Assalamualaikum
wbt.
Apa khabar?
Semalam agak blank. Semenjak
anak-anak berulang-alik rumah-madrasah, dan Naqib ada saja di rumah, suasana
ceria dan riuh. Tiba-tiba semalam sepi
mendadak. Yang bersekolah, ke
sekolahlah. Naqib akhirnya berjaya diangkut oleh si bapa yang bosan memandu
perjalanan jauh ke Mersing untuk menemaninya.
Walhal rasanya separuh perjalanan bujang itu terlelap je, aku
yakin. Tidak ada alasan untuk
menghalang. Apa yang ‘wajib’ dielakkan
dalam makanan semakin dikenalpasti. Ah,
sebenarnya doktor dah bagitahu, cuma … dia saja yang suka nak ‘testing’. Padahnya bukan datang mendadak, tetapi sehari
atau dua hari sesudah dia menjamah sesudu dua kuah bercili. Gulai masak lemak, tom yam. Apabila aku tanya, sesudah dia terlentang
menahan sakit kepala yang berdenyut-denyut (bersekali tekanan darah tinggi naik
mencecah 200) barulah dia mengaku.
“Ada, dua sudu …”
Ya, kuah semata. Lauk
dia lain. sekadar ikan goreng cara Arab
yang diserapnya ketika makan besar di sana tempohari. Dia yang menggoreng kosong, dan menggisar
bahan pilihan lalu ditabur di atas ikan hingga rata. Ikan Siakap memang sedap enak dimakan begitu
ketika masih panas. Tetapi orang muda,
tak dapat aku nak kata apa. Dah terima
padah baru serik agaknya.
Maka berbuih mulut dan berbakul pesanan dititipkan sebelum,
semasa dan sesudah berangkat ke sana. Iyalah,
yang sakit dia juga. Maka setiap hari
bertelefon, tiada perkara lain ditanya melainkan “makan apa tadi sarapan? Makan tengahari? Makan malam?”
Bertanya juga, "mengulang tak??" Alhamdulillah, dia ada membuat ulangan bacaan al Quran untuk memantapkan hafalan.
Nampaknya si bapa melayan dia dengan makanan mewah juga,
walaupun masih dibawah aturan pantang yang ‘wajib’ itu. Chicken chop cendawan tanpa lada hitam, dan
ikan siakap steam. Amboiii terliur
dibuatnya. Tetapi dia juga perlu menahan
diri apabila menatap hidangan lain seperti udang galah, ketam dan apa saja yang
dilarang untuknya buat masa ini.
Semalam petang, tak disangka-sangka Pak longnya menelefon
aku dari Senai. Ada hajat rupanya bakal
bapa pengantin untuk satu-satunya anak lelakinya yang ada. Dia mahu Naqib membawa Tolaal Badru secara
solo dengan iringan pasukan kompang ketika menyambut mempelai di ambang dewan masjid
Lapangan Terbang Senai pada 6 Jun ini. Aku
gelak-gelak. Entahlah, nak ke anak aku
tu nanti. Bagaimana dengan Aizat, anak
saudaraku yang selalu terpilih untuk menyertai pasukan nasyid mewakili kolejnya
itu? Mungkin duet Naqib-Aizat lebih
mantap.
Yang aku tak sangka ialah permintaan satu-satunya abangku
ini. Dia mahu Naqib memakai serban
panjang sampai ke pinggang. Kekeke …
ngalahkan maulana tuh. Apapun, hajat ini
mungkin boleh dipertimbangkan. Dan menyebabkan
aku yang cool memikirkan mungkin tidak dapat bersama di hari berbahagia Fuad,
terasa mahu hadir juga di sana. Tetapi
anak yang berdua itu bagaimana? Err …
boleh ponteng ke? Ish! Kena mesyuarat la dulu.
Ok, aku rasa lebih bersemangat untuk memulai semula menulis
sesuatu yang sudah lama berlegar di dalam kepala saja. Berdoa, menyusun ayat demi ayat dengan tenang
dan membiarkan semuanya mengalir bagai air dingin jernih yang jatuh dari batu
yang berwarna mutiara lalu mencipta tabir pelangi indah di bawah sinar mentari
pagi yang menyegarkan. Insya Allah.
apa pun yang terjadi, hidup mesti diteruskan
sehingga ajal tiba
Ya Allah, ampunilah
dosa-dosa kami dan ibu bapa kami. Sembuhkanlah
penyakit2 kami yang zahir dan yang batin.
Kuatkanlah iman kami, lapangkanlah dada kami, tenteramkanlah jiwa
kami. Mudahkanlah urusan kami dan
berilah kami faham ugama. Sembunyikanlah
keaiban kami dan tukarkanlah keburukan kami dengan kebaikan. Pilihlah kami untuk membantu ugama Mu. Janganlah biarkan kami walau satu
saatpun. Kasihanilah kami dan
kurniakanlah kami khusnul khotimah. Allahumma
aameen.
