Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, May 8, 2015

tidak untuk 'takpe, buat ubat'



Panggilan terputus-putus.  Ah, line tunetalk memang agak hampeh di kawasan ini.  Nampaknya terpaksa guna yoga tab yang dijimat-jimatkan kreditnya untuk buat panggilan.

“Assalamualaikum, doktor.  Saya yang datang satu famili malam tu, yang anak saya tekanan darah tinggi tu.” Bla bla bla … doktor masih berada di kampung halamannya untuk sesi rawatan di sana pula.   

Dan sekali lagi aku diberi penekanan tentang pantang makan yang sepatutnya dilakukan dalam rawatan Naqib.  Kekacang, makanan dan minuman proses/awet/.jeruk/peram/pekasam.  Juga segala jenis cili. 
Setelah sehari setengah keadaan anak sulung ini agak menggembirakan, petang semalam dia muntah semula dan diserang sakit kepala yang tidak dapat aku bayangkan.  Kelopak matanya pun seperti tidak mampu diangkat.  Kasihan sungguh dan sayu hati melihat keadaannya. 

Ya, semalam aku masak sedap.  Ikan selar besar masak kerutub cili.  Pergh, bertambah-tambah makan, habis seperiuk nasi beras basmathi tu.  Makan dalam talam, sorang tarik sikit lima penjuru sekejap je dah licin hehe …

Maka, dengan peringatan doktor ini, yang mana dignose beliau sama seperti Wak Mus di Seremban, juga Haji Sani di Sijangkang, bahawa perut Naqib ada masalah, aku akan lebih berhati-hati selepas ni.  Aku harap abahnya yang dah mula lebih concern pada si anak, akan ambil tindakan yang serupa.  Tidak lagi sua makanan macam-macam dan kata, “takpe, buat ubat.”  Seperti juga si nenek, ibu kepada abahnya, semua disua makan, buat ubat katanya.  Aku yang kurang gemar membebel semasa makan, terpaksa dengan segan memberi kata-kata penuh tanda seru kepada si anak supaya berhati-hati. 

“Kulit ayam jangan makan!”
“air gas takleh!”
“Kepak dan peha jangan ambik!”
“Kacang-kacang tak mo ea!”

Tadi, selepas doktor menekankan kepantangan berganda itu, dan situasi berulang kepada Naqib; masing-masing perlu lebih peka kepada pemakanan.  Lebih serius.  Lebih berhati-hati. 

Allah maha kuasa, makhluk tiada kuasa.  Semua hanya asbab tetapi yang maha kuasa memberi kesan hanya Allah Taala.  Boleh sahaja Allah beri kesembuhan tanpa sebab.  Ini semua hanyalah sedikit ujian dariNya.  Semua penyakit ada ubatnya kecuali maut dan tua.  Maut pasti datang, seperti tua yang pasti menjelma perlahan-lahan.  

Ya Allah berilah kesembuhan dan keredhoanMu kepada kami.  Allahumma aameen.

Tuesday, May 5, 2015

Terasa hati apabila puteri bongsu berkali-kali memberitahu betapa seronok dan best buku cerita kecil yang sedang dibacanya. Siap aksi, begitu teruja. Aku rasa sakit di dada ah ah ... Cerpen kompilasi itu, semua termaklum sendiri di mana ceritaku. Ketika bertanya ok ke tak pada si sulung yang berkilat kepala, baru cukur botak petang semalam, dia memberitahu ceritaku perlu lebih keanak-anakan kerana kisah itu kisah zaman kanak-kanak, aku tidak setuju pun. Apapun, ia sudah berada di sana. Cuma, terasa andai aku fokus pada satu kisah paling mengesankan mungkin lebih menarik. Ah, apapun ia sudah berada di sana! Sekarang aku memikirkan kisah sarkastik dan humor untuk memenuhi hajat sendiri terhadap tawaran yang ada. Ada kisahnya. Tetapi mampukah aku garap ia sehingga benar-benar menyentap? Jangan sampai menjilat ludah sendiri di masa akan datang. Nauzubillahiminzalik. Menulis dari hati semoga sampai ke hati, dan menulis bukan kerana nama. Aku sudah faham betapa bermaknanya pesta buku kepada penulis. Aku mula faham ...

Friday, April 24, 2015

Yoga tablet aku bermasalah. Kesan utamanya, aku tidak dapat berleka di whatsapp. Semoga jadi asbab hidayat untuk diriku dan keluargaku. Beberapa ketika selepas terkesan dengan suasana grup keluarga ibuku yang aku bina, tiba-tiba hal ini terjadi. Hanya antara alasan untuk aku memaafkan tablet ini dan memujuk hati. Tanpa diduga, timbul rasa lega. Aku terasa selamat dari bualan remeh di ruang-ruang sana. Minta maaf. Mujur anak-anak ex-Banat tidak mungkin menemui tulisan aku di sini. Mereka tidak minat blogger. Walau ada yang pernah menulis 'mama out i die', ia tidak mungkin terjadi. Cuma seminggu pertama ini mungkin mereka amat terasa kehilangan. Hehe ... Aku juga kehilangan. Aku kehilangan sembang ilmu di Wasturah, grup masturat paling dominan di Malaysia setakat yang aku tau hari ini. Sekali lagi mujur, aku sempat memasukkan tiga orang yang baru mahu berjinak-jinak dengan dunia wanita tersembunyi ke dalam grup otai ini. Semoga menjadi asbab hidayat seluruh alam, aameen. Ada beberapa contract istimewa yang turut terkesan. Tapi pasti ada khoyr. Sudah lama faham, laman chatting ini sangat mengambil masaku yang sepatutnya digunakan untuk perkara lebih utama. Semua kelemahan aku belaka. Alhamdulillah. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk berundur dari sana. Lihatlah bagaimana dunia akan datang melalui cara lain pula. Ya Allah selamatkanlah kami semua dari fitnah akhir zaman, allahumma aameen. Keluarkan dunia dan alat dari hati, masukkan iman yakin kepada Allah semata. Allah Maha Kuasa, makhluk tiada kuasa. Sudah tiba masanya, sebenarnya.

Tuesday, April 21, 2015

Hari dukacita. Semoga anakanda tercinta mendapat iktibarnya. Mana mungkin bonda tidak menyayangimu. Itu semua hanya bicara tanpa akal. Sedangkan hati meronta kesal. Anakandaku tercinta, rotan bonda bukan membenci. Marah bonda ada maknanya. Risau jiwa andai awan gelap melindungi matahari. Sedang anakanda masih leka ceria tiada bererti. Anakanda tercinta, kau kiralah garis merah di kakimu itu. Setiap satu garis kau simpan sakitnya untuk setahun. Sementara ia masih berbekas, usah menjadi dendam berbara kerana ia satu dari tanda-tanda CINTA yang aneh dan penuh rahsia. Anakanda tercinta, air mata yang jernih menitis satu persatu. Alangkah mahal ia. Alangkah runtun hati mendengar rayuanmu. Namun bonda terpaksa. Jangan kau menjadi semut yang tenggelam dalam lautan air gula. Dunia ini sudah disumpah seperti bangkai. Akhirat itu yang menjadi tumpuan. Siapalah bonda sebenarnya. Hanya Allah Yang Maha Kuasa. Kepada Allah sahaja bonda berserah diri. Dan kepada Allah juga bonda menyerahkan urusan ini. Anakandaku tercinta, bonda amat-amat cinta padamu. Namun usah terlena dengan cinta ini. Ia hanya picisan dibandingkan dengan CINTA ILLAHI. Semoga diri anakandaku tercinta menjadi asbab hidayat seluruh alam. Membesarlah kamu sebagai puteri bertaqwa yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi terpuji. Kelak kau akan mengenang peristiwa pagi ini sebagai satu percikan cinta yang tidak bertepi. Bonda amat mencintaimu selamanya. Percayalah, dan apa yang bonda ujarkan ketika amarah adalah kosong belaka. Maafkan bonda.

Friday, April 17, 2015

Allahu.. Merayu meminta dan menahan hati supaya terus bertenang. Ingin meniru sikap tawajjuh yang didengar. Mengimbas kisah-kisah nusrah luar biasa yang amat mengesankan. Bahawa DIA MAHA MENDENGAR, MAHA MELIHAT, MAHA MENGETAHUI, MAHA PENGASIH DAN MAHA MENGABULKAN DOA. Ketika si bongsu yang diumpan beli nasi lemak (seminggu sekali shj) nanti dalam perjalanan ke madrasah, dia memberitahu dengan senyuman penuh harapan, "Mama, malam tadi Baby mimpi jumpa uncang mama dalam beg. Tapi lepas tu tak de ..." Aku menyahut dengan ucapan 'InsyaAllah semoga nanti jumpa.' Mimpinya menyemarakkan harapan yang kian segar bertunas. Aku sudah merancang ke rumah Wak Yusuf, bekas murid Kiayi Shamsuddin itu. Fikirku, sekadar bertanya tiada salahnya. Tetapi aku tidak tahu bagaimana caranya. Aku perkenan orang tua itu. Wajahnya bersih tenang bercahaya dalam ketidakupayaannya. Usianya mungkin lebih 80 tahun. Si bongsu berganjak selepas aku mengucup pipi mulusnya dan memberi pelukan kasih sayang. Aku masih memegang mushaf untuk membaca Surah Yasiin lagi. Tiba-tiba, "MAMA! NI...!" Si bongsu muncul sekelip mata sambil mengunjukkan uncang yang baru kusedari hilang petang semalam. Aku terpegun tetapi masih tenang saja. Aku memang penuh ketenangan haha ... "Jumpa kat mana?" Pertanyaan pertama yang meluncur. Dia memberitahu uncang itu tersadai di tepi pintu penumpang kereta abahnya. Aku keluar mahu melihat tempat dia menemui uncang itu. Hmm ... Begitu mudah hanya buka pintu dan mata anakku terus nampak uncang di situ. Ketika sang suami yang turut bertenang sahaja mengatakan ia memang terjatuh dari handbagku dan terselit di tepi seat itu, aku sedang diselubungi perasaan TAKJUB. Petang semalam, sehingga saat aku menyedari uncang itu hilang, hampir 10 kali anak-anakku keluar masuk di seat itu. Aku sendiri 4 kali keluar masuk di seat itu. Tiada sesiapa perasan apa-apa. Dan sesudah gempar dengan kehilangan, anak-anak mencari di dalam kereta tetapi tidak menemuinya. Aku mengadu kepadaNya. Aku menyeru penghuluku baginda Rasul. Aku tidak mahu sangka buruk kepada pekerja yang datang memasang penghawa dingin. Sangat teruk jika aku yang tersilap catur. Lalu lenaku terganggu. Setelah sekian lama, akhirnya aku mampu sujud di sajadah pada jam 2 pagi. Sebenarnya tidak merisaukan apa-apa, uncang berisi perkara dunia. Kad-kad pengenalan diri, kad-kad yang berguna pada waktu-waktu tertentu saja, dua urat rantai halus yang rosak cangkuknya, kertas-kertas resit yang bakal dibuang dan sekeping dua wang siling. Itulah isi uncangku. Jika masih ada rezekiku, pasti dan pasti Allah akan mengembalikannya padaku dengan selamat. Aku benar-benar mahu meniru sikap tawajjuh itu lalu aku cuba terus melakukannya. Ketika mak dengan penuh yakinnya mengatakan pasti ia sudah tiada dan jangan berharap, aku hanya menjawab dengan nada serendah mungkin bahawa Tiada yang mustahil di sisi Allah, setiap yg kita ujar adalah doa dan berujarlah yang baik-baik. Aku benar-benar mahu meniru sikap masturat yang sentiasa menjana baik sangka kepada sesiapa. Apatah lagi menjaga sangka baik kepada Allah Taala. Jadi begitulah ceritanya. Ketika pagi menjelma, aku fikir tidak mengapa mengajukan permohonan didoakan semoga yang hilang ditemui semula. Ada yang bertanya uncang apakah ia? Mereka menunjukkan kesedihan dan mahu berkongsi duka. Namun hanya beberapa minit, aku harus mengabarkan pula mimpi si bongsu yang berkesudahan dengan penemuannya begitu. Dia anak bertuah! Dan semua anak-anakku memang bertuah, insyaAllah. Allah Taala mendengarku, mengetahui suara hatiku dan memudahkan urusan ini untukku. Ketika aku menahan hati dari menceritakan musibah kepada manusia, Allah Taala maha tahu keadaan di jiwa. Kini kuuntaikan untuk peringatan diri sendiri. Tidak terungkap semuanya, namun cukuplah hanya Dia yang Maha Mengetahui segala isi hati. Dan aku masih berasa takjub saat ini. Allahuakhbar!

Sunday, April 12, 2015

Mak ulang lagi kisah mimpi. Aku pun tanya, "bila terakhir mak mimpi tu?" Mak kata lepas balik dari umrah dua bulan lepas mak ada bermimpi lagi. "Mak mimpi apa?" Aku bertanya inginkan kepastian yang jitu. "Mak selalu mimpi kau pindah rumah dan kau jadi budak kecik." Aku kata, "mak, itu bererti Allah dah ampunkan dosa-dosa saya dan jadi bersih suci macam budak dalam mimpi mak tu ..." Mak senyum sumbing sambil mengiyakan saja. Mak sambung lagi tentang telinga pula. "Dulu kau kata arwah onyang belek telinga kau, kata kecik ye?" Aku ligat memikir lalu berkata, "Ohh telinga kecik tanda orang degil, mak. Kalau dia kata betul, betul sampai bila-bila. Tapi kalau dia salah, err ... dia mengaku salah." Apa sajalah. Zaman berlalu masa berubah. Tafsiran mimpi pun mungkin berubah jua. Allah Maha Kuasa makhluk tiada kuasa. Mimpi mungkin saja mainan tidur atau titipan peringatan.

Saturday, April 11, 2015

Kemuncak sinetron pagi sudah terakam hari ini. Watak utama si bongsu sangat mengesankan. Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepadaku dalam mendidik anak ini dan tidak melampaui batas, allahumma aameen. Tidak perlulah aku mendetailkan setiap adegan yang mengujakan pagi tadi, biarlah ia menjadi rahsia dalam ingatan. Hanya aku menjadi termenung seketika di stereng kereta waktu itu. Ini semua adalah salah silap aku belaka sebenarnya. Lantas ketika hati mengakui kekhilafan diri dan merendah mengadu kepada Allah yang Maha Mengetahui, aku dijengah ingatan kisah baginda Rasulullah Saw meladeni sikap para isteri baginda dalam suatu peristiwa yang menjadi pedoman berguna. Juga kisah tiga sahabat yang tidak menyertai peperangan tanpa keuzuran yang membolehkan. Lalu aku mengadakan perbincangan dengan Naqib di ruang wassap. Aku yakin akan melakukan sesuatu insyaAllah. Itulah keputusanku untuk mengajar si bongsu yang mempermain-mainkan ibunya ini dengan karenah yang mencabar kesabaran. Aku memaklumkan di grup keluargaku tentang apa yang bakal aku lakukan mulai esok. Mulanya aku minta setiap orang bersikap biasa melainkan diriku. Kemudian aku terfikir sikap biasa tak akan membantuku. Lalu aku merencana lagi, supaya setiap orang dapat memberikan kesan khas kepada si bongsu. Aku tidak mahu dia berada dalam zon selesa yang rapuh. Ahh mengantuknya pulak! Aku ringkaskan sahaja cerita ini ye. Akhirnya keputusan muktamadnya adalah bersikap biasa saja tetapi dengan ketegasan yang konsisten. "Mama, bersikaplah macam seorang mak tiri..." Kata Naqib sambil angkat-angkat kening. Lalu dengan bersahaja anak sulung yang suka melayan si bongsu menyebut peristiwa demi peristiwa yang pernah dilaluinya ketika sekitar usia yang sama. Membayangkan kenakalannya yang berpusar dua ini dan ketegasan si bapa yang ketika itu juga berdarah hangat di usia muda, aku terimbas kepedihan hati menyaksikan itu semua. Kepada puteri bongsu, ingin kusampaikan bahawa 'mama tidak mahu kamu rosak dek kasih dan sayang yang menyirami diri. Kerna sudah mula terbit bibit-bibit percikan api kebinasaan yang panas berbara, mama tidak mahu ia merebak dalam diam. Ia mesti dibendung segera. Satu ketika entah bila, kamu akan mengenang ini semua dan mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Semua yang pahit pada hari yang lama serta-merta menjadi nostalgia terindah dalam memorimu nanti. InsyaAllah.'

Thursday, April 9, 2015

Sebenarnya ada dua shj, tidur atau lawan rasa mengantuk tu. Aku memulai pagi dengan sepotong bebelan ringan. Aku tak pandai membebel seperti mak, yang mencairkan tahi telinga dan menyentap hati mengguris rasa. Itu dulu, semasa aku di usia remaja yang selalu leka. Aku tidak pula mewarisi kebolehan tersendiri mak. Aku lebih terpengaruh cara arwah abah yang banyak senyap dan rajin menasihati aku. Pagi ini aku tidak bawa rotan ke dalam kereta. Si bongsu masih sedikit liat dan matanya sedikit sembab. Masih penuh hati-hati pada sebarang kemungkinan, aku mula berbicara dengan hikmah. Memang masalah biasa, ramai orang mengantuk apabila mengaji, duduk dalam majlis ilmu, susah nak bangun tahajud. Biasa sebab memang Allah lengkapkan kita dengan nafsu dan dari luar pula ujiannya syaiton. Nak tidur je tu nafsu la. Malaikat pun Allah test sebagai manusia, pun beralah dengan ujian yang melanda. Syaiton pula, memang dah minta janji dengan Allah Taala nak menyesatkan manusia, nak ajak manusia masuk neraka dengan dia. Allah izinkan, tapi Allah janji akan jaga mukmin yang bertakwa. Allah pun kata Dia tak akan ubah nasib orang yang tak mahu membaiki dirinya. Patah-patah perkataan meluncur sambil dia mendengar separuh mengantuk. Kini kami di tepi dinding zink hijau yang membentengi madrasah. Dalam majalah apa tu, kan dia kata syaiton letak celak kat mata supaya ngantuk, letak gincu kqt bibir supaya banyak mengumpat. Majalah Asuh, dia menjawab pantas. Hmm ... Ok, turun. Kesian Abang Dayat pukul 5 dah pergi madrasah. Kamu ni beruntung benar. Tengok kawan-kawan yang kurang bernasib baik, yang yatim, yang susah, supaya kita dapat lebih faham nak bersyukur pada Allah. Ok, turun. Aku masih berlemah-lembut. Masih mampu bersabar. Tak mahu meninggi suara macam semalam. Kesian dia, kesian aku juga sebab guna tenaga banyak. Hari ini insyaAllah puasa. Dia pun bersiap-siap untuk turun. Mama, siapa ambil petang nanti? Berbincang pasal siapa nak jemput pulak, dan jam berapa. Seolah-olah aku baru tau perkara tu. Walhal itu perkara setiap hari dia bincangkan saat-saat nak turun kereta. Ah, memang taktik nak melengahkan sahaja. Dia akhirnya turun dan menutup pintu kereta, tetapi sempat berpesan supaya aku membuka pintuku pula. Aku menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan supaya tidak ketara. Aku buka pintu dan dia menghampiri. Kami bersalaman lagi buat entah kali ke berapa. Semoga berguguran dosa demi dosa dari celah jariku. Aku menarik dia dan memeluknya, mengucup kedua pipinya dan dahinya. Ok, masuk. Dia berdiri tidak bergerak sambil memandang aku. Mama ... Mama bawak la kereta pelan-pelan. Aku hairan. Terbayang hari-hari sebelum ini. Sebaik sahaja dia turun dari kereta dengan gertakan yang separuh kejam, aku tekan minyak dan memecut dari situ. Di cermin pandang belakang aku melihat dia melambai-lambai, iaitu bukan lambaian selamat jalan tetapi lambaian supaya aku undur ke belakang. Dia tidak aku pedulikan. Kenapa nak kena bawak pelan-pelan? Wajahnya yang bujur sirih aku renung penuh belas kasihan. Yelah, baby nak tengok mama. Hmm .. Ok, jawabku. Dah, masuk. Dia masih tegak di sisi pintu. Mama jalan la dulu, baby nak tengok mama. Alahai anak ... Aku risaukan keselamatan dia, tetapi dia mahu melihat aku hingga hilang dari pandangan. Sayangnya anak ini padaku. Manjanya dia. Tetapi aku tidak boleh melayan kemanjaan begini keterlaluan kelak akan merosakkan. Aku pun memeluknya sekali lagi dan mencium wajahnya, menutup pintu dan sambil menekan minyak perlahan memberi beberapa kali ucapan salam kepadanya. Kereta meluncur tanpa aku menekan minyak. Dari cermin pandang belakang, aku nampak dia berjalan mengikut keretaku sambil melambai-lambai. Aduhai anak! Aku musykil apa sahaja yang dimahunya tetapi masih terus maju hingga ke simpang. Buka cermin kiri dan melambai kepadanya semula. Hingga semakin samar dek kejauhan, aku masih memerhatikan cermin pandang belakang untuk melihat bayang anakku. Masihkah dia di situ? Wahai anakanda, bersegeralah menuju taman-taman syurga. Mereka semua menantimu di sana. *Penulisan spontan tanpa perenggan ini menggunakan tablet LENOVO. Ia agak mudah tetapi sebanyak mana pun aku menekan enter untuk mencipta jarak, ia tetap tidak wujud setelah diterbitkan. Faham-fahamkan sahaja sebegitu.

Tuesday, April 7, 2015

"Mama janganlah jerit..." Dia berkata perlahan sambil tangan kanannya mengusap-usap mata dengan hujung tudung ungu cair. Dia melakukannya berkali-kali sehingga hilang bersih kesan air mata. Hanya sepasang mata ayu yang kemerahan. Wajahnya redup, seredup pagi yang seperti mendung akan hujan. Aku memberi arahan sekali lagi, menyuruh dia masuk ke dalam kawasan madrasah di sebalik pagar zink berwarna hijau tua yang terbuka kecil. Dia masih mengatakan mahu balik ke rumah, tidak mahu belajar di madrasah hari ini. Aku tidaklah bercadang mahu menarik handbrake dan turun dari seat pemandu, hanya aku memberi amaran keras dengan terus duduk begitu. Sama ada kamu masuk atau kamu beritahu ustazah sekarang yang kamu mahu berhenti belajar. Dia terus menenangkan dirinya dan berhenti teresak-esak. Tak nak berhenti dari madrasah tapi hari ni nak balik, sahutnya perlahan. Begitulah dialog kami beberapa kali. Tapi mengapa? Aku bertanya dengan suara tinggi (yang aku fikir tiada sampai ke telinga selain dia, dan dia pula meminta aku jangan menjerit ...). Kamu mengaji di rumah tanpa guru maka gurunya syaiton. Orang yang belajar tiada guru syaiton menjadi gurunya. Kamu mahu bergurukan siapa? Syaiton ke ustazah?? Kita ni dah akhir zaman, kamu tau? Kiamat bila-bila saja. Itu satu perkara. Mati, is anytime (tagline aku huhu). Tak tau siapa dulu. Mama makin tua. Kamu makin besar. Dalam kubur takde kawan sorang je. Kamu kalau nak berteman dalam kubur bacalah Quran tu. Ada cahaya, ada teman, ada angin syurga. Atau kamu nak sebaliknya? Dia mengelap-ngelap mata lagi sambil berujar, "Mama janganlah cakap macam tu." Dia tersentuh dengan perkataan mati, kubur dan kiamat. Aduhh aku pun mula bergenang air mata. Aku sambung lagi, "Kamu tengok Along tu tak sekolah, kamu pun tak nak sekolah. Along tu sakit tau tak? (Memang dia tahu...) Tak tau apa jadi dalam badan dia (sebenarnya aku tidak suka mengakui anakku sedang sakit! Penekanan ini terpaksa aku nyatakan kepada si bongsu yang sangat mencabar aku pagi ini huhh). Ada banyak lagi bebelan aku tadi. Tak tahu sama ada fikirannya dapat mencernanya tetapi aku yakin semua sudah tersimpan dalam memori. Satu ketika dia akan mengenangnya semula. Hai anakanda tercinta, mama tidak berilmu maka mama menghantarmu ke sana. Ia hanyalah penjara suci yang menjadi asbab Allah meninggikan darjatmu dan memuliakanmu. Semoga anakanda yang terindah milik mama akan berada dalam golongan terpilih di sisiNya. Allahumma aameen.

Tuesday, March 31, 2015

Bonda selamat menjalani pembedahan kedua mata kiri beliau.  Kini bonda dalam jagaan kakak.  Semoga bonda bersabar mematuhi pantang buat sementara, khususnya menghindarkan gerakan yang lasak termasuk perjalanan jauh kembali ke kampung halaman.  Semoga Allah SWT memudahkan urusan bonda dan kakak sekeluarga dan merahmati mereka semuanya dengan rahmat yang berkah aameen.

***

Bersabarlah wahai jiwa yang resah
Ketika kau diuji, hanyalah sedikit tanda kasih dari Allah
Agar kau kembali mengadu kepadaNya
Tidak kau memperihalkan perbuatan Dia kepada makhlukNya
Maka kau akan dijaga dipelihara
Dan Dia-lah jua yang akan menghilangkan duka

Hati yang resah
Tidak dapat berbuat lebih daripada berserah
Berdoalah dalam pasrah
Bahawa kekuatanmu hanyalah sedikit anugerah
Dari Allah yang Maha Pemurah.

***

Semoga Allah memberi kesembuhan kepada kita dan mengampuni dosa-dosa kita, dan tetap memimpin kita ke jalan yang diredhoiNya.  Serta memberi kesudahan yang baik buat kita semua.  Allahumma aameen.

Bersuluk adalah baiat dengan guru terhadap amalan, yang bersambung sehingga kepada Baginda Rasulullah SAW dan akhirnya sampai kepada hadrat Allah SWT.  Bersuluk adalah peringkat akhir perjalanan sorang salik. 

Begitulah kata ustazah, ketika aku nyatakan keinginan menyertai beliau ke tempat tersebut.  Fardhu Ain mesti dimantapkan terlebih dahulu, katanya.  Dan terbuka sedikit rahsia adanya insan yang sekadar ingin mencuba bagaimanakah rasanya bersuluk itu; kesudahan yang tragis di hujung pengabdian.

Sekadar sebuah pertanyaan daripada keinginan yang terpendam sekian lama. 

***

Kesakitan yang datang.  Sahabat yang rajin berkongsi maklumat kesihatan.  MasyaAllah semuanya anugerah dari Allah SWT jua.

Berkumpul semula di penginapan sementara ini.  Hanya Hidayat yang belum bersama.  Dalam ujian kesakitan yang menimpa seorang demi seorang, masyaAllah ia benar-benar menjalin hati dengan ikatan sabar dan kasih sayang.  Benarlah di sebalik sesuatu musibah ada khoyr yang amat halus tersembunyi.  Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Adalah amat hebat kehendak Allah SWT yang Maha Pengasih.  Dengan segala kelemahan dan kekurangan diri, Allah aturkan kehidupan dengan siraman sakinah dan hidayah yang amat mahal.  Semua tersusun rapi dan menakjubkan.  MasyaAllah!

Allahu Akhbar.  Segala puji buatMu ya Allah.

***



Saturday, March 28, 2015

Dia bercerita reaksi kawan-kawan. Bahawa dia harus berundur seketika dari arena perjuangan untuk kemaslahatan diri yang dikhuatiri. Terasa pilu hingga tidak dapat menahan air mata yang menerpa tubir. Ingatan melayang jauh. Inilah adat dunia. Pertemuan bersaudara dengan perpisahan. Sentiasa demikian.
Membaca status status wssp anak-anak. Menyelami perasaan dan meneroka jiwa. Hanya membuat bibir mengukir senyum. Lelaki amat bersahaja seperti tiada apa-apa. Perempuan sangat menyuarakan suara dalam dada. Aku tahu sesuatu sedang berlaku dalam rahsia.

Tuesday, March 24, 2015

Beli bekas-bekas kecil untuk letak ubat pil. Jangan mengharap doktor akan layan wssp sebab doktor tetap doktor yang sibuk. Berlaku sesuatu hanya sebagai asbab kepada sesuatu. Semua kehendak dan izin Allah Taala belaka. Mati itu hanya perpindahan dari fana ke barzah, sebagai transit ke akhirat. Ia perjalanan yang

Saturday, March 21, 2015

Aku rasa sangat istimewa. Maghrib semalam aku solat berjemaah di celah-celah para bidadari dunia yang muda belia. Aku saja yang tua. Mereka kelihatan kekok tetapi masih merai kemunculan aku yang tiba-tiba. Sebelum itu, aku berjalan melenggang sambil mengibar niqob buatan asli Mekah di tangan. Ustazah memandang dengan senyum. Dia tak perlu menyuruh aku mengangkat niqob seperti sebelum ini. Aku pun faham. Kemudian kami bergerak berbondong-bondong ke rumah kedai baru yang akan dijadikan madrasah lelaki. Ketika para ustazah tiba beberapa ketika kemudian, aku mengangguk kepada ustazah yang maju melintasi tempat kami duduk sebagai memberi tanda kehadiran. Tiba-tiba ustazah tunduk dan menyuruh aku membuka niqob. "Buka la muka tu," katanya senyum. "Nanti ada orang lelaki masuk," jawab aku kebudak-budakan. Ustazah menoleh ke pintu, "Dah tak ada dah, majlis nak bermula." Kemudian ustazah berlalu meneruskan persiapan majlis. Aku membuka kacamata dan menyingkap niqob asli buatan Mekah yang sangat aku sukai. Sambil menjeling si kakak di sebelah, "Awatnya mama je kena suruh bukak niqob..." Sebab mama cantik. Aku pun bagi back hand pada kakak. Tak payah terpengaruh dengan coretan aku. Cuma aku terasa sebab pelajar dan tetamu masih berniqob. Aku azam menjaga baik sangka semenjak Allah Taala redho memilih aku bertamu di rumahNya. Aku ada urusan penting dengan ustazah ini nanti. Sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengajukannya kepada beliau. MasyaAllah semoga Allah memudahkan perjalanan ini. Sangat terasa sesuatu sedang berjalan sesuai kehendak dan jadualNya.

Thursday, March 19, 2015

Comel kelihatan. Jubah ungu pekat bertingkat-tingkat. Tudung labuh ungu cair. Pagi ini dia lebih tenang dari semalam. Berbeza dari pagi Selasa kelmarin. Sejarah pahit untuk dikenang. Aku membawa watak ibu tiri kejam dalam sinetron spontan. Namun sebenarnya sikap sebenar bonda yang penyayang. Pagi Rabu aku terfikir untuk memandikannya. Hanya mahu melihat tanda-tanda yang aku berikan. Di lengan kanannya ada dua kesan lebam yang mula merebak. Di lengan kirinya ada sedikit. Patutlah dia merayu tidak mengapa-apakan lagi kawasan itu semasa aku mencari sasaran. Kasihan sungguh! Lebih kasihan dia sampai terbaring jatuh di atas tanah. Lebih tragis sinetron pagi mendapat perhatian ustazah yang memerhatikan dari pejabat beliau. Sebenarnya, aku sangat-sangat kasihkan anak ini. Pagi ini yang lebih tenang, aku hanya berpesan lanjutan dari bebelan ringkas semalam; "Nanti di akhirat jangan lupa tarik mama dan abah ke syurga tau.." Semoga dia ingat sampai bila-bila. Ya Allah pilihlah dia membantu ugamaMu, menjadi daieyahMu, hafizahMu dan alimahMu sampai kiamat. Allahumma aameen.
Lebih kritikal dari pesakit sebenar. Sedang dalam proses membongkar sejarah beberapa tahun lepas. Semuanya dengan izin Allah Taala belaka. Teringat pernah membawanya ke doktor wanita. Tak tau apa masalahnya yang hendak diterangkan. Entah di mana sebenarnya yang mendatangkan kesakitan dan ketidakselesaan. Dari rambut ke hujung kaki. Dan puncanya pada jantung yang berdegup, yang menjadi tunjang nyawa. Semoga Allah Taala menganugerahkan kebaikan dan keredhoaan dunia dan akhirat. Allahumma aameen.
Kalut mengeluarkan pil putih bulat dari botol, kadang-kadang pil itu berterabur beberapa biji di atas lantai. Hidayat dan Hanessa mencari dan mengutip lalu memasukkan ke mulut. Manis ! Tentulah manis, berbeza dengan ubat hospital. Kalutnya ialah menetapkan masa yang tepat untuk pengambilan ubat kedua dan seterusnya. Si Kakak yang sekadar menumpang diognosis tapak tqngan diberikan 15 botol pil putih dan 5 botol ubat titis. Berbeza dengan si sulung yang sebenarnya tujuan utama untuk rawatan, hanya 8 botol pil dan 6 ubat titisan. Doktor kurus yang serius tetapi funny hanya geleng kepala perlahan sebagai jawapan, "kritikal ke dia ni?"
Tiba-tiba kesunyian yang selalu, hilang sirna. Riuh dan kepoh muncul. Tiba-tiba anak-anak yang jauh di mata tetapi dekat di hati mewarnai ruang

Saturday, March 14, 2015

Aku bengkak satu badan. Muka sembap. Kaki tak muat sarung selipar. Tetapi pusat kesihatan UKM selamba je suruh aku pergi sendiri ke Hospital Kajang waktu itu. Di hospital, mereka kata sepatutnya aku naik ambulan. Ia adalah nephrotic syndrome. Urin dan jumlah air diminum disukat. Rupa urin juga mesti dicatat, berbuih atau tidak. Tiada ubat yang tepat. Maka pil yang diberi tidak dimakan. Akhirnya bengkak susut sendiri. Cadangan doktor untuk melakukan biopsi ke atas buah pinggang aku tidak dipersetujui keluarga. Aku beredar dengan kehendak sendiri. Sejak itu hanya menjaga kesihatan begitu-begitu sahaja. Ia tidak pernah berulang lagi. Namun setiap kali hamil, aku menyenaraikan sindrom ini di dalam senarai alahan/sejarah kesihatan. Terkini aku mula faham tentang pemakanan sunnah dan keberkatannya. Maka bagaimana aku dapat membenarkan prosedur biopsi yang sama ke atas anakku, Muhammad Naqib? Penjelasan yang sama kalau ditanya kepada semua para doktor alopati. Pakar mengatakan mungkin ada kaitan dengan kes aku dulu, hmm. Biopsi untuk melihat sejauh mana masalah yang berlaku kepada buah pinggang itu. Risikonya tetap ada, kata wanita kurus berhidung mancung, tetapi sangat jarang terjadi pendarahan yang disebutnya. Demikian. Aku tidak bersetuju. Bak kata saudara tuaku, ini bukan macam potong kuku. Aku mencintai sunnah dan pemakanan sunnah. Semoga Allah Taala memudahkan urusan ini, aameen insyaAllah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing