Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, June 11, 2015

Dignosis



Setelah memperbaharui kad parking untuk sejam kedua, akhirnya nama anakku dipanggil masuk ke dalam bilik.  Aku mengekori.  

“Macamana tahu tentang tempat ni?”  

Aku tiba-tiba serba-salah.  Tempat ini sudah lama aku ketahui, tetapi baru hari itu aku menghadirkan diri ke situ.   Mungkin dari siaran IKIM.

“Err … dari kakak saya.”  Teringat kakak pernah memberitahu, kenalannya merupakan salah seorang perawat di situ.  Aku kurang pasti, mungkin juga big bosnya?

Perawat muda itu mengangguk-angguk.  Dia bertanya lagi, “Ok, apa sebenarnya?”

Lalu anakku mula bersuara dengan ketenangan caranya, sepatah sepatah dan aku menyampuk sekali-sekala.  Apabila anakku berhenti bercakap, perawat bertanya lagi, “Lepas tu, apa lagi?”

Anakku hampir menjelaskan segala-galanya melainkan apa yang telah kami rancang.  Ada perkara yang telah dihadkan, tidak perlu beritahu semua.  Prinsip aku, untuk satu dignosis dari seorang perawat yang baru, kami mahu ia tidak dipengaruhi oleh dignosis yang lama dari pihak lain.  Cerita simptom saja cukuplah.  Cerita semua, buat apa?  

Seperti baru tersedar, perawat menarik sehelai kertas licin dan meminta anakku mengisinya.  Ia adalah borang pendaftaran pusat rawatan tersebut.  Kemudian perawat menghilangkan diri.  Aku mengeluarkan tab dari tas tangan dan merepot semuanya kepada suami melalui fb massenger.  Whats app sudah ok, tapi terus menggunakan ruang sembang di fb itu seolah-olah kurang mesra dengan whats app.  Tidak lama kemudian, perawat masuk dengan telefon bimbit di telinganya.  Oh, dia sedang merepot tentang pesakit baru ini melalui panggilan telefon kepada bapanya.  Kami dapat mendengar jawapan dan saranan dari bapanya untuk anakku.  

Huk aloh, jawab suami di fb massenger, tatkala aku memberitahu perawat sedang bercakap di telefon dan bukan mengambil peralatan untuk dignosis seperti yang aku sangkakan awalnya.

Akhirnya anakku disuruh berbaring dan beberapa ujikaji ringkas dilakukan.  Ah, kakinya sama ada pendek atau panjang sebelah sangat memeranjatkan.  Mungkin akibat jatuh terhentak suatu masa dulu.  Perut yang lemah membuatkan lemak terus turun ke bawah perut.  Memerlukan sokongan seperti bengkung untuk menguatkan otot perut.  Risiko hernia yang ringan.  Keseluruhannya, rawatan masih boleh dilakukan.

Perawat muda ini masih berlapik kata, “Insya Allah, kita berusaha melalui urutan terhadap saraf-saraf di sepanjang tulang belakang dan diharapkan akan memberi kesan baik kepada buah pinggang dan seluruh badan.” 

Kami diminta membuat pemeriksaan semula dengan doktor hospital kerana kretanin yang tinggi (hasil repot makmal persendirian bulan lepas) untuk melihat sama ada masih ada masa untuk buah pinggang dipulihkan atau bagaimana … 

“Tetapi kami tidak mahu dialisis!”  aku tidak faham mengapa perlu kembali ke hospital yang telah kami talak tiga itu.  “Sebab tu kami ke sini.”

Perawat menjelaskan semula risiko kretanin yang amat tinggi, susulan bualannya dengan abahnya di talian telefon tadi.  Untuk memudahkan urusan, aku angguk bersetuju.

Setelah dijelaskan tentang kos bayaran rawatan sekiranya bersetuju, dan bayaran RM20 untuk dignosis, kami beredar ke kaunter untuk menyelesaikan urusan akhir.  Kelihatan perawat itu bercakap-cakap lagi dengan anakku, entah apa.

Selesai dignosis pertama.

Aku menyuarakan cadangan kepada si anak, untuk mendapatkan dignosis kedua dari tempat rawatan alternatif yang lain.  Tak disangka, dia terus bersetuju dan ada rasa teruja.  Tempat itu kami nampak tadi, ketika berpusing-pusing mencari tempat rawatan alternatif pertama yang tiada papan penanda.  Eksklusif dan meyakinkan, tetapi harganya bagaimana?  Namun tertulis, dignosis percuma.  Ok, jom kita cuba.  Kami disambut wanita yang penuh mesra, yang memberitahu kami perlu ke sebuah rumah agam di tempat lain untuk menemui doktor kerana jadualnya di situ sepanjang hari tersebut.

Berpandukan peta pada flyer yang diberikan, akhirnya kami sampai di hadapan sebuah banglo mewah.  Seorang tukang kebun sedang mengerjakan pokok-pokok hiasan di hadapan pagarnya.  Wahh, ini memang pusat rawatan yang serba mewah dan ekslusif.  Kami masuk dan diminta menunggu.  Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang berwajah ceria meminta kami masuk ke dalam.  

"Dari mana tau tempat ni?" tanyanya ceria.
Aku teragak-agak.  Teringat kakak pernah menemubual penemu kaedah ini beberapa tahun yang lampau.   Tapi takkan nak cerita pasal itu pulak ...
Setelah bertanya lebih kurang, jauh beza dengan perawat pertama tadi, lelaki ceria yang agak kacak juga ini meminta anakku berdiri dan mengangkat tangan kanan lurus separas dengan bahunya.  Sambil tangan kiri menekan hujung tangan anakku, jari telunjuk tangan kanannya membuat pergerakan zig zag yang tidak ketara pada sepanjang tubuh depan anakku yang berdiri menghadapnya.  

“Ok, nanti saya bagi garam.” Lelaki tersebut beredar.  

“Sempoi, nama pun dia tak tanya.”  Kata anakku perlahan.  Macam biasa, aku mengeluarkan tab di masa terluang dan memberitahu suami di mana kami berada.  Suami yang sedang mesyuarat (dia dah bagitahu awal-awal) hanya memberikan icon thumbs up.  

Lelaki berwajah ceria masuk semula, membawa tiga botol plastik dan duduk semula di kerusinya.  Dia menyambung semula celoteh dan kami ralit mendengar.  Kisah anakknya yang berumur tiga tahun jatuh kolam dan dia terus bertenang menarik anakknya dengan tongkat ketika orang-orang yang melihat menjerit mengatakan dia gila (sebab terlalu cool menghadapi situasi rumit macam tu).  Kisah dia menyimpan cita-cita membeli kereta laju untuk litar lumba.  Petua mengelakkan asma ialah dengan mandi hujan dan minum air batu.  Kaedah rendaman kaki dalam air ais ditaburi garam.  Kaedah mandi bilasan terakhir dengan air ais.  

 “Nanti lapang-lapang boleh mandi air garam kat sini,”  sarannya tersenyum.  Sesi 'dignosis percuma' pun berakhir, dan aku membayar kos tiga botol (satu botol garam, satu ubat untuk darah, satu untuk  kepala) berjumlah RM105 'sahaja'.  

Ketika menghantar punggung di kerusi pemandu, aku bertanya anakku, “Eh, sebenarnya mama nak tanya pasal kretanin kamu yang tinggi tu.  Kita nak tau la apa dignosis dia pulak.  Tapi ralit pulak dengar celoteh dia …”

Aku mengharapkan dapat sesuatu yang baru tentang kondisi kesihatan anakku.  Dalam diam, aku cuba menenangkan perasaan yang tiba-tiba rasa tidak puas hati.  Rasa dah terkena.  Rasa seperti dipermainkan oleh lelaki berwajah ceria.  Dia … mahir ke tidak?  Ke mahir borak je?

Menarik nafas panjang-panjang dan dalam-dalam.  Apa yang pasti, lelaki ceria kerap kali menyatakan kata-kata adalah doa.  Anggapan negatif menyebabkan keadaan yang buruk, dan sebaliknya.  Itu semua terkandung dalam celoteh tentang dirinya tadi.  

“Hmm tak mengapalah, alhamdulillah.  Mungkin sebenarnya Allah nak bagitahu supaya kita sentiasa berfikiran positif dalam hidup.  Doktor tu cerita semua kisah-kisah luar biasa yang jadi sample kepada kata-kata positif akan jadi asbab kebaikan.  Betul la tu!  Kan kata-kata dan anggapan yang kita bina adalah doa sebenarnya.  Ok la, kita tak dapat dignosis yang kita nak.  Kita dapat yang lain pula, yang lebih afdol.”  Kata aku memujuk diri.  Anakku bersetuju saja.  Sambil memandu, aku masih terus cuba mencari di mana lelaki ceria ada memberi komen atau dignosis tentang situasi kesihatan anakku.  Bagaimana nak aku jelaskan kepada suami tentang dignosis dari pusat rawatan ekslusif ini?  Aku biarkan tab duduk baik-baik dalam tas tangan.  Tidak tahu bagaimana mahu menulis kepada suami tentang ‘dignosis’ kedua hari itu.

Walau bagaimanapun, aku rasa amat teruja dan kagum dengan sesuatu.  Aku temui bahawa sesungguhnya benar, DALAM SUNNAH ADA KEJAYAAN. Lelaki berwajah ceria tidak menyebut demikian, tetapi semuanya jelas terkandung dalam cerita-cerita pengalaman peribadi yang disampaikan.  Ini lebih baik dari semuanya.  Walaupun tanpa dignosis yang diharapkan.  Alhamdulillah, semua kerja Allah SWT.  Allah-lah yang mengizinkan kami menjengah kedua-dua tempat rawatan alternatif ini.  Maha Bijaksana Allah pemilik segala keyakinan dan ilmu pengetahuan.  Allahu Akhbar.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing