Sebuah novel jibunsyi terbitan PTS, Dalam Kehadiran Sofiah, kisah ibu bapa muda yang direzekikan oleh Allah seorang anak istimewa. Kelahiran yang sukar sehingga lemas meenjadi sebab kepada kecacatan kekal cerebral palsy iaitu masalah gangguan dan kerosakan pada otak. Sofiah telah dua minggu lewat dilahirkan dari tarikh sepatutnya, bahkan air ketuban telah kering dan beberapa drip ubat telah dimasukkan ke tubuh ibunya namun tidak memberi sebarang tindakbalas untuk melahirkan. Akhirnya dia bergelar blue baby dan mendiami inkubator dengan wayar berselirat di tubuhnya.
Yang menjadi keanehan ialah sikap doktor yang masih memaksa kelahiran normal kepada ibunya walhal dia memang tidak berdaya sehingga separuh pengsan akibat kesakitan dan kesan ubat penahan sakit yang diberikan. Bayangkan, dua minggu sesudah semua operasi kelahiran normal dirancang oleh doktor gagal, masih dipaksakan kelahiran secara semulajadi. Siibu tiada masalah penyakit kritikal yang menghalang pembedahan dilakukan. Dia juga telah dimaklumkan akan dibedah sekiranya lewat tetapi doktor di hospital bukan sahaja bersikap kasar kepadanya, malah mengugut akan membiarkannya sekiranya dia tidak meneran bayinya.
Mungkin ini takdir. Tuhan telah menentukan takdir lewat sikap manusia sendiri. Ibu dan bapa muda ini yang masih jahil tentang ilmu keibubapaan terus dilanda pertanyaan demi pertanyaan di setiap temu janji dengan doktor yang memeriksa bayi mereka setiap bulan. Pemeriksaan yang berlanjutan tanpa sebarang keputusan, hanya menimbulkan persoalan tidak berpenghujung.
Satu kisah yang lain dari yang lain. Bukan kisah cinta yang direka-reka. Sebuah catatan kehidupan realiti penulis. Amat sesuai untuk dibaca bagi membuka pandangan baru terhadap mereka yang malang bergelar OKU serta memahami perasaan ibu bapa yang dianugerahkan insan istimewa seperti itu.
Apabila hati bersuara, ia adalah bisikan paling halus dari sudut hati yang paling tersembunyi. Tiada sesiapa mengetahui melainkan Allah Taala yang Maha Seni. Lalu hanya kepada Allah aku berserah diri. Ya Allah, kurniakan daku takdir yang baik di dunia ini dan takdir yang baik juga di akhirat nanti. اللهحم امين

No comments:
Post a Comment