Selamat Jalan, Mizi …
Semalam,
15 Mei 2013 bersamaan 5 Rejab 1434H, Rabu.
Aku sebagaimana seminggu lepas, berada di kedai menjadi penunggu. Jam 10.52pm, tiba-tiba masuk panggilan dari
Cikgu Eja jiran sebelah. Sesuatu yang
mendukacitakan disampaikan, iaitu Mizi tersayang, kucing Hanessa yang sedang
sarat bunting kemalangan dilanggar kenderaan di hadapan rumah kami. Eja menelefon setelah dia memicit doorbell
tidak disahut.
Menurut
Eja, semasa dia akan keluar dari rumah, dia terpandang Mizi meluru ke tengah
jalan dan ada kereta akan lalu. Eja
memanggil Mizi, dan Mizi datang mendapatkannya.
Kata Eja, melihat gelagat Mizi begitu hatinya sudah terdetik merasa
kurang enak. Sekembali Eja dari luar, dilihatnya Mizi sudah terbujur kaku.
Aku
bergegas pulang ke rumah. Kusentuh jasad
Mizi yang masih suam. Matanya terbuka
kurapatkan tetapi kembali terbuka. Darah
di bahagian kepala dan meleleh dari mulutnya membasahi jalan. Kuusap perutnya yang memboyot. Airmata pun menitis laju.
Mizi
pilihan Hanessa dari empat beradik anak Cantek yang pertama. Hanessa membeli dengan wangnya sendiri rantai
loceng berwarna pink untuk Mizi. Mizi
akur didudukkan di dalam stroller, dibuat apa sahaja oleh Hanessa sehinggalah
dia tidak muat lagi duduk di situ dan stroller mainan itu patah. Dia setia melayani tuan kecilnya sampai
tertidur di stroller dengan bermacam gaya.
Dia memang menghiburkan. Suaranya
perlahan. Sangat rajin bersolek dan bulunya halus lembut.
Semenjak
Hanessa masuk madrasah, dialah yang rajin menemani aku. Seperti habit, aku kerap meninjau dari balik
tingkap cermin bilik untuk melihat Mizi.
Sekiranya dia ada, aku akan bukakan tingkap dan mengajak dia masuk. Dia sudah tahu begitu. Dia bebas tidur di atas katil atau di mana
sahaja dia suka. Aku sangat suka
memanggil namanya, dan mendengar suaranya menyahut perlahan seolah-olah
berbisik. Matanya kuning cair selalu
berbalas renungan. Dialah juga
satu-satunya yang amat jarang meniti dinding airwell, bahkan dia takut nak
melompat turun ketika pertama kali muncul di atas dinding itu. Apabila dia semakin besar, rantai locengnya
kubuka supaya dia mudah menangkap habuan seperti ibunya, Cantek di malam hari.
Malam
tadi Budi mengambil guni berisi jasad Mizi dan menanam di kawasan
rumahnya. Mulanya suamiku mahu menanam
di sekitar kedai tetapi cangkul tiada.
Kalau kucing-kucing gelandangan sebelum ini hanya dihantar ke hutan
kecil itu. Tetapi Mizi ada perbezaannya. Aku memang selalu mengingatkan suami yang
kerap keliru dengan rupa kucing-kucing ini bahawa Mizi kucing Adik.
Ya,
yang seekor ini memang kucing kesayangan Hanessa dan kesayanganku juga. Dia begitu istimewa. Perangainya sopan, manja, tidak pandai
berebut dan tidak garang. Kalau makan
dia sangat tekun dan tidak memilih.
Ketika Ayu digertak yang lain, dialah yang melayan Ayu hingga kucing
Parsi itu sangat rapat dengannya. Mungkin
kerana itu dia tidak mengikut yang lain meniti tembok kerana tidak mahu
meninggalkan Ayu yang waktu itu masih
kecil bersendirian.
Kini
Mizi telah tiada. Yang tinggal adalah
kenangan. Terbayang dia datang
berlari-lari apabila aku memanggil untuk makan.
Ternampak dia makan bersama adik-adik kecilnya. Airmata mengalir lagi. Mizi sudah berada di syurgaloka. Semoga nanti kita akan bersua semula. Selamat jalan sayang.
*Aku
sedang menyusun ayat untuk menyampaikan khabar duka ini kepada anakku, Hanessa,
pada hujung minggu ini insyaAllah.
Catatan
10.31am – 16/5/2013

1 comment:
Innalillahiwainnailaihirojiun. Takziah pd Neesa.
Post a Comment