Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, June 13, 2015

buku cerita kanak-kanak - sebuah azam

Satu ketika aku mendapat tawaran dari seorang editor untuk menulis buku cerita Islamik kanak-kanak.  Sebaik bersetuju untuk melakukannya dengan rasa gembira, aku diserang rasa sakit di ketiak kiri.  Ia adalah kayap!  Aku tidak pernah mengalami kesakitan begini, yang aku sangkakan adalah aku sudah diserang kanser payudara, nauzubillahiminzalik.

Mujurlah ia hanya kayap dan telah pun sembuh, alhamdulillah.  Aku masih memikirkan tentang buku cerita kanak-kanak itu.  Belum berbuat apa-apa. 

Kemudian keadaan Naqib yang selalu tidak stabil sebenarnya dalam diam-diam, memberi efek kepada emosi juga.  Ada rasa sedih, rasa sayu, rasa pilu, rasa duka dalam usaha untuk terus jadi tabah dan memberi semangat kepada anak ini supaya sabar dengan ujian yang diberikan Allah SWT.  Risau tatkala dia terlentang kesakitan, membuatkan aku hanya menyelesaikan rutin harian sahaja.  Kisah pasal buku cerita kanak-kanak biasanya dilupakan.

Akhirnya aku terasa sendiri.  Tentu puan editor tertanya-tanya, lalu aku khabarkan keadaan diri yang dilanda musibah ini.  Usaha hanya berlegar dalam kepala.  Aku ada cerita tetapi bagaimana?

Membaca status puan editor di muka buku, aku terasa sesuatu.  Ia perkara biasa sahaja.  Kadang-kadang gerak hati itu tepat juga.  Kalau salah, pun tak kisah.  Kesudahannya, aku tidak perlu meneruskan apa-apa.  Polisi syarikat sering berubah-ubah, kata puan editor. 

Walau bagaimanapun, keadaan ini ada khoyrnya.  Aku akhirnya mula mencari maklumat tentang tip-tip penulisan buku cerita kanak-kanak.  Ketika membawa Naqib dan adik-adiknya untuk pertama kali (setelah setahun lebih tinggal di kawasan ini dan setelah baru tahu ada tasik dan kawasan rekreasi di Kota Kemuning), aku bawa satu beg penuh dengan segala buku kanak-kanak yang aku ada.  Kononnya nak membaca nanti di tepi tasik yang damai.  (Hampeh, beg yang berat dek buku tu hanya jadi pemberat dalam khemah supaya khemah tak terbang dek angin yang kuat, dan aku leka menatap air tasik yang beriak-riak ditiup angin).

Terkenang azam mahu menulis kisah-kisah indah.  Itu terkandung dalam doa harianku sebenarnya.  Hati mengatakan, kisah-kisah indah sangat banyak ditulis untuk kanak-kanak.  Kisah yang ringkas dan selalu berkahir dengan kegembiraan dan teladan yang baik, itulah keindahan.  Ilustrasi yang cantik, itu juga keindahan.  Imaginasi yang tinggi dan penuh angan-angan, juga adalah keindahan dalam perasaan.

Semasa mengikuti pengajian diploma pendidikan awal kanak-kanak, kami perlu membuat projek buku kanak-kanak untuk memenuhi keperluan kursus.  Aku mengambil sebuah kisah ringkas yang cantik ilustrasinya dari sebuah majalah lama, tentang kanak-kanak lelaki yang bangun pagi dan bersiap ke sekolah dengan perasaan riang.  Ada bunga yang indah bekembang dan matahari yang bersinar terang.  Ada katak dalam perjalanan dan ada semut yang beratur di sisi jalan.  Ada macam-macam.  Aku menghias buku dengan kapas dan beberapa lukisan itu boleh digerak-gerakkan.  Ia simpel dan sempoi, tetapi aku yakin kanak-kanak akan menyukai buku itu. 

Ada beberapa lagi buku lain yang dihasilkan oleh kawan-kawan sekuliah, termasuk yang diprint-out siap-siap dengan kertas licin dan warna yang menarik.  Tak ubah seperti buku yang dibeli di kedai buku.  Akhirnya tatkala kawan-kawan lain menerima semula buku ciptaan mereka, aku dan beberapa orang kawan lagi tidak pernah menerima buku kami sehingga kursus itu tamat sepenuhnya.  Di manakah buku itu berada?

Tiba-tiba terasa seronok pula nak menulis buku kanak-kanak.  Tetapi walaupun ada cerita, tak mudah mahu menukilkannya begitu sahaja.  Kita perlu 'menjadi kanak-kanak' dulu sebelum menyelesaikannya hingga sempurna.  Ini hanyalah sebuah permulaan.  Seterusnya adalah langkah-langkah yang harus dirancang dan direalisasikan menjadi kenyataan.  Supaya tidaklah catatan ini sekadar sebuah cerita kosong yang tidak bermakna apa-apa. 

Insya Allah, semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita.  Allahumma aameen.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing