Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, October 30, 2014

"Sapa nama?" tanya wanita berjubah hijau tua dan bertudung lycra corak2 hijau kuning.  Wajahnya penuh dan senyumannya menyejukkan jiwa.  Isteri kepada ustaz yang menguruskan travel agensi untuk haji dan umrah.

"Err panggil Kak Intan."  kata aku sambil menyambut salamnya.  Dia tergelak kecil.  Sejak sampai di ruang tamu rumahnya tadi, sekilas pandang dia masih muda dan lincah orangnya.

Suami aku yang duduk di sebelah menyampuk, "Ehh akak tu.  Akak berapa umur?"  Haihh telus betul suamiku ni.  Selambaland.  Aku terkejut. Janganlah wanita yang sudah duduk di hadapanku ini terasa hati dengan ketelusan suamiku yang dah beberapa kali berjumpa dengan ustaz dan isterinya ini. 

"Akak  dah 48."  Aku tercopong di balik niqob.  Wahh ... awetnya dia.  Aku semakin kerap memerhatikan dia secara curi-curi.  Orangnya kuning langsat dan mudah tersenyum.  Suaranya lembut dan perawakannya halus.  Pandang sana, pandang sini, pandang situ, pandang mee atas meja, pandang kotak-kotak kat hujung sana, ehh ... mana boleh mata merayap semasa berada di rumah orang!!! Err ... aku curi-curi pandang dia balik.  Dan dia pulak sedang memandang aku. Gulp! 

"Haa awet akak ni."  kata suamiku yang selalu selamba, hingga kadang-kadang tapi jarang-jarang, aku pun terikut rentaknya.

Aku selalu berhati-hati mahu memanggil sesiapa yang baru dikenali.  Bimbang kenalan baru kurang perkenan dengan gantinama yang diberikan untuk dirinya.  Biasanya anggaran usia boleh dikira melalui anak-anak.  Tanya umur anak sulungnya, bolehlah congak usia ibunya.  Tetapi congak-mencongak tak boleh dipegang sangat.  Kes kahwin muda, kes kahwin kali kedua atau ketiga.  Kes lambat dapat cahayamata.  Menjadikan congakan kadang-kadang bersalahan.  Terutama dalam kelompok  masturat otai yang rata-rata dinikahkan pada usia belasan tahun.  Sekitar 40an sudah menimang cucu.  Jadi nenek pada usia muda.

Teringat wanita China yang mengurut kaki aku di Subang Jaya tempohari, semasa menemani suami reformat smartphone yang baru dibeli.  Di dalam ruang yang disekat langsir sekelilingnya, aku lihat wajah wanita China itu berbalam-balam dalam cahaya samar.  Sambil itu aku leka melayan bualan di Whats App dengan rakan masturat yang tiba-tiba menegur aku dengan isu jodoh.  Wanita China putih kuning kurus dan cantik yang nampak berbalam-balam itu cuba berbual-bual pula.  Tetapi dia kurang perbendaharaan kata Bahasa Melayu.  BI ok la sikit-sikit.

Teragak nak bertanya umurnya.  "How old are you?"
"fourty," jawabnya. 

"Hmm ... you are pretty and looks young." Aku memujinya.  Harap dia faham makna pretty tu.
"You?"  tanya dia pulak.
"Try."  aku suruh dia teka.  Harap dia faham maksud try.
"Thirty seven." 
"Hmm ..." aku sengih sekejap kat dia dan menatap skrin Lenovo semula.  Rakan masturat pos sesuatu.

Aku congak dalam hati.  37 ... ok la.  Dia main teka je tu, sebab dia pun nampak aku berbalam-balam dalam cahaya suram.

Mungkin juga dia nak bodek aku.  Ish kena baik sangka.  Tapi biasanya berpakaian jubah hitam dan burqa hitam macam ni, orang susah nak teka umur melainkan dia tengok muka. 

Masturat yang istiqamah menutup wajah dengan niqob atau purdah, ada cahaya pada wajah mereka.  Pertama kali aku berada di dalam kelompok masturat serba hitam ini, dan melihat aura wajah mereka, MasyaAllah Allahuakhbar ... memang terpesona. Kali kedua, kali ketiga, berkali-kali melihat, masih terpesona.  Teringat kisah bandingan wajah Rasulullah SAW dengan rembulan yang sedang penuh, ternyata wajah Rasulullah SAW jauh lebih indah berseri.

* Telah diriwayatkan dari Siti Aishah rha. bahwa ia telah berkata : “Ketika aku sedang menjahit baju pada waktu sahur (sebelum subuh) maka jatuhlah jarum dari tanganku, kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah Rasulullah SAW. Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana cahaya wajahnya, lalu aku berkata,

“Ya Rasulullah alangkah bercahayanya wajahmu! Seterusnya aku bertanya: “Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari kiamat?” Jawab Rasulullah SAW: “Orang yang bakhil.” Aku bertanya lagi: “Siapakah orang yang bakhil itu?” Jawab baginda : “Orang yang ketika disebut namaku di depannya, dia tidak mengucap shalawat ke atasku.”

Allahummasolli ala Muhammad, wa'ala alihi Muhammad.


Wednesday, October 29, 2014

LARI

dari masalah.
Pelajar lari dari madrasah.
Anak lari dari rumah.
Tahanan lari dari penjara ... ni aku tak nak tulis apa-apa. 

Pelajar atau anak yang lari.  Adalah menganggap kediaman seperti penjara.  Anggapan begitu maka mereka mahu lari dari sana.  Bagaimana kediaman boleh menjadi umpama penjara?  Aneh dan luar biasa.  Kediaman adalah tempat tinggal yang sepatutnya disukai, tempat melindungi diri dan juga untuk istirehat.  Tiba-tiba anak lari, tanpa isyarat menghilangkan diri. 

Lari ... entah ke mana.  Zaman akhir ni usah dibuat bergelandangan sendirian, besar bahaya. 

Aku pernah lari.  Ketika terasa diri tak difahami, aku lari mencari orang yang aku rasakan dapat mengerti.  Ia usia remaja yang penuh kalut dan berguni tanda soal dikumpulkan.  Ada isyarat tetapi apabila tidak dapat difahami, penyelesai an yang muncul adalah begitu.  Dengan harapan akan menjadi asbab kebaikan satu hari nanti huhu ... sangka baik berpanjangan. 

Alhamdulillah.  Usah cepat membuat kesimpulan terhadap pelarian.  Cuba dekati ia, selami hatinya.  Pasti ada rahsia yang mendorong ia lari membawa diri.

Mengapa fikir, apabila sudah ketemu masalah sudah selesai.  Nanti ia akan lari lagi.

Usah fikir, dah jumpa, cekup masukkan balik ke kediamannya, nasihat serba sedikit, amaran keras, pujukan, maka ia akan insaf.

Simpulannya tidak terurai.  Kalau orang demam, masih ada pening-peningnya.  Boleh saja demam semula.

Ya, semua dengan izin Allah.  Sudah ditetapkan begitu. 

Hidup sentiasa dalam perancangan.  Allah pun merancang, dan Allah sebaik-baik perancang.  Dan manusia sentiasa keletihan dengan kehidupan yang diuji Allah.  Tapi ke mana lagi nak pergi?  Tiada lain, kembali kepadaNYA jua. 

Merancang dan berdoa.  Bersabar.  Titiknya maut. 

Tuesday, October 28, 2014

Rahsia


yang perlu aku hebahkan.  Usaha sudah dibuat.  Tentangan sudah berakhir.  Persetujuan sudah diterima.  Aku mengusahakannya.  Pengarah Pejabat Pendaftaran PutraJaya bilang, nanti prosedur memakan masa.  Anak-anak dan pelbagai dokumen yang ada.  Haihh pening kepala, pusing, rungsing, risau, rasa hilang selera makan dan minum.  Hilang rasa nak senyum. 

Ia salah satu sebab aku menukillkan novel tersebut.  Diri arwah kakak menjadi intinya.  Sifu menjadi pengiring aku menyudahkan dengan jaya.  Keluarga menjadi penyokong di balik tabir.  Natijahnya adalah nama aku sendiri.  Aku mahu warwarkan, sebagai usaha yang termampu.  Adakah cara ini salah sebenarnya?

Aku sudah maklum siapa ayahku.  Siapa ibuku.  Siapa abang, kakak dan adikku.  Siapa sepupuku, siapa atuk dan nenekku, siapa siapa dan siapa.  Ya, siapa pula yang telah membela dan membesarkan sejak tapak kakiku sebesar dua jarinya.  Siapa yang mengulitiku hingga tidur lena. 

Allah jua yang memberi semuanya, dan menetapkan perjalanan ini sedemikian rupa. 

Abahku, yang menjadi asbab aku diizinkan Allah menghirup udara dunia bernama Hassan bin Karim.  Orangnya sangat suka menulis.  Bertubuh gempal dan ada tempelan daging seperti kismis di belakang belikat kanan (kalau aku tak silap) yang gemar aku usik-usik setiap kali bertemu.  Abah suka memakai singlet tidak berlengan, maka daging kismis itu selalu kenampakan. 

Ibuku tak perlulah tahu namanya, walaupun sudah banyak kali aku khabarkan di celah-celah kisah di blog ini.  Kalau nak tahu, scroll la ye.  Orangnya rincing langsing dan cantik sekali.  Sopan dan sukakan kedamaian.  Tidak pemarah dan lemah-lembut.  Anak kesayangan arwah ibunya. 

Alhamdulillah, aku tahu ini semua menjelang usia 13 tahun.  Satu ketika aku pulang bercuti penggal persekolahan, arwah abah mengumpulkan adik-beradik yang ada untuk bermesyuarat.  Diringkaskan cerita, di waktu itulah abah mengabarkan kedudukan diriku yang sebenarnya.  Aku melalui dua perasaan serentak.  Lain kali la aku cerita ...

Ada saranan mengikut contoh orang terdahulu, yang menyewa ruang di kertas akhbar untuk memberitahu bahawa si polan binti si polan adalah sebenarnya bernama si polan binti si polan. 

Perlukan itu sebenarnya? 

Ketika aku cuba menyembunyikan nama, walaupun tak sesembunyi mana, sudah terhebah pun sebenarnya. 

Namaku Nor Mazzuin binti Hassan. 
Hassan itu bapa kandungku.
Dia menjadi asbab kelahiranku ke dunia ini dengan izin Allah.

Kerana ini semua, salah satu asbab, aku jatuh cinta dan sangat cinta kepada usaha dakwah.  Walaupun aku masih payah nak faham dan ikut semuanya.  Ya Allah, pilihlah daku dan suamiku, dan anak cucu keturunanku menjadi pembantu agamaMu. 

* hal yang timbul semula ini amat membuatkan rasa rungsing.  Pasti ada hikmahnya.  Masa kian beredar dan kian singkat.  Ya Allah tolong mudahkan urusan dengan ibuku.  Aameen.


Cekodok Jumbo

"Besarnya, napa besar sangat ni ..." tanya suami macam terkejut.  Aku terus membalik-balikkan cekodok dalam kuali.  Api tungku aku besarkan supaya cepat garing walaupun kerap ada bahagian yang terhitam sedikit.

"Nak buat comel-comel sejam baru siap.  Lagipun senang dorang nak kira dan agih." jawabku sambil terbayangkan cucur udang yang jumbo saiz jugak.  Takde pulak orang berkirakan saiznya, lagi besar lagi orang suka kot.

Masa mula-mula buat cekodok dulu, ada jugak pelajar yang menceritakan dengan bangga maknya buat cekodok comel-comel.  Lalu aku segera teringat cekodok pisang kakak iparku yang comel-comel belaka, bulat-bulat molek terbentuk dan sedap rasanya.  Maka akupun buat la agak comel-comel tapi melambatkan siap, dan jadual mereka pun teranjak.  

Supaya ia tidak berulang lagi, sesenduk demi sesenduk aku masukkan dalam kuali.  Nak, kan senang nak kira, senang nak agih, cepat pulak masaknya.  Kamu juga yang buat tu semua kan.  Aku tidak peduli dan melupakan kebanggaan pelajar tentang cekodok comel ibunya.  Pada aku cekodok jumbo ni juga comel cuma ia bersaiz besar, ia tetap comel!!! 

Untuk memudahkan lagi pekerjaan, termasuk dalam hal menyedapkan cekodok ni, aku aduk dengan air panas.  Campuran air panas melembutkan tepung dan sebenarnya menyebabkan tepung separa masak sebelum masuk dalam minyak panas.  Jadi, semasa menggoreng di dalam minyak panas, tak perlu tunggu garing sangat dah boleh angkat kalau nak jimat masa macam stail aku.  Yang penting ia lembut.

Perencahnya?  Aku blender bawang merah, bawang putih, bilis dan cili padi.  Garam dan sedikit kunyit untuk mencantikkan warnanya supaya tidak pucat lesi.  Boleh campur kobis hiris nipis, kacang panjang potong dadu, kentang dadu, dan sayur-mayur lain yang sesuai.  Kalau tak sempat itu sahajalah, pun dah sodap.  Nanti dicicah dengan sos Ummi. Kalau ada kuah semalam, kari ke, asam pedas ke, memang menyelerakan.

Tadi, aku diperintahkan suami menggoreng ikan pekasam, kiriman anak saudara yang balik dari Kedah Darul Aman, buah tangan dari ibu mertuanya.  Minyak goreng ikan pekasam yang sedikit suam itu turut aku curahkan ke dalam adunan tepung.  Hmm ...

Malam tadi aku buat teh untuk pelajar sebagai minuman malam bersama kek pisang.  Sedikit baki susu pekat itu aku bancuh dengan air panas dan curah dalam adunan tepung juga.  Hmm ...

Rasanya, tidak manis tetapi lemak.  Tidak pula masin tetapi masih berperisa.  Nak kata ia, tidak.  Nak kata tidak, ia.

Alhamdulillah.  Allah Maha Kuasa makhluk tiada kuasa.

***

"Assalamalaikum, mamaaaa ..."  anak bongsu memberi salam.  Baru je keluar ke madrasah, dah muncul semula.  Apa saja la ...

"Ada apa?"  tanya aku sedikit dingin, sebab sedang kedinginan pagi-pagi duduk dalam bilik ekon.  Skrin laptop aku turunkan 90 darjah supaya si bongsu tidak dapat melihat apa yang ada di situ.  Dia duduk di birai katil, betul-betul di sisiku.  Memang mudah membaca apa yang ada di skrin.

"Mama,"  dia gelak kecil.  "Mama masak apa hari ni?"  dia merebahkan badan.

Aku tarik nafas.  Sabar sahaja la.  "Kenapa?  Sapa nak tau ni?"

"Saja je tanya.  Mama masak apa, cakaplah ..."

"Terung paceri."  dingin.

"Paceri tu apa?"

"Karang dah siap tengoklah paceri tu camana.  Sapa tanya  ni?"

"Hmm ... Grup satu."

"Grup kamu ye?  Sapa?"  berangin.

"Kak Sofia, Kak Syirah."

"Cakap kat diorang tu, tawajjuh hafazan.  Jangan sibuk nak tau apa mama nak masak.  Asik fikir makan je, bila nak tawajjuhnya.  Target hujung tahun depan nak khatam.  Pegi cakap kat kumpulan kamu tu macam tu."   Geram.

Gonjol.  Belum hadam cekodok dalam perut, dah sibuk tanya lauk untuk makan tengahari. Dan semulajadi pantang kalau ditanya apa aku nak masak.  Sesemulajadinya pantang kalau ada yang sibuk nak baca apa yang sedang aku tulis walaupun baru satu ayat.  Bisa sahaja ada perubahan pada menu, sebisasaja ada perubahan pada tulisan.  Aku kurang gemar membuatkan orang kecewa tertanya-tanya membocorkan rahsia plan,  hmm ... cakap menu lain tapi yang dihidang menu lain.  Tadi tulis lain tapi yang dibaca benda lain. Kejutan selalu menyeronokkan, mengujakan.  Rami orang sukakan kejutan, tak gitu?  Suka dapat kejutan, suka memberi kejutan.  Macam kejutan menerima kiriman gambar Cikgu tempohari hehe ...

"Dah pegi cepat."  aku jeling jam loceng.  Jeling skrin laptop.  Lama lagi bongsu kat sini, lesap la idea aku nanti.  "Meh cium sket."  Cara supaya bongsu yang sensitif  ni tak terasa kena 'halau' atau kena marah, cepat-cepat minta pipinya untuk dicium.

"Ishh mulut mama!"  Aku pun bukak mulut dan hembus nafas ... haha ... dia berlalu pergi selepas menghidu bau kopi.

Monday, October 27, 2014

Cerpen itu asasnya sudah selesai.  Tetapi fikiran masih berjalan.  Dan muncul sesuatu untuk penambahan.  Tidak sempat menatapnya, secara tidak langsung bagai telah memeramnya.  Cerita yang hanya pada permukaan lautan, rupa-rupanya ada banyak lagi inti pati yang boleh diselitkan.  Umpama lautan yang luas dan dalam, demikian juga dengan maksud yang nak disampaikan.  Jadikan ia sarat dengan pengajaran dan perasaan.  Setakat di permukaan, tidak nikmat dan kurang penghayatan.

* masih belum sempat untuk penambahbaikan.

Semoga Allah memudahkan semua urusan kita, insyaAllah Allahumma aameeen.

Thursday, October 23, 2014

Sedang bertukang sebuah karya pendek.  Banyak monolog yang tak perlu.  Plot pun kena baiki lagi.  Semoga dapat selesaikan sehari dua ini dan berhenti memikirkannya.  Ada sesuatu yang lain perlu diberi perhatian.  Ia lebih besar dan sukar. 

Pada masa yang sama fikiran tetap berputar.  Hati mengatakan tidak, tetapi apabila diletak di neraca timbangan, hati menjadi goyah.  Tidak sampai hati.  Tidak mahu menelan tidak mahu membuang.  Wajar beristikharah lagi.  Semua berjalan dengan qada' dan qadar Allah jua.

Semoga Allah memudahkan urusan kita semua dan memberi petunjuk ke jalan yang diredhaiNYA.  Aameeen.

Wednesday, October 22, 2014

Selesai dan cuba rasa puas sendiri.  Aku ulang baca.  Ini caraku.  Tak pasti bagaimana yang sebenarnya.  Andai ia diterima, syukur kuucapkan ke hadrat Allah.  Andai ia tidak memenuhi kehendak penganjur, aku tetap mengucapkan syukur alhamdulillah.  Pasti ada hikmahnya.

Ia hanya permulaan. 

Tadi petang aku sudah menghantar tulisan empat muka surat itu.  Ia hanya percubaan.

Selesai dan cuba rasa puas hati.  Aku mahu membaiki cerpen pula.  Sedangkan novel yang ditukangi sudah terhenti.  Anggap saja ia sedang diperam walaupun belum siap, berlubang-lubang dan bocor di mana-mana.

Dan aku tidak respon kepada apa-apa isu panas, suam apatah lagi sejuk beku di sini.  Hal-hal semasa aku lepaskan di sana, di laman sosial yang kadang-kadang memuakkan itu.  Panas akan menjadi suam, lalu sejuk.  Lepaspun tidak keterlaluan, mesti ada had dan garisan sempadan.  Bukankah semua itu dalam perhatian.  Manusia .. hmm.  Lebih penting, perhatian dari TUHAN.

Adik-beradik aku diam.  Ipar-duai aku senyap.  Mereka respon benda lain je.  Eloklah daripada tiba-tiba mengeluarkan fatwa segera ala-ala mufti.  Aku menasihati diri sendiri; kalau kau tak tau sangat lebih baik kau diam.  Tak payahlah tunjuk lagak macam pandai benar.  Kalau tak tau tanya pada yang tau.  Jari-jemari kau yang menekan keyboard akan ditanya nanti.  Ingat, ada neraca akan menimbang.  Ada titian akan terbentang.  Ada kampung berapi.  Ada sungai madu menanti.  Kau nak balik kampung mana, sayang oii?

Dan macam selalu, aku terimbas sikap kakak.  Haihh .. sabar betul dia menahan dari  memakai telefon yang membolehkan dia berWhats App.  Aku menduga, hanya sesekali dia menjengah melihat dindingnya di laman sosial dalam diam-diam, mungkin beberapa kali setahun. Itu bukan keperluan dan tuntutannya.  Keutamaannya lain.  Aku sangat respek padanya. 

Kakak yang seorang lagi ada Whats App juga laman sosial.  Tetapi senyap sepertinya sibuk memanjang.  Yelah, itu juga bukan keutamaannya.  Tugasnya di menara tinggi tidak melibatkan keperluan itu, bahkan akan menganggu tugasnya yang lebih wajar diutamakan.

InsyaAllah sekiranya nama pena diperlukan aku sudah memilih dan menetapkan. 

Semoga Allah SWT mengizinkan aku berkarya dan membaiki karyaku untuk menjadi asbab hidayat dan kegembiraanku di akhirat sana, aameen insyaAllah.  Alhamdulillah.


Tuesday, October 21, 2014

Alhamdulillah.  Cerpen itu umumnya sudah selesai.  Bergantung kepada kerajinan dan semangat untuk menjadikan ia sempurna cantik dan mengesankan, aku tidak  jumpa waktu untuk memeramnya.  Cerpen tentang rindu dan benci.  


Mata yang kabur.  Terasa kering apabila menatap skrin tab.  Petanda tab perlu disingkirkan dari keutamaan.  Ya, gadget ini perlu disingkirkan dari keutamaan.  Ia bukan keutamaan sebenar yang sepatutnya.  Ia hanya kelalaian dan mengecewakan.  Ia tidak kekal dan ia lambang dunia yang diperindahkan walhal kosong.

Semenjak me'like' page Saya Sayang Kucing (bukan nama sebenar), aku jadi asyik dengan gelagat haiwan comel itu.  Terasa ngam dengan ahli kumpulan, mungkin kerana minat yang sama.  Aku turut berkongsi gambar kucing-kucing kesayangan yang kini sudah berpindah alam,  dapat like banyak!  Ada banyak lagi gambar yang sengaja aku simpan.  Nanti-nantilah, tengok point yang sesuai.  Tengok mood jugak.  Tetapi apabila mula muncul gambar si cantik yang berselfie dengan kucingnya, dan buat-buat tanya 'sapa lagi cantik, dia ke saya?' contohnya, aku mula rasa ... bosan.  Mengaku saja.  Aku bosan dengan selfie.  Dan aku suka kalau gambar macam tu dapat 5-6 like saja.  Tu pun dah banyak!

Rupa-rupanya kan, dalam page kucing ni macam-macam cerita ada.  Kisah penipuan ada, kisah penderaan ada, kisah kematian ada, kisah perkahwinan ada.  Cari menantu macam aku pun ada.  Dapat juga maklumat cara nak buat wetfood sendiri yang digemari si bulus sampai dia tersandar kekenyangan.  Tengok je keletah video si bulus memang naik geram.  Kalau dapat, memang penyet dipicit-picit rasanya.  Akhirnya ngidam nak bela bulus semula aduhaii ... ntah dapat ntah tidak.  Ntah sempat ntah tidak.  Ntah diizinkan ntah tidak ...

Ok, akhirnya aku mula rasa geram dengan diri sendiri.  Sukar nak menahan diri daripada membelek status tentang kucing dan bagi komen.  Apa ni haa?  Apa keutamaan aku sebenarnya haa?

...

Instict aku mengatakan, tak lama lagi aku akan beredar.  InsyaAllah.  Setiap yang bermula akan berakhir.  Dan kesilapan yang dilakukan, tak siapa menegur tetapi rasa hati mengatakan 'aku dah buat banyak silap'.  Aku sengaja buat silap?  Atau ia manifestasi rasa hati yang terbayang sekilas pada aksi?  Wallahu'alam.  Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.

Haha ... berbaik sangka.  Sebenarnya hidup ini ada keutamaan dan ada keperluan.  Di mana ada keutamaan, maka pilihan harus dilakukan.  Semua dengan izin Allah belaka.

...

Jom buat krim sendiri untuk merawat wajah supaya sentiasa remaja.
Madu lebah, susu kambing, minyak zaitun, tepung pulut dan sedikit air, dikacau rata dan oleskan pada wajah setiap pagi dan malam sebelum tidur.  Urut-urut wajah dan cuci dengan air suam.

Boleh campurkan pegaga, manjakani, lendir lidah buaya.

Untuk scrub wajah, sangai beras pulut hingga hangus dan tumbuk/kisar kering hingga halus.  Boleh campur dengan krim tadi dan gosok perlahan pada wajah menggunakan jari manis. Bacalah bismillah dan selawat.  Menghadap wajah ke cermin jangan lupa baca doa tengok cermin.  Semoga awet selalu, dengan izin Allah.

* koreksi niat di hati.  Betulkan niat kerana Allah.  Semoga beroleh redho Allah dan kesukaan Allah.  Jaga hak Allah, Allah jaga hak hambaNya.  Aameen.

***



Aku ke kaunter klinik itu sebagai mematuhi anjuran suami.  "Ayang beli di kaunter je, cakap nak ubat titis untuk mata."  Begitulah suaranya yang keluar dari speaker Lenovo tadi.

Namun petugas klinik itu berkata dengan lemah-lembut, "Saya tak berani nak jual gitu-gitu je kak.  Sebab mata ni sensitif.  Karang silap ubat bahaya.  Doktor pun tak de pasien.  Akak nak masuk jumpa doktor tak?"  Cair hati mendengarnya.  Memanglah sepatutnya, tetapi dah suami anjur beli je kat kaunter, aku cuba juga bertanya begitu.

"Ok, saya masuk la,"  sahutku sambil sengih-sengih di balik niqob.  Tak ada salahnya untuk bertemu doktor.  Mataku turut tersenyum dan petugas berunifom serba merah jambu itu juga senyum.  Selesai urusan pendaftaran, aku pun dipanggil masuk.

Oh doktor wanita, terasa lega walaupun aku sudah bersiap mental memikirkan doktor lelaki yang selalu merawat suami ketika dia dijangkiti bisul besar di dada beberapa bulan lepas.  Manis doktor ini, iras teman di Kelana Jaya membuatkan aku segera menyukai dia.

Doktor meminta aku membuka niqob.  Mataku yang sudah tidak merah disuluh dengan lampu picit.

"Doktor, mata saya kabur.  Ia sementara ke kekal?  Kalau sakit mata merah memang akan kabur ke?  Anak akak pun mengadu matanya jadi kabur."

"Tak pasti la kak.  Tapi masih ada sedikit merah kat tepi mata tu.  Akak cuba dulu ubat ni, kalau kabur juga cuba akak check power mata semula  Atau mungkin mata akak terlebih silau."

Aku tersengih.  "Tapi spek ni baru je buat doktor."  Terlayang kepada harganya yang boleh beli treadmill idaman yang terpakai di online, seperti milik my dear friend di Kelana Jaya tu.

"Hmm kadang-kadang mungkin power tu berubah..  Akak ada alahan ubat tak? Kencing manis?"

Aku geleng kepala.  Mudah-mudahan kabur ini hanya sementara dan bertambah elok selepas ini insyaAllah.

Menanti ubat di kaunter, aku menulis pesanan ringkas kepada suami.  'Abang, kena masuk jumpa doktor.  Tak boleh beli ubat di kaunter.'  tetapi ia tidak aku kirimkan kerana belum tahu jumlah bayaran yang dikenakan.

Selesai urusan, aku pulang ke rumah.  Di rumah, aku menyambung pesanan ringkas yang terhenti tadi.  'Abang, kena masuk jumpa doktor.  Tak boleh beli ubat di kaunter.  Kena 41$.'  Ia tentu termasuk pendaftaran kerana aku tidak pernah mengambil sebarang rawatan di situ, hanya beberapa kali menemani suami dan membawa pelajar, hingga doktor dah kenal denganku (doktor lelaki yang selalu ditemui suami).


Teringat tadi ketika menolak keluar pintu kaca klinik yang agak berat, telingaku menangkap suara wanita yang baru sampai di kaunter pendaftaran, "Akak kena sakit mata, anak pun sakit mata."  Hmm ...  syukur dan sabar, semoga Allah beri kesembuhan aameeen.

Friday, October 17, 2014

Malu nak menelefon cikgu.  Rasa tak tau nak cakap apa.  Malu yang selalu menghantui di zaman kanak-kanak tiba-tiba muncul kembali.

Hari ini ada bunyi hon lagi di depan pintu.  Aku yang berkain batik segera menyarung burqa.  "Ada apa ye?"  tanyaku dari belakang pintu.  Nak buka engsel pintu pula ketat tiba-tiba.  Yang di luar tidak menjawab, diam sahaja.  Kalau aku tak nak bukak pintu pun boleh je. Dugaanku tepat, staf pos laju sedang berdiri di situ.

"Kak, sain tulis nama no aisi."  Lantas dia menghulur fail yang terselit kertas putih dan sebatang pen.

Siapa saja yang mengirimi aku sesuatu ini?  Sri Kenayan Sdn Bhd.  Wahh ... di luar dugaan ini.

Aku menutup pintu  dan membuka burqa.  Sampul coklat diletak di atas katil dengan perasaan sabar.  Selesai menguruskan diri, aku pun duduk membelek sampul surat coklat.  Ejaan namaku ada perubahan kecil, sama seperti yang tertera di atas kiriman Cikgu Mail kelmarin.  Pasti bukan cikgu yang menulis, sebab corak tulisannya milik orang perempuan yang masih muda.  Aku agak mungkin awal 20-an.

Sri Kenayan.

Terukir senyumku.  Wajah Cikgu Mail muncul dari lipatan kertas di dalam sampul coklat.  Benarkah sudah lebih 34 tahun tidak bersua?  Masih ada saki baki ketampanan pada wajah cikgu yang nampak sayu.  Lantas aku teringat betapa segaknya cikgu melangkah di perkarangan sekolah.  Tinggi, rambut ikal hitam dan berkulit cerah.  Cikgu memang hensem.  Dan garang, oh!  Namun cikgu rajin juga bercanda dengan anak-anak muridnya.

Aku menjeling tab di sisi.  Terasa ingin mendengar suara cikgu.  Tapi, aku sangat malu.  Malu yang selalu menghantui aku di zaman kanak-kanak muncul semula tiba-tiba.  Argh!  Maka muncul pula alasan-alasan yang entah dari mana.  Aku kurang dengar kalau bercakap di telefon.  Aku tak tau nak tanya apa kat cikgu.  Aku malu sangat.  Aku segan.  Aku ...

Baiklah, aku beri diriku masa untuk bertenang.  Tak perlu memaksa diri.  Apabila Allah izin, aku pasti akan melakukannya tanpa paksaan dari diri sendiri atau sesiapa.  Semoga ada sesuatu yang bermanfaat untuk aku bicarakan bersama cikgu.  InsyaAllah.

* Terima kasih, jazakallahu khoyr katheera buat Cikgu Mail.  InsyaAllah satu ketika semoga Allah rezekikan kita berjumpa.  Semoga jadi asbab kebaikan aameeen.

*  aku minta member snap gambar cikgu senyap-senyap, tapi dia beritahu cikgu pulak haishh!  Hasilnya cikgu kirim gambar kat aku.  Hehe ... untung juga.

* selepas 10 minit berlalu, rasa tak sedap hati.  Aku capai sampul coklat dan belek nombor telefon yang tertera.  Aku dail tiga kali tetapi tidak berjaya.  Ended tiba-tiba.  Sebenarnya boleh saja aku bertanya pada Hisham dan Maria.  Ok nanti aku tanya no telefon cikgu ya.

"Kak long, bak no tepon cikgu ... den nak try tepon cikgu."

***
MasyaAllah aku baru je bercakap dengan cikguuuuuu!!!
Wahh masih gayat rasanya  nih.  Bayangkan, cikgu boleh tanya aku apa warna motor Vespa arwah abah aku!!!  Dia kata hijau cair ka ... aku kata mbe macam kuning cair kot.  Hmm .... Dan cikgu kata dia suka bahasa aku dalam novel tu.  Bagus katanya.  Cikgu kata cikgu suka cara penulisan 'Bahasa Lima'.  Hujung semua sama.  Tiba-tiba aku rasa macam terikut loghat Utara plak hahaha ... InsyaAllah semoga Allah izin kita bersua lagi cikgu.  InsyaAllah.

Thursday, October 16, 2014

Setiap hari dengan rutin yang tidak jauh berbeza.
Setiap hari dimulai dengan mengucapkan kesyukuran ke hadrat Illahi.
Mencicipi rezeki yang Allah beri.
Dan aku kembali menyusun aksara berisi.

Berangan-angan tinggi
Aku mahu meneruskan legasi ini
Ya Allah izinkanlah
Ya Allah bantulah
Ya Allah mudahkanlah

Baikilah daku selalu.

Saat demi saat
Sukatan masa kian singkat

Kebenaran itu mengerikan
Kengerian itu membenarkan.

***

Wednesday, October 15, 2014

Mata masih rasa tidak selesa.  Aku rasa macam nak letak jawatan je, setelah kali kedua puteri menitiskan madu ke dalam biji mataku yang berwarna merah saga.  Kali pertama ok je, cool.  Maka aku berani berazam untuk tiga kali titisan madu.  Namun, aku mengeletek menahan pijarnya manisan ini pada titisan kali kedua.  Serta-merta teringat pada tingkahnya yang merayu kesakitanketika tatkala menghadapi sikap tegasku ketika wabak sakit mata melanda madrasah kali kedua.

"Sakit mama, macam letak cili."
"Nak letak cili ke letak madu?"
"Letak  madu la mama, huhu ..."

Tadi, ketika mereka mendengar pengakuan tulusku tentang pijarnya madu, terbongkarlah rahsia ketenangan mereka selama itu.  Rupa-rupanya depan aku je mereka cool.  Lepas aku beredar, masing-masing mengelintin menahan pedih pijar madu yang meresap bercampur airmata.  Ohh ... aku rasa nak letak jawatan je sebab terasa dah menganiaya mereka.  Tidak, sebenarnya aku cuma nak ikut sunnah, dalam sunnah adak kejayaan.

Tetapi aku berjaya melangsaikan azam dua kali sahaja.  Selepas itu aku masih melakukan yang dianjurkan baginda SAW iaitu memakai celak.  Aku gunakan celak serbuk dengan minyak badam yang kubeli di Sri Petaling dengan harga RM5.  InsyaAllah.  Mata aku akan sembuh tak lama lagi.  Aameen.

***

Aku sedang menyejukkan badan di hadapan kipas gedang, sambil meneguk air sejuk dari freezer.  Peluh menitis dari dahi turun ke tepi bibir.  Tentu masin rasanya.  Tiba-tiba ada bunyi hon beberapa kali. 

Siapa saja daa ... bagi la salam kok ye pun.  Inikan madrasah.  

Aku terus duduk tanpa memperdulikan.  Hanya meninjau dari celah tingkap yang sedikit renggang kayunya dan nampak kereta sendiri yang tercegel di depan pintu rumah.  Ah.

"Mama .. ada pos laju.  Dia suruh mama sain."  Hidayat anak bertuah datang terburu-buru.

"Hah? Pos apa pulak.  Eh cepat kamu je sain."

Tak lama kemudian Hidayat anak bertuah datang menghulurkan bungkusan nipis yang lebih besar dari saiz
A4 paper.  Terbeliaklah mata melihat kiriman dari utara.

Ia adalah kiriman buku karya guru bahasaku dulu, Cikgu Ismail Hanapiah, yang kini kembali ke kampung halaman beliau di Pulau Langkawi. 







Alhamdulillah.  Semoga ada manfaatnya.  Jazakallahu khoyr katheera buat cikgu Mail yang terkenal garang dan tegas mengajar.  Hingga kini aku menyimpan rajuk yang tak siapa perasan, tetapi saat ini ia sirna begitu sahaja diganti rasa sejiwa.  Andai ada umur yang panjang diberi kesempatan oleh Allah SWT, aku berhajat menziarahi cikgu insyaAllah.

***





Di mana kau banyak menghabiskan masa 
maka di situlah kecenderungan hatimu.

Usah memaksa diri.

***


Monday, October 13, 2014

Menitis air mata membaca rangkap-rangkap wasiat anakanda.  Bertarikh 11 Oktober 2014.  Entah apa musababnya.  Aku tak tahu.

"Mama, baca ni.  Menangis membacanya."  kata puteriku tiba-tiba.  Di tangannya ada telefon bimbit berwarna putih.  

Wasiat biasa sahaja.  Namun yang tersirat di sebalik wujudnya wasiat biasa ini, membuat hati bergetar jantung berdebar.

"Kita semua akan sama-sama tulis wasiat juga."  putusku tiba-tiba pula.

Pasti ada rahsia Allah menggerakkan hati anakanda menyusun wasiat itu.  Rahsia Allah untuk kita semua.  Air mata yang mengalir dikeringkan.  Ia pasti akan menitis lagi.  Sehingga jasad disemadikan di dalam ruang berdinding dan bertilam tanah.  Kali terakhir air mata kan tumpah.

Alhamdulillah, syukur ya Allah.  Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Kekal selamanya.  Setiap jiwa pasti kembali ke sisiNYA.  Semoga perjalanan kita dimudahkan Allah SWT dan dosa-dosa kita diampuniNYA.  Semoga aib kita disembunyikanNYA dan keburukan kita diganti dengan kebaikan dariNYA.  Semoga perpisahan diredhoiNYA dan pertemuan denganNYA penuh gembira.  Aameeen.

Wednesday, October 8, 2014

Mencatat dari Sri Pantai, Mersing.

Pakai kacamata baru, masih kabur juga menatap skrin laptop.  Rabun apakah ini? 

Alhamdulillah, kenduri tahlil dan kesyukuran yang dihajatkan selesai dengan sempurna dan membahagiakan.  Ramai juga tetamu yang datang, khususnya kehadiran kaum wanita.  MasyaAllah.  Lama sudah tidak mengadakan kenduri di rumah ibu kandungku ini.  Dan lama juga aku tidak bertemu muka dengan jiran-jiran berdekatan yang ada bau-bau bacang.  Mereka tidak mengenali aku.

"Eh ni sapo ni?  Ani ko?"

Apabila jawapan diberikan, begini pula ~ "Ooo patut la gomok sikit.  Ani tak gomok."  Aduhaii ...  Aku tak gemuk!  Tolongggg ... aku cuma sedikit berisi daripada kakak aku.  Apatah lagi musim perayaan macam ni ..

Hehe ...

Memikirkan bab makanan  untuk tetamu, aku bertenang sahaja.  Sehingga masa semakin dekat untuk menyenduk dan menghidang.  Allah juga yang bagi cukup dan sedap semuanya.  Alhamdulillah, makanan mencukupi.  Seperti yang aku jawabkan pada pertanyaan dari sesiapa dan juga dari hati sendiri yang kadang-kadang timbul cuak ragu, 'insyaAllah Allah bagi cukup, insyaAllah."  Ia adalah harapan dan doa.  MasyaAllah, benar ia cukup dan bakinya hanya sesuai dibawa ke sarapan pagi esoknya. Ada juga dibekalkan untuk beberapa orang tetamu yang istimewa.

Bertemu dengan mantan penerbit drama tv RTM, kakak aku menunjukkan novel kepada beliau.  Katanya, dia sudah 6 tahun pencen, sekiranya masih di RTM boleh sahaja dia mempromosi Seharum Doa Bonda untuk didramakan.  Di pintu, dan dia tetamu akhir yang bersiap untuk pulang, kami berbual sekadarnya.  Dan dia mendoakan kejayaanku di masa hadapan; yang sangat menyukakan aku.  Aameeen.

Post aku tentang ini di page Seharum Doa Bonda rupa-rupanya mendapat perhatian dari my loving dear sifu.  Respon beliau, 'mazzuin, andai mmg ada rezeki kat situ, pastikan ia melalui ITBM k.. penting ni'.  Aku tak faham sangat maksud sifu tetapi InsyaAllah aku rasa tiada masalah dan tiada persoalan dari diriku untuk mematuhi nasihat beliau.

Resah.  Resah adalah sesuatu dari hati.  Hati adalah wadah yang mencintai kebenaran.  Andai sesuatu yang kau lakukan tidak selari dengan kehendak Allah, maka resah akan datang tanpa kau pinta, tanpa kau sedari.  Resah adalah kata kunci untuk cerpen yang sedang aku cuba selesaikan.  Bergelut dengan jadual kehidupan yang di luar kebiasaan semasa cuti perayaan seperti ini, aku hanya mampu memikirkan di kepala berbanding menulis untuk membaiki cerpen itu.

Novel pula macamana?  Tarikh tutup pertandingan di akhir Januari 2015.  Aku tak dapat meneka bila akan selesai.  Untuk mengembangkan plot bukanlah mudah untuk aku yang masih 'muda setahun jagung' di dunia penulisan novel. Ura-ura berpindah rumah lagi, aku memang tak dapat jangka apa-apa tentang novel ini.  Cuma, walau apapun, aku masih menjaga standard kesempurnaan.  Kalau tak sempurna aku akan biarkan ia berlalu begitu sahaja.  Pasti ada hikmahnya ~ untuk memujuk diri dan hati.  Kecilkan dunia besarkan akhirat.  Semenjak lama, aku sentiasa berdoa semoga Allah SWT yang Maha Pengasih mengizinkan dan membaiki karyaku.  Aameeen.  Penting untuk aku mengukur kemampuan diri.  Pertandingan penulisan hanya satu wadah di antara sekian banyak cara.  Usah kecewa.

#dalammoodbercutitakdapatnaktulispanjangwalaupunbanyakceritamenarik

***
Setelah beberapa ketika baru aku ingat kaca mata ini multifocal.  Untuk aktiviti di skrin laptop ada gayanya apabila harus menggunakan kaca mata si tua.  Hmm ... aku sudah tua.  Bukan, aku sedang tua.  Ohh, aku di penghujung muda.  Patut la pakai kaca mata pun masih kabur alahai ...

Wednesday, October 1, 2014

Perlahan-lahan rasa bengang yang datang beransur pudar.  Tak  mengapalah.  Perut pun dah kenyang, perasaan enjoy sedikit berborak isu menarik dengan teman di Whats App.  Hanya rasa terkilan masih ada. 

Bukan apa. Pagi-pagi telinga sudah mendengar kata-kata kutukan.  Mengapa mesti manusia mengutuk manusia lain?  Adakah manusia yang menentukan jalan takdir manusia lain?  Aku selalu fikir, daripada mengutuk manusia lebih baik mendoakan manusia Mengutuk memang sedap, puas hati aku!!!  Betul tak?   Abih keluar semua dalam perbendaharaan kata maki hamun.

Sudah jelas dalam hadis, ada banyak doa yang sangat ampuh lagi cepat makbul.  Yang paling cepat ditunaikan adalah doa untuk saudara tanpa pengetahuannya.

Berkata yang buruk, dapatlah yang buruk
Berkata yang baik, dapatlah yang baik.

Tetapi nafsu manusia memang nak puaskan hati belaka.  Adakah puas benar?  Hidup kat dunia ni hanyalah sementara.  Dan manusia selalu lupa.  Itulah masalahnya. 

Maka sebab itulah kena cakap pasal iman tiap-tiap hari.  Besarkan akhirat kecilkan dunia.  Dunia ni memang Allah jadikan indah dan menarik nafsu.  Manusia ikutilah nafsu, yakinlah tak ke mana.  Puas benarkah?  Mungkin, tetapi hanya sebentar sahaja.  Nafsu akan mencari lagi dan lagi.  Mulut akan berkata lagi mengikut kehendak nafsu.  Semua pancaindera.  Kasihannya manusia.

Kemudian tiba waktu lelah.  Tua menjelma.  Tau-tau dan nazak. Allah ...

Ya Allah, berilah dia hidayat supaya dia sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan.  Berilah kami semua hidayat dan pilihlah kami semua untuk membantu agamaMu.  Terimalah kami, ampunilah kami, tutupilah aib kami dan tukarkan keburukan kami dengan kebaikan dari sisiMu.  Aameen.

* pelajar bergotong-royong untuk bercuti esok.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing