Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, December 31, 2014

So sad to online using this lenovo. Dah tulis berjela-jela nanti lenyap begitu saja. Ok, aku sedang online dengan wifi percuma dari restoran di bawah hotel bajet ni. Nak harap wifi hotel memang hampeh. Rezeki kami masuk hotel bajet, ditempah kawan suami. Tak mengapa la, dapat la tonton Qasidah habib kesayangan kat tv. Kalau kat rumah jangan harap. Tv ada tapi tak de ariel hapa. Alhamdulillah. Dapat melayan wssp perindu-perindu di mana-mana. Memang melampau kan..tapi dah dorang kata rindu hehe... Esok nak cari buku diari 2015. Aku rekod memacam kat lenovo ni, alih-alih lesap semua satu hapa tak ada. Return to old style la...tulis je. Tamat sudah khidmat di madrasah Lil Banat. Ia tragis tetapi harus dilalui juga. Untuk seterusnya aku perlu mwmenuhi janji yang sudah diucap. Semoga Allah beri kekuatan untuk aku melakukannya. Qasidah pun hampir tamat. Membosankan guna lenovo menulis di sini. Aku undur diri dulu. * Merai azam demi azam, insyaAllah.

Friday, December 19, 2014

Macam-macam dan pelbagai.  Aku tak kisah.
Ada yang kata memang menarik.
Ada yang kata asyik ulang-ulang cerita je, tak faham sangat.
Ada yang kata sedih huhuhu dan nangis.
Ada yang kata semua ada, suka duka bersama.

Dalam bicara harian, kita tak lari dari ulang-ulang kisah lama.  Sejarah beb.  So ...?
Dalam hidup harian, kita tak lari dari suka duka bersama.  Biasa la.  Well ...!

Hari ni menangis, esok mungkin tertawa.
Sebentar tadi kau ketawa, mungkin sesaat lagi kau mengalir air mata.

Aku tak kisah apa orang nak kata pasal novel Seharum Doa Bonda.

Tetapi mendengar komen-komen itu tetap menyukakan aku.  Hmm dia baca novel aku juga!  Hehe ...

***

Alhamdulillah, malam tadi naik status dari Puan Noraini Eslah senarai nama yang terpilih untuk Projek 50 - Grup Buku Tiga Lima dan Celik Huruf .  Salah satunya yang ke 11, Naqhuhines.  Mula-mula tak perasan nama itu di situ.  Kali kedua baru terpandangkan ia.  Alhamdulillah.  Dengan izin Allah jua.

Apabila ditanya mengapa akan meninggalkan Lil Banat.  Haruslah aku bercerita ringkas tentang hal-hal ini sebagai satu dari alasannya.

Dan Banat Manis kerap bertanya bila novel tentang mereka akan siap, aduhai!  Aku sudah memikirkannya.  Ia adalah kisah ceria tetapi penuh sisi positif untuk diambil faedahnya oleh pembaca.  InsyaAllah, setiap satu watak ini akan muncul dengan kisah yang berbeza.  Semoga menjadi asbab hidayat seluruh alam.  Kakak aku kata, hanya sekelumit masyarakat yang memandang madrasah sebagai tempat pemulihan akhlak.  Bahkan sebenarnya yang sekelumit itulah yang menghantar anak-anak mereka.  Dan yang seorang dua itulah yang senang cakap, bagi pening kepala dan menguasai udara madrasah yang penuh sakinah.  Dan benarkah hanya sekelumit anggota masyarakat?

Hampir semua Banat Manis adalah wakil tunggal dari keluarga masing-masing, yang menjadi pilihan Allah untuk berada di sini.  Mereka adalah daieyah perintis yang melakukan korban di jalan Allah.  MasyaAllah hebat belaka.  Allah maha hebat.

Dan yang melalui penapisan terus berlaku.  Yang dipilih Allah terus bertahan.  Apabila sudah ketetapan, tiada yang dapat mempercepatkan atau memperlambatkan.

***

Ahlan wa Sahlan buat seorang wanita yang baru aku kenali, yang pernah memanjatkan doa ke hadrat Illahi untuk memilih dia mencurah khidmat di madrasah.  Alhamdulillah jodohnya di sini.  Hati kami sama bergelora.  Aku mahu beredar segera, dia mahu datang segera.  Alhamdulillah, Allah benar-benar memudahkan semuanya.

Semoga selepas ini perjalanan madrasah akan lebih lancar dan Banat Manis mendapat sebanyak-banyak manfaat dari perubahan-perubahan yang berlaku.  Semua demi kebaikan dan kemaslahatan belaka.

Sabtu malam, aku harus memenuhi janji untuk menghabiskan masa bersama mereka.  Apa yang harus aku bicarakan agaknya ...

* Banat Manis, akan aku abadikan kamu dalam untaian memori yang  terindah dan berwarna-warni umpama pelangi pagi, ketika mentari sudah mula memancarkan sinar keemasannya yang gilang-gemilang menerobos tirai mutiara embun dinihari yang sejuk dingin, demikianlah kamu sekelian, insyaAllah. 

Patah tumbuh hilang berganti.  Namun kenangan bersama tetap akan tersimpan dalam memori.  Semoga ikatan kasih sayang dan ukhwah antara kita akan berterusan hingga Jannah.  Mama sayang kamu semua, Banat Manis.

Tuesday, December 16, 2014

'Macam orang tak ada perasaan', begitulah komen Zumindar.  Aku mengadukan hal si manis yang dicop tidak fokus, mengelamun dan tidak baca kuat. 

Si comel bertiga yang sudah ditarget untuk hafalan lancar kerana usia rendah berbanding rakan-rakan lain yang lebih tua.  Salah seorangnya adalah si bongsu.  Seorang lagi si manis bermata coklat hazel yang indah.  Terakhir anak seorang pensyarah yang sebelum ini mengejutkan rakan-rakan kerana kelajuannya menghafal.

Apa sebenarnya?  Takkan gementar dengan rotan sahaja?

Mungkin juga, kerana ustazah yang sebelum ini hanya cubit-cubit sayang, gertak-gertak manja.  Berbeza dengan ustazah yang ini.  Zap zap zap ... dibandingkan dengan usianya yang hampir sebaya dengan pelajar.  Namun beliau bukan sebarangan ye!  Sambil menatap telefon bimbit di tangan, telinganya menangkap bacaan pelajar yang hampir dengan dinding nun jauh di belakang sana.  Sambil menghayun cangkul di luar tingkap (suami buat longkang kecil untuk alirkan air yang bertakung di kawasan kaki lima, pelajar mendalamkannya lagi, ustazah pun turun tangan sesekali) bacaan yang tersasar di dalam kelas juga dapat dibetulkannya.  Aku amat kagum dengan kurniaan Allah kepadanya.

Khabarnya, di tempat asalnya di sana, dia sempat membantu ustazahnya mengajar.  Serentak menghadapnya adalah pelajar hafizah, nazirah dan yang sedang syahadah.  Ustazahnya sedang memasak di dapur, tiba-tiba membetulkan bacaan pelajar yang mungkin terlepas dari pendengarannya. 

Sekelumit kisah-kisah ini membuatkan aku, Syirah, Zack dan beberapa orang lagi menggeleng-geleng kepala.  Memang hebat!

"Macam kita membetulkan bacaan Al-Fatihah pada budak-budak kecil yang baru belajar membacanya, macam itulah agaknya ye ..."  aku cuba membuat perbandingan mudah.  "Dengan kata lain, 30 juzuk Al Quran itu sudah sebati mendarah-daging dalam dirinya.  So ... kita azam!  Allahuakhbar!"

Masing-masing macam blur, tidak menyambut pun takbir yang aku laungkan dengan penuh bersemangat.  Cehh!  Apara ...  Aku menarik nafas.

Zack mencelah, "Kata ustazah, dia sentiasa baca al Quran di dalam hati.  Melainkan semasa qada hajat sahaja dia tak baca."  MasyaAllah.  Zikirnya adalah al Quran.

Semoga menjadi asbab hidayat untuk kita. 

Si manis bertiga ditahan di dalam kelas selepas taklim sehingga tiba waktu makan.  Waktu senggang selepas makan dipendekkan, kelas disegerakan.  Hari ini Selasa, Khamis ini peperiksaan tiba.  Semoga mereka semua berjaya melaluinya dengan tenang dan sukses.  InsyaAllah aameen.

* Alhamdulillah, urusan pindah-randah selesai 97%.  Sabtu ini ada sesuatu untuk meraikan semua insyaAllah.

Thursday, December 11, 2014

"Mama, pukul 10.30 malam saya nak jumpa mama seorang saja," kata gadis kecil yang comel bermata coklat bening.  Bibirnya yang luka semakin sembuh, hanya ada parut.  Kata kawan-kawan, dia mengopek kulit bibirnya yang merah delima dengan sengaja. Entah mengapa ...

"Ok insyaAllah."  aku rasa belas padanya.  Ibu dan ayahnya sedang berada di Acheh, keluar seperti para sahabat r.hum yang bertebaran serata dunia.  Aku sudah memberitahunya pelan-pelan agar usah rasa bersedih dan tertekan tentang ibu dan ayahnya.  Ini bukan pertama kali mereka keluar, cuma mungkin tempoh paling lama untuknya.  Cuti nanti dia akan tinggal bersama bapa saudaranya.  Adiknya sudah berada di sana.

***

Jam 10.30 malam aku bangkit dari katil dengan rasa malas. Andai bukan dia yang meminta, aku lebih suka terus berbaring dan melelapkan mata.  Ada rasa letih juga.  Tetapi mengingatkan dia yang meminta, dia yang hanya sekali-sekala meminta untuk berjumpa, aku gagahi diri juga menapak ke dapur.  Sebenarnya ada seorang lagi yang lebih awal mengikat janji untuk berdua dengan aku, tetapi bayangnya tidak kelihatan pula.

Buka tingkap dapur, aku nampak dia sedang menekur di salah satu tiang khemah merah yang baru roboh kain atapnya, yang mereka letak betul-betul di luar pintu dapurku.  Gotong-royong mengerjakan buah nangka besar yang dibawa mak dari kampung Ahad kelmarin, mereka lakukan di bawah khemah merah itu, khemah yang kami gunakan semasa menjual nasi beriani dua tahun lalu. 

"Sumaiyah! Jom ..." aku tunduk menarik lengan kurusnya dengan perlahan.  Kami menapak ke kaki lima rumah pink dan duduk di situ.  Beberapa pelajar mula menghampiri, seolah-olah beberapa ekor rama-rama yang menghampiri kuntuman bunga Ros yang amat harum, atau seperti beberapa ekor semut yang mula menghurungi seketul kek keju hangat yang dihiasi butiran gula berwarna-warni dengan aroma yang amat membuatkan air liur kecur terpercik.

"Sori, mama ada appointment dengan Sumaiyah seorang sahaja."  aku bercakap kepada rama-rama dan semut-semut itu. 

"Ok nak salam sahaja."  Masing-masing menghulurkan tangan bersalaman dan beredar dengan agak kecewa.

"Ok macamana dengan hafalan?" aku memulakan perbualan privasi dengan Sumaiyah sambil memandangnya yang duduk di sisi kananku.

Sumaiyah mendongak memandangku dengan mata coklat yang bening berkilau.  Rasa belas semakin menghujam terhadapnya.  Kebelakangan ini aku mendengar khabar dia paling teruk dihukum ustazah muda yang baru masuk tiga bulan berhijrah dari negaranya itu.  "Kadang-kadang ustazah baling rotan padanya," kata seseorang.  Khabar yang sama aku terima dari yang lain, yang turut menyaksikan setiap peristiwa. 

Kelmarin aku menziarahi dia yang terbaring di bilik, selepas menerima aduan Sumaiyah demam.  Betis dan pehanya sakit.  Ada tanda lama di lengannya yang sudah kecoklatan.  Ada bekas baru di kedua tapak tangannya.  Aku membuat pertanyaan seperti seorang penyiasat persendirian.  Aku tidak mahu mendengar berita yang diada-adakan.  Sebenarnya dia tidak demam, tetapi mungkin sakit urat kerana ketuk ketampi hampir 200 kali untuk dua hari.  Tetapi Sumaiyah yang bertubuh halus ringan tidak dapat menyudahkan genap 100 setiap kali.  Ada tukang kira.  Itupun dia sudah seperti menderita.  Hanya wajahnya tetap suci tidak beriak. 

Aku berbicara.  Apa yang sepatutnya.  Sumaiyah menarik tudung hitamnya ke bawah hingga menutupi muka.  Dia menangis senyap-senyap.  Itulah stailnya dan mereka semua.  Menangis senyap-senyap di sebalik tudung yang ditarik ke bawah hingga menyembunyikan wajah yang basah.

***

Ketua Pelajar, Zack, datang dengan hirisan oren di tangan.  Dia duduk di sebelah Sumaiyah.  Husna sudah lama bersandar di bahu kiriku, disuruh pergi dia enggan. Anak bongsu ini sedang menahan rasa kurang sihat.  Aku biarkan sahaja.  Zack membuka cerita.

"Ada seorang pelajar Malaysia ni dihantar bapanya belajar ke sana.  Tetapi dia tak dapat hafal apa-apa pun hingga ustaznya jadi tidak senang hati.  Di situ ada ramai tetamu yang datang setiap hari, selipar bersepah.  Ustaz suruh pelajar ini menyusun semua selipar yang ada.  Jadilah dia si penyusun selipar selama beberapa tahun.  Pada saat ustaz sakit yang membawanya meninggalkan alam fana, ustaz berwasiat kepada pelajar yang paling pandai dalam kelas beliau supaya meletakkan pelajar yang kerjanya menyusun selipar selama beberapa tahun dan tidak pernah masuk kelas itu mengambil alih tempat ustaz untuk mengajar.  Namun apabila sampai ketikanya pelajar terpandai itu sendiri yang duduk di tempat ustaz, dan secara tiba-tiba semua hafalannya hilang.  Menyedari ada kesilapan yang dilakukan, pelajar terpandai pun menunaikan wasiat sang guru.  Si penyusun selipar dipanggil dan ditempatkan di tempat yang diamanahkan.  Sebaik sahaja si penyusun selipar duduk di tempat sang guru yang sudah tiada, dengan izin Allah tergambar di ruang matanya seluruh 30 juzuk al Quran dan mampu dia menyemak bacaan seramai 40 orang di sekitarnya, wallahu'alam."

Masya Allah.  Terasa berdiri bulu roma di lengan.

Aku pula buka cerita.

/bersambung, insyaAllah.


Saturday, December 6, 2014

"Janganlah berhenti mama ..." Danisyah berdiri di sisi pintu dapur dengan wajah redup.  Matanya yang selalu riang turut redup.  Gadis yang sukar difahami rakan-rakan ini sepertinya begitu terkesan dengan keputusan aku.

"Mama masih ada kat sini sampai kamu bercuti."

"Janganlah berhenti mama ..."

"Mama ada kat sini.  Sampai kamu semua bercuti."

Aku hanya dapat mengatakan begitu.  Mereka akan bercuti dua minggu lagi, sehingga itu aku masih di sini.  Cuma apabila mereka kembali ke madrasah setelah dua minggu kemudian, iaitu minggu pertama 2015, ada wanita lain yang menunggu mereka di tempat aku.

Sudah tiba masanya untuk aku beredar.  Perancangan Allah begitu baik. Di saat aku perlu pergi, ada seseorang yang begitu berharap untuk berada di sini demi kemaslahatan dirinya.  Alhamdulillah.

Malam ini aku akan 'lepaking' dengan mereka.  Waktu ini mereka sedang minum malam. 

Sekumpulan gadis dari grup tertentu duduk dalam bulatan kecil tidak jauh dari pintu dapur.  Kami sekadar pandang-memandang begitu sahaja.  Tadi mereka sudah mengadu itu ini.

"Ok, mama insyaAllah akan datang sana jam 11.30.  Now mama nak rilek jap."  Aku mewar-warkan sebelum ditanya lagi.

Ketika minum berdua di meja, aku bertanya suami, "Bang, apa nak pesan ye?"

"Pesan?? Pesan apa?" 

Ah, sang suami yang seorang ini.  Aku teringat pidato terakhir baginda Rasulullah SAW. 

Begitu banyak dan di saat-saat akhir begini, semakin banyak pendedahan mengejutkan yang disampaikan kepada aku.  Tidak perlu ramai, cukuplah dari dua orang yang berbicara.  Aku berharap yang lain-lain masih berada dalam lingkungan terpelihara.

Betapa pentingnya ilmu.  Betapa pentingnya usaha dakwah.  Betapa pentingnya iman dan keyakinan kepada yang ghaib.  Betapa pentingnya semua yang termaktub di dalam Al Quran Kalamullah dan yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW. 

* sedang menunggu jam 11.30 malam.

Friday, December 5, 2014

Di laman sosial, aku membaca komen-komen yang menjentik rasa ingin tahuku terhadap jenis buku-buku terbitan tersebut.  Aku rasa macam best je.  Komen-komen itu menarik.  Malah ada yang aku pinta untuk menjadi kawan.

Suatu ketika yang baru berlalu, Allah mengizinkan aku hadir di pesta buku besar tersebut.  Bersama suami dan si bongsu, aku melangkah laju-laju mengitari dan membaca setiap tajuk buku yang sekian banyak terpamer.

Aku teringat semula kepada komen-komen yang telah menjentik rasa ingin tahu di laman sosial.  Aku bercadang mahu mendapatkan sebuah dua buku dari penerbitan itu untuk diriku.  Akhirnya aku tiba di rak yang dipenuhi buku-buku yang aku hajati.

Ia berdekatan dengan novel-novel cinta yang pernah aku sedikit kesal membeli dan membacanya.  Buat masa ini, begitulah pendirian aku.

Di sebelahnya adalah novel-novel yang aku maksudkan telah mencuit keinginan untuk memilikinya.

Aku menebarkan pandangan sekilas di serata muka novel-novel itu.  Aku mencari-cari dengan pantas.  Aku menarik nafas dan menarik si bongsu beredar segera.

Oh ya, di sekitar itu agak ramai pemuda dan pemudi yang ceria.  Juga ada jualan baju-T dan entah apa lagi, aku kurang ingat sekarang.

Aku hampa.

Aku tidak akan membeli novel-novel itu, yang telah menjentik keinginan untuk memilikinya melalui komen-komen menarik di laman sosial.  Komen-komen yang berunsur positif dan agak memukau rasa.

Aku yakin tidak mendapat apa yang aku inginkan melalui media mereka.

Aku tidak mahu buang masa, yang selalu terbuang pun sebenarnya tanpa perlu aku menafikan.

Pendedahan yang sampai kepadaku, mengesahkan naluriku.  Bukan aku tidak pernah cuba membaca ia, tetapi aku tidak mampu menyelesaikannya.  Cukuplah dengan menjeling pada tajuk-tajuk yang tertera.

Maaflah ~.

* Ya Allah, semoga aku menemuiMu setelah 'ia' selesai penuh di dadaku, dan telah kutunaikan beberapa janji yang telah terucap, juga beberapa amanah yang dipikul.  InsyaAllah.
Aku tidak mengerti bagaimana jiwa seni yang puitis sebenarnya.  Hanya aku mahu menulis sesuatu dari hati dengan hati-hati namun santai sambil menahan diri dari cuba memporak-perandakan keadaan orang lain.  InsyaAllah.

***

Dia menegurku dari tingkap dapur madrasah yang sudah pecah satu cerminnya.  Aku menghadiahinya senyuman dari jauh.

"Kesian dia mama ... dia tak boleh bercakap dengan sesiapa melainkan dengan bertiga orang itu sahaja."  kata Sara Syuhara.

"Sampai bila?"

"Tak tau la, selagi tak hafal agaknya."

"Baguslah tu.  Pengajaran untuk dia."

"Dia kata dia nak berhenti dari madrasah ni."  Ini agak lawak pada fikiran aku.

Dia yang seorang ini, tiba-tiba menjadi perbincangan petang tadi dengan aku, oleh Syirah dan Sofia.  Termenung memikirkan, di mana silapnya, sehingga dia begitu payah mahu menghafal.  Walhal dia anak kepada orang terpenting di madrasah ini. 

Apakah mungkin dia terbeban oleh perasaan sendiri?  Oleh tanggungjawab tidak ketara?  Oleh kelekaan dan zon selesa yang menyelubungi diri?  Oleh ... apa lagi?

"Kesian dia, saya pun pelik, dia menghafal macam kitorang juga, tapi bila hantar saba', tiba-tiba dia terhenti.  Pelik betul."  kata Shirah yang sudah hampir enam juzuk menghafal, pelajar kedua tertinggi hafalanannya selepas Amy yang sudah hampir mencecah 20 juzuk.

Amy sudah siap membawa 5 juzuk dari  Kemboja dan dia pun tekun orangnya.  Bercita-cita mahu menjadi ustazah di negaranya untuk pelajar-pelajar perempuan.  Ustazah tidak ramai di sana, katanya.  Seiring dengan niat sucinya, Allah amat memudahkan dia mengingat ayat-ayat hafalan.

Syirah juga istimewa.  Gedik, sensitif, ikut kepala sendiri, kasar gurauan, namun atas itu semua dia ternyata kuat kemahuan.  Baru-baru ini pecah rahsia dia sudah menyiapkan beg untuk melarikan diri di tengah malam.  Ika dan Sofia standby tidur-tidur ayam dan terus memujuknya.  Aku tidak terkejut mendengar perancangan teruk itu.  Hati masih cuak maka anak kunci pagar aku khaskan kepada ketua pelajar sahaja boleh menyentuhnya, dan di waktu malam kunci itu aku simpan di dalam.  Kiranya sesiapa yang berhasrat melarikan diri silalah panjat pagar zink setinggi 8 kaki itu dan bolehlah bersiap dengan hirisan tajam hujung zink di pehanya.

"Tapi dia tak jadi, mama.  Akhir sekali dia kata macam ni ~ 30 juzuk al Quran mesti berada dalam dada saya ni."

"Lepas tu?"

"Lepas tu dia ambik beg tu bawak masuk dalam madrasah semula."  Ika tertawa lucu mengenangkan perangai sahabat baiknya yang gila-gila. 

Aku sekadar menarik nafas.  "Orang macam tu akan buat sesuatu sampai seolah-olah akan benar-benar terjadi.  Baru dia rasa puashati.  InsyaAllah dia tak akan cuba lari lagi.  Kalau nak lari dah lama dah dia lari."

Sesudah itu Syirah semakin laju menghafal.  Sekali hantar dua muka surat.  Apabila ustazah RN menyuruh dia menghantar setengah muka surat sahaja, menangis-nangis merayu supaya dibenarkan untuk dua muka.  Orang macam ni pun ada, desis hati.

"Macamana awak menghafal?" aku bertanya ingin tahu.

"Saya ulang baca satu muka surat tu dari atas ke bawah berkali-kali sampai seratu kali mau."

"Hmm ..."  aku pun rasa bersemangat sama nak menghafal.  Benarlah mereka ni asbab hidayat.

Teringat cara Naqib.  Dia menghafal ayat demi ayat.  Hidayat pula, katanya maulana mengajar menghafal perkataan demi perkataan dan tidak mengalihkan pandangan langsung dari al Quran.  Bermacam kaedah lain lagi.

Apa yang pasti,  ulangan berkali-kali memang memudahkan hafalan. 

"Tapi kenapa dia susah nak menghafal ye?" aku mengajak Syirah dan Sofia mencari sebab.

"Entahlah, pelik betul."  jawab Syirah.  Asyik pelik je.

"Mama fikir dia kena pindah madrasah lain la.  Baru dia selamat dari perasaan yang menganggu dia tu."  Sofia mengangguk-angguk.  "Sefaham mama, kalau di madrasah lain, ustaz ada target berapa lama seseorang pelajar baru boleh menghafal.  Kalau dia tak boleh capai target dalam tempoh tu, ustaz akan cadangkan dia masuk alim.  Begitu juga pelajar alim, dicadangkan masuk hafiz.  So masa tak terbuang begitu sahaja.  Ustaz la nak kena cekap kenalpasti kebolehan pelajar tu kat mana."

"Saya suka menghafal al Quran, mama.  Saya takut nak hafal hadis takut tersalah.  Kalau al Quran boleh je rujuk anytime."  Macam tu pulak.

"Hadis pun nak kena hafal la jugak.  Apa la kamu ni."

"Kak Huril hafal hadis ke?"

Aku angguk.  "Bahasa Arab jugak."

Peraturan khas untuk si dia agak luar biasa.  Semoga jadi pengajaran untuknya lebih fokus dalam hafalan.  Dia lebih tua tiga tahun dari si bongsu anakku, tetapi si bongsu anakku sudah melebihi dia satu juzuk.  Walaupun tidak boleh menyandarkan kepada usia, tetapi melihat pada permulaan yang sama, aku pun memikirkan mengapa dia jadi demikian.

"Banyak bercakap.  Banyak ketawa.  Banyak dosa.  Tapi tak de la kata dia banyak dosa.  Banyak bercakap dan banyak ketawa itu memang dia." 

Kringg!

"Okay, time kelas.  Dah balik cepat."  Aku menggesa Syira dan Sofia bangun.  Amboi, mentang-mentang aku baik sikit seminggu dua ni, selamba je masuk ke dapur dan duduk di meja makan aku ye.  Dan ada je topik yang disembangkan, pandai pulak membawa topik yang menarik perhatian. 

"Nanti dating lagi mama!"  kata Syirah sambil berjalan ke pintu.

Saat ini teringat cerita Sofia.  "Oleh kerana kami semua tak boleh bercakap dengan dia melainkan Zack, Amy dan Nurul Iman, duduk sebelah dia pun tak boleh bercakap dengan dia.  So kami pesan kat Zack, Amy atau Nurul Iman walaupun dorang duduk jauh supaya sampaikan pesanan kami kat dia.  Walhal kami ni duduk sebelah dia je.  Lepas tu ada jugak yang tanya takkan senyum kat dia pun tak boleh?  Mesti la boleh jugak, bercakap je tak boleh kan.  Bersalam tentu boleh.  Kenyit mata pun boleh." 

"Ah sudahlah korang ni, buat lawak je la."

"Betul mama, kitorang semua tak boleh bercakap dengan dia.  Yang bertiga tu je boleh."  Peraturan ini hanya menghadkan mesej menggunakan suara sedangkan begitu banyak bahasa badan yang sampai kepada dia.  Namun sebagai seorang yang suka bercakap, tentu halangan berkata-kata sesuka hatinya sedang menyeksa jiwanya. Semoga benar-benar jadi pengajaran yang baik untuknya insyaAllah.

Wednesday, December 3, 2014

"Mama, sini jap."  Siti Hajar seperti mahu berbisik di hadapan kawan-kawannya.
Aku merendahkan kepala, menyua telinga.  Dalam hati berkata, entah apa nak dibisikkan, ada saja bendanya.  Terasa bersalah melayan bisik-bisikan.  Tak baik berbisik di hadapan orang.

Tiba-tiba sebuah kucupan singgah ke pipiku.  Haihh!  Ia agak mengejutkan.  Siti Hajar tertawa-tawa berpusing terus berjalan menuju madrasah bercat merah muda. Malu agaknya.

"Hai, ingatkan nak bisik apa la ..." aku tersenyum di hadapan yang lain yang memerhatikan dan menunggu  peluang untuk berkongsi rahsia.

Dan dia mengulanginya kali kedua, juga di luar sangka.

Satu tengahari, dia mengadu tentang mimpi di siang hari.  Katanya mama akan pergi entah ke mana tak akan kembali lagi, kami semua, pelajar semua menangis-nangis.

Kataku, "Napa, macam mama dah meninggal dunia je."

"Ishh jangan la cakap macam tu mama."

"Yelah, dah awak kata pergi tak kan kembali lagi.  Pergi meninggalkan dunia ini la maksudnya tu."

Siti Hajar tertawa comel.  Giginya putih bersih berbaris indah.  Matanya mengecil sama tertawa.

Hmm ...  sampai termimpi-mimpi dibuatnya.

***

"Mama, bila boleh tolong mama berkemas ni mama?" tanya Ika.

"Eh jangan la tanya macam tu, macam nak halau mama je ..." sampuk yang lain.

"Bukan la ... nak tolong mama berkemas je lah!" Ika separuh mendengus.  Geram agaknya.

"Nanti la, mama lom ada masa nak berkemas ni."  Hanya ada lima kotak kosong, kotak kipas dinding yang baru dibeli.  Ah, malasnya nak berkemas.  Malasnya nak berpindah lagi.  Sudah lebih 10 kali kami berpindah-randah semenjak bernikah, termasuklah pindah ke Brunei.  Dan di sana pun kami berpindah-randah juga.  Masih belum dapat mengambil iktibar supaya tidak mengumpul banyak barang.  Masih ...

Tetapi kali ini, ia perlu dilakukan.  Cermat dan berhati-hati memilih barang keperluan.  Rupa-rupanya mengemas rumah juga perlukan ilmu.  Apabila pandai mengemas, pandai juga memilih barang, lebih panjang akal dan banyak idea, aku fikir begitu.  Semalam mengumpul beberapa blog tentang mengemas rumah.

Aku katakan pada suami, "Abang, kat rumah baru nanti tak mau banyak barang. Barang-barang kerja abang tu ... hmm hmm ..."  Dalam hati berharap dia mendapat mesej walaupun ayat aku tergantung.  "Ayang azam nak berkemas selalu, insyaAllah."  Azam mesti mau ada.  Macam biasa, suami hanya ada telinga tetapi pendengarannya kadang-kadang entah di mana.  Namun dia memberi respon di masa yang lain.  Respon yang sangat menyukakan hati aku.  Cadangan aku untuk mendapatkan perabut yang jimat ruang mendapat sambutannya.  Kami sedang mencari masa untuk melaksanakannya insyaAllah.

Tidak mahu serabut lagi.  Tidak mahu penuh dinding dengan segala ayat al Quran yang dijadikan hiasan.  Azam, al Quran di hati bukan di dinding.  Tidak mahu kabinet tv besar.  Aku memang tak tengok tv.  Tapi abah kata nanti dia nak masukkan Astro pulak aduhai ... Tidak mahu set sofa sebab nak amalkan sunnah duduk atas lantai.  Tapi kerusi sample untuk istana (projek terlepas) dulu tu suami kata tetap nak angkut jugak, ikut je la.  Mahu kosong dan lapang.  Semua perabut aku senaraikan sebagai serabut.  Belajar dari pemerhatian.  Cukuplah yang sudah-sudah.  Kami jumpa kedai perabut terpakai di Kapar.  Sebelum mak sampai, semua perabut yang patut ditolak akan cuba diuruskan segera ke sana.  Sebelum mak sampai, kami akan cuba berpindah secepat mungkin.  Jadi mak akan masuk ke rumah baru sahaja.  (rumah baru = rumah sewa yang baru siap, kami penghuni pertama).  Sebab kami tak nak serabut.  Kami rasa mak tidak bersetuju sangat kami tolak perabut ke kedai barang terpakai, "pakai je la apa yang ada ni," kata mak.

Jadi, kalau boleh, sebelum mak muncul lagi kami mesti selesaikan urusan pindah-randah ini dengan sempurna.  Tak mau mak risau dan bersusah-payah membantu.  Mak abah datang rehat sahaja.  Mak abah senyum sahaja.  Azam, nak ajak mak Ramlah dan mak Leha serta abah Mat Arbak melapangkan masa berehat-rehat di sini juga, di masa hadapan.  Semoga mereka sudi.  InsyaAllah.


***

Semua ni salah aku, hati berbisik.  Mengaku dengan perasaan luruh.  Aku membuka tab dan membaca surah Yasiin, seperti yang selalu dilakukan, hanya kali ini menggunakan tab bukan al Quran .  Wanita berumur di bangku sebelah sana tidak aku endahkan.  Dia pun jauh jaraknya.  Setiap orang yang lalu-lalang tidak aku perdulikan.  Air mata bergenang-genang.  Semuanya salah aku, mengaku sahaja.

Aku hilang sekejap sahaja.  Seboleh-boleh, nafsu mengajak aku mencari juga lampu berdiri yang telah menawan hati.  Setiap belokan aku camkan supaya dapat kembali ke tempat suami dengan mudah.  Melangkah laju dan pantas.  Akhirnya aku tetap tersesat di dalam showroom yang berbelok-belok dan banyak bahagian.  Pertama kali datang, aku rasa sepuluh kali datang barulah aku benar-benar mahir berjalan di situ.

Telefon berdering, sebaik sahaja aku menghantar pesanan ringkas kod lampu tidur berdiri yang telah berjaya aku jumpai. 

"Kat mana?  Tak boleh duduk diam ke?"

Kebetulan aku bertemu escalator, "Kat escalator."

"Turun bawah."

Masa semakin suntuk.  Aku perlu berada di madrasah untuk menyiapkan minuman malam.  Maghrib sudah lama berlalu, waktu Isyak pula menjelma.  Suami tiada masa untuk mencari aku.  Dia pun mungkin sudah kelaparan.  Hai, mengapa aku tidak menahan diri sahaja?  Mengapa aku tidak memikirkan kemungkinan akan tersesat?  Mengapa aku tidak memikirkan masa yang semakin suntuk untuk membiarkan diri hilang arah di pusat perabut yang besar ini?  Semuanya salah aku.

Hati berdebar.  Naluri mengatakan pasti semuanya sudah batal.  Suami sudah angin kuskus padaku kerana menghilangkan diri, sedang dia menunggu giliran untuk membuat tempahan perabut yang kami sama-sama pilih sebentar tadi.  Sebentar tadi yang suasana cuaca sangat ceria dan saling memahami.  Tiba-tiba angin sepoi-sepoi seperti akan tsunami.  Semua salah aku, bisik hati lagi.  Sambil membaca Yasiin, air mata yang kering bergenang semula.  Semua salah aku, desis hati berkali-kali.  Tetapi andai aku sentiasa difahami, alangkah bagusnya, nafsu pula berbicara.  Ah!  menyampuk saja.  Beri betis nak peha maknanya.

Kecilkan dunia besarkan akhirat, kecilkan dunia besarkan akhirat kecilkan dunia besarkan akhirat.  Terasa lemahnya iman saat ini, Allahuakhbar.  Istighfar istighfar istighfar.

"Tak payah la beli lampu tu."  aku menghantar pesanan ringkas lagi.  Nadanya seperti hampa.  Haha ... padan muka aku.  Nafsu pun terasa luka.  Padan muka kau!

Suami muncul juga akhirnya.  Aku buat-buat tak nampak, terus menatap tab walaupun sudah selesai membaca Yasiin.

"Yang, tak jadi.  Banyak out of stock.  Kereta kita tadi kat mana ea?  Ingat tak?"





Monday, December 1, 2014

Semenjak noktah sudah menjadi satu kepastian, setiap hari hal yang sama diungkit.  Dan aku terus melayan mereka seperti biasa.

"Lepas ni kitorang panggil mama kat sini, tak ada orang yang datang ..."  katanya sedih.

"Nanti tak ada sapa nak layan kitorang borak-borak."  kata yang lain sedih juga.

"Ahh sudahlah kamu semua ni.  Panggil la ummi, nanti dia datangla layan kamu."

"Tak nakk ... nak mama jugakkk tak nak ummiiii..."  sah mengada-ngada.

"Ini la namanya paku dulang paku serpih, mengata orang kamu semua yang lebih."  aku mengutuk sikap mereka.  "Ummi akan layan kamu semua lebih baik dari mama insyaAllah."

Pen sudah di tangan.  Kertas sudah siap untuk aku menurunkan mata pena menyentuhnya, hanya untuk sebuah noktah yang menggetarkan jiwa.

* menanti detik demi detik.  
"Bila mula dapat tempias nak berhijrah?"  tanyanya.

Aku pun dengan bersemangat mahu mengulang cerita lama, kisah di Brunei negara aman sentosa, ketika Allah mengizinkan sebuah pertemuan, asbab anak-anak yang berada di madrasah di Malaysia.  Tetapi, belum pun sempat aku menyudahkan baris ayat pertama, ketika baru mahu menarik nafas untuk menyambungnya, tiba-tiba, "Haa ... kami la yang berdoa masa tu." (ayat tergantung, sebab aku tak ingat apa lagi yang dicakapnya sebutir sebutir).

Aku tersentak lalu terdiam.  Hilang semua nikmat mahu berkongsi cerita di pihak aku, bagaimana asal mulanya asbab aku berhijrah beberapa tahun lepas.

Dia bercerita kepada suami; jumpa sekali je masa rawatan refleksologi dulu tu ... dan malam ini pertemuan kali kedua kiranya.

Ya dia datang bersama pakar urutan refleksologi (dijemput dari komplek sukan Bukit Jalil) untuk merawat lutut kiri aku yang terkucil tiba-tiba tanpa sebab, tiga hari sebelum menaiki pesawat ke Brunei.  Asbab urutan itu dengan izin Allah dapatlah aku berjalan dengan lebih selesa hinggalah mendaki tangga kapalterbang pada keesokan harinya.  Tidak perlu menggunakan tongkat kepala naga milik suami lagi. MasyaAllah aku tidak pernah menduga ada orang yang sudi menitipkan doa buat kami, yang aku kira doa khusus, hanya dengan sekali pertemuan dan aku tidak pernah mengendahkannya dengan berlebihan.

Akhirnya aku menjadi pendengar bisu.  Tetamu leka bercerita dengan mak.  Rancak benar.  Aku dah tersengguk sengguk bersandarkan dinding.  Sesekali mataku nampak tetamu mengerling memandang tetapi nampaknya keadaan aku yang begitu tidak mengundang sebarang rasa padanya.  Dari bersimpuh aku bersila. Akhirnya aku berlunjur kaki.  Perlahan-lahan kesopanan yang aku pertahankan beransur pergi.  Aku sudah mengantuk tetapi menahan diri dari memanjangkan leher meninjau jam dinding yang terhalang dek tv bisu. Namun aku amat pasti, embun dinihari mula berkumpul di hujung dedaun.

"Bang, urutkan tapak kaki ni," aku mengangkat tangan suami dan meletakkan di kakiku, sekadar mahu mengusir kebosanan sebagai tuan rumah yang menjadi pendengar setia semata-mata.  Aku tidak dapat mencelah.  Perbualan mereka ni berkisar di kampung dengan kisah watak-watak yang aku tak kenal.  Tetamu lelaki itu seorang karkun.  Isterinya memakai purdah tetapi dibuka dengan izin suaminya.  Maka sang suami itu ada memberi tasykil kepada suamiku.  Dia menyebut tentang jhor, mesyuarat, keluar masturat termasuk pengalaman keluar dari keretapi melalui tingkap semasa di India.  Dia menyebut nama-nama syura Malaysia.  Aku tiba-tiba menyampuk menyebut satu nama yang aku tahu, yang sepatutnya tak perlu aku menyampuk begitu, "bukan, dia bukan syura."  Yelah aku tak tahu.

Sehingga saat ini aku masih terngiang-ngiang akan bicara sang suami itu.  Dia mendoakan kami.  Alhamdulillah.  Aku lantas terkenangkan saat  berlegar sebagai seorang perempuan yang agak bingung di ijtimak Sepang 2009.  Bingung melihat perhimpunan yang begitu padat dengan khemah-khemah yang bersaiz jumbo, dan nama-nama negara di pintu setiap khemah.  Ia amat luar biasa bagiku waktu itu.  Mungkinkah di situ ada juga doa yang dititipkan ke hadrat Allah untuk perempuan ini?  InsyaAllah.

Bagaimana pula dengan sepucuk surat tiada beralamat yang aku titipkan melalui bakal tetamu Allah di Tanah Suci Mekah beberapa belas tahun lampau.  Manifestasi luahan hati yang sarat padat, "akak letak la kat mana-mana, kat celah-celah al-Quran ke" tanpa membenarkan dia membacanya (aku rasa-rasa).   Siapakah yang membaca surat itu, dan mungkinkah ada doa siapapun yang membacanya untuk si pengirim yang turut menyertakan nama penuhnya itu?  InsyaAllah.

Doa kesemua bonda-bondaku?  Ayahanda-ayahandaku? 
Doa guru-guruku?
Doa orang-orang soleh?
Doa suamiku?  Doa anak-anakku?
Doa saudara-saudaraku? Sahabat-sahabatku?
Doa sesiapa yang mengasihi aku?

MasyaAllah, indahnya kehidupan andai disirami doa sepanjang masa.  Doa yang baik-baik belaka.  Doa hidayat.  Doa husnul khotimah.  Doa kebahagiaan hingga ke Jannah.

Terima kasih kerana mendoakanku.  Doa adalah ibadat yang disukai Allah.  Allah menyuruh kita sentiasa memanjatkan doa ke hadratNya.  Dan setiap doa pasti akan dikabulkan.  Berdoakalah dengan penuh keyakinan dan pengharapan.  Bukan doa separuh hati dan tiada rasa ia akan dikabulkan.  Doa sudah siap dalam perjalanan sebelum ia dilafazkan di bibirmu.

Berdoalah untuk saudaramu.  Antara doa yang sangat makbul adalah doa untuk saudara kita tanpa pengetahuannya.

Yang pasti, doa Baginda Rasulullah SAW Habibullah bersama air mata suci baginda di setiap malam sehingga saat-saat akhirnya sentiasa mengiringi kita semua. Alhamdulillah.  Allahuakhbar. 


"Muktamad!!!" Hati menjerit langsing.  Aku menunggu masa untuk melafazkan permintaan maut itu.  Sudah aku khabarkan pada mak ketika hati sedang hangat berbaur benci dan marah dan bengang dan ... segala perasaan kesukaan syaiton musuh Allah.

Air mata menitis sambil tangan melayan rentak sudip di dalam kuali besar.  Sarapan ini harus berasa sedap dan enak zahir batin, tetapi aku gagal menguasai perasaan yang membuak-buak.  Mak menyabarkan.  Aku berhenti mengacau kuali dan melangkah ke cd player.  Aku kuatkan lagi volume qasidah Habib Syech kegemaran sehingga mak menegur betapa kuatnya volume itu.  Aku tidak perduli langsung.

"Muktamad, mak!!!  Perduli apa dengan itu semua.  Rezeki dari Allah."  jawabku mencantas kata-kata mak dengan berani.  Entah bagaimana wajahku waktu itu.  Mak terdiam.

***

"Mak cakap la ..."  aku enggan bercakap dengannya.  Tetapi keadaan kami yang tersadai di tepi hutan berdepan dengan perumahan yang baru siap dan belum berpenghuni ini mesti dikhabarkan segera.  Entah mengapa, kereta ini tiba-tiba tidak mahu menurut perintah untuk bergerak selancar tadi.  Walhal aku mahu segera mengejar masa untuk memenuhi keperluan.

Mak pun bercakap di telefon abah.  Telefon aku tak ada kredit.  Aku menjawab pertanyaan mak sebagai menjawab soalan dari hujung telefon di sebelah sana, sambil mendengus, masih panas hati dan marah dan berang dan  semua perasaan yang disukai syaitan musuh Allah masih ada dalam jiwa.

Tidak lama kemudian, setelah terlelap di tempat duduk pemandu, mujurlah cuaca agak redup, aku melihat kehadirannya.  Semakin masam wajahku tetapi tiada sesiapa dapat mengesan di sebalik tabir ini.  Mulutku terkunci rapat.  Ditanya sepatah dijawab sepatah.

Dia melakukan apa yang perlu.  Sikapnya baik sahaja.  Tidak selari langsung dengan panasnya hatiku, geramnya aku dan segala perasaan yang tidak diredhoi Allah itu.  Mudah benar manusia melupakan.  Melayu memang mudah lupa!

Sambil menanti, hatiku tiba-tiba bersuara sendiri.  Mungkin ini asbab kebaikan belaka.  Seperti biasa,  sesuatu kerap terjadi tatkala aku diserang 1001 perasaan buruk itu.  Sebagai asbab dari Allah.  Tiba-tiba pula hati berkata lagi, BUKANKAH LEBIH AFDOL AKU BERDOA YANG BAIK-BAIK SAHAJA, berbanding melayan segala perasaan yang tidak diredhoi Allah seterusnya melupakan keputusan muktamad yang sudah aku azamkan untuk melakukannya itu?

Astaghfirullah.  Serta-merta aku teringat untuk beristighfar meminta ampun ke hadrat Allah.

Serta-merta pula aku berbisik sendiri, "Ya Allah, aku batalkan semua hasrat dan hajat yang aku azamkan itu kerana aku tahu ia tidak baik diteruskan.  Ya Allah, ini hanyalah asbab.  Jadikanlah ia asbab hidayat untuk kami dan seluruh alam.  Ya Allah, Engkau jadikanlah kami sehati dan sejiwa, penuh cinta kasih sayang rindu di dunia hingga ke syurga."  Aameen.

Tiba-tiba aku teringat serangkap doa yang selalu kuungkapkan satu ketika dahulu.  Aku pun mengungkapkannya lagi.  MasyaAllah!  Begini rupanya perancangan Allah.

Ketika akan beredar ke destinasi berbeza, dia menghadiahkanku sekuntum senyum sinis, "inilah namanya kualat, daulat sebab melawan suami."  Aduhh pedasnya.

Aku menjawab pantas, "mintak ampun maaf ye."  Entah didengar entah tidak, tetapi urusanku selesai dan hatiku puas lega.  

Melawan Protes dalam diam lebih besar kesannya daripada melawan protes dengan kata-kata.  Itu sangat pasti.

Tetapi yang paling pasti lagi sohih adalah, Allah tidak mahu aku berbeza jalan dengan dia.  InsyaAllah.  Allah yang mempertemukan, Allah sahaja yang akan memisahkan.  Biarlah maut yang akan menjadi hantaran.

* atasi masalah dengan baiki amalan ~ Rasulullah SAW.
Aku sedang ditemani anak jin hitam.  Dia, aku temui di atas pokok mangga di depan pintu dapur.  Menjerit-jerit di atas dahan yang tinggi, di Rabu petang menjelang maghrib.  Aku minta suami tolong ambilkan anak jin tetapi suami tidak mahu melayan kehendakku.  Sehingga aku terperasan tiada lagi bunyi suara anak jin menjerit, aik kenapa senyap tiba-tiba.  Aku pun tinjau dari celah pintu, mendongak memerhati di seluruh dahan pokok mangga di depan pintu dapur warna biru laut. 

Tiba-tiba si bongsu muncul dari arah pintu dapur yang lain, dan tertawa melihat aku yang tertinjau-tinjau ke luar. 

"Ni  mama, baby dah ambik sendiri haha ..."  di tangannya ada anak jin hitam.  Rupa-rupanya si  bongsu memanjat meja simen bulat untuk mengambil anak jin hitam dari atas dahan pokok.

Sambil menulis blog ini, anak jin hitam sedang santai di sebelah aku, di atas tilam tidurku.  Tadi suami sudah berpesan kepadanya, "Jangan berak dalam rumah!  Nanti tangkap tikus tau!" sebelum dia bergeak ke Mersing.  Anak jin hitam macam faham je. 

Semuanya hitam, termasuk anak matanya, tentulah!  Yang agak putih hanyalah bulu telinganya dan sedikit bulu di bahagian perutnya, amat sedikit hampir tersembunyi di celah-celah warna hitam.  Giginya amat halus meresip-resip kulitku.  Sangat lincah bermain.  Botol mineral kosong 500ml jadi mainannya.
.
Aku merasa tidak sabar mahu mencuba resepi homemade wet food untuk anak jin hitam.  Aku rebus sedikit daging ayam bersama kentang dan karot.  Mak yang baru datang dari kampung memerhatikan sahaja dari jauh.  "Agar-agar ni nak buat kuih ke?"

"Tak mak ... nak buat lauk anak jin ni haa ..."

"Amboi spesel benar.  Mak dah lama tak makan kuih lengkong merah."  Aku tersengih.

Jadi, makanannya ialah homemade wet food aku buat sendiri dan minumannya air susu kambing yang baru aku beli untuk diri sendiri.  Kita share la nampaknya.  Jangan kau tak minum pula, mahal tu!

Selamat datang anak jin hitam!  Ketika aku berangan-angan mahu membela seekor kucing buat peneman, anak jin hitam pula yang muncul tiba-tiba tidak disangka.  Anak jin pun anak jin lah ... semoga ia anak jin Islam yang soleh lagi sangat takwa.  Aameeen.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing