Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, January 24, 2015

Sedang mengemas buku.  Lagi ... ye benar.  Semuanya bercampur-aduk disusun oleh pelajar yang menolong semasa pindah sebulan lepas.  Malam ini mahu tidur lewat sedikit.  Azam mahu mengemaskan semuanya hingga selesai.  Buku-buku cerita kanak-kanak sudah diketepikan untuk diagihkan kepada anak saudara di Segamat.  Mereka berusia 5 dan 6 tahun.  Aku terbayang-bayangkan gelagat mereka tatkala menerima buku-buku cerita itu nanti.  Kata ibu mereka, anak-anaknya suka main cikgu-cikgu.  Eloklah tu, nanti ibunya boleh mengajar mereka membaca hingga lancar.  Anak-anak saudara ini sebelah suami.  Anak-anak saudara kecil yang lain lebih mewah, tentu tidak hairan dengan buku-buku terpakai seperti ini.  Yang dua orang anak tunggal, belum ada adik walaupun sudah mula masuk tadika.  Yang seorang lagi asyik menghadap tablet walaupun baru berusia 2 tahun. 

Anak-anak saudara sebelahku pula, lain ceritanya.  Yang beribukan penyunting buku itu, memang tidak perlukan buku-buku ini.  Di rumah mereka pun menimbun buku yang perlu dibaca agaknya.  Anak saudara yang lain sudah besar-besar.  Ada tiga lagi, entahlah mungkin tidak hairan juga kerana aktiviti mereka lasak belaka. Nak berjumpa pun payah, hanya berhubung dengan ibu mereka melalui wassap. 

Allah jua yang memberi ilham untuk mengagihkan buku kepada anak-anak saudara kecil ini.  Semoga Allah meredhai.  Takut andai ditanya hak buku-buku ini yang tidak dibaca bahkan disimpan semata.  Tentu sukar mencari jawapannya.  Entah esok entah lusa kematian bakal menjelma.  Silap gaya buku-buku ini entah bagaimana diperlakukan oleh yang masih tinggal.  Eloklah diagihkan secepatnya.  Semoga selamat sampai ke penerimaan mereka nanti insyaAllah.

Tetapi ... ada lagi buku yang dibeli tidak pernah dibaca!  Paling tidak hanya diselak-selak sahaja.  Mahal pulak tu!  Berkulit tebal belaka.  Ia mesti diuruskan segera.  Ia set buku tentang menguruskan sesebuah perniagaan, Bahasa Inggeris.  Ada sesiapa berminat nak tahu lebih lanjut, emel kat saya.  mnormazzuin@yahoo.com.my.  Oh ya, ia milik suami saya.  Dia sudah tidak kisahkan buku-buku itu pun.  Kita akan permudahkan urusan semudah-mudahnya insyaAllah.

Selainnya adalah buku-buku yang aku kumpulkan sejak lama.  Aku hairan, mengapa rumah ahli keluargaku tidak banyak buku ... Rak buku mereka kemas sahaja.  Mana pergi buku-buku yang mereka pernah beli? 

Aku suka memerhatikan rak buku kakak yang kemas dan tersusun.  Dia rajin membaca.  Kakak yang jadi penyunting tu, sudah lama tidak ke rumahnya.  Dulu, rak bukunya pun kemas dan sedap di pandang mata.  Rak buku aku ... tidak sebegitu. 

Inilah, aku berusaha mengasingkan sedikit buku-buku yang ada.  Yang aku fikirkan anak-anak sudah tidak mahu membacanya.  Tetapi beberapa majalah kecil yang mereka beli aku simpan, kerana masih terlihat mereka membacanya ketika pulang ke rumah.  Lukisan Bernyawa adalah koleksi cerpen yang aku beli semasa Darjah 6, tercatat di helaian dalamnya.  Aku tertarik mahu membacanya semula kerana rupa-rupanya ada sedikit ulasan pendek di bahagian awal buku itu.  Baru aku ketahui tadi, ketika menyelak-nyelaknya.  Tak jadi mahu agihkan kepada anak saudara.

Ada buku yang lebih tua nukilan abang saudara arwah ayahanda Hj Manaf, yang pernah menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur satu ketika dulu.  Ia peristiwa lama.  Aku tidak pernah bertemu beliau pun.  Ada buku lama yang kulitnya kusam benar.  Aku selalu merungut sikap suami yang suka mengutip dan menyimpan barang-barang disukainya, entah apa. Aku harus mengakui, aku juga sama sahaja.  Aku adalah pengutip buku-buku dari rumah tua di kampung.  Aku terasa buku-buku sebegitu lebih selamat berada di tangan aku.  Boleh ke gitu?

Benar juga.  Hari ini tiada lagi buku-buku dan majalah-majalah lama yang dijaga rapi di atas loteng di rumah kampung.  Ia selesai sudah, sama ada dimusnahkan atau dikutip oleh sesiapa.  Mungkin peminat barang-barang antik yang datang berkunjung mencari barang lama.  Ia adalah majalah pop tentang artis yang ditatap oleh arwah nenda dan bonda semasa mereka masih muda remaja.

Aku perlu menghadkan aktiviti membaca di wassap.  Ia perlu ada had.  Aku perlu menyediakan masa untuk membaca buku.  Payah rasanya, tetapi mesti cuba.  Aku buat grup wassap lagi!  Grup Bonda-Bonda Banat dan tadi, atas permintaan dan memikirkan ada keperluan, grup keluarga pula.  Tanpa di sangka grup mak-mak tu aktif juga walaupun kami berlima sahaja.  Mujurlah grup keluarga masih belum aktif, kami berbual secara privasi sahaja.

Bolehkan wassap menjadi wadah menyambung kasih-sayang sesama insan?  Semoga demikian. Kasih-sayang yang diredhai Allah.  Aku bersayang-sayang dengan Nusra, yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana di negara ini.  Aku bersayang-sayang dengan .my dear friend ZA dan berbincang sesuatu isu yang serius.  Aku mencari penyelesaian dengan mengajukan pertanyaan kepada otai yang berada di selatan tentang sesuatu masalah yang memeningkan.  Alhamdulillah.

Selain itu, tiada. 

Ok la, berhenti dulu.  Mahu kembali mengemas buku-buku itu.  Azam mahu membaca tetapi tidak sampai muntah dan hilang ingatan.  

Ya Allah permudahkanlah.  Ia hanya asbab.  Mudahkanlah daku menunaikah hak buku-buku itu.  Segala ilmu milikMu.  Izinkanlah daku.  Aameen.

* suka baca Ensiklopedia Para Wali.  :D




Wednesday, January 21, 2015

Masih rindu pada mereka.  Terbayang-bayang gelagat mereka.  Tanpa cuba mengawal, airmata menitis tiba-tiba.  Aku rindu pada mereka semua.  Tetapi inilah pilihan aku sendiri.  Dan ia pasti akan reda mengikut masa.  Hanya waktu-waktu begini, ia sangat terasa.  Percayalah, semua rasa ini pasti akan reda.  InsyaAllah.

Berapa ramai lagi insan yang bersendirian, kesepian, tiada teman, berseorangan di mana-mana.  Aku tidaklah begitu teruk keadaannya.  Aku masih sibuk melayan rakan di wassap.  Lupa-lupa juga pada mereka.  Tetapi apabila memikirkan Rumah Pink di Lorong Abu, serta-merta aku merasa sangat rindu.

Rindu pada gelagat mereka.  Rindu pada suasana di sana.  Rindu pada anakanda si manja.  Rindu pada semuanya.  Sebenarnya ... rindu pada masa lalu.

Dan hakikatnya, masa lalu tidak akan berulang lagi.  Ia sudah pergi dan tidak akan kembali.  Hakikat yang pasti, maut pula sedang menunggu bila-bila masa sahaja.

Jadi, nak ingat masa lalu teruskah?  Atau nak bersiap untuk masa hadapan yang tiada kesudahan ...?

Aku amat menghargai kenangan lalu, khasnya yang aku simpan sebagai amat istimewa.  Kenangan di madrasah bersama mereka adalah satu kenangan yang unggul dan tidak pasti sama sekali apakah akan berulang lagi dengan keadaan yang sama.  Aku yakin tidak.  Perjalanan hidup sudah berubah dan akan terus berubah.  Hijrah demi hijrah.  Semoga berhijrah ke arah yang lebih baik dan lebih baik insyaAllah.  Bersama bertambahnya usia dan berkurangnya kudrat.

Mak gembira aku sudah 'bebas' untuk bersama dia pada bila-bila masa.  Sekurang-kurangnya itulah yang mak fikirkan, bahawa aku boleh balik kampung bila-bila diperlukan.  Mak boleh bercakap denganku di telefon tanpa gangguan suara pelajar yang memanggil "mama! mama!".  Tetapi tanpa disangka, mak mengaku terasa sunyi di rumah ini.  Sunyi benar, tiada suara-suara mengaji macam selalu, atau suara-suara gelak ketawa di petang hari ketika mereka berehat, atau juga suara-suara memanggil-manggil aku.

Apabila perlu bersendirian, aku perlu juga kuat menguasai perasaan.  Dan aku memikirkan mereka juga perlu kuat.  Rutin pengajian sudah bermula.  Cabaran kepada mereka yang sudah masuk kelas hafalan juga semakin tinggi.  Trauma denda rotan dan ketuk-ketampi mungkin masih bersisa.  Namun aku amat mengharapkan ustazah tersebut semakin matang dan pandai mengawal emosinya.  Harapan aku sama tinggi dengan harapan ibubapa mereka dan pihak pengurusan madrasah untuk melihat semuanya cemerlang dan beredar membawa 30 juzuk Al Quran dalam dada.  InsyaAllah.

Ya Allah, pilihlah mereka semua untuk menghafal ayat-ayatMu.  Mudahkanlah mereka mengingat dan menghafalnya, seperti air yang mengalir laju tanpa putus.  Mudahkanlah semua urusan mereka dan tenangkanlah hati mereka di sana.  Teguhkanlah jiwa mereka. Kuatkanlah iman mereka.  Tetapkanlah mereka sebagai pilihanMu, ya Allah ya Hayyum ya Qayyum.  Satukanlah hati mereka semua supaya saling berkasih-sayang dan berkerjasama.  Demikian juga dengan semua tenaga yang berkhidmat.  Mudahkanlah dan berkatilah mereka semua.  Peliharalah mereka dari segala musibah dan gangguan yang nampak dan tiada nampak.  Jadikanlah mereka orang-orang yang berbahagia dunia dan akhirat.  Kabulkanlah ya Allah Ya Zaljalaliwal iqram.  Aameen.




Tuesday, January 20, 2015

Ahad, si manja sangat gembira pulang ke madrasah yang berwarna merah muda luar dan dalam.  Terkinja-kinja dia bertemu kawan baik yang sudah sebulan berjauhan.
Semalam petang aku menjenguk atas kapasiti bekas pekerja dan mama yang dirindui mereka, ehem.  Masing-masing datang mengalu-alukan dan bersalaman mesra macam biasa.  Manja belaka.  10 pelajar baru cool sahaja.  Ada juga yang manis mudah menghadiahkan senyuman.  Aku membalut rehal si manja tetapi nampak macam kurang kemas je.  Lebih mudah membalut kitab atau buku daripada membalut rehal.  Mungkin kalau gunakan wall paper yang banyak dijual di Mr DIY ok kot.  InsyaAllah nanti bagi cadangan kat dia lain kali.  Gunakan dulu pembalut yang sudah siap tu sampai koyak.

Tadi pagi, sekitar jam 10 ketika mahu keluar atas urusan bersama suami. lalu sebuah lori yang penuh dengan muatan.  Sekali pandang macam lori pekerja kontrak.  Perlahan saja geraknya melintasi kereta kami.  Kemudian lori tu lalu lagi dan ditahan oleh suami.  Rupa-rupanya lori dari Tumpat, Kelantan, membawa set kerusi dan meja batu macam set yang pernah kami beli sekitar lima tahun dulu ketika duduk di Sijangkang.  Kini set tu kami tinggalkan di madrasah.

Kali ni lebih cantik designnya.  Ada corak bunga kat kaki kerusi dan stand meja batu.  Suami beli satu set untuk dirinya.  Dia nak melepak-lepak dengan jiran baru, katanya.  Kemudian lori diarahkan mengikut kami ke madrasah.  Empat set diinfak untuk pelajar.  Alhamdulillah, semua dari Allah belaka.  Kami cuma mengagihkan sahaja.  Aku harap dapatlah jadi asbab si bongsu aku tu lebih happy belajar kat situ.

Aku khabarkan kat suami tentang cadangan nak belikan set badminton.  "Nak main kat mana? Dah tak de space dah.."  kata suami.  Hmm betul jugak.  Tempat mereka selalu main badminton sudah tersekat dek bumbung yang dipasang bersambung ke bangunan koperasi dan pejabat. 

"Mama, boring la madrasah ni dah besar.."  kata Qoiyah.  Pulak!  Saja je kan, mengada.

Ruang dapur dulu sudah dipecahkan table topnya.  Toilet dipecahkan dan diturap semula dan dibina dinding batu menjadi bilik yang panjang dan disusun semua locker di situ.  Jadilah ia bilik khas untuk locker sahaja.

Bilik B menjadi bilik warden aka tukang masak.  Bilik A jadi tempat simpanan tilam bantal selimut bagai.

Semua tingkap ditukar kepada sliding dan ada dua pintu sliding juga.  Ruang kini menjadi lebih luas dan selesa untuk belajar, makan dan solat.  Tanah di tepi kanan dan depan madrasah (dalam pagar) sudah disimen, maka tiada lagi rumput-rumput yang akan tumbuh.  Cuma sebahagian kecil sudut depan kanan dibiarkan begitu sahaja tidak disimen.  Semoga pelajar dapat menggunakan ruang kecil itu sebaik mungkin.  Di situ ada beberapa pasu bunga yang tidak terbela setelah sebulan ditinggalkan.  Tidak bersiram melainkan oleh embun dan hujan.  Sesudah renovation ini, paip di tepi pintu pun sudah tiada.  Harus diajukan permintaan kepada kontraktor untuk memasang semula paip di situ supaya mudah pelajar mencuci kawasan dan menyiram tanaman nanti.

"Nampaknya tak de la denda cabut rumput lagi lepas ni kak, " kata Ustazah dengan senyum.

Alhamdulillah atas semuanya yang diberi Allah.

InsyaAllah target maksima dua tahun untuk bangunan asrama Lil Banat dan bangunan kediaman staf naik di tanah bersebelahan yang sudah dibayar oleh Tok Belagak dan isteri kepada pemilik asal.  Alhamdulillah.

Semoga Allah memberi kesembuhan yang baik kepada isteri beliau yang dikhabarkan kurang sihat sekarang.  Setiap penyakit ada ubatnya.  Dan apabila sesudah kesusahan akan datang kesenangan.  Sesudah kesakitan akan datang kesembuhan.  Melainkan mati dan tua.  Semoga TB dan keluarga akan terus bersabar dan sentiasa dalam pimpinan rahmat Allah, aameen.

* mood menulis masih slow.  Rindu pada mereka di madrasah.  Nampaknya pengganti aku tu seorang yang sedang sangat sibuk dengan urusan peribadi khususnya bab perasaan.  Apa pun didoakan semoga kebahagiaan menantinya tak lama lagi insyaAllah.  Semuanya dengan izin Allah belaka. 

Sunday, January 18, 2015

Rindu pada blog ini.  Tetapi lembap nak m****s, bajet 3 minit untuk online di blog sudah jadi lebih setengah jam dan suami aku sudah berdengkur pun, aduss ...

Esok si manja akan balik ke madrasah.  Dan tadi aku menangis geram bercampur hiba.  Sebulan melayan kerenahnya, selepas esok petang aku akan berdua sahaja dengan suami.  Si bongsu sudah tidak sabar mahu pulang ke madrasahnya.  Begitu juga dengan kawan-kawannya yang lain, yang rajin berchatting dengan aku di Whats App atau WeChat.  Masing-masing sudah bosan menghabiskan waktu di rumah.  Agaknya kena leter je kot hehe ... Tidak juga.  Mungkin semakin teruja untuk melihat madrasah yang berwajah baru.  Luar dalam berwarna pink. 

Mira, hari ini memberiku berderet wajah sedih dan menangis.  Aku buat tak faham, tetapi aku faham.  Mira paling gemar meluah isi hati padaku, tentang bermacam perkara.  Hani juga, tetapi gadis gedik ini baru sahaja melafazkan azam yang berkobar-kobar untuk khatam al Quran (hafalan) pada tahun hadapan.  Alhamdulillah.

Esok mereka pulang tanpa aku.  Umi Ain akan menanti mereka dan Umi Ain akan menjadi tempat mereka bermanja pula.  Adakah sama?  Mungkin jauh lebih mesra, namun biarlah setahun bersama aku adalah paling bermakna selamanya ...
 
Hmm ... si bongsu sudah memujuk aku dengan suaranya yang lemak manja.  Aku pula rasa semakin parah menahan rasa. 

Inilah pengorbanan.  Cuti seminggu yang bertambah seminggu demi seminggu sehingga genap sebulan, yang mungkin tidak akan ada lagi cuti sebegini, pasti mudir akan berhati-hati dalam memberi cuti luar jangka seperti ini di lain kali, hanya bisa membuatkan aku terkenang-kenang keletah si bongsu nanti.

Dan aku risau dia akan tidur dengan air mata meleleh ke bantal kerana asakan rindu. 

Sungguhpun ada juga kerenahnya yang membuatkan aku naik geram dan amarah yang aku lemparkan, tetapi setakat manalah itu semua.  Manisnya wajah dan senyumannya, lembut manja lemak berkrim disukai ramai suaranya dan keletahnya aduhai ...

Ya Allah, pilihlah anak-anakku yang tercinta untuk menjadi daie daieyahMu, alim alimahMu, hafiz hafizahMu dan menjadi pembantu-pembantu agamaMu beserta keturunan mereka sehingga hari Kiamat, dan jadikanlah mereka kebanggaan Rasulullah SAW.  Juga semua 'anak-anakku' di madrasah Lil Banat itu.  Aaameen.

Laiela Saiedah.  Wassalam.

Friday, January 9, 2015

Sebelum ini aku pasti minta izin jika mahu share post di fesbuk.  Sekarang tidak lagi.  Aku hanya like dan share jika aku perkenan untuk post itu berada di wall aku.  Biasanya aku share sesuatu yang aku harapkan orang-orang yang aku sayang dan kawan-kawan, saudara-mara atau sesiapa sahaja kenalan dalam dunia maya membacanya seterusnya mendapat sesuatu yang bermanfaat darinya. 

Aku rasa ok untuk tidak minta izin share.  Biasanya apabila minta izin, tuan punya post dengan senang hati memberi izinnya.  Jadi aku anggap tuan punya post tu tak kisah dan suka apabila aku share walaupun tak pernah minta izinnya.  Kadang-kadang ada yang lebih bagus, dah siap-siap bagitahu sila kongsikan status ini dan tidak perlu minta izin.  Jelas dan memudahkan.  Dah tentu mereka menulis untuk diketahui umum.  Ada juga catatan yang agak peribadi aku kongsikan juga.  Bukan apa ... aku nak orang-orang yang aku sayang dan kawan-kawan, saudara-mara atau sesiapa sahaja kenalan dalam dunia maya membacanya seterusnya mendapat sesuatu yang bermanfaat darinya. 

Aku harap kebanyakan tuan punya post tak perduli langsung dengan galaknya aku kongsikan status atau cerita mereka tu.  Dengan kata lain dah siap-siap bagi izin dalam diam. 

* semua novel yang diletak di kedai buku kat SP tak laku.  Alhamdulilllah.  Aku dah ambil balik semuanya, dengan memandu kereta Iriz hijau dalam hujan lebat banget ditemani si bongsu yang comel. 

"Ok la tu ... tu kedai jual kitab bukan kedai jual novel."  Respon suami bila aku khabarkan melalui telefon.

Aku mula cuak selepas menempah 30 buah buku kompilasi yang salah satu ceritanya adalah cerita aku.  Rasa nak kensel atau tukar tempahan jadi 3 buah je, tapi dah bayar pulak. 

"Tak pe la ... lepas ni tulis la kisah suamiku karkun kartun hehee ..." 

Arghh!!!

Pelajar masih bercuti.  Tentu mereka semua tak menjangka apabila cuti asyik bertambah sehingga genap sebulan.  Mana-mana yang ada wassap, menegur aku dan mengomel tentang betapa bosannya di rumah dan tak sabar nak balik ke madrasah.  Sudah dijangka oleh suami, pembaikpulihan bangunan madrasah biasanya sebulan walaupun macam ringkas sahaja.  Dua minggu atau tiga minggu akan menyaksikan hasil kerja yang tidak memuaskan.  Mudir mengambil keputusan menambah lagi seminggu untuk segala renovation menjadi sempurna insyaAllah.

Aku sudah beredar dari perkarangan madrasah.  Kini berada di kediaman sementara yang suasana sekelilingnya amat sunyi.  Kesunyian yang memungkinkan aku mendengar suara kokokan ayam jantan sayup-sayup entah dari belakang rumah siapa.  Ada kicau burung yang halus tetapi tidak segalak kicauan di atas pokok mangga di depan rumah madrasah.  Sesekali mendengar bunyi pintu gril jiran sebelah dibuka.  Mak memberitahu jiran sebelah ada baby, tetapi jarang sungguh mendengar tangisannya.

Malam tadi menerima kiriman pemberitahuan 'sudah ada wassap.'  Ringkas sahaja. 
'Welcome'
'Akhirnya ...'
Aku balas begitu.
Tetapi aku sudah naik bosan dengan wassap.  Melainkan dengan tasykil-tasykil yang disampaikan sesekali oleh sang otai dari Melaka itu.  Atau sesuatu yang baru dan bermanfaat untuk dikongsikan.  Selebihnya  putaran dari pos-pos lama yang hampir basi atau memang basi.  Kalau bermanfaat, ok je.  Tetapi ... banyak pulak komplen aku ye! 

Heh makcik, kalo banyak komplen kau tutup je wassap tu!  Yang repeat post tu bukan directly nak bagi kau tapi dorang nak share kat grup.  Ko diam-diam je boleh tak?  Tak nak baca jangan baca ...

Ah, memang tak segar pun! Ulang-ulang je, ntah ye ntah tak pun satu hal. 

Apa yang segar? 

Mari segarkan iman dalam hati dengan membanyakkan menyebut kalimah Laailahaailallah, sebaik-baik kalimah yang berat di timbangan kelak.

*  berita kurang happy ~ mak mertua jatuh lagi di biliknya pagi ini buat kali kedua dalam seminggu ini.  Semoga mak mertua aku yang kecil molek sentiasa dalam kesihatan yang baik dan dapat beribadah dengan sempurna.  Ya Allah, mudahkan urusan keluarga di sana semuanya aameen.






Monday, January 5, 2015

Alhamdulillah. Sesuatu, semuanya, sudah termaktub sejak azali olehNya. Hatta sebuah penampar. Apa yang diterima, adalah layak diterima. Dan sebaliknya. Lapangkan hati dan baik sangka selamanya lebih afdol kerana sebenarnya lapang hati dan baik sangka kepada Allah belaka. Ada pertandingan menulis cerpen 3 muka surat. Ada sebuah kisah real tetapi bagaimana nak menjadikan ia kisah bermanfaat yang bisa menyentuh hati? Aku masih memikirkannya. * kurang nikmat menulis dari sini. Not my style huhu...

Thursday, January 1, 2015

Ahlan wa sahlan 2015! Mau dapatkan semula berat ideal yang sudah beberapa tahun asyik dikejar. Mau lebih gigih pada hobi yang itu. Apa dia? Hmm... Mau lebih serius merealisasikan azam yang amat mencabar. Apa dia? Rahsia dulu. Mau lebih bersungguh-sungguh jaga amal ibadah. InsyaAllah. Segala kekuatan dari Allah. Mau lebih prihatin pada penjagaan kesihatan luar dan dalam dengan pemakanan sunnah dan herba. InsyaAllah. Macam-macam mau kan ... Tak salah pasang azam. Aku suka perkataan 'azam' itu sendiri. Ia dilakar di minda. InsyaAllah ia akan direalisasikan dengan sikap dan tindakan. Lambat atau cepat sahaja bezanya. Dan ... Buat ke tak buat! * kematian adalah satu kepastian. Hanya proses dan asbabnya yang berlainan. Ia mungkin tanda bagaimana bermula hakikat sebuah perjalanan. Semoga Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah mengurniakan kita Husnul Khotimah. Allahumma aameen, insyaAllah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing