Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, March 13, 2013

menerap nilai murni dalam penulisan



Wednesday, June 24, 2009

oleh: Noraini Eslah/Ummu Anas

Pembaca budiman yang dimuliakan,

Saban hari sepanjang kita melalui kehidupan yang masih berjalan, kita sentiasa melihat berbagai fenomena yang berlaku. Samaada fenomena alam semulajadi, maupun rentetan peristiwa yang diangkat sebagai isu besar untuk dihebahkan.Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, apakah peranan kita dalam setiap fenomena yang kita lihat? Adakah kita menyedari, sebenarnya kita adalah sebahagian dari fenomena yang berlaku itu? Dengan lain perkataan kita turut bertanggungjawab terhadap apa jua perkara berlaku dalam kehidupan harian insan.


MARI KITA MULAKAN PENELITIAN DARI DIRI KITA SEBAGAI PENULIS.

Apakah sebenarnya peranan kita dalam kehidupan insan yang seterusnya dikaitkan ke dalam semua fenomena yang berlaku? Rumitkah penelitian ini? Bagi diri saya, secara peribadi, tidak rumit! Malah saya merasa bahagia jika saya berupaya menyumbang peranan untuk bertanggungjawab dalam apa jua sudut kehidupan insan. Justru saya sendiri juga tergolong insan. Bukankah begitu juga hakikatnya kepada diri anda semua?


Ya, tepat sekali, selaku insan penulis kita sangat wajar menyedari kita punya peranan besar dalam mencorakkan kehidupan insan sejagat.

Sering benar kita mendengar orang menyebut; kita adalah apa yang kita fikir, kita adalah apa yang kita baca, kita adalah apa yang kita makan....,dan banyak lagi kita menjadi apa yang kita terapkan kepada diri kita. Sebutan sedemikian seolah-olahnya menjelaskan bahawa kita akan terbentuk mengikut nilai yang kita terapkan ke dalam diri.
Ini bermakna jika nilai yang baik diterapkan, kesan yang akan diperolehi juga semestinya baik. Begitu juga jika sebaliknya yang diterapkan, akan berlakulah begitu juga.


Berdasarkan hakikat hal yang baik menerbitkan perkara yang baik, semestinya kita menerapkan nilai baik dalam penulisan kita. Bermakna kita hanya menulis hal-hal yang baik sahaja kerana kita mahu orang yang membacanya menjadi baik. Atau sekurang-kurangnya membina fikiran yang baik kepada semua orang. Begitulah sepatutnya dasar kerja tulis dan sikap kita sebagai penulis. Kita mesti sentiasa menerapan nilai-nilai murni dalam semua bahan dan bentuk penulisan kita. Fikirkanlah dengan teliti, apa kesan dan akibatnya jika kita memasukkan unsur tidak sihat ke dalam penulisan kita?


Seperkara lagi, di samping menerapkan nilai murni dalam masa yang sama kita mesti membenteras/membasmi nilai buruk dan negatif. Kita ambil contoh begini; kita ingin menyubang peranan dalam mengurangkan kadar merokok di kalangan remaja. Ini bermakna selain kita mengemukakan teguran supaya tidak merokok, dalam masa yang sama kita tidak sepatutnya mencipta watak merokok dalam penulisan kita. Dengan lain perkataan kita mencadangkan sikap juga aktiviti gantian kepada rokok seiring dengan tidak menyebut langsung tabiat buruk itu.

Kaedah demikian bersamaan dengan kita cegah sesuatu penyakit sebelum penyakit itu muncul. Kita telah sedia setuju dengan ungkapan; 'mencegah lebih baik dari mengubati'. Bertitik tolak dari situ, sangat wajar kita membina satu sikap yang lebih jelas; 'menghindari lebih baik dari melarang'. Bagaimana pandangan anda semua kepada saranan saya ini...,setuju? Saya sangat menunggu-nunggu maklum balas anda semua! Diharapkan hal ini akan memberi kesan positif kepada kita semua.


Sebelum mengakhiri bicara saya ini, saya ingin mengajak anda meneliti satu gejala lumrah dan berleluasa berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini, khasnya golongan remaja; gejala sosial dan pergaulan bebas. Kita semua maklum gejala ini membawa kesan sangat besar dan sensitif dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita, malah sangat pula menyedihkan dan membimbangkan.

Dalam ruang serba terbatas ini saya hanya ingin menyentuh peranan kita sebagai penulis. Di sinilah sepatutnya kita bawa penerapan nilai murni dengan memaparkan bahan tulis berakhlak mulia. Sedapatnya kita elakkan dari membesarkan malah tidak perlu sama sekali mendedahkan tingkah laku buruk yang berkaitan. Hal ini hanya akan meransang remaja yang semulajadinya angresif untuk melakukan hal yang kita sebut.

Hakikat larangan yang ingin kita kemukakan tidak meresap ke hati remaja, tetapi mereka hanya mencedok yang keroh dan kotor saja. Kerana itulah kita perlu masuk terus kepada pokok nilai yang wajar; kita mahu remaja berakhlak mulia, jadi kita hanya perbesarkan dan sebut hal-hal yang baik. Dengan itu secara tabii akan membina sikap positif yang mulia dalam fikiran dan tingkah laku golongan remaja. Ketahuilah hal ini perlu kita halusi dengan lebih mendalam lagi, dari masa ke semasa.


Akhirnya ingin saya tegaskan, sepanjang kita menulis kita mesti peka apa saja yang kita tulis memberi kesan kepada orang yang membacanya. Tanya kepada hati kita, sukakah kita melihat orang yang membaca tulisan kita mengalami/melakukan keburukan?
Tentu kita tidak mahu begitu yang terjadi. Hati kita yang sedia baik ini sangat ingin orang lain beroleh kebaikan dari hasil tulisan kita. Kita akan rasa bahagia jika orang lain menjadi baik setelah membaca bahan penulisan kita. Begitulah sepatutnya yang kita harapkan dan semestinya yang kita lakukan.



SELAMAT MENULISKAN SEGALA KEBAIKAN

Mengolah novel terancang



Friday, July 10, 2009 Posted by Noraini Eslah (Ummu Anas)


oleh: Ummu Anas


Peserta bengkel yang budiman!

Setujukah anda jika saya katakan, pada peringkat permulaan ingin menulis novel, kita pasti tertanya-tanya; apakah cara terbaik untuk menghasilkan sebuah novel? Begitulah persoalan yang sering timbul, kita tercari-cari satu cara paling mudah dan berkesan yang mampu kita paraktikkan. Sebenarnya jika kita tanyakan mereka yang terlibat secara khusus dalam pengolahan novel, ada berbagai pendapat dari sekian ramai novelis. Setiap orang ada cara dan kaedah yang bersesuaian untuk diri masing-masing.

Sebenarnya, untuk menghasilkan sebuah novel tidaklah sukar. Asal saja kita menulisnya berpandukan kaedah mengolah sebuah novel, selesai dan tamat sebuah cerita kita tulis, maka sempurnalah ia sebagai novel. Namun, untuk menghasilkan sebuah novel yang bermutu dan layak memenangi pertandingan memang sukar. Hal ini sangat diidam-idamkan oleh setiap novelis. Saya sendiri juga walau masih terlalu baru dalam mempelajari kaedah menulis novel, juga turut teringin dan berangan-angan untuk menulis novel bermutu. Dari itu saya cuba melayari internet mencari-cari kaedah paling berkesan dan mudah diparaktikkan. Memang banyak cadangan dari pengalaman praktikal yang saya temui lewat internet. Ada beberapa kaeadah yang saya kira bersesuaian dan serasi dengan cara menggarap novel yang telah sifu ajarkan kepada kita semua.

Sebenarnya, saya tidak bercadang mengupas kaedah-kaedah yang saya temui itu. Saya hanya ingin mencari idea bagaimana kaedah sedia ada yang telah sifu tunjukkan kepada kita dapat dipraktikkan dengan lebih berkesan. Paling utama kita mampu menghasilkan karya yang bermutu di masa akan datang. Tidak salah bukan, jika kita berangan-angan...,sebagai murid sifu kita juga akan menjadi novelis sehebat sifu Azmah Nordin! Semoga begitulah hendaknya. Dengan angan sedemikian kita akan lebih teransang untuk bekerja keras dalam usaha kita menghasilkan novel bermutu.

Berbalik kepada persoalan cara berkesan yang saya cari-cari itu, sebenarnya untuk memudahkan proses menggarap novel itu sendiri. Pada fikiran saya, sekiranya cara menggarapnya boleh dipermudahkan, bermakna bayak masa boleh dimanfaatkan dan kertja buat novel itu juga akan berjalan lancar dan kurang menekan perasaan. Jika masa yang diambil dalam menggarap sesebuah novel sering tersangkut dan idea kerap terbantut, dikhuatiri kesudahannya hanya terbengkalai. Untuk menghindari masalah sedemikian, saya cuba adun cara semudah mungkin yang lebih kurang begini:

MERANCANG PENGOLAHAN NOVEL

Mari kita fikirkan dengan teliti, sebuah novel yang bermutu pastinya terhasil dari satu perancangan secara sangat teliti. Jika timbul pertanyaan, bila dan bagaimana merancang pembikinannya? Apa jawaban yang tergambar di minda anda semua? Ya, pasti ramai yang menjawab; rancang sebelum menulisnya lagi. Namun tidak dinafikan, ada juga yang akan menjawab, semasa sedang ditulis pun, perancangan masih boleh dilakukan. Benar, kedua-dua jawapan ini boleh diguna pakai. Tapi di awal pencarian saya tadi, saya inginkan cara paling tepat dan berkesan, supaya hasilnya juga cukup baik dan bermutu. Sudah tentu perancanagn awal sebelum memulakan proses penulisannya merupakan cara yang terbaik dan menjimatkan masa.

Sebelum kita memulakan praktik perancangan yang saya maksudkan di sini, terlebih dahulu kita mesti membina gambaran jelas dalam minda cerita yang ingin kita tuliskan menjadi novel. Bermula dari awal cerita sehinggalah tamat keseluruhan cerita bulat tergambar seperti wayang gambar di minda kita. Selepas ini barulah kita boleh memulakan perancangan novel kita. (ini draf, belum lagi menulis teks).

LANGKAHNYA BERMULA DI SINI
**( Kita sangat membuat perancangan awal ini kerana, sifat pelupa kita; sekali datang idea, tidak mustahil kemudiannya akan terpadam dari ingatan. Perancangan sedemikian juga sanagt berguna untuk memudahkan kita membuat semakan sepanjang menyiapkan kerja tulis novel kita kelak).

Langkah Pertama:
Ambil masa sejam memikirkan dan menyusun patah perkataan paling sesuai untuk membina ringkasan keseluruhan novel anda dalam satu ayat sahaja! Lakukan ini dalam keadaan tenang, tidak mendesak dan memaksa diri. Ayat ini tergambar bulat dapat anda lihat dalam minda bentuk seluruh cerita yang anda garap.
*saya beri contoh begini:
Anak muda itu membuktikan ibu kandung sepupu perempuannya itu merupakan ibu kandungnya juga.
Ayat yang anda pilih untuk mengambarkan isi keseluruhan novel anda ini sangat penting kerana ia menggambarkan bagaimana bentuk dan mesej cerita itu.

Langkah Kedua:
Ambil satu jam lagi untuk mengembangkan satu ayat ringkasan tadi menjadi satu paragraf lengkap; menggambarkan isi keseluruhan novel. Keseluruhannya mesti mengambil kira plot selengkapnya, kemelut utama, peleraian dan penamat cerita. Sebaik dan sesempurnanya novel dibahagikan kepada empat bahagian. Tiga bahagian kemelut dan satu bahagian peleraian. Ini bermakna setiap kemelut mengambil1/4 novel, peleraian 1/4 terakhir bab novel. Pergerakan cerita mesti semakin membukit setiap bab ke hadapan.

Sebaik-baiknya paragraf pengembangan ini mengandungi lima ayat lengkap. Ayat pertama menggambarkan plot dan flashback dalam novel tersebut. Manakala tiga ayat menjelaskan tiga kemelut utama. Ayat terakhir menerangkan peleraian dan penutup novel. Keseluruhan paragraf lengkap ini dikira sinopsis sebenar keseluruhan novel, paragraf inilah yang perlu dikemukakan kepada pembimbing dan penerbit yang ingin anda temui dalam usaha menulis teks keseluruhan novel.

Langkah Keempat:
Ambil 2-7 hari mengembangkan lima ayat pada langkah kedua di atas menjadi lima paragraf yang menggambar keseluruhan novel. Sepanjang menyusun paragraf ini, anda sedapatnya menghalusi plot keseluruhan novel. Paragraf terakhir mesti diolah begitu rupa sebagai penutup cerita secara sempurna.
Setakat langkah Keempat ini anda sudah menyediakan sinopsis yang lengkap dan sempurna juga menjadi rangka lengkap sebuah novel anda. Ia mesti sentiasa anda baca semula dan rujuk sepanjang bergerak dari bab ke bab.

Langkah Kelima:
Ambil 2-7 hari menyediakan sinopsis bagi semua watak, watak utama dan sampingan; satu muka penuh bagi setiap watak utama dan 1/2 muka surat bagi setiap watak sampingan. Sinopsis ini juga menjelaskan sudut pandangan watak terhadap plot cerita. Semasa anda mengemukakan sinopsis novel anda, lebih utama dan lebih menarik dikemukakan sinopsis gambaran watak di samping sinopsis plot.

Sekarang setelah anda sampai ke langkah kelima ini, saya yakin anda sudah dapat menangkap kaedah yang saya kongsikan dengan anda ini merupakan ‘step by step’ cara mengembangkan idea dalam mengolah novel yang terancang. Dengan meneliti kaedah ini, saya dapati ia banyak membantu saya mengembangkan idea secara lebih teratur dan teliti. Walaubagaimana pun, secara peribadi saya baru saja meletakkannya di tahap percubaan saya. Di sini saya menunggu sentuhan dari dari sifu az untuk menghalusinya lagi. Keseluruhan langkah hingga selesai sebuah novel ada sepuluh semuanya. Jika kaedah ini sifu setuju untuk saya teruskan berkongsi dengan anda semua, akan saya sambung sedikit masa lagi, insyaAllah. Saya juga membuka laluan perbincangan dengan peserta lain sehubungan hal ini, khasnya peserta yang karya novelnya sudah terbit. Semoga kita semua sama-sama beroleh manfaat dalam menghasilkan karya bermutu.

Kek Coklat Lembap mudah

hujung minggu kelmarin, aku tergesa-gesa kedatangan mood 'baking the cake' untuk si bongsu yang merengek-rengek mahukan kek hari lahir in advance.  Rupa cantik, ditaburi gula warna-warni oleh si kakak, menutupi rasanya yang mengecewakan aku.  Entah apa silapnya, tak dapat aku renungkan waktu itu.  Namun semua cebisan kek selesai dikirim untuk kawan-kawan mereka.  Hmm ... sebenarnya dah lama tak bikin kek.  Sifat manusia aku mudah lupa ohh.

Hari ini, dengan izin Allah, muncullah fikiran bersama pertanyaan kehairanan.  Aku pernah bikin kek yang Allah bagi rasa tersedap seantero taman terbaik dari ladang tapi mengapa kali ni tak menjadi??  Failed!  Arghh!!! Benar sungguh, ilmu adalah milik Allah.  Satu ketika ilmu itu sempat aku kongsikan dengan rakan, tapi bila nak buat sendiri tak menjadi.  Redha dan sabar sahajalah.  Akhirnya teringatlah koleksi resepi yang pernah aku share di blog ni. Lantas resepi tak bersalah yang sudah menganiaya aku itu terpaksa digumpal dan dicampak jauh, agar hilang pedih rasa hati ini.  Aku tak mahu lagi mengulangi kesilapan ini.  Tidakkk!!! 

Sebelum tu, aku google pula resepi termudah, dan jumpa di sini.  Jom kita share lagi :D.  Mudah banget dong! InsyaAllah, semuanya Allah yang bagi mudah dan jadi, enak dan sedap.  Syukur pada Allah.

Resepi Kek Lembap Mudah.

2 biji telur
1 cawan air
1 cawan minyak masak
1 cawan susu pekat
1 cawan gula (guna gula kastor mudah hancur) (ganti dengan gula perang, tak manis sangat)
(sukat gula dan susu pekat mengikut tahap kemanisan yang disukai)
*semua bahan ini diblender hingga gula hancur - anggaran 3-5 minit.

2 cawan tepung gandum
1 cawan serbuk koko (nak bagi pahit sikit boleh letak sedikit serbuk nescaffe, insyaAllah lebih sedap)
1 sudu teh soda bikarbonat
 *semua bahan ini diayak.

Masukkan bahan pertama dalam mangkuk.  Sambil berselawat ke atas nabi SAW, masukkan bahan kering sedikit demi sedikit dengan rasa tawakkal kepada Allah, sambil berzikir menyebut asmaNya.  Kacau rata dengan penuh kasih-sayang dan kekusyukkan mengingatiNya.  

Kukus atau bakar, dua-dua tak jadi masalah.  Pokoknya Allah dah jadikan sifat api itu mengeringkan dan membakar.  InsyaAllah dalam 40 minit masaklah kek yang lembap sedap ini.  

Bolehlah sejukkan sebentar untuk letak topping (sori resepi topping tak de, tapi boleh la buat yang simple tapi sedap yang pernah aku buat - coklat masakan + butter = masak double boil.  Atau semak kat resepi ini.  Tak de topping pun tak pe, sedap je insyaAllah).  

Bolehlah dipotong dan hidangkan untuk keluarga tercinta dengan penuh senyuman hingga ke telinga.  Allah bagi sedap dan Allah yang mengizinkan kita menyediakannya untuk mereka.  Sama-samalah kita bersyukur ke hadratNya.  Selamat menjamu selera.  (kek lembap ni kalau letak dalam peti ais pun tak akan keras, sejuk pun sodapppp insyaAllah.)  Gambar tak de sbb lum sempat buat snap hehe ...

 

 

kembara keTuhanan

kembara pun bermula
di sudut malam
yang sepi
membawa jiwa
yang padat dengan pati
rasa kebencian
sarat oleh nestapa
sendat dek duka
berjuta tanda tanya.

menyeret kaki
tidak berdaya
tidak ke mana
hanya menyusuri malam
membawa hati
ke langit tertinggi
melangkau bintang-bintang
mendekat ke sisiNya.

Ya Malikul Quddus
tak terucap lidahku
semuanya sudah membeku
berpadu terpaku
mengasak jiwa sendu

Ya Rahman Ya Rahim
permudahkanlah untukku
kembara malam ini
terlalu payah kurasa
mendekatiMu
mengadu padaMu
tanpa bahasa tanpa suara
itu kelemahanku
naif dan dhaif
jahil dan fakir
alangkah lemahnya aku

mengharap padaMu
yang mendengar tanpa telinga
melihat tanpa mata
mengerti tanpa hati
kerna Kau adalah segalanya
tolonglah Ya Latif
untukku tetap berpaut padaMu
di mana dan bila sahaja
hingga akhir nyawa.

Tuesday, March 12, 2013

memilih/menggambarkan persekitaran cerita



Wednesday, March 25, 2009 Posted by Azmah Nordin
Lazimnya, persekitaran akan menyumbang kepada mood cerita, tak kisahlah di mana saja. Di pejabat yang semua komputernya diserang virus? di ladang kelapa sawit yang luas terbentang dibiaki biawak raksasa? Di kawasan perumahan di Gaza yang bagaikan padang jarak padang terkukur oleh pencerobohan Israil? Di dlm shuttle pesawat angkasa lepas yg berlaku perebutan kuasa di dlmnya? Dalam sebuah kampung yg menyimpan rahasia mengaibkan seluruh penduduk kampung, secara turun temurun? Atau apa2 sajalah; ia bukan saja harus mengaitkan situasi watak/persekitaran/masa cerita itu berlaku, tp ia juga mampu memberikan kesan akan ketulenan pengkaryaannya kpd khalayak pembaca.

Bagaimanapun, ia harus disampaikan secara tidak langsung. Sebagai contoh;



1. Situasi watak.

nak digabungkan dgn;

2. Masa

3. Tempat/setting (Kelas tuisyen di Pekan Singgahmata, gerai makan. Jaraknya. Masa.

4. Jarak.



Bagaimana kalau kita cuba sampaikan begini? (lebih kurang);


Setiap senja, selepas menghadiri tuisyen di Dewan Singgahmata yg sekilometer dari rumahnya, gadis itu segera membantu ibu di gerai makan yang terletak bertentangan dengan dewan itu.

Situasi watak = gadis yg pergi tuisyen, dan kemudian membantu ibunya. Senja = masa. Dewan Singgahmata dan gerai makan = persekitaran. Sekilometer - jarak.

Persekitaran yg tidak sesuai, dengan situasi watak, akan kelihatan janggal. Kecuali kalau anda memang sedang menulis tentang cerita sains fiksyen serba pelik - anda pasti tidak akan, misalnya, anda tak akan meletakkan satu watak ahli bomba sedang mencurah air di tengah2 lautan, bukan? Tugas ahli bomba utk memadamkan kebakaran, bukan utk menambah air pada air yg sudah selautan luas dan dlmnya itu, bukan?


Menggambarkan Sebuah Persekitaran


Cara menggambarkan persekitaran yg baik, adalah dgn cara tidak langsung. Menggambarkannya melalui tindakan, pemikiran, perasaan, penglihatan, pendengaran, deria rasa dan deria sentuh watak - lebih berkesan dan menarik daripada secara deskritif atau secara pemerian. Malah, mungkin membosankan.

Menunjukkan watak2 dlm aksi, selalu memberikan keperincian mood asas dan persekitaran yg diperlukan oleh pembaca. Menunjukkan watak2 melihat, menghidu, merasa dan menyentuh, akan membuatkan persekitarannay hidup di keseluruhan cerita. Saya turunkan sedikit sedutan dr novel Dari Dalam Cermin saya yg pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia;

Gerak langkahnya dipercepat, biarpun terasa daun kering pohon pari-pari mempari dan bunganya yang berjambak-jambak, berguguran dan ada yang melayah turun dan menyentuh kepalanya, seperti mencuba menyentuh alam kesedarannya yang dipacu sejuta nafas tersepit. Begitu dia meneruskan lariannya, menyusuri pinggir pantai Kuala Tempasuk di daerah Kota Belud itu, dia membulatkan tekadnya. Biarlah bulan sabit yang tinggi melewati puncak Kinabalu dengan cahaya cerah menerangi jagat raya itu menjadi saksinya. Dia akan bangkit mennatang keharuan, suatu janji pada diri sendiri yang bertolak daripada titik-titik derita.

"Pastiii...!"


Tp, contoh di atas adalah contoh utk novel dewasa. Utk novel kanak2/remaja, gaya bahasanya sama sekali tidak sesuai k...

Hanya gambarkan persekitaran yg perlu saja. Katakanlah anda ingin menggambarkan persekitaran sebuah kampung; maka tak perlulah anda menceritakan segala2 ceruk kampung itu, secara terperinci. Ini nanti mungkin akan menjadi penghalang kpd perkembangan perjalanan cerita atau plot anda. Jadi, jalan yg paling mudah adalah dgn menggambarkannya melalui perasaan watak itu, seperti sudutan Dari Dalam Cermin itu. Dgn cara ini, pembaca akan mendapat tanggapan terhadap keseluruhan persekitaran, tanpa terbenam ke dalam pemerian persekitaran yang keterlaluan.

Menggambarkan persekitaran lewat dialog juga boleh, tp hanya jika ia diperlukan dlm jalan cerita. Borak kosong hanya akan memperlahankan perjalanan cerita dan ini akan memualkan pembaca dan mematahkan keinginan pembaca untuk membaca terus. Lagi sedikit dialog, lagi baik. Lagi byk monolog lebih baik daripada dialog. Lebih dewasa gitu.

"Tumor,"Dr. Husaini, meneliti riak muka gadis yang duduk bertentangan dengannya, di pejabat itu.

"Tumor?"

"Pada saraf tunjang,"angguk Dr. Husaini, "Sekarang dia menjalani rawatan kemoterafi secara intensif."

"Astaghafirullah...!"


Dialog di atas itu, berkisar di pejabat Dr. Husaini. Bermakna apabila pembaca membaca sedutan dialog dari novel Dari Dalam Cermin. pembaca boleh mengagak bahawa perbincangan itu mengambil tempat sama ada di klinik ataupun di hospital.

Utk menguatkan persekitaran anda, gambarkan cuaca, fesyen pakaian, jenis kenderaan, telefon dan apa2 saja yg perlu. Gunakan deria anda. Rekod pengalaman-pengalaman anda. Tambah pengetahuan anda ttg persekitaran yg mau diangkat ke dalam karya anda nanti. Buat penyelidikan. Lawat tempt itu, samada melalui pembacaan, lewat internet, atau pergi sendiri ke tempat itu utk mendapatkan suasana persekitaran yg lebih meyakinkan - jika perlu. Baca buku2/risalah/majalah ttg pengembaraan yang berkaitan dengan karya anda; budaya, jenis makanannya dan cara org tempatannya bercakap dan sebagainya.

terjebak di entri

panas adalah satu keseronokan
Membiarkan diri tenggelam
dalam komen-komen yang saling berbalas dan berbahas
Membaca bahasa yang dihias dengan pelbagai perkataan mengikut lunas
Terkadang menyimpang dari tajuk asas


sudah sudahlah.

engkau kata begitu
dia kata begini
tuan rumah kata yang sebenarnya ini

sudah sudahlah jangan terjebak lagi.

semuanya membosankan
bepada-pada dalam berkata
itu semua jadi beban
persoalan pertikaian
ketika buku diselak satu persatu
helaian demi helaian
ketika diri siang kepanasan
tanpa seurat pun benang
membalut badan

sudah sudahlah jangan terjebak lagi di entri panas seperti itu.

*beberapa kali terjebak di blog peribadi entah siapa.  Pasal haiwan yang dipergunakan, pasal brand enpon , pasal ... yang pasti bukan pasal iklim tanahair hari ini. 

Apa beza



Sunday, January 03, 2010 Posted by Azmah Nordin

Apa itu Cerpen

Ia sebuah karya kreatif yg singkat. Ia lazimnya membentangkan sebuah episod yg significant (mungkin boleh lebih sedikit jika anda punya cukup kemahiran menggarapinya) dan melibatkan watak yang amat terhad jumlahnya. Bentuk penulisan ini perlu pendek, tapi tepat; watak diperkenalkan secara dramatik ataupun penuh aksi, tapi jarang dibina dgn cukup sempurna. Sebuah cerita pendek juga lebih cenderung menumpukan perhatian kepada mood, daripada keseluruhan ceritanya.

ATAU

Untuk lebih mudah difaham, kita ibaratkanlah cerpen ini sebagai sebuah tumbuhan (misalnya, pohon bunga) di dalam pasu. yg lengkap dgn; akar, batang, dahan, ranting, daun, bunga dan bau yang harum (atau mungkin juga tiada bau, bukan?)
Bagaimana anda mempastikan bibit bunga yg anda tanam di dalam pasu itu, membesar subur hingga menjadi sebuah pohon bunga yg anda banggai? Ini tugas anda tentunya, untuk menyiram dan membajainya bila perlu. Jika anda menjaganya dgn cukup baik, mana tau mungkin pohon itu akan mengeluarkan bunga yang mengharum wangi dan dikagumi ramai? Bagaimana anda hendak memastikan pohon bunga anda ini, tersenarai sebagai antara pohon bunga terhebat dan termahal pada ketika itu? Misalnya, pohon bonsai yg berharga puluhan ribu satu pasu?



Definasi untuk sebuah novel


Novel mengendalikan perwatakan manusia dalam situasi sosial, manusia adalah makhluk sosial.

Novel menitik beratkan pada watak, terutama sekali pada watak yg cukup bulat - dibandingkan drpd plot.

Satu lagi ciri yang besar tentang novel adalah realism - penuh dgn laporan kehidupan manusia tulen.

ATAU

Untuk lebih mudah difahami, barangkali, kita andaikanlah novel itu ibaratkan sebuah pokok yg lengkap dgn; akar, batang, dahan, ranting, daun, bunga, buah.

Bagaimana kita ingin memastikan pohon yang ditanam dari hanya sebutir benih ini membesar hingga menjadi pohon, dan mungkin jika bernasib baik ia berupaya pula menghasilkan buah yg lumayan untuk membalas budi anda - ini tugas anda sebagai `petaninya' (penulis)
... mungkin anda akan membajainya dgn baja yang berkualiti tinggi dan rajin pula anda menyiraminya dgn air yg bersih dan bukan yg telah tercemar oleh tumpahan toksid dr kilang dan sebagainya.


Terserahlah pada kita sendiri, kita mahukan cerpen atau novel yg bagaimana; yang subur rendang hingga mampu menghasilkan buah yg manis harum. Atau yg kering kontang hingga seluruh daunnya berguguran ke bumi? Atau lagi dahsyat, kita hanya tanam saja benih (idea) dan mengharapkan benih itu hidup sendiri. Dan kemudiannya kita hairan mengapa benih yg ditanam, lalang pula yg tumbuh. Ya, terserah.



Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing