Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, May 31, 2015

Hati Emas - Remaja dan Perjuangan


Ulasan Buku

Hati Emas - Remaja dan Perjuangan
Tajuk buku : Hati Emas
Penulis : Noraini Eslah

Alhamdulillah.  Hati Emas, karya Noraini Eslah ini telah saya tamatkan pembacaannya buat kali kedua pada tengahari tadi, sebaik kami sekeluarga sampai di majlis resepsi perkahwinan anak saudara saya.  Pertama kali saya membaca novel remaja 229 muka surat ini adalah pada sekitar Septembar 2014, selepas menerima kiriman buku ini daripada penulisnya, atas dasar bertukar-tukar karya sendiri.  Saya pula mengirimi pemilik nama pena Ummu Anas ini dengan novel remaja sulung saya yang bertajuk Seharum Doa Bonda terbitan ITBM juga.

Meniti ayat demi ayat dalam pembacaan kali kedua ini, saya semakin dapat menyelami perasaan Zahira.  Segala perasaan yang berlegar di dalam diri Zahira itu disampaikan dengan mendalam dan mengesankan di sepanjang penceritaan. Gadis kurus yang selalu pucat dan sentiasa dihantui dukacita kecewa oleh pembawaan Hepatitis B yang entah bagaimana menjangkiti dirinya ini benar-benar memiliki semangat juang yang luar biasa hebat.  Berperang dengan perasaan hampa kerana terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi seorang doktor, Zahira sentiasa bangkit semula dengan kata-kata saranan motivasi yang diulang-ulang dalam diri untuk terus melawan perasaan negatif yang mengasak emosi. 

Zahira bertindak menyembunyikan rahsia besar yang sangat meruntun seluruh jiwanya ini dari seluruh ahli keluarganya termasuklah kawan rapatnya, Habibah.  Namun rahsia penting ini sampai juga ke pengetahuan ibu Zahira ekoran demam yang dialaminya sehingga terpaksa bercuti di rumah.  Siapakah lagi yang wajib mengetahui keadaan seseorang jika bukan ibu dan ayah sebagai insan paling hampir?  Namun Zahira semakin menderita jauh hati gara-gara sikap ibu dan ayah yang tiba-tiba dirasakannya telah bertukar dingin.  Apatah lagi setelah dia perlu membuat pertukaran pengajian kepada bidang farmasi.   Abang Hilmi yang selalu cemburu kepadanya semakin menunjukkan sikap mencemuh setelah mengetahui rahsia ini.  Kadang-kadang Zahira bingung dengan perasaannya sendiri.  Apakah sememangnya ibu ayah menjadi dingin kerana kecewa dengan apa yang telah berlaku, atau itu semua hanya perasaannya semata.  

Pada masa yang sama, Zahira merasakan sangat memerlukan sokongan dari ibu.  Dia ingin berkongsi resah hati dengan ibu malahan nenek juga, yang telah memeliharanya sejak usia 6 bulan.  Namun itu semua hanya bagaikan mimpi belaka.  Kesibukan ibu serta janjinya dengan ayah untuk terus merahsiakan penyakit bawaan dari nenek dan Anis, adiknya sangat membebankan perasaan.  Pada masa yang sama Zahira amat bimbang rakan-rakan sekuliah akan menjauhinya rentetan penyakit yang dihidapi lalu berazam merahsiakan hal itu serapi mungkin.  Ketika Zahira merasakan ibu dan ayah bersikap dingin kepadanya, dia pula berusaha menjarakkan hubungan dengan Habibah sehingga menimbulkan kehairanan rakan akrabnya itu.

Dalam melayani perasaan sebak hampa yang menyelubungi diri sambil cuba sentiasa bangkit berjuang meneruskan langkahnya yang goyang, Zahira turut menerima tiupan motivasi daripada kata-kata Pengarah IPTS JB yang sentiasa terngiang-ngiang memalu semangatnya.  Rasa jauh hati dengan sikap ibu yang dingin pula diisi dengan kehadiran Puan Suriani, penyelia kumpulan tutorialnya yang begitu prihatin kepada diri Zahira.  Rahsia hidup penyelia manis yang juga penulis buku motivasi terkenal itu, yang telah menjadi yatim piatu semenjak kecil turut menyemarakkan semangat Zahira yang kerap luntur.

Sambil menelusuri perenggan demi perenggan, saya tiba-tiba tersenyum simpul dengan kehadiran Syamil, rakan seperjuangan Zahira yang kacak.  Syamil dan perasaan aneh Zahira hanya mengingatkan saya kepada novel Seharum Doa Bonda, di mana watak utama bernama Sakinah turut mendapat tempias keanehan yang tercetus tanpa dipinta dalam jiwa oleh teman sekelasnya, Amirul.  Persamaan yang tidak disengajakan ini sebenarnya adalah lumrah di dalam kehidupan.  Remaja mudah tercuit rasa namun haruslah ada sikap waras mengawal diri dan emosi.  Namun berbeza dengan sokongan Puan Suriani kepada Zahira, Sakinah terpaksa berhadapan dengan sikap Cikgu Zairul yang cengih amat tidak menyenangkan hati.  

Selain berpeluang menyerap kekuatan semangat Zahira, pembaca turut mendapat maklumat yang tepat walaupun tidak menyeluruh tentang penyakit Hepatitis B, dari segi cara ia tersebar dan cara mengawal penyakit ini.  Pembaca juga akan mendapat menyelami perasaan pesakit yang mungkin tertekan dengan keadaan yang menimpa diri.  Layanilah setiap individu dengan sikap mulia dan ikhlas hati.  Jadi, berhati-hatilah tatkala melihat perubahan sikap orang tersayang anda.  Mungkin ada sesuatu rahsia besar yang sedang disembunyikannya. 

Bersama harapan untuk memiliki hati yang benar-benar sihat, Zahira turut menyemai azam untuk menjadikan hati miliknya umpama hati emas yang bukan calang-calang. Keistimewaan ‘gerak hati’ Zahira menjadikan watak ini lebih menarik.  Gabungan hati emasnya serta firasat yang selalu tepat itu, dia akhirnya berjaya mendekati Linda, bekas pelajar ibunya yang bermasalah.  Akhirnya dapat juga Zahira melunaskan ‘hutangnya’ kepada ibu, walaupun terpaksa mengorbankan prinsip diri untuk terus merahsiakan pembawaan bahaya yang ditanggungnya dengan mendedahkan rahsia itu kepada Linda.  Tetapi baiknya, pengorbanan itu berbaloi apabila Linda mendapat suntikan semangat untuk bangkit lagi mencipta kejayaan sehebat Zahira. Analoginya, pengorbanan pasti mendapat ganjaran baik yang datangnya dari Tuhan.

Novel ini menyimpang dari aliran novel popular yang kerap fokus kepada cinta semata.  Novel sarat perjuangan remaja oleh rakan seperguruan saya bersama penulis prolifik Azmah Nordin ini sebaliknya menumpukan kekuatan semangat waja tanpa putus asa di dalam kehidupan seharian.  Penceritaan ini diselesaikan dengan kegembiraan apabila penulis akur kepada hukum alam bahawa usaha yang bersungguh-sungguh biasanya pasti disusuli kejayaan yang cemerlang.  Saranan ajaran Islam supaya sentiasa menjana baik sangka juga memberi hikmah yang besar.  Akhirnya hubungan dingin di antara ahli keluarga Zahira bertukar penuh mesra dan kasih sayang.

Kenyataannya, tiada penyakit yang diturunkan oleh Tuhan tanpa ubatnya, melainkan mati dan tua.  Zahira masih mengharapkan suatu hari nanti, rakan-rakan seperjuangannya yang meneruskan langkah dalam bidang kedoktoran akan mampu merawatnya sehingga benar-benar sembuh.  Sebenarnya penyakit bawaannya itu semakin terkawal oleh imunisasi yang diberikan doktor.  Saya yakin selain harapan, semangat juang dan sekeping hati yang bersih berkilau, kekuatan utama yang turut membantu Zahira adalah rutinnya membaca Al Quran di surau tempat dia sering menyisihkan masa mencari ketenangan.  Zahira yang berhati emas tekun membaca butir-butir bicara Allah Taala, mukjizat hebat hingga kiamat.  Zahira juga suka menyampaikan resah gundah dan harapan jiwa melalui doa demi doa yang dititipkan kepada Yang Maha Mendengar tanpa sekatan masa.  Dia-lah sumber kekuatan insan sebenarnya; Yang Maha Kuat lagi Maha Kuasa.  Masya Allah.  Alhamdulillah.  

Kesimpulannya, novel Hati Emas ini penuh dengan nilai-nilai murni yang diselitkan oleh penulis di sepanjang helaiannya.  Kadang-kadang sesuatu musibah itu sebenarnya titipan dari Tuhan untuk menggerakkan tenaga luar biasa seseorang mengorak langkah mencapai kejayaan yang cukup cemerlang.  Allahu Akhbar.

Wednesday, May 27, 2015

sepi menjelma



            Assalamualaikum wbt.

Apa khabar? 

Semalam agak blank.  Semenjak anak-anak berulang-alik rumah-madrasah, dan Naqib ada saja di rumah, suasana ceria dan riuh.  Tiba-tiba semalam sepi mendadak.  Yang bersekolah, ke sekolahlah. Naqib akhirnya berjaya diangkut oleh si bapa yang bosan memandu perjalanan jauh ke Mersing untuk menemaninya.  Walhal rasanya separuh perjalanan bujang itu terlelap je, aku yakin.  Tidak ada alasan untuk menghalang.  Apa yang ‘wajib’ dielakkan dalam makanan semakin dikenalpasti.  Ah, sebenarnya doktor dah bagitahu, cuma … dia saja yang suka nak ‘testing’.  Padahnya bukan datang mendadak, tetapi sehari atau dua hari sesudah dia menjamah sesudu dua kuah bercili.  Gulai masak lemak, tom yam.  Apabila aku tanya, sesudah dia terlentang menahan sakit kepala yang berdenyut-denyut (bersekali tekanan darah tinggi naik mencecah 200) barulah dia mengaku.  

“Ada, dua sudu …”

Ya, kuah semata.  Lauk dia lain.  sekadar ikan goreng cara Arab yang diserapnya ketika makan besar di sana tempohari.  Dia yang menggoreng kosong, dan menggisar bahan pilihan lalu ditabur di atas ikan hingga rata.  Ikan Siakap memang sedap enak dimakan begitu ketika masih panas.  Tetapi orang muda, tak dapat aku nak kata apa.  Dah terima padah baru serik agaknya.

Maka berbuih mulut dan berbakul pesanan dititipkan sebelum, semasa dan sesudah berangkat ke sana.   Iyalah, yang sakit dia juga.  Maka setiap hari bertelefon, tiada perkara lain ditanya melainkan “makan apa tadi sarapan?  Makan tengahari?  Makan malam?”

Bertanya juga, "mengulang tak??"  Alhamdulillah, dia ada membuat ulangan bacaan al Quran untuk memantapkan hafalan.  

Nampaknya si bapa melayan dia dengan makanan mewah juga, walaupun masih dibawah aturan pantang yang ‘wajib’ itu.  Chicken chop cendawan tanpa lada hitam, dan ikan siakap steam.  Amboiii terliur dibuatnya.  Tetapi dia juga perlu menahan diri apabila menatap hidangan lain seperti udang galah, ketam dan apa saja yang dilarang untuknya buat masa ini.

Semalam petang, tak disangka-sangka Pak longnya menelefon aku dari Senai.  Ada hajat rupanya bakal bapa pengantin untuk satu-satunya anak lelakinya yang ada.  Dia mahu Naqib membawa Tolaal Badru secara solo dengan iringan pasukan kompang ketika menyambut mempelai di ambang dewan masjid Lapangan Terbang Senai pada 6 Jun ini.  Aku gelak-gelak.  Entahlah, nak ke anak aku tu nanti.  Bagaimana dengan Aizat, anak saudaraku yang selalu terpilih untuk menyertai pasukan nasyid mewakili kolejnya itu?  Mungkin duet Naqib-Aizat lebih mantap.

Yang aku tak sangka ialah permintaan satu-satunya abangku ini.  Dia mahu Naqib memakai serban panjang sampai ke pinggang.  Kekeke … ngalahkan maulana tuh.  Apapun, hajat ini mungkin boleh dipertimbangkan.  Dan menyebabkan aku yang cool memikirkan mungkin tidak dapat bersama di hari berbahagia Fuad, terasa mahu hadir juga di sana.  Tetapi anak yang berdua itu bagaimana?  Err … boleh ponteng ke?  Ish!  Kena mesyuarat la dulu.

Ok, aku rasa lebih bersemangat untuk memulai semula menulis sesuatu yang sudah lama berlegar di dalam kepala saja.  Berdoa, menyusun ayat demi ayat dengan tenang dan membiarkan semuanya mengalir bagai air dingin jernih yang jatuh dari batu yang berwarna mutiara lalu mencipta tabir pelangi indah di bawah sinar mentari pagi yang menyegarkan.  Insya Allah.
apa pun yang terjadi, hidup mesti diteruskan sehingga ajal tiba
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan ibu bapa kami.  Sembuhkanlah penyakit2 kami yang zahir dan yang batin.  Kuatkanlah iman kami, lapangkanlah dada kami, tenteramkanlah jiwa kami.  Mudahkanlah urusan kami dan berilah kami faham ugama.  Sembunyikanlah keaiban kami dan tukarkanlah keburukan kami dengan kebaikan.  Pilihlah kami untuk membantu ugama Mu.  Janganlah biarkan kami walau satu saatpun.  Kasihanilah kami dan kurniakanlah kami khusnul khotimah.  Allahumma aameen.

Wednesday, May 20, 2015

Blog yang sepi. Apa khabar? Aku menanti dengan sabar. Mereka kata akan, tetapi mereka belum. Aku hampir kecewa dan memutuskan mereka sudah lupa. Mereka meremehkan kata. Dan kini aku melepaskan rasa. Aku tidak akan bertanya mengapa. Aku tidak akan meminta. Aku tidak akan bersuara. Hanya sekadar meluahkan sedikit duka. Dalam hati ini berkata, sebenarnya mereka sengaja. Namun ini juga buruk sangka dan tuduhan semata. Lantas kupujuk jiwa yang terluka. Wahai wanitaku, dalam ketetapan Illahi semua sudah ada. Usah kau mencari yang tiada. Astaghfirullahalazim. * Lalu kuelus hati yang separuh merana dengan pujukan cinta, bahawa 'kembalilah kepada Yang Maha Kuasa lagi Maha Pecinta, tinggalkan sahaja mereka.' -> ketika menahan diri daripada menagih janji yang diluncurkan oleh lidah yang tidak bertulang. Mengasak diri menyemai baik sangka belaka. Tinggalkan realiti kerana hakikatnya semua ini hanya mimpi. Kehidupan sebenar hanya di alam sana.

Friday, May 8, 2015

tidak untuk 'takpe, buat ubat'



Panggilan terputus-putus.  Ah, line tunetalk memang agak hampeh di kawasan ini.  Nampaknya terpaksa guna yoga tab yang dijimat-jimatkan kreditnya untuk buat panggilan.

“Assalamualaikum, doktor.  Saya yang datang satu famili malam tu, yang anak saya tekanan darah tinggi tu.” Bla bla bla … doktor masih berada di kampung halamannya untuk sesi rawatan di sana pula.   

Dan sekali lagi aku diberi penekanan tentang pantang makan yang sepatutnya dilakukan dalam rawatan Naqib.  Kekacang, makanan dan minuman proses/awet/.jeruk/peram/pekasam.  Juga segala jenis cili. 
Setelah sehari setengah keadaan anak sulung ini agak menggembirakan, petang semalam dia muntah semula dan diserang sakit kepala yang tidak dapat aku bayangkan.  Kelopak matanya pun seperti tidak mampu diangkat.  Kasihan sungguh dan sayu hati melihat keadaannya. 

Ya, semalam aku masak sedap.  Ikan selar besar masak kerutub cili.  Pergh, bertambah-tambah makan, habis seperiuk nasi beras basmathi tu.  Makan dalam talam, sorang tarik sikit lima penjuru sekejap je dah licin hehe …

Maka, dengan peringatan doktor ini, yang mana dignose beliau sama seperti Wak Mus di Seremban, juga Haji Sani di Sijangkang, bahawa perut Naqib ada masalah, aku akan lebih berhati-hati selepas ni.  Aku harap abahnya yang dah mula lebih concern pada si anak, akan ambil tindakan yang serupa.  Tidak lagi sua makanan macam-macam dan kata, “takpe, buat ubat.”  Seperti juga si nenek, ibu kepada abahnya, semua disua makan, buat ubat katanya.  Aku yang kurang gemar membebel semasa makan, terpaksa dengan segan memberi kata-kata penuh tanda seru kepada si anak supaya berhati-hati. 

“Kulit ayam jangan makan!”
“air gas takleh!”
“Kepak dan peha jangan ambik!”
“Kacang-kacang tak mo ea!”

Tadi, selepas doktor menekankan kepantangan berganda itu, dan situasi berulang kepada Naqib; masing-masing perlu lebih peka kepada pemakanan.  Lebih serius.  Lebih berhati-hati. 

Allah maha kuasa, makhluk tiada kuasa.  Semua hanya asbab tetapi yang maha kuasa memberi kesan hanya Allah Taala.  Boleh sahaja Allah beri kesembuhan tanpa sebab.  Ini semua hanyalah sedikit ujian dariNya.  Semua penyakit ada ubatnya kecuali maut dan tua.  Maut pasti datang, seperti tua yang pasti menjelma perlahan-lahan.  

Ya Allah berilah kesembuhan dan keredhoanMu kepada kami.  Allahumma aameen.

Tuesday, May 5, 2015

Terasa hati apabila puteri bongsu berkali-kali memberitahu betapa seronok dan best buku cerita kecil yang sedang dibacanya. Siap aksi, begitu teruja. Aku rasa sakit di dada ah ah ... Cerpen kompilasi itu, semua termaklum sendiri di mana ceritaku. Ketika bertanya ok ke tak pada si sulung yang berkilat kepala, baru cukur botak petang semalam, dia memberitahu ceritaku perlu lebih keanak-anakan kerana kisah itu kisah zaman kanak-kanak, aku tidak setuju pun. Apapun, ia sudah berada di sana. Cuma, terasa andai aku fokus pada satu kisah paling mengesankan mungkin lebih menarik. Ah, apapun ia sudah berada di sana! Sekarang aku memikirkan kisah sarkastik dan humor untuk memenuhi hajat sendiri terhadap tawaran yang ada. Ada kisahnya. Tetapi mampukah aku garap ia sehingga benar-benar menyentap? Jangan sampai menjilat ludah sendiri di masa akan datang. Nauzubillahiminzalik. Menulis dari hati semoga sampai ke hati, dan menulis bukan kerana nama. Aku sudah faham betapa bermaknanya pesta buku kepada penulis. Aku mula faham ...

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing