Mula-mula kami ke Hospital Tutong sementelah abah mereka ada urusan di situ. Rakan sejawatannya yang mencadangkan pemeriksaan kesihatan untuk Hurilain dibuat di situ. Kami suakan borang hijau pusat tahfiz kepada staf bertugas. Dia seperti hairan ... gadis 12 tahun mahu buat medical checkup! Okay, dia sudah mengerti, alhamdulillah. Tetapi dia masih keliru tentang bayaran. Lalu borang hijau itu dirujuk kepada seseorang yang nampak lebih arif.
"Nda boleh di sini nih! Ini alamatnya lain, Seria ... mesti dibuat di kawasan tempat tinggal." Oh, okay begitu. Kami mengucapkan terima kasih dan menerima kata-kata maaf. Tetapi si abah ni kurang puas hati. "En Yahya yang beritahu kami boleh buat di sini..." katanya dengan hormat.
"Nda ... prosedurnya begitu. Kena buat di Lumut atau Seria." Kami pun berundur dengan wajah manis.
Tidak lama kemudian Encik Yahya muncul. Dia menelefon Dr Saniah dari Malaysia dan si abah berbasa-basi tetapi tidak ada rezeki berjumpa kerana doktor yang sopan itu bercuti (oncall).
Kami bertolak ke Bandar Seri Begawan dan pusing semula ke Lumut mengikut jalan lama, melalui Kg Pad Nonok, Lemunin dan macam-macam nama lagi yang kadang-kadang kedengaran aneh. Dari kejauhan kelihatan awan gelap, tentu kawasan kami sudah kehujanan.
Sekitar jam 2 kami tiba di Pusat Kesihatan Lumut. Tenang dan bersih. Bangunan baru. Pegawai di kaunter mesra. "Sudah ada kad?" tanyanya. Saya geleng. Lupa bawa kad kesihatan Hurilain yang dibuat di klinik Seria. "Jadi saya buat satu. $20 ya." Itu bayaran untuk bukan rakyat Brunei. Kami senang hati. Tidak lama lagi urusan akan selesai. Insyaallah.
Kami diberi kad kecil berwarna hijau bertulis 6. Sambil menunggu giliran, borang hijau pusat tahfiz dilengkapkan lagi dengan data-data yang perlu. Borang ini ringkas dan mudah. Ceria dan lega. Ada dua wanita duduk tidak jauh dari kami. Seorang berwajah bulat penuh, seorang kecil molek manis sekali. Bertudung menutup aurat.
Tidak lama menunggu, nama Hurilain dipanggil. Saya menunggu di kerusi biru yang berderet di tepi dinding. Hanya si abah dan Hurilain yang pergi ke bilik doktor. Beberapa minit berlalu. Si abah muncul dengan senyuman, "Dah! Jom!"
Saya terkesima. Sekejap jugak! Tetapi tidak banyak bicara, terus menurut langkah si abah. Anak-anak mengekori. "Tak boleh buat. Kena gi Seria gak..." sambung si abah. Ohh ... jadi senyuman tadi tu plastik sahaja. Dia sudah terbakar sebenarnya.
Mula-mula di hospital Tutong. Kini di pusat kesihatan Lumut, sudahlah kena bayar $20 lebih kurang RM40 tu ... namun,
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Di dalam kereta, suasana senyap sunyi. Masing-masing sudah membaca mood si abah. Sudah bermula, satu persatu ... mula-mula tentang kad kesihatan Hurilain yang saya kurang peka dan tidak diingatkan supaya bawa. Kemudian saya kena tegur kerana tak isi borang awal-awal walaupun ada bertanya tentang sesuatu di dalam borang. Seterusnya keasyikan saya dengan komputer juga disentuh. Tak sangka jugak saya. Aduhhh ... dengar je la telinga tak ada pintu. Tak boleh buat pekak, nanti betul-betul pekak naya. Dan saya disuruh menyelesaikan urusan ini pada Isnin nanti. Tetapi Isnin ni Hurilain ada trip ke Suri Hospital. Selasa la ~ jawab saya.
Hmmm ... akhirnya saya akan melakukan semuanya. Cari sijil berhenti dan buat kopi kalau perlu. Cari cikgu ugama atau guru besar sekolah pagi dan petang, dan minta surat sokongan permohonan. Cari gambar dan tampal. Cari hari sesuai untuk medical check up. Si abah hanya tahu semua lengkap dan dihantar pada 14 haribulan ini sebelum jam 4.30 petang. Kalau tak, borang peram je dalam fail. Dan Hurilain tak ada peluang menghadiri temuduga. Seterusnya tak ada peluang ke pusat tahfiz.

No comments:
Post a Comment