Jam 3 pagi aku keluar sorang diri menangkap ayam 5 beradik yang bertenggek di hujung lantai rumah sebelah bilik. 5 beradik anak-anak remaja Princess dengan warna bulu yang indah licin disumbat ke dalam sangkar kucing.
Bulan yang pucat dan lampu jalan mencerahkan pandangan.
Princess memang ibu ayam yang bijak. Tengah malam ini aku melihat Princess mengeramkan 4 ekor anak keciknya di atas outdoor aircond. Pandai dia mengatur situasi untuk menyelamatkan diri dan anak-anak.
Berdekatan sangkar kucing tadi yang berada di bawah sinar lampu jalan (dalam kawasan pagar rumah), seekor lagi ibu ayam sedang mengeramkan anak2. Ada 2 ibu lagi entah di mana.
Aku benar-benar perlukan sebuah reban yang sesuai, iaitu reban yang menempatkan ayam-ayam dewasa, ibu-ibu ayam yang bertelur dan ibu2 ayam bersama anak-anak, yang mana semua ini di bawah satu bumbung dengan partician.
Reban sedia ada sekarang sedang ditempati oleh ayam kacuk yang hanya tinggal kurang 30 ekor. Setiap malam aku menutup reban itu tak kira dalam hujan atau tidak. Mak kata aku terlampau berani. Anak-anak selalu membantah. Suami diam saja, selagi belum terjadi apa-apa.
Aku tetap akan tutup reban itu. Beberapa tahun ini semenjak aku memberi perhatian kepada pemeliharaan ayam sedia ada dan ditambah dengan penerimaan 100 ayam kacuk beberapa bulan lepas, aku sudah menyaksikan ayam dirobek tikus dan dibaham ular sawa. Termasuk Princess pertama yang hilang tiba-tiba dalam keadaan mengeramkan anak2nya. Sungguh hiba mendengar suara anak-anak ayam yang kehilangan ibu di pagi hari berkenaan.
Memang sedih .. kerana ayam betina yang membesar atas kepala (aku campak jagung atas tanah tapi dia terbang bertenggek atas kepala, dibeli di pasar tani beberapa ekor, dan yang seekor ini lebih cantik dan lebih bijak dari yang lain) hilang tanpa tanda. Mak aku syak musang punya angkara, atau ada seekor haiwan lagi yang digelar 'Manggar Perahu'.
Inilah cerita orang tua. Nenek rumah sebelah yang menyebut ungkapan ini. Wan Lang Enab. Katanya, Manggar Perahu seperti musang dan boleh melesit terbang. Aku tak pandai lagi membayangkan bagaimana rupanya dengan hanya mendengar cerita mulut. Dan haiwan ini tak ada dalam google.
Alhamdulillah berkat Basmallah 101, ayam kacuk 100 hanya alah dengan penyakit biasa. Ada yang dijual beberapa ekor, dihadiahkan kepada beberapa orang sahabat yang memerlukan, dan untuk hidangan keluarga. Aku mahu menyediakan ayam semulajadi tanpa sebarang ubat hormon pembesar. Hanya aku tak dapat lagi makanan alternatif bagi jagung, selain 5 cawan beras hancur yang kadang-kadang aku letakkan jahe untuk antibodi.
Jiran sebelah mencadangkan daun ketum ayam. Sebenarnya aku memerlukan ilmu tentang ayam. Bagaimana kita boleh menjaga ayam jika tiada ilmunya?
Bermula dengan rasa belas kasihan kepada haiwan ini dan diikuti dengan keinginan mahu menyediakan hidangan yang selamat, halal dan toyyibah untuk keluarga (especially untuk Naqib), aku terjebak dengan pemeliharaan ayam-ayam ini yang ternyata membiak dengan izin Allah Yang Maha Pemurah (iaitu ayam-ayam kampung). Dan sekarang aku benar-benar perlukan sebuah reban yang kukuh, luas dan selamat.
Semoga Allah memudahkan urusan kita semua. Aameen.

No comments:
Post a Comment