Saya baru selesai mengemas dapur, mengenepikan bahan mentah untuk dimasak sekejap lagi. Hubby telah merancang hendak memasak di madrasah pada Sabtu ini; Nasi Beriani Kambing, namun masa tidak mengizinkan, jadinya rancangan ditukar untuk makan tengahari esok. Madrasah makan seawal jam 1130 pagi, jadi dengan tenaga empat kerat kami berdua ini, persiapan sudah dimulakan sejak petang tadi. Periuk sudah ada, daging kambing sudah dikecutkan, semua jenis bawang dan halia sudah dihiris juga ada yang dikisar. Tadi Encik Hanafi datang menyebuk (he he jangan mare...), entah apa yang hendak dibincangkan, kemungkinan besar mengenai kenduri anaknya berkhatan dua minggu lagi. Kemudian hubby masuk ke bilik sekejap, katanya nak solat Isyak, tetapi sampai la ni belumlah muncul lagi di dapur...
Siapa yang masak, saya...? Oh tidak, bab Beriani ni bukanlah saya orangnya. Setakat gulai lemak tu, bolehlah... Asam pedas pun okey. Kiranya masakan asas orang Nogori dan orang Johor ada serba sedikit dalam kepala. Cuma menu lama gulai tempoyak pelbagai jenis daun yang belum saya kuasai kerana kalau nak diikutkan, banyak jenis daunnya yang perlu diramu. Gulai perut lembu... makan tidak, masak tidak, prepare pun tidak; walaupun arwah abah dulu cukup suka dan pandai masak hidangan ini. Salah seorang abang ipar saya, Abang Azman memang peminat nombor satu gulai perut dan babat. Dialah satu-satunya orang yang akan bersusah payah membersihkan perut lembu dan babat sehingga bersih dan bawa balik sebahagian ke KL untuk dimasak oleh isterinya. Manakala adik ipar, Khalid pula peminat kaki lembu, maka dialah yang akan bakar kaki lembu dan menyiang hingga selesai. Tukang masak popular di rumah mertua ialah Kak Aza, yang memang class airtangannya dulu, kini dan selamanya... Dalam pada pening kepala, tergolek sana tergolek sini, dia juga yang menyudikan diri ke dapur. Bukan apa... dia memang masak sedap dan semua orang tahu! Campak itu campak ini, dah menjadi. Akhir sekali apabila semua sudah pening kepala, sengal sengal satu badan, angin dah bersarang di sendi-sendi, hubby jadi tumpuan untuk mengurut. Terjerit-jeritlah mangsa yang kena urut walaupun katanya sekadar letak jari saja dalam 7 saat, tetapi sesudah itu legalah rasanya.
Pesanan penaja; sesiapa berhajat Nasi Beriani Kambing Chef Meon, bolehlah ajukan permintaan dengan harga yang berpatutan dan insyaAllah tidak akan rasa kerugian menikmatinya...
Hmm... Hanessa sudah pun terbaring di atas kerusi di sebelah saya. Dah tidur rupanya! Sudah 1 pagi. Mohon undur diri dulu.
Hmm... Hanessa sudah pun terbaring di atas kerusi di sebelah saya. Dah tidur rupanya! Sudah 1 pagi. Mohon undur diri dulu.


No comments:
Post a Comment