Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, October 9, 2009

Timang tinggi-tinggi




"timang tinggi-tinggi sampai siling rumah
tapi tak boleh lama abah rasa mengah"

(sekali sekala Hidayat membuat permintaan untuk ditimang tinggi-tinggi)


Thursday, October 8, 2009

Sentiasa Memandang Positif Pada Kehidupan

Saya baru menjengah http://keranacinta.wordpress.com dan membaca biodata penulisnya. Beliau merupakan seorang yang berpendidikan tinggi dan katanya sedang mengintai peluang untuk phD.  Mengkagumkan, semoga puan dilapangkan jalannya dan dimudahkan segala urusan oleh Allah Taala.
Memikirkan perjalanan hidup yang telah saya tempuhi, merupakan satu perjalanan yang tidak lari daripada ujian dan dugaan dari Tuhan.  Saya mendapat tawaran ke ITM di Segamat selepas keputusan SPM diumumkan, hasil pertolongan seorang rakan yang mengisi borang untuk saya.  Mendapat tawaran bekerja  di Menara Maybank dan menyambung pelajaran ke luar negeri  tetapi saya tidak hadir di hari pertama bekerja. Tanpa bimbingan dan tidak pandai berfikir jauh, saya mengenepikan tawaran pertama ke ITM dan membuat keputusan mengambil STPM di dalam aliran sains.  Terbiasa dengan sikap bersendirian dan membuat keputusan mengikut kepala sendiri, saya memohon semula ke ITM dengan keputusan SPM juga dan diterima masuk ke ITM Jalan Hang Tuah, Melaka.  Waktu itu krisis air begitu kritikal sehingga kami terpaksa berjimat menggunakan air untuk mandi dan urusan harian.  Saya tidak pasti sama ada  pilihan pengajian perniagaan adalah tepat untuk saya.  Saya dapat rasakan jiwa ini lebih cenderung ke pengajian Islam, namun kekurangan info dan bimbingan menghadkan pilihan saya.  Seorang rakan menyarankan saya menyambung pelajaran ke kolej di Terengganu di dalam bidang yang saya minati tetapi malangnya tarikh tutup permohonan hanya tinggal sehari.  Tidak mungkin saya dapat mengejar masa ke Terengganu untuk mendapatkan borang permohonan.  Saya terus belajar di ITM dengan pelbagai cabaran khususnya ujian hati yang selalu menyebabkan saya hilang tumpuan kepada pelajaran.  Setelah tamat belajar di sana, rakan-rakan memujuk saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.  Saya yang selalu prejudis dengan negara Barat enggan ke sana, akhirnya saya ditinggalkan.  Saya begitu teringin hendak ke negara Timur Tengah, namun akhirnya saya berada di UKM, Bangi melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi.  Ujian hati terus mendatangi saya.  Pernikahan, penangguhan pengajian dan menyambung semula secara jarak jauh, akhirnya saya di sini hari ini.  Bekerja, tidak bekerja, bekerja dan tidak bekerja.  Belajar lagi di dalam pendidikan awal kanak-kanak, membuka nurseri penjagaan kanak-kanak atas saranan rakan, dan akhirnya saya sedari bahawa saya ingin menulis. 
Mula menulis di blog ini, mendatangkan satu kepuasan kepada diri saya.  Pada mulanya saya ziarah blog orang-orang muda yang menulis dengan cara mereka yang tersendiri.  Ia mempengaruhi saya untuk menulis seperti itu.  Di satu ketika, saya menjadi bosan dan memikirkan perlu membuat satu perubahan.  Informasi berguna dan tip-tip dari buku, blog orang-orang yang berpengalaman di dalam bidang penulisan seperti Puan Ainon, pemilik PTS dan lain-lain termasuk blog kekanda saya sendiri, membuka hati saya untuk menulis semula dengan cara saya sendiri. 
Saya menulis untuk diri saya sendiri, namun kunjungan dari beberapa blogger yang memberi komen positif amat menggembirakan hati saya.  Saya juga amat baru dengan dunia blog ini.  Saya lebih asyik menulis berbanding 'menghias' blog saya dengan pelbagai alat kerana tidak selalu berkesempatan berlama-lama.  Syukur ke hadrat Illahi kerana pernah mengambil kursus menaip secara intensif semasa tinggal dengan kekanda saya di Ipoh.  Kemahiran ini amat membantu saya menaip dengan pantas dan mampu mengejar idea yang kadang-kadang mengalir seperti air.
Saya masih menyimpan cita-cita zaman kanak-kanak dahulu; mahu jadi professor.  Bukan mudah untuk menggapainya.  Pelbagai rintangan dan halangan buat saya kini termasuk tanggungjawab kepada keluarga.  Saya tidak ralat, seandainya saya tidak bergelar professor.  Walaupun saya selalu berfikiran positif bahawa saya akan dapat apa yang saya mahu atau rancang, saya juga yakin Tuhan sebaik-baik perencana telah menyiapkan rencana terbaik untuk saya.
Kini saya mahu menulis.  Doa saya, rencana saya selari dengan rencana agung Illahi.  Agar saya tidak tersilap arah lagi.  Semoga pencarian saya di dalam haluan hidup telah saya temui, insya Allah.

Pandangilah hidup ini dengan pandangan yang jernih
pandangan dari dalam hatimu sendiri
hati itu tidak pernah menipu
kerana ia menerima cahaya dari Illahi

usah berputus asa dengan gelombang kehidupan
setelah mendung pasti muncul cahaya mentari
selagi ia masih terbit dari timur
Kiamat belum mampir
masih ada kesempatan untuk sujud kepada Illahi
memohon keampunan dan rahmat kehidupan

buat diriku sendiri
setiap saat kian singkat
moga dapat kulakukan sesuatu yang bermanfaat
kenang-kenangan untuk cahayamata
tanda kasih sayag cinta yang bersarang penuh di jiwa
sejauh mana kau bebaskan cintamu
pemilik cinta hanya satu
tiada dua tidak tiga
hanya Tuhan Cinta Agungku.

(moga tidak sekadar sebuah nukilan)

Awak Dapat Apa Yang Awak Buat


Saya melihat sekelimbas lalu rancangan Malaysia Hari Ini pagi ini.  Tetamu jemputan ialah Prof. Dr.Muhaya Muhammad, seorang pakar bedah mata.  Beliau memberi penerangan mengenai pelbagai penyakit mata.  Melintas-lintas di hadapan tv, akhirnya saya berhenti apabila mendengar sesuatu yang menarik hati.
"Ada pesakit yang mengalami penyakit kencing manis, buah pinggang telah rosak tetapi keajaiban berlaku, iaitu keajaiban di dalam perubatan.  Mata pesakit ini tidak rosak langsung."  kata Prof. Dr. Muhaya.
Saya tertunggu-tunggu ayat Prof. seterusnya.
"Saya bertanya kepada pesakit tersebut sekiranya beliau suka mengaji Al Quran.  Beliau berumur sekitar 70.  Saya suka bertanya dari sudut spiritual kepada pesakit Muslim.  Beliau hanya diam sahaja.  Saya tanya lagi dan akhirya beliau mengakui setiap selepas solat Subuh, beliau tidak pernah meninggalkan membaca Al Quran."  jelas Prof dengan panjang lebar.
Menurut Prof., ia dipanggil keajaiban di dalam perubatan kerana bagi seseorang yang mengidap kencing manis, kerosakan mata akan berlaku lebih awal daripada kerosakan buah pinggang.  Ini kerana mata merupakan organ paling kecil dan paling cepat mendapat efek daripada penyakit kencing manis.
"Awak dapat apa yang awak buat,"  kata Prof. lagi sambil tersenyum.
Apa yang boleh kita fikirkan daripada penerangan Prof. Dr. Muhaya ini??  Tentu ada sesuatu yang amat positif yang boleh diambil untuk kehidupan kita sendiri.  Fikir-fikirkanlah...semoga dapat mengambil kebaikan daripadanya. 

Keturunan Pagar Ruyong

Pagi ini suami saya membeli 4 bungkus nasi lemak yang paling enak di Sijangkang,kalau lambat sikit pergi mesti dah habis iaitu di gerai Liza depan surau Hj Hassan. Saya, suami dan abang saya yang transit dari Senai untuk 3 malam, bersarapan bersama. Hari ini abang saya akan pulang ke Senai setelah selesai urusannya di Shah Alam. Beliau adalah satu-satunya abang saya, anak sulung dari 6 adik-beradik.
(Kepada bloggers yang mengikuti catatan saya dari awal, pasti faham mengapa sekejap saya jadi anak tunggal, sekejap saya ada kakak dan abang).
Abang mengeluarkan sesuatu yang dimasukkan ke dalam air milo nipis yang masih panas. Rupa-rupanya beliau mengambil Nutriblend sebagai makanan kesihatan. Abang saya amat prihatin dengan kesihatan dirinya juga ahli keluarga.   Beliau agak kurus tetapi tetap bertenaga walaupun tidak mengambil makanan mengikut jadual sepatutnya.  Inilah rahsianya...
Bermula dengan sembang mengenai Nutriblend, abang semakin rancak bercakap.  Di antaranya amat baru kepada saya seperti MENSYAHADAHKAN makanan agar memberi kebaikan kepada rohani dan jasmani.  Dahi saya kian berkerut apabila abang berteori bahawa kemungkinan kami berasal dari keturunan berdarah raja Pagar Ruyong dengan alasannya yang tersendiri.  Namun mustahil kami menyusuri semula keturunan yang telah jauh terpisah oleh keadaan dan masa.  Tambahan pula kata abang, itu semua tidak penting lagi.
Demikian, jauh di dalam hati, saya membenarkan bahawa semua umat Islam adalah bersaudara, dari bapa dan ibu yang satu.  Darah yang mengalir adalah sama warnanya.  Maka tidak ada beda sebenarnya asal keturunan seseorang.  Hanya keturunan istimewa Rasululllah SAW yang  sentiasa dipelihara Allah sepanjang zaman.  
Percakapan abang kian tinggi intipatinya, saya mula pening kepala.  Bulu roma saya menggerinding sekali sekala, kala isi perut bergelora.  Namun saya terus duduk mendengar kerana butir bicara abang amat istimewa tidak akan didapati dari sebarangan orang. 

(Abang sedang bersandar di kereta),
Didoakan abang sekeluarga panjang umur dan murah rezeki selalu, serta dimudahkan semua urusan.  Kami mengalu-alukan abang datang transit lagi sekiranya ada urusan di sekitar Selangor, pada masa hadapan.  Semoga kasih sayang kian erat walaupun jarang-jarang bertemu.  Didoakan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.  Amin.



Kenangan pulang berhari raya - Hanessa

Perjalanan pulang ke kampung lewat 2 setengah jam daripada waktu yang diirancang. Ampaian beroda ditarik ke dalam ruang dapur dan pakaian lembap dipindahkan ke situ. 5 buah beg mula diisi dengan pakaian. Ketika perjalanan hendak dimulakan, saya terpaksa masuk semula ke dalam rumah untuk mengunci tingkap bilik yang hanya dirapatkan sebelumnya, dan masuk sekali lagi untuk membuka lampu di belakang rumah dan lampu dapur.
Alhamdulillah syukur akhirnya kembara pulang ke kampung pun bermula dengan suasana yang tenang dan bacaan doa bersama-sama. CD lagu Hari Raya pun dipasang buat halwa telinga. Aura Hari Kemenangan kian terasa. Anak-anak ceria dan seperti tidak sabar hendak sampai ke destinasi, rumah uwan dan atuk di Sri Menanti.
Setelah beberapa ketika, saya mula tersengguk-sengguk di pertengahan jalan dan akhirnya terlena. Tiba-tiba saya tersedar kerana dikejutkan supaya mengangkat pakaian di jemuran. Rupa-rupanya hujan telah turun.
Hanessa yang setia menemani abahnya memandu menoleh melihat abahnya, "abah, hujan dah turun. Angkat baju kat ampaian!"
"Ye lah, kejut mama, angkat baju," sahut abahnya dengan rupa cemas.
Hidayat pula mencelah, "Kejut mama cepat, nanti baju basah!"
Lantas anak-anak ini pun beria-ia membangunkan saya dari lena tanpa mimpi itu. Dalam terpisat-pisat, mereka bertiga menyuruh saya pergi mengangkat baju di jemuran segera. Hanessa memandang saya dengan wajah bimbang...
Ketawa pun berderai. Saya hanya mampu tersenyum sumbing. Ternyata gadis kecil kami begitu prihatin sehingga dia terlupa kami semua sedang berada di dalam kereta dalam perjalanan pulang ke kampung...Saya cepat-cepat memeluk Hanessa kerana jelas kelihatan dia mahu merajuk kerana malu ditertawakan.
"Baguslah Baby ni, hari hujan mestilah angkat baju kan, kalau tidak baju basah" saya cuba mempertahankan tindakannya sebentar tadi. "Tetapi kita tiada baju di jemuran, semua ada di dalam beg" sambung saya lagi. Hanessa kembali ceria seperti biasa.
Menghampiri kawasan kampung, mata kami mula menangkap 'lomang paneh', 'lomang apak' dan beberapa papan iklan yang sewaktu dengannya di pinggir jalan. Namun belum ada bayang lemang sedang dibakar di situ. Akhirnya kami sampai di rumah bonda pada jam 3.45 petang. Wajah mak, abah dan uwan ceria, "Kato nak sampai tongahari..."
Kami hanya tersenyum.  Biasalah tu...sahut saya di dalam hati.
Setelah menurunkan kuih-muih dan beg-beg pakaian, saya menerangkan kepada mak bahawa kami akan ke Segamat untuk berbuka puasa di sana. Saya mengambil beberapa helai pakaian untuk setiap anggota keluarga manakala semua beg pakaian ditinggalkan di rumah mak. Kami berjanji akan pulang awal esok. Setelah bersalaman sekali lagi, kami pun bergerak ke arah selatan.  Menghampiri simpang pekan Juasseh, kami berhenti di khemah kecil yang menjual banyak lemang. Buluh lemang begitu kecil lebih kurang sama dengan saiz lengan Hanessa, dijual dengan harga RM7 sebatang. Lemang yang bersaiz besar sedikit berharga RM8. Suami saya membeli 3 batang lemang serta rendang sebagai buah tangan ke rumah mertua.
Perjalanan dimulakan lagi, namun kami bergerak perlahan kerana hujan yang turun begitu lebat sehingga pemandangan menjadi kurang jelas.  Setelah hujan beransur reda, kami melihat sebuah lori barang terbabas ke kanan jalan. Tidak lama kemudian kami melihat sebuah kereta yang telah tertonggeng di dalam parit. Mungkin kemalangan ini berlaku semasa hujan lebat tadi. Alhamdulillah, akhirnya kami selamat sampai di Segamat dan cuaca pun cerah. Dapatlah kami berbuka puasa dengan keluarga di Segamat.  Mak Leha, Abah Mat Arbak dan Kak Ana tertawa gelihati apabila kami menceritakan kisah Hanessa kepada mereka. Buat beberapa hari, telatah lucu ini terus menjadi bahan sembang kepada saudara-mara yang datang berkunjung.

Anak-anak adalah cahayamata, penghibur hati, penyejuk mata

Nikmat Allah yang paling berharga

Menjadi sumber bahagia...

Facebook Melalaikan


Saya menerima komen dari seorang pelawat di blog ini.  Terlebih dahulu saya dengan sungguh besar hati mengalu-alukan 'kedatangan' beliau dari 'http://keranacinta.wordpress.com' di mana blog beliau juga sungguh menarik dan penuh dengan pengisian rohani.  Ringkas sahaja komen yang diberikan iaitu menyetujui pendapat saya bahawa FACEBOOK ITU MELALAIKAN.
Menjelang hari raya, saya add sungguh ramai kenalan di fb, saya klik setiap nama yang dicadangkan sehingga mencecah lebih 200 orang dalam sekejap masa sahaja.  Namun saya hanya mencelah di isu yang sesuai dengan selera saya dan mempunyai sedikit idea.  Satu isu yang dibangkitkan oleh seseorang ialah isu biasa pilihan balik kampung siapa pada tahun ini untuk menyambut Aidilfitri.  Setelah mengikuti beberapa ketika saya mencelah memaklumkan bahawa kami pulang ke kampung saya setiap hari raya setiap tahun.  Respon hangat diberikan iaitu ia adalah tidak sepatutnya sedemikian manakala ada juga yang menyokong saya.  Lucu dirasakan berbincang di situ, seolah-olah saya tidak langsung bertolak ansur dengan suami dan seolah-olah suami tiada pilihan melainkan mengikut kehendak saya.  Walhal hakikatnya tidak sedemikian.
Saya add ramai penyokong parti politik khususnya dua parti utama di negara kita ini.  Masing-masing mengeluarkan pendapat yang pastinya menjurus kepada menegakkan kebaikan parti  yang disokong.  Tidak kurang juga keluar perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan.  Ada seorang wanita yang manis wajahnya menulis 'macam sial' terhadap satu isu.  Saya tertanya-tanya adakah wanita manis ini turut berkata demikian di mulutnya...Akhirnya saya tidak larat hendak melihat semua entri yang ada dan hanya melihat sekelimbas lalu sahaja.
Ringkasnya pendapat saya, bahawa laman sosial sebegini boleh mendatangkan kebaikan sekiranya ia digunakan untuk ukhwah dan bertukar pendapat demi kebaikan bersama, rujuk saifulislam tentang ini.  Pendapat beliau amat tepat dan wajar dijadikan panduan semasa berkomunikasi di laman sosial seperti ini.  Apakah yang dapat anda sumbangkan kepada kehidupan realiti, kepada pemikiran dan jiwa anda sendiri, seandainya anda bertelagah di laman sosial dengan maki hamun di antara satu sama lain?  Dapatkan jiwa anda dibangunkan dengan permainan alam maya yang sangat menarik anda terus menerus menghabiskan masa untuk memenanginya, membiarkan masa yang berharga berlalu pergi begitu sahaja?  Pertanyaan untuk diri saya sendiri khususnya dan untuk semua; apakah tujuan Allah mengizinkan kita menjadi antara yang berjaya lahir dari rahim ibu dan bernafas di alam fana ini?
Saya yakin tentu orang-orang di FB mempunyai jawapan yang jitu; pemain-pemainnya adalah golongan terpelajar belaka.
Demikianlah, saya bukan orangnya yang wajar mempertikaikan dunia laman sosial ini.  Sekadar  pendapat peribadi, dek kerana laman ini dirasakan bisa, mampu, boleh (dan lain-lain perkataan seerti..) mencetuskan kegawatan di dalam hidup.  Hidup ini kian singkat, tidak ada orang yang hidupnya semakin bertambah lama.

Sebenarnya saya masih menjengah di facebook, sekadar melihat isu-isu semasa yang dipaparkan untuk mendpatkan sedikit berita dunia semasa.  Siti Rahmah yang jelita masih setia menyebarkan isu-isu panas dan terkini, sentiasa mendapat komen yang berlambak dari pembaca.  Dato' Mahadir Lokman masih tersenyum ceria.  Nenek Brutal terus brutal...dan tidak dinafikan isu-isu positif yang boleh mendatangkan kebaikan seperti dari Usahawan Muslim dan sebagainya.
Salam kepada rakan-rakan di FB yang add saya dan saya add mereka.  Jangan marah-marah, agar tidak tua sebelum waktunya, agar awet muda selalu. :)

Wednesday, October 7, 2009

Hanessa mengujiku

Saya akan duduk di kerusi mengadap laptop selepas pulang menghantar Ain dan Hidayat ke Sekolah Rendah Agama Sijangkang jam 2 petang.  Hanya Hanessa yang berumur 4 tahun menemani saya di rumah.  Dia suka menonton siri Wonderpet, namun kebelakangan ini dia kelihatan bosan dan sering meninggalkan tv tanpa ditonton.  Mungkin kerana siri itu berulang-ulang menayangkan cerita yang sama.
Apabila saya mula duduk di kerusi ini, Hanessa akan mula berkelakuan yang pastinya mengganggu konsentrasi.  Dia mula meminta air susu, walhal di dalam botolnya baru diisi dengan air milo, yang baru diminta sebentar tadi.  Saya pujuk dia agar menghabiskan air milo terlebih dahulu.
"Minum milo dulu.  Usah membazir," kata saya, masih boleh berlembut.  "Nanti, kalau minum milo, minum susu, perut sakit,"  saya cuba merangsang kesedarannya.  Sekiranya saya buat juga air susu, sama ada air milo atau air susu salah satu tidak akan diminum dan akhirnya akan terbuang begitu sahaja.  Kalau dimasukkan dalam peti ais, langsung tidak akan diminum.  Sudah beberapa kali demikian.
"Ok, nanti perut Baby sakit, kannn..."  kata Hanessa, mengiyakan.
Sambil berbaring di atas kerusi pejabat yang boleh berpusing-pusing ini, dia meminta saya menghulurkan botol susu kecil bersaiz 150ml yang diisi dengan milo suam.  Habis air milo, Hanessa menghulurkan botol itu kepada saya.  Kemudian bermula episod seterusnya, dia mahu naik ke riba saya.
"Adik duduk kat kerusi sebelah ini.  Mama nak buat kerja."  terasa nada saya mula meninggi.  Bayangkan di waktu idea yang seciput ini sedang mencurah-curah, Hanessa melambatkan saya menaip di keyboard.  Airmuka gadis kecil ini sedikit berubah.  Muncungnya boleh ditanjul, selalu mak kata begini. 
"Mama, buka gril ini.  Baby nak tengok kolam.  Baby nak cedok berudu,"  Hanessa menggoyang-goyangkan gril pula.  Sabar... saya bangun, ambil anak kunci dan buka pintu gril perlahan-lahan.  Hanessa meluru keluar mengambil jaring ikan dan mula mencedok berudu.  Sambil itu, mulutnya masih mencecer mengajak saya berborak, meminta saya melayani bicaranya yang agak merapu.
Saya duduk semula di kerusi.  Sebentar tadi saya chatting dengan seorang rakan FB, berkaitan dengan penulisan novel.  Panduan yang diberikan amat membantu saya untuk memulakan novel ini.  Beliau ialah Arman Abdul Rashid dari Pahang, merupakan Ketua Penerangan Pemuda (AMK) Pahang dan Ketua AMK cabang Pekan.  Seandainya novel saya berjaya diterbitkan, saya akan masukkan nama beliau di Penghargaan nanti, insya Allah. 
"Ci ce co, co ci ce, ce ce..."  Hanessa bercakap sendirian.  "Mama, Baby telefon cakap Cina."
"Oh!  pandainya."

Hanessa mencapai sebatang pen dan sehelai kertas.  "Mama, tengok ini!"
Saya melihat bentuk-bentuk mirip nombor 9, H, I dan A di atas kertas.  "Pandainya!" pujian saya menyebabkan Hanessa tersengih-sengih girang.  Dia hanya menulis tanpa tahu menyebut huruf atau nombor yang ditulis itu melainkan huruf A.  Hanessa sudah pandai mengira 1 hingga 10 dengan lancar. Lagu yang sinonim dengan kanak-kanak iaitu lagu ABC juga boleh dilagukan  tetapi masih tersangkut di hujung-hujung.
Tiba-tiba, "Hello, memanglah.  SMS saya kan.  Jaga sikit mulut tu.  Anak awak tu jahat.  Assalamualaikum, bye," kedengaran kata-kata ini pula.  Saya lihat dia sedang meletakkan telefon bimbit saya di telinganya sambil memusing-musingkan kerusi dengan santai.
Amboi....boleh tahan mulut kamu ya.

"Mama, nak milo lagi."
"Kejap..."
"Cepatlah, mama!  Dah haus sangat ni."
"Ok."

Sebotol kecil air milo dihulurkan ke tangan Hanessa.

"Mama,..."
"Hah, ada apa?"
"Milo mama tak sedap."
"Ha???"
"Sebab mama marah Baby."
"Mana ada..."
"Tu mama buat bunyi cicak."
"Mana ada mama buat bunyi cicak."

Jadual harian telah beralih sekian lama.  Hanessa tidur lambat dan bangun lewat.  Kalau bangun awal pagi pun dia tahan mata tidak tidur sepanjang hari.  Melainkan saya menemaninya di bilik tidur.  Itulah yang tidak dapat saya lakukan, kerana masa inilah masa yang paling tersedia untuk saya, selepas selesai menguruskan rumahtangga.  Sedangkan duduk di hadapan laptop ini pun, sebenarnya masih banyak kerja yang tertangguh.
Demikianlah sebuah pengorbanan yang perlu dilakukan.  Saya perlu mengagihkan masa untuk dapat melakukan semua kerja semampu mungkin.  Beruntung juga mempunyai suami yang boleh berlebih kurang, walaupun kadang-kala tegurannya lebih berbisa daripada 10 kg cili api yang paling berapi.

Ya Allah, berilah daku kekuatan untuk meneruskan kehidupan di atas landasan keredhaanMu.  Kumohon idea-idea dariMu, Tuhanku, iaitu setiap huruf yang membentuk perkataan demi perkataan dan menjadi sebaris ayat demi ayat, membawa diriku dan orang-orang yang sudi membacanya ke arah kebaikan dan pembangunan jiwa, pengharapan yang total kepadaMu semata.  Amin.
...akhirnya Hanessa berjaya naik ke pangkuan saya, tertawa girang mencapai hajat di hatinya sejak tadi.

Tiada Lagi Facebook


Saya tidak akan aktif lagi di Facebook.  Saya memang tidak aktif, cuma sesekali membuat komen di situ.  Semakin lama semakin saya lalai sehingga perkara utama yang mesti diberi tumpuan tidak dapat saya lakukan.  Semasa hari raya tempohari, saya bertemu kakak di Batu Kikir.
"Sekarang tumpu pada apa?"  tanya kakak.
Kakak memberitahu, dia amat sibuk dengan tugas mengedit novel dan menyusun buku untuk DBP.  Saya sungguh kagum pada dia.  Kesibukan melayan 6 cahayamata yang sedang membesar dengan pelbagai kerenah, kakak masih ada masa untuk menghasilkan novel dan membuat kerja-kerja penulisan.
"Sedang rangka cerpen, dalam kepala sahaja." jawab saya.
"Dah tulis novel?" tanya kakak lagi.
Saya geleng-geleng kepala.  Saya masih tiada keyakinan.  Saya rasa tidak mampu hendak menulis terlalu banyak sehingga dapat dijadikan sebuah novel.  Bukan tiada idea.  Cuma saya rasa tidak sanggup hendak menulis dalam masa yang panjang dan membuat pelbagai rujukan bagi memantapkan perjalanan cerita.  Wujud unsur pesimis di jiwa.  Perasaan lemah ini tidak boleh dilayan dan dibiarkan menguasai diri.  Saya perlu bangkit semula, untuk memulakan langkah yang baru terhenti.
Semasa di Madrasah, saya mendapat panggilan dari editor Dewan Pelajar meminta alamat rumah dan membuat pengesahan nombor kad pengenalan.  Saya tidak bertanya lanjut, namun saya andaikan cerpen kedua saya mungkin telah terpilih untuk diterbitkan.  Alhamdulillah.  Ini bermakna saya boleh menulis, dan ia perlu diperbaiki lagi dan ditingkatkan lagi dengan menghadiri kursus-kursus penulisan.  Insya Allah.
Ya Allah ya Tuhanku, bantulah hambaMu yang daif ini mencapai cita-cita.  Bantulah hambaMu yang teramat lemah ini melepasi pelbagai rintangan dan cabaran.  Hanya padaMu tempatku mengadu dan memohon pertolongan.  Hanya padaMu sentiasa....

Tuesday, October 6, 2009

Petua keluarga menghilangkan batuk berkahak (edit)

Tajuk ini antara satu dua tajuk terpopular dalam blog aku.  Mungkin penyakit batuk berkahak ini sangat mudah menyerang ramai orang.  Selagi dunia bernama dunia, memang bermacam jenis penyakitnya.  Sedangkan syurga adalah tempat kembali yang kekal, penuh kenikmatan dan kesembuhan.  Tiada kematian dan tiada kerengsaan.  Tiada duka dan tiada kecewa.  Yang berkitaran adalah gelora dan bahagia.

Setiap kali post ini dijengah sesiapa, aku rasa sangat kurang enak.  Dikarang ketika masih baru menulis di blog.  Dari sehari ke sehari aku tertangguh untuk menambah sesuatu padanya.  Alhamdulillah hari ini semoga Allah memberkati untukku melakukannya.

Bercerita sedikit.  Satu ketika adikku pulang dari negara Timur Tengah menghadiahiku sebotol habbatus sauda (bijian).  Bertahun-tahun pula sesudah itu botol yang mengandungi bijian hitam sekadar duduk diam sunyi dan sepi di dalam almari dapurku.  Apabila terpegang akan dia tatkala aku mencari barang-barang, aku merenungnya dan menyimpannya semula.

Satu ketika yang lain, aku mendengar siaran Kuliah Mufti dari Radio NurIslam yang sangat aku gemari (aku berdoa semoga siaran ini dapat didengar lagi di Malaysia ... aku sangat rindukan rancangan Kuliah Mufti yang sarat dan padat dengan ilmu walaupun sekejap sahaja slotnya, aameeen).  Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz menceritakan pengalaman beliau ketika bergelar pelajar di Mesir.  Pada suatu hari beliau menerima jemputan dari pensyarah untuk jamuan makan.  Hairan melihat setiap jenis hidangan termasuk nasi yang putih melepak ditaburi bijian hitam.  Dan itulah habbatus sauda, yang kemudiannya aku kini turut menaburkan ia di atas makananku di dalam pinggan.

Dengan izin Allah jua di dunia darul asbab ini, aku telah diberi keyakinan oleh Allah terhadap bijian hitam ini untuk kesihatan diri.

Diriwayatkan dari Aisyah ra, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Al-Habbatus Sauda’ boleh menyembuh segala penyakit kecuali Al-Sam”. Aku bertanya. “Apakah Al-Sam itu? Baginda menjawab, “Al-Sam itu ialah maut”
Riwayat Imam Bukhari.


Sila jenguk di sini dan sini juga. 

Maka aku cari semula botol berisi habbatus sauda yang diberi adikku itu, dan mula menaburnya di atas hidanganku sambil diperhatikan oleh anak-anak dengan wajah hairan dan cemik.  Mulanya memang rasa pelik, tetapi lama-kelamaan rasa pelik kalau lupa nak menaburnya dalam pinggan.  Setiap kali mereka ini memandang pingganku dengan wajah satu macam, akan kubacakan hadis nabi SAW di atas tu.  "Dalam sunnah ada kejayaan.  Kenapa tak percaya?"

Alhamdulillah, aku jarang dihinggapi batuk dan demam.  Stress pun jarang.  Tentang stress ni, aku selalu belajar untuk mengawalnya.  Caranya apabila kepala mula berdengung dan terasa kembang, aku mandi dan cuci rambut (walaupun baru lepas cuci rambut).  Kebelakangan ini aku perasan sudah amat jarang diserang tekanan stress di kepala.  Stress ni bukanlah semasa ada masalah semata.  Terkadang ia akibat cuaca dan perubahan hormon, barangkali juga.  Terkadang kerana gagal mengawal emosi dan tiada sokongan dari pesekitaran.  Semuanya asbab sahaja.  Yang bagi stress Allah, mintakla kat Allah untuk menyembuhkan stress.  

Jadi, selain habbatus sauda, aku juga menyarankan pemakanan sunnah yang lain seperti kurma, madu dan air zamzam.  Kini sudah banyak produk all in one bahan-bahan yang disebut pemakanan sunnah di pasaran untuk diambil menggantikan supplement yang entah halal entah tidak di farmasi.  Kena hati-hati.  Asbab nak cantik dan sihat, tak sedar kita membiarkan sesuatu yang tidak halal bercampur dengan darah yang mengalir di sekujur tubuh.  Na'uzubillahi minzalik.

Ini sebagai tambahan tetapi aku sangat menekankannya.  Kepada anda, marilah kita sama-sama mengamalkan pemakanan sunnah ini.  My favourite tagline sekarang ialah ~ Dalam Sunnah Ada Kejayaan~ hatta anak ambik untuk dirinya setiap jenis biskut yang aku beli untuk pelajar, dia kata "ambik tiga ye mama ... sunnah ... dalam sunnah ada kejayaan."  

Ya Allah, berilah kami faham dan iman yakin pada sunnah Rasulullah SAW penghulu dan kekasih kami selamanya.  Allahummma aameeen.


 ***
(Entri ini berdasarkan pengalaman diri sendiri)
Petuanya mudah sahaja iaitu minum air suam dengan panas sekadar yang termampu untuk diminum.  Lagi berasap air itu lagi bagus. Biarkan badan berpeluh dan insyaAllah batuk dan kahak akan mudah dikeluarkan dan tidak berlarutan.
Saya kerap diserang semput (asma) semasa zaman persekolahan.  Kerap ponteng sekolah dan kerap masuk hospital sehingga saya lali dan timbul seronok menjadi perhatian  pesakit lain dan nurse-nurse yang merawat.
Suatu hari abah mengikut kawan-kawan masuk hutan untuk berburu.  Abah mendapatkan seketul hempedu landak (jika saya tidak tersilap) untuk mengubat penyakit saya.  Semenjak itu, saya beransur kurang diserang semput sehingga dewasa.  Namun ada orang kata, nanti waktu tua penyakit itu akan datang semula.  Wallahualam.
Semakin dewasa, sekiranya saya mendapati badan sudah seram-seram sejuk tanda kurang sihat, saya akan  membungkus tubuh dengan baju tebal, memakai stoking dan berselimut tebal. serta tidak membuka kipas.  Saya cuba sedaya-upaya tidak mengambil sebarang pil.  Insya Allah, biasanya menjelang sepertiga malam, saya mula berpeluh menandakan sudah sampai masanya saya membuka pakaian tebal.  Setelah itu, saya tidur semula seperti biasa dan alhamdulillah, menjelang pagi, kesihatan beransur pulih.
Ada juga petua orang tua-tua untuk menghilangkan kahak iaitu mencampurkan air limau kasturi dan madu untuk diminum.  Secara logik, madu yang bersifat panas dan limau yang berasid berfungsi mencuci tekak dan mencairkan kahak.
Petua abah pula, embunkan nasi bersama gula batu, dan dimakan pada esok pagi.  Ini lebih berkesan untuk menyejukkan tubuh yang panas di dalam.
Saya juga ingin berkongsi pengalaman seorang rakan sekolah yang mengalami demam panas berpanjangan.  Suatu ketika kakak beliau terdorong untuk menarik rambutnya sehingga meletup-letup, setelah agak lama, kepalanya dirasakan semakin ringan dan demam panasnya beransur sembuh.
Setiap penyakit ada ubatnya melainkan mati.  Utamakanlah sumber semulajadi dan makanan sunnah, lebih berkat dan mendapat pahala menggunakannya, insya Allah.  Tidak berputus asa untuk terus mencari ubat yang serasi, kerana di sekeliling kita terlalu banyak rahsia tersembunyi yang tidak diketahui.  


Penyakit yang dihidapi adalah tanda sesuatu yang tidak kena pada tubuh.  Banyakkan minum air untuk membantu mengeluarkan toksik dan melancarkan peredaran darah.  Sembelit yang berpanjangan juga boleh menyebabkan kepala pening dan tubuh menjadi lesu.  Hakikatnya, setiap penyakit itu membuktikan betapa manusia ini makhluk yang lemah, memerlukan Tuhan sebagai tunggak kehidupan untuk memohon dan meletak harapan di setiap saat yang masih bersisa.  Juga tanda Kasih Sayang Tuhan kepada manusia agar pandai merintih dan memohon kepadaNya.

'Dayat Nak Along!"

Pagi ini, semasa menunggu saya menyiapkan bekalan yang dimintanya, iaitu roti diletak milo, Hidayat mula menggosok-gosok matanya.  Dia terus menangis.
"Hidayat nak Along.  Nak hantar Along..."  katanya sambil teresak-esak.
"Memang mama dan abah nak bawa Hidayat dan Kakak ke tempat Along,"  saya cuba memujuknya.

"Along dah belikan Dayat pistol,"  sambung Hidayat lagi.
Saya senyum.  Sehari sebelum Naqib ke madrasah, anak-anak ini bergaduh sakan.  Baling buku, tendang-menendang, sehingga didenda oleh abahnya.  Saya tenang sahaja, saya menganggap tindakan itu hanya sebagai satu tindakan menafikan bahawa perpisahan tetap akan terjadi.  Anak-anak ini memang rapat, dan mereka semua maklum bahawa Along mereka yang rajin membawa jalan-jalan pusing taman naik motor akan ke asrama.  Along akan tinggal di asrama untuk tempoh yang lama.  Along tidak lagi boleh balik setiap hujung minggu seperti di Madrasah di Shah Alam.  Abah sudah memberitahu awal-awal lagi, kali ini mereka hanya boleh berjumpa setahun sekali, walaupun sebenarnya ada cuti raya.  Kalau boleh abah mahu Along duduk di sana tak payah balik rumah langsung.  Abah khuatir suasana rumah menghalang Along pulang ke asrama.  Abah cukup berhati-hati kali ini, kerana abah tidak mahu Along buat perangai lagi.
Mereka juga tahu, kali ini abah ambil peranan berbanding mama yang selalu memenuhi keperluan Along semasa di Shah Alam.  Abah benar-benar bertegas sekarang.

Emak Menangis Pula...


Dalam perjalaan pulang ke Sijangkang dari Madrasah Miftahul Ulum, saya menelefon emak.  Rupa-rupanya emak telah bergerak pulang ke kampung, baru melepasi Nilai.  Kata emak, anak kunci rumah ditinggalkan di rumah Zaid, jiran sebelah.  Emak menceritakan gelagat Ain dan Hidayat yang terpinga-pinga apabila mendapati kami tiada di rumah sekembali mereka dari sekolah.  Saya tertawa gelihati mendengar emak bercerita perihal Hidayat yang membawa bekal ayam masak gulai lemak cili api seketul ke sekolah.  Beransur suara emak terdengar sebak, emak menangis!
"Kasihan emak melihat Ain dan Hidayat melambai-lambai sampai emak hilang dari pandangan,"  suara emak pilu menyebabkan airmata saya serta-merta bergenang.
"Tak mengapa, mak.  Tidak ada apa-apa sebenarnya,"  saya yang masuk ke dalam emosi emak cuba menenangkannya.  "Sudahlah, mak.  Jangan menangis.  Kami dalam perjalanan pulang ni," sambung saya menahan sebak.
Hubby yang sedang tekun memandu tertoleh-toleh ke arah saya dengan pandangan hairan.
"Mak tak sampai hati nak tinggalkan budak-budak tu.  Macam budak terbiar pulak..."
Walhal tidak ada kes langsung anak-anak itu boleh dinamakan budak terbiar.  Cuma perasaan emak sahaja sedemikian.  Hai...mungkin inilah rupanya perasaan seorang nenek terhadap cucu-cucunya.  Waktu nakal dileteri, tetapi ada masa-masanya muncul jua emosi yang tersentuh melihat kerenah cucu yang umpama anak ayam kehilangan ibu walaupun hanya sebentar berpisah kerana urusan.  Entahlah, mungkin ada sesuatu yang mencuit hati kecil emak yang hanya dia yang merasainya..

sambungan; Selamat Tinggal Anakku...

Naqib seolah-olah tidak mahu berenggang dari saya.  Dia mengajak saya berbual-bual di pondok berhadapan rumah tetamu.  Kami berpisah sebentar untuk menunaikan solat Zohor.  Saya meninjau ke dorm pelajar baru.  Kelihatan tilam-tilam baru bercorak biru yang masih berbalut plastik diletakkan di atas setiap katil.  Hubby memberitahu bahawa katil 'double-deck' dan locker dibuat sendiri oleh tenaga pentadbir. Saya memilih katil bersebelahan pintu untuk Naqib.  Dia cepat berpeluh, kedudukan berdekatan pintu memudahkan pengudaraan yang segar.  Dia berjiran dengan seorang pelajar Filipina yang tidak fasih berbahasa Melayu.  Saya dan abahnya membantu menyarungkan tilam dengan cadar seragam berwarna biru cair dan menyusun pakaian di dalam locker.  Suasana riuh dengan pelbagai aksi ibu bapa dan pelajar.  Saya gunting plastik kuih Tumpi yang dibawa dari rumah dan menyuruh Naqib mengagihkan kepada semua yang ada.  Naqib beredar dari seorang ke seorang sambil mempelawa kuih Tumpi yang rangup itu.  Suasana yang lebih mesra mula terasa.  Sengaja kami rancang sedemikian bagi membantu Naqib lebih menyesuaikan diri dengan situasi serba baru di situ.  Hanessa juga kelihatan lebih rancak bergerak ke sana ke mari tanpa kekok.  Hubby mengambil kesempatan merebahkan badan di katil Naqib, sambil memerhati ibu bapa lain yang masih sibuk menguruskan anak-anak.  Dalam ramai-ramai itu, rasanya Naqib seorang sahaja yang membawa bantal peluk bersama.  Bantal peluk ini tiada sarung kerana set cadar yang dibekalkan hanya untuk bantal kepala dan tilam.  Maka kelihatanlah sarung bantal peluk yang berbunga merah, yang saya buat sendiri bagi melindungi sarung asal bantal yang telah bertukar warna.
Beberapa keperluan masih perlu dibeli seperti padlock untuk locker, tempat gantung pakaian, ketip kuku dan kudapan.  Kami mohon diri kepada Naqib sambil memberitahu akan datang membawa keperluan tersebut pada hari Rabu ini.
"Mama..."  Naqib mengadap ke arah saya, menyembunyikan riak wajah dari abahnya.  Dia cemik, mula menangis.  "Along nak ikut balik..."
"Tidak boleh," kata saya, tegas. 
Saya mengerling, kelihatan hubby sedang memerhatikan kami berdua.
"Kalau tidak, mama bawa Along pergi kedai beli barang lepas tu hantar Along balik sini,"  Naqib memberi cadangan pula setelah terdiam beberapa ketika.  Nyatanya dia mahu melewat-lewatkan kami meninggalkannya di situ.
Saya mengukir senyum. Kalau ini, tidak mengapalah...
Saya lantas memberitahu hubby agar kami membeli sedikit keperluan di pekan berhampiran.  Hubby tersengih, dia sudah dapat 'menangkap' muslihat Naqib.  Sebelum itu, hubby telah pun memulangkan paku buah keras kepada saya semasa kami baru selesai mengemaskan barang-barang Naqib di dorm, apabila Naqib memberitahu mahu mengikut pulang ke rumah sehingga pengajian benar-benar bermula.

"Kan...dah cakap jangan ikut, nak ikut juga!"  kata hubby.
Terasa kering tekak saya...dan akhirnya hubby sekadar senyum melihat gelagat saya yang merungut-rungut kecil hendak mencari air minuman bagi membasahkan tekak.  Renungan tajam dan sindiran hubby benar-benar membuatkan tekak dan bibir saya kering.
Ustaz Faiz yang bertugas mengendalikan bahagian asrama memaklumkan bahawa pengajian bagi pelajar baru akan bermula sepenuhnya pada minggu hadapan.  Kiranya minggu ini adalah minggu suaikenal dan ujian hafalan Undang-Undang Madrasah.  Ustaz akan menyusun semula mengikut kriteria tertentu.  Mendengar itu, sementelah ada seorang pelajar dari Sibu yang pulang semula setelah selesai mendaftar untuk menghabiskan sesi persekolahan, Naqib pun mahu mendapat keistimewaan pulang ke rumah.  Walhal adalah lebih afdal dia tinggal di madrasah dan mula mengikut aktiviti yang telah disediakan.
Kami keluar membawa Naqib ke pekan terdekat mendapatkan barang keperluan, kelihatan kedai runcit tersebut hanya mempunyai barang asas sahaja.  Kembali ke madrasah, ternyata kami adalah ibu bapa yang terakhir ada di situ.  Kawasan yang tadi penuh dengan berbagai jenis kereta telah lengang.  Pelajar-pelajar telah berehat di katil masing-masing.  Hubby menghantar Naqib ke dorm.  Agak lama menanti, Naqib muncul semula memakai t-shirt putih, datang mendapatkan saya yang sedang menunggu di kereta.  Wajahnya muram, cemik dan mula mengeluarkan airmata.  Berkali-kali dia mencium saya sehingga abahnya ketawa.  Saya peluk dia erat-erat, kemudian abahnya pula memeluknya dan mencium pipinya.  Saya usap pipinya yang basah dan tiup ubun-ubunnya dengan Selawat.
"Tawassul selalu," bisik saya.
Perlahan-lahan kami beredar, Naqib masih berdiri sambil melambai-lambai sehingga kami hilang dari pandangan matanya.
Selamat tinggal anakku, selamat berjuang, selamat segala-galanya.  Semoga Tuhan memeliharamu selalu.  Amin.

Sambungan, Bertemu Kaum Ibu.


Saya tersipu tetapi tetap bertenang.  Beberapa orang wanita berjubah dan berpurdah serba hitam sedang berbual-bual di rumah tetamu.  Hanya saya yang berpakaian baju kurung biru.  Saya mendengar perbualan mereka.  Masing-masing menceritakan perihal anak-anak.  Akhirnya saya pula yang rancak menyembang dengan Kak Idah, salah seorang ibu yang datang jauh dari Johor, menghantar anak lelakinya memulakan pengajian di Miftahul Ulum.  Saya dimaklumkan penapisan pihak pentadbiran di Sri Petaling adalah ketat.  Hanya pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR yang diterima masuk.  Dalam diam, saya sekali lagi memanjatkan kesyukuran tidak terhingga bersama harapan nan tinggi semoga Muhammad Naqib terpilih di kalangan yang terpilih sehingga berjaya mencapai matlamatnya di sini.   Keputusan UPSR Naqib tidak memberangsangkan.  Berbagai hal berlaku menjelang peperiksaan UPSR waktu itu; di antaranya ialah pembedahan membuang apendiks terhadap Naqib di HTAR.
Ustazah memaklumkan pelajar yang bermasalah akan tertapis secara sendiri (automatik) dan mereka akan keluar dari pengajian.  Saya tidak dapat membayangkan, semuanya di dalam ilmu Illahi.  Perasaan saya berbaur bersama harapan dan impian, doa dan rintihan.
Ya Allah, bantulah anakku Muhammad Naqib dan semua pelajar di sini.  Amin.
Setelah bertukar khabar dan salam perkenalan, jam 11 pagi  kami beredar ke surau untuk mendengar taklimat yang bakal disampaikan.  Ustaz menyenaraikan beberapa peringatan penting buat ibu bapa agar dapat bekerjasama memastikan perjalanan madrasah lancar dan pengajian anak-anak mencapai matlamat.
  1. Ibu bapa ditekankan agar membantu anak dengan doa; doa ibu bapa amat berkat dan cepat dimakbulkan oleh Allah Taala.  
  2. Ibu bapa juga mesti sedaya upaya menyediakan landasan (platform) kepada anak di rumah, agar situasi di rumah bersesuaian dengan anak sebagai seorang hafiz.  Ada perkara yang perlu dan mesti ada, ada perkara yang tidak perlu ada.  Kelalaian menguruskan hal ini akan membawa keburukan yang besar walaupun anak ini pulang sehari sahaja ke rumahnya.
  3. Pelajar tidak digalakkan pulang ke rumah atas apa jua urusan samada perkahwinan atau kematian, melainkan sekiranya dia benar-benar berpeluang berkhidmat menguruskan jenazah dan dapat menatap wajah jenazah.  Sekiranya sekadar sempat melihat tanah sahaja, tidak perlu pulang.  Ustaz ini tidak pernah mengambil cuti sepanjang pengajian selama 8 tahun.
  4. Ibu bapa diminta menjelaskan pembayaran yuran pada waktunya demi membantu kelancaran perjalanan madrasah.  Jumlah tunggakan yang dimaklumkan adalah besar.  Ibu bapa disarankan menggunakan kemudahan teknologi  untuk memudahkan urusan.
  5. Ibu bapa yang datang melawat, utamakan pertanyaan khabar tentang pengajian anak.  Barulah bertanya tentang hal-hal sampingan seperti makanan, barang keperluan dan lain-lain.  Ini amat penting sebagai memberi rangsangan dan motivasi kepada anak.  
  6. Selain cuti hari raya, hanya ada sehari cuti di antara dua cuti panjang.  Namun cuti yang sehari ini tidak digalakkan membawa anak keluar terlalu lama.  Memadai membawa untuk membeli barang keperluan sekitar sejam dua sahaja.  Ini untuk tidak mengganggu jadual pelajar yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah.  Kelewatan pelajar pulang ke madrasah akan memberi kesan sampingan yang tidak diingini.
Demikian di antara peringatan penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa.
Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan telefon dari hubby, "Dengar apa yang ustaz cakap tadi?"  tanya hubby berunsur amaran...bukan kepada Naqib tetapi kepada saya.
"Dengar," jawab saya ringkas.  Memahami maksud pertanyaan hubby.
Kami duduk di ruang berasingan.  Selesai taklimat, kami dijamu dengan hidangan Nasi Tomato yang lazat, hasil khidmat pelajar yang membantu tukang masak madrasah.

Selamat Datang ke Madrasah Miftahul Ulum

Pagi ini Ain mendesak saya menghantarnya ke klinik dengan alasan sakit lidah.
"Mama, Ain nak pil hijau,"  kata Ain mendesak-desak saya.
Hidayat pula mahu saya memandikannya.  "Mandilah dengan Along, karang Along dah pergi madrasah," saya memujuknya sambil terus menyiapkan bahan untuk menggoreng nasi.  Hidayat enggan, dia duduk di kerusi dan memerhatikan saya terus.  Bagi mengelakkan kelewatan dan memudahkan urusan, saya terus menarik tangan Hidayat masuk ke bilik air dan memandikannya.  'Tidak mengapalah, tahun depan dan seterusnya dia tidak akan buat perangai lagi.'  Hati saya berkata sambil membayangkan Hidayat terus membesar menjadi orang bujang.  Namun bukan setakat minta dimandikan, dia minta dipakaikan baju sekolah pula.
Saya faham, Ain dan Hidayat sengaja 'tunjuk perangai' kerana mereka dapat meneka saya akan menghantar Naqib ke madrasah hari ini. Mereka mahu ikut menghantar Naqib tetapi hubby tidak lagi mahu  bertolak-ansur, memikirkan lebih afdal mereka ke sekolah.  Bagi memudahkan lagi urusan, saya masih memakai kaftan dan terus sibuk di dapur, meminta hubby menguruskan perjalanan mereka ke sekolah.  Situasi saya benar-benar seperti tidak akan pergi ke mana-mana.
Kasihan anak-anak ini, akhirnya mereka berangkat ke sekolah membawa bekalan nasi goreng tanpa banyak kerenah.  Saya terus menukar baju dan bersiap untuk mengikut ke madrasah.  Saya perlu pergi sama.  Saya mahu mendengar taklimat yang akan diberikan.  Saya mahu melihat suasana dalaman asrama nanti.  Malam tadi saya sudah memujuk hubby agar mengizinkan saya ikut serta.  Beserta renungan tajam (tanda amaran sekiranya apa-apa berlaku...), saya mendapat 'lampu hijau' setakat 80% tetapi sudah memadai untuk saya amat bersyukur ke hadrat Allah.
"Mujur mak tak bertanya tadi.  Mak nak tanya kenapa tak bersiap lagi," kedengaran suara mak.
"Eloklah mak tak terus bertanya,  Kalau tidak, terbongkarlah muslihat saya," balas saya sambil tersenyum kepada mak.
Hanessa masih lena.  Jika dibiarkan, lambat lagi dia bangun.  Saya tidak risau kerana yakin Hanessa tidak menyedari saya yang terus bersiap.  Saya memilih baju kurung berwarna biru corak air dipadankan dengan tudung Arriani biru gelap.  Hubby menyuruh saya menghidupkan enjin kereta.  Saya pula meminta Naqib memasukkan dua buah beg dan baldinya ke dalam bonet kereta.  Naqib telah lengkap berpakaian jubah putih dan berserban.  'Segak anak ini...nampak ketokohannya.'  Naqib sedang mengulangkaji Undang-Undang Madrasah yang telah dihafalnya.
Setelah semua siap, Naqib masuk melihat saya yang kembali ke dalam bilik (biasalah orang perempuan, ada sahaja yang terlintas di kepala pada saat-saat akhir).
"Mama, adik ni tak bawa ke?"  Naqib memandang saya sambil menjuihkan bibirnya kepada Hanessa yang sedang tergolek lena.
"Tak payah bawa.  Nanti macam-macam  kerenahnya," balas saya ringkas.
Naqib mengesat-ngesat matanya dengan belakang tangan, "Bawalah, mama..." kata Naqib lagi, sedih....
Seperti selalu untuk memudahkan urusan, saya menjawab, "Nak bawa, kejut dia, suruh buang air kecil."
"Tak payah mandi?"
"Tak sempat dah..."

Naqib mengejutkan Hanessa perlahan-lahan dengan penuh kasih, sehingga Hanessa bangun dan menyelesaikan dirinya.  Dia memakai baju Ana Muslim, tidak perlu ditukar.  Saya sorongkan tudung kesukaannya berwarna merah jambu, tetapi dicampakkan semula ke atas kerusi.  Mungkin mamainya belum benar-benar hilang.
Jam 8.30 pagi kami beransur ke Dengkil.  Hubby menyuruh Naqib membaca Undang-Undang Madrasah, kemudian saya menyemak.  Alhamdulillah, hanya beberapa undang-undang yang akhir yang masih belum lancar tetapi tidak dirisaukan sangat kerana masih ada masa untuk menghafal di sepanjang perjalanan.  Insya Allah.  Hanessa kembali tersengguk-sengguh, akhirnya terbaring semula di pangkuan abangnya.
bersambung...

Islam Itu Indah


Salam Taaruf kepada pemilik Islam Itu Indah...sungguh menarik entri-entri yang ada di sana.  Kepada Ummu Abbas Abdullah, selamat berkenalan dan terima kasih di atas feedback walaupun cuma 'likes' yang diklik.  Terima kasih selalu.

Sunday, October 4, 2009

Halaqah






Petang ini saya teringin melawat blog anak saudara 'selebriti' untuk membaca-baca entrinya. Katanya, dia baru mendaftar di Halaqah.  Selesai di situ, saya klik ke Halaqah dan terus mendaftar dengan nama sebenar.  Ternyata laman komuniti Halaqah ini amat menarik, sepintas lalu sudah menambat hati.  Saya tidak dapat berlama-lama di situ, setelah bersalam taaruf, saya mohon undur diri untuk bersiap ke jemputan hari raya di rumah adik ipar pula.  Saya merancang untuk mencari masa lagi ke Halaqah, meninjau pelbagai isu yang dibincangkan secara ilmiah Islamiah.  Tadi sempat saya jenguk ringkas isu wanita berteman seorang duda yang celupar...  Semoga laman komuniti ini menjadi medan komunikasi yang benar-benar bermanfaat kepada pengunjung terutamanya diri saya sendiri, insya Allah.

Saturday, October 3, 2009

Persediaan jamuan

Cuaca redup dan sejuk.  Angin bertiup telah menumbangkan tiang besi tunggak khemah sementara untuk rewang di belakang rumah. 
Ya Allah, bantulah kami membuat persiapan jamuan hari ini, kami ingin menjamu handai taulan, kawan-kawan dan sanak-saudara, ingin menjalinkan ukhwah dan kasih-sayang, demi redhaMu. 
Tidak disangka-sangka keluarga mertua bakal tiba dari Batu Pahat dan Segamat.  Terima kasih atas kesudian. 

Hidayat dan serban

'Nak cakap sikit ni. Hensem la Hidayat pakai macam tu.  Semua orang pandang dia.'  Masuk pesanan ringkas ke telefon bimbit saya, dari Siti Khatijah, bekas staf yang menjadi kawan baik saya.  Waktu itu saya sedang mencuci pinggan mangkuk di sinki dapur.  
"'Jumpa kat mana?' balas saya dalam pesanan ringkas kepada Siti semula.
'Petang tadi lerrr, kat sekolah petang.' jawab pesanan ringkas dari Siti lagi.

Saya beritahu hubby.  Rupa-rupanya hubby telah memakaikan serban ke kepala Hidayat sebelum mereka bersama-sama ke masjid tengahari tadi.  Saya terlebih sibuk di dapur, memasak untuk hidangan tengahari dan menggoreng bihun untuk dibawa oleh Ain dan Hidayat ke jamuan hari raya di sekolah agama petang tadi.  Saya ternampak Hidayat memegang jubahnya yang berwarna coklat.  Semasa bersalaman dengan saya, dia hanya memakai kopiah putih.
"Hidayat pakai serban tadi ke sekolah?"  saya bertanya kepada Naqib.
"Ya,betul dan semua orang pandang dia," kata Naqib sambil menggaru-garu lengannya.
Saya berpandangan  dengan mak dan hubby sambil melemparkan senyuman.

Thursday, October 1, 2009

Emak


Emak rimas melihat saya mengadap laptop bergilir-gilir dengan hubby dan anak-anak.  Mula-mula, dia memerhatikan sahaja.  Akhirnya emak datang duduk di sebelah saya, melihat dengan lebih dekat.  Saya tunjukkan blog Kak Ani, emak ketawa mendengar saya membaca kisah lucu di blog itu.  Saya buka blog Kak Ju, emak melihat senarai buku-buku yang telah Kak Ju hasilkan. Saya buka blog Pak Latip dan tunjuk gambar buku-buku yang ditulis oleh beliau, emak tanya Pak Latip berasal dari daerah mana di Negeri Sembilan.  Saya buka pula blog Puan Ainon dan tunjuk entri kursus yang bakal saya hadiri kelak.
"Mak, saya sudah terlambat.  Ramai penulis lain yang muda-muda telah mengeluarkan banyak buku,"  kata saya separuh kecewa.
Mak diam, memasang telinga.
"Masa dapat offer di Menara MBB sebagai satu-satunya calon perempuan yang berjaya, di samping satu-satunya calon lelaki, di antara begitu ramai yang datang temuduga, mak tidak sungguh-sungguh dorong saya, yang ini saya ralat sedikit,"  sambung saya lagi.
"Masa itu mak abah tak berfikir jauh," jawab mak.
Sebagai anak tunggal, mak abah berat hati hendak melepaskan saya di tengah ibu kota bersendirian.  Saya yakin, sentiasa yakin, ada hikmahnya.  Ia tidak perlu disesali sama sekali.  Akhirnya saya membiarkan tarikh mendaftar kerja di sana berlalu begitu sahaja.
Saya terus bercakap, dengan hasrat hendak memberi sedikit kefahaman kepada emak, apa yang saya buat sekarang.  Emak tidak mengerti kenapa saya asyik duduk mengadap komputer, sebab itu emak bersuara.  Saya perlu membantu emak mendapatkan kefahaman itu.  Jika emak tidak dapat mengerti, emak akan terus berada dalam tanda tanya, dan telinga saya terpaksa menadah kata-kata emak yang tidak selari dengan keadaan sebenar.
"Saya sudah lewat.  Saya yakin saya boleh menulis.  Saya perlukan doa restu emak."  Saya ulang kata-kata dengan penuh yakin.  Walau jauh di sudut hati, saya masih tidak pasti.  Dua situasi hati yang berbeza.
Ya Tuhan, hanya kepadaMu aku memohon, mengadu dan berserah diri.  Janganlah biarkanku, walau sesaat.  Aku mengadu padaMu, hanya Engkaulah sebaik-baik tempat mengadu.  

Naqib sudah hafal

Setelah hari demi hari saya dan suami memberi amaran demi amaran kepada Naqib, akhirnya petang ini dia berjaya menghafal semua 23 undang-undang madrasah.  Ada tiga hari lagi untuk dia mengemaskini hafalan sehingga sempurna.  Sambil itu saya juga ingat isi-isi penting undang-undang itu, sebagai panduan kepada diri sendiri supaya faham had peraturan di madrasah.  Usah buat kacau...  manalah tahu saya tidak dapat mengawal diri.  Mudah-mudahan saya tidak menjadi ibu yang bermasalah.
Selepas selesai solat Zuhor, hubby ulang lagi kata-katanya, "ko orang tak payah pegi ikut hantar Naqib.  Meraung dia kang susah...  Abang buat serius je."  Maksudnya, kalau hubby buat serius, Naqib tidak akan berani buat perangai di hari pendaftaran nanti.  Maklumlah, sudah hampir dua bulan penuh Naqib berehat di rumah, bergurau senda dan bergaduh dengan adik-adiknya.  Kami mengandaikan tidak mudah Naqib hendak masuk ke asrama semula.
Saya renung hubby.  Mata mula berkaca-kaca, mujur dapat dikawal.  Hubby pandang saya, dia tidak dapat melihat mata yang hampir berkaca-kaca ini.  Kalau tidak, pasti dia akan kata, "huh, belum tiba harinya dah macam ini.Macamana nak bawa awak bersama, baru cakap kat rumah dah menangis."
Walhal saya sudah merancang dengan teliti untuk memontengkan Ain dan Hidayat, untuk bersama-sama menghantar Naqib ke madrasah.  Mungkin uwan dan atuknya pun hendak ikut sama untuk melihat madrasah yang dimaksudkan.  Selain meraikan Naqib ke asrama, saya mahu Ain dan Hidayat merasai sedikit pengalaman masuk asrama.
"Lagipun abang yakin tidak ada orang perempuan yang datang ke sana,"  sambung hubby lagi.
"Tetapi kat surat itu sudah ditulis ibu slash bapa slash penjaga...maknanya mesti ada ibu yang datang,"  saya masih tidak puashati kerana tidak dapat menghantar Naqib.
Hubby tidak mahu melayan saya lagi.
Saya membayangkan pagi Isnin ini, mereka akan bergerak ke madrasah seawal 7 pagi atau lebih awal lagi usai solat Subuh untuk mengejar masa pendaftaran yang ditetapkan pada  8 pagi.  Aduh...saya mesti menguatkan semangat supaya anak ini juga kuat semangatnya, tabah dan bersedia menghadapi segala suasana serba baru di madrasah nanti.  Saya tidak boleh membiarkan perasaan negatif menguasai dirinya.
"Nanti abang nak berbincang dengan ustaz di sana supaya bantu Naqib, jangan dera dia menghabiskan makanan lagi...kasihan dia," tiba-tiba hubby bersuara sambil menyidai sejadah.  Saya tersenyum, teringat cerita Naqib diminta berpindah ke dulang lain untuk membantu menghabiskan makanan kawan-kawan.  Juga cerita ustaz menambah makanan ke pinggan Naqib demi membesarkan hati tuan rumah, sehingga dia merasa cukup mengah.
"Kenapa Along tidak bagitahu ustaz bahawa Along sudah kenyang?"  saya bertanya musykil.
"Along tak berani nak bagitahu..."
"Laa..."
Kasihan anak ini.
"Kamu ni perlu jati diri, Naqib.  Eloklah kamu masuk madrasah.  Mudah-mudahan kamu dipimpin dengan baik oleh ustaz-ustaz di sana,"  hubby yang berdarah Bugis memberi perangsang kepada Naqib.
Antara Naqib dan Hidayat, sedikit sebanyak kelihatan Hidayat lebih menghampiri perawakan hubby, cergas dan mudah tercabar.  Naqib lebih lembut dan lurus, mirip saya barangkali.
Nampaknya hubby sudah membuat kata putus yang sukar diubah.  Demi kebaikan si anak.  Tidak mengapalah, saya redha.  Doa saya akan terus mengiringi anak ini walau di mana dia berada. 

Sayasukamasakdanmakan


"Hihihihi..."
"Hahahaha..."
 "Kikikiki..."
"Hehehehe..."

Saya dan Ain sama-sama ketawa.  Terkekeh-kekeh, makin lama makin kuat gelak kami.  Terasa darah di tubuh beredar cepat dan badan menjadi panas.  Apa yang lucu tu?
Sebentar tadi hubby muncul bertanya menu untuk makan tengahari ini.  Sambil membalas pandangan, "jadi nak buat botok-botok?" tanya saya semula sambil jari-jemari terus bermain di keyboard.  Kelmarin saya beli ikan cencaru di kedai.  Rancangan awal nak bakar, cicah kuah asam, kegemaran sekeluarga.  Lagipun sebaik Syawal menjelma, hampir setiap hari hanya jumpa daging dan ayam dalam hidangan.  Hubby yang masih free di rumah, turun ke dapur.  Dia buat persiapan untuk buat perencah dan bakar ikan di dalam aluminium foil.  Selepas selesai menikmati hidangan tengahari dengan penuh berselera, kami berbincang untuk membuat botok-botok pula.  Ikan yang sesuai digunakan ialah ikan tenggiri.  Orang yang memperkenalkan menu ini ialah Abang Onn suami Kak Lang Zai (al Fatihah untuk arwah Abang Onn).  Suatu hari beliau memanggil kami makan-makan di rumahnya dan beliau menghidangkan botok-botok dengan penuh kebanggaan.  Kami pula jenis yang tolak batu dan kayu sahaja, ternyata botok-botok memang enak.  Amat enak!
"Okey, cari resepi botok-botok kat internet," keluar arahan dari boss.  Resepi asas telah ada di dalam kepala, namun untuk lebih tepat dan puas hati, betul-betul real, perlulah merujuk resepi sebenar.
"Oh, sonang bai tu," sahut saya senang hati.  Setelah muncul laman web berkenaan, saya copy dan paste, print out, selesai.

"Eh, kenapa banyak sangat karinya tu?"  tiba-tiba hubby bertanya.  Kari yang perlu digunakan untuk 4 keping ikan tenggiri ialah 500g.  Setengah kilogram!
"Haah, banyak betul tu," sahut saya.
Berhasrat untuk bertanya kepada moderator laman web itu, saya mendaftar di situ.  Itulah yang menjadi gelak saya dan Ain.  Tanpa merancang, saya login 'sayasukamasakdanmakan'.  Terasa lucu apabila muncul alu-aluan 'Selamat Datang sayasukamasakdanmakan' di situ.
Saya dan Ain ketawa bersama.  Jarang-jarang kami ketawa lepas begitu.  Dan jarang-jarang ketawa besar begitu.  Kalau nak diikutkan, tidaklah lucu sangat pun....  Namun yang sesekali inilah yang akan dikenang-kenang.
Tiba-tiba mak pulang dari Jaya Jusco dengan abah dan Naqib.  Mereka jalan-jalan dan makan-makan di sana.
"Botok-botok esoklah..."  kata hubby.
"Laaa..."
"Hari ni simple je, makan apa yang ada,"  kata hubby lagi.
Akhirnya botok-botok ditangguhkan lagi....

Gerak Hati (Instinct)


Anda selalu mempunyai gerak hati yang kuat?  Ringkasnya gerak hati ini dipanggil deria ke- 6 iaitu sesuatu yang dicampakkan di hati oleh Allah Taala Maha Pencipta yang biasanya menjurus kepada menyediakan seseorang menghadapi pelbagai situasi kehidupan. 
Saya selalu memerhatikan gerak hati ini.  Ia jarang-jarang berlaku tetapi sesudah terjadi, barulah dapat dikaitkan dengan peristiwa dan kerap dipanggil 'kebetulan'.  Namun yang pasti, semua peristiwa telah disusun oleh Tuhan dan berlaku mengikut kadar yang sudah ditetapkan olehNya.  Cuma di kalangan manusia, ia disebut 'kebetulan' dek kerana kita tidak diberi ilmu tentang perkara yang bakal berlaku sewenang-wenangnya oleh Allah Taala melainkan hamba-hambaNya yang terpilih.
Kerap kali saya tergerak untuk mengubahsuai susunan perabut dan mengemas bilik sebaik mungkin, sehari dua selepas itu kami sekeluarga akan dikunjungi oleh kawan atau saudara yang bertandang dan tidur di rumah kami.  'Oh patutlah rasa nak mengemas bilik.'
Kadang-kadang saya masak terlebih sukatan baik nasi mahupun lauk, tiba-tiba datang kunjungan tidak disangka sehingga dapat kami menjamu tetamu.  'Oh patutlah masak terlebih...'
Sedang termenung, hati saya teringat kepada kakak.  Sudah lama tidak bertukar khabar...  Tiba-tiba masuk pesanan ringkas atau berdering telefon bimbit, kedengaran suara kakak menyapa.  'Oh, patutlah teringatkan kakak...'
Satu ketika, hati saya berdebar selama 3 hari tidak keruan sehingga saya musykil dengan kesihatan diri.  Waktu itu saya sedang mengandungkan Hidayat.  Heboh saya bertanya dan merujuk kepada hubby dan mak. Perkara biasa, kata mereka.  Beberapa lama kemudian saya dapat panggilan dari seorang kawan sekolah yang sudah terputus hubungan dan hendak menziarahi kami.  Patutlah tidak timbul bayangan sebab saya tidak menyangka kawan ini sama sekali cuma debaran itu yang terjadi.
Semasa Kak Ja sedang tenat di Hospital Kuala Pilah, kami pulang ke Sijangkang dengan harapan beliau pulih seperti biasa.  Selepas selesai solat Maghrib, saya membaca Surah Yassin untuk Kak Ja, bersama doa dan segunung harapan ke hadrat Illahi buat beliau.  Tanpa disedari, mata berkaca-kaca. Sukar hendak meneruskan bacaan. Akhirnya saya tersedu-sedu sehingga anak-anak datang mengelilingi dengan wajah hairan.  Suami memerhati lalu memberi isyarat bertanya sekiranya saya sudah mendapat perkhabaran dari kampung.  Saya geleng kepala.  Waktu itu saya pasti Kak Ja masih ada tetapi rohnya sedang bersiap  untuk beredar melihat-lihat dan meninjau-ninjau suatu alam yang bakal dihuninya.  Dalam bayangan, para malaikat sedang berbaris menanti sebuah kepulangan roh menghadap Tuhan yang menjadikan.  Pulang ke pangkuan yang Maha Pengasih.  Sekitar 5 pagi itu, kami menerima berita kepulangan Kak Ja ke rahmatullah.
Semasa abah Hj Manaf Yatim di HUKM, saya merasa kelainan yang tidak dapat diungkapkan.  Abah tidak pernah masuk hospital.  Kali ini ramai saudara-mara yang datang mengunjungi.  Cara mereka aneh, masing-masing memohon maaf kepada abah.  Abah masih segar dan sihat.  Penyakitnya tidak nampak  Saya tidak pernah mencium pipi abah, setiap kali datang saya bersalam dan mencium pipinya.  Kunjungan seterusnya abah standby sehelai tuala di leher untuk menutup pipinya, enggan saya mencium lagi. Aneh, saya terdorong berbuat begitu dari gerak hati.  Saya ingin abah tahu saya sangat-sangat sayangkannya.  Satu ketika, kami sedang berehat di rumah melayan Hidayat yang genab berumur 6 bulan.  Tiba-tiba suami tersentak, "abah datang", katanya.  Tidak lama kemudian, saya terima panggilan telefon dari mak mengabarkan berita duka, abah sudah kembali ke sisiNya.  Saya amat hiba, kerana mak memberitahu abah selalu tertinjau-tinjau kelibat saya dan terdengar-dengar suara saya.  Saya yang beranak kecil tidak mampu hendak ke HUKM setiap hari waktu itu.  Beberapa hari setelah usai pengebumian abah di Tanah Perkuburan Lipat Kajang, saya sedang bersendirian menyiapkan hidangan di dapur, tiba-tiba hidung disapa bau minyak atar yang harum.  Hati saya terus teringatkan abah.  Segera saya menghadiahkan Al Fatihah untuk abah.  Saya tahu abah sedang memerhatikan saya.  Airmatapun mengalir.
Moyang saya bernama Sariah binti Ibrahim.  Ketika kanak-kanak, beliau membelek-belek kedua telinga saya.  "Ekau ni tak lamo..."  Waktu itu kata-kata moyang tidak bermaksud apa-apa kepada saya.  Tetapi kini, kata-kata yang sama terngiang kembali dan begitu mengesankan.  Suami saya pernah bermimpi saya mati dan dia memandikan jenazah saya.  "Itu tanda panjang umur!" kata mak.  Menarik juga mimpi suami seterusnya, mak saya tolong carikan calon isteri selepas saya mati.  Saya pernah menjadi model jenazah di Masjid TTDI Jaya, tanpa rasa apa-apa, sebab tak ada yang sanggup ke depan menjadi mayat.  "Kalau budak-budak ni dah cerdik, meraung agaknya," kata ustazah yang mengendalikan kursus.  Naqib dan Ain masih belum bersekolah waktu itu. Buat sehari dua ini, belum ada tanda-tanda 'buang tabiat' yang ketara.  Cuma saya selalu musykil perangai Ain yang amat sensitif hingga mata bengkak menangis kalau saya mula menakut-nakutkan dia perihal kematian.  "Mama jangan mati dulu!"  Alamak, saya buang tabiat ke??
Buat masa terdekat ini, saya dan suami selalu mempunyai gerak hati yang hampir selari.  Namun yang selalu terbukti, gerak hati atau naluri suami yang lebih kuat dan kerap menjadi.
KepadaMu Illahi, kupanjatkan doa dan kesyukuran di atas kurniaan ini.  Kepada sesiapa di luar sana, gerak hati ini boleh diasah kepekaannya, boleh ditingkatkan ketepatannya, dengan latihan dan keyakinan.  Dunia dan diri kita dipenuhi gelombang yang menjadi perantara menyampaikan.  Ia berkait rapat dengan kejadian insan; ruh yang penuh misteri, hanya Allah Taala Maha Mengetahui persoalan ini.
Maghrib tadi tiba-tiba tutup mangkuk pecah berderai tersentuh tangan mak.  Mak termenung beberapa ketika.  "Apakah alamatnya..." kata mak.  Semoga urusan yang dijalankan mak dipermudahkan dan dibantu Allah Taala, hanya doa dan harapan dapat dipanjatkan ke hadratNya.  Semua urusan di dalam pengetahuanNya dan Dia Maha Tahu segala hikmah yang tersembunyi.

(Catatan ini merupakan pendapat peribadi dan sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama.  Penerangan secara ilmiah dan terperinci harap rujuk sendiri kepada pakarnya, harap maklum dan maaf zahir batin.)

Terima Kasih FZI


Saya terkejut menerima komen yang mengujakan dari FZI.  Kembang hati saya.  Terima kasih yang tidak terhingga.  Komen puan amat bermakna dan meniupkan semangat yang mula membara di jiwa untuk terus menulis.  Sebenarnya saya pun ada menjengah ke blog puan dan subhanallah, saya suka sangat membaca entri di situ.  Dek kerana itulah saya sedikit kaget kerana puan memberi komen di entri saya.  Semoga persahabatan di alam maya ini berterusan dan kita bersama beroleh kebaikan serta manfaat darinya.  Insya Allah, amin.

Wednesday, September 30, 2009

Abang Berfikir

Ceritanya - Ini ialah gambar abang Afif.  Dia senyum sebab kakak dah balik cepat.  Ayahnya nak pergi kerja.  Kakaknya pergi sekolah lambat nak balik.  Abangnya tengah tidur, dah malam.  Kakak dah balik cepat naik basikal.  Maknya pergi kerja.  'Bunyi apa tu, eh kakak dah balik?'...

Sunday, September 27, 2009

Mimpi Naqib


Hari ini semasa saya melipat kain baju yang membusut di tengah rumah, Naqib menghampiri.  Dia memohon izin hendak berziarah raya di rumah kawan-kawan sekolahnya.  Jam menunjukkan 12.30 tengahari.  Waktu yang tidak sesuai untuk berkunjung ke rumah orang.
Saya renung wajah Naqib, "Dah hafal undang-undang madrasah?"
"Dah," jawab Naqib ringkas.  Tangannya menyapu peluh yang merenik di dahi.
Kuat berpeluh, tapi malas mandi...  bisik hati saya.

"Mama tahu Along dah hafal sampai nombor 7.  Hafal 7 undang-undang lagi.  Isnin minggu hadapan kamu akan ke madrasah tau!"  Saya menggesa Naqib supaya menambah hafalannya.  Saya lebih risau berbanding dengan empunya diri.  Bahkan saya bercadang untuk bersama-sama menghafal undang-undang itu sebagai pesaing dan memberi semangat kepada Naqib.
"Tadi abah dah tanya mama pasal ni.  Mama kata Along sedang hafal."  saya cuba menakut-nakutkan Naqib pula dengan pertanyaan hubby sebelum itu.

Naqib menuju ke biliknya dan datang semula menghampiri saya membawa sekeping kertas.  Dia lalu duduk di kerusi dan meminta saya menyemak beberapa undang-undang madrasah yang telah dihafalnya.  Saya menyemak sambil terus melipat kain-baju.  Badan terasa lesu kerana berpuasa sunat Syawal.  Sesekali Naqib menyebut perkataan yang tidak ada di dalam undang-undang madrasah.  Kemudian dia ketawa apabila saya memandangnya dengan wajah hairan.  Rupa-rupanya dia sengaja berbuat begitu untuk memastikan saya masih terus menyemak hafalannya.
Tiba-tiba, "Mama, mama, malam tadi Along bermimpi..."
"Mimpi apa?"  tanya saya acuh tidak acuh.
"Along mimpi berada di sebuah madrasah yang dibuat daripada kayu."
"Macam madrasah di Dengkil tu?"
"Lebih kurang la tetapi budak-budaknya tak ramai, sekitar 10 orang sahaja."
Saya memandang Naqib telus.  Mengapa bermimpi begini pula?  Mungkin petanda baik, bisik hati saya.  Malam tadi selepas Maghrib Naqib mengajak saya dan hubby ziarah raya ke rumah Harqil, kawannya di madrasah Seksyen 13.  Semasa di rumah Harqil, kami dimaklumkan Harqil (14tahun) telah menghafaz 10 juzuk.  Dia juga telah mampu membawa solat Terawih di surau berhampiran beberapa kali semasa Ramadhan lepas.  Ibu dan ayah Harqil berbangga dengan kemampuan anak bongsu mereka itu.  Penampilan Harqil juga memang meyakinkan.  Perwatakannya cergas dan cerdik. Seperti selalu, bapa Harqil sebut lagi tentang penampilan Naqib yang padanya bertokoh itu.  Sudah beberapa kali saya bertemu bapa Harqil semasa hendak menjemput Naqib balik dari madrasah.  Setiap kali itu, dia bercerita bagaimana dia dan ibu Harqil memperkatakan perihal Naqib.  Mereka kerap juga bertembung dengan Naqib ketika dia lengkap berjubah dan berserban.  Kata mereka, Naqib ada tokoh seperti Pak Imam dan sebagainya.  Hubby menyambung, "Naqib memang bertokoh, tetapi nak menyampaikan itu yang dirisaukan."
"Sama-samalah kita mendoakan anak-anak ini semoga berjaya," sahut bapa Harqil pula.
Kemudian ibu dan bapa Harqil turut memberi semangat dan dorongan kepada Naqib untuk meneruskan pengajian hafazan.  Mereka memang keluarga yang baik dan amat memahami kedudukan Naqib sekarang.  Mereka juga berasa gembira apabila kami memaklumkan pendaftaran Naqib di madrasah baru pada 5 Oktober ini.  Harqil juga pernah memasuki dua sekolah tahfiz selepas UPSR iaitu sekolah akademik dan tahfiz.  Namun dia memilih untuk memberi tumpuan kepada hafazan semata-mata sebagaimana yang dilaluinya di madrasah Seksyen 13 sekarang.

"Along merasakan di dalam mimpi itu, Along tidak rindu sangat pada mama."  tiba-tiba Naqib bersuara lagi.
"Along rasa Along boleh.  Kat sana jarang balik rumah,"  sambung Naqib.
Saya mencapai tangan Naqib.  Saya belek-belek tapak tangannya seperti yang Tuk Misran buat walaupun saya tidak tahu apa maksud tersirat di tapak tangan gebu Naqib.
Naqib tidak memanjakan diri tetapi amat rapat dengan saya berbanding dengan abahnya.  Tidak hairan dia akan mencium pipi saya berkali-kali sebelum saya meninggalkan dia di madrasah.  Ciuman terakhir di pipi lebih lama seolah-olah sebagai simpanan di jiwanya kala dia merindui saya.  Dia juga memakai wangian yang saya gemari setiap hari dan kala hendak melelapkan mata untuk mengurangkan rindu kepada saya.  Ternyata Naqib anak yang rapat dengan keluarga dan suka suasana berkeluarga.  Namun jauh di sudut hati, saya tahu satu hari saya harus berhadapan dengan satu perubahan.  Naqib akan semakin dewasa, akan berkeluarga, dan akan memiliki kehidupan sendiri.  Inilah kenyataan yang harus saya hadapi dan selalu saya cuba sadari.

"Mama yakin Along boleh.  Mama juga nak Along kurangkan berat badan,"  saya renung mata Naqib dalam-dalam.  Naqib hanya tersenyum lebar.  Angguk tidak, geleng pun tidak.
"Along baru 13 tahun, tapi berat Along dah 70 kg.  Berat berlebihan boleh menyebabkan organ dalaman tidak mampu menampung beban, seperti buah pinggang, jantung dan hati."  Naqib diam mendengar.  Saya makin bersemangat hendak meneruskan.
"Lagipun, kalau muatan perut berlebihan, daya berfikir akan merosot.  Daya ingatan akan menurun.  Semua aliran darah turun ke perut untuk membantu proses penghadaman."
Saya pegang lengan Naqib yang gempal dan pejal.  Kalau nak diikutkan banyak lagi yang hendak saya beritahu kepada anak ini.  Tetapi tidak mengapalah.  Saya tidak mahu membebankan fikirannya.  Apa yang hendak saya bicarakan pun telah selalu saya beritahu sebelum ini.
Sebelum kami berpindah ke Sijangkang, Naqib dan Hurilain masih langsing seperti Hidayat dan Hanessa sekarang.  Di Sijangkang, anak-anak ini semakin berselera dan berlawan-lawan menambah nasi di meja makan.  Sehingga kini, berat Naqib telah melebihi berat saya dan berat Hurilain pula menghampiri berat saya.

Harapanku padaMu, Tuhan.  Pimpinlah Muhammad Naqib ke jalanMu.  Peliharalah dia walau di mana jua dia berada. Sampaikanlah cita-citanya yang selaras dengan keredhaanMu.  Kurniakanlah dia guru-guru yang bertaqwa, sahabat-sahabat yang soleh, yang menyebut kesalahannya untuk membetulkan dia.  Masukkanlah dia dalam golongan pecinta ilmu dan berikanlah dia ilmu yang benar.  Terangkanlah hatinya, lapangkanlah dadanya, dan kuatkanlah ingatannya dalam menghafal ayat-ayatMu.  Bangunkanlah dia untuk solat dengan penuh kusyuk menghadapMu.  Terimalah ibadahnya dan redhailah dia.  Kasihanilah dia.
Selamatkanlah dia dari segala musibah kesusahan dan fitnah akhir zaman.  Kuserahkan dia ke tanganMu, ya Allah.  Dia hanya pinjaman untukku.  Suatu ketika perpisahan pasti berlaku.  Kami semua pasti kembali ke hadratMu.  Selamatkanlah anak-anakku dan kami semua, dari segala fitnah, dari seksaan kubur, dari seksaan api neraka.  Kami banyak berdosa.  Ampunkanlah kami, ya Allah.  Terimalah kami, jangan biarkan kami walau sesaatpun.  Amin.

Kerjasama

Hari ini sesi kemas rumah berulang lagi.  Baru sehari tidak membersihkan rumah, habuk telah berkumpul dengan cepat.  Tapak kaki berwarna kehitaman.  Kalau mak ada, pasti dia akan menunjukkan tapak kakinya yang hitam sambil memberitahu bahawa di rumahnya hal ini tidak mungkin berlaku.  Mak amat pembersih, sulit rasanya hendak mengikut tabiatnya itu.
Aku bercadang hendak membuat nasi goreng, hidangan kegemaran sekeluarga (terutamanya Ain).  Aku keluarkan nasi beku dari peti ais dan mengukusnya supaya lembut.  Naqib kuminta ke kedai membeli sedikit bahan mentah yang telah kehabisan.  Balik dari kedai, Naqib meminta izin membeli sotong pula.  Sekali lagi dia keluar untuk membeli sotong.
Biasanya apabila Naqib ada di rumah, aku akan membuat agihan kerja.  Tujuannya untuk melatih anak-anak ini membuat kerja rumah dengan cekap.  Aku tidak mahu mereka menjadi seperti aku yang dimanjakan dan memanjakan diri sewaktu usia ini.  Lalu aku menawarkan pilihan sama ada mereka mengemas rumah, vakum habuk atau memasak di dapur dan mengemas dapur.  Kejamkah ibu ini...ish, rasanya tidak.  Aku baca kisah Doktor Harlina, lebih berat lagi bebannya.  Anak-anak pun sudah membaca kisah ini.  Ini bukanlah kekejaman tetapi satu latihan kehidupan.
Naqib memilih untuk memasak.  Dia telah mula menunjukkan kecenderungan memasak.  Dia suka makan.  Hubby pula selalu mengulang ceritanya sewaktu kanak-kanak dengan bangganya, mengenai dia mula memasak nasi seusia  6 tahun.  Ain berperanan sebagai pembantu Naqib, membersihkan sotong untuk perencah nasi goreng.  Aku pula terus membersihkan rumah.
Bau yang enak mula menerjah hidung.  Aku masih berpuasa, hari ini merupakan hari terakhir aku berpuasa sunat Syawal.  Insya Allah.  Alhamdulillah.
Sebentar kemudian, seisi keluarga menghadap hidangan dengan penuh berselera.  Naqib tidak melupakan aku, dia menyimpan sedikit hasil masakannya di dalam mikrowave yang baru rosak itu.  Namun ada rasa cuak di hati Naqib ...bolehkah nasi goreng enak itu terus berada di situ sehingga petang nanti. 
"Dapur dah settle?" aku bertanya kepada Naqib.
"Belum, Ain belum habis makan" jawab Naqib.

Tugasan yang kuberi adalah dalam pakej.  Memasak, menghidang dan membersih.  Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan seusia mereka.  Atau jarang-jarang berpeluang melakukannya.  Tetapi kini, setelah mendapat 4 cahayamata, semua ini menjadi rutin yang tidak boleh dielakkan.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Kids Birthday tickers

Terima kasih :)

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing