Di pasar tamu, pelbagai dijual. Macam-macam ada. Taklah sama belaka macam di tanahair kita. Isy kalau nak cerita, tak larat rasanya. Semakin hampir nak balik ni, boleh kata hari-hari saya kerja snap gambar aje. Kamera memang stand-by aje dalam beg. Saya betul-betul teringin nak snap gambar kat pasar ni, tapi saya betul-betul malu. Pelik aje rasanya.
Setakat ni, yang pelik sikit (perasan sendiri) ialah saya kerja snap gambar sambil drive. Alhamdulillah belum la lagi terserempak dengan kereta peronda polis yang rajin berkeliaran di sekitar pekan dan jalanan. Paling banyak ialah gambar awan-gemawan yang gemuk-gemuk putih melepak. Paling dihantui oleh pemandangan cahaya matahari mencelah dari celah-celah awan-gemawan bagaikan tabir emas jatuh ke bumi. Juga apabila sinar matahari pagi yang makin garang mencarak menyentuh pohon hijau, berkilau-kilau. Boleh terpegun dibuatnya. Obses betul!
Maha Hebat Allah Subhanahu wa Taala yang menciptakan segala-gala ini. Ajaib segalanya! Hebat! Indah! Memukau! Mempesona! Semua itu adalah makhlukNYA. Berzikir membesarkanNYA. Semua itu diatur disusun penuh teliti olehNYA. Tiada kesilapan dalam pembuatan dan kejadianNYA. Terkadang itu menjadi tenteraNYA, menjadi balasan kepada manusia yang engkar perintahNYA. Semua itu tunduk patuh akur kepadaNYA semata.
Hanya manusia yang selalu membantah ...
Ya Allah, masukkanlah kami semua ke dalam golongan orang-orang yang sentiasa membesarkanMU, mensyukuri nikmatMU dan memohon keampunanMU. Selamatkanlah kami dari berbuat makar dan mengikut hawa nafsu yang keji. Janganlah biarkan kami, ya Allah. Kasihanilah kami dan peliharalah kami agar tetap di atas jalanMU. Ameen.
Semoga Jumaat terakhir sebelum berangkat pulang buat selama-lamanya dari bumi indah makmur ini, saya dapat mencapai hasrat untuk merakamkan gambar menarik di pasar tamu itu. Juga semoga ada lagi pelangi akan muncul untuk saya abadikan.
Balik Malaysia, adakah saya akan seperti ini juga? Entahlah, belum dapat dijangkakan lagi, macamana agaknya ... Hanya DIA yang maha mengetahui.

No comments:
Post a Comment