Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, June 28, 2015

TANDA ALLAH SAYANG



Alhamdulillah.
Bersama sebab atau tanpa asbab, Allah boleh bagi sembuh.

Ini pagi kedua aku bawa anak-anak berjalan perlahan-lahan santai-santai mengelilingi tasik rekreasi Kota Kemuning.  Pagi semalam sampai sana seawal jam 7 pagi.  Matahari masih main sembunyi-sembunyi.  Tapi pagi ni, sampai sudah 7.30 pagi.  Matahari sudah mula bersinar garang.  Namun panorama alam masih tekal indah di pagi yang segar.  Merenung water fountain di bawah sinaran matahari menghadiahkan rainbow yang menyerak warnanya dengan bangga.  Masya Allah.  Memerhati sekeliling, nampaklah pepatung merah, burung dan lebah berbelang kuning hitam.  Menadah telinga, terdengar bunyi kicauan burung yang keriangan mengucapkan zikrullah.  Memandang air tasik yang berombak perlahan, kelihatan ikan keli di tepian, kura-kura menjenguk ke permukaan air.  

Naqib dan adik-adiknya nampak cergas.  Masih awal hari kan.  Alhamdulillah.

Naqib, tentu tak siapa menyangka dia masih dalam kategori orang sakit.  Tubuh yang gempal berisi (dah turun banyak juga tu, lebih kurang 14 kilo sejak mula sakit teruk), wajah yang cool ala-ala macho, sengih yang sampai ke telinga, dan nakal menyakat mengusik menjentik adik-adik terutamanya Hidayat.  Tak nampak langsung dia sebenarnya sedang bertarung dengan sakit.

Alhamdulillah, setakat ini dia sihat mengikut keperluan.  Balik kampung ikram wan atok, dia sihat.  Ziarah Atok Leha Atok Arbak semasa mereka di Kajang, alhamdulillah dia kelihatan begitu sihat.  Dan dia memang mencari waktu sihat untuk ikram kawan-kawan di madrasah berdekatan.  

Tetapi apabila datang sakitnya, dia tidak mampu bangun.  Solat terpaksa gunakan kerusi.  Ada sekali dia masih cuba melawan sakit dan mengikut abahnya solat terawih di surau Al Falah ~ Naqib solat di belakang bersama-sama beberapa orang jemaah yang menggunakan kerusi.  Namun esoknya dia dah rasa lebih sihat, pergi teraweh solat macam biasa.

Ya, sakitnya tak boleh diduga.  Bila-bila nak sakit, sakitlah dia.  Bila-bila nak muntah, muntah la dia. 
Satu ketika tekanan darahnya antara yang tertinggi, 220. Abahnya yang berada jauh mula kerisauan dan muat naik di fb, dan ramailah yang begitu prihatin memberi simpati dan berbagai usul untuk pengubatan, yang dekat dan yang jauh.  Masya Allah memang terharu atas keprihatinan mereka semua.  Waktu ini juga Naqib hanya berbaring dan bangun untuk solat, dan muntah.

Aku sambil menyembunyikan risau, sempat berleter bersama airmata yang terbit di hujung bicara.  Membebel sikap kurang endah pada pemakanan yang diambil.  Kurang endah pada  disiplin mengambil ubat. Kurang endah menjaga minuman air garam yang sepatutnya diambil kerap.

Tetapi Naqib selalu ada jalan keluar.  Dia meminta air batu untuk mandian.  Maka satu famili mandi air batu yang … masya Allah tak terucap dengan kata-kata akan ‘nikmat’nya.  Sekurang-kurangnya mandian ini ada memberi kesan baik pada dia.  Alhamdulillah.

Sedapatnya, segala apa yang diketahui sebagai ubat, kami mahu dapatkan untuk dia.  Kami mahu dia sembuh sepenuhnya.

Sesungguhnya amat benar sekali, Allah menjadikan dunia ini sebagai tempat asbab.  Ternyata Allah maha kuasa boleh saja menjadikan sesuatu berlaku tanpa asbab.

Setelah hanya mampu berpuasa tiga hari pertama Ramadan, hari ini Naqib memberitahu mahu berpuasa.  Abahnya sudah pun menyerahkan fidyah dia tidak berpuasa kepada madrasah di Mersing. 
“Yang penting kamu rasa boleh.  Tidak sakit.  Nak puasa tak ada masalah,” begitulah jawapan aku.
Sehingga ke saat aku menulis ini, dia tidak sakit walaupun TEKANAN DARAH MASIH TINGGI DARI NORMAL, lebih dari 180/120.

Ini memang LUAR BIASA!  Aku dan Naqib saling berpandangan kehairanan.  

Allah dengan segala sifatNya yang Maha Sempurna, Maha Pengasih, Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, segala kesempurnaan dan keagungan milik Allah semata.
Aku terus berharap, semoga Allah memberi kesihatan total kepada Naqib.

Ada beberapa asbab yang kami fikirkan.  

~ kerap aku nyatakan kepada Naqib.  Dalam hidup ini Allah beri penyakit dan Allah sertakan ubatnya.  Ada banyak ubat yang boleh manusia dapati, sesuai dengan kemampuan dan rezeki.  Namun, sesuai pula dengan dua petunjuk Allah kepada manusia melalui Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.  Di situ ada apa yang dipanggil KEBERKATAN.  Maka, usahalah apa sahaja kecuali yang haram.  Engkau akan dapati apa yang ditunjukkan Allah itu jauh lebih hebat dan amat mengharukan.  TANDA ALLAH SAYANG.  Carilah yang membawa KEBERKATAN.  Keberkatan itu amat penting, itulah rahsia keajaiban dalam kehidupan.  

Syukur alhamdulillah, semua dari Allah.  Benarlah, Engkau tidak menghampakan doa dan harapan yang tidak kunjung padam.  Semoga ini semua adalah permulaan yang baik untuk Naqib.  Ya Allah, izinkanlah dia syahadah, dan pilihlah dia menjadi hafizMu, alimMu dan sebagai pembantu agamaMu.  Kurniakanlah dia ilmu, iman dan ihsan.  Kurniakanlah dia isteri yang solehah lagi bertaqwa.  Pilihlah dia dan keturunannya membantu agamaMu sampai kiamat.  Allahumma aameen.

~ catatan. Syukur alhamdulillah, Allah pertemukan kami dan gerakkan hati kami untuk bertemu dengan Haji Yusuf. 
Jazakumullah khoyr kathira atas doa semua ahli keluarga dan kawan-kawan, dan atas semua usul, cadangan dan keprihatinan.  Semua dengan izin Allah belaka.

* mula mencari erti KEBERKATAN HIDUP.  KEREDHAAN ALLAH ADALAH TUJUAN HIDUP.

Saturday, June 13, 2015

buku cerita kanak-kanak - sebuah azam

Satu ketika aku mendapat tawaran dari seorang editor untuk menulis buku cerita Islamik kanak-kanak.  Sebaik bersetuju untuk melakukannya dengan rasa gembira, aku diserang rasa sakit di ketiak kiri.  Ia adalah kayap!  Aku tidak pernah mengalami kesakitan begini, yang aku sangkakan adalah aku sudah diserang kanser payudara, nauzubillahiminzalik.

Mujurlah ia hanya kayap dan telah pun sembuh, alhamdulillah.  Aku masih memikirkan tentang buku cerita kanak-kanak itu.  Belum berbuat apa-apa. 

Kemudian keadaan Naqib yang selalu tidak stabil sebenarnya dalam diam-diam, memberi efek kepada emosi juga.  Ada rasa sedih, rasa sayu, rasa pilu, rasa duka dalam usaha untuk terus jadi tabah dan memberi semangat kepada anak ini supaya sabar dengan ujian yang diberikan Allah SWT.  Risau tatkala dia terlentang kesakitan, membuatkan aku hanya menyelesaikan rutin harian sahaja.  Kisah pasal buku cerita kanak-kanak biasanya dilupakan.

Akhirnya aku terasa sendiri.  Tentu puan editor tertanya-tanya, lalu aku khabarkan keadaan diri yang dilanda musibah ini.  Usaha hanya berlegar dalam kepala.  Aku ada cerita tetapi bagaimana?

Membaca status puan editor di muka buku, aku terasa sesuatu.  Ia perkara biasa sahaja.  Kadang-kadang gerak hati itu tepat juga.  Kalau salah, pun tak kisah.  Kesudahannya, aku tidak perlu meneruskan apa-apa.  Polisi syarikat sering berubah-ubah, kata puan editor. 

Walau bagaimanapun, keadaan ini ada khoyrnya.  Aku akhirnya mula mencari maklumat tentang tip-tip penulisan buku cerita kanak-kanak.  Ketika membawa Naqib dan adik-adiknya untuk pertama kali (setelah setahun lebih tinggal di kawasan ini dan setelah baru tahu ada tasik dan kawasan rekreasi di Kota Kemuning), aku bawa satu beg penuh dengan segala buku kanak-kanak yang aku ada.  Kononnya nak membaca nanti di tepi tasik yang damai.  (Hampeh, beg yang berat dek buku tu hanya jadi pemberat dalam khemah supaya khemah tak terbang dek angin yang kuat, dan aku leka menatap air tasik yang beriak-riak ditiup angin).

Terkenang azam mahu menulis kisah-kisah indah.  Itu terkandung dalam doa harianku sebenarnya.  Hati mengatakan, kisah-kisah indah sangat banyak ditulis untuk kanak-kanak.  Kisah yang ringkas dan selalu berkahir dengan kegembiraan dan teladan yang baik, itulah keindahan.  Ilustrasi yang cantik, itu juga keindahan.  Imaginasi yang tinggi dan penuh angan-angan, juga adalah keindahan dalam perasaan.

Semasa mengikuti pengajian diploma pendidikan awal kanak-kanak, kami perlu membuat projek buku kanak-kanak untuk memenuhi keperluan kursus.  Aku mengambil sebuah kisah ringkas yang cantik ilustrasinya dari sebuah majalah lama, tentang kanak-kanak lelaki yang bangun pagi dan bersiap ke sekolah dengan perasaan riang.  Ada bunga yang indah bekembang dan matahari yang bersinar terang.  Ada katak dalam perjalanan dan ada semut yang beratur di sisi jalan.  Ada macam-macam.  Aku menghias buku dengan kapas dan beberapa lukisan itu boleh digerak-gerakkan.  Ia simpel dan sempoi, tetapi aku yakin kanak-kanak akan menyukai buku itu. 

Ada beberapa lagi buku lain yang dihasilkan oleh kawan-kawan sekuliah, termasuk yang diprint-out siap-siap dengan kertas licin dan warna yang menarik.  Tak ubah seperti buku yang dibeli di kedai buku.  Akhirnya tatkala kawan-kawan lain menerima semula buku ciptaan mereka, aku dan beberapa orang kawan lagi tidak pernah menerima buku kami sehingga kursus itu tamat sepenuhnya.  Di manakah buku itu berada?

Tiba-tiba terasa seronok pula nak menulis buku kanak-kanak.  Tetapi walaupun ada cerita, tak mudah mahu menukilkannya begitu sahaja.  Kita perlu 'menjadi kanak-kanak' dulu sebelum menyelesaikannya hingga sempurna.  Ini hanyalah sebuah permulaan.  Seterusnya adalah langkah-langkah yang harus dirancang dan direalisasikan menjadi kenyataan.  Supaya tidaklah catatan ini sekadar sebuah cerita kosong yang tidak bermakna apa-apa. 

Insya Allah, semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita.  Allahumma aameen.

semoga segera sembuh

Setelah begitu berazam mahu belajar Bahasa Arab dan menghadiri beberapa sesi kelas pengajiannya, aku terpaksa memberi alasan untuk ketidakhadiran yang berturut-turut dan akhirnya aku membuat keputusan sendiri untuk menangguhkan pengajian ini ke satu ketika yang tidak dapat ditentukan.  Demikian juga dengan kelas kitab di madrasah yang sama, hanya sekali dapat menghadirkan diri.

Alasan besarnya ialah aku tidak dapat meninggalkan anakku sekiranya dia melepek terbaring menahan kesakitan bersendirian.

Naqib yang dua pusarnya ini, akan terbaring sahaja sekiranya sakit kepala datang menyerang.  Setakat ini, aku dapat meneka itu akan berlaku seandainya dia ada tersalah makan (sengaja atau tidak sengaja) - terutamanya makanan bercili walaupun sedikit.  Selalunya aku akan diserang rasa kesal menyesal, kerana ketika dia sihat ceria, aku pun leka mengingatkan dia untuk menggunakan segala yang tersedia seperti tilam Dr Jabbar dan mengambil ubat secara rutin.  Boleh lupa ya?  Teruk betul!  Termasuk mengambil air bergaram sejam sekali sebanyak segelas atau lebih.  Ishh!

Tatkala Naqib sihat sepenuhnya, aku dapati dia adalah seorang abang yang nakal.  Dia mengusik dan menyakat adik-adiknya, menjentik, mengacah-acah dengan rotan, dan menakut-nakutkan adik dengan gertakan (kes Hidayat yang belajar main-main). Huril pun sama menjadi mangsa usikan hingga terjerit-jerit takut dilibas rotan, gurauan yang menakutkan dia.  Yang beruntung ialah si bongsu, yang dilayan dengan manja selalu.

"Kesian la along, mama ..."  Apabila Naqib terlentang kesakitan, Hidayat selalu mengulang-ulang ayat ini.  Ya, apabila Naqib jadi demikian, dia tidak menghiraukan apa-apa pun melainkan melelapkan mata dan hanya bangun untuk ke bilik air, solat dan muntah beberapa kali.  Makan pun tidak.  Setelah sehari atau dua hari, barulah dia agak reda dan meminta air kelapa.  Alhamdulillah, setakat hari ini air kelapa menjadi ubat mujarab untuk dirinya.  Setelah minum air kelapa, dia akan muntah lagi (kesian betul dengar bunyi dia muntah) dan akhirnya sakit kepala pun beransur hilang.

Tak perlu nak jerang air kelapa atas api bersama halba.  Tak sempat dah.  Minum macam tu saja.  Disuruh letak garam pun tidak mahu.

Keadaan sakit kepala ini biasanya berlaku selang 3-4 hari.  Kini dia sudah menghabiskan tiga botol ubat Dr Harif yang menggunakan gelombang frekuensi flora untuk mengimbangi tahap kerohanian, emosi, mental dan fizikal (seperti yang tertulis pada botol ubat).  Pada pertemuan kedua minggu sudah, Dr Harif memberi tiga botol lagi ubat tetapi saiznya lebih besar dan pengambilan sebiji sahaja untuk 4 kali sehari.  Alhamdulillah, kadar kekerapan Naqib diserang sakit kepala lebih terkawal berbanding sebelumnya.  Namun untuk seminggu ini dia hanya mengambil ubat homeopathy dari Colour Therapy Vibration sahaja sebanyak 30 biji dua kali makan (subuh dan malam).

Tekanan darahnya masih tinggi, belum pernah turun sehingga 150.  Kadar biasa ialah 170 ke atas.  Denyutan jantung juga tidak menentu tetapi biasanya paras normal. Alhamdulillah. Berat badan sudah turun 10 kilogram, dan sekarang nak turun ke kadar 88-90 kg masih macam yoyo. 

***

Bukan tidak mahu melakukan biopsy.  Tindakan menarik Naqib keluar dari hospital tiga bulan lepas adalah atas mesyuarat segera atas talian dengan hampir semua ahli keluarga.  Memang khabar yang pernah sampai sedikit sebanyak memberi kesan pada keputusan peribadi juga.  Termasuk kes lama diri sendiri, ketika mengalami nephrotic syndrome semasa di tahun pertama UKM dulu.  Dignosis doktor mengatakan tekanan darah tinggi yang luar biasa untuk seorang remaja seperti ini adalah di luar kebiasaan.  Dan menurut ilmu perubatan, berdasarkan hasil ujian darah dan ujian kencing, termasuk x ray (tak sempat buat scan, ada masalah teknikal), ia ada kaitan dengan buah pinggang Naqib.  Biopsy yang bakal dilakukan akan mengambil sampel tisu buah pinggang untuk mengenal pasti apa dan bagaimana tahap kerosakan buah pinggang itu, dan bagaimana ia boleh diatasi.  Kebiasaannya dialisis akan dilakukan, dan ia mesti disegerakan kerana tahap kretinin sangat tinggi.

Bagaimana Allah SWT memberi keyakinan untuk kami menarik Naqib keluar dari mendapatkan rawatan hospital?  Bagaimana Allah SWT memberi ilham-ilham dan menggerakkan hati kami untuk mengikut saranan dari insan-insan prihatin untuk mendapatkan rawatan yang lain?  Semuanya kerja Allah SWT belaka.

Setelah mendapati kaedah dan hasil rawatan di sebuah pusat rawatan alternatif pertama yang kami tujui agak kurang memberi kesan yang memberangsangkan kepada Naqib, kami membuat keputusan untuk menuju ke rawatan alternatif kedua.  Ia saranan dari seorang sahabat yang begitu prihatin dan beliau baru kehilangan suaminya.  Sahabat ini sangat prihatin tentang kesihatan dan cara rawatan yang diambil.  Pesannya, 'carilah doktor yang sebenar seperti mana kita hendak mencari ulamak yang sebenar'.  Pesanan ini sangat mengesankan, dan aku selalu tanpa sengaja menghimbau kenangan lama terhadap arwah abah dan arwah kekanda Norliza.  Semua sudah berlalu.  Sementara  masih ada kesempatan, gunakan apa saja peluang dan jalan yang ada untuk membaiki kesihatan.

Setiap kali mahu mengajak suami ke pusat rawatan yang baru, aku katakan padanya, 'Lebih baik kita mencuba, agar tiada penyesalan di kemudian hari.'  Alhamdulillah, dalam hal ini kami masih bersepakat.

Okay, secara ringkasnya dignosis Dr Harif mengatakan ada virus dalam darah Naqib dan ia sudah menyerang otak.  Ini mungkin berpunca dari minuman dan makanan yang diambil, wallahu'alam.  Dalam keadaan kritikal sebegini, aku tidak peduli apa asbabnya melainkan mahukan kesembuhan.  Kes yang sama ada dirawat oleh Dr Harif dan berjaya sembuh, alhamdulillah.  Pada pertemuan tempohari, kami diberitahu virus itu sudah hampir tiada, dan hanya bakteria yang perlu diatasi.  Selainnya ialah masalah yang berpunca dari perut.

Dignosis ini selari dengan apa yang kami diberitahu di pusat rawatan tanpa ubat kelmarin.  Masalah ini berpunca dari perut yang lemah.  Aku bersetuju, memikirkan otot perut Naqib yang dipotong semasa pembedahan membuang bengkak apendiks semasa usianya 12 tahun.  Semenjak itu dia mula boroi perlahan-lahan. Pakar colour therapy vibration itu pula, err ... mungkin ada masalah dengan darah, begitulah rasanya. Hmm ... Aku tak pasti sangat sampai sekarang.  Walau apapun, mesti positif dalam minda, kata-kata dan tindakan, itu benar.

Menarik juga kalau aku selitkan sedikit 'dignosis' Haji Sani di Sijangkang, dan Wak Mus di Seremban.  Kedua-dua perawat Islam ini sependapat, ada sesuatu yang berlaku di perut Naqib dan mereka menyelesaikannya dengan cara masing-masing. 

Terakhir tetapi bukan penamatnya, adalah beberapa komen yang menyebut tentang 'gangguan'. Aku setuju dengan kenyataan, bahawa penyakit yang datang ada kaitan juga dengan gangguan jin dan syaitan.  Ini ada disebutkan oleh Haji Sani dan Naqib dimandikan dengan air rebusan lima jenis daun, seperti yang dilakukan kepada wanita dalam pantang bersalin.  Semalam, Aqmal memberi amalan Qalbu Surah kepada Naqib untuk dijadikan amalan.  Alhamdulillah.  Semoga menjadi antara asbab kesembuhannya, aameen.

***

Disiplin diri adalah penting.  Di hospital, ada jururawat yang menguruskan pengambilan ubat pesakit.  Di rumah, sendiri mau ingat.  Masa sihat alpa, masa sakit baru kecoh nak makan ubat, memang sempoi macam tu.  Masa sihat lupa, masa sakit baru nak pakai tilam Dr Jabbar, baru nak minum air garam, memang payah.  Dan parah jawabnya. 

Dan terpaksa aku membebel dengan nada rendah.  Terpaksa Naqib menahan rasa menadah telinga.  Semalam, aku mendengar luahan hati anakku ini.  Katanya, dia minta kawan-kawan doakan dia sembuh, itu afdol.  Kawan-kawan sarankan dia istiqomah mengambil habbatus sauda.  Itu memang tiada keraguan.  Nah!  ternyata kawan-kawan lebih kuat pengaruhnya daripada ibu sendiri?! Bukan aku tak ada menyuruh dia spray minyak habbatus sauda di bawah lidahnya setiap hari.  Bahkan sekarang habbatus sauda adalah antara bijirin rempah yang aku campurkan di dalam masakan.  Haih, kawan cakap juga baru nak ambil perhatian. 

Sedekah.  Sekarang aku sudah meletakkan bekas untuk dia bersedekah setiap pagi, di atas meja makan.  Katanya, Ustaz Abdul Rahman mengingatkan dia tentang sedekah dan solat hajat.  Itupun setelah aku senaraikan asbab-asbab Allah SWT akan berikan kesembuhan kepada sesiapa yang melakukannya; iaitu solat tahajjud, solat hajat, bersedekah setiap hari, baca surah Yasiin, istighfar, selawat ke atas Nabi SAW, doa di waktu mustajab dan pemakanan sunnah.  Catatan ini aku tulis dan letakkan di atas meja makan juga.  Syaitan selalu menjadikan terlalai.  Dan kelemahan diri selalu membuatkan lupa.

Dalam diam-diam, aku menyimpan hasrat untuk berjumpa Doktor Danial di Kubang Krian.  Kekangan masa dan jarak membuatkan hasrat ini seperti sukar dicapai tetapi aku belum berputus asa.  Semoga Allah SWT mengabulkan doa untuk bertemu beliau bersama Naqib tak lama lagi, insya Allah.  Ya  Allah, mudahkanlah urusan ini aameen.

Sakit ini ada hikmahnya.  Ia berlaku ketika usia muda Naqib.  Dia masih bertenaga untuk menahan sakit kepala.  Dia masih ceria ketika sakitnya hilang.  Alhamdulillah.  Kami masih ada untuk Allah SWT sampaikan asbab-asbab kebaikan kepadanya.  Masya Allah, betapa besar hikmahNya dan pasti ada banyak lagi hikmah yang tak tercapai akal memikirkannya.

***

Kali ini aku benar-benar terasa nak tulis novel remaja tentang anakku ini.  Sementara masih ada masa dan peluang.  Insya Allah.  Semoga persembahan kali ini tidak mengecewakan juga.  Semoga Allah SWT memudahkan ia untuk dilakukan.  Semoga menjadi asbab hidayat dan asbab kebahagiaan di akhirat nanti.  Allahumma aameen.

Semoga Naqib akan sembuh sepenuhnya, dan sambung alim tak lama lagi.  Juga menyelesaikan syahadahnya segera.  Ya Allah, berilah kesembuhan padanya dan semua anak-anakku dan kami semua, dan pilihlah kami untuk  membantu ugamaMU hingga kiamat, aameen.


Thursday, June 11, 2015

Dignosis



Setelah memperbaharui kad parking untuk sejam kedua, akhirnya nama anakku dipanggil masuk ke dalam bilik.  Aku mengekori.  

“Macamana tahu tentang tempat ni?”  

Aku tiba-tiba serba-salah.  Tempat ini sudah lama aku ketahui, tetapi baru hari itu aku menghadirkan diri ke situ.   Mungkin dari siaran IKIM.

“Err … dari kakak saya.”  Teringat kakak pernah memberitahu, kenalannya merupakan salah seorang perawat di situ.  Aku kurang pasti, mungkin juga big bosnya?

Perawat muda itu mengangguk-angguk.  Dia bertanya lagi, “Ok, apa sebenarnya?”

Lalu anakku mula bersuara dengan ketenangan caranya, sepatah sepatah dan aku menyampuk sekali-sekala.  Apabila anakku berhenti bercakap, perawat bertanya lagi, “Lepas tu, apa lagi?”

Anakku hampir menjelaskan segala-galanya melainkan apa yang telah kami rancang.  Ada perkara yang telah dihadkan, tidak perlu beritahu semua.  Prinsip aku, untuk satu dignosis dari seorang perawat yang baru, kami mahu ia tidak dipengaruhi oleh dignosis yang lama dari pihak lain.  Cerita simptom saja cukuplah.  Cerita semua, buat apa?  

Seperti baru tersedar, perawat menarik sehelai kertas licin dan meminta anakku mengisinya.  Ia adalah borang pendaftaran pusat rawatan tersebut.  Kemudian perawat menghilangkan diri.  Aku mengeluarkan tab dari tas tangan dan merepot semuanya kepada suami melalui fb massenger.  Whats app sudah ok, tapi terus menggunakan ruang sembang di fb itu seolah-olah kurang mesra dengan whats app.  Tidak lama kemudian, perawat masuk dengan telefon bimbit di telinganya.  Oh, dia sedang merepot tentang pesakit baru ini melalui panggilan telefon kepada bapanya.  Kami dapat mendengar jawapan dan saranan dari bapanya untuk anakku.  

Huk aloh, jawab suami di fb massenger, tatkala aku memberitahu perawat sedang bercakap di telefon dan bukan mengambil peralatan untuk dignosis seperti yang aku sangkakan awalnya.

Akhirnya anakku disuruh berbaring dan beberapa ujikaji ringkas dilakukan.  Ah, kakinya sama ada pendek atau panjang sebelah sangat memeranjatkan.  Mungkin akibat jatuh terhentak suatu masa dulu.  Perut yang lemah membuatkan lemak terus turun ke bawah perut.  Memerlukan sokongan seperti bengkung untuk menguatkan otot perut.  Risiko hernia yang ringan.  Keseluruhannya, rawatan masih boleh dilakukan.

Perawat muda ini masih berlapik kata, “Insya Allah, kita berusaha melalui urutan terhadap saraf-saraf di sepanjang tulang belakang dan diharapkan akan memberi kesan baik kepada buah pinggang dan seluruh badan.” 

Kami diminta membuat pemeriksaan semula dengan doktor hospital kerana kretanin yang tinggi (hasil repot makmal persendirian bulan lepas) untuk melihat sama ada masih ada masa untuk buah pinggang dipulihkan atau bagaimana … 

“Tetapi kami tidak mahu dialisis!”  aku tidak faham mengapa perlu kembali ke hospital yang telah kami talak tiga itu.  “Sebab tu kami ke sini.”

Perawat menjelaskan semula risiko kretanin yang amat tinggi, susulan bualannya dengan abahnya di talian telefon tadi.  Untuk memudahkan urusan, aku angguk bersetuju.

Setelah dijelaskan tentang kos bayaran rawatan sekiranya bersetuju, dan bayaran RM20 untuk dignosis, kami beredar ke kaunter untuk menyelesaikan urusan akhir.  Kelihatan perawat itu bercakap-cakap lagi dengan anakku, entah apa.

Selesai dignosis pertama.

Aku menyuarakan cadangan kepada si anak, untuk mendapatkan dignosis kedua dari tempat rawatan alternatif yang lain.  Tak disangka, dia terus bersetuju dan ada rasa teruja.  Tempat itu kami nampak tadi, ketika berpusing-pusing mencari tempat rawatan alternatif pertama yang tiada papan penanda.  Eksklusif dan meyakinkan, tetapi harganya bagaimana?  Namun tertulis, dignosis percuma.  Ok, jom kita cuba.  Kami disambut wanita yang penuh mesra, yang memberitahu kami perlu ke sebuah rumah agam di tempat lain untuk menemui doktor kerana jadualnya di situ sepanjang hari tersebut.

Berpandukan peta pada flyer yang diberikan, akhirnya kami sampai di hadapan sebuah banglo mewah.  Seorang tukang kebun sedang mengerjakan pokok-pokok hiasan di hadapan pagarnya.  Wahh, ini memang pusat rawatan yang serba mewah dan ekslusif.  Kami masuk dan diminta menunggu.  Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang berwajah ceria meminta kami masuk ke dalam.  

"Dari mana tau tempat ni?" tanyanya ceria.
Aku teragak-agak.  Teringat kakak pernah menemubual penemu kaedah ini beberapa tahun yang lampau.   Tapi takkan nak cerita pasal itu pulak ...
Setelah bertanya lebih kurang, jauh beza dengan perawat pertama tadi, lelaki ceria yang agak kacak juga ini meminta anakku berdiri dan mengangkat tangan kanan lurus separas dengan bahunya.  Sambil tangan kiri menekan hujung tangan anakku, jari telunjuk tangan kanannya membuat pergerakan zig zag yang tidak ketara pada sepanjang tubuh depan anakku yang berdiri menghadapnya.  

“Ok, nanti saya bagi garam.” Lelaki tersebut beredar.  

“Sempoi, nama pun dia tak tanya.”  Kata anakku perlahan.  Macam biasa, aku mengeluarkan tab di masa terluang dan memberitahu suami di mana kami berada.  Suami yang sedang mesyuarat (dia dah bagitahu awal-awal) hanya memberikan icon thumbs up.  

Lelaki berwajah ceria masuk semula, membawa tiga botol plastik dan duduk semula di kerusinya.  Dia menyambung semula celoteh dan kami ralit mendengar.  Kisah anakknya yang berumur tiga tahun jatuh kolam dan dia terus bertenang menarik anakknya dengan tongkat ketika orang-orang yang melihat menjerit mengatakan dia gila (sebab terlalu cool menghadapi situasi rumit macam tu).  Kisah dia menyimpan cita-cita membeli kereta laju untuk litar lumba.  Petua mengelakkan asma ialah dengan mandi hujan dan minum air batu.  Kaedah rendaman kaki dalam air ais ditaburi garam.  Kaedah mandi bilasan terakhir dengan air ais.  

 “Nanti lapang-lapang boleh mandi air garam kat sini,”  sarannya tersenyum.  Sesi 'dignosis percuma' pun berakhir, dan aku membayar kos tiga botol (satu botol garam, satu ubat untuk darah, satu untuk  kepala) berjumlah RM105 'sahaja'.  

Ketika menghantar punggung di kerusi pemandu, aku bertanya anakku, “Eh, sebenarnya mama nak tanya pasal kretanin kamu yang tinggi tu.  Kita nak tau la apa dignosis dia pulak.  Tapi ralit pulak dengar celoteh dia …”

Aku mengharapkan dapat sesuatu yang baru tentang kondisi kesihatan anakku.  Dalam diam, aku cuba menenangkan perasaan yang tiba-tiba rasa tidak puas hati.  Rasa dah terkena.  Rasa seperti dipermainkan oleh lelaki berwajah ceria.  Dia … mahir ke tidak?  Ke mahir borak je?

Menarik nafas panjang-panjang dan dalam-dalam.  Apa yang pasti, lelaki ceria kerap kali menyatakan kata-kata adalah doa.  Anggapan negatif menyebabkan keadaan yang buruk, dan sebaliknya.  Itu semua terkandung dalam celoteh tentang dirinya tadi.  

“Hmm tak mengapalah, alhamdulillah.  Mungkin sebenarnya Allah nak bagitahu supaya kita sentiasa berfikiran positif dalam hidup.  Doktor tu cerita semua kisah-kisah luar biasa yang jadi sample kepada kata-kata positif akan jadi asbab kebaikan.  Betul la tu!  Kan kata-kata dan anggapan yang kita bina adalah doa sebenarnya.  Ok la, kita tak dapat dignosis yang kita nak.  Kita dapat yang lain pula, yang lebih afdol.”  Kata aku memujuk diri.  Anakku bersetuju saja.  Sambil memandu, aku masih terus cuba mencari di mana lelaki ceria ada memberi komen atau dignosis tentang situasi kesihatan anakku.  Bagaimana nak aku jelaskan kepada suami tentang dignosis dari pusat rawatan ekslusif ini?  Aku biarkan tab duduk baik-baik dalam tas tangan.  Tidak tahu bagaimana mahu menulis kepada suami tentang ‘dignosis’ kedua hari itu.

Walau bagaimanapun, aku rasa amat teruja dan kagum dengan sesuatu.  Aku temui bahawa sesungguhnya benar, DALAM SUNNAH ADA KEJAYAAN. Lelaki berwajah ceria tidak menyebut demikian, tetapi semuanya jelas terkandung dalam cerita-cerita pengalaman peribadi yang disampaikan.  Ini lebih baik dari semuanya.  Walaupun tanpa dignosis yang diharapkan.  Alhamdulillah, semua kerja Allah SWT.  Allah-lah yang mengizinkan kami menjengah kedua-dua tempat rawatan alternatif ini.  Maha Bijaksana Allah pemilik segala keyakinan dan ilmu pengetahuan.  Allahu Akhbar.

Sunday, June 7, 2015

Kematian




Apabila ia mengunjungi kita di suatu masa yang sudah tetap, tidak dapat kita mengelakkannya.  Walau kita cuba berlari sekuat hati sejauh-jauh yang mampu membawa diri.  Ia adalah pasti.  Sekembali aku bersama suami dari menziarahi sekujur tubuh yang terbujur sepi di sebuah rumah yang bagai hilang seri.  Lalu aku tiba-tiba bersuara menyatakan hasrat hati.

“Abang, ayang wasiat ni.  Sekiranya ayang meninggal dulu dalam tangan abang, semasa jenazah belum dikebumikan, tidak dibenarkan lelaki bukan muhrim melihat jenazah ayang.”

“Nak kena pakai purdah la kalau gitu.”  Sahutnya selamba.

Aku mula kehangatan.  “Masa hidup tak bagi orang tengok, dah mati pun tak mau orang tengok.  Pasal apa orang lelaki sibuk nak tengok jenazah.  Duduk luar rumah masih boleh baca surah Yasiin dan hadiahkan pada si  mati.  Nanti naikkan notis tampal  kat pintu, hanya wanita dan muhrim sahaja boleh masuk.”
Jeda.  Aku menyambung dengan nada rendah hampir berbisik.  

“Abang … Saiyidatina Fatimah rha meminta dikebumikan jenazahnya pada malam yang gelap supaya tidak ada sesiapa nampak susuk tubuhnya kurus ke gemuk ke, tinggi ke rendah ke … dan di Padang Mahsyar nanti setelah selesai semua urusan, beliau sebagai penghulu wanita syurga akan menuju syurga dalam keadaan Allah perintahkan semua manusia tunduk tidak mendongak melihatnya.  Sampai macam tu sekali Allah memelihara aurat puteri kesayangan baginda SAW.’

Tiba-tiba hati rasa sayu.  Di antara kami, siapa yang menemui-Nya terlebih dahulu.  Firasat yang pernah berkata, terngiang semula di telinga.  Apa pun, Allah maha kuasa makhluk tiada kuasa.  Aku atau dia, sudah pasti pada masa dan ketika, akan kembali jua.  Bersedia atau terleka alpa?  Semoga Allah SWT memelihara auratku, yang sedaya upaya aku berazam mengikut sunnah Ummul Mukminin sehingga akhir hayat, dengan harapan semoga dapat menjadi kebanggaan Rasulullah SAW dan dipilih menjadi pembantu agama Allah.  Dan semoga Allah sentiasa menunjuki aku ke jalan yang lurus yang diredhoi-Nya.  Aameen.  Semoga jadi asbab hidayat seluruh alam.  

** hamba Allah yang hina.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing