Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, April 8, 2016

Aku masih memikirkan.

Bagaimana sebuah impian yang tidak selari dengan kehendak Allah akan mencapai kejayaan?

Apakah impian itu akan disampaikan Allah, bertunjangkan kesabaran?

Apakah Allah akan membuka lorong-lorong untuk seseorang mencapai hasratnya?

Sedangkan perbendaharaan Allah teramat luas.

Apakah rahsia Allah memberi seseorang itu hasrat yang kuat untuk mencapai kehendaknya?

Tidakkah mustahil jika Allah memalingkan hatinya menjadi sebaliknya?

Segalanya adalah dalam rahsia Allah belaka. Allah Maha Berkehendak. Allah Maha Kuasa. Allah Maha Mengetahui.

Kita teruskan langkah di atas jalan yang diperintahkanNya. Hati-hati jangan tersasar dalam mengatur kehidupan. Siapa lagi yang akan memberi petunjuk jika Dia tidak mengizinkannya? Hanya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Memberi Petunjuk kepada sesiapa yang disukaiNya. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang beruntung dunia dan akhirat. Aameen.


Sesudah kepayahan akan datang kemudahan

Mata aku dah ketat. Lagi 4 minit ke jam 12 tengah malam. Tapi rasa nak menulis lagi sikit, yang terakhir untuk hari ini.

Baru sebentar tadi terima berita gembira. Alhamdulillah. Kawan aku sedang bergembira. Alhamdulillah. Kegembiraan yang didambakannya untuk beberapa tempoh kebelakangan ini. Kesabaran tahap langit ke 7 yang dilakukannya bersama tekanan yang bukan kepalang sehingga dia rasa nak telan pil tidur berbakul-bakul, akhirnya membuahkan hasil. Apabila Allah nak ambil semula ujian dan dugaan tu dan memberi penyelesaian, sekejap saja. Dia pun tak pernah menyangka sedemikian mudah Allah nak memudahkan. Aku dapat membayangkan wajahnya yang berseri-seri, senyumannya yang melirik, matanya yang bersinar-sinar dan aliran darah yang begitu lancar di sekujur tubuhnya. Masya Allah betapa besar kurniaan Allah untuk hamba-hambaNya yang benar-benar bersabar dan bertakqwa kepadaNya.

Aku masih memikirkan seorang yang lain. Yang selalu merintih dan mengadu kesengsaraan jiwanya. Kesedihannya. Malang nasibnya. Pertanyaan demi pertanyaan mengapa dia dilanda ujian sebegini. Oh, aku turut terseret sama ke dalam derita perasaannya yang sangat parah. Aku rasai tekanannya. Aku rasai kesakitannya. Aku dapat bayangkan wajahnya yang murung. Suaranya yang lemah. Jiwanya yang pecah-belah. Aduhai .. Betapa sukar dan sulitnya memberi percubaan memberi sinar kepada orang yang hidup dalam suasana malap. Matanya menjadi silau lalu dia menutup wajahnya dengan tangan. Dia kembali ke dalam suasana suram yang diliputi lemahnya harapan. Aku kadang-kadang merasa hampa dengan perasaannnya yang tidak membina. Lalu aku turut tertanya-tanya.. mengapa dia jadi sedemikian rupa? Semoga Allah memberinya hidayat dan taufik untuk  mengikut jalan yang diredhaiNya. Itulah jalan kebahagiaan dan kesejahteraan. Mungkin rezekinya untuk beroleh keceriaan belum tiba. Tunggulah sebentar saja lagi. Semoga Allah memberi dia kesabaran dan kecekalan untuk meneruskan langkah. Allah tidak sekali-kali akan membiarkan dia bersendirian. Allah sentiasa bersamanya. Semoga dia menyedari hal ini. Aameen.

Seorang yang lain juga muncul dalam fikiran. Seorang yang kerinduan kepada yang dikasihi. Apabila fitrah alam berlaku, manusia selalu kebingungan. Sedangkan setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Hanya tempoh pertemuan itu tidak dapat disukat mengikut kehendak insan. Semuanya sudah tetap dalam perancangan Allah. Hanya untuk berlaku sabar dan redha itu memang teramat pahit dan melukakan. Namun ia hanya luka yang ringan dan orang yang bersabar lagi bertakwa pasti akan melaluinya dengan senyuman. Semoga Allah memudahkan urusanmu dan mengembalikan kasih sayang yang hilang tidak lama lagi, dengan kasih sayang yang sejati. Aameen.

Seorang yang lain. Rindunya masih utuh. Walaupun berpuluh tahun masa berlalu. Rindu itu selalu muncul tanpa diundang, katanya. Dia tidak meminta rindu itu datang kerana ia menyeksakan. Namun perasaannya amat mendalam. Segala kenangan tidak dapat dilupakan. Ketika dia bertempik dan mengherdik, semua berterbangan. Tatkala dia bersendirian, perlahan-lahan rasa pohon rindu tumbuh semakin lama semakin teguh. Anehnya dia sangat sabar melayani perasaan rindu itu. Dia percaya kesabarannya pasti akan dibalas Tuhan dengan kejayaan dan kebahagiaan. Dia rela menderita. Dia sanggup menahan rindu walau dia amat sakit melalui saat demi saat. Semua kekuatan datang dari Allah. Semoga dia berhasil mencapai hasratnya dan sentiasa dalam petunjuk Allah untuk mengikut jalan yang diredhai.  Aameen.

Seorang insan. Jiwanya sendu. Semua disembunyikan di sebalik tawa riang. Dia ada pendirian sendiri. Dia memiliki kekuatan jiwa dan kemahuan yang tinggi. Kadang dia seperti akan tewas. Kadang dia seperti akan terbang ke langit tinggi. Dia juga belajar erti sabar. Teramat sabar. Teramat kental jiwa. Entah apa rahsia hatinya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga dia sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Illahi. Aameen.

Dia di sana. Malu berkongsi rasa. Tidak mengapa. Semoga Allah memudahkan urusannya.

Dia yang lain, di sana. Tiba-tiba tanpa salam tanpa pembuka bicara terus meluahkan apa yang terpendam dalam jiwa. Alhamdulillah. Terima kasih kerana mempercayai saya untuk membaca catatan rintihan dari dalam dada yang remuk. Saya sedia membacanya lagi. Di antara sekelian manusia yang Allah jadikan, saya antara yang terpilih untuk menjadi pembaca dan pendengar yang baik. Insya Allah.

Hanya usahlah kecewa berlarutan. Jangan biarkan jiwa tenggelam dalam derita. Bangkitlah. Carila kekuatan. Mintalah kekuatan itu dari Yang Maha Kuat. Selagi ada matahari, hidup pasti akan diteruskan. Teruskan langkah dengan semangat waja. Tiada sesiapa dapat menolong kita jika kita sendiri lemah mahu bangkit berdiri dan lemah mahu melangkah.

Sebarkan salam. Hadiahkan senyuman. Maafkan mereka. Mintalah kemaafan. Paling penting sujud memohon keampunan dari Yang Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Jangan tutup pintu hati dari hidayat Allah. Bukalah ia seluas-luasnya. Kelak seluruh alam akan tersenyum meraikan kita. Allah sayang, seluruh alam pun sayang. Insya Allah aameen.


Thursday, April 7, 2016

Saya di sini.

Membina azam. Menanam azam. Menyenaraikan azam baru. Lagi dan lagi. Salah satunya tiba-tiba muncul keinginan untuk berblogging semula secara aktif. Dan membaca kisah-kisah lama. Mungkin ada yang boleh dijadikan cerita untuk manfaat pembaca dalam bentuk cerpen atau novel.

Insya Allah.

Anak-anak Banat yang selalu menghubungi di ruang maya ketika mereka bercuti kerap bertanya. "Mama, cerita kitaorang dah siap ke?"

~ Mira. Hany. Qoiyah. Nurin. Antara yang berpeluang berchatting. Yang lain, kalau ke Banat insya Allah kena serbu dengan pertanyaan yang sama.

Aduhh ... Ia adalah janji. Janji yang mesti ditepati. Ada banyak kisah-kisah mereka yang boleh dikongsikan.

Insya Allah.

**

Manusia selalu kerinduan. Manusia juga selalu merintih kerana kasih dan sayang. Ditinggalkan pergi. Dikuasai hingga tiada baki ruang untuk diri sendiri. Mengharap kasih. Menagih sayang. Mencurah cinta kepada yang bukan miliknya. Betapa rasa kasih sayang rindu cinta itu sangat menguasai dan sangat mengesankan manusia.

Itu baru 1%.

Ini dunia. Dunia sementara. Allah bagi 1% saja untuk nikmat kasih. Sudah tabrakan hidup insan. Allahu..

Apa yang pasti, kasih Allah tiada bertepi dan tiada kesudahan. Marilah kejar kasih cinta Allah. Cinta Allah. Cinta Rasulullah SAW.

Hari ini tak rasa. Tunggu di saat sakaratul maut. Tunggu di saat alam bersatu menjadi padang yang luas. Di sana, baru mencari. Baru merasa sesal. Semoga kita tidak demikian.

Ayuh, ikut jalan yang ditunjukkanNya. Menuju Dia. Usah ragu lagi.

* Istikharahlah. Andai berhijrah itu baik, silakan. Mulakan hidup baru. Bina azam baru. Baiki niat selalu. Saling mendoakan. Semoga Allah memudahkan. Allahumma aameen.


Monday, March 28, 2016

Block .. done.

Biasanya. Kebanyakannya. Kerapkali. Normal. Kau akan block orang yang menganggu. Yang menyusahkan fikiran.

Ada pengalaman kena block?

Ada. Doktor alternatif block aku sebab terhantar gambar pokok bunga dalam pasu atas meja, yang dibekalkan air menggunakan tiub kecil. Tersalah hantar ok!

Err sebenarnya ... ada sesuatu. Mungkin aku menyusahkan fikiran dia. Sudah kena block. Ok redha.

Sebelum itu seseorang juga telah block aku. Unblock. Reblock semula. Selama-lamanya. Aku friend. Unfriend. Request friend. Tak dijawab hingga sekarang. Ringkasnya. Selama-lamanya. Ok redha.

Pasti ada hikmah.

Terkini. Aku block orang pulak. Block kerana aku rasa bersalah. Sudahlah, lagi cakap banyak nanti lagi banyak salah cakap. Maka aku block dia. Supaya aku tidak bercakap banyak.

Terluka.
Aku harap block ini buat selama-lamanya. Walau dia seorang yang kuat mental. Peduli apa. Kuat iman ke kuat mental yang power?

Semoga ada hikmah. Insya Allah.

Terluka.

Tamat.

Tuesday, February 16, 2016

Haii

Assalamualaikum wbt.

Jenguk blog sekejap. Kuciwa tak dapat baiki cerpen. Boleh la nak buat di tab Lenovo tu, tapi tak puas rasanya.

Betul, tak jumpa lagi macam mana nak bukak microsoft word kat notebook orang ni. Dia bagi dengan murah hatinya. Tapi tersimpan je atas meja. Hari-hari guna laptop sendiri yang dah uzur tu. Hidayat yang guna untuk main games. Huhh!

Hari ini ikram Naqib. Ikut dia ke PDM Andalas. Dah siap emel cerpen tu dari laptop (problem dengan bateri. Beli bateri baru pun masih semput. Ada virus yang tak dapat dijumpai katanya ... huhhu).

Ok sudah copy dari emel, nak transfer ke microsoft word. Puas cari tak jumpa der ..

* Kelemahan sendiri. Letakkan kekurangan kat notebook. Aku yang tak updated atau zaman terlalu laju.

Apa pun, mati itu pasti.
Jom solat.


Wednesday, January 20, 2016

Di Cyber Cafe.

Mencari 'twist plot'.

Semoga Allah memudahkan, aameen.

Wednesday, January 13, 2016

Bonda semakin uzur

Assalamualaikum wbt
Mak kandung saya, Bonda Ramlah Paan semakin uzur. Skrg dia di rumah adik di Sendayan. Mohon doa dari semua semoga Allah memudahkan urusan bonda saya, beroleh husnul khotimah dan keredhaan dari Allah SWT. Allahumma aameen. 😭😭😭

Sunday, January 3, 2016

Karya baru lagi

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, 2016 telah muncul.  Dan alhamdulillah, masih diizinkan Allah menghirup udara dunia.

Promosi karya antologi terbaru yang bakal terbit dibawah selenggaraan dan terbitan Celikhuruf.  Sesiapa berminat boleh hubungi saya seperti nombor tertera.  Dengan sukacitanya :).

Kisah saya dan abah yang sangat saya sayangi.  Hmm tahun-tahun yang lepas, hanya melepaskan kisah diri saja.  Azam baru untuk berkarya di luar diri.  Insya-Allah.  Dan membaiki ejaan yang keliru.  Juga menyusun waktu dengan lebih cermat untuk pekerjaan ini.  Insya-Allah.

Tuesday, December 8, 2015

Naqib dan Tanda Kekuasaan Allah

Alhamdulillah.

Seperti plot sebuah novel yang bermula dengan nada datar, semakin kritikal dan akhirnya berakhir dengan penuh kelegaan.  Begitulah perjalanan kisah anakanda Muhammad Naqib.

Ketika dia dalam keresahan yang memuncak, saya menyahut panggilan telefon dan menjawab pertanyaan suami dengan nada kerisauan yang tidak dapat lagi disembunyikan.  Bersama air mata yang mengalir, saya khabarkan anakanda sedang keresahan.  Cukuplah perkataan 'keresahan' untuk saya gunakan bagi menggambarkan keadaan yang amat mencurigakan hati nurani.

Suami yang seolah-olah hanya menanti masa untuk saya mengalah, dengan segera menyatakan akan pulang menguruskan Naqib ke hospital.

Saya mengalah dengan keadaan Naqib.

***

Kretinin 4000.  Doktor mengatakan ia adalah keajaiban.  Pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan sama ada kepada saya, suami atau Naqib sendiri membayangkan ada rasa hairan dan musykil bersarang di sanubari mereka.

Naqib tidak koma, tidak pengsan hatta tidak merapu.

Naqib diberi kekuatan oleh Allah Zat  yang Maha Agung untuk memperlihatkan tanda-tanda kekuasaanNya.  Masya Allah.

***

Naqib pulih dengan begitu cepat.  Hari kedua di ICU, hanya tinggal sedikit wayar di jari dan saluran oksigen di  hidung.  Dia kelihatan begitu segar dan ceria.  Dibandingkan dengan 9 pesakit lain yang kronik, Naqib jauh berbeza.  Alhamdulillah.

Masuk ICU pada petang Rabu 25 November 2015, dijemput dengan ambulan.
Dialisis dan masuk darah 5 pain.

Sabtu 28 Noverber 2015 selepas dialisis kedua dan masuk darah 1 pain lagi, Naqib dihantar ke Wad 8A.  Pada hari tersebut dan esoknya, dia menerima ramai pelawat termasuk kawan rapatnya, Taufik yang meminta izin dari pihak madrasah Sri Petaling untuk berziarah.  Juga pasangan kembar Budin dan Hafiz.  Yang paling tidak disangkakan, kehadiran seorang gadis bersama ibunya, ibu Taufik la juga haha ...

* Akhirnya bersua muka juga kita ...

***

Jumaat 3 Disember 2015 Naqib dibenarkan keluar setelah kami berjaya memperolehi tempat dialisis terhampir dengan rumah.  Namun buat beberapa ketika dialisis akan dilakukan di Mukmin Dialisys Centre Andalas.

***

Saya masih optimis dan terus memanjatkan doa ke hadrat Allah untuk memberikan syifa yang sempurna kepada anakanda.  Saya optimis dia tidak perlu melakukan dialisis sepanjang hayat.  Laporan ultra sound memperlihatkan buah pinggang yang radang, bukan mengecut.

Ada beberapa perkara lain yang tidak dapat dinyatakan di sini.  Ia masih di dalam pemerhatian dan usaha diteruskan untuk terus mendapatkan pertolongan dan keredhaan Allah.

Insya Allah.

Wassalam.

Sunday, October 25, 2015

Semoga Allah makbulkan, aamenn.

Bismillahirahmanirrahim.
Allah beri sebab untuk memudahkan manusia. Begini, hasilnya begini. Begitu, hasilnya begitu. Walaupun Allah tidak sekali-kali berharap kepada asbab yang dijadikannya. Boleh saja sesuatu berlaku tanpa sebab.
Sihat dulu. Tidak pening rasa kepala. Tekanan darah normal. Badan tidak letih terlalu. Tidak muntah berjela dengan lendir dan darah beku. Tidak perlu menu khusus untuk santapan. Jadi mukmin yang gagah sihat dan cerdas cergas. Penuh kreativiti dan semangat juang yang tinggi. Tinggi fokus dan ada matlamat hidup. Hidup bukan untuk main-main. Dan hidup hanya seketika. Bahkan hidup untuk mati sebenarnya.
Jadi sementara masih ada 'hidup' dalam diri, hiduplah sebenar-benar hidup. Bukan hidup separuh mati. Bukan hidup hilang erti. Bukan hidup sekadar menghirup oksigen dan menghembuskan karbon dioksida.
Bukan sekadar berkelip mata memandang.
Bukan sekadar menanti matahari muncul dari balik jerebu.
Bukan sekadar mengharap bulan akan penuh malam ini.
Apabila semua sudah kembali di atas paksinya, yang sebelum ini berantakan tidak keruan. Janji akan dilaksanakan, insya Allah.
Semoga anakanda Muhammad Naqib mencapai segala hajat yang baik-baik dan diredhai Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakanmu takdir yang terbaik dan menyelamatkanmu dari takdir buruk. Semoga Allah memudahkan segala urusanmu, mengampuni segala dosa-dosamu, melapangkan dadamu, memberi tenteram pada jiwamu, menguatkan imanmu. Semoga Allah menyembunyikan aibmu, dan menggantikan keburukanmu dengan kebaikan dari sisiNYA. Semoga Allah mengurniakanmu pasangan hidup yang solehah lagi bertakwa, berkekalan dalam redhaNYA hingga Jannah. Dan memilih kamu semua menjadi alim hafiz, membuat usaha agama dengan ikhlas bersama jemaah yang Allah redha hingga hari kiamat.
Semoga Allah beri kesembuhan. Semoga Allah beri syifa yang sempurna.
Allahumma aameen. Makbulkanlah ya Allah.

Saturday, October 24, 2015

Ketidaksabaran.

 Apakah sebenarnya kami selalu terburu-buru?  Astaghfirullahalazim.  Ini adalah benar-benar kelemahan kami.  Sebulan pengambilan ubat dan Naqib masih sakit kepala, kami tukar ubat lain.  Kami hantar buat check darah, kretinin tinggi.  Kami risau.  Setiap kali menerima repot ujian kesihatan Naqib, hati kami berdetak kencang.  Kretinin semakin tinggi dan terus meninggi.  Cuma alhamdulillah sakit kepala Naqib sudah berkurang, hanya sesekali saja. 

Sebulan pengambilan ubat kedua, dari doktor alternatif yang lain.
Rawatan batin sudah bersama pembedahannya di perut Naqib.
Mendapatkan dignosis dari pusat rawatan tanpa ubat dan pusat rawatan yang menggunakan air garam untuk mandian bersama auranya.
Rawatan dari doktor alternatif dan kontemporary di Salak Tinggi.
Pengambilan ubat dari tabib China.
Rawatan penyakit saka 

Rawatan ubat dari doktor iriodology.  Kali ini ada sesuatu yang baru.  Doktor bekas tentera ini memberitahu masalah Naqib berpunca dari hati.  Doktor menguruti-urut kawasan jantung dan belikatnya, Naqib kata ada rasa lega.

Dalam semua keadaan, tekanan darah Naqib yang saya arahkan ambil bacaan beberapa kali sehari, dengan setiap kali pemeriksaan dengan tiga bacaan, masih tinggi.  Naqib masih sakit kepala.  Dia masih solat duduk.  Kebanyakan masa siang jika diserang sakit kepala, Naqib akan tidur hampir sepanjang hari.  Dia bangun hanya untuk solat dan makan ubat.

Selain bertemu langsung dengan perawat alternatif, suami saya turut membeli pelbagai pemakanan kesihatan untuk kidney dan bermacam faedah lain. 

Akhirnya saya sampaikan juga suara hati untuk membawa anak kami bertemu doktor alternatid di Kubang Krian, Dr Danial.

Alhamdulillah, perjalanan yang jauh dan berhimpit dalam kereta, kami rasa berbaloi dapat bertemu doktor yang nampak muda dari usia ini sekali gus menjadi tetamu di rumah beliau.

Namun kami masih kurang sabar dan kurang faham dengan kaedah pengubatan sesuatu cabang rawatan itu.   Iyalah, kami hanya ibu dan bapa yang tidak terlibat dengan perubatan moden, dan hanya mahu Naqib sembuh.  Muntah lendir bercampur jejeran darah hitam seperti darah ikan di dalam muntah setiap pagi, membuat hati kami semakin resah.  Kehadiran tompokan darah hitam itu sangat mengesankan dan meresahkan.

Tanpa dirancang, saya anggap ia gerakan dari Allah jua.  Ketika menanti jawapan dari doktor Danial tentang hasrat kami mahu ke sana secepat mungkin, saya terdorong untuk share gambar Naqib sedang tersengih ceria semasa aidil fitri lalu bersama kata-kat mendoakan kesihatan Naqib.  Apabila suami berkongsi post itu, bermulalah era baru dalam senarai perawatan Naqib.

Kami bertemu Kapten Amiruddin Abdullah. 

Ketika ubat diberikan dan mula digunakan, kami diberitahu agar menangguhkan pemeriksaan darah Naqib dalam tempoh tiga bulan dari hari ini. 

Lalu saya terfikir sesautu.  Sepatutnya kami memberi peluang kepada setiap pengubatan yang diambil untuk bekerja di dalam tubuh naqib untuk satu tempoh yang mencukupi.  Kapten menjelaskan tempoh untuk Naqib adalah 78-90 hari.  Bagaimana dengan kucing-kucing lain? Eh silap maaf, mengantuk.

Wallahu'alam.  Apa yang pasti, kami mesti berusaha mendekatkan diri kepada Allah.  Dan saya benar-benar berdoa untuk anak saya semoga Allah berikan kesembuhan, segala doa yang baik-baik.  Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, menyembunyikan keaibannya, menggantikan keburukannya dengan kebaikan dari sisi Allah.  Semoga Allah berikan dia hati yang tenang, dada yang lapang, iman yang kukuh dan isteri yang solehah lagi bertakwa.  Semoga Allah menggantikan takdirnya yang buruk dengan takdir yang baik.  Semoga Allah mengangkat darjatnya ke darjat yang tinggi dunia dan akhirat.  Semoga memudahkan segala urusannya dan memilih dia sebagai daieNYA, hafiz dan alimNYA.  Semoga sakit dan sembuh ini menjadi asbab hidayat seluruh alam.  Semoga Allah memberi kami sifat sabar dan qanaah. 

Allahumma aameen.

Semoga Allah beri sembuh kepada anakku, Muhammad Naqib Hasmeon.  Semoga Allahjadikan kamu seperti bintang di ufur ilmu.  Selamat maju jaya dan jangan nakal-nakal.

Monday, October 12, 2015

Apabila menulis, menulislah dari hati, akan sampai ke hati.

Apabila menangis, menangislah dari hati.  Akan sampai ke hati juga ?

Menulis dengan memaksa diri, tidak enak sekali.

Menangis dengan memaksa diri, menyeksa jiwa sahaja.

Menulis apa yang mahu ditulis.

Menangis apa yang menyiat hati, ada nikmatnya.

Menulis kebesaran Allah, ingat kepada Allah. Menjadi saksi di sana nanti.

Menangis mengenang alpa diri.  Mengharap kepada Allah.  Mengharap keampunan Allah.  Mengharap kasih-sayang Allah.  Air mata takut kepada Allah.  Membongkar aib diri dengan Allah.  Allah Allah Allah.

Menulis hingga dapat Allah.

Menangis hingga dapat Allah.

Semuanya kembali kepada Allah juga.

Sunday, October 11, 2015

Di Sebalik Tembok

DI SEBALIK TEMBOK

Di sebalik tembok itu 
Aku melihat keluar 
Dari kewarasan tua 
Melihat gerombolan belon angin 
Terawang-awang mencari penyudah.. 

Alhamdullilah.. 
Landasanmu atas kalimah 
Iman mu berselindung di sebalik purdah..

HY
Ahad 
4 Oktober 2015 


***

KIAMBANG BERTAUT

Sahabatku
Di dada kenangan ini penuh senyum duka gelak lucu
Mengira terbalik dua tiga tujuh satu
SELAMAT PAGI CIKGU ...
Ketika KELAS tiga KONONnya berpacaran dia dan aku
Berjalan pulang menyusur permatang tersenyum tersipu-sipu.

Aghhh ... Bila dewasa semuanya hilang
Menjejak mimpi mengubah haluan.

Segumpal mimpi yang sudah dewasa
Teman seperjalanan dulunya sama berdiri
Ada yang keduluan mengadap Ilahi, Al Fatihah

ALHAMDULILLAH ...
Kita boleh bual bicara
Di gigi-gigi mentari yang masih menyala
Mengamit langkah, hati serba warna
Sebuah cerita lama
Berdendang semula
Pada sepasang mata jingga.

Adakah kau terfikir
Bunga di CERUNAN ledang akan hilang
Disentuh angin nan kencang ...

Sahabatku ...
KITA DI TITIAN ANTARA PERSIMPANGAN.

HY
30 Julai 2014
Hari ini hantar tab ke kedai baiki handfon.  Selasa ambil.  Charge RM50.  Reformate.  Tak pasti boleh atau tidak.  Dan semua dalam tu akan ghaib.  Jadilah, sementara menunggu yang baru.  Insya Allah.

Layu Dihujung Mekar

Tak pernah mendengar.  Tiba-tiba tidak disangka, seseorang melagukannya.  Katanya khas untuk saya.

Sebagai penghargaan, saya 'simpan' ia di sini.

Terima kasih, jazakallah khoyr katheera.




Thursday, October 8, 2015

kembali kepada Allah

Assalamualaikum wbt.
Semalam, sahih tablet saya sudah tidak dapat digunakan lagi.  Ia crashed dengan teruk.  Kasihan betul!

Lega juga. Tidaklah saya asyik berkepit dengan tab saja.  Diri sendiri naik rimas, tetapi payah benar mahu menjauhkan diri darinya.  Teruk!

Simkad dicucuk pula ke dalam fon-fon lama yang tersimpan dalam laci.  Akhirnya dapatlah juga digunakan untuk terima dan buat panggilan.  Tiada wassap.  Facebook ada tetapi fon terlalu comel, tak tergamak nak buka facebook di situ.

Perlu bantuan hotspot dari telefon anak teruna.  Siap bagi topup RM30.  Ikut keperluan.  Biasanya tidak lebih RM 10.  Itu pun kadang-kadang huhu ...

Sedang asyik melayari internit dari laptop (tiba-tiba laptop seperti tidak akan shut down sejak semalam), masuk panggilan dari bonda di kampung.  Berita sedih yang disampaikan, adik ipar saya, Ustaz Nasrol, yang telah lama kurang sihat, selamat kembali ke pangkuan Allah Taala.

Innalillahiwainnailaihirojiun.  Semoga Allah mengampuninya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan dia bersama golongan orang-orang soleh. Aameen.

Namun saya tidak dapat menziarahinya di Sendayan.  Gearbox crv ini menunggu masa untuk ditukar baru, semenjak jalan lasak dan jauh ke Kubang Krian minggu lepas.  Suami pula masih di Mersing, urusannya masih belum selesai.  Walhal dia sudah berjanji ringan akan pulang kelmarin.  Semalam katanya akan pulang hari ini.  Tadi dia memberitahu insya Allah esok.

Dan esok ada jemputan majlis pernikahan anak saudara sepupu di Klang.  Seperti tidak dapat hadir.  Manakala lusa ada jemputan jamuannya pula, bersekali dengan jemputan majlis perkahwinan anak saudara sepupu yang lain di Seremban pula.

Apa pun, semoga Allah memudahkan urusan kita semua.  Hajat di hati tetap mahu memenuhi kedua-dua jemputan istimewa ini. Insya Allah.

Semalam, alhamdulillah tiga kiriman antologi cerpen Santai tapi Sentap dan Kapur Kasut vs Kapur Tulis sudah diuruskan.  Tetapi bungkusan untuk ke Langkawi dan kombo set ke Seri Petaling tertangguh kerana saya diminta mengambil nombor giliran.  Bulat mata melihat nombor yang keluar dari mesin automatik itu.  Ada jarak lebih 30 nombor lagi.  Mak oii!

Jadual makan dan ubat Naqib yang ditetapkan Dr Danial hampir setiap hari lari dari masanya.  Menunggu giliran pengeposan begitu, pasti akan merosakkan lagi jadual.  Kalaulah Dr Danial tahu ...

Haii macam-macam.  Apa pun bertenang saja.  Semoga Allah bagi sembuh juga.  Namun perlu kuat, dan kekuatan itu datang dari Allah belaka.

Mohon doa.


Friday, October 2, 2015

Masya Allah.  Terharu dengan kunjungan rakan alam maya Amiiza yang masih menjengah ke sini. Rasa haru menyelubungi diri tiba-tiba.

Saya baru keluar dari pejabat pos, memperbaharui lesen kereta yang sudah sebulan terbiar.  Kemudian ke CC untuk print out surat perjanjian dengan penyelenggara AC Jaffri Md Yatim untuk antologi cerpen Sedegup Cinta.  Surat ini akan difotostat dan diposkan kepada beliau menggunakan pos ekspress.  Semoga sampai dengan selamat insya Allah.

Ada rasa rindu untuk menulis di sini.  Tentulah, di sini saya bebas merapu apa saja.  Saya tidak tahu siapa yang datang membaca, dan saya tidak perduli apa-apa.  Cuma saya suka mengingatkan diri supaya tetap dalam adab dan akhlak umat Rasulullah SAW seperti sepatutnya.  Ringkasnya saya mahu bebaskan syok sendiri di sini tanpa rasa gugat oleh apa dan siapa.  Biarkan saya berseronok di sini.

Cuma kesempatan untuk ke sini agak terhad sekarang.  RIndu tetapi dipendam saja.  Rindu mahu mencoret, hanya disimpan dalam jiwa.  Ada masa insya Allah akan kembali setiap hari, tak lama lagi.

Sehingga ketemu lagi.
Salam sayang buat semua.


Thursday, September 17, 2015

syukur alhamdulillah.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi.  Semua dari Allah belaka.

Ini hanyalah warming up di permulaan.  Masih jauh perjalanan ini.  Dan aku mengharapkan pimpinan dan petunjuk dari Allah dalam semua keadaan.

Sebenarnya, perjalanan semakin singkat.  Permusafiran akan berakhir.  Tidak lama lagi.  Beransur-ansur mendekat detik pertemuan.  Semakin singkat saat perpisahan.

Inilah hakikat kehidupan.  Setiap yang bermula pasti akan berakhir.

Hidup adalah untuk melalui sebuah kematian.

Insya Allah, nama pena yang akan digunakan seterusnya ialah Naqhuhines.  Tergeliat lidah, kata mereka.  Haha ... Ok la tu.

Alhamdulillah, semuanya kurniaan Allah belaka.  Segala puji kembali kepada Allah, yang hanya Dia sahaja yang Maha Sempurna memuji diriNya sendiri.

Cinta Allah
Cinta Rasulullah SAW
Cinta akhirat
Cinta orang-orang yang mencintai Allah dan Rasulullah, dan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ya Allah, kumpulkan daku dengan mereka dan bangkitkan daku bersama mereka nanti.  Allahumma aameen.

~Naqhuhines~


Wednesday, September 9, 2015

Set Kombo



Assalamualaikum wbt.

Terbaru dari saya, set kombo tiga buah buku ini dengan harga RM80 termasuk pos.

Sila dapatkan segera sebelum kehabisan stok.

Sila hubungi saya di Whats App 0176285287 untuk urusan pembelian.

Jumpa lagi.  Babai.


Tuesday, September 1, 2015

Kretinin, Triple T dan solat tasbih.

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar? Semoga semua berada dalam peliharaan Allah SWT.
Alhamdulillah.  Result darah Naqib yang terkini, awal bulan tempohari, mengejutkan.  Kretinin semakin tinggi, sudah mencapai 1217.  Walaupun mengikut cerita, dialisis akan dilakukan mengikut badan pesakit.  Tetapi average begini biasanya sudah dilakukan dialisis. 

Kami rujuk orang yang menjual Triple T.  Seperti dia pun kurang info untuk menyenangkan hati kami secukupnya.  Ok, masih ada pembaikan yang memberangsangkan dari segi tekanan darah Naqib yang masih turun naik seperti yoyo, sudah ada peningkatan dalam penurunan, mencecah paling terkini malam ini 144. Alhamdulillah.

Selain itu, dia sudah semakin jarang sakit kepala.  Tekanan dah menuju normal, maka kesakitan yang berpunca dari tekanan tu pun menyusut, insya Allah, jika begitu teorinya.

Cuma dia masih ada rasa loya dan masih ada muntah-muntah, namun kekerapan itu juga sudah berkurangan.

Hanya kretinin yang melambung naik, di luar jangkaan.  Kami menjangkakan kretinin turun merosot.

Risau.  Maka aku azam akan melakukan bekam lagi kepada dia terutamanya di kepala.  Bekam terakhir pertengahan bulan lepas mengikut tarikh hijrah yang disarankan Rasulullah SAW ialah 17, 19 dan 21 bulan Islam.  Darah merah yang membuak berbuih-buih di dua tempat di kepala, kemudian menjadi seperti jeli mengikut bentuk cawan bekam.  Timbul rasa puas di hati melihat darah yang membeku.  Semoga semua darah bermasalah itu telah keluar dari tubuh anakku.  Insya Allah azam untuk melakukan bekam pada bulan ini.  Semoga Allah izinkan.

Alhamdulillah dia sudah melepasi peperiksaan memandu kereta.  Sekarang ni dia perlu menyelesaikan belajar motor dan peperiksaannya pula.  Langkah seterusnya, dia azam keluar 40 hari dan menyambung untuk syahadah di Sri Petaling.  Ustaz Azman pun sudah berhijrah ke SP untuk mengajar alim, info dari kawan-kawannya.  Dan tidak ada kelonggaran untuk ulang-alik bagi pelajar syahadah. 

Naqib akan terus berpantang makan.  Dia perlu berdikari menguruskan hidupnya setelah kembali berada dalam medan ilmu.  Dia juga perlu berusaha meningkatkan mujahadah untuk mengawal dan memilih pemakanan yang sesuai.  Banyak yang kurang sesuai, sebenarnya limited choice.  Selebihnya, perlu kawal pengambilan garam dan gula.  Yang lebih utama adalah meningkatkan dan menjaga amalan.

Semoga anak ini diberi kekuatan oleh Allah untuk berjuang dan terus mujahadah.  Berjuang mengikut jalan yang Allah suka.  Berjuang dan dipilih Allah untuk melakukan segala amalan yang Allah suka. 

"Awak buat solat tasbih 40 hari direct, lepas 40 hari awak datang jumpa saya semula." Aku masih teringat kata-kata yang lebih kepada usul bersekali dengan cabaran kepada Naqib, oleh seorang karkun besar, ketika kami datang membeli kitab fadilat amal semasa Ramadhan lepas.

Semasa membelek-belek pelbagai barang jualan di kedai beliau, aku pasang telinga je.  Lepas satu, satu tuan haji itu memberi saranan untuk Naqib.  Mula-mula bab pantang makan.  Lepas tu usul pemakanan untuk menurunkan tekanan darah.  Akhir sekali, ketika aku sudah mampir ke kaunter untuk urusan pembayaran, tuan haji menceritakan kisah lelaki tua di Tanah Suci Mekah yang sudah berusia lebih 80 tahun tetapi masya Allah amalan solatnya seperti nonstop lebih hebat daripada solat tuan haji  ini sendiri, yang katanya 'banding dengan dia, saya ni masih kategori orang muda, pun tak larat nak solat banyak macam dia.'

Rahsianya, kata beliau, lelaki tua itu istiqomah solat tasbih setiap malam.  Permulaannya diamalkan 40 hari dan diteruskan sehingga akhirnya, segala kesakitan akibat penyakit yang datang bertandang (yeler, dah tua banyak la penyakitnya) menghilang dan timbul kelazatan dalam beribadah.

Naqib, angguk-angguk kepala dengan sopan.  Aku, dilambung keterujaan.

Sekian dulu, wassalam.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing