Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, May 31, 2015

Hati Emas - Remaja dan Perjuangan


Ulasan Buku

Hati Emas - Remaja dan Perjuangan
Tajuk buku : Hati Emas
Penulis : Noraini Eslah

Alhamdulillah.  Hati Emas, karya Noraini Eslah ini telah saya tamatkan pembacaannya buat kali kedua pada tengahari tadi, sebaik kami sekeluarga sampai di majlis resepsi perkahwinan anak saudara saya.  Pertama kali saya membaca novel remaja 229 muka surat ini adalah pada sekitar Septembar 2014, selepas menerima kiriman buku ini daripada penulisnya, atas dasar bertukar-tukar karya sendiri.  Saya pula mengirimi pemilik nama pena Ummu Anas ini dengan novel remaja sulung saya yang bertajuk Seharum Doa Bonda terbitan ITBM juga.

Meniti ayat demi ayat dalam pembacaan kali kedua ini, saya semakin dapat menyelami perasaan Zahira.  Segala perasaan yang berlegar di dalam diri Zahira itu disampaikan dengan mendalam dan mengesankan di sepanjang penceritaan. Gadis kurus yang selalu pucat dan sentiasa dihantui dukacita kecewa oleh pembawaan Hepatitis B yang entah bagaimana menjangkiti dirinya ini benar-benar memiliki semangat juang yang luar biasa hebat.  Berperang dengan perasaan hampa kerana terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi seorang doktor, Zahira sentiasa bangkit semula dengan kata-kata saranan motivasi yang diulang-ulang dalam diri untuk terus melawan perasaan negatif yang mengasak emosi. 

Zahira bertindak menyembunyikan rahsia besar yang sangat meruntun seluruh jiwanya ini dari seluruh ahli keluarganya termasuklah kawan rapatnya, Habibah.  Namun rahsia penting ini sampai juga ke pengetahuan ibu Zahira ekoran demam yang dialaminya sehingga terpaksa bercuti di rumah.  Siapakah lagi yang wajib mengetahui keadaan seseorang jika bukan ibu dan ayah sebagai insan paling hampir?  Namun Zahira semakin menderita jauh hati gara-gara sikap ibu dan ayah yang tiba-tiba dirasakannya telah bertukar dingin.  Apatah lagi setelah dia perlu membuat pertukaran pengajian kepada bidang farmasi.   Abang Hilmi yang selalu cemburu kepadanya semakin menunjukkan sikap mencemuh setelah mengetahui rahsia ini.  Kadang-kadang Zahira bingung dengan perasaannya sendiri.  Apakah sememangnya ibu ayah menjadi dingin kerana kecewa dengan apa yang telah berlaku, atau itu semua hanya perasaannya semata.  

Pada masa yang sama, Zahira merasakan sangat memerlukan sokongan dari ibu.  Dia ingin berkongsi resah hati dengan ibu malahan nenek juga, yang telah memeliharanya sejak usia 6 bulan.  Namun itu semua hanya bagaikan mimpi belaka.  Kesibukan ibu serta janjinya dengan ayah untuk terus merahsiakan penyakit bawaan dari nenek dan Anis, adiknya sangat membebankan perasaan.  Pada masa yang sama Zahira amat bimbang rakan-rakan sekuliah akan menjauhinya rentetan penyakit yang dihidapi lalu berazam merahsiakan hal itu serapi mungkin.  Ketika Zahira merasakan ibu dan ayah bersikap dingin kepadanya, dia pula berusaha menjarakkan hubungan dengan Habibah sehingga menimbulkan kehairanan rakan akrabnya itu.

Dalam melayani perasaan sebak hampa yang menyelubungi diri sambil cuba sentiasa bangkit berjuang meneruskan langkahnya yang goyang, Zahira turut menerima tiupan motivasi daripada kata-kata Pengarah IPTS JB yang sentiasa terngiang-ngiang memalu semangatnya.  Rasa jauh hati dengan sikap ibu yang dingin pula diisi dengan kehadiran Puan Suriani, penyelia kumpulan tutorialnya yang begitu prihatin kepada diri Zahira.  Rahsia hidup penyelia manis yang juga penulis buku motivasi terkenal itu, yang telah menjadi yatim piatu semenjak kecil turut menyemarakkan semangat Zahira yang kerap luntur.

Sambil menelusuri perenggan demi perenggan, saya tiba-tiba tersenyum simpul dengan kehadiran Syamil, rakan seperjuangan Zahira yang kacak.  Syamil dan perasaan aneh Zahira hanya mengingatkan saya kepada novel Seharum Doa Bonda, di mana watak utama bernama Sakinah turut mendapat tempias keanehan yang tercetus tanpa dipinta dalam jiwa oleh teman sekelasnya, Amirul.  Persamaan yang tidak disengajakan ini sebenarnya adalah lumrah di dalam kehidupan.  Remaja mudah tercuit rasa namun haruslah ada sikap waras mengawal diri dan emosi.  Namun berbeza dengan sokongan Puan Suriani kepada Zahira, Sakinah terpaksa berhadapan dengan sikap Cikgu Zairul yang cengih amat tidak menyenangkan hati.  

Selain berpeluang menyerap kekuatan semangat Zahira, pembaca turut mendapat maklumat yang tepat walaupun tidak menyeluruh tentang penyakit Hepatitis B, dari segi cara ia tersebar dan cara mengawal penyakit ini.  Pembaca juga akan mendapat menyelami perasaan pesakit yang mungkin tertekan dengan keadaan yang menimpa diri.  Layanilah setiap individu dengan sikap mulia dan ikhlas hati.  Jadi, berhati-hatilah tatkala melihat perubahan sikap orang tersayang anda.  Mungkin ada sesuatu rahsia besar yang sedang disembunyikannya. 

Bersama harapan untuk memiliki hati yang benar-benar sihat, Zahira turut menyemai azam untuk menjadikan hati miliknya umpama hati emas yang bukan calang-calang. Keistimewaan ‘gerak hati’ Zahira menjadikan watak ini lebih menarik.  Gabungan hati emasnya serta firasat yang selalu tepat itu, dia akhirnya berjaya mendekati Linda, bekas pelajar ibunya yang bermasalah.  Akhirnya dapat juga Zahira melunaskan ‘hutangnya’ kepada ibu, walaupun terpaksa mengorbankan prinsip diri untuk terus merahsiakan pembawaan bahaya yang ditanggungnya dengan mendedahkan rahsia itu kepada Linda.  Tetapi baiknya, pengorbanan itu berbaloi apabila Linda mendapat suntikan semangat untuk bangkit lagi mencipta kejayaan sehebat Zahira. Analoginya, pengorbanan pasti mendapat ganjaran baik yang datangnya dari Tuhan.

Novel ini menyimpang dari aliran novel popular yang kerap fokus kepada cinta semata.  Novel sarat perjuangan remaja oleh rakan seperguruan saya bersama penulis prolifik Azmah Nordin ini sebaliknya menumpukan kekuatan semangat waja tanpa putus asa di dalam kehidupan seharian.  Penceritaan ini diselesaikan dengan kegembiraan apabila penulis akur kepada hukum alam bahawa usaha yang bersungguh-sungguh biasanya pasti disusuli kejayaan yang cemerlang.  Saranan ajaran Islam supaya sentiasa menjana baik sangka juga memberi hikmah yang besar.  Akhirnya hubungan dingin di antara ahli keluarga Zahira bertukar penuh mesra dan kasih sayang.

Kenyataannya, tiada penyakit yang diturunkan oleh Tuhan tanpa ubatnya, melainkan mati dan tua.  Zahira masih mengharapkan suatu hari nanti, rakan-rakan seperjuangannya yang meneruskan langkah dalam bidang kedoktoran akan mampu merawatnya sehingga benar-benar sembuh.  Sebenarnya penyakit bawaannya itu semakin terkawal oleh imunisasi yang diberikan doktor.  Saya yakin selain harapan, semangat juang dan sekeping hati yang bersih berkilau, kekuatan utama yang turut membantu Zahira adalah rutinnya membaca Al Quran di surau tempat dia sering menyisihkan masa mencari ketenangan.  Zahira yang berhati emas tekun membaca butir-butir bicara Allah Taala, mukjizat hebat hingga kiamat.  Zahira juga suka menyampaikan resah gundah dan harapan jiwa melalui doa demi doa yang dititipkan kepada Yang Maha Mendengar tanpa sekatan masa.  Dia-lah sumber kekuatan insan sebenarnya; Yang Maha Kuat lagi Maha Kuasa.  Masya Allah.  Alhamdulillah.  

Kesimpulannya, novel Hati Emas ini penuh dengan nilai-nilai murni yang diselitkan oleh penulis di sepanjang helaiannya.  Kadang-kadang sesuatu musibah itu sebenarnya titipan dari Tuhan untuk menggerakkan tenaga luar biasa seseorang mengorak langkah mencapai kejayaan yang cukup cemerlang.  Allahu Akhbar.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing