Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, April 17, 2015

Allahu.. Merayu meminta dan menahan hati supaya terus bertenang. Ingin meniru sikap tawajjuh yang didengar. Mengimbas kisah-kisah nusrah luar biasa yang amat mengesankan. Bahawa DIA MAHA MENDENGAR, MAHA MELIHAT, MAHA MENGETAHUI, MAHA PENGASIH DAN MAHA MENGABULKAN DOA. Ketika si bongsu yang diumpan beli nasi lemak (seminggu sekali shj) nanti dalam perjalanan ke madrasah, dia memberitahu dengan senyuman penuh harapan, "Mama, malam tadi Baby mimpi jumpa uncang mama dalam beg. Tapi lepas tu tak de ..." Aku menyahut dengan ucapan 'InsyaAllah semoga nanti jumpa.' Mimpinya menyemarakkan harapan yang kian segar bertunas. Aku sudah merancang ke rumah Wak Yusuf, bekas murid Kiayi Shamsuddin itu. Fikirku, sekadar bertanya tiada salahnya. Tetapi aku tidak tahu bagaimana caranya. Aku perkenan orang tua itu. Wajahnya bersih tenang bercahaya dalam ketidakupayaannya. Usianya mungkin lebih 80 tahun. Si bongsu berganjak selepas aku mengucup pipi mulusnya dan memberi pelukan kasih sayang. Aku masih memegang mushaf untuk membaca Surah Yasiin lagi. Tiba-tiba, "MAMA! NI...!" Si bongsu muncul sekelip mata sambil mengunjukkan uncang yang baru kusedari hilang petang semalam. Aku terpegun tetapi masih tenang saja. Aku memang penuh ketenangan haha ... "Jumpa kat mana?" Pertanyaan pertama yang meluncur. Dia memberitahu uncang itu tersadai di tepi pintu penumpang kereta abahnya. Aku keluar mahu melihat tempat dia menemui uncang itu. Hmm ... Begitu mudah hanya buka pintu dan mata anakku terus nampak uncang di situ. Ketika sang suami yang turut bertenang sahaja mengatakan ia memang terjatuh dari handbagku dan terselit di tepi seat itu, aku sedang diselubungi perasaan TAKJUB. Petang semalam, sehingga saat aku menyedari uncang itu hilang, hampir 10 kali anak-anakku keluar masuk di seat itu. Aku sendiri 4 kali keluar masuk di seat itu. Tiada sesiapa perasan apa-apa. Dan sesudah gempar dengan kehilangan, anak-anak mencari di dalam kereta tetapi tidak menemuinya. Aku mengadu kepadaNya. Aku menyeru penghuluku baginda Rasul. Aku tidak mahu sangka buruk kepada pekerja yang datang memasang penghawa dingin. Sangat teruk jika aku yang tersilap catur. Lalu lenaku terganggu. Setelah sekian lama, akhirnya aku mampu sujud di sajadah pada jam 2 pagi. Sebenarnya tidak merisaukan apa-apa, uncang berisi perkara dunia. Kad-kad pengenalan diri, kad-kad yang berguna pada waktu-waktu tertentu saja, dua urat rantai halus yang rosak cangkuknya, kertas-kertas resit yang bakal dibuang dan sekeping dua wang siling. Itulah isi uncangku. Jika masih ada rezekiku, pasti dan pasti Allah akan mengembalikannya padaku dengan selamat. Aku benar-benar mahu meniru sikap tawajjuh itu lalu aku cuba terus melakukannya. Ketika mak dengan penuh yakinnya mengatakan pasti ia sudah tiada dan jangan berharap, aku hanya menjawab dengan nada serendah mungkin bahawa Tiada yang mustahil di sisi Allah, setiap yg kita ujar adalah doa dan berujarlah yang baik-baik. Aku benar-benar mahu meniru sikap masturat yang sentiasa menjana baik sangka kepada sesiapa. Apatah lagi menjaga sangka baik kepada Allah Taala. Jadi begitulah ceritanya. Ketika pagi menjelma, aku fikir tidak mengapa mengajukan permohonan didoakan semoga yang hilang ditemui semula. Ada yang bertanya uncang apakah ia? Mereka menunjukkan kesedihan dan mahu berkongsi duka. Namun hanya beberapa minit, aku harus mengabarkan pula mimpi si bongsu yang berkesudahan dengan penemuannya begitu. Dia anak bertuah! Dan semua anak-anakku memang bertuah, insyaAllah. Allah Taala mendengarku, mengetahui suara hatiku dan memudahkan urusan ini untukku. Ketika aku menahan hati dari menceritakan musibah kepada manusia, Allah Taala maha tahu keadaan di jiwa. Kini kuuntaikan untuk peringatan diri sendiri. Tidak terungkap semuanya, namun cukuplah hanya Dia yang Maha Mengetahui segala isi hati. Dan aku masih berasa takjub saat ini. Allahuakhbar!

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing