Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 27, 2018

Walaupun cookies ni masih ada kelemahannya, tetapi harus diperjuangkan sebagai alternatif terbaik kepada produk kilang. Mentega asli memang terbaik. Diadun dengan tepung tanpa benzoyl peroksida. Gula putih akan ditukar kepada gula perang. Terbaik kan!

Cuma adunan penaik tu belum ada alternatif lain. Telur gred A, masih telur komersial, bukan telur ayam kampung. Eh, agaknya kalau guna telur angsa macam mana ya?

Mereka kata makan tak boleh stop. Itu yang dikhuatirkan. Makan kena stop, jangan tak stop. Bahaya dikk ..


Kita akan jalan terus. Biar orang-orang yang tidak cukup memberi sokongan itu di belakang sana. Mereka dengan kehidupan dan alasan mereka. Kita dengan kehidupan dan alasan kita pula.

Setiap orang membina alasan dan mencari alasan untuk sesuatu.

Tak perlulah kita merasa dukacita atau sengsara. Teruskan langkah di atas trek kita. Ucapkan selamat tinggal kepada yang seperti tidak cukup vitamin. 

Tak perlu juga war-warkan isihati di dinding.  Zaman ini orang-orang suka berkongsi di dinding. Orang-orang yang wujud si sekelilingnya seperti tidak wujud. Mereka sibuk menulis dinding. Menconteng dinding. Membaca dinding. Berkongsi di dinding.

Respek pula kepada orang-orang yang tak rajin menulis dinding. Kenapa ek? Tak ada masa nak menulis dindingnya? Atau sangat menjaga privasi? Atau ada anxiety? 

Yelah, ketika jutaan orang sibuk di dinding, ada segelintir yang tak perduli, atas apa jua sebabnya.

-mahu join segelintir itu-
Tindakan yang menyedihkan tetapi perlu kulakukan. Pencinta kucing tentu tak suka. Aku pun tak suka dan tidak pernah melakukannya. Malam ini pertama kali aku seperti mengkhianati diri, menghantar Didi ke Seri Menanti.

Setelah 3 ekor anaknya (dah cukup besar dan sudah putus susu) dan Manda (sibling) mak hantar ke pasar pilah, semasa aku sibuk buat persiapan ke JB. Aku tak sanggup membayangkan, kucing belaan menjadi stray cat di pasar yang sibuk dan ada anjing. Tau-tau dah selamat 4 ekor tu ke sana.

.
.
.
.
.
.
.
.
Khianat. Didi.  

Friday, March 16, 2018

Salam alaik.

Saya seronok menyiapkan contoh cookies untuk dijamah oleh wakil-wakil yang saya pilih. Lebih ramai wakil berbanding tahun lepas. Ramai di Selangor. Beberapa orang di Seremban.

Saya guna Pure Butter Tatura dan tepung unbleach. Awak tau la jenama apa kan .. berbeza dari resepi asal yang diberikan. Tiada pengawet tentunya. Bakar secukupnya, in syaa Allah rangup.

Kuantiti gula dan kacang badam, saya kurangkan. Tahun lepas, banyak badam yang berterabur dari doh sebab terlalu banyak. Kali ini cun saja. Alhamdulillah.

Mak batuk-batuk agak lama, semenjak limau manis CNY mula diterima sebagai buah tangan majlis. Saya langsung tak menyentuhnya. Mahu eat clean, konon.

Saya hanya menjamah cookies yang mahu dimasukkan ke dalam balang. Hati saya menetapkan, itulah quality control cara saya. Tak ada orang lain yang boleh menjadi wakil dipercayai. Mak, abah dan suami hanya makan cookies saya pada masa tertentu. Naqib, saya larang menjadi QC. Anak-anak yang lain, tidak tinggal di rumah ini. Jadi, hanya saya yang ada dan sayalah yang melakukan QC.

Saya makan cookies kadang-kadang sampai terasa kenyang. Sedapnya .. baru dimasak memang sangat sedap. Maka, selalu QC balun berkeping-keping. Sendiri buat, sendiri balun.

Perlahan-lahan .. bukan, tiba-tiba saya batuk-batuk macam mak. Selsema. Bersin-bersin. Tak makan limau dan tak minum ais pun kena juga rupanya.  Hmm memang Allah nak bagi sakit tanpa asbab, fikir saya begitu.

Lama pulak tu. Lebih seminggu dah. Namun tugas QC tetap macam biasa. Masih berselera.

Konsep eat clean terbang entah ke mana. Mana ada clean, apabila kau makan cookies yang ada gula dan tepung, walaupun unbleach kononnya.

Tadi saya join satu link kesihatan. Skrol lebih kurang, mata saya menangkap tip dari doktor berkenaan. Elakkan beberapa jenis makanan termasuk tepung dan gula. Lantas saya teringat tips dari dua lagi doktor berbeza di FB - antara makanan merosakkan otak adalah cookies (dan 9 jenis yang lain yang kebanyakannya adalah makanan proses serta kandungan gula sangat tinggi), dan gula menyebabkan radang di tekak.

Awak boleh bayangkan tak? Awak tengah seronok bersemangat buat cookies, tiba-tiba maklumat sebegini menerjah fikiran awak. Pada masa yang sama, awak memang batuk selsema entah mengapa. Saya sebenarnya nak kaitkan semuanya ini. Tapi, awak boleh faham kan.

Ada perkara lain muncul serta-merta. Saya perlu buat perubahan lagi. Hmm .. bila ditimbang-timbang semula, ia bukanlah perubahan besar. Cuma semangat baru untuk sesuatu yang pernah dilakukan, tetapi sudah tersadai begitu saja.

Ya, tanam-tanaman saya di belakang dapur yang sudah semak!

Saya mahu berbakti kepada tanah. Tak sabar nak tunggu hujung bulan Mac tiba. Ambil senarai tempahan cookies dari wakil-wakil dan mula edarkan cookies yang sangat  sedap ini menjelamg Ramadan.

Memulakan dua pekerjaan semula - menulis dan bercucuk-tanam dengan sempurna.

Semoga Allah memudahkan urusan kita semua. Aameen.

#cookiessedaptapitidakberkhasiat

Thursday, March 15, 2018

Salam alaik.

Terus tetap di atas jalan yang lurus. Walau ada ajakan melencong ke jalan yang bengkok. Hatta ajakan hati sendiri. Kerana hati itu selalu cinta dunia. Melainkan hati yang cinta kepada Tuhannya, dan hari yang panjang tiada berkesudahan.

Tidak mungkin ada dua cinta dalam satu hati. Tidak mungkin dunia dan akhirat bergabung di satu tempat.

Pesanan untukmu ~ terus tabah dan sabar mempertahankan pendirian yang benar dan disukai Allah.

Dunia ini hanya sebentar, 2 minit cuma.

Nanti di akhirat, yang 2 minit inilah yang akan kau bicarakan. Nampak padamu betapa sekejap ia terjadi. Seperti mimpi dalam mimpi. Dan betapa berat kau rasai ujian yang diberi.

Sesungguhnya kau telah dipilih Allah. Dan ujian-ujian itu adalah bersesuaian dengan kekuatanmu untuk menghadapinya. Allah Maha Mengetahui.

Walau dada dan hatimu seperti akan pecah.
Walau engkau benar-benar ingin melakukan namun terlarang.

Berdoalah terus.
Kerana tiada sesiapa lagi yang akan membantumu, tiada sesiapa lagi yang memahamimu, tiada sesiapa lagi yang belas kasihan padamu; kecuali Dia Yang Esa.

Ya Rasulullah, bantulah.

Aameen.

Sunday, March 11, 2018

        Amboii ..

Membaca status yang dishare oleh seseorang (mungkin sang suami) di timeline seorang wanita (mungkin sang isteri), membuatkan  saya tersenyum. Bukan senyum sinis, tetapi senyum memikirkan diri.

I love you, sayang!

Amboii ..

Saya tak pernah menerima ucapan sebegini. Formal nampaknya apabila dilagangkan di laman sosial.

Woww!

Terfikir pulak. Bukan saya tidak layak. Hanya saya garang juga barangkali, hmm ...

Kuat melawan, siapa nak bagi I Love You, Sayang sesuka hati.

Hi hi hi ...

Patut la Ang Ang tu berani nak mencubit saya. Kita sama-sama garang rupanya.

Sunday, March 4, 2018

Ada teman bertanya buku aku. Dia mahu membacanya. Ah, seronok rasanya. Menikmati sedikit penghargaan sedemikian sangat mengesankan.

Mak komen. Aku buat cookies setakat mana untungnya. Aku menulis entah ke mana halanya. Sedangkan masa yang berharga seperti berlalu begitu saja.

"Mak, bakat menulis ni anugerah Allah. Tak semua boleh menulis. Seperti juga menyanyi, berlakon dan macam2 lagi. Lain orang lain bakatnya. Aruah abah Hassan suka menulis. Kak Ju, arwah Kak Ja, Hasni, masing2 suka menulis. Kak Ani pun ada impian  nak menulis."

Hingga saat ini, mak belum betul2 menyenangi penulisanku. Kerana itu sudah aku khabarkan awal2 bahawa Jun ini aku akan mengadap laptop lebih kerap daripada hari2 biasa.

Mak, walaupun berhati rusuh, dia sudah meminta orang tolong angkat meja marmar miliknya ke depan bilikku. Hanya aku belum bersedia meletakkan laptop di situ.

Mak, mohon doa. Sementara masih ada masa dan peluang. Intan mahu menulis sedikit lagi. In syaa Allah.

Seperti ada banyak nak dituliskan.

Dan ada hutang yang belum lunas, ohh!

Ya Allah, mohon Kau permudahkanlah. Aameen.

Wassalam.

Saturday, March 3, 2018

pegang lehernya!

Salam alaik.

Pegang lehernya!
Tangkap lehernya!
Dan jangan membelakanginya. Itu memang kesilapan besar!

Aku tergelak setiap kali teringat video yang ditonton di You Tube. Tentang bagaimana menghadapi serangan angsa dengan cara yang kejam. Cubalah cari. Kejam, memang kejam. Kejam yang melucukan. Tak sesuai langsung padanan perkataan ni.

Dia yang kupanggil Ang Ang sudah mengesan kelemahanku. Kami selalu bertentang mata. Mata kecilnya merenung aku. Aku selalu merasa teristimewa semenjak dia mengulur kepala kepada suami. Abah lebam tangan dicubitnya. Dan Along pun nyaris kena. Aku belum pernah! Kerana itu aku rasa teristimewa.

Tetapi istimewa tu hanya perasanku saja. Ang Ang mahu mencuba aku juga. Suami kata jangan lari tetapi hadapi saja dia. Kau tau, inilah satu-satunya haiwan yang menggerunkan aku sejak dulu, selain anjing kalau di jalanan. Aku tidak pernah terkena suduannya.

Entah bagaimana, ketika memilih anak-anak ayam untuk dipelihara, aku minta sepasang anak angsa ini kepada suami. Kasihan melihatnya berpanas di dalam sangkar ketika matahari semakin terik. Cepat betul Ang Ang dan bininya membesar. Sehingga aku tidak sanggup lagi cuba-cuba mengangkatnya.

Akhirnya dia menguji aku.

"Arghhhh!!" Aku menjerit sekuat-kuat hati. Kampung kecil ini bergema dengan suaraku.

Aku lari sekuat-kuat hati. Sambil Ang Ang mengejar dari belakang. Abah ketawa melihat shawla biruku yang mengerbang di belakang dapat disepitnya.

"Bang, itulah masalahnya. Saya panik! Betul, saya panik bila diserang." aku mengaku.

Setakat diberitahu supaya bertahan tak akan membantu aku bertenang. Maka aku cari sesuatu yang diharapkan boleh membuka sedikit jalan di You Tube.

Pegang lehernya!
Tangkap lehernya!

Itulah cara yang aku temui untuk menghadapi Ang Ang yang mahu menguji.

Pada mulanya aku ambil sikap tidak sekali-kali membelakanginya. Aku sentiasa memastikan dia di hadapanku walaupun aku terpaksa berjalan mengundur ke reban. Ternyata berhasil. Dia selalu memerhatikan aku dan riakku dengan mata kecilnya yang berwarna coklat.

Tapi tadi, dia mula mahu menguji aku buat kesekian kali. Dengan cekap aku tangkap lehernya tetapi bini Ang Ang pula yang seperti mahu menyudu aku. Wah, kaget juga dibuatnya. Sambil memegang leher Ang Ang, aku mula terjerit-jerit memanggil suami. Adussss ... lembapnya!  Akhirnya si Indon yang sedang pasang tiles bilik air datang menghalau Ang Ang laki bini.

Masih ada rasa panik. Masakan tidak, kalau tiba-tiba ada back up pulak macam tentera simpanan nak menyerang kali kedua. Haishh!

Masih berazam nak membelai Ang Ang sampai manja macam dalam You Tube.  Agak-agak boleh tak?

Yang tak pernah kena attack hanya mak. Mak buat dia macam kawan. Aku pun buat macam kawan.  Mungkin bezanya, mak lebih cool. So aku fikir aku seorang yang cool, masih kena baiki lagi. Tak mahu kampung kecil ni terbebar dek jeritan aku yang padu. Hi hi hi ...



Wednesday, December 27, 2017

Aku semakin sibuk mencari cara penawar untuk kesembuhan anakku. Aku tiiada cukup masa hendak duduk memikirkan cerita untuk ditulis. Setakat rangka cerita. Aku belum mampu fokus menulis. Sama ada aku terus tidak menulis sampai bila-bila, atau aku akan menulis sebuah kisah sehebat cerita Laila dan Majnun. Cinta Ketuhanan.

Hanya Allah menentukan.

Monday, December 11, 2017

Nur ke Anwar Al Batul

Entah mengapa tiba2 aku mahu memanggilnya NUR yang bererti CAHAYA. Semoga puteriku yang terindah ini benar2 menjadi CAHAYA berseri yang menyinari kehidupan dan seluruh alam. Ameen.

Semalam aku meninggalkan dia dalam keadaan dahinya terasa dedar dan telapak tangannya hangat. Aku keraskan hati dan kuatkan semangat sendiri. Lantas kubisikkan ke telinganya ketika dia tunduk tersedu2 bahawa dengan asbab dia berada di situ, semua urusan keluarga menjadi mudah dunia & akhirat.

Nur masih tunduk menangis ketika dia mengangguk2 kepala. Kucium dahi dan kepalanya. Kudakap dia erat. Tanpa mempamerkan sedikitpun riak di hati, aku memberi arahan tegas supaya dia segera masuk.

"Mama pergilah dulu. Adik nak tengok mama balik." Sahut Nur perlahan.

Wahai anak, mama tinggalkan kamu bersama orang2 terbaik di tempat terbaik bersama Allah Taala. Semoga anakku sentiasa di atas jalanNya dalam pemeliharaanNya dan pimpinanNya. Aameen.

Kita akan bersua lagi segera in syaa Allah.

Friday, November 3, 2017

Azam Diperbaharui

Tadi malam aku menemani along tidur di biliknya.

Along memang resah gelisah. Tidak nyenyak. Tidurnya tidak berkualiti. Sekejap bangun tidur menangkup di bantal, sekejap beralih baring. Aku pun jadi tidak lena. Ditambah sejuk penghawa dingin. Pelik melihat Along. Tidak berbaju tetapi tahan bersejuk.

Dalam semua rawatan, yang penting ialah istikamah.

Wednesday, November 1, 2017

Hantar Puisi

Hari ini aku ke Perpustakaan Kuala Pilah bersendirian. Selesai sudah menghantar emel 55 buah puisi untuk pertandingan Sayembara Puisi Kata-Pilar 2017.

Aku tawakkal kepada ALlah.

Puisi-puisi tu kalau disimpan je pun tak jadi apa. Mana tau ada rezeki menang. Paling tidak mereka berminat untuk menerbitkannya. Masya Allah.

Lepas ni aku azam baca puisi sebanyak yang mungkin untuk menambah perbendaharaan kata, biarpun sampai muntah.

Tapi janganlah muntah hehe ..

Monday, September 25, 2017

Beruntung Yang Dipilih

Along tag namaku di ruang comment video terbongkar anak tahfiz Ittifaqiah yang berumur 11 tahun. Dua bulan sebelum kejadian iaitu mimpi-mimpi aneh si anak yang diceritakan kepada bapanya.

Menitis air mataku. Bahkan aku sungguh-sungguh menangis.

Meremang bulu romaku.

Beruntung benar anak ini dan sahabat-sahabatnya yang dipilih Allah. Beruntung benar mereka.

Allahuakhbar!

Aku cemburu, benar-benar cemburu.

Sunday, September 17, 2017

Selamat Jalan anak-anak Syurga

Sekadar lukisan dalam bentuk karikatur pun membuatkan aku termenung selepas merenung. Dan air mata mengalir semula.

Selamat jalan wahai anak-anak syurga. Semoga kamu semua aman damai di sana, di dalam limpahan rahmat Allah.

Untuk anak-anak yang tinggal, yang tega hati melakukan penganiayaan berkenaan; aku fikir kamu akan membawa title pembunuh di sepanjang hidup kamu. Wajah-wajah kamu begitu naif.

Namun membaca Kalam Ulama di Telegram, seperti ada air embun menitis ke hatiku yang merah membara umpama besi panas.

Anak-anak kita belum tentu ahli Jannatul Firdaus, jaga mulut daripada menggelar anak orang 7 Jahanam. Jaga hati dan perasaan ibubapa mereka juga yang pasti bersedih dan malu dengan tangkapan itu. Pintu taubat masih terbuka luas untuk anak-anak tersebut. Mungkin mereka menjadi lebih soleh daripada kita dan anak-anak kita di akhir hayat nanti. 
Berapa ramai wali-wali Allah asalnya mereka yang jahat di awal tetapi diberi hidayah dan bertaubat kepada Allah.

--Dr. Nik Roskiman

Kalam Ulama'

 Usah ada spekulasi yang lebih luas. Cukup-cukuplah.

Putus Kawan

Dua status baru di dinding dan menukar gambar profil.

Dan putus kawan di alam maya dengan dua orang. Aku tidak mahu mereka membaca status aku dan aku juga tidak peduli status mereka.

Aku putus kawan kerana aku mahu menjaga perasaan mereka. Walaupun aku tak fikir mereka akan membaca status aku. Dan mereka pun tidak peduli apa yang aku nak tulis.  Namun status aku pernah menarik perhatian mereka. Ada yang mereka share di dinding milik mereka. Ada yang memberi komen dan berbalas komen dengan aku di dinding aku sendiri. Selepas kalah atau merasa kalah, atau aku merasa telah menang di dalam berbalas-balas komen dengan nada sopan itu, komen-komen janggal tidak pernah muncul lagi. Tapi adakah kemungkinnan kali ini dinding aku akan dijenguk semula?

* putus kawan ialah unfriend. Boleh la ..

Left Grup

Untuk berhenti bersuara adalah dengan menjauhinya. Maka buat kali kedua aku keluar grup berkenaan. Semoga suasana aman dalam keluarga dapat dipertahankan hingga bila-bila. Aameen.

Abang ipar yang seorang ni suka provokasi. Dia pernah memberi komen-komen provok di status dinding aku. Kali ini dengan isu tahfiz, dia melakukan apa yang disebutnya sebagai perang saraf atau perang psikologi sekali lagi.

Ringkas cerita, eloklah aku beredar dari situ. Biarkan dia tenggelam bersama labu-labunya, dan sekutunya.

Aku buat kerja aku.
Kau buat kerja kau.

Semoga kita semua di atas jalan yang lurus. Aameen.

Saturday, September 16, 2017

Soalan Bodoh dan Naif

Ada pengaruh syabu. Umur 12-18 tahun. Mereka merancang untuk membakar tahfiz tersebut. Mereka berdendam. Mereka marah. Marah mereka hingga mahu membunuh.

Wahai anak-anak. Bagaimana kamu boleh berpeleseran di luar rumah hingga lewat malam? Apakah malam berkenaan sahaja, atau hampir setiap malam? Di mana ibu bapa kamu? Mereka terlalu sibuk mencari rezeki untuk kamu? Atau kamu mencuri keluar tanpa pengetahuan ibu dan ayah?

Apakah soalan-soalan ini seperti soalan bodoh untuk ditujukan kepada anak-anak bandar?

Wahai ibu.
Wahai ayah.
Apakah yang sedang berlaku kepada keluargamu? Bagaimana anak-anakmu jadi begitu? Memang mereka sudah liar hingga ibu dan ayah sudah malas mahu memberi nasihat? Apakah mereka memang degil dan enggan dibentuk lagi? Mereka mendapat bekalan syabu. Begitu mudahkah untuk memperolehi syabu di kawasan berkenaan? Siapa pula yang membekalkan?

Aku merasa lemah. Aku masih terasa-rasa panasnya lidah api membakar diri. Aku berasa longlai untuk membenarkan amarah berputik dalam diri. Aku hanya mampu menangis.



Ya Allah, di manakah anak-anak syahid berkenaan? Di syurga Firdauskah? Ya Allah, sangat ingin aku melihat mereka berbahagia di sisiMu. Allahuakhbar.

Friday, September 15, 2017

Mengapa kau melakukannya?

Aku tak mampu membayangkannya. Air mataku mengalir ketika tanpa sengaja menatap berita tentang kebakaran pusat tahfiz berkenaan. Wajah anak-anak yang putih bersih. Tiga beradik yang memberi pose paling mesra. Dan lewat petang mendapat khabar adik kepada kawan anakku turut terkorban.

Aku menangis dan menangis. Emosiku menjadi sensitif. Mendadak aku naik meradang dengan sikap mengolok-olok abang iparku di grup keluarga. Perang psikologi @ perang saraf, katanya yang sudah bersara dengan pangkat Mejar. Aku dan dia bagai berperang di ruang WhatsApp. Dia mengetawakan aku. Hingga muncul perkataan 'lawak bodo' dan beeakhir dengan gambar piala yang aku ambil dari google sebagai hadiah untuk memberi menang padanya.

Aku dinasihatkan dengan baik oleh suami, abang ipar yang lain, kakak ipar bahkan anakku Naqib agar tidak melayan kerenah seperti itu. Biarlah dia dengan sikapnya. Tetap saling mendoakan dan mengasihi saudara.

Lewat tengahmalam, sambil menahan sakit entah apa masuk dalam telinga kanan menggelodak di sana, aku insaf. Aku sedang bertelagah dengan tetamu Allah. Maka aku segera menitipkan permohonan maaf di atas sikap kasar bahasa kepadanya, abang iparku yang amat tersendiri. Dia gelak, biasa saja dan tidak ambil hati, begitu jawabnya.

Pagi tadi aku terjaga dari tidur. Serta-merta ingatan kepada anak-anak tahfiz muncul. Air mata mengalir lagi. Allahu. Aku tidak pernah mampu meneruskan bayangan.

Bagaimana .. api itu marak mendadak. Bau gas di mana-mana. Tubuh-tubuh mereka disambar api hidup. Api yang panas. Api yang ganas. Api api api di mana-mana. Mereka dikelilingi api. Api meratah tubuh anak-anak dengan lidah yang panas mencairkan. Rentung menghitam. Mereka menjerit berpaut di tingkap-tingkap besi yang kukuh. Mereka melaungkan permohonan minta tolong. Mereka meronta mahu menyelamatkan diri. Mereka mahu keluar dari api yang sedang menjilat pakaian dan kulit mereka.

Allahu ..

Siapakah yang khianat? Andai benar, mengapakah kau sanggup mengkhianati anak-anak itu? Mengapa???

Berilah jawapan. Mengapa, andai benar, kau sanggup melakukannya sebegitu?  Mengapa mengapa mengapa?

Ya Allah, tunjukkanlah kebenaran. Pamerkan pengkianatan. Berilah balasan yang setimpal. Apakah sebenarnya yang berlaku. Aameen.

Wednesday, September 13, 2017

Berilah kemaafan

Buat kesekian kalinya, aku menitipkan kemaafan lewat doa-doaku di atas sejadah. Ternyata membuatkan hatiku tenang dan dadaku lapang. Aku ucapkan lagi bahawa kemaafan ini adalah meliputi semuanya, sejak dulu-dulu lagi walau ada luka-luka yang tidak terlupakan. Lantas air mata pun menitis. Bahawa kita semua hanyalah insan biasa yang tidak pernah dapat lari daripada kesilapan. Dan dari kemaafan yang tulus seikhlasnya ini muncul rasa kasih dan rindu. Senyum pun bertamu semula. Alhamdulillah.


***

Aku diminta agar memberi kemaafan. Dan aku memikirkannya sepanjang malam. Hingga dalam igauku juga ada fikiran tentang MAAF. Dan akhirnya aku redha, lalu setulus hati aku menerima semuanya dan memaafkan segalanya. Tetapi ternyata kemaafan ini seperti membuka pintu kepada dosa halus. Tiada rasa tenang, sebaliknya hanyalah resah tiada noktah. Aku hanya mahu mengabarkan tentang hukum alam. Sunnatullah. Berilah kemaafan setelah menerimanya. Atas apa jua yang berlaku, sejak dulu-dulu, kini dan selamanya.

***

Idea untuk cerpen mewakili Negeri Sembilan Darul Khusus sudah ada. Cuma kena cari masa untuk sinopsis dan plot yang sesempurna mungkin. Tak mungkin kisah cinta antara adam dan hawa.

Tuesday, September 12, 2017

Rasa Merdeka

Perasaan MERDEKA ini sebenarnya sudah lambat. Merdeka dah berlalu 12 hari lepas. Malaysia Merdeka! Hari ni baru rasa merdeka.

Alhamdulillah. Apa-apa pun mesti rasa syukur dan ucap syukur ke hadrat Allah. Dapat juga menghayati erti kemerdekaan walau dari perspektif yang berbeza.

Aku dah uninstall dinding 2 hari lepas. Juga suku-sakatnya yang satu lagi tu.

Yang tak tahan, setiap kali pegang tab aku macam tercari-cari sesuatu ... cari dinding. Ciss!  Kemudian barulah teringat dengan segeranya, bahawa dinding sudah tiada.

Sehari ..
Dua hari ..
Dan hari ini, aku rasa eloklah kalau aku akui tentang Merdeka yang ini. Aku rasa free. Rasa lapang. Rasa bebas. Rasa ehmm sebenarnya tak penting pun dinding tu. Ya, apabila kita rasa sesuatu tu tak penting, maka ia memang akan jadi tak penting.

Benda ni sudah diakui oleh orang-orang yang lebih awal meninggalkan dinding. Mereka kata serabut pulak tengok orang-orang yang asyik bergayut di dinding. Dan apabila mereka cuba-cuba melihat dinding, ada rasa serabut yang muncul.

Walaupun aku tak kata dengan merdeka ini aku dah mula bergayut dengan buku atau apa-apa yang lain yang sepatutnya lebih berfaedah. Namun memang ya. Aku ada banyak kerja nak buat.

Pagi hari, aku uruskan kucing-kucing yang 10ekor. Ayam-ayam mak yang aku ambil alih sebanyak 8 ekor. Dan anak-anak ayam yang asalnya 10 ekor dah jadi 5 ekor sebab dibaham dek tikus tanah. 

Kemudian selesaikan makanan khas untuk Naqib. Aku ikut Diet Sunnah tu untuk beri sokongan pada dia. Kalau aku tak buat sama, dia lagi berat nak buat. Dan sememangnya untuk orang yang sukakan kesihatan dan kesegaran, afdal buat DS tu.

Lepas Zuhor, minta izin siap-siap masuk bilik untuk solat dan buat kerja sendiri. Menulis. Edit nota DS untuk print out. Baca buku.

Ohhh .. masih tak cukup masa!!!

Selamat Tinggal Dinding.

Aku jenguk dinding dari desktop saja. Tak perlu tag aku, melainkan page-page penulisan yang aku terlibat dalam projek mereka. Itupun aku sudah bercadang nak berhenti join antologi. Cukuplah yang sudah-sudah, dan mungkin untuk mewakili Negeri Sembilan ni yang terakhir.

Nak mengangkat kisah Negeri Sembilan ~~~ apa la ceritanya? Biasanya perlukan beberapa hari untuk memikirkan, sambil-sambil masak dan mandi.

Katanya, ada penulis yang free writing without plot. Aku tak pandai buat plot. Sinopsis ringkas saja. Plot dikatakan adalah yang paling sukar dilakukan. Aku rasa plot penting supaya penulis tak keluh-kesah semasa menulis. Tidak merubah-rubah cerita. Semuanya sudah diset semasa plotting.

Jadi, aku nak cuba buat plot yang paling lengkap. Sesudah itu tinggal menulis saja dengan segala kemampuan dan kebolehan yang ada. Insya Allah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing