Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, October 13, 2011

sesuap makanan sejambak harapan

sumber : emel (terima kasih kepada kak Ju).


by
Help KAFA Integrasi Al-Insaniah                                                                                                          Ini Izam. Sebabnya saya tak letak nama penuh dan terpaksa memozekkan wajahnya adalah kerana janji saya pada bapanya (kejap lagi saya terangkan).
   
Umurnya 10 tahun. Beberapa bulan lalu, dia ditangkap bersama-sama abangnya yg berumur 12 tahun dan sEorang lagi kawan -mencuri meja sekolah. Meja tu bahagian tepinya diperkukuhkan dgn besi. Bahagian besi tulah yg dijual kepada pembeli besi buruk utk RM3.
Kenapa? Sebab nak beli beras.
“Kami lapar sgt,” kata mereka.
“Saya tak sampai hati nak hukum diorang bila dpt tangkap,” kata Ustazah Norazainah. Beliau telah mengajar di KAFA Integrasi Al-Insaniah  sejak  2004. Malahan dia dan seorang guru lain yang bertanggungjawab menubuhkan sekolah itu di tgh2 kawasan PPRT  (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) Lembah Subang.
“Sekolah kami ni mmg selalu kena pecah masuk, barang2 dirosakkan dan dicuri. Mmg frust betul sbb kami kumpul duit utk kemudahan sekolah ni dgn titik peluh sendiri. Bila dpt tahu yg pelajar kami sendiri yg mencuri, mmg sedih. Bila tahu kenapa, Tuhan sajalah yg tahu perasaan ni.”  
Dari nak dihukum akhirnya ditolong. Ustazah Zainah meminta Izam dan abangnya membawa beliau ke rumah mereka.
Runtun hatinya melihat keadaan tempat tinggal mereka. Izam punyai lima adik beradik. Mereka tinggal di sebuah unit flat yg keadaannya amat daif bersama2 bapa mereka, yg tiada di rumah ketika lawatan itu. Si bapa sibuk mencari rezeki di tepian Jalan Masjid India, menjual alat permainan.
Ibu mereka masih hidup, namun telah lama meninggalkan mereka. Tak sanggup menanggung keadaan hidup sedemikian, begitulah yg diceritakan kepada Ustazah Zainah.
Ketika beliau masuk, ternampak adik-beradik yg lain sedang duduk di atas lantai, sambil menjamah nasi kosong di dalam talam. Yg bongsu umurnya empat tahun. Badannya kelihatan lesu, lagaknya pasif, menurut Ustazah Zainah. Mungkin kerana terlalu lapar, mungkin kerana kurang nutrisi, mungkin kerana penyakit yg tidak kita ketahui.
Guru Besar sekolah, Ustazah Hawa, menceritakan pada saya tentang usaha mereka meminta kebenaran si bapa untuk menjaga dan membela nasib yg bongsu dan si kakak yang umurnya belasan tahun, namun tidak diizinkan. Mereka mati akal, tak tau mcm mana nak sampaikan pertolongan.
Izam dan abangnya tiada surat beranak. Jadi, tak dapat pergi sekolah kebangsaan. Kakaknya yang berusia 13 tahun dpt ke sekolah menengah, namun terpaksa juga menjaga yg bongsu ketika bapanya tiada di rumah. Tapi selalunya, Izam yg menjaga adik-adiknya ketika yang lain ke sekolah dan bapanya bekerja.
Pertama kali kami bertemu, Izam  senyap dan sugul. Baju sekolahnya comot dan berdaki. Katanya dia memakai baju yg sama setiap hari. Baju itu dibasuh di hujung minggu.
Kami bersembang. Katanya, matapelajaran kegemarannya Jawi. Saya minta dia tuliskan namanya di atas sekeping kertas. Dia dapat menulis (dalam tulisan Rumi). Ini sebenarnya mengkagumkan kerana dia tak pernah ke sekolah.
Saya tanya apa yang dimakannya ketika sarapan pagi tadi.
Tak makan, jawabnya.
Sebelum ke KAFA?
Tak makan.
Saya terdiam, sambil memandang pinggan berisi goreng pisang di hadapan kami.
“Jadi.. ni  baru Izam nak makan?”
Dia mengangguk.
Kata Izam, kadang-kadang dia tak lapar, sbb dah biasa.
Ya Allah. Saya tak dpt bayangkan apa yg dilalui anak ini setiap hari.
Saya tanya, Izam nak ke sekolah? Sekolah yg saya maksudkan ialah sekolah kebangsaan.
Wajah Izam serta-merta berubah. Ceria. Tersenyum. Senyuman yg penuh harapan.
Ustazah Zainah bertanyakan saya sama ada nak melawat rumah Izam. Saya setuju.
Sesampainya di sana, kami dapati bapanya tiada di rumah. Beliau di surau, menunaikan solat Asar berjemaah. Namun anak perempuannya telah diarah agar tidak membenarkan sesiapa masuk ke rumah, melainkan keluarga. Tapi, kalau saya nak masuk pun, mmg takda masalah. Tombol pintunya hilang. Yang ada hanyalah sehelai kain buruk yg digunakan utk menutup lubang tombol dan menyelak pintu.  
Kami menghormati permintaan si bapa dan menunggu di luar. Bila beliau tiba, dia meminta maaf kerana tidak dpt membenarkan kami masuk.  
“Saya buat begini bukanlah sebab saya sombong, tapi Cik kan dah tahu keadaan rumah saya, sgt daif. Saya malu nak bagi masuk. Bimbang boleh dijadikan fitnah,” katanya.  
Beliau kurang selesa dgn kehadiran saya. Katanya sungguh pun mereka hidup dalam kemiskinan tegar, mereka bukannya pengemis. Beliau tak mahu media dtg ke rumah, merakamkan kedaifan hidup mereka dengan kamera video, menceritakan pada org ramai tentang kesedihan mereka. Beliau jengkel dengan  mereka yang meratapi nasib di dalam TV, dengan air mata bercucuran, ditatap umum.  
Saya berjanji tidak akan mengambil gambarnya dan tempat tinggalnya, atau mendedahkan identitinya di media. Namun saya tetap akan menceritakan kisah mereka, cuma bukan dgn cara yg tidak dikehendakinya. Saya di situ bukannya atas dasar mencari berita, tapi atas dasar kemanusiaan, kerana saya juga seorang ibu, punyai naluri kasih sayang pada anak2.  
Saya dan Ustazah Zainah berusaha memujuknya membenarkan sekolah itu menjaga si bongsu dan anak perempuannya di siang hari, agar beliau mudah mencari rezeki atau mencari punca pendapatan yg lebih baik. Namun beliau kurang yakin dgn cadangan kami. Katanya, kalau dia ke kerja awal pagi, siapa yg akan menyiapkan anak2? Memasak utk mereka?  
Cadangan Ustazah Zainah itu sebenarnya amatlah praktikal. Si bongsu akan dimasukkan ke program taska mereka pada waktu pagi, dan Ustazah sendiri akan menjaganya di sekolah selepas habis taska, sehinggalah si kakak atau bapa balik. Namun cadangan itu tetap ditolak.
Si bapa seolah2 gembira menerima kemiskinan ini sebagai taqdir yg akan merapatkan lagi hubungannya dengan Rasulullah s.a.w. Saya berkata kepadanya bahawa ramai para Sahabat alaihissalam yang juga kaya, dan mereka juga amat rapat dan dicintai Rasulullah s.a.w.  
Sebelum kita menuduh beliau menggunakan agama sebagai alasan kemiskinannya, harus juga kita ingat yg beliau seorang lelaki. Ego lelaki itu cukup kuat utk membuatkan beliau menafikan kesempitan hidupnya.  
Saya mmg kagum dgn dedikasinya menjaga anak2 setelah ditinggalkan isteri. Tidak mudah dilakukan, tidak ramai sanggup melakukan. Namun realitinya adalah budak2 itu tetap lapar, dan telah pun mencuri akibat kelaparan. Mereka perlukan pendidikan utk membebaskan diri dari cengkaman kemiskinan. Si bapa itu sendiri mengaku, Izam sering menyuarakan keinginannya utk ke sekolah, dan mengadu dirinya seperti diperlekehkan rakan2nya yg seronok ke sekolah ketika dia terperuk di rumah.    
Kami menawarkan pertolongan mendapatkan surat beranak utk anak2 itu, tapi balasnya “Buat apa? Dia sudah darjah 3..tidak ketinggalankah dia?”
Tidak, kata kami. Kami terus memujuk. Saya kata anaknya bijak, sgt berminat belajar. Sebenarnya, ramai pelajar sekolah itu yg sememangnya bijak walaupun dikongkong kemiskinan dan kelaparan. Cuma, mereka tak berpeluang mendapat kehidupan lebih baik.  
Bapa Izam berkata beliau malu anak2 nya ke sekolah KAFA itu tanpa membayar yuran, kerana beliau tak mampu. Ustazah Zainah kata takpa, asalkan mereka dtg.  
“Takkanlah saya tak bagi budak2 ni dtg..ini ilmu akhirat. Tanggungjawab saya nak mendidik mereka, dtg sajalah, takpe,” rayunya.  
Di sini saya nak terus terang mengatakan bahawa walaupun ibu kepada budak2 ni org Malaysia, bapanya ini kemungkinan warga Indonesia. Pelatnya sukar dilindung. Terdahulu, saya pernah ditegur seseorang yg tak puas hati saya menolong pelajar miskin, yg bukan semuanya dari org Malaysia. Saya rasa komen mcm ni tak perlu. Bukankah dia tetap manusia? Bukankah budak2 ni, tetap budak2? Mereka berhak mendapatkan hak asasi seperti makanan, tempat tinggal dan pendidikan. Dan kita semua sesama Islam. Yg membezakan antara kita, taqwa. Itu saja yg perlu kita ingat.
Guru2 di KAFA Al-Insaniah ni bukan saja telah melaksanakan tanggungjawab mereka malah lebih dari itu. JAIS hanya mampu membayar guru2 ini bagi satu sesi pengajaran, sedangkan ada guru, spt Ustazah Zainah, yg mengajar dua sesi. Ada guru yg langsung tak dpt dibayar.
JAIS mengharapkan perbelanjaan sekolah dpt ditampung oleh yuran sekolah. Ya, secara teorinya takda masalah, kerana kebanyakan sekolah KAFA di Lembang Klang ni lokasinya di kawasan perumahan mereka yg berpendapatan sederhana atau agak berada. Jadi ramai yg mampu yuran RM20 sebulan.
Namun KAFA Al-Insaniah dibina di tgh2 kawasan PPRT. Kebanyakan keluarga yg tinggal di sini masing2 penerima zakat. Hampir separuh kanak2 yg ke sekolah itu juga dari keluarga penerima zakat, jadi tau2 sajalah tahap keperitan hidup mereka.
“Bagaimanalah kami sampai hati nak mintak budak2 ni yuran sekolah?” kata Ustazah Hawa. “Masa mula2 tu, kerana ramai yg tak bayar, kami mintak, tulis surat kat ibubapa. Lepastu, ramai yg tak dtg sekolah. Kami ingat takpalah, mari balik, tak payah bayar, asalkan dpt teruskan belajar.”  
Guru2 ini sanggup menerima potongan gaji semata2 agar sekolah ini terus beroperasi. Gaji mereka kira2 RM1,200. Itu pun baru2 ini dinaikkan kerajaan. Sebelum ini, RM1,000 ke bawah. Lagi menambahkan asam ke luka,  baru2 ini sekolah itu dipecah masuk. Habis yuran, komputer dgn data pelajar dan wang sumbangan dari jualan amal disapu. Dapur kantin juga dipecah masuk dan makanan dicuri. Penutup longkang dan pelbagai lagi barangan besi dan logam dicuri, membahayakan anak2 yg bermain di waktu rehat. Pagar dipotong, siling dipecahkan, memudahkan lagi pencuri keluar masuk.  Guru2 ini mati kutu bagaimana nak terus beroperasi bila berhadapan dgn cabaran sebegini besar.  
Setiap ringgit yg disumbang ke KAFA Integrasi Al-Insaniah dapat megenyangkan seorang pelajar, menggalakkan mereka ke sekolah, membantu mereka merubah kehidupan. Setiap ringgit membawa bersamanya harapan, membasmi kemiskinan, menggalakkan org lain beramal.
Tiada sumbangan yg terlalu kecil. Setiap sumbangan adalah amal baik yg berterusan faedah dan pahalanya.  
Aishah r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda: “Amalan yang paling disukai Rasulullah SAW ialah yang kekal (istiqamah) sekalipun sedikit.” (Bukhari, Muslim)
------------------------
Sumbangan boleh dimasukkan ke akaun berikut:
Maybank  
MBB account - 164388710655
(SAKINA BINTI HAJI MOHAMED).
Sila tulis  'For KAFA' di kotak komen dan email sakina_amx@yahoo.com .
 
RHB  
Account number 1-12479-00092090
(TENGKU ELISA BUSTAMAN BT TENGKU MOHD ALI)
Sila tulis  'For KAFA' di kotak komen dan elisa_taufik@yahoo.com .
 
Sumbangan terus kepada:  
Bank Islam  SAR AL-INSANIAH
Acc no: 12047010031372
Atau hubungi
Guru Besar Ustazah Siti Hawa 0139180191
Ustazah Norazainah 0173217971

kentang goreng tak pas

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Catatan semalam.

Mak beransur sembuh.  Alhamdulillah.  Tengahari tadi suami saya menjenguk mak bersama abah.  Mak dah ceria, katanya.  Tetapi mak tak mahu menyimpan telefon bimbit.  Mak mahu berehat dengan tenang.  Mak juga sudah buat fisioterapi selama dua jam.

Lauk kentang goreng saya dah bikin untuk uwan.  Nak cepat (manjang je nak cepat ...) saya sagat menggunakan penyagat, menghasilkan reja kentang yang lurus tapi putus-putus.  Apabila kentang sudah menjadi kecil, saya hiris nipis di atas papan pencincang.

"Ini sayur kobih ko ni?"  Saya terdengar uwan bertanya kepada suami,  yang menjenguk dapur sebentar.  Uwan makan bersendirian.  Suami sudah makan menemankan Hidayat petang tadi.  Saya makan main-main je.  Abah pun dah makan selepas Maghrib.  Jadual makan uwan mesti sesudah solat Isyak, dia menunggu waktu di atas kerusi hingga azan Isyak berkumandang.

"Tu kontang goreng tu wan."  Nampaknya rupa kentang goreng pun dah tak pas.

Saya masih bertelekung.  Saya jenguk wan.  Nampaknya kentang goreng saya tak menepati piawaian uwan.  Dia kata pakai sagat lain rasanya.  Saya rasa macam dah sedap sangat dah tu ... (perasan).

"Nanti bia den buek."  Maksudnya dia mahu memotong kentang itu dengan cara sebenar yang dia mahu, dan saya akan tumiskan.  Oh ya jangan lupa mesti kena goreng dulu.

Hanya masakan Mak Ramlah sahaja yang tiada komplen dari uwan.  Memang masakan Mak Ramlah kelasss ...  Mudah tapi sangat sedap berperisa.  Kalau gulai, pekat berasa.  Kalau masak lemak putih pun sedap sangat.  Itulah namanya air tangan orang tua.  Air tangan saya belum cukup perisa hehe ...

Tapi uwan masih ok.  Kalau arwah onyang saya dulu, lebih cerewet berbanding uwan.  Saya yang masih budak-budak lagi, mengira bilangan dia mencedok beras ke dalam periuk.  Kekonon rajin nak mengira la tu.  Onyang tuang balik beras ke dalam tempayan.  Lepas tu dia cedok lagi beras, saya yang tak faham mengira semula.  Akhirnya kena marah dengan onyang hehe ...

Ikan bilis onyang jenis terpilih, biasanya yang halus berwarna putih.  Anak bongsu onyang yang belikan dari Klang (sebab dia duduk di Klang).  Kentang goreng yang dicincang memang lauk kegemaran onyang.  Uwan yang akan siapkan.  Kalau orang lain masak, onyang segera tahu.  Tak sedap sangat la tu agaknya.

Air tangan onyang pun hebat.  Sampai sekarang saya terkenang-kenang kuih koci buatan onyang.  Buatannya sangat teliti.

Berbalik kat uwan, kalau kerja mudah-mudah yang boleh dilakukan sambil duduk boleh la uwan buat.  Guna fine motor skill.  Bagus juga untuk senaman jari uwan.  Nanti esok akan saya serahkan beberapa biji kentang untuk uwan kerjakan seperti yang dimahunya.  Saya siapkan rencah aje.  Saya mula fikir-fikir apa lagi yang uwan boleh buat sambil duduk kat meja makan tu.  Jadi tak ada la uwan asyik tersengguk aje bila duduk berehat selepas makan.  Tentu uwan pun suka dapat buat kerja.  Hmm ... apa ya?

Satu je lagi komen uwan, cili saya jenis pedas.  "Sebijik jo tu wan!"  Saya tekankan berkali-kali setiap kali dia kata "leher den podih" selepas menyuap.  Kata uwan, mulutnya tak pedas, tapi pijar cili tu terasa di anak tekak. Kalau tak ada cili, tak boleh jadi pulak.  Uwan yang suruh letak seulas je. Hmm ... bila uwan tak ada, susah pulak nak cari cili pedas.  Pak Meon selalu ratah cili, katanya tak pedas.  Yang ini, pakai seulas je pun dah pijar mencala-cala.  Kena ambil benihnya buat tanam kat tanah sekangkang kera kat belakang nih ... sapa nak benih cili pedas?


Wednesday, October 12, 2011

Mendengar Lega

Assalamualaikum dan salam pagi yang hmm ... nampaknya beransur terang tetapi awan yang tebal telah menghalang sinar matahari jatuh ke bumi Sijangkang.

Terasa ada kelegaan.  Ternampak ada kelegaan.  Terdengar ada kelegaan.

Alhamdulillah.  Selesai mak menjalani implan pace maker semalam, wajah masing-masing beransur lega dan tenang.  Kelegaan itu semakin ketara di meja makan di rumah ini.  Sudah berani untuk sedikit gurau senda penyedap rasa.  Jika sebelum itu, walau tidak ketara, tetapi dibandingkan dengan situasi selepas mak selamat keluar dari bilik pembedahan, terasa ada sedikit tekanan yang tersembunyi.

Semua mengucapkan syukur ke hadrat Allah.

"Mak, mak dah selamat."  Saya menelefon mak Ramlah.

"HAHH??!!!"  terdengar suara mak Ramlah terkejut.

"Err ... dah selamat operate pasang bateri tu."  Saya terkesima sedikit.  Terasa ada tersalah cakap.  Pada saya, 'mak dah selamat' tu bermakna dah selamat keluar dari bilik pembedahan.  Teringat pula, itu juga ayat yang kadang-kadang disampaikan apabila seseorang telah 'selamat' dikebumikan.  Gulpp!

***

Di atas meja makan, sentiasa ada semangkuk air pencuci tangan berlapik tuala kecil.  Sebiji cawan dengan piringnya, serta sebatang sudu.  Botol merah jambu berisi air masak mati.  Tarmos kecil berwarna merah, milik arwah Kak Ja (semoga pahala terus mengalir kepada beliau).  Itulah peralatan asas yang sentiasa tersedia di hujung kanan meja makan kaca kami.

Sekiranya menghampiri waktu makan, saya letak pinggan kaca berbunga coklat yang sekarang ni orang kategorikan sebagai pinggan antik.  Ada sebiji di dalam kabinet.

Di sisi meja, di atas kerusi plastik, ada satu bakul kecil berwarna merah jambu.  Itu semua khazanah uwan.  Di dalamnya ada botol kecil susu Anelene dan gula.  Ada bekas kenit berisi serbuk teh.  Ubat-ubatan iaitu beberapa jenis pil untuk gatal-gatal mata, alahan kulit dan jantung berdebar-debar.  Juga beberapa botol kaca berisi minyak untuk sapuan.  Itulah bakul 'wajib angkut' ke mana sahaja milik uwan.

Kerap kali uwan makan malam bersendirian.  Uwan makan usai solat Isyak.  Keadaan di rumah ini memang mengikut keperluan.  Cuma makan tengahari, selalu kami makan bersama.  Pagi, uwan mesti minum Anelene secawan.  Sebelum menjelang waktu makan, uwan akan minum teh o nipis bersama biskut atau baki sarapan pagi.  Sebelum Maghrib, uwan minum secawan Anelene lagi.  Itulah jadual uwan.  Jadi, untuk memudahkan uwan, saya siapkan semua keperluan uwan di atas meja sepanjang masa.  Saya rasa, uwan akan berasa serba-salah untuk meminta cawan, air cuci tangan dan sudu, tetapi tidak boleh mengelakkannya kerana uwan tidak cergas untuk bergerak ke ruang dapur mengambilnya sendiri.  Lutut uwan sudah tidak dapat menampung tubuhnya melainkan dengan dua tongkat itu.  Berdiri lama-lama, uwan rasa menggigil.

Uwan bahagia tinggal di sini?

Entahlah, ia sangat abstrak dan subjektif.  Saya tidak mahu fikir perasaan sebenar uwan.  Cukuplah saya berbuat sedayanya dan seadanya.  Alhamdulillah, sekiranya benar uwan happy di sini bersama kami.  Kasihan uwan!  Syukur Hidayat dan Hanessa pun boleh 'bekerjasama' dengan uwan.  Hanessa pernah menghulurkan duit rayanya RM10 kepada uwan.

"Kesian onyang tak ada duit."  kata budak perempuan yang rongak gigi atas tu sambil hulur duit kertas merah.  Dia memusing-musingkan kerusi sambil tersengih.

"Huhh, tak hingan den duit ekau doo ..."   jawab uwan.  Uwan sudah meminta saya menukar not RM50, dan petang itu juga dia agih-agihkan kepada budak bertiga itu, serta RM10 sudah dikirimkan untuk Naqib ketika saya membawanya outing Ahad kelmarin.  Err ... sebenarnya saya pun dapat juga, sebelah tangan.

"Duit apo ni wan?  Duit boreh ko, duit sewo bilik ko, duit ..."  Saya melawak. 

"Ambik jo la wan dah bagi tu,"  kata uwan.

Bila saya sampaikan kepada suami, dia kata duit itu nanti buat beli lauk uwan.  Of course, kalau uwan tak bagi pun kami beli lauk juga.

Orang berbudi kita berbahasa; orang memberi kita merasa.  Hehe ... makasih yo wan.  Timo kasih daun keladi ... gurau jo.

Hurilain pernah memberi onyangnya duit raya, semasa kami akan pulang ke Segamat untuk beraya di sana pula pada hari raya kedua yang lepas.  RM10 sahaja.  Onyangnya tak mahu, tetapi 'terdesak' juga menerima selepas terus diunjuk oleh Hurilain.  Di dalam kereta, matanya merah (lagi ...).

"Kesian onyang."


***

Saya belajar kata-kata kiasan dari uwan.  Cara orang-orang tua menyuarakan isihatinya dengan cara tidak langsung.

"Kalau wan chik kau, dio goreng dulu kontang tu."

Uwan cakap begitu sambil membelek lauk kentang goreng yang saya buat.

"Haah, adak gak buat macam tu.  Tapi semalam tu nak copek, nak kojar maso."

Saya sagat kentang itu nipis-nipis dan terus dicampur bersama perencah, letak sedikit air, tutup dan kecilkan api.  Saya dan suami nak ziarah mak di IJN petang kelmarin tu.  Kalau nak goreng dulu, tentu mengambil sedikit lagi masa.

Sebelum itu, semasa menceduk nasi, "Kalau nasi lombik macam ni, sodap makan ngan lauk goreng kontang."

Suami saya tergelak.  Hati saya berkata, memang kena buat kentang goreng la sat lagi.  Semenjak uwan datang, memang belum dibikin lagi lauk kentang dicincang dan digoreng bersama perencah bilis dan bawang itu.  Hanya ayam dan ikan.

Suami terbeli dua buku kobis panjang berturut-turut.  Ada juga sayur lain, tetapi sepertinya kekerapan menggoreng kobis panjang agak kerap.  Uwan unjukkan sayurnya kepada kami untuk dimakan.  Sayur uwan di mangkuk khas, kerana ia dimasak lama dengan api kecil dan sedikit air supaya cukup empuk tak perlu dikunyah beria-ia.  Lepas tu masak lagi kobis panjang.  Akhirnya uwan berterus-terang, "Tak ado kobih bulat ko?  Uwan kobih panjang ni tak gomar amek."

Pulang dari IJN petang semalam, kami singgah di gerai India tepi jalan dan suami beli beberapa jenis sayur termasuk sebuku kobis bulat yang besar.  Malam tadi goreng kobis bulat la pulak. Hehe ...

Uwan ni mudah sahaja lauknya.  Paling leceh pun kalau nak buat gulai-menggulai sebab tentulah perlu ada kelapa parut yang diperah (saya blend aje, kalau ikut uwan tak real tu) dan kunyit hidup.  Kalau dah nak menggelegak, kena timbuk jangan kuah pecah minyak.  Itu aje.  Tak bolehlah nak menyambil-nyambil buat kerja lain (temasuklah jenguk FB ke ... contohnya hihi).  Kalau kami anak-beranak, cukup dengan makan salad aje.  So, kiranya ada la lebih tugas di dapur buat beberapa ketika ini.

***

"Abah, magee dalam laci tu ya."

Abah lagi mudah.  Air nescafee dia buat sendiri (sukatan dia sendiri).  Makanannya terpaling mudah, telur atau ayam goreng, dan magee.  Ikan dan lain-lain teramat kurang digemari.  Kalau magee, sebungkus tu hmm ... mungkin dua tiga kali buat baru habis satu bungkus.

Saya harap abah tak segan di sini walaupun tanpa mak di sisi.  Cuma mungkin sunyi tanpa celoteh mak.  Kami macam biasa aje.

Sekian dulu, jumpa lagi insyaAllah.

Tuesday, October 11, 2011

di lobi IJN

Assalamualaikum dan salam pagi dari lobi IJN.

Mak dah masuk ke dewan bedah jam 9.30 am.  Mengikut prosedur, mak akan keluar semula dua jam lagi (11.30 am) insyaAllah.

Saya tak sempat nak bertemu mak.  Sebaik sampai, saya terus menyorong kerusi roda uwan naik ke tingkat satu, ke tempat menunggu.  Berhubung dengan mak melalui telefon.  Mak kata tak payah masuk ke dalam.  Saya sorong semula kerusi roda uwan ke lobi.  Kemudian kami bersarapan pagi di kafeteria.  Cadangnya selepas itu, saya akan naik semula ke tempat waris menunggu di tingkat satu bersendirian.

Singgah sebentar di surau untuk berwuduk dan solat sunat.  Kembali semula ke lobi, hanya Hanessa yang duduk menunggu macam orang terikat di kerusi.  Kata makcik tudung bulat, uwan ke tandas.  Mungkin suami saya yang membawa uwan ke sana.  Tapi musykil juga, kerana tongkat uwan di dalam kereta.  Macamana ya?  Hidayat pun entah ke mana, mungkin mengikut abah dan uwannya.  Tapi mengapa Hanessa seperti terikat di situ?

Melingas ke serata tempat, tiba-tiba tampang suami muncul.  Di tangannya ada tas tangan mak. 

"Mak dah masuk.  Napa call tak jawab?"

Ohhhh ... jururawat ada menelefon tetapi saya tidak mendengar (silent mode) semasa di dalam surau.  Mak mengamanahkan tas tangannya beserta gigi palsu dan barangan peribadi lain yang penting kepada suami. 

Akhirnya tak juga dapat berjumpa mak ...

Uwan pula muncul.  Rupa-rupanya anak makcik tudung bulat membawa uwan ke bilik air.  Serta-merta teringat, uwan tak mahu bersarapan tadi kerana "nanti den payah nak ke bilik air ..." 

"Tak pe de wan, kat sini banyak jamban!"  Uwan pun jamah sekeping roti canai dan air teh o nipis.

Akhirnya uwan terpaksa meminta pertolongan orang yang baru dikenali untuk membawa dia ke bilik air ...  (semasa suami berjumpa mak dan saya ke surau tadi).  Entah macamana agaknya uwan di dalam bilik air.  Teringat tongkat uwan di dalam kereta.  Tak terfikir langsung keperluan tongkat, setelah uwan selesa duduk di atas kerusi tolak.  Dengan rasa bersalah, saya mengucapkan terima kasih kepada anak makcik tudung bulat.dan seorang lelaki, mungkin saudaranya.  Terhutang budi sungguh.

Waktu ini beberapa kanak-kanak berteromba di sekitar lobi yang luas.  Abah tiba bersama Kak Jasmah dan Andah, beberapa minit selepas mak masuk ke dewan bedah.  Ada juadah dibawa ; buah melaka, pulut dan sambal. 

Al-Fatihan untuk mak.  Semoga mak selamat menjalani implan pace maker.  Kata kak Ani, mak tak akan dibius tetapi sekadar dilemahkan semasa prosedur dijalankan.  Dan ia adalah prosedur yang ... mengazabkan.  Sesuatu yang asing dimasukkan ke dalam tubuh. 

Ramai orang menghalang mak memasang implan pace maker.  Majoritinya tanpa alternatif, melainkan "jangan pisau kena ke tubuh.  Susah nak dirawat dengan cara lain selepas tu. Orang tu ... orang ni ... tak lama lepas pasang pace maker, jalan!"

Hanya abang saya yang memberi alternatif makanan supplement (cordy cerps king) dan membuat rawatan jarak jauh petang semalam.  Dia menyuruh saya melakukan solat istikharah untuk mak.  Alhamdulillah, saya sudah cuba berbuat yang terbaik.  InsyaAllah semoga mak sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan sembuh sediakala nanti.  Ameen.

Pesanan mak

Assalamualaikum dan salam dinihari.

Saya bangun jam tiga pagi.  Bersiap untuk ke IJN selepas solat Subuh nanti.  InsyaAllah.  Sedapat mungkin saya tak mahu mak masuk ke dalam dewan bedah tanpa saya tatap wajahnya dulu.  Bawah mata saya sudah agak lebam,  Tak mengapa, saya tak kisah.  Teringat pulak masa nak periksa (kat UKM) dulu-dulu, sanggup tak tidur semalaman (last minutes punya hal, sebab tak habis lagi nak cover silibus ...).  Kalau sangkut, naya.

Petang semalam, kami ke IJN ziarah mak.  Suami masuk seorang, saya menunggu Hanessa.  Memang patut tak boleh bawa kanak-kanak bawah 12 tahun ke CCU @ ICU.  Hanessa sungguh-sungguh riang dan ceria dapat mengikut ke IJN.  Keletahnya menghiburkan, tetapi bisa membuatkan jantung uwannya di CCU makin kepenatan ... ohh.  Hampir 20 minit, suami muncul dan membawa Hanessa turun ke lobi.  Tentu akan ke bilik permainan kanak-kanak.  Saya mengambil pas dan masuk ke wad CCU.

Tercangak-cangak seketika mengingat ruang mak ditempatkan.  Akhirnya saya tiba ke sisi mak.  Mak kelihatan stabil.  Ada jalinan wayar baru berwarna-warni menyusup masuk melalui lengan baju mak, terus ke betis.  Mak mula berbicara ... pesanan demi pesanan ... "kalau apa-apa jadi kat mak!"

Airmata mula meleleh.  Selesai mak berpesan dan saya cuba mengingatkan di dalam kepala, saya ubah topik lain.  Cerita tentang uwan dan cucu-cucu mak.  Sampaikan salam dari orang-orang yang berkirim salam.  Tentang solat hormat waktu.  Tentang aurat.  Tentang zikir dan doa.  Tentang itu dan ini.  Airmata pun kering sendiri.

"Intan baliklah dulu.  Kesian Meon tunggu.  Baliklah ..."

Mak mungkin penat bercakap.  Ada satu jam lagi waktu melawat.  Di luar tingkap, malam sudah melabuhkan tirai.  Maghrib sudah menjelma.  Saya pun mohon diri.

"Mak, Intan sayang mak.  Mak cepat sembuh ya."

Kaki mak yang berselimut blanket putih tebal saya usap perlahan.  Hati tiba-tiba sebak.  Beberapa tapak melangkah, saya toleh lagi memandang mak.  Melintasi kaunter jururawat, mata sudah kabur.  Saya terpaksa mengelap mata dengan hujung lengan maxi hitam butang merah.  (Haha saya jumpa maxi kakak yang diberinya ketika saya mengandungkan Hanessa).

Turun ke bawah, segera mata ternampak suami di lobi.  Dia duduk berdekatan selang beberapa kerusi dengan seorang makcik bertudung bulat dan seorang wanita muda.  Mesti dia dah berborak-borak dengan makcik dan wanita itu.  Makin hampir, makin sebak.  Sebaik duduk di kerusi berdepan dengannya, saya betul-betul menangis.

"Kenapa, cedih ke?  Alahaiii ..."

"Mama, mama nangis eh?  Kenapa mama menangis?"

Nak meredakan perasaan, saya peluk Hanessa.  Tarik nafas.  Lap airmata.  Tapi pesanan-pesanan mak masih teringat-ingat.

Rupa-rupanya mak sudah menyampaikan amanat yang sama kepada suami saya ketika dia masuk.  Patutlah, "Mak ada benda nak pesan-pesan tu ..." katanya semasa menyerahkan kad pelawat kepada saya di pintu CCU.  Dia terasa hiba sama.

Sekian dahulu =(

notes : dari rumah jam 6.30 am. Selamat sampai di IJN jam 7.30 am.  Uwan dan anak-anak ikut.  Tapi belum dapat masuk menjenguk mak.  Hanya berhubung telefon. Mak sudah dipersiapkan untuk ke dewan bedah.  Sekarang kami di lobi.  Menunggu apa yang patut ditunggu.

Monday, October 10, 2011

Mak sakit sangat

Assalamualaikum & salam pagi.

Cuaca cerah.  Langit biru.  Awan bergerombolan.  Matahari mencarak keras.


Semalam ketika kembali dari menghantar Hurilain ke madrasah, mata menyaksikan pemandangan alam yang sangat indah.  Di ufuk barat, matahari petang bersembunyi di sebalik awan kelabu.  Sinarnya meninjau dengan keras, sehingga menerbitkan alur-alur cahaya yang sangat menakjubkan di langit.    Saya terleka sambil hati merungut kesal kerana sengaja meninggalkan kamera di atas katil tadinya.  Semakin memasuki lebuhraya, semakin jelas pemandangan itu dan semakin geram kepada diri sendiri.

Hati pun memujuk, ada la hikmahnya tu.  Saya perhatikan sungguh-sungguh lukisan alam yang begitu mempesonakan, agar ia terus terukir di dalam ingatan.  Teragak untuk melakarkannya di atas kertas bila-bila masa nanti, tetapi hati bertanya semula, boleh ke?  Kerap juga berangan-angan begitu, tapi belum lagi mencubanya.  Kali terakhir melukis, hmm ... mungkin masa sekolah menengah rendah dulu.  Menengah atas, rasanya macam tak ada melukis je ... tak teringat pun ada guru lukisan.  Yang muncul guru Matematik, guru Biologi, guru Fizik dan Kimia.  Tapi saya masih ingat Cikgu Saraswathy yang mengajar Pendidikan Jasmani dan Lukisan, semasa di Tingkatan Tiga.  Macamana nak lupa, dia pernah bagi penampar sebab saya lupa nak bawa baju sukan huhh ... tapi dia selalu senyum kalau tengok lukisan saya hehe ... (walaupun muka saya sebik manjang semenjak kena penampar).


"Assalamualaikum, mak."

Terdengar suara mak lemah menjawab salam.  Sehari tiga kali saya menelefon mak, jika tidak berziarah.  Semalam sibuk dengan Naqib dan Hurilain.  Hari ini, pun tidak.  Jadi menelefon adalah kemestian.  Sepatah dua pun tak mengapalah, walaupun selalunya panjang berjela juga.  Bila mak beritahu nurse dah jeling-jeling dari jauh, barulah menamatkan bualan.

Pagi ni, baru nak menganga mulut tanya khabar mak, mak dah excuse.

"Ok la ya, mak sakit sangat ni.  Ok ya ..."

"Apa yang sakit, mak?"  tanya saya cepat-cepat.

"Sakit la ..."

Tuttttt ...

Dada berdebar sedikit.  Apa yang sakit?  Dada mak sakit ke?

Kata suami, dah dua minggu mak berada di hospital.  Mak tak dapat lagi exercise macam selalu.  Berehat semata di atas katil.  Memang la sakit-sakit badan jadinya.

Mungkinkah ini permulaan keuzuran mak ...

Saya menghimbau masa lepas.  Beberapa ketika yang lepas, saya dan kakak kedua saling berbicara tentang mak.  "Mak kalau dah tak ada sok, senyap la keluarga kita ..."

Mak yang selalu menghidupkan keceriaan dan suasana.  Senyap menjadi meriah apabila ada mak.  Orang-orang yang kekok dan janggal selesa dengan mak.  Suasana yang beku dan sepi akan hidup dengan ketawa dek celoteh mak.

Tapi harus dapat bertahan andai mak berasa kurang senang di hatinya, kerana mak jenis sangat berterus-terang.  Suka pun terus-terang, tak suka pun terus-terang.  Saya fikir hanya saya yang berani membantah mak.  Dek kerana itu saya selalu rasa mak ada menyimpan hati terhadap diri saya.  Dan kerana itu saya selalu berusaha menawan hati mak semula.   Yelah, sebab saya seorang aje anak mak.  Kalau mak ada pilihan lain, tak tau la saya di sudut mana agaknya ... hehe ... Ini la orangnya anak pengarang jantung buah hati gunung payung intan permata ntah apa-apa lagi la ... Semuanya kehendak Allah jua.  Alhamdulillah, di sebalik kesenangan ada kesusahan.  Di sebalik kesusahan ada kesenangan.

Kalau rajin melayan fikiran tentang kerisauan hari hadapan, memang boleh sewel jadinya.  Apatah lagi jika pembawaan diri jenis pesimis dan suka berfikiran negatif.  Huhuuu ...memang tak boleh dilayan itu semua.  Cuma, fikirkan mati.  Bagaimana nak menghadapi mati.  Alam kubur.  Soalan mungkar dan nakir.  Mengadap Allah Azza wajalla.  Timbangan dosa pahala.  Akhir sekali, syurga atau neraka.

Berita terkini, mak terlalu sakit hingga tak mampu nak bercakap banyak di telefon.  Sebentar tadi abah singgah di rumah saya bersama Kak Jasmah dan Abang Andah.  Kata abah, mak pesan nak makan nasi dengan sayur goreng serta air kopi.  Alhamdulillah, sudah saya kirimkan melalui abah.  Kata abah, suara mak sangat perlahan.  Tak boleh jadi, saya mesti nak ziarah mak petang ini.  Tak mahulah menunggu esok.  Esok ... esoklah.  Hari ni saya tetap nak pergi tengok mak.

Tak tau di mana yang sakit.  Jantungkah?  Dadakah?  Peha yang dipasang bateri sementara itukah?  Seluruh tubuhkah?  Di mana ya?

Ya Allah, berikanlah kesembuhan kepada mak.  Pimpinlah dia dan abah ke jalan yang Engkau redhai.  Ampunilah mereka dan kasihanilah mereka.  Semoga hari-hari yang berbaki akan dapat digunakan untuk mencapai kasih-sayangMU, keredhaanMU, keampunanMU.

Walau hati berkata, saya dah tak mahu kisah kepada saudara kandung mak yang langsung tak menghubungi mak bertanya khabar.  Saya harus akur adat manusia.  Manusia suka berbalas-balas.  Cukuplah saya sudah memberitahunya dari mulut saya sendiri.  Selebihnya saya simpan sahaja.  Semoga anak cucu keturunan saya tidak ada yang tersasar seperti yang tidak sepatutnya.  (Kena doa banyak-banyak untuk anak cucu ... bukan doa untuk diri sendiri aje.)  Ya, kita kena redha di atas jadual Allah, sunnah Allah.  Semoga ada kebaikan dari kesakitan yang dirasai oleh mak. Semoga mak sentiasa bersabar, bersabar dan bersabar selalu.  Semoga Allah sentiasa memelihara dan memberi petunjuk demi petunjuk kepada mak untuk melangkah di atas jalan keredhaanNYA. Ameennnnn.

Salam sayang teramat sayang untuk mak.







Saturday, October 8, 2011

Melayu ular sawa

Assalamualaikum dan selamat malam.

Saya nak buat kek kurma sat lagi. Kurma dah direndam dari tengahari tadi, sebelum pergi ke IJN.

Hurilain sedang memotong nasi ketupat.  Cadangnya esok nak buat ketupat goreng, macam yang diminta olehnya beberapa minggu lepas selepas membaca message FB jiran kami bikin ketupat goreng untuk stafnya.

Untuk uwan, pagi esok uwan akan bersarapan behun goreng.  Rencahnya sudah siap.  Pagi esok dah boleh tenggek kuali.  Behun pun dah direndam.  InsyaAllah.

Uwan tentu tak mahu makan ketupat goreng.  Ada sos tiram dan telur.  Tak sesuai dengan 'anak tekak den' ...

Tadi tengahari, saya dan Hurilain menjenguk mak sekitar jam 1240PM.  Mak ceria melihat kami.

"Macam orang Arab lak," kata mak kepada Hurilain yang menutup muka dengan kain niqab.  Dia menggayakan abaya kesayangan saya (dibeli oleh suami).

"Dah cakap Arab dah," kata saya pula.  Hehe ... Hurilain menceritakan sesi ta'aruf memperkenalkan diri di dalam Bahasa Arab.

Kami menemankan mak makan (saya bawakan mak nasi putih, gulai ikan tenggiri dan kangkung goreng).  Berselera mak makan, ditemani Hurilain yang sama menyuap.  Saya pula tibai buah papaya mak (hidangan hospital).  Hari ni mak pilih menu nasi tomato dengan ayam masak merah.  Tapi mak usik sedikit aje.

Tiba-tiba muncul seorang wanita berpakaian seragam biru tua bertudung hitam.  "Waktu melawat sudah habis ya,"  katanya sopan.  Waktu melawat CCU ialah 12.30-1.30 PM / 6 - 8 PM.

Okay, babai mak. Nanti jumpa lagi, insyaAllah. I love u :)

***

Di lobi bawah, saya mengajak Hurilain ke bilik air.  Tetapi bilik air sedang dibersihkan.  Saya ditunjukkan arah ke tempat solat wanita.  Di situ ada bilik air untuk orang kurang upaya.  Saya pun menggunakan bilik air itu.  Masuk ke ruang solat, saya diserang rasa cuak.  Seolah-olah wuduk saya sudah terbatal.  Dua tiga kali saya memperbaharui wuduk di tempat berwuduk.  Kali terakhir mahu berwuduk, saya terpandang seorang gadis di tempat wuduk, seperti menunggu atau memerhatikan sesuatu.  Saya jenguk ke tempat paip air.  Ada seorang wanita tidak bertudung sedang terbongkok-bongkok di situ mencuci kawasan lantai yang tinggi tempat pijak untuk berwuduk.  Dia mengelap bendul lebar itu dengan tangannya, kelihatan sungguh tergesa-gesa.

Hairan, saya beri isyarat mata kepada gadis yang berwajah ... tak tau nak describe wajahnya waktu itu.

"Cina!" bisiknya.  Dahinya berkerut.

"Buat apa?" saya bertanya tanpa suara.  Hairan dan penuh tandatanya.

"Kencing!"

Saya terkejut.  Muka saya pun sama terkejut.  Patutlah muka gadis tu ... susah nak describe tadi dan sekarang!

Wanita itu berpusing.  Tangannya membetul-betulkan pakaian (seluar).

"Auntie, apa pasal kencing sini?  Sini tak boleh kencing tau!"  Wah, saya geram betul.  Tak tau la macamana nak describe muka sendiri pulak ...  (tapi masih cool hehe ...)

Wanita berwajah Cina berambut kerinting pendek hanya memberi isyarat menggoyang-goyangkan tangan dan terus berlalu tanpa sepatah kata pun.  Apakah dia rasa bersalah atau tak fikir langsung apa-apa, entahlah.

"Tak sempat nak cakap apa, dia terus kencing kat situ!" kata si gadis beria-ia. Wajahnya ... hmm ... mungkin wajah ralat, menyesal, marah, bengang, poyo, err ... tambahlah sendiri apa-apa yang sesuai.  Tentu dia nak berwuduk, tiba-tiba si auntie yang dah terdesak (saya fikir begitu, sebab tandas ditutup untuk cucian) terus mencangkung di situ.

Keluar dari ruang solat, saya adukan kepada pengawal yang duduk di meja, tak jauh dari situ.  Ketika melangkah, saya terdengar suara pengawal memanggil tukang cuci supaya membersihkan tempat berwuduk muslimah.  Alhamdulillah.

Saya terfikir, seandainya ada perempuan Melayu yang tiba-tiba membuang hajat di kawasan sembahyang ugama lain kerana terdesak sangat.  Apa akan jadi?

***

Meninggalkan IJN.

Tiba-tiba, "Abah, lapar!"  Hurilain mengadu.  Tadi si abah sudah membawa adik-adiknya ke kafeteria.  Kami pula naik ke bilik mak.  Sekarang dia sudah lapar!

Si abah parkir kereta di tepi satu bangunan gerai yang berbumbung biru.  Kami melangkah mencari tempat sesuai untuk menempah hidangan.  Hati kurang perkenan, tetapi akur sahaja untuk memudahkan keadaan.  Mata terpandang gerai Pak Aji Asam Pedas.  Malangnya asam pedas tinggal kuah sahaja.  Gerai sebelah dimiliki oleh lelaki Cina,  Isterinya Cina.  Pelayannya dua orang wanita Indonesia bertudung.  Tokeh Cina itu sangat ramah dan sangat mengalu-alukan pelanggan.

"Kuah saya bagi percuma!" kata lelaki kurus yang peramah kepada kami yang tercangak-cangak memerhati sekitar.  Kedai-kedai lain seperti tidak menarik.  Akhirnya kami bersetuju untuk menjamah kuah asam pedas Pak Aji.

Saya memesan mee jawa.  Hurilain memesan nasi goreng paprik.  Kuah asam pedas dan nasi kosong untuk suami, dan sedikit lauk lain.

Sambil makan, mata memerhati sekitar.  Pak Aji rajin menanya nama kepada anak-anak saya.  Memang peramah.  Suami saya bertanya itu ini dan tentang gerai sebelah.

"Abang dari mana, bang?"

"Johor."

"Orang Johor ada Jawa, ada Bugis, ada Melayu. KL pun sama macam tu.  Macam-macam ada.  Melayu ular sawa pun ada.  Apa ada semua tibai aje."

Hati rasa kesal.  Semasa menyuap mee jawa, mata saya melihat dua keluarga menerima 'pelawaan dan jemputan' tokeh Cina untuk makan di gerainya.  Dia menjual mee kari dan nasi ayam.  Masalahnya, keluarga itu keluarga MELAYU, yang isterinya bertudung berbaju kurung, dan anak gadisnya (saya agak) pun bertudung.  Tidak jauh dari meja keluarga ini, ada sepasang Melayu sedang makan bersama seorang lelaki (mungkin teman mereka).  Hidangan dihantar oleh perempuan Indonesia bertudung.  Sungguh berselera nampaknya.  

Melihat 'panorama' ini, hati rasa lebih kesal berbanding kes auntie terlepas hajat di tempat wuduk tadi.  Kita sudah terkejut oleh status kehalalan makanan kita; ada kod E, ada pengisytiharan rasmi dan tak rasmi, ada pendedahan oleh individu prihatin, ada buku oleh pihak yang boleh dipercayai.  Alih-alih ... apakah sekadar melihat perempuan yang menghidangkan makanan itu menutup kepala dengan kain tudung, kita sanggup memesan makanan di gerai yang sah-sah dimiliki dan diuruskan oleh bangsa lain?  Tak terbaca ke nama gerai tu; GERAI AH KOW?

Tak payah jawab.

Ya Allah, ya Allah, ya Allah, hanya kepadaMU tempat kami mengadu dan berserah diri.  Kami mohon dengan sepenuh hati, selamatkanlah kami dari fitnah akhir zaman, dari kekeliruan dan musibah.  Berilah kami keyakinan hati yang benar atas perkara yang benar dan haq.  Terlalu banyak yang berbalam-balam, syak dan waham.

Tentang restoran Cina ni, saya teringat kedai nasi ayam paling ngetop di Brunei satu ketika dulu yang dikendalikan oleh bangsa berkenaan, sentiasa dipenuhi oleh orang-orang berkopiah dan bersongkok.  Kami pernah dijamu di restoran milik bangsa Cina di Perak.  Dan kami pernah dinner di restoran Cina, dengan makluman untuk keluarga kami hidangan adalah berasingan ...

Kali terakhir berlaku beberapa tahun yang lalu, tanpa pilihan yang lebih baik (alasan sungguh!).  Astaghfirullah.  Untuk seterusnya, semoga kita akan lebih berhati-hati menjamah makanan terutamanya hidangan di luar.  Kini, saya lebih suka makan di rumah, walaupun sekadar goreng telur atau ikan bilis (dah malas tahap gaban le tu bila kesuntukan masa). Itu contoh je. 

Pesanan ~ kalau was-was lebih baik angkat kaki je. Usahlah kita masuk kategori Melayu ular sawa, kategori yang diberi oleh Pak Aji tu.  Hati-hatilah, kerana hati kita ditempa oleh makanan yang masuk ke dalam perut. 

Jumpa lagi, insyaAllah.

Eh, jadi ke nak buat kek kurma nih??? Dah larut malam la ...




Friday, October 7, 2011

Mak ke CCU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini saya menelefon mak tetapi tidak diangkat.  Kedua kalinya dijawab tetapi tiada suara kedengaran.  Aneh!

Tidak lama kemudian, masuk panggilan ke telefon bimbit saya.

"Mak cik Intan (panggil nickname le pulak, tentu mak yang bagitau tu) akan dipindahkan ke CCU pagi ni."  kata pemanggil yang bernama Ros.  Dari perbualan, saya mengetahui Ros salah seorang jururawat yang merawat mak, jadi tentunya dia bertugas di wad Kenanga.

Katanya, denyutan nadi mak masih lemah tidak ada perubahan.  Ketika tidur ia semakin lemah, antara 30-40 denyutan seminit berbanding 60denyutan normal.

Ooo, sebab tu mak masih mengadu pening-pening, fikir saya.

Mak yang meminta jasa baik Ros untuk memaklumkan keadaannya kepada saya.  Kata Ros lagi, mak tak cukup kuat nak menjawab panggilan saya sebentar tadi.

Hmm ... mungkinkah anak-anak saudara mak dah menelefon?  Subuh tadi, saya hantar sms ke beberapa orang anak-anak saudara mak yang tinggal di Kelang dan Seremban.  Juga kepada sepupu-sepupu mak.

Uhh ... nampaknya saya tak dapat menahan diri dari menelefon mak.  Mesti nak ambil tau tentang mak.  Masa dial nombor, sering kali saya teringat entri kelmarin dan kata-kata saya meminta mak memperlahankan kekerapan menjawab telefon (dengan pengecualian untuk saya dan abah).  Ada pulak yang akan kata 'cakap tak serupa bikin' nanti ...

Hmm tak mengapalah ... semua mengikut keperluan dan keadaan semasa.  Takkan saya tak sampaikan berita tentang mak kepada orang-orang yang dekat.  Malam tadi saya hantar sms kepada Umi Faridah dan Uncle Hamdan.  Mungkinkah mereka dah menelefon mak jugak?

Ros memberitahu, doktor menunggu abah sampai dari kampung untuk tandatangan borang kebenaran.  Abah akan datang selepas solat Jumaat nanti.  Saya pula perlu akur kepada cadangan suami untuk menjenguk mak esok.  Jadual lawatan ke CCU ialah jam 12-2PM.

"Hari Jumaat tak yah gi masuk KL."

Jadi, saya fahamlah.  Bertembung dengan waktu solat, dan tentu kesesakan lalulintas lebih gila dari biasa.  Mengapa Jumaat?  Orang-orang KL sahaja yang lebih maklum.

Petang ini akan jemput Hurilain, sharp at 5.30.  "Lepas taklim."

Cadangan awal nak terus ke IJN bersama Hurilain.  Tetapi dengan makluman baru dari Ros sebentar tadi, plan turut bertukar.  Kami akan jenguk mak lusa, Sabtu.  Bermakna selepas mak buat implan pace maker.  Huuu sedih gak, sepatutnya saya berada di samping mak menemani dia.  Jiwa orang yang sedang tak sihat, apatah lagi kritikal juga macam keadaan mak sekarang, tentulah memerlukan sokongan dari ahli keluarga terdekat untuk mengucapkan kata-kata yang baik dan memberi semangat.  Dah la berjanji akan jaga mak di sana ... Allah Maha Mengetahui.

Alhamdulillah, di surau Haji Hassan, telah diadakan solat hajat khusus untuk mak semalam.  Semoga Allah yang Maha Pengasih memperkenankan doa yang dipanjatkan itu.  Ameen.

Mak, Intan sentiasa doakan mak agar sembuh sediakala.  Intan kirimkan doa dari jauh (err ... tak jauh sangat pun, tapi situasi tidak mengizinkan Intan jenguk mak hari ni huuuuhu).  InsyaAllah esok Intan datang dengan menantu dan cucu-cucu mak.  Tapi budak-budak tak boleh masuk tengok mak.  Kami pun khabarnya kena bergilir-gilir sorang-sorang masuk, dengan pas kebenaran dari pengawal.  

Masa lawatan juga dah terhad.  Tak boleh la nak berteromba lagi kat bilik mak.  Tak yah la nampaknya bawak bekal untuk makan-makan hehe ...  Uwan pun tak ikut kot.  Kereta tak muat.  Lagi pun kesian uwan terperuk dalam kereta.  Nak masuk kereta satu hal.  Nak keluar kereta lagi satu hal.  Biarlah uwan duduk rumah je, tak lama pun tinggal sorang-sorang.  

Uwan nak tarik Hidayat atau Hanessa tinggal temankan dia ... hmm ... 

"Wan, tak mau de tu.  Tak ape la, Intan siapkan makanan atas meja.  Radio pun Intan letak kat bilik wan. Bukak IKIM.  Kalau wan dah boring, off je plug tu."

Jadual hidup akan berjalan seperti biasa.  Tapi ingatan kepada mak tak luput, bersama doa dan harapan yang baik ke hadrat Allah.  Semoga Allah sentiasa meredhai kita semua dan mengembalikan kesihatan mak seperti biasa.  Semoga kita akan berusaha untuk meningkatkan lagi amal ibadah dari saat ke saat, minit ke minit dan hari ke hari.

Nabi telah bersabda :
Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi s.a.w sabdanya:
"Tiap-tiap penyakit itu(ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah"
(Riwayat Muslim dan Ahmad)


Sehingga ketemu lagi. 

Thursday, October 6, 2011

Ketetapan Allah terbaik!

Assalamualaikum dan salam mesra.

Hujan.  Cuaca mendung.  Ada bunyi guruh.  Uwan sedang santai duduk di luar, menikmati pemandangan alam.  Semenjak datang, baru hari ni uwan bertatih ke depan sana.  Dia menghabiskan harinya di ruang makan, duduk di ruang sliding yang terang melihat Hanessa main games, dan berehat di bilik. 

Tadi pagi dan menjelang tengahari, saya telah menelefon mak di IJN.  Bertanya khabar.  Saya suruh mak beristikharah memohon petunjuk dari Allah.  Kerana ada saudara-mara yang tidak menggalakkan mak memasang pace maker.  Manakala suami saya berpendapat sebaliknya.  Alasan yang diberi, jantung mak memang dah ada masalah.  Jantung lemah, antara sebabnya tentulah kerana mak sudah berumur.  Tahun ini mak sudah 66 tahun.  Mak memang nampak cergas dan lincah.  Tapi kini ternyata jantung mak tak secergas semangat mak.  Ia tak dapat menampung rutin mak yang berkeliling dengan macam-macam aktiviti hariannya.  Jadi eloklah mak pakai pace maker.  Dan mak tentulah tak boleh berlagak cergas lagi macam selalu.  Kena dinasihatkan supaya slow down, baik pergerakan mahupun percakapan.  Agar jantung mak senada tak terkejut atau terdiam.  Huhh ... besar risikonya.

Kita sentiasa mendoakan agar mak kembali sembuh, seterusnya dapat meningkatkan amal ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah.  Semoga semua amal ibadah diterimaNYA.  Ameen.

Nampaknya ngam 3 bulan kami balik dari Brunei, mak masuk hospital.  Mak mertua pun uzur, walaupun tak kena tahan dalam wad.  Namun mereka memang mencemaskan.  Mak Ramlah pun demikian juga, dah mula lupa-lupa walaupun tidak serius.  Abah Tok Mat dengan masalah urat sarafnya, selalu krem.  Abah Mat Arbak, setakat hari ini alhamdulillah masih gagah walaupun semasa di Brunei hari tu sempat juga membuatkan kami gundah gulana.

Alhamdulillah, ketetapan Allah adalah benar-benar terbaik!!!  Kami buat istikharah, ketika hati masih ragu-ragu.  Tetapi suami sangat yakin, dengan pelbagai alasan yang semakin kukuh.  Antaranya ialah memikirkan orang tua kami yang semakin tua dan uzur.  Nah, kini terbukti apa yang dijangka walaupun ia diluar jangkaan.  Mak yang cergas dan lincah tiba-tiba diserang lemah jantung.  Kami terfikir-fikir juga, sekiranya kami jauh kat sana, siapa yang akan mak panggil untuk dengar penerangan doktor ...  Adakah kami akan dapat balik menjenguk mak macam semalam ... Kesian la uwan dan Mak Ramlah.  Orang tua terpaksa la menjaga orang tua, Mak Ramlah menjaga uwan.  Mak Leha, Tuk Mat, abah Mat Arbak ... masing-masing pun dengan 'urusan' kesihatan sendiri.

Hmm ... tepatlah ketentuan jadual Allah ni.  Alhamdulillah.  Hurilain pun dapat masuk madrasah.  InsyaAllah lagi tiga tahun adik-adik yang berdua pula masuk madrasah serentak.  InsyaAllahhhh ... semoga Allah sampaikan hajat dan urusan yang baik.  Ameen.

Jadi, segala ragu dan musykil pun lenyap.  Memang dah lama hilang pun.  Tak ada keluh kesah lagi.  Cuma ingatan-ingatan yang beransur pudar.  InsyaAllah kalau ada rezeki akan menjenguk lagi Seria yang damai.  Akaun bank pun belum tutup lagi.

Saya selalu dapat soalan cepu mas lebih kurang macam ni, 'apa projek sekarang?'.  Atau 'kerja apa sekarang?'

InsyaAllah, ada la kerjanya.  Memang ada plan untuk menambah rezeki, tapi belum terbuka lagi pintunya.  Semalam, saya terfikir-fikir pasal 'kerja'.  Tak la fikir teruk-teruk atau beria-ia sangat.  Cuma, kadang-kadang memang sesuatu tu boleh aje melintas dalam kepala tanpa dipinta.  Biasa la tu kan ... Tiba-tiba saya fikir begini pula, 'aku nak kerja direct dengan Allah'.  Pada anggapan saya, Allah menjadi majikan dan kita berkerja denganNYA.  Sekarang ni saya alhamdulillah dah hafal Surah Al-Waqiah.  Jadi lepas solat lima waktu, dapatlah saya baca paling tidak sekali sebab nak kejar masa.  Asyiklah nak kejar masa tak sudah ... 

Hati jadi seronok pula.  Orang kerja dengan orang.  Hujung bulan dapat gaji.  Saya kerja dengan Allah, tak tau bila dapat gaji.  Tapi insyaAllah saya yakin, pasti ada rezeki yang Allah sediakan.  Hati pun rasa lapang.  Saya masih tertanya-tanya macamana nak bekerja dengan baik.  Apa lagi nak dibuat?  Sekiranya Allah suka maksud niat saya, alangkah seronok dan bahagianya.  Entahlah, kalau fikiran saya ni tak tepat atau silap, sila la beri teguran.  Tapi saya  yakin, Allah mengerti keinginan hati untuk bekerja.  Namun, rasa lebih afdal pula duduk di rumah menguruskan tangga dan anak-anak.  Sekarang ni dapat pula melayan uwan.  Kalau saya bekerja di luar sana dengan imbalan setiap hujung bulan, tentu tak mudah nak ajak uwan duduk di sini.  Jadi sama la dengan cucu-cucu uwan yang lain, yang payah nak pelawa uwan datang tinggal dengan mereka kerana suami-isteri sibuk dengan urusan pekerjaan.

Saya tak la rasa bangga, jauh sekali nak ujub apatah lagi riak.  Ini semua kemudahan yang diberi Allah.  Uwan cerita, dia pernah jaga saya beberapa bulan semasa baru lahir dulu, sebab mak sibuk nak menghabiskan jualannya.  Uwan tentulah tak minta balasan.  Tapi nampaknya sunatullah berlaku sendiri.  Kini saya pula jaga uwan beberapa hari ...  alhamdulillah.

Huwaaa!! Tiba-tiba rasa mengantuk pulak.  Nak kena lelap sekejap ni, 5 minit.  Uwan pun dah masuk dan dah baring kat katil.  Hujan pun tak jadi.  Dapat pula saya menulis sedikit di sini. Terima kasih kepada kak Noraini Hassan yang memberi komen di entri semalam.  Juga tetamu baru yang ke-48, terima kasih atas kesudianmu.

Sehingga ketemu lagi, salam ceria.

Semoga Allah memberi ilham yang baik-baik selalu.  Ameen.


Mengunjungi mak di IJN

 Ternampak pelangi sayup dan nipis je kat area nak masuk highway selepas Johan Setia tu ... alahai ... sekerat je dan makin cair warnanya.  Hmm ... dah berbulan rasanya tak tengok pelangi. 
 Bawak uwan masuk terowong SMART.  Uwan pun tak tau bila dia berkunjung ke KL, sebab dah lama sangat.  Dengarnya dulu ada dia ke HKL.  Tapi berjalan waktu malam macam ni, hmm ... tak ada kot. 
 Hospital yang mesra pengguna.  Ada ruang untuk budak berteromba hehe ... saya yang kata.  Kami ingat budak-budak kena stay kat bawah je, rupanya selepas jam 6PM boleh ikut naik atas, lagi pun kata staf tu, wad Kenanga tingkat 3 yang menempatkan mak tu bukan ICU atau CCU.  Jom le kita naik!
 Bawak jangan tak bawak!  Ikut jangan tak ikut!  Dengan kitorang, follow aje la wan ... Ambik wheel chair kat sebelah kaunter, berderet kat situ.  Tak payah bagi IC pun.  Ada staf tolong tolak wheel chair sampai lobi.  Terima kasih!  Tapi uwan dah kesejukan,  kena penghawa dingin dalam kereta dan di ruang ini pun sejuk juga.  Lain kali ingat, kalau perlu bawa sweater atau selimut, angkut je.  Sian wan.
 Apa lagi, berposing je la keja!  Lari-lari, gelak-gelak.  Lapar pun iya, sebab bangun tidur je terus naik kereta.  Tak sempat nak alas perut ... sian... patut la muka anak mama toya je.
 Abah park kereta ntah kat mana, lama benar nak tunggu.  So kena la makan dulu, sebab perut dah lapar sangat!!!  Memang ada bawak nasi ngan lauk gulai ikan untuk mak, dan sengaja bawak extra untuk sesiapa yang nak menjamah.  Nampaknya orang yang bawak yang makan dulu nih!  Hidayat sibuk nak mengeluarkan tulang ikan yang terselit celah gigi, macam-macam ...
 Alhamdulillah, sampai ke bilik mak di wad Kenanga, tingkat 3.  Masih macam PR yang busy menjawab panggilan telefon.  Ramai benar yang follow up keadaan mak.  Mak pun bagi penerangan tentang dirinya, tekanan darahnya bla bla bla ... rasanya kekerapan menjawab panggilan telefon lebih banyak dari hari-hari biasa.  Camano la darah tak naik??!  Last check up hari ni, naik 220/98 ... ayohaiiii mak mak ...
 Andah, Kak Jasmah dan Kak Nor.
 Memang anak bapak!  Anak beranak sama je.  Sendiri bawak bekal, sendiri makan.  Salah satu kaedah untuk memeriahkan suasana hehe ...
 Cer tengok cer tengok ...  masa menyuap pun masih sibuk menjawab panggilan telefon! Tak la nak menyalahkan sesiapa yang menelefon, sebab mereka nak tau kondisi mak.  Tapi sekiranya tekanan darah mak masih tinggi, kena la mak kurangkan menjawab panggilan telefon dan menenangkan fikiran.  Lepas semua selesai, boleh la sambung bertelefon semula.  Orang tentu faham kalau panggilan tak dijawab, mak tengah tak sihat ...

 Kena la buat homework jugak, mujur tak banyak hanya sedikit correction je ...
 Okey, homework dah selesai.  Masa untuk berteromba di atas katil ... patient baru keluar siang tadi dengan kos RM60,000 untuk pemasangan pace maker (info lisan semata, harap maklum).

 Didoakan mak segera sihat dan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah.  Ameen.
last snap before going back ... abah akan menemani mak sepanjang di sini.  Satu bilik dua patient.  Tu Hidayat tengah mendongak tengok tv kat siling.  Esok ... kami tak datang sehingga mak jalani minor op untuk pace maker tu, insyaAllah.  Biarlah mak berehat dan bertenang.  Karang kami datang bikin kepoh je hehe ...  Kalau mak masih ada di IJN on Friday, boleh la bawa Hurilain ziarah mak insyaAllah.  Tapi uwan mungkin tak nak ikut dah ... serik ... sejuk kena ekon hehe ...

menarik building ni waktu malam, bergemerlapan dek cahaya, tapi tentu kosnya besar tu.  Hmm ... kami bawa uwan pusing-pusing KL.  Tadi nampak KLCC dari jauh, sekarang kita betul-betul di tepi KLCC.  Ooooo, kata uwan gitu.

Mohon doa semua untuk mak saya.

Semoga keadaan mak akan bertambah baik, rohani dan jasmani, fizikal dan mental, zahir dan batin.  Ya Allah, kasihanilah mak dan berilah dia takdir yang terbaik, kehidupan yang baik, kesihatan yang baik dan masukkanlah dia ke dalam golongan orang-orang yang berserah diri lagi sentiasa bertaubat kepadaMU.  Kasih sayangMU adalah terlalu besar, demikian juga dengan belas kasihanMU, ya Allah.  Hanya kepadaMU tempat kami kembali, hanya kepadaMU tempat kami bermohon dan mengadu.  Kabulkanlah dan terimalah doa kami ini. Ameen.

Wednesday, October 5, 2011

Mak ke IJN esok

Assalamualaikum.

Akhirnya ...

esok, mak saya akan ke IJN sekali lagi iaitu temujanji yang paling sesuai telah didapatkan oleh Doktor Amir, doktor muda yang mengendalikan kes mak.

"Nanti kat sana, makcik bincang dengan doktor di sana pula ya."

Mak angguk-angguk senyum kecil.  Mak dah berbincang dengan kami, nak buat operasi pemasangan pace maker tu dekat-dekat hujung minggu sebab budak dah cuti hujung minggu.  Dia risau (masih fikir macam-macam) memikirkan saya dan pengurusan anak-anak sekolah, nanti terganggu semua tu semata-mata nak jenguk dan temankan mak di hospital.


"Apo kau buek kek belakang rumah tu?  Nampak selintas ni ha ..."

Mak tercengang seketika.  Pertanyaan Ulong Mansor membuatkan dia teringat sesuatu.  Mak ada ke belakang rumah Mak Ramlah pagi Isnin kelmarin, memungut buah mangga yang berjatuhan di pangkal pokok.  Waktu itulah, tiba-tiba mak terasa seperti ditolak sesuatu hingga hampir tersungkur.  Mak mula dihinggapi sakit angin, tak buang angin dan tak sendawa.  Pagi Selasa, mak nak bawa uwan ke klinik untuk dapatkan rawatan kudis uwan di belakang pehanya tu, akhirnya mak tak dapat bertahan lagi.  Mak surrender, terus dibawa ke hospital dan ditahan wad.  Mak rasa pening yang berat hingga nak buka mata pun tak mampu.  Hasil pemeriksaan mendapati tekanan darah mak melambung tinggi hingga tak dapat dibaca oleh alat penyukat manakala denyutan jantung mak terlalu lemah di bawah kiraan normal.  Pelik ... mak tak pernah ada rekod darah tinggi dan lemah jantung.  Ia mendadak berlaku tanpa sebarang simptom dan tanda.  Luar biasa!

Setelah sedikit upacara ringkas, Ulong Mansor yang juga bapa saudara dua pupu mak, membaca sesuatu dan menghembus air mineral 1 liter yang perlu diminum nanti oleh mak.  Mak disuruh membaca surah Al-Ikhlas 13 kali, dan ayat dari Surah Yasiin untuk amalan zikir bagi mengelakkan penyakit urat-saraf (saya tak sempat nak tanya mak).

Jadi, mak akan ke IJN dengan keputusan pemeriksaan pertama semasa mak mula ditahan wad.  Tak pasti keputusan akan berubah sekiranya ujian dijalankan sekali lagi selepas rawatan oleh Ulong Mansor.  Tapi, tak mengapalah, nanti doktor di IJN tentu akan membuat pemeriksaan yang lebih teliti kepada mak.  Lagipun, saya menduga, sekiranya gangguan telah lenyap, kesan-kesannya kepada tubuh fizikal tidak akan hilang secepat itu.  Tambahan pula, ah ... mak tak mahu makan hidangan hospital.  Ubat?  Pun wallahu'alam.  Hmm ... itulah mak saya. 

"Mak jangan fikir banyak sangat.  Budak sekolah ni Onn boleh uruskan.  Nanti Intan jaga mak kat IJN.  Uwan ikutlah balik Sijangkang.  Nanti mak dah masuk IJN, tau la kami nak panggil sesiapa ambik uwan."

Mak tetap tak senang hati.

"Mak tak nak susahkan kau.  Mak tak nak anak menantu mak susah.  Ada anak cucu lain, yang lebih tepat, lebih wajar, lebih dekat."

Dah lah, tak mau kisahkan panjang-panjang.  Malam tadi, saya dah maklumkan kepada saudara terdekat yang wajar tahu tentang kondisi mak.  Biarpun selepas seminggu mak dalam hospital, baru saya sampaikan berita ini.  Dengan kepastian doktor yang mak memang perlu buat pace maker dan tidak dibenarkan langsung meninggalkan wad untuk pulang beberapa jam ke rumah, ia adalah serius!  Dan seterusnya, andai mereka berfikir mahu tahu lebih lanjut, bolehlah menelefon pula.

Ini bukan kes jauh hati atau apa-apa.  Cuma, (sambil tarik nafas panjang ...) kasihan kat uwan.  Orang tua yang tak tau nak ke mana.  Serba-salah, katanya.  Tak mahu menyusahkan sesiapa. 

Terima kasih ya Allah, kerana memberi hati yang belas kasihan kepada seorang yang mendampingi hidup saya buat sementara ini.  Seorang suami yang selalu merasa belas kepada seorang tua bernama uwan.  Seorang tua yang umpama sudah tiada guna, sekadar makan minum untuk menjenguk matahari pagi esok sahaja.  Hanya belas kasih Allah semata, yang mengembalikan nyawa-nyawa yang dipegangNYA buat sementara, untuk meneruskan amal ibadah dan mengharapkan  keredhaanNYA selalu.

"Mak tak nak ke Sijangkang, membebankan kau.  Biar mak balik rumah lepas IJN.  Kalau tak pun, biar mak ke Batu Kikir."  La pulak ...

Saya dan suami merancang, mak pun merancang juga!

Kan baik mak abah di Sijangkang.  Dalam tempoh dua minggu selepas buat pace maker, mak tak boleh kerja lasak.  Tangan kiri tak boleh diangkat melebihi bahu.  Abah pun uzur, selalu krem.  Uwan pun uzur juga dengan ketuaannya, dengan tongkat ketiaknya, dengan tongkat kaki empatnya.  


Alah, bukan mak abah nak makan sedap-sedap manjang.  Bukan uwan nak makan enak-enak selalu.  Kita makan apa yang ada, yang insyaAllah makanan sihat dan mengenyangkan.  Yang kami makan, mak abah dan uwan makanlah sama.  Abah suka magge, ayam goreng, acar dan nescafe susu.  Uwan apa sahaja yang tak pedas.  Mak lepas ni kena la jaga makan, tak boleh minyak-minyak sangat.

Kami anak-beranak pun jenis tak kisah.  Anak-anak memang dididik makan tak memilih.  Dan tak dijamu ayam selalu.  Dua minggu sekali barulah jumpa ayam kat periuk.  Daging, bisanya musim raya aje.  Selalunya menu kami ikan ikan dan ikan.  Ikan cencaru bakar cicah kuah kicap yang diperah asam limau dengan hirisan bawang, budak-budak ni suka.  Sup sawi campur telur dan sohon, buat hiru-hirup.  Ikan goreng, ikan asam pedas, ikan gulai, ikan kari ... macam-macam resepi ada.  

Kami minta balasan dari Allah Taala semata.  Biarlah kami jadi orang yang memudahkan, bukan menyusahkan atau buat-buat pejam mata.  Tak boleh pejam mata ni, sebab kami cuba nak faham situasi yang melanda.  Walaupun susah nak faham, mengapa mengapa dan mengapa?  Akhirnya kami serahkan kepada Allah semata.  Tak semua perkara di dunia ni dapat kita fahami.  Allah sahaja yang Maha Mengetahui segala yang nyata dan segala yang ghaib.  Walaupun hati kami menduga-duga, tentulah ada sebab-musababnya.  


Inilah ujian dan dugaan hidup yang diberi Allah, supaya kita menjadi orang-orang yang berserah diri dan memohon merintih kepadaNYA semula, berharap kepadaNYA semata-mata.  Kun fayakun!  Sekiranya Allah menghendaki, sekelip mata segala ujian dan masalah bertukar menjadi rezeki, kesenangan dan kebahagiaan.  Tetapi tentulah amat perlu kita bermohon kepadaNYA.  Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah juga menanti-nanti dan menunggu-nunggu kita mengadu dan bermohon segala limpah kurniaNYA.  Rahmat Allah teramat luas, jauh lebih luas daripada segala keresahan dan kedukaan kita.  Pada siapa lagi nak memohon, mengadu dan mengharap?  Kepada manusia yang sentiasa bersikap keluh-kesah?  Pot pet pot pet ... kemudian sama-sama pening.  Bertambah pening dan kusut adanya.  Jadi, hanya kepadaNYA semata.  Tidak kepada yang lain.  PadaNYA ada jawapan dan penyelesaian.  Yang penting adalah kesabaran.  Allah bersama-sama orang yang sabar.  InsyaAllah.


Ini semua adalah bukti, bahawa Allah telah menetapkan takdirNYA.  Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.  Zaman akhir ni, memang dah akhir zaman, kerana nabi kita sudah nyata adalah nabi yang terakhir, memang semakin banyak tanda-tanda akhir.  Zaman dulu tak tahulah pula, tapi kita tahu kisah sedih ibu si Tanggang.  Dalam suratkhabar, ada kisah ayah yang baru keluar dari wad dihantar semula ke tempat menunggu bas.  Kalau di rumah kebajikan, ada orang tua yang beranak ramai, tak seorang pun anak-anak yang mengambil kisah dirinya.  Kesimpulannya, kita tak berkusa nak menentukan dan memastikan orang yang pernah kita tatang dan bela, akan menatang dan membela kita dengan cara yang sama.  Memang di luar bidang kuasa kita!


Ini juga bukti, bahawa sebaik-baik jalan hidup adalah jalan yang mengikut perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA, jalan yang ditempuh oleh orang-orang yang inginkan keredhaanNYA, cinta dan rindu kepadaNYA.  Sentiasa bergantung kepadaNYA.  Tidak membesarkan dunia, tidak mengecilkan akhirat.  Sebaliknya mengecilkan dunia, dan membesarkan akhirat.  Jalan ke syurga itu memang dihiasi dengan segala kesusahan dan derita.  Sedangkan jalan ke neraka itu dihiasi dengan senyum gembira gelak ketawa dan kenikmatan dunia yang melalaikan.  Itulah ketetapan Allah.  Bukan mudah mahu mendapatkan syurga, sebaliknya teramat senang terjun ke neraka, nauzubillah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Setelah kamu ditimpa kesedihan, dia (Allah) menurunkan rasa aman dan tenang kepadamu. Ada golongan yang telah mencemaskan diri mereka sendiri kerana prasangka buruk terhadap Allah SWT seperti sangkaan orang jahiliah dulu di mana mereka berkata: Adakah ada sesuatu di sebalik urusan ini. Apa maknanya semua ini? Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya segala urusan itu di tangan Allah SWT.” (Surah Al-Imran, ayat 154)

Maka marilah kita sentiasa mempraktikkan sikap berbaik sangka kepada Allah, dan berbaik sangka sesama kita manusia.

Mak masih pening-pening.

"Mak tak makan ... sebab tu badan tak kuat.  Sebab tu pening."

Mak senyum je.

"Ubat pun rasanya mak tak makan."

Mak senyum macam tadi juga.


"Mak makan.  Tadi Kak Lia belikan mak nasi goreng kampung.  Mak makan."

Atas kabinet rendah di sisi katil, ada jag kecil merah jambu berisi air masak.  Ada magge segera perasa pedas dalam mangkuk yang belum dibuka.  Juga sebotol besar air mineral yang sudah didoakan oleh Ulong Mansor. 

Baiklah, mak.  Kita ikut mana yang baiklah ... mak tenang-tenang aje.  Tentang uwan jangan dirisaukan.  Yang penting ialah mak sembuh dan sihat semula.  Uwan tentu suka nak balik kampung.

Yang pasti, Hurilain seperti sengih panjang dalam telefon ketika bercakap-cakap dengan onyangnya tadi.  Dah tak menangis dah dalam telefon.  Sebaliknya mendadak minta dijemput dari madrasah pada petang Jumaat ini, selepas taklim.  Bermakna dua malam dia akan tidur di rumah.

"Bolehhh ... pandai-pandailah bagi alasan baik punya."

"Sapa kena siapkan alasannya??"

"Mama la!" Huhh ...

Okeylah, mungkin alasan ziarah nenek yang baru jalani operation memasang pace maker sangat munasabah ... kalau nenek masih berada di IJN!


Kami juga akan ziarah Naqib.  Anak remaja tu memberitahu mahu makan bersama.  Berita gembiranya, dia sudah khatam juz 20 pagi semalam.  Kini mula menghafal juz 19 pula, alhamdulillah syukur kepada Allah!


Sekian dahulu, saya mohon maaf zahir batin di atas sebarang khilaf tutur kata yang mungkin menyinggung perasaan sesiapa jua yang sudi menjenguk blog ini.  Sehingga ketemu lagi, ceria-ceria selalu.



Sunday, October 2, 2011

Homesick ...?

"Mama jangan bawak keta laju-laju tau!"  entah berapa kali ulang.

"Mama kalau ada apa-apa jangan rahsia-rahsia, mesti bagitau tau!!"  berkali-kali diucapkan.

"Mama jangan lupakan Ain tau!!!"  tak sudah-sudah sampai sudah!

"Mama duduk rumah baik-baik ya!!!!"  laa ... hrmmm insyaAllah Allah akan jaga.

Hurilain duduk dekat-dekat.  Pegang-pegang tangan.  Macam dah bertahun tak bertemu.  Macam berpisah takkan jumpa lagi.  Apa punya teruk daa ...

Dalam kereta, matanya merah.  Selepas semua orang perasan termasuk si abah, airmatanya dibiarkan mengalir selamba.  Kena la pujuk. Layan aje.

Bagilah dia masa seminggu dua, atau sebulan dua ... kata makngah Ananya, 'tengah homesick'.  Tapi kondisi dia lebih baik daripada keadaan Naqib dulu.  Malas nak cerita, cukuplah kenang-kenangan budak gemuk yang selalu kena cubit main-main dek ustaznya main tarik-tarik dengan ustaz kat pintu kereta hehe ...

Dan kenang-kenangan meninggalkan anak sulung itu dengan hati yang terharu, untuk ke Brunei dulu.  Melihat dia dari jauh, memerhati dan melambai tak henti.  Allah jua yang memberi kekuatan pada hati.

"Mama ... jangan rahsia-rahsia kalau ada apa-apa, janji tau!"  lagi ... apa yang jadi?  apa yang nak dirahsiakan?  Hmm ... macam-macam la budak ni.

"Ain selalu berfikiran buruk."  Airmatanya kembali mengalir.

Layan aje.  Apa yang diperlukannya ialah semangat dan kekuatan hati untuk berjauhan dari keluarga.  Pelajar perempuan yang mendiami asrama masih sangat beruntung dibandingkan dengan pelajar lelaki.  Mereka dibenarkan pulang ke rumah sebulan sekali iaitu pada minggu keempat.  Cuti hari raya pun lama, sebulan penuh.  Setiap hari Sabtu ada kelas memasak dan menjahit.

Kerana itu saya dan keluarga sangat ingin Hurilain tinggal di asrama.  Bahkan semenjak dia masih di sekolah rendah, saya berura-ura menghantarnya ke asrama, tetapi belum diizinkan.  Ada beberapa kebaikan yang tiada di rumah, dapat diperolehi di asrama.  Pergaulan yang lebih baik, fokus kepada ilmu yang dipelajari dan belajar mengurus diri.  Seminggu yang telah berlalu, menyaksikan ada perubahan yang positif dalam diri Hurilain.

Cuma, airmatanya sangat mudah mengalir.

Tak mengapa, berilah dia masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana serba baru di sana.  InsyaALlah, dengan doa bersama harapan serta edaran masa yang terus berlalu, segalanya akan menjadi lumrah, mudah-mudahan.

Ya Allah, peliharalah Hurilainn, guru-guru dan rakan-rakannya dari musibah,  Bantulah mereka, kasihanilah mereka, kasihilah mereka, dan limpahkanlah rahmatMU yang berkah ke atas  mereka.  Terangkanlah hati mereka, lancarkanlah lidah mereka, teguhkanlah iman mereka dan tinggikanlah darjat mereka sebagai orang-orang yang mencari ilmu untuk membaiki diri, mengenal diri dan menginsafi diri sebagai hambaMU yang serba lemah, tidak mengharap kepada lain selainMU.  Jadikanlah mereka mujahidah, daie'yah, hafizah dan alimah yang benar-benar bertaqwa kepadaMU.

Ameen.

Saturday, October 1, 2011

tak de tajuk sesuai

Assalamualaikum dan salam sejahtera lewat malam.


Terima kasih 'Seniman Senja'  yang menambah keceriaan senarai follower blog keluarga ini.  Hehe ... ...  Boleh la geng, tang photos matahari petang tu, cantikk ...

Sepanjang hari ini, kami tiga beranak berkurung je dalam rumah.  Dan saya berjaya menyudahkan (Alhamdulillah) membaca novel penulis seberang yang khabarnya di kulit buku itu sudah terbitan kedua.  Saya tak berminat nak nyatakan tajuk dan nama penulisnya, sebab urghh!...  Indah khabar dari isi.  Entahlah, kalau sekiranya saya terlalu senteng menilai.  Tapi saya sudahkan juga novel yang dah dua tahun dibeli ini (sangkut baca bab 1 lagi) sebab nak melihat cara penulisannya.

(Betullah kata karyawan ~ cerita-cerita biasa kalau digarap dengan indah, akan sangat mengesankan pembaca.  Sebaliknya cerita-cerita indah dan hebat andai dicantum dan dikait oleh minda dan semangat yang pudar, langsung jadi hampeh entah apa-apa jadi biasa-biasa saja).

Hmm ... kurang memberangsangkan/menggoda/menghayun perasaan/ menggetarkan/mengejutkan.  Lalu saya akur kepada petua dan pembaikan sifu untuk novel saya, serta keanggunan beliau untuk semua novel-novel yang dihasilkannya.

Juga, tak lupa novel Rengsa oleh saudara Pujangga Seni.  Hebat!

Serta Rahsia Agenda Alam Hitam yang penuh saspen oleh Zehann Ur Rekhie.

Sekadar menyebut beberapa contoh novel era baru.

Sehari dua ini saya rasa sangat perlu membaca buku dan novel semula, selain blog (bukan penziarah yang bagus pun); bukan posting di FB (nak kurang-kurangkan berFB!) dan bukan suratkhabar harian tentunya atau majalah-majalan picisan yang bercampur-aduk kisah kelakar + separa lucah + hantu setan + kata-kata hikmah + info Muslim + pelbagai jenis iklan. 

Err mungkin kebanyakan input zaman tok kaduk kian pupus dari ingatan?  Tak kisahlah, saya memang perlu input baru.  Tapi itulaa ... banyak la komennya pulak haihh! 

Bila memandang rak buku itu, rasanya tak payah ke perpustakaan atau kedai buku untuk sebulan dua atau setahun dua.  Teruk punya koleksi!  Pembaca dan peminat buku yang teruk.  Apa-apalah ...

Huh, senyap!  Semua dah lena ke alam mimpi rupanya.  Baru jam 11.12PM.  Ok, masanya untuk berhenti berblog tapi nak jenguk FB jap, dan mula membaca.  Nak menelaah menghabiskan AAC yang dah dua tahun dibeli, hebat ke tak hebat lawan dengan novel yang tadi tu.  Kalau tengok video memang kelassss ....

Sudah ada senarai lama novel-novel hebat sepanjang zaman, tapi kat mana nak cari??  Tak mengapa, habiskan dulu apa yang ada kat depan mata.  InsyaAllah.

Eh, apasal senyap makin senyap?  Ohh ... siaran radioislamnusantara dah  tamat rupanya.

Esok pagi-pagi buta nak ambil Hurilain kat madrasah.  Belum terang tanah dah boleh ambil pelajar, katanya.  Balik sebelum tanah gelap.

Semoga Allah memudahkan semua urusan dunia, urusan ugama, urusan hati, urusan iman dan taqwa, segala urusan dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya, dari yang tak penting hingga ke paling penting, segalanya.  Semoga Allah mudahkan pertemuan dengan rakan-rakan yang belum dikenali tapi ingin dicari.  Semoga Allah mudahkan urusan mak di IJN nanti, dan semoga Allah bantu uwan membuat solat hajat untuk anak-anaknya tersayang yang berdua tu untuk natijah yang terbaik lagi diredhaiNYA. 

Ya Allah, kembalikanlah kami mengikut jalanMU yang satu.  Kami memohon redha dan ampunanMU.  Kasihanilah kami yang selalu alpa,  lalai lagi lemah.  Selawat dan salam ke atas Junjungan Rasulullah Shallalahu alaihi wasallam, ahli keluarga dan sekelian sahabat baginda.  Tiada jalan yang selamat melainkan jalan yang ditunjukkan oleh baginda Rasul.

Ya Allah, aku kami masih terhairan-hairan kelompok orang-orang yang sempoi itu.  Tetapi mereka selamba dan terus gigih.  Alangkah cemburunya!  Ganjil betul!  Tak faham?  Tak apa-apa, masih nak merapu di waktu perlu tidur sebenarnya hehe ...


Sehingga ketemu lagi minggu hadapan.  Ceria selalu.  Wassalam.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing