempat ini bukan tempat yang sepatutnya saya dan anak-anak berada.
Gerai pertama yang menarik hati saya ialah gerai menjual pelbagai jenis ketayap dan songkok. Saya telefon suami bertanyakan saiz songkoknya, setelah membelek-belek dan memilih, saya beli songkok berwarna hijau pucuk pisang bertekat benang emas, berharga RM18 sebagai cenderahati. Kemudian, saya beli marshmallow Halal (seperti yang tertulis pada banner), diikuti dengan minyak wangi White Musk kegemaran saya dua botol, RM10. Selain itu, saya beli makanan ringan untuk dikunyah nanti. Pelbagai barangan yang lain semuanya untuk lelaki di Ijtimak seperti berbagai warna jubah dan kurta, pelbagai bentuk tasbih, pelbagai batu cincin dan cincin siap, barangan kegunaan harian seperti kayu sugi, selipar, tikar lipat, juga makanan kesihatan (madu, pati habbatus sauda, tungku moden dll). Dua ekor dhab termenung di dalam sangkar, memikirkan dirinya bakal menjadi bahan utama minyak dhab.
Di seberang jalan, khemah-khemah besar berwarna putih, teramat besar, dipenuhi dengan ribuan manusia. Saya cuba menajamkan pandangan tetapi tidak jelas. Tidak mungkin saya akan ke situ, walaupun saya sangat teringin nak melihat lebih dekat. Kalaulah suami saya ada... Akhirnya saya andaikan mereka sedang dalam perbincangan atau apa saja. Setiap khemah diletakkan papan tanda untuk setiap negeri dan negara yang diwakili. Memang hebat, apabila umat Islam sedunia berkumpul di Malaysia.
Saya tidak arif tentang Tabligh. Tiada seorang pun ahli keluarga dari mana-mana pihak yang terlibat dengan Tabligh, baik yang dekat mahupun yang bau-bau bacang. Kakak ipar saya tidak sampai jodoh bersuamikan seorang Tabligh kerana tidak beroleh persetujuan keluarga, dan sehingga sekarang dia masih bersendirian, terus menutup hatinya untuk berumahtangga, sesiapa yang cuba-cuba buka cerita pasal jodoh atau nak paduk-padukkan dia akan dilesingnya.
Di taman perumahan, selalu juga beberapa lelaki Tabligh datang mengajak anggota keluarga lelaki ke surau berhampiran. Di kawasan kampung berdekatan pula, saya selalu melihat lelaki-lelaki berjubah berketurunan Kampuchea pergi balik masjid khususnya pada hari Jumaat. Tak pasti benar apakah mereka ni Tabligh atau bukan... Saya berfikir tak ada salahnya saya mengambil tahu hal Ijtimak ini sebagai sebahagian dari kehidupan yang ditempuh oleh Naqib sekarang atau akan datang. Saya nak kenal tak banyak sedikit apakah dan siapakah...Hasilnya, sekembali kami, saya cari akses Ijtimak di internet dan saya temui banyak perkara. Tanpa disangka-sangka suami saya turut menaruh minat dan meneruskan pencarian dan menemui blog kawan lama yang telah terputus hubungan, Datuk Hj Salahuddin.
Satu kisah yang terkesan di hati saya, mengenai pemuda Tabligh yang keluar ke jalan Allah di negara asing, tapi dek dah lama saya tak ingat di buku atau majalah atau akhbar apa, saya ulang cerita kepada Naqib secara umum sahaja. Pemuda yang berjuang dengan ikhlas, akhirnya maut menjemput tatkala masih di negara orang. Namun wasiat beliau agar dikebumikan di mana dia menemui Tuhannya, disanggah oleh si bapa yang enggan membiarkan jasad anaknya bersatu dengan tanah asing. Bapa dengan segala upaya datang menjemput dari tanahair. Akhirnya penggalian pusara yang masih merah dilakukan semula atas desakan bapa. Waktu tanah mula dibongkar, tiba-tiba muncul bauan harum yang tidak pernah dihidu oleh hidung manusia, dari celah timbunan tanah pusara yang merah. Menyebabkan si bapa terpana bersama airmata dan akhirnya akur pada kebenaran yang diperjuangkan oleh si anak serta wasiat yang wajib dipenuhi itu.
Setiap usaha di jalan Allah demi keredhaanNya serta menegakkan kebenaran pasti mendapat perhatianNya, insyaAllah.
Kami melangkah pulang sebaik azan Zohor berkumandang. Sekali lagi gerombolan lelaki berduyun-duyun bergerak ke satu arah. 5 buah lori tangki air Syabas bergerak perlahan menuju ke kawasan tumpuan. Gerai-gerai beransur lengang.


Friday, July 10, 2009

Menulis cerpen

Salam.

Oleh kerana pemilik blog ini telah menjemput saya mengisi apa-apa benda berfaedah di sini, maka inilah entry pertama saya. Entry ini diceduk dari laman web di DBP, moga ada manfaatnya.

GENRE: CERPEN

Genre/bidang cerpen dalam kesusasteraan Melayu termasuk dalam kategori cereka, merupakan satu bidang yang popular. Terdapat lima genre/bidang dalam kesusasteraan Melayu moden iaitu cerpen, drama, esei/kritik, novel dan puisi.

Cerpen ialah cerita berdasarkan fakta di campur dengan imaginasi. Manakala sastera pula payah diberikan definisi yang universal, justeru sastera bukan sesuatu yang dijumpai tetapi sebuah nama yang diberikan kepada sesebuah karya tertentu dalam lingkungan budaya tertentu. Bagaimanapun dapat disimpulkan bahawa kesusasteraan ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Di dalamnya ada bahan yang indah, bahasa yang indah dan teknik penceritaan yang indah. Yang indah dalam kesusasteraan juga bukan hanya yang cantik di mata tetapi mempunyai nilai estatika.

Dengan ini cerpen ialah satu gabungan yang tidak seimbang antara pengalaman (realiti/benar berlaku) dengan rekaan (imaginasi) pengarang.

Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebutkan panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.

Apa yang mesti ada dalam karya sastera seperti cerpen?

Yang pertama
Intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

Yang kedua
Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail/gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

Yang ketiga
Peristiwa/persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

Yang keempat
Sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya.

Bentuk cerpen

Pertama

mimesis/peniruan iaitu meniru atau merakamkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ditambah dengan imaginasi pengarang.

Kedua

cerpen beralasan iaitu mengadakan sau dasar atau alasan untuk mengubah bentuk biasa seperti menciptakan watak daripada mahluk asing.

Ketiga

cerpen mimpi iaitu cerita seperti dalam mimpi, dengan sifat luar biasanya, perlambangan tertentu sehingga ada waktunya tidak boleh diterima akal.

Teknik penceritaan cerpen

boleh dengan dialog untuk menghidupkan pemikiran. Dengan aksi pula cerita bergerak pada dasarnya, dengan perlukisan cerita bergerak dengan latar pilihannya dan pendedahan akan memberikan gambaran atau tema tertentu cerpen.

Ciri-ciri khas cerpen (cerpen konvensional)

1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan)
2. Ada adengan, watak, gerak.
3. Bahasa tajam dan menarik
4. Interpertasi pengarang kepada kehidupan
5. Dapat menimbulkan satu kesan
6. Menarik perasaan pembaca
7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih
8. Ada cerita/persoalan utama, watak utama, latar dan suasana

SIFAT-SIFAT PENULIS

Bagaimana nak menulis karya kreatif?

Penulisan kreatif seperti cerpen ini sebenarnya tidak dapat diajar. Pembimbing tidak dapat memberitahu seseorang bagaimana hendak menulis namun pembimbing dapat menerangkan bagaimana hendak menulis dengan lebih baik.

Yang penting penulis :

1. mestilah peka terhadap keadaan manusia dan berusaha memaparkan perasaannya.
2. mestilah cintakan kata-kata supaya frasa yang dicipta akan mengharukan pembaca.
3. mestilah meminati dunia penulisan dan mengasingkan diri dengan tulisan supaya dapat melihat apa yang baik dan yang buruk tentang tulisannya.
4. mestilah ada sikap yang teliti.
5. mestilah menjadikan tulisannya sebagai amalan harian, bukan hasil sekali skala.
6. mestilah menulis kerana mahu menulis bukan kerana sebab yang lain seperti kewangan misalnya.
7. mestilah berani menghadapi cabaran. Menggunakan karya yang ditolak sebagai dorongan untuk menulis dan bukan sebagai tanda dunianya telah kiamat.

Bagaimana nak menjadi penulis?

Bakat

Bakat anugerah Allah yang sukar dilihat. Ada percanggahan pendapat oleh para pengarang mengenai hal ini. Contohnya : SN Keris Mas menyebutkan bakat sangat penting sementara SN A. Samad Said menyatakan bakat kurang penting tetapi usaha dan minat lebih penting.

Minat

Ada keinginan untuk menulis.

Rajin membaca

Hal ini diakui oleh ramai penulis seperti Anwar Ridhwan dan Khadijah Hashim. Pembacaan akan memberi idea untuk menulis persoalan yang lain. Pembacaan akan melibatkan penamatan dan akan menimbul idea pertama.

Ada cita-cita untuk menjadi penulis.

Hasrat atau harapan akan menjadi pendorong.

Rajin menulis

Tuesday, July 7, 2009

Rahsia Agenda Alam Hitam

Saya telah selesai membaca buku ini. Memang menarik! Saya terbayang-bayang suasana mengikut jalan ceritanya dan terfikir-fikir sama ada ia benar-benar berlaku di alam nyata. Saya rasa nak ulang semula membacanya tetapi kekangan masa tidak memungkinkan saya melakukannya.
Pencarian buku seterusnya menemukan saya dengan sebuah lagi buku penulis ini, Zehann Ur Rekhie, iaitu Gapura. Ringkasan di muka belakang tidak memuaskan hati jadi saya imbas sepintas lalu secara menyongsang, ternyata ia tidak mengecewakan. Mudah-mudahan...
Saya berharap akan menemui lebih banyak lagi buku beliau, dan berharap dapat mengenali penulisnya. Malang, tidak ada biodata seperti Faisal Tehrani lakukan di dalam novelnya. Saya bertemu dengan dua buah buku Faisal Tehrani setelah leher saya sakit membelek deretan novel di perpustakaan desa, hanya ada dua saja, iaitu Bila Tuhan Berbicara dan Surat-Surat Perempuan Johor.

Anak Benih Suku Mungkal Cucu Siamang Gagap

Petikan berita mengenai perlantikan Hj Mohammad bin Mohd Yasin bin Gagap menyandang gelaran pesaka Dato' Semaharaja Lembaga Suku Mungkal Ulu Pilah kali ke-7 di akhbar Utusan Malaysia telah dikeluarkan pada Isnin 6 Julai 2009. Sila rujuk tajuk berkaitan di sini pada tarikh tersebut untuk melihat slide show gambar2 yang telah diedit untuk tatapan bersama.

"Kok Bulat segolek, Kok Pipih selayang"

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing