Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, June 13, 2015

semoga segera sembuh

Setelah begitu berazam mahu belajar Bahasa Arab dan menghadiri beberapa sesi kelas pengajiannya, aku terpaksa memberi alasan untuk ketidakhadiran yang berturut-turut dan akhirnya aku membuat keputusan sendiri untuk menangguhkan pengajian ini ke satu ketika yang tidak dapat ditentukan.  Demikian juga dengan kelas kitab di madrasah yang sama, hanya sekali dapat menghadirkan diri.

Alasan besarnya ialah aku tidak dapat meninggalkan anakku sekiranya dia melepek terbaring menahan kesakitan bersendirian.

Naqib yang dua pusarnya ini, akan terbaring sahaja sekiranya sakit kepala datang menyerang.  Setakat ini, aku dapat meneka itu akan berlaku seandainya dia ada tersalah makan (sengaja atau tidak sengaja) - terutamanya makanan bercili walaupun sedikit.  Selalunya aku akan diserang rasa kesal menyesal, kerana ketika dia sihat ceria, aku pun leka mengingatkan dia untuk menggunakan segala yang tersedia seperti tilam Dr Jabbar dan mengambil ubat secara rutin.  Boleh lupa ya?  Teruk betul!  Termasuk mengambil air bergaram sejam sekali sebanyak segelas atau lebih.  Ishh!

Tatkala Naqib sihat sepenuhnya, aku dapati dia adalah seorang abang yang nakal.  Dia mengusik dan menyakat adik-adiknya, menjentik, mengacah-acah dengan rotan, dan menakut-nakutkan adik dengan gertakan (kes Hidayat yang belajar main-main). Huril pun sama menjadi mangsa usikan hingga terjerit-jerit takut dilibas rotan, gurauan yang menakutkan dia.  Yang beruntung ialah si bongsu, yang dilayan dengan manja selalu.

"Kesian la along, mama ..."  Apabila Naqib terlentang kesakitan, Hidayat selalu mengulang-ulang ayat ini.  Ya, apabila Naqib jadi demikian, dia tidak menghiraukan apa-apa pun melainkan melelapkan mata dan hanya bangun untuk ke bilik air, solat dan muntah beberapa kali.  Makan pun tidak.  Setelah sehari atau dua hari, barulah dia agak reda dan meminta air kelapa.  Alhamdulillah, setakat hari ini air kelapa menjadi ubat mujarab untuk dirinya.  Setelah minum air kelapa, dia akan muntah lagi (kesian betul dengar bunyi dia muntah) dan akhirnya sakit kepala pun beransur hilang.

Tak perlu nak jerang air kelapa atas api bersama halba.  Tak sempat dah.  Minum macam tu saja.  Disuruh letak garam pun tidak mahu.

Keadaan sakit kepala ini biasanya berlaku selang 3-4 hari.  Kini dia sudah menghabiskan tiga botol ubat Dr Harif yang menggunakan gelombang frekuensi flora untuk mengimbangi tahap kerohanian, emosi, mental dan fizikal (seperti yang tertulis pada botol ubat).  Pada pertemuan kedua minggu sudah, Dr Harif memberi tiga botol lagi ubat tetapi saiznya lebih besar dan pengambilan sebiji sahaja untuk 4 kali sehari.  Alhamdulillah, kadar kekerapan Naqib diserang sakit kepala lebih terkawal berbanding sebelumnya.  Namun untuk seminggu ini dia hanya mengambil ubat homeopathy dari Colour Therapy Vibration sahaja sebanyak 30 biji dua kali makan (subuh dan malam).

Tekanan darahnya masih tinggi, belum pernah turun sehingga 150.  Kadar biasa ialah 170 ke atas.  Denyutan jantung juga tidak menentu tetapi biasanya paras normal. Alhamdulillah. Berat badan sudah turun 10 kilogram, dan sekarang nak turun ke kadar 88-90 kg masih macam yoyo. 

***

Bukan tidak mahu melakukan biopsy.  Tindakan menarik Naqib keluar dari hospital tiga bulan lepas adalah atas mesyuarat segera atas talian dengan hampir semua ahli keluarga.  Memang khabar yang pernah sampai sedikit sebanyak memberi kesan pada keputusan peribadi juga.  Termasuk kes lama diri sendiri, ketika mengalami nephrotic syndrome semasa di tahun pertama UKM dulu.  Dignosis doktor mengatakan tekanan darah tinggi yang luar biasa untuk seorang remaja seperti ini adalah di luar kebiasaan.  Dan menurut ilmu perubatan, berdasarkan hasil ujian darah dan ujian kencing, termasuk x ray (tak sempat buat scan, ada masalah teknikal), ia ada kaitan dengan buah pinggang Naqib.  Biopsy yang bakal dilakukan akan mengambil sampel tisu buah pinggang untuk mengenal pasti apa dan bagaimana tahap kerosakan buah pinggang itu, dan bagaimana ia boleh diatasi.  Kebiasaannya dialisis akan dilakukan, dan ia mesti disegerakan kerana tahap kretinin sangat tinggi.

Bagaimana Allah SWT memberi keyakinan untuk kami menarik Naqib keluar dari mendapatkan rawatan hospital?  Bagaimana Allah SWT memberi ilham-ilham dan menggerakkan hati kami untuk mengikut saranan dari insan-insan prihatin untuk mendapatkan rawatan yang lain?  Semuanya kerja Allah SWT belaka.

Setelah mendapati kaedah dan hasil rawatan di sebuah pusat rawatan alternatif pertama yang kami tujui agak kurang memberi kesan yang memberangsangkan kepada Naqib, kami membuat keputusan untuk menuju ke rawatan alternatif kedua.  Ia saranan dari seorang sahabat yang begitu prihatin dan beliau baru kehilangan suaminya.  Sahabat ini sangat prihatin tentang kesihatan dan cara rawatan yang diambil.  Pesannya, 'carilah doktor yang sebenar seperti mana kita hendak mencari ulamak yang sebenar'.  Pesanan ini sangat mengesankan, dan aku selalu tanpa sengaja menghimbau kenangan lama terhadap arwah abah dan arwah kekanda Norliza.  Semua sudah berlalu.  Sementara  masih ada kesempatan, gunakan apa saja peluang dan jalan yang ada untuk membaiki kesihatan.

Setiap kali mahu mengajak suami ke pusat rawatan yang baru, aku katakan padanya, 'Lebih baik kita mencuba, agar tiada penyesalan di kemudian hari.'  Alhamdulillah, dalam hal ini kami masih bersepakat.

Okay, secara ringkasnya dignosis Dr Harif mengatakan ada virus dalam darah Naqib dan ia sudah menyerang otak.  Ini mungkin berpunca dari minuman dan makanan yang diambil, wallahu'alam.  Dalam keadaan kritikal sebegini, aku tidak peduli apa asbabnya melainkan mahukan kesembuhan.  Kes yang sama ada dirawat oleh Dr Harif dan berjaya sembuh, alhamdulillah.  Pada pertemuan tempohari, kami diberitahu virus itu sudah hampir tiada, dan hanya bakteria yang perlu diatasi.  Selainnya ialah masalah yang berpunca dari perut.

Dignosis ini selari dengan apa yang kami diberitahu di pusat rawatan tanpa ubat kelmarin.  Masalah ini berpunca dari perut yang lemah.  Aku bersetuju, memikirkan otot perut Naqib yang dipotong semasa pembedahan membuang bengkak apendiks semasa usianya 12 tahun.  Semenjak itu dia mula boroi perlahan-lahan. Pakar colour therapy vibration itu pula, err ... mungkin ada masalah dengan darah, begitulah rasanya. Hmm ... Aku tak pasti sangat sampai sekarang.  Walau apapun, mesti positif dalam minda, kata-kata dan tindakan, itu benar.

Menarik juga kalau aku selitkan sedikit 'dignosis' Haji Sani di Sijangkang, dan Wak Mus di Seremban.  Kedua-dua perawat Islam ini sependapat, ada sesuatu yang berlaku di perut Naqib dan mereka menyelesaikannya dengan cara masing-masing. 

Terakhir tetapi bukan penamatnya, adalah beberapa komen yang menyebut tentang 'gangguan'. Aku setuju dengan kenyataan, bahawa penyakit yang datang ada kaitan juga dengan gangguan jin dan syaitan.  Ini ada disebutkan oleh Haji Sani dan Naqib dimandikan dengan air rebusan lima jenis daun, seperti yang dilakukan kepada wanita dalam pantang bersalin.  Semalam, Aqmal memberi amalan Qalbu Surah kepada Naqib untuk dijadikan amalan.  Alhamdulillah.  Semoga menjadi antara asbab kesembuhannya, aameen.

***

Disiplin diri adalah penting.  Di hospital, ada jururawat yang menguruskan pengambilan ubat pesakit.  Di rumah, sendiri mau ingat.  Masa sihat alpa, masa sakit baru kecoh nak makan ubat, memang sempoi macam tu.  Masa sihat lupa, masa sakit baru nak pakai tilam Dr Jabbar, baru nak minum air garam, memang payah.  Dan parah jawabnya. 

Dan terpaksa aku membebel dengan nada rendah.  Terpaksa Naqib menahan rasa menadah telinga.  Semalam, aku mendengar luahan hati anakku ini.  Katanya, dia minta kawan-kawan doakan dia sembuh, itu afdol.  Kawan-kawan sarankan dia istiqomah mengambil habbatus sauda.  Itu memang tiada keraguan.  Nah!  ternyata kawan-kawan lebih kuat pengaruhnya daripada ibu sendiri?! Bukan aku tak ada menyuruh dia spray minyak habbatus sauda di bawah lidahnya setiap hari.  Bahkan sekarang habbatus sauda adalah antara bijirin rempah yang aku campurkan di dalam masakan.  Haih, kawan cakap juga baru nak ambil perhatian. 

Sedekah.  Sekarang aku sudah meletakkan bekas untuk dia bersedekah setiap pagi, di atas meja makan.  Katanya, Ustaz Abdul Rahman mengingatkan dia tentang sedekah dan solat hajat.  Itupun setelah aku senaraikan asbab-asbab Allah SWT akan berikan kesembuhan kepada sesiapa yang melakukannya; iaitu solat tahajjud, solat hajat, bersedekah setiap hari, baca surah Yasiin, istighfar, selawat ke atas Nabi SAW, doa di waktu mustajab dan pemakanan sunnah.  Catatan ini aku tulis dan letakkan di atas meja makan juga.  Syaitan selalu menjadikan terlalai.  Dan kelemahan diri selalu membuatkan lupa.

Dalam diam-diam, aku menyimpan hasrat untuk berjumpa Doktor Danial di Kubang Krian.  Kekangan masa dan jarak membuatkan hasrat ini seperti sukar dicapai tetapi aku belum berputus asa.  Semoga Allah SWT mengabulkan doa untuk bertemu beliau bersama Naqib tak lama lagi, insya Allah.  Ya  Allah, mudahkanlah urusan ini aameen.

Sakit ini ada hikmahnya.  Ia berlaku ketika usia muda Naqib.  Dia masih bertenaga untuk menahan sakit kepala.  Dia masih ceria ketika sakitnya hilang.  Alhamdulillah.  Kami masih ada untuk Allah SWT sampaikan asbab-asbab kebaikan kepadanya.  Masya Allah, betapa besar hikmahNya dan pasti ada banyak lagi hikmah yang tak tercapai akal memikirkannya.

***

Kali ini aku benar-benar terasa nak tulis novel remaja tentang anakku ini.  Sementara masih ada masa dan peluang.  Insya Allah.  Semoga persembahan kali ini tidak mengecewakan juga.  Semoga Allah SWT memudahkan ia untuk dilakukan.  Semoga menjadi asbab hidayat dan asbab kebahagiaan di akhirat nanti.  Allahumma aameen.

Semoga Naqib akan sembuh sepenuhnya, dan sambung alim tak lama lagi.  Juga menyelesaikan syahadahnya segera.  Ya Allah, berilah kesembuhan padanya dan semua anak-anakku dan kami semua, dan pilihlah kami untuk  membantu ugamaMU hingga kiamat, aameen.


No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing