Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, June 28, 2009

Dah hantar!


'Maafkan Kakak' dah selamat disend ke emel editor Dewan Pelajar malam tadi. Apakah nasibnya...sama-sama kita tunggu.

Thursday, June 25, 2009

Baru Terjaga ...


Alhamdulillah. Niatku untuk berpuasa hari ini semuga disampaikan Tuhan (dan diterimaNya) sehingga waktu berbuka nanti, insyaAllah. Sebaik saja kuah gulai ikan tenggiri menggelegak cantik di dalam kuali, dan sayur bendi pun dah mula empuk, aku memadamkan api dapur dan cepat-cepat melabuhkan punggung di kerusi pusing mengadap pc. Kadang-kadang seperti terpaksa berebut pulak dengan dua anak yang mc di rumah ni. Aku prefer menggunakan pc sebab lebih selesa rasanya. Kalau laptop tu, kena cari lokasi yang sesuai dan bila bateri dah habis, kena ambil wayar untuk charging.

Aku dah surf blog universiti pts. Beberapa entri terkini pun dah kubaca. Sempat juga aku mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus pada 23 Ogos nanti. Selesai mendaftar, cepat-cepat aku menghantar sms kepada suami untuk memaklumkan dia. Aku perlu melakukan ini sekarang untuk mengelakkan keterlupaan serta menunjukkan aku benar-benar bersungguh dengan apa yang aku katakan. Untuk memudahkan dia memberi jawapan, terus aku cadangkan dia membawa anak-anak ke Zoo Negara semasa aku berkursus. Kursus pun tak lama, hanya3 jam saja. Aku katakan bahawa Nessa, puteri bungsu kami teringin sangat nak ke sana. Jawapan yang aku terima sungguh, sungguh, sungguh menggembirakan. "Ok!". Supaya dia lebih prihatin, aku sarankan dia menulis tarikh kursus itu di dalam diarynya.

Waduh waduh, aku akan pergi kurus penulisan dan bertemu dengan para penulis di sana. Sungguh aku teruja. Apakah ini sebenarnya kelompok aku, yang aku terasing dari mereka sekian lama... (Tiba-tiba terlintas kisah anak itik hodoh di kepalaku).

Memang ada sesuatu yang aku perolehi dari blog Ainon. Yang paling penting, aku tiba-tiba tersedar bahawa setiap huruf yang aku tulis bakal diperhitungkan di Padang Mahsyar kelak. Ya, setiap huruf yang membentuk perkataan. Perkataan yang disusun buat menyampaikan maksud.

Apakah tujuan aku menulis dan apa yang aku tulis?
Nah, ternyata bukan calang-calang untuk menjadi penulis. Bukan main-main!
Progres ini kurasa mula melaju.

Memang, aku selalu memikirkan sampai bila aku perlu menulis di blog dan untuk apa aku berblog. Kadang-kadang aku malu selepas sesuatu yang aku tulis dipublish, kerana aku fikir entah apa yang aku tulis. Aku mahu menulis sesuatu yang lebih berat dan serius, tetapi untuk itu, bukan begini jadual hidupku, sekadar mencuri masa di celah rutin harian. Ia memerlukan pengorbanan dan disiplin yang tinggi. Selain ilham yang tiba-tiba melintas di fikiran, hening malam yang dingin dan sepi juga sangat sesuai untuk seorang penulis menyambung karyanya. Inilah masalahnya...

Aku juga mendapat info mengenai 'bahasa budak'. Karya yang menggunakan bahasa budak tidak boleh diangkat sebagai karya sastera, demikian juga Bahasa Melayu Rendah. Bagi memperbaiki mutu bahasa, seseorang amat memerlukan ilmu. Inilah tujuan kursus diadakan untuk ahlinya mengambil manfaat.

Aku kadang-kadang menjengah ke blog-blog yang aku kira penulisnya muda-muda belaka, kerana gaya tulisan mereka serupa benar dengan gaya percakapan orang muda di luar sana. Secara jujur sejujur-jujurnya, aku kurang berminat untuk meneruskan. Ada juga yang cukup rajin menulis setiap pengalaman mereka seharian (ternyata ada antaranya berpendidikan tinggi, tinggi amat) serta sangat rajin melayan komen-komen followers mereka. Namun situasi di blog yang ceria dan meriah sebegitu tidak mampu menggamit aku untuk tumpang semangkuk memberi komen atau apa saja. Ada rasa kurang enak dan terasing.

Mungkin aku berada dalam kelompok yang lain, yang kadang-kadang ringan dan ceria, humor dan ketawa, dan kadang-kadang ingin menjadi lebih matang dalam nada seorang insan yang selalu memikirkan natijah sebuah kehidupan yang penuh kesementaraan.

Baru Terjaga...

universitipts.com

ada saranan dari Kak Ju supaya melawat blog ni untuk menimba ilmu penulisan. Saya dah tengok sekelimbas lalu pagi ni, tak sabar sebenarnya. Tetapi hanya sekejap sebab rutin pagi menunggu untuk diselesaikan. TQ Kak Ju.

Tuesday, June 23, 2009

Diri, Hati dan Perasaan 1 (DHP1)


Diri : layak ke aku?
Hati : mungkin layak mungkin tidak...
Perasaan : aku khuatir la, khuatir tak dapat pikul tanggungjawab tu

Diri : tapi aku seronok jugak, tak sangka nama aku disebut-sebut
Perasaan : alah, geng kau je yang sebut nama kau tu
Hati : kadang-kadang aku rasa kau boleh, cubalah dulu
Diri : ada ke masa untuk aku mencuba dulu? Diorang tu dah banyak problem. Eh, mana sempat nak cuba-cuba.

Hati : kan Dr.Tuah kata kena ada perasaan hebat barulah jadi hebat.
Diri : alah, Dr. Tuah tu...menyampah aku tengok stail dia bercakap.
Hati : Tak baik...dia bagi ilmu. Tak kisahlah cara dia tu.
Perasaan: Ntah kau ni, aku tak rasa apa-apa pun. Ok je.
Diri : Eh, kau ni dah tak berfungsi ke? Nasib baik aku dah lama tak tengok dia kat tv, dengar kat radio lagi tak pernah.
Hati : Dah...dah...lari tajuk perbincangan pulak.

Diri : Hmm...aku tak naklah jadi pengerusi ke, ketua pusat ke...pusat aku pun aku jarang tengok, lagilah nak jadi ketua pusat....
Perasaan : Ha ha ha, amenda la kau ni, ke situ pulak.
Hati : Ok, selesai. Tak payah beratkan kepala hotak. Fikir sikit lagi alasan yang sesuai untuk tolak dengan baik.
Diri : Oo tu sonang bai tu. Aku memang dah nak quit. Maleh la nak g meeting tiap-tiap minggu.
Perasaan : Ceewahhh, meeting konon. Perasan je.
Diri : Memang la tu meeting. Kalau Bahasa Melayu, perjumpaan.
Hati : Dah, aku minta diri dulu. Ada benda lain lebih penting aku nak handle. Kalau aku rilex je, rosak satu negara.

bersambung...

Sebenarnya...............

Sebenarnya aku nak pindahkan cerpen 'maafkan kakak' ke blog supaya senang aku nak teruskan membaikinya. Tapi di luar dugaan pulak, aku 'tertulis' sesuatu di blog ni. Memang ada banyak nak tulis, pengalaman berurusan dengan klinik dan hospital kerajaan, pengalaman tak diduga di klinik swasta, keseronokan chatting dengan anak buah yang jauh, tertunggu-tunggu peluang chat dengan anak buah di Senai (sibuk kerja kot, tak sempat nak menyembang), ada banyak lagi tapi dah kabur dalam kepala.

Oh ya, tak disangka-sangka jugak 'bapak' di rumah ni dalam diam-diam dah buat blog dia sendiri. Aku tak sempat nak buatkan blog dia, tapi hmmm.....pandaipun buat. So, aku sarankan kat dia agar tulis menu Mee Bandung tu kat blognya. Jadi, sapa-sapa yang dah terliur tu tunggulah menu tu ditulis dan dipaparkan kat blog Meon. Hasmeon.blogspot.com. Rasanya memang best, memang ori. Tapi tak tau la bila dia nak tulis..........harap bersabar ya.

Apakah Satu Kebetulan..??

Pagi-pagi lagi aku dah keluarkan tulang lembu beku dari peti ais. Cadangnya nak buat sup tulang. Nampaknya sepanjang minggu ni menu keluarga ialah yang dimasak rebus atau bakar, bukan goreng-menggoreng atau tumis-menumis. Kata orang tua-tua kalau kena chicken pox atau cacar tak boleh menggoreng dalam rumah. Kemudian aku teringat 'janji-janji manisku' dengan Su, nak buat kelas aktiviti di nurseri, dah dimaklumkan pun kepada ibubapa, tapi entahlah, kebetulan atau apa....semenjak dia take over nurseri, macam-macam hal berentetan terjadi dalam keluargaku. Perkara yang menghalang aku menghadirkan diri ke nurseri untuk memenuhkan janji. Aku scan buku bergambar kanak-kanak dan buat salinan beberapa keping. Dalam hati berkira-kira nak ke kedai membeli sup bunjut dan saleri, jadi bolehlah singgah sekejap di nurseri menghantar salinan gambar untuk diwarnakan oleh Iman, Hakim, Dina dan beberapa orang kanak-kanak lagi di sana. Lin yang datang bekerja part time boleh tolong handle aktiviti ni, fikirku. Berbasa-basi dengan Su, aku katakan aku belum dapat lagi nak menjalankan aktiviti dengan budak-budak. Dia hanya ketawa, memang orangnya mudah ketawa, sesuai benarlah dengan pekerjaannya yang bergelumang dengan kanak-kanak.

Memang, tak lama selepas persetujuan dibuat untuk dia mengambil alih PJAC, kami sekeluarga mendapat sakit mata, lepas seorang, seorang kena. Kesannya sampai sekarang mata kananku agak kabur. Ain, orang yang terakhir kena jangkitan sakit mata. Belumpun mata Ain baik betul, Nessa pulak kena kudis atau 'cengkering', istilah yang suamiku bagi, entah dari mana dia dapat istilah tu, ramai orang yang bertanya dua kali bila mendengar aku menyebutnya. Ia bukan chicken pox, rupa kudis tu berbeza dengan kudis chicken pox. Kami hanya memberinya minum air kelapa, kemudian aku menyapu badannya dengan gel Anion. Kadang-kadang aku sapu dengan minyak Habbatus Sauda, setelah aku terpaksa bercerita kebaikan minyak ni ala-ala penjual ubat gitu pada budak seorang ni. Macam biasalah, dia bersikap anti-ubat hatta kepada air kelapa. Alhamdulillah, kudisnya tak melarat, hanya di beberapa tempat saja.

Sebaik saja Nessa sembuh, Ain pulak sakit perut sampai ditahan di wad. Hari ni dia ke sekolah tapi tak lama kemudian guru kelasnya menelefon, katanya Ain muntah dan nak balik. Kata Ain, macam ada benda meletup-letup di perutnya. Apakah itu???? Memang memusykilkan hatiku.

Semasa Ain di wad, Hidayat di rumah demam. Pagi semalam dia tak larat nak ke sekolah. Akupun macam biasa, semenjak ada testimoni terdekat jiran-jiran yang guna gel Anion untuk mengurangkan panas badan, mulalah nak menyapu gel ke badan Hidayat. Eh, apa ni...? Buka baju cepat! Oh, rupa-rupanya dah kena chicken pox. Cepat sungguh melarat ke serata badan. Bibirnya pun kena.Tubir mata pun kena. Kesiannya. Badannya pun agak panas. Aku bawa dia ke klinik swasta dan dia diberikan 3 botol ubat makan, satu ubat sapu dan satu ubat mata, RM45.
Okey, semalam suamiku nak hantar Naqib balik madrasah tapi dia keberatan, nak balik petang minta aku hantar. Tapi lama pulak di klinik, jadi kensel la nak hantar. Pagi ni dia demam pulak. Jadi...tak jadi la balik.

Itulah kisahnya keluarga kami awal minggu ni. Malam tadi suamiku telefon mak dia, bagitau keadaan Hidayat. Mak mertuaku kata, jangan biarkan air bertakung, keringkan. Hmmm, memang ada air bertakung, apa lagi kalau tak kolam ikan Meon yang belum siap tu! Aku pun jera-jera dia supaya bersihkan kolam tu cepat. Nak tau tak, masa nak bersihkan kolam tu, tiba-tiba pinggang dia kena 'terajang' dengan sesuatu. Apa bendanya, aku tak nampak. Agaknya mungkin ada 'orang' dah berkampung kat kolam tu. Ish tak boleh jadi ni. Sekarang sama ada keringkan kolam tu atau...

Sunday, June 21, 2009

Mee Bandung & Hari Bapa





Hari ni Hari Bapa. So, Selamat Hari Bapa kepada semua bapa, terutama suami saya, bapa mertua saya dan bapa angkat baru di kampung.
Hari ni, bapa di rumah ni teringin pulak nak masak Mee Bandung. Wow! sodap tu.
Puncanya saya buat-buat terliur dengan cerita dia makan Mee Bandung semasa balik ke Tangkak tempohari. Dia pun berjanji nak buat untuk makan sekeluarga. (Pssst, actually memang terliur, dah lama tak pekena Mee Bandung ori).
So, tadi kami ke kedai beli bahan yang perlu untuk menu ni. Kat kedai, pergi pukul 4ptg, sebab balik dari kenduri cukur jambul baby seorang kawan, banyak la barang yang ngam-ngam je. Dapat la kerang ngam sekilo, sayur sawi tinggal seikat (mujur masih segar), tauhu (dah agak keras), cili besar, limau nipis, udang kering (mahal, sepeket RM10), dua bungkus mee kuning cap Khatijah (memang buatan Melayu, saya tanya kat penjual tu) dan secekak daun sup. Saya tolong blender cili kering. Daging dah siap rebus untuk masak apa-apa dah standby dalam peti ais. Selebihnya chef Meon yang masak. Tapi saya tak bolehlah buat tak tau, mentang-mentang dia sudi ke dapur petang ni, so saya tunjuk-tunjuk muka jugak la. Chef buat ala-ala ala-cart. Apa yang dia dah buat sebenarnya ialah pes Mee Bandung. Jadi lepas ni boleh la kami makan Mee Bandung bila-bila kami nak, selagi pes tu masih ada. Sedang kuali berasap, ada member dia telefon, so dia pun bagi tau la dia sedang masak. Bila member perli, sepatutnya dia dapat layanan istimewa hari ni, dia kata, "tak pa, aku bapak mithali..."
"Mintak la sikit"
"Boleh..."
So, menjelang Maghrib, Naqib naik motor menghantar sebekas Mee Bandung ke rumah member tu. Chef buat lagi 3 bekas untuk member-member rapat dia yang lain termasuklah jiran sebumbung kami. ALhamdulillah, dua bungkus mee kuning cukup untuk sekeluarga dan dapat pula jamahkan kawan-kawan.
Sedang membersihkan dapur, tiba-tiba saya dapat panggilan telefon dari TOBA (The Only Brother Ariff)yang transit di Bangi. Selamat Hari Bapa, TOBA!! TOBA tanya tentang Ain dan sarankan saya bagi anak-anak Nutriblend. Saya pelawa TOBA ke rumah, makan Mee Bandung, tapi dia suruh saya hantar ke sana. Tak dapek la jawab eh... Anyway, thanks a lot di atas perhatian yang diberikan. Lepas ni saya nak surf tentang Nutriblend. Ada testimoni terdekat? Boleh la share.
Oh ya, Selamat Hari Bapa jugak kepada abang-abang ipar dan adik ipar. Semuga menjadi bapa yang terbaik.

Friday, June 19, 2009

Minggu ini

macam2 hal minggu ni. orang pasang gril membuatkan rumah saya berdebu sikit. semua tingkap dan pintu ada gril tapi dia terlupa nak buat gril bilik anak dara sunti saya. dah tu gril tak undercoat dulu, jadi catnya tak cantik, meleleh2. langsir terpaksa diturunkan dari tingkap supaya tak terkena cat touch-op pada gril. so saya ambil kesempatan membasuh langsir, semua masuk mesin. bila sidai, langsir nipis untuk hari siang dah koyak-rabak, aduh!
kemudian, anak dara sunti sakit perut. dah check darah, ada jangkitan di usus. kemungkinan apendiks. diberi surat rujukan ke HTAR, tapi kami tangguhkan, ada sebab. nampak tak heavy, cuma sesekali dia kesakitan. dah dua hari tak sekolah. dia dah bagitau kawan2 yang dia akan masuk wad. hujung minggu ni kalau tak ada perubahan, kami akan hantar dia ke hosp. kami agak dia akan di op macam along dan abahnya.
saya dah bersihkan rumput yang subur di belakang dapur. setiap kali menyidai dan mengangkat baju di ampaian, saya ambil sedikit masa mencangkul rumput karpet yang tebal tu. penat dan keluar peluh. sakit pulak di pinggang kiri. jangan buah pinggang yang affected, udahlah. risau gak sebab time student dulu pernah masuk wad bila satu badan bengkak, nephrotic syndrom, buah pinggang ada masalah.
saya dapat call dari kedai cermin mata, spek dah siap. harganya RM520 lepas diskaun. abang bising sebab mahal sangat. multicoated dan multivision. saya ajak dia datang kedai hari tu dia tak mahu. lepas tu bising pulak...camano?? rabun dekat dah meningkat, rabun jauh kurang pulak.
petang semalam dapat call dari kawan sekolah, Hisyam dari Langkawi, bagitau kawan sekolah lagi sorang, Kamarudin, masuk ICU sebab heart attack. ditahan di hospital Alor Setar. saya call dia, wish sihat dan dapat bekerja semula macam biasa. belum 40 dah heart attack....walhal aktif sukan.
abang beli durian banyak. kami agih2kan pada jiran dan kawan. malam tadi kami hantar ke madrasah along tanpa beritahu dia, surprise!! dia sengih bukan main lebar. budak2 tahfiz ramai2 angkat durian dari bonet kereta. malam ni kentut durian la depa.

Tuesday, June 16, 2009

Abah

Saya memanggilnya abah. Saya satu-satunya anak abah. Sejak kecil saya sangat dimanjakannya. Tak pernah dimarahi olehnya. Apa saja kehendak saya ditunaikannya. Abah selalu membawa saya naik motor dan berhenti di tepi bukit untuk menikmati pemandangan Gunung Ledang yang indah dari kejauhan. Abah bawa saya ke puncak Gunung Ledang, moment yang sangat istimewa. Di puncak gunung, waktu seperti terhenti, hening dan kabus putih mengelilingi kami.
Seumur hidup, hanya sekali abah memukul saya, menggunakan suratkhabar yang digulung. Saya menangis bengkak mata, bukan kerana sakit, tapi terlalu hiba dimarah oleh abah yang tak pernah marah.
Gambar abah memakai apron sangat istimewa. Waktu itu saya sedang kelelahan mengandungkan Ain. Abah datang sendirian menjenguk keadaan saya di Brunei. Abah tolong masak dan angkatkan baju dari ampaian, cepat2 saya snap gambar abah.
Gambar abah yang terakhir sempat saya rakamkan semasa di HUKM, ketika abah diziarahi oleh adik sepupunya, Dato' Hj Abu Mansur Ali. Ramai yang datang menjenguk seolah-olah masing2 mendapat isyarat untuk pertemuan terakhir.
Abah kata saya tak perlu datang selalu sebab tak mahu menyusahkan saya. Tapi di akhir hayatnya, kata mak, abah selalu tertanya2 pada mak kenapa saya tak datang menziarahinya. Abah kata, dia terpandang2kan kelibat saya dan anak2, terdengar2 suara saya. Sampai saat ini, saya tak dapat menghilangkan rasa ralat memikirkan kenapa saya tak jenguk abah setiap hari. Ketika abah menghembuskan nafas yang terakhir di katil hospital, suami saya yang sedang tidur terbangun dan menerpa haruman minyak atar ke hidungnya. Agaknya roh abah sedang melihat keadaan kami.
Saya menemani jenazah abah sepanjang malam. Tak berhenti saya membacakan ayat2 suci untuk abah. Menjelang Subuh barulah saya merebahkan badan sebentar. Kepiluan menyelubungi hati mengenangkan abah telah meninggalkan saya buat selama-lamanya. Darah nipis keluar meleleh dari hujung mulut abah. Pada saat jenazah abah hendak dihantar ke pusara, turun rintik hujan seolah2 alam sama menangis. Sekembali saya dari pusara, ketika saya bersendirian memasak di dapur, tiba-tiba muncul bau harum minyak atar kegemaran abah sekelimbas lalu, waktu itu saya rasakan seolah-olah abah sedang berada bersama-sama saya.
Terlalu banyak kenangan saya dalam limpahan kasih sayang abah. Semoga abah tenang di alam barzah, berbahagia di dalam naungan rahmat dan cinta Illahi. Abah, seorang anak yatim yang suka menyendiri, sukar diselami rahsia hatinya, walaupun ramai yang menyayangi.
Pada satu pagi Jumaat ketika saya melangkah pulang dari pusara abah, tiba-tiba jatuh setitis air di kaki. Baunya sungguh harum seperti wangian atar kegemaran abah. Buat sekian kalinya, saya yakin dan penuh harapan ke hadrat Illahi agar abah ditempatkan di kalangan ahli syurga. Amin.

Kenangan bersama ayahanda Hassan

Sempena Hari Bapa, saya fikir satu kesempatan yang baik untuk memasukkan gambar-gambar ayahanda saya di blog ini.
Ayahanda Hassan, bapa kandung saya. Saya hanya berpeluang bergaul mesra dengannya apabila saya di'transit'kan oleh mak Juriah yang membesarkan saya di Batu Kikir setiap kali cuti sekolah. Cuti saya selalunya lebih lama dari cuti orang lain. Maknanya saya selalulah ponteng sekolah. Antara semua adik-beradik, saya fikir saya dan adik bongsu, Hasni, agak lebih mesra dengan ayahanda. Ayahanda selalu memakai singlet tanpa lengan menampakkan lebihan daging seperti buah kismis di belikatnya yang selalu menjadi mangsa tangan saya memicit dan menggentelnya apabila ayahanda berbaring, mujur tak putus. Kami pernah menonton wayang beramai2 tanpa saya tahu hujung pangkal ceritanya sebab terlelap di dalam panggung. Sesekali ayahanda bergurau, dia menyuruh saya berposing untuk bergambar. Setelah puas bergaya, barulah saya tahu kamera yang digunakan adalah kamera antik yang sudah tidak berfungsi. Kadang-kadang saya, Kak Ju dan Hasni mengikutnya pergi membaiki tv di rumah orang. Ayahanda kurang bercakap, jadi biasanya kami diam saja di sepanjang perjalanan.
Menjelang remaja, satu peristiwa membuatkan saya menangis sendirian, apabila saya terkena renjatan elektrik semasa memegang pintu peti ais, di hadapan mata ayahanda. Malangnya dia sedang berbual dengan seseorang, dan dia hanya memandang. Saya yang terkejut akibat renjatan menahan airmata dan melepaskan perasaan di dalam bilik. Perasaan saya bercampur-baur, tapi simpan saja di dalam hati.
Semakin dewasa, saya kian jauh dari ayahanda. Saya semakin jarang balik ke kampung. Sehinggalah hari pernikahan saya di Masjid Tangkak, ayahanda yang menikahkan. Alhamdulillah, akhirnya saya disatukan dengan pilihan hati. Namun, untuk mecapainya, seribu rasa bersatu, biarlah menjadi rahsia.
Gambar ayahanda mencukur rambut Naqib tu, agak istimewa. Rambut Naqib memang panjang tegak, disimpan semata-mata untuk dicukur oleh ayahanda. Midwife dan doktor2 di Jerudung Park Medical Centre akan memandang Naqib dua kali kerana rambutnya yang tegak, setiap kali kami pergi membuat check-up. Selepas majlis akikah di Batu Anam, akhirnya Naqib dibotakkan oleh ayahanda di Batu Kikir.
Saya doakan ayahanda sentiasa di dalam limpahan rahmat Illahi., bernaung di taman-taman syurga, yang tak sebanding sama sekali dengan dunia fana ini. Menatap gambar-gambar, umpama ayahanda masih ada lagi, akan terus terpateri di hati.

Belasungkawa : Ayahanda Hassan bin Karim

Saturday, June 13, 2009

Ayahanda Hassan bin Karim


Inilah wajah ayahanda saya, nama beliau Hassan bin Karim. Beliau kembali ke rahmatullah ketika saya sedang dalam persiapan pulang ke tanahair, hanya dua bulan lagi. Saya dimaklumkan beliau menderita sakit kuning. Saat2 terakhir beliau berada di hospital Kuala Pilah ditemani oleh bonda Ramlah. Ayahanda memberitahu bonda, ada orang berjubah putih di tingkap sedang memerhatikannya, walhal tingkap yang dimaksudkan itu tidak wujud. Itulah sekelumit kisah arwah ayahanda yang saya tahu. Semoga roh ayahanda dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh, bernaung di taman-taman syurgaNya. Amin.

kami dah balik!!

hari ini saya balik dari kampung. walaupun mak tahankan supaya balik esok atau Isnin. Eh eh mak lupa ke budak2 nak sekolah..Sebenarnya dia belum puas nak bergaul dengan anak cucu. Walaupun mencerabih marahkan budak2 yang buat kerenah, tapi rasa rindu belum hilang. Kami pun sama tapi keadaan tidak mengizinkan kami berlama2 di kampung. Pagi tadi mak suruh saya petik pucuk gelugor untuk di bawa balik. Mak bagitau tempatnya. Saya pun dengan yakin menuju ke situ tapi sayangnya puas saya mendongak ke atas mencari daun gelugor yang saya kenal, tak nampak pun. Rupa2nya uwan memerhatikan gelagat saya dari tingkap biliknya. Saya terpandang dia memerhatikan saya sambil mulutnya becok, tak pasti buah butirnya sebab bunyi bising daripada mesin pembancuh simen di rumah Uwan Alang Enab menganggu pendengaran. Saya pun menuju ke arah uwan, nak dapatkan kepastian pokok asam gelugor. Ohh, rupa2nya dah tinggal tunggul dan baru tumbuh pucuk muda, rendah saja pokoknya. Tak lama uwan pun datang menyusul dengan bertongkat nak tolong petikkan pucuk gelugor.
Saya mengambil jalan ke Istana untuk pulang. Saya memandu perlahan saja sambil memerhatikan suasana kampung yang aman tenteram dan masih tradisional keadaannya. Pemandangan di Istana sungguh damai dengan latar belakang pergunungan yang biru. Hujan turun rintik2.
Kami singgah di Ulu Bendul sekejap saja, khuatir gulai lemak putih durian basi pulak. Cukup satu jam saya beredar dari tepi kolam mandi setelah memberi isyarat kepada anak2 untuk bergerak balik. Mereka menuju ke kereta dengan muka semacam, sebab belum puas mandi, nak tunggu kecut mecut baru nak balik agaknya...
Akhirnya kami sampai ke rumah jam 3 petang dengan selamat, alhamdulillah. Saya bertarung dengan perasaan mengantuk. Beberapa tahun kebelakangan ini saya selalu mengantuk apabila memandu. Budak2 bersantai dengan enaknya walaupun kereta agak sempit, sempatla saya snap gambar ketika berhenti di traffic light.
Demikianlah sedikit cerita balik kampung. Bila lagi nak balik ni, tanya mak. Tak taulah, tunggu ada kenduri lagi kot...tak lama lagi insyaAllah, bila abah diisytiharkan menjadi Dato' Semaharaja Lembaga Suku Mungkal.

balik kampung kacau penganan wajik

Thursday, June 11, 2009

esok nak balik kg


dah pukul 1 pagi. saya lum dapat tido lagi. bukan tak nak tido bahkan dah peringatkan anak2 paling lewat jam 1030 mesti dah masuk tido. tapi tak dapat nak tido awal. sebab nak kemas baju nak bawak balik kg, maka kena la lipat baju yang setimbun kat atas katil mak kat bilik belakang tu. risau jugak kalau tetiba mak muncul menyaksikan biliknya penuh kain baju (tapi tak mungkin sebab esok nak jumpa mak kat kg). saya ajak Ain tolong lipat. alah, budak tu main2 je, pakaian yang dilipat tak diterbalikkan semula dan lipat ala kadar. tapi tak dapat nak marah2 sebab gelak tengok cerita Shriek kat tv2. Mood baik jangan dikacau! jam 11 abang balik dari main badminton dengan Naqib dan Hidayat, main kat dewan dengan geng. Abang tunjuk kelangkang seluar koyak, lagi! Naqib pun tunjuk seluar koyak kelangkang bawak balik dari madrasah. Saya kata arwah abah Manaf dulu jahit seluar sendiri, Rasulullah pun menjahit. Kata2 sinis saya tak bersambut. Masing2 leka tengok tv.
Lepas lipat, asing2kan baju, dah jam 1230. Susun baju di bilik masing2. Keluar berita pelakon Syukri Hasyim kembali ke rahmatullah siang tadi. Ooo ni la berita yang saya dengar hujungnya saja, tak tau siapa orangnya, tengahari tadi., masa sibuk2 di dapur. Saya masuk bilik Ain, terpandang 4 helai kemeja abang letak atas katil. Dia nak pakai sepanjang ketiadaan saya nanti. Kesian pulak, kalau nak mendajal boleh, saya buat2 lupa je. Dia akan pilih baju yang paling kurang kedut, atau pakai t-shirt je, atau gosok lebih kurang kerana terpaksa. Pelik, masa bujang2 dulu boleh pulak gosok baju sendiri, sekarang tak boleh. Saya agak mesti dia gosok baju takkan hari2 hantar dobi. Hai, lelaki...lelaki...Abang sanggup nampak sempoi lepas tu bila saya komen dia kata bini malas nak buat camana. Okey stop kisah ni. Saya bukan nak bukak cerita pasal suami saya pun. Tak habis berjela2 karang.
Now dah hampir 130 pagi. Hanya Naqib membaca lagi sambil menunggu saya lelap. Budak ni mentang2 balik sesekali, tiap kali dia balik mesti nak tidur kat bilik saya sebab ada aircond. Hidayat tumpang semangkuk. Apa akal Ain dan Nessa dah berdengkur2 kat bilik mereka, kalau tak...penuh lagi bilik saya. Saya pulak terpaksa merempat kat mana2 bilik lain. Kalau hari2 biasa tak merasa la yang 3 beradik lagi tu. Tapi saya akan dikejutkan beberapa kali oleh Nessa dan Hidayat, kadang2 Ain, untuk temankan mereka tidur. Maka saya akan berpindah bilik beberapa kali dalam satu malam. Akhirnya bangun pagi saya rasa pening dan mamai sebab tidur tak berkualiti.
Masa menggosok baju tadi rasanya macam2 saya nak tulis kat blog ni. Ada isunya, tapi la ni mata saya pun dah berpinar walaupun rasa mengantuk dah hilang. Saya perlu merehatkan diri. Siang tadi saya dah mewar2kan pada mak di kg, pada Rina librarian (masa pulang dan pinjam novel tadi), pada budak2 ni juga, bahawa esok pagi2 embun masih menitis, sesudah Subuh, kami akan bergerak balik kg. Saya drive. La ni saya selalu mengantuk esp kalau bawak kereta otomatik macam Kancil mak tu. Kalau pagi2 tu fresh dan tak silau dek matahari. So, esok pagi balik kg! Yahoo, nak kacau dodol ke wajik, mak?? Mak kata durian dah mula gugur, wah best la kalau dapat durian fresh baru gugur. Jangan jeles, bang.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing