Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, August 30, 2014

Rasa lemah nak menulis bab ni.  Bab rasa janggal dan 'tersendiri' (la konon) di tempat baru dan kenalan baru yang belum dimesrai.  Masih terbawa-bawa dengan sikap senyap lebih memerhati sambil karang-ayat-to publish in blog dalam hati.  Jauh beza dengan mak yang selamba akan bawa topik melalui soalan atau bangkitkan isu melalui perbualan.  Mak kan peramah banget!  Aku tak dapat tiru selalu sikap yang ini.  Semasa ikut rombongan tengok perarakan kereta berhias di Muar, aku berbual dengan seorang pakcik.  Kena marah pulak dengan mak sebab ramah sangat, masih sekolah rendah masa tu.  Menyampuk perbualan driver dengan penumpang sebelah yang aku dan mak jadi penumpang di belakang, kena marah jugak sebab terlebih ramah menyampuk perbualan orang tua, masa tu masih kecik lagi.  Kecuali borak dengan driver bas apabila berdiri dekat tangga sebab bas dah padat semasa belajar di UKM, mak tak tegur sebab mak tak ada masa tu hehe ... Tapi teguran mak berbekas juga.  Aku lebih suka mendengar dan tidak monopoli perbualan.  Sesekali saja bersuara atau bertanya ala kadar bila agak-agak macam patut, apabila semua orang senyap tiba-tiba.  Lemah nak sambung bab ni.  Kita tukar cerita lain.

Malam tadi, aku belek dengan rasa sakit sedikit di hati, geram, sebab file pdf imej muka depan novel sulung yang diberi oleh editor tak dapat dibuka setelah penat menunggu download.  Laptop uzur.  Perlu diservis.  Atau beli baru?  Hehe ...  Tiba-tiba terasa nak berbincang dengan suami.  Ye, aku perlu berbincang hal ini.  Tak ada salahnya bertanya pada suami.  Takkan nak tanya orang lain pulak.  Mestilah tanya suami.  Lepas-lepas tu kalau sekadar nak minta pendapat ok la kot.  Tapi aku dah tanya Za time makan petangnya tu.  Ia hanya pertanyaan basa-basi saja.  Za kata, OK.  Ok, makasih Za :D.  Big smile for my dear Za.

"Bang, ada hal nak tanya ni."  Suami masih belek Lenovo tab.  Aku diam.  Sabar.  Beberapa detik berlalu.  Tik tik tik ... tak pe sabar sabar.  Aku renung muka suami tak berkelip sambil terus sabar.  Agaknya dia perasan atau terasa betapa aku bersabar, suami menjauhkan lenovotab dari mukanya dan menoleh memandang aku.

"Hemm ... amende?"

Aku rasa bersemangat balik nak bertanya.  "Nak tanya abang ni.  Pape kan kita kena mesyuarat kan."  Berhenti tarik nafas.  "Abang rasa ayang ada bakat menulis ke?"

"Abang rasa kau ni perasan ada bakat!"  jawabnya selamba.

"Abang cakap la betul-betul!!! Ayang ni ada bakat ke?  Penting ni.  Tolong la jawab dengan jujur dan ikhlas."

"Yer la, kau ni PERASAN ADA BAKAT."

"Abang niii ..." Takkan nak paksa pulak.  Suara aku kendur je.  Sabar sabar.

 "Yer le, dua-dua ada.  Perasan ada bakat pun ada hahahaha..."  dia gelak.  Aku mula rasa suka.  Senyum juga.

"Abanggg.."  dengan suara lanjut.  "Perasan tu perasaan.  Bakat tu anugerah Allah, tau tak?" 

"Ok la tu..."

Hmm ... "Bang, kalau ayang nak tulis manuskrip kedua, boleh tak?"  Soalan ada maksud tersirat tu.  Kalau dapat izin, maknanya faham-faham la aku akan sibuk dengan manuskrip nanti ... err ye ke?  "Err ayang nak online balik dengan sifu, boleh tak?"  Dan aku pun bla bla bla ... menjelaskan apa yang aku nak buat.  Bersekali dengan sinopsis spontan yang tiba-tiba muncul dalam kepala semasa berdoa solat Maghrib tadi.  Ia mengalir seperti air tetapi macam biasa ending je. Sinopsis yang kurang lengkap.  Permulaan dan perjalanan cerita kena fikir sendiri.  Ending sudah ada.

"Tajuknya RUMAH PINK DI JALAN ABU, amacam? Ok tak?"

Suami tergelak.  "Rumah Pink di pinggir kota." Dia membetulkan.

"Ihh tak nak la.  Tu klise.  RUMAH PINK DI LORONG ABU  laa ... lain dari yang lain."  Entah apa yang lain?

Izin sudah diperolehi.  Sokongan sudah ada.  Tinggal tindakan sahaja untuk memulakannya.  Fikiran aku merayau mencari nama penerbitan yang mungkin berminat.  Yer je ...

Aku mencapai tablet.  Buka nota.  Dan mula menulis sinopsis ending.  "Endingnya touching, tapi funny sikit."  tadi aku beritahu suami begitu.  Tiba-tiba airmata bergenang.  Sendiri sudah touching.  Aku perlukan bantuan Sifu untuk menulisnya.  20 watak kau!  Pasti aku akan selitkan setiap nama.

"Ayang akan suruh setiap orang pilih satu nama untuk novel ni."  Tertanya-tanya sendiri, selain MAMA, siapakah watak utamanya?

Friday, August 29, 2014

Aku baru je duduk di depan laptop sambil lidah mencari saki-baki nasi di celah gigi.  Pagi ni sarapan nasi goreng rencah ayam dan bawang potong serta keratan cili kering.  Asyik dikisar je bahannya, kali ni kita potong-potong la pulak.  Telinga menangkap bunyi kereta tolak jingga kat luar.  Tentu khidmat buang sampah baru balik dari buang sampah.  Meh aku ingatkan depa supaya jangan lupa cuci tong sampah aku dan tonggengkan kat depan pintu. 

"Arghhh!!!" 

"Warghhhh!!!"

Aku terkejut badak.  Anak bongsu pun terkejut sama.  Kemudian dia terkekeh-kekeh ketawa.  Aku nak bukak pintu dari dalam, dia pulak nak tarik pintu dari luar, rupanya.  Aisyah bermata coklat hazel tersenyum-senyum tumpang semangkuk gelak kami hihihi ...

"Dah, pi basuh tong mama pastu tonggengkan kat sini," cepat-cepat aku bagi arahan.  Tutup pintu dan duduk balik di sini.

Pagi Jumaat yang nyaman, damai dan agak dingin.  Yeler, bangun pagi terus mandi sunat.  Mentari pula masih malu-malu belum lagi menebarkan sinar emasnya. 

Sebelum tu tadi, Mira memanggil mahu pulangkan mug.  Tadi dia dan Hani minta air panas untuk buat air sendiri.  Haihh mama lom habis makan kamu dah pulangkan?  tanya aku hairan. Dia tersenyum-senyum.  'Mesti kamu minum sekaligus ni eh?"

"Tak la mama, dorang minum sikit sorang.  Habis cepat la."

Sian ... kata aku simpati.  "Sorry la yer ..."   Mira angguk-angguk tanda faham.  Aku terpaksa beri syarat jika mahu meminjam mug atau  apa saja barangan dapur.  Mesti pulangkan segera.  Pengalaman membuktikan manusia mudah lupa dan kerap leka. Apabila ada keperluan terpaksa pulak bertanya, meminta atau mencari sendiri.

Duduk semula.  Hani pula beri salam dan memanggil dengan suara lemak manisnya.  Pulangkan mug lagi.  "Mama, nasik goreng tu tersedap mama buat.  Nanti mama buat lagi tau.  Ma.. erm erm ... ada lebih tak?"
Hani buat muka kesian. 

"Lebih apa pulak?"

"Nasi goreng lebih la mama ... untuk saya sorang je mama ..."

***

Aku mengekori suami menuju pintu bilik.  Tak banyak selipar yang ada.  Hati tertanya-tanya.
"Perempuan ada ke tak bang?"

Suami beri isyarat menyuruh aku menunggu.  Memerhatikan selipar yang tidak tersusun rapi, aku akhirnya terpandang sepasang kasut hitam milik wanita.  Alhamdulillah, ada juga orang perempuan.  Suami menjenguk keluar, "Ada sorang, pakai niqob jugak.  Masuk le .."

Aku pun masuk terus terpandang seorang perempuan berniqob nun di hujung bilik, jauh dari pintu dan tempat lelaki duduk.  Bersalaman dan berkenalan.  Dia sudah lama mengikuti majlis zikir, 2-3 tahun.  Bahkan sudah mengambil banyak ijazah amalan dari guru. 

"Kursus ikut ke?" tanya aku.

"Ye, semuanya."

"Bolehlah merawat ni .."

"Tidak juga.  Untuk sendiri boleh la.  Saya tak minat sangat nak buat betul-betul."  Hmm ...  "Tapi sekarang dah tak de kursus dah ... sudah bertukar keperluan dan kepentingan."  (Ayat edit).

Aku termenung sejenak.  Biarlah lambat asalkan dapat.  Dapat apa yang dihajati, semoga Allah memudahkan jalan ini menjadi highway 6 lorong untuk kami.  Aameeen. 

Setiap sesuatu adalah asbab.  Natijahnya Allah jua.  Kita sendiri menjadi asbab.  Rahsianya pada Allah semata.  Aku tidak mengerti ini semua tetapi yang pasti aku sedang menempuh suatu perjalanan, seperti orang lain juga.  Dan 'sesuatu yang tidak disangka, tidak dijangka, tidak diduga' selalu berlaku.

Semoga ada lagi keizinan Allah Yang Maha Pengasih untuk kami berdua menghadirkan diri pada malam ini.  Aameeen insyaAllah. 

Ya Allah, pilihlah kami dan kasihanilah kami.  Ya Allah yang Maha Pengasihani, pilihlah kami dan kasihanilah kami.  Ya Allah yang Maha Agung Maha Mengetahui Maha Kuasa, pilihlah kami dan kasihanilah kami.  Aaameen.  Ya Hayyu Ya Qayyum Ya Zaljalaliwal ikram, tolonglah sampaikan hajat kami ini. Aameeen.

* Ya Allah sembuhkan bondaku di kampung.  Hidayat seluruh alam ya Allah.  Semoga hati-hati yang pecah bersatu semula.  Tutupilah keaiban kami dan tukarkanlah keburukan kami dengan kebaikan.  Ampunilah dosa-dosa kami semua.  Ajal kian hampir.  Semoga ada kesempatan untuk saling bermaafan dan berkasih-sayang.  Semoga kembali dengan tenang, dan dibangkitkan lagi dengan siraman rahmat keampunanMu, bernaung di bawah payung cintaMu.  Aameen.

Thursday, August 28, 2014

Hujan lebat.  Tak sempat nak jenguk perangkap tikus belakang jamban pelajar yang dipesan suami bila tengok aku nak ke dapur, tiba-tiba dari bunyi titik-titik di bumbung zink dapur terus bunyi air dicurah dari langit.  Jom baca doa hujan.  Selawat dulu ..

Tengah tunggu kuah dalam kuali menggelegak.  Baru je masukkan bahan-bahan perasa dan sayur.  Sambil tu aku tulis blog la yer ..

Satu hari, suami balik dari kerja.  "Yang, cik ti kirim salam."

"Camana nak jawabnya tuh?" kata aku.  Tikus besar yang masuk perangkap selamat dihantar ke belakang bangunan pejabatnya.  "Abihlah stor econsave kat situ bang!"

Suami gelak kecil.  Takde la, dia masuk hutan kecik kat belakang tu je, jawab suami.

Sian ... kata aku pulak.  Harap-harap tikus tu takde anak kecik kat tetingkat aku tu.  Kalau tak, mati kering jawabnya.  Rasa belas tu masih ada.  Sebab tu aku tak bagi suami guna pelekat tikus atau perangkap yang terus bagi mati tu.  Buat macam mak, tangkap tikus or monyet pi hantar jauh-jauh. Kalau tak hantar, bela elok-elok bagi makan je.

Sudah lama haiwan perosak ni buat kerja kat dapur, khususnya kat tetingkat kuning biru besi.  Semasa mak menyelongkar barang dan kotak, asyik jumpa kesan dia je.  Tahi tikus dan bau hancing.  Arghhh!!!  I don't like you know!

Lepas susun balik dan buang kotak yang tercemar, lepas mak balik kampung, dan aku tinggal bersendirian di rumah, suami belum balik lagi, tiba-tiba ada benda jatuh atas lantai di dapur.  Aku pasang telinga je, entah apa la yang dah jatuh.  Pagi esoknya aku tengok loyang kuih jatuh atas lantai.  Ni takde lain mesti benda tu yang punya kerja!

Dua minggu lepas suami bawak balik sebotol cecair pati serai wangi.  Sudah aku bancuh dan spray kat tetingkat tu.  Kejap je nampak la dia berlari-lari anak di palang kayu masuk dalam atap.  Tapi lepas tu masih datang lagi, kata suami cari makan kat tetingkat tu.  Apa pun syukur dia tak kacau kampit-kampit beras untuk pelajar.

Tiba-tiba pintu terbuka.  Kepala anak bongsu terjongol.  Aku bangun dan kacau bihun dalam kuali.  Dah lembut boleh angkat.  Cuma nak kena rasa garam.  Cepat-cepat aku cakap kat anak bongsu, pi jumpa abah, abah nak cium. 

Ye ker?  tanya dia macam terkejut.  Status anak bongsu memang special.  Dah umur 9 tahun masih dimanjakan, sesuai la dengan kebongsuannya.  Kata mak, masih boleh buat main.  Angkut ke IJN buat teman.  Kalau tak de dia tak syok, kata mak.  Nanti atuk melongo tak de sapa nak disakat diusik. 

Anak bongsu terus menonong masuk jumpa abah dia.  Dah berapa hari abah tak jumpa agaknya, sibuk je.  Bila aku cerita sikit-sikit pasal anak dia, timbullah rasa rindu agaknya.  "Dah lama tak cium dia," kata suami malam tadi.

Sebenarnya, aku tak nak si bongsu ni duduk kat depan laptop aku hahaha ... Nanti dia sibuk nak baca apa yang aku tulis kat sini.  Aku memang tak gemar orang sibuk mengendeng nak baca apa yang aku tulis selagi tulisan aku belum sempurna siap.  Semua anak-anak aku dah tau tapi si bongsu ni suka buat tak faham.  Kalau dah post, lain citer.  Kalau masih lum siap, pantang ada yang nak cuba baca.  Padahal sama je citernya, cuma mungkin ada edit sikit-sikit.  Suka hati aku le ...

Wednesday, August 27, 2014

"Bang, ermm ermm jom ayang belanja makan nak?"

Suami aku yang dah membungkus diri di dalam toto yang dijadikan selimut sebab sejuk dek ekon senyum kambing.  "Okeh, lagi setengah jam yer.  Nak makan kat mana?"

"Teringin keow teow basah dua inggit tu la ..."  Perut aku serta-merta berbunyi.  Apasal asyik lapar je sehari dua ni.  Mengandung ke aku?  Teringin sangat nak mengandung gamaknya sampai perasan je lebih.

Tiba kat kedai, order pun dibuat.  Sambil tunggu tu perut pun menyanyi-nyanyi.  Sabar  sabar ... sat gi datanglah hidangan yang diidam. 

Akhirnya sampailah ia ke penghadapan mata.  Alamak, ini sudah salah.  Yang tiba ialah keow teow goreng, dengan kerang bergolek-golek dicelah taugeh yang putih melepak.  Terbantut sikit selera bersama kecewa.  Tapi sudukan juga ke mulut, "Allah bagi rezeki jenis goreng ni ..."  Sedap jugok la.

Suami order mee sup.  Macam biasa lepas makan separuh tukar-tukar pinggan pulak.  Suami tarik pinggan keow teow goreng aku dan tolak mangkuk mee kuning kat aku.  Lepas tu tukar balik. Kalau ada anak-anak, pinggan round keliling meja.  Masing-masing yang order lain je yang tukar-tukar.  Biasanya Hidayat dan Hanessa order nasi ayam, sama je.  Yang berdua ni punya kami jarang usik.  Nasi ayam dah biasa, lagipun kalau tak habis kami jugak yang kena tolong habiskan.  So tak payah usik, karang mesti beredar jugak pinggan berdua ni.

Suami bangun belek petai yang disangkut di pagar jaring kedai.  Dia ambil lima ikat dan letak kat meja. 
"Murah!"  bisik suami tersenyum lebar.  Kalau kat kampung mau RM20 macam ni.  Seikat kat Terachi pun dah RM5.  Tapi kali ni cuma RM2 sahaja seikat.  Suami rasa nak borong je.  Macam la gigi dia ok semua hahaha ...

"Sebenarnya tengahari tadi ayang dah terfikir dah nak beli petai.  Tak sangka dapat plak malam ni.  Alhamdulillah.."

Suami angguk-angguk.  "Nanti doa la, tahun depan dapat pakai Alphard plak ..."

InsyaAllah aameeen.

*sesaat lagi belum tau.  lebih baik aku tulis je apa aku nak tulis.  maaf le kalau ada yang melampau hehehe ... bab cita-cita, hasrat, impian, angan-angan mana ada sukatan.  sekatannya hanya kematian dan keinsafan. 

***

Pelajar bermasalah tu dah balik petang tadi dijemput ibunya yang sibuk memanjang dengan perniagaan.  Lega rasa, itulah aku agak dirasai oleh pelajar.  Mudirah pun lega agaknya. 

Biasanya seminggu pertama balik sini, dia pasti gerenti sakit.  Sama ada sakit dibuat-buat atau sakit betul-betul, aku cuak je.  Pelajar lain pun musykil. 

Paling pelik, time kelas je dia sakit.  So, dia akan direhatkan.  Habis je waktu kelas, dia akan sembuh semula.  Semua tu dah ada dalam poket kawan-kawan dia jugak.  Auta apakah itu?

Tadi, setelah dipujuk-pujuk supaya menjenguk dia, aku pun melangkah ala-ala gangster ke dalam rumah pink.  Suit formal masih tersarung, gambar bunga sekuntum di dada.  Kain ni tak lut dek air.  Mahal harganya, belas ringgit beli kat EonBig.  So kalau pakai apron ni, tak basah baju. 

"Uishh mama macam gangster je."

Eleh, kita kan gangster.  Macam tak tau plak ... Hani gelak besar.  Dia yang rajin berjalan macam tu.  Dan dia selalu kena tegur dek aku.  Tetiba aku pulak melangkah macam tu jugak.  Apakehal ... Entahlah sehari dua hari ni aku macam ni pulak.  Asyik angin je.  Nak kena jenguk budak bermasalah ni pulak haihh ...

Aku pun masuk dan bagi salam. 

Mula-mula jenguk bilik A.  Bersepah atas locker.  Jenguk bilik B  di mana pelajar tu sedang duduk bersandar atas bedding dia.  Bersepah juga.  Kedengaran suara memanggil pelajar masuk saf.  Aku tanya semua yang tercongok melihat aku, boleh solat ke tak ni?  Ada yang mengangguk, ada yang istihadoh.  Tapi masih tak bertelekung lagi.  Cepat je aku cari daging yang sedap nak dikutil.  Awatnya duk tunggu sini orang dah masuk saf kat depan, dah angkat takbir dah??? 

Aku ke depan, ada lagi yang tersengih-sengih dalam jubah hitam je.  Telekung tarak.  Lagi kena kutil.  Siti Mariam yang sedang duduk bersandar cepat-cepat bangun kelam-kabut pakai telekung.  Syuhada kakaknya tolong pakaikan.  Hmm ... ni mesti kes tak nak solat la ni! Syuhada beri alasan nak pujuk adiknya yang baru 6 tahun tu solat, dia pun tak pakai telekung sama.  Tapi kesian nak kutil, sebab dia comel sangat hehehe ...

Aku masuk bilik B semula.  Slow talk dengan pelajar bermasalah.  Dia tak pandang aku langsung.  Aku tanya lembut je.  Dia kejap geleng kejap angguk.

Sapa suh datang sini?  Mama tau kamu tak nak balik sini kan.  Mak suruh yer?  Mak paksa yer?  Angguk.

Nak ayah ... nak ayah ... tiba-tiba dia sebut macam tu.

Ayah kamu sibuk kan.  Macamana dia nak datang sini pulak.  Lagipun mana boleh dia masuk sini.  Dia meramas-ramas sesuatu macam tutup botol dengan jari menggigil.  Aku dapat rasakan tekanan yang sedang dia alami.  Parah macam ni.

Nak ayah ... nak ayah ... dia cakap lagi.

Aku sebut namanya.  Kalau kamu tak suka belajar di sini, kamu kena buktikan kesungguhan kamu kat mak kamu.  Jangan ulangi lagi kes lama.  Kamu faham kan.  Kita sama-sama tau hal tu.  Dia angguk. 

Aku sambung lagi.

Kalau kamu tunjukkan kesungguhan, lama-lama tentu mak kamu percaya.  Tapi kamu kena buat sungguh-sungguh la.  Jangan buat perangai tak elok lagi. 

Aku diam.  Masa ni pelajar yang habis solat menyerbu balik ke dalam bilik.  Sebelum aku diserbu soalan demi soalan pulak, aku bangun cepat-cepat nak keluar.  Sekurang-kurangnya aku dah bercakap dan dia dah dengar.  Semoga Allah bagi faham.  Aku dapat laporan dari kawan-kawan baik dia.  Memang kes agak berat.  Selebihnya mendatangkan ketidakselesaan dan menganggu pelajar yang benar-benar berminat nak belajar di sini.

Madrasah bukan tempat pemulihan akhlak.  Tolong jangan 'buang or campak' anak anda yang bermasalah ke madrasah dengan harapan tinggi anak akan jadi lebih berakhlak mulia.  Aku tengok mereka ni lebih mendatangkan gangguan kepada suasana madrasah je.  Ini berdasarkan pengalaman aku yang ciput ni la ... anak aku pun belum ada yang khatam, hampir khatam insyaAllah.  Selebihnya mengumpul cerita dari anak-anak jugak.

Nampaknya tak sempat nak mencecer panjang.  Suami sudah panggil dari bilik.  Lagi dua minit jam 12 malam. 


Nak goreng nasi sejuk yang tak habis dek pelajar semalam.  Biasa la bila time lauk ikan, nasi tak habis.  Tapi kalau daging atau ayam, nasi macam tak cukup walhal sama je sukatannya.  Pandai je dorang mengasingkan lauk-lauk yang aku masak.  Macam lauk ikan tu dorang kata lauk mujahadah.  Kalau nak mujahadah sangat mama masak sayur je, lagi mujahadah makan nasi dengan garam, kata aku.  So pagi ni sarapan nasi goreng insyaAllah.  Bahan penambah rasa perisa ialah hirisan daging ayam dan telur.  Aku rasa memang sedap, silap gaya dorang datang bagitahu nasi goreng tak cukup!!! Hehe .. InsyaAllah, Allah bagi sedap dan Allah juga bagi kenyang. Selepas talam pertama, memang dah kenyang.  Nak tambah tu sebagai pemuas nafsu makan je.  Walhal nikmat paling nikmat kali pertama je. Kedua apatah lagi ketiga dah pudar nikmatnya.  Ni ada jugak dalam ilmu ekonomi.  Belajar ekonomi kan ...

Okeh chef nak beraksi...  Lambat dah ni.  Pepagi dah update blog.  Azam lepas cuti raya nak tingkatkan mutu perkhidmatan.  Kata Ebit Liew, Allah pilih orang khidmat sebab Allah sayang.  Maka biarlah khidmat dengan sungguh-sungguh dan ikhlas hati.  Ya Allah berilah daku hati yang ikhlas dan kesungguhan melakukan ini semua.  Tiada daya dan kekuatan melainkan kekuatanMu semata.  Aameeen.

***

Selesai sudah urusan sarapan pagi yang enak.  Perencah daging ayam dan sawi.  Selepas menghembus ayat pengasih, selawat dan asma, aku picit loceng untuk panggil pelajar khidmat taam mengambil bekas makanan.  Ada ayat pengasih ye ... biasak la.  Tak salah pape kan kan .. Tapi takde la aku guna tiup kat orang.  Tak tiup pun orang jatuh kasih, camana tu?  Kih kih kih ..  Yang aku suka bab kasih dan sayang ni, ialah ia anugerah dari Allah jua.  Dan nikmat kasih sayang tu memang nikmat yang mengasyikkan.  Apatah lagi kasih sayang yang diredhoi Allah.  Antara suami isteri.  Antara ibu dan anak.  Antara guru dan pelajar.  Bukan kekasih gelap atau kekasih lama hehehe .. .  Semalam aku tengok video harimau melompat berdukung kat tuan dia, sebaik je pintu sangkarnya dibuka.  Terharu benar rasanya.  Mengalahkan budak kecik yang baru dapat kaki tapi masih menyusu kat ibu dia.  Punya la terkam terus berdukung, alahai ...

Teringat Putam.  Setiap kali aku lalu lorong kecik hala ke kedai tomyam tu, pasti mata aku melingas mencari bayang Putam.  Iyalah, last aku nampak dia berlenggang arah ke lorong tu, berbulan yang lepas.  Hati kata usah mengharap lagi.  Tapi mata tetap mencari.  Hai Putam Putam ... Kau datang tiba-tiba dan kau pergi pun tiba-tiba.  Takde isyarat tak de pesanan pun.  Sudah adat dunia, setiap pertemuan pasti ada perpisahan.

***

Sejak tu bila nampak je anak-anak kucing hitam putih macam Putam dekat kedai tu atau dekat area sekitar, hati aku kata hmm ni mesti anak Putam nih ... 

Anak Putam yang kat kampung pun lesap, namanya Tam.  Comel dan friendly macam bapak dia jugak.  Kalau aku balik, dialah penyambut tetamu yang pertama.  Mak menelefon mengabarkan Tam tak ada, selepas mak abah balik dari PD bercuti raya dengan kami.  Abah syak Tam naik kereta orang yang datang beraya kat rumah saudara sebelah.  Sebab Tam memang rajin naik kereta, dan bila ada tetamu datang dia pun masuk kereta macam nak mengikut je gayanya.  So kalau aku balik kampung, kena check kereta bila nak bergerak.  Karang jumpa la dia tercongok kat celah barang-barang.  Sekarang ni Pang tinggal jadi buah hati mak abah.  Kaki tempang dengkot, kucing gebu ni dapat status OKU sebab kaki kanan kena baham dek kucing ganas masa kecik dulu.  Berhabis duit mak hantar ke klinik haiwan mengubatkan Pang, akhirnya alhamdulillah sembuh tapi tempang dengot.  Nak lari lincah macam Tam tak boleh sangat.  Selebihnya dia duduk memerhatikan Tam naik atas bumbung ke ... 

Masa Tam kat sini, pernah dia tangkap tikus besar.  Mak masukkan kain baju dalam mesin baju, time nak menyidai tengok-tengok tikus dah kiok dalam celah baju.  Mungkin Tam dah tangkap tapi masa nak bawak turun dari bumbung terjatuh dari mulut terus masuk dalam mesin yang ternganga.  Esok paginya mak terus je putar mesin tu hahaha ...  Tapi Pang takde de ... setakat syok panjat pokok je main dengan Jingga ok la. 

Sakit perut pulak.  Ok nak siap, keluar ambik ayam kat lilbanin.  Aku tempah tiga ekor berbanding dengan lilbanin, so orang ayam tu tak nak hantar ke sini.  Terpaksa la pi jemput ayam kat sana.

***

Baru balik dari pantau pelajar kutip sampah yang berterabur dikais ayam kat tepi jalan sanun.  Hampeh betoi!  Orang luar yang lalu rajin campak sampah lepas tu terburai.  Aku pun sama kutip sambil mulut mencerabih marahkan pelajar.  Penyodok sampah dengan kereta tolak pun tak tau nak beza ke?  Lahir kat Malaysia bukan kat Kemboja.  Alasannya duduk dalam rumah je tak cukup belajar perbendaharaan kata.  Abih tengok tv hari-hari masa kat rumah tu?  Berjalan sampai utara selatan timur barat tu?  Ooo lain eh...

Aku snap gambar.  Sat gi nak share kat wassap grup madrasah.  Geram betul, tak reti baca tak mungkin.  Ini bukan masalah tak reti tapi tak faham bahasa.  Nak ambik mudah.  Tak berfungsi pun papan tanda 'jangan buang sampah di sini, hanya sampah madrasah sahaja.'  Sapa peduli, Tak ada sapa tau itu sampah aku ke sampah ngko ke sampah mereka ke ...  Tapi yang tukang kutip pakai tangan segala hampeh termasuk pampers anak, kotak kfc, mee berlendir, entah apa yang separuh hancur tu sapa?  Kalau tak kutip kang ada je yang datang komplen.  Sebenarnya jaki dan anti, madrasah yang bukan pro parti dominan area ni dapat tempat kat sini kan kan ...  Pandai je komplen tapi diam-diam hantar sampah kat situ!!! Tadi lalu sorang ni, muka sebik je.  Dia la kaki komplen yang tegar.  Pernah ketuk pintu rumah aku nak jumpa suami tapi time tu suami tak de.  Sampai gigil jadinya bukan takut tapi geram bengang.  Mujurlah suami ustazah ada di rumah dan dia melayan mulut tak de insuran tu dengan penuh kesabaran dan hikmah.  MasyaAllah. 

Kata Hani, orang tu pun pernah dia nampak buang sampah kat tempat sampah madrasah.  Apahal?  Ko komplen tapi ko pun buang sampah kat situ???

Lebih baik aku stop menulis.

Tuesday, August 26, 2014

Baru je bagi pelajar air koko sedap dan saki-baki kuih raya yang ada antaranya belum dibukak atau dah bukak tapi aku belum sempat rasa.  Ketua Pelajar datang minta kunci pagar.  Kemudian datang lagi beberapa orang menempel kat pintu.  Seorang berbisik-bisik.  Hilang suara.  Alasannya akibat tinggi suara semasa nak suruh pelajar tidur (Jorna tidur).  Alasan lain, ustazah baru dari Bangladesh suruh naikkan suara semasa mengaji.  Kalau tune menurun je, ustazah akan bagi isyarat tangan suruh kuat lagi suara.  Hmm betoi ka alasan depa ni ... lagi satu, ada yang suka mendedahkan badan kat panas terik.  Panas dalam la tu ... Udah dibagi air rebusan beras barli tanpa gula tetapi kesannya masih slow.

Aku suruh Syuhada yang comel kecik cute yang dibawa ke klinik semalam sebab sakit tekak dan rasa nak demam supaya bagi ubat kemam kat yang sakit tekak.  Okey, kata dia sambil duduk atas basikal.  So sweet this girl.

Tak lama lagi tarikh aku lahir akan berulang.  31 Ogos.  Itu tarikh lahir formal tapi tipu je.  Sebenarnya lain.  Kalau lain, tentulah lebih awal dari tu.  So berapa hb sebenarnya? Nak bagi hadiah ke?  Hehehe ... Nak bagi hadiah anytime je boleh kan ..  Ada ke yang berhajat nak bagi kat aku?  Yang pasti, mak dah bagi awal-awal lagi.  Dia bagi blender buah siap bungkus dengan pembalut hadiah.  Sebabnya aku blender buah epal bila diminum rasa pedas.  Apa taknya, pakai blender cili.  Pengisar jus buah aku yang dibeli khas kat Limbang semasa aku mengandungkan Naqib dulu selamat jahanam bila suami angkut ke kedai, selepas blender buah yang pekerja pakai rosak.  Rezeki Allah bagi, dapat lagi tapi kena rajin beli buah dan rajin pakai blender tu. Kalau tak, buat perhiasan je jawabnya.

So, aku tau ada insan-insan yang teringin sangat nak tau umur sebenar aku.  Sebab aku ni bila menulis kat chat macam muda je.  Bila berjumpa kali pertama pun orang ingat aku muda hujung 20an.  Itu setahun yang lepas le .. Suami pulak kalau memperkenalkan aku, dia akan cakap, 'ni bini muda saya'. Bila orang buat muka blur, dia kata memang la bini muda sebab dia muda lagi.  Walhal beza aku dengan dia setahun 4 bulan je.  Mungkin orang besar tinggi ditambah jambang dan raut wajah serius nampak jauh lebih matang dari usia, berbanding dengan aku yang kecik tak kecik tapi molek ni.

**
Sebenarnya ada rahsia kenapa wanita Muslimah lagi solehah disuruh memakai pakaian berwarna suram dan lebih afdol berwarna hitam.  Selain tidak menarik perhatian lelaki di luar sana yang ajnabi, warna-warna suram dan gelap ni juga melindungi wanita dari kejahatan mistik yang tidak dapat dikesan dan dilihat dek mata.  Aura negatif yang boleh memudaratkan. 

Semalam ketika ke EONBig bersendirian sebab terpaksa menukar saiz pakaian yang dibeli kelmarinnya, aku mengekori seorang wanita yang juga berseorangan.  Mulanya aku tertarik melihat cara dia memegang tas tangan berwarna hitam tangkai keemasan.  Selamba rileks je dia pegang di hujung jari tangan kanannya.  Kalau kena rembat senang-senang je ni, fikir aku.  Semoga dia selamat, aameeen.  Kemudian dek kerana dia dah di depan aku, maka mudah je aku membelek dirinya dari atas ke bawah.  Tudung tak labuh sangat berwarna merah maroon.  Tak matching dengan maxi labuh berwarna biru abstrak yang membaluti tubuhnya yang agak gempal.  Yang indahnya, bila dia bergerak (berjalan) nampaklah alunan mengikut rentak kakinya dipandang dari belakang.  Wanita memang dijadikan indah oleh Allah.  Aku pun suka melihatnya.  Pakaiannya masih agak longgar tetapi warna biru berlorek-lorek agak abstrak itu tidak dapat menyembunyikan keindahan dirinya.  Aku yakin andai dia memakai pakaian lebih suram dan gelap, aku pun malas nak membelek sebab tak menarik, dan lenggoknya pun tak kenampakan ketara.  Maka selamatlah dia dari jamuan mata makhluk yang suka memandang sampai dia selamat masuk rumah.  Setakat memandang ok lagi kan.  Ada pulak yang menempel tanpa pengetahuan camana ...  Wallahua'lam.

TBC ~ to be continued ...






Monday, August 25, 2014

Hujan lagi.  Lebat juga.  Aku ternampak dari celah dua pintu dapur atas bawah yang renggang kelibat seseorang.  Mesti main hujan nih!  Aku pun bukak pintu atas dan sergah.  Anak aku rupanya sedang main basikal dalam hujan.  Haihh budak ni!

Bila aku jerit suruh masuk, dia jawab dia  nak mandi.  Aku cakap, pi la mandi dalam bilik air.  Yang main hujan sesorang buat apa?  Karang ada pulak yang join sama, sebab teringin.  Anak mama main hujan, kami pun nak main jugak.  Tapi masa ni semua ada kat dalam tengah mengadap sarapan, mungkin tak perasan seorang dah leka main basikal dalam hujan.

Aku jenguk rebusan kacang dal yang membuak-buak.  Kecilkan api dapur, kacau sikit dan biarkan senduk di dalam periuk.  Rebusan daging masih belum menggelegak.  Aku duduk balik depan laptop.  Hati menyuruh kopek kentang, tapi aku fikir tak mengapalah masih awal lagi.  Daging pun belum empuk.  Aku nak baca blog Darul jap.  Kemudian berpindah ke blog sendiri. 

Tiba-tiba terdengar jeritan suka si bongsu lagi.  Ini sudah lebih!  Kan ke aku suruh dia masuk tadi.  Aku  pun bangun dan menuju ke pintu sekali lagi.  Sambil tu jeling gelegar kayu yang semalamnya kemain bocor sampai becak lantai dapur, menitis ke dalam kuali yang sedang dijerang.  Sampai penuh kuali tu akhirnya dengan titisan air hujan.  Hmmm alhamdulillah, macam tak ada apa-apa pulak.  Jadi, ada benarnya teori suami ketika aku tekankan betapa dia kena segera buat sesuatu kat bumbung zink tu.

Semalam ketua pelajar dan beberapa orang lagi bergilir memanjat tangga biru aku, mengait kain baju tudung seluar bagai yang dicampakkan dek Huril ke atas bumbung semasa cuti hari raya tempohari.  Teori mak aku la tu!  Dia menghabiskan hampir seharian mengemas dapur maka di hari yang panas terik terasalah bahang duduk di dapur yang beratap rendah dan berdinding semuanya zink.  Dah tujuannya untuk sementara sahaja kan di samping nak jimat kos yang akhirnya tetapi sekali ganda dari kos yang ditetapkan oleh mudir.  Memang tak boleh ikut bugdet beliau, memang lebih dari budget sebagaimana target suami aku.  

Maka mak usul lagi cadangan menyejukkan dapur dengan kaedah mudah penyejukan dari atas.  "Pi baling kain baju tak pakai ni kat atas bumbung.  Nak bagi orang pun orang tak nak ni.  Nanti sembur dengan air paip.  Sejuklah nanti dapur ni."  Walhal kain baju tu elok-elok belaka tetapi ada yang tak muat, ada yang sentimental macam sepasang baju Naqib umur setahun yang aku tempah di Brunei, tudung yang sekarang aku dah tak pakai sebab tu jenis lipat dan pin.  Maka Huril pun melempar satu persatu sampai habis dua kotak.  Banyaknya baju ni baru aku perasan selepas pelajar mencampakkan balik ke atas lantai simen.  Bersepah sepanjang tepi longkang kecil, penat aku mengutip dan masuk mesin basuh.  Nanti buat kain lap pakai buang.  

Maka betullah teori suami.  Puncanya aku juga yang bertanya hairan.  Apasal atap zink  ni menurut ke bawah tapi air boleh keluar dari celahan zink yang menurun tu?  Sepatutnya air tu terus turun jatuh ke longkang?  

Jawab suami, "Mak hang la tu!  Perasan bila air tiris ni jadi teruk?  Lepas mak suh baling kain atas atap kan?  Bila ada kain, air tersekat nak turun laju.  Kalau hujan lebat air yang dah tersekat tu melimpah balik masuk dalam rumah. Tu je citernya." 

Mak aku jugak yang punya salah ... haihh.  Mak mertua dia jugak la.

Aku bukak pintu.   Aikk!!! Ada tiga budak kecik (yang paling muda dipanggil budak kecik) berada di luar rumah pink.  Seorang tentulah anak aku di atas basikal dengan belon kuning di mulut.  Seorang lagi tengah tercangak-cangak dalam hujan pun dengan belon hijau di mulutnya.  Seorang di kaki lima tengah termenung peluk belon buncit berisi air, merenung air longkang yang laju mengalir.  Agaknya tengah menimbang-nimbang, nak main hujan ke apa ni ...   Tiba-tiba muncul Nurul Ain tersengih-sengih main sepak bola putih anak ustazah. 

"AINNN!!!"

"Ye mama hehe hehe ..."  Senyum terkulum sambil menyepak-nyepak bola putih. 

"Sekarang ni time apa?"

"Time makan mama.."

"Abih tu napa tak pegi makan?  Kamu tak puasa kan?"

"Dah abih makan mama ..."

Ada je jawabnya.  "Ok mama bagi lima minit lepas tu masuk."

Lima minit kat mulut aku je.  Bukan aku kira pun seminit dua minit tiga minit.  Aku pun sambung balik tulisan di blog.  Sat gi aku bangun la jenguk kat pintu.  Kalau ada lagi siap la.  Hujan makin lebat tetapi tiada guruh kilat.  Kalau mandi hujan memang best.  Tapi aku tak suka main hujan.  Sejuk!  Anak aku suka main hujan.  Suami aku suka ambik kesempatan cuci longkang time hujan.  Mak aku pun sama.  Aku je tidak.  Lebih baik ngorok hehehe ...

Ok ruang luar sudah sepi.  Masing-masing mungkin sedang mandi.  Hujan kian lebat.  Aku pecahkan dua biji telur yang direndam air panas tadi, curah bijian hitam sedikit dan kicap manis sedikit.  Nak letak madu lebah tapi madu tu dah macam nak habis.  Lagipun pagi tadi sebaik bangun tidur dah minum air madu.  Alhamdulillah hangat sedikit rasa perut menelan kuning telur yang bulat cantik.  Arwah abah ajar makan telur separuh masak tak perlu dikacau macam separuh orang buat.  Diaduk putih dan kuningnya baru ditelan.  Arwah abah suruh je aku telan bulat-bulat sekali dengan putihnya.  Ok je.  Tiada rasa dan bau hanyir.

Aku perhatikan titisan hujan yang menitis laju di pintu lagi satu hala ke belakang rumah.  Di situ memang sangat tiris, cuma tidak dikesahkan kerana tidak efek apa-apa.  Cuma kalau hujan, kena selamatkan tong sampah yang biasa diletakkan di situ supaya tak penuh dengan air hujan.  Suami baru mengabarkan pagi semalam semasa bersarapan, rombakan dan baik pulih sepenuhnya akan dijalankan secepat mungkin sebaik sahaja plan disiapkan dan dipersetujui semua pihak terlibat.  Kami akan berpindah ke tempat lain yang sesuai mungkin mencecah masa setahun.  Bangunan baru akan dibina dan rumah pink akan dipecahkan bilik-biliknya supaya menjadi lapang khusus untuk kelas pengajian. 

Pantas je aku mengabarkan kehendak aku pada suami.  Dia angkat-angkat kening saja.  Biasanya apabila aku mahu, aku akan dapat.  Kalau aku tak nak, memang itulah maksud aku.  Aku rasa suami sudah faham cuma sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita masih perlu memikirkan dan menimbangkan keadaan mahupun perasaan insan lain di sekeliling.  Apa yang penting, kehendak sudah disampaikan.  Sudah terakam dek diri dan alam.  Hanya perlu melangkah macam biasa.

Allah izin pasti terjadi dan sebaliknya.  Semua dengan kehendak Allah jua.

*  Berilah nasihat berkadar dengan apa yang kamu perbuat.  Itu lebih afdal.  Walaupun tak perlu jadi sempurna baik, tetapi tidaklah jadi ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.  Contohnya nasihat menjaga aib sendiri, sedangkan yang beri nasihat dengan sesuatu maksud mahu pula membukakan aib orang.  Aku tak faham sangat sikap macam ni.  Ada pula unsur-unsur ugutan.  Nak buat tu biarlah kena pada tempatnya, biar mendalam kesannya.  Tapi kena ingat, penyudah segala nikmat penamat segala bejat apa dia?  Sakaratul maut. 

Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum, selamatkan daku dari fitnah akhir zaman yang menyusup halus lebih seni dari atom.  Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuatanMu semata.  Tolonglah kami semua.  Hidayat seluruh alam, ya Allah.  Aammeen.

Saturday, August 23, 2014

Mengantuk kekenyangan. Usai berdoa solat Isyak, tersengguk. Aku merebahkan badan bagai hilang daya benar langsung belayar ke alam mimpi.  Tiba-tiba dikejutkan si bongsu yang mengunjukkan dua ketul peha ayam kfc. Dalam agak mamai aku pun mengunyah peha ayam perisa spicy. Seketul lagi dibawanya kepada abahnya yang melepak di depan tv.  Lepas makan kena bangun la pulak untuk cuci tangan di sinki.  Kemudian aku yang masih bertelekung ambik tafsir quran milik Hidayat, baca surah Yassiin.


Sambil pejam-pejam mata, sampai habis dan berdoa, mata mengantuk balik. Alahai mata...cuaca sejukkah asbabnya? Atau penangan kenyang makan open house tok belagak siang tadi masih belum hadam prosesnya... Orang Virgo macam aku khabarnya memang slow kadar metabolismanya. Kenyang lama dan awet muda. Wallahua'lam.


Aku rebahkan badan semula. Belayar lagi di alam rahsia.  Tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara memberi salam. Terpisat-pisat, aku jeling ke arah jam loceng di bendul dinding.  Ohh, hampir jam 11 pm. Tentu ketua pelajar tu, minta anak kunci nak kunci pagar.


Aku bangun menuju dapur sambil memeluk tafsir quran di dada. Unjuk anak kunci dan tunggu gadis tinggi lampai tu berlari ke pagar.  Kemudian dia berlari semula ke tempat aku tercegat menanti.  Tiba-tiba dia bersuara, "Mama, adik saya dah melampau la mama.."

"Napa, dia merempan lagi ke?"

Dia diam. Fahamlah aku apa yang terjadi.  "Sabarlah, dia dah memang macam tu nak wat camna. Mama rasa dia tak dapat kawal diri tu."

"Masalahnya dia tak hormat saya sebagai kakak. Nasihat saya langsung dia tak terima."  Airmata bergenang di tubir.  Setitis dua mengalir di pipi.  Dalam samar aku nampak kilauan yang jatuh.

Entah bagaimana terlintas sesuatu di fikiran.  "Hmm doakan mama dapat belajar lagi, nanti mama ubatkan adik kamu yer..." Aku berkata sambil tersenyum-senyum sendiri.  Melihat dia masih sugul, aku berikan pujukan.  "Sabarlah, apapun dia buat dia tetap darah daging kamu. Hadiahkan Al Fatihah banyak-banyak kat dia yer.."  Biasanya memang itulah saranan yang suka aku berikan kepada sesiapa yang datang mengadu.  Dia angguk-angguk perlahan.


Semoga Allah campakkan ketenangan ke dalam hatinya, aameeen. Hilang sebentar rasa mengantuk.  Aku sambung bacaan surah Al Waqiah dan Al Mulk.  Di hujung-hujung surah Al Waqiah, mata aku berat balik. Doa pendek sesudah surah kaya ni gagal aku habiskan dengan sempurna.  Aku menggelongsor baring dengan tafsir di dada, masih bertelekung.  Aduhai, lemahnya diri.


Baru sekelap, tiba-tiba ada ucapan salam lagi.  Adoiiii....apa lagi la dorang nih???  Ketua pelajar minta kunci pagar, adik ustazah aka anak bongsu mudir nak masuk pulak.  Agaknya dia pergi rumah ustazah kot.  Jam tepat pukul 11pm.


Haihhh ya Allah! Memang kena sabar betul nak khidmat madrasah ni.  Aku kunci mulut.  Kesian kat ketua pelajar.  Tentu dia pun nak tidur juga, dan dia pun tak nak ganggu aku tetapi terpaksa sebab nak bukak pagar untuk anak mudir masuk.  Maka aku pun bersabar sajalah.  Timbul fikiran yang menguatkan lagi alasan aku untuk mencari ilmu dambaan.  Diri perlu berisi ilmu bukan berisi lemak daging semata, bukan harapkan berani melulu macam stail aku selama ni, bukan tawakkal membabi buta semata.  Bukan senang rupanya nak membantu mencurahkan khidmat di sini.  Memang mereka ni dalam kategori jihad fisabilillah dan tentulah pilihan Allah yang meletakkan aku di samping mereka.


Hati nak kena seikhlas mungkin kerana Allah semata-mata. Penat, geram, bengang, malas, semua tolak tepi.  Biarlah Allah yang beri ganjarannya.  Ya Allah, berilah daku faham dan kekuatan untuk terus berada di sini.  Tak faham pun tak pe la, tapi berilah daku sabar dan ikhlas hati.  Aku mengharapkan redhoMu.  Andai ini asbab aku beroleh radhoMu, maka aku pun redho jua.  Hikmahnya hanya Engkau maha tahu.  Ini semua adalah satu simpang kecil dalam perjalananku menujuMu. Izinkan daku mendekatiMu dan mengenalMu. Selamatkan daku dari sikap bangang dan orang yang bangang.  Selamatkan daku dari terjerumus ke dalam golongan bangang dan sealiran dengannya.  Masukkanlah daku ke dalam golongan cerdik pandai yang beroleh pandangan rahmatMu di sini hingga akhirat.


*aku belajar istiqamah membaiki sangkaan tetapi kadang-kadang firasat hati menghalang aku meneruskannya.
Aku memerhatikan air dari alang kayu yang menitis ke dalam kuali.  Bunyi titisan hujan yang teramat lebat menguasai pendengaran.  Qasidah Habib Syech terlalu sayup walaupun speaker hanya di belakangku.  Tiris air sudah merebak hingga ke kabinet yang dipenuhi balang kopi uncang, kettle elektrik, blender dan garam bagai.  Ah, rupa-rupanya para dua tingkat juga ditimpa hujan tiris.  Tirai jingga yang baru aku pasang semasa mak ada di sini minggu lepas sudah mula lencun menitik ke bawah.  Di bawahnya ada dua beg beras cap Jasmine Super dengan aksi macho Jalaluddin Hasan.  Oh, kotak di para teratas uga sudah ditimpa titisan hujan.

Reda sedikit rasa menyampah dan bengang.  Haihh asyik bengang je kan.  Menyampah bengang benci kepada sikap manusia bangang yang ada akal tapi akalnya senteng.  Ada ilmu tetapi ilmunya menjadikan ia angkuh dan ego.  Dia je yang betul, orang lain salah.  Tetapi nak menyalahkan orang pun tak guna.  Maka aku menyalahkan diri sendiri sahaja.  Memang salah aku sebab memberi ruang dan melayan orang sebegini.  Ada nasihat aku ketepikan.  Bahananya pun datang.  Ragam orang seperti aku.  Sudah terkena baru serik.  Selagi tak terkena, aku redah sahaja.  Macam la masa kecik dulu seronok sangat tengok api ubat nyamuk lingkar, selagi tak dapat mengamuk nak main.  Bila dah terjerit merasa panas baranya, baru faham kenapa mak tak bagi pegang ...

Kasihan kepada diri.  Entah apa hikmahnya titisan hujan yang sedang laju jatuh dari alang kayu.  Sudah aku khabarkan kepada sang suami.  Tetapi belum lagi tindakan diambil.  Sibuk memanjang.  Dari tempat aku duduk, nampak kuali besar bekas menggoreng bihun tadi sudah penuh dengan air hujan, hampir melimpah.  

Keadaan ini masih sangat baik buatku, dibandingkan dengan para gelandangan yang tiada atap untuk melindungi mereka dari hujan dan panas.  Tiada dinding untuk menghalang angin yang bertiup.  Tiada hamparan untuk merebahkan badan.  Semoga ada hidayat Allah untuk mereka, membawa menyusuri jalan yang diredhaiNya. 

Stop.  Tot tot tot bunyi alarm CRV.  Suami balik dari open house.  TBC.


Friday, August 22, 2014

Semalam bagitahu suami 'ada benda nak cakap' menerusi Whats App.  Dan dan dia terus call aku.  Macam saspen je dia.  Bila aku khabarkan hajat di hati, dia cuma tanya, 'Itu je nak cakap? hmmmmmmm...'.  Sempoi je jawapan dia.  Mungkin dalam kepala dia mengagak begitu punya penting 'benda' yang nak aku sampaikan.  Memang penting pada aku, tapi pada dia ... entah.  Sedangkan aku punyalah mengharap, tetapi tak mengapa.  Paling penting sudah aku sampaikan bunga-bunganya.

Tadi, semasa menemani dia bersarapan, aku sebut lagi hajat besar aku tu.  Sudah faham perangainya, aku tak sebut lebih dari sekali.  Aku bercakap dan buat tak tahu sahaja.  Tetapi dalam pada tu aku membelek respon dia.  Belum ada rezeki lagi.  Dia bukak cerita lain pulak.  Tak lama lepas tu dia minta diri nak keluar menyelesaikan urusan hari ni.

Tak mengapalah.  Belum lagi tu ...  Apa pun aku minta semua pada Allah jua.  Suami ni asbab untuk Allah sampaikan hajat.

Besar benar ke hajat aku kali ni?

Ya, pada aku begitulah.  Ia impian aku sekian lama.  Allah yang mengizinkan dan Dia jua yang memudahkan.  Apabila sampai masa dan taqdir berlaku, ia pasti berlaku.  Jika tidak, pasti ada hikmahnya.  Aku akan mulakan sendiri.  Kerana Allah maha kuasa makhluk tiada kuasa.  Jika tidak, semoga Allah pilih anak cucu keturunanku untuk hal yang menjadi dambaan ini.  InsyaAllah aameeen.

Biasanya orang lelaki yang berminat.  Dan orang perempuan lebih kepada emosi dan nak cepat je mencapai hajat.  Tetapi aku risaukan masa yang berlalu. Suami aku rileks je.  Makin membuatkan ketidaksabaran memuncak tinggi hingga ke langit ke tujuh rasanya.  Tetapi ... tetapi ... mesti mau sabar juga.  Bukan ke hendakkan sesuatu tangkalnya ialah kesabaran dan sahsiah?

Semoga Allah mudahkan urusan kita semua dan mengabulkan doa kita, aameeen.

Thursday, August 21, 2014

"Mama..mama..Ustazah panggil.  Ustazah baru tu dah datang.  Nak mintak tolong translate."  Tiba-tiba anak bongsu menggoyang-goyangkan bahuku.  Aku yang sedang terbaring di dalam telekung mengetik tasbih semula.  Kelopak mata yang masih berat tertutup perlahan.  "Tapi ustazah kata kalau mama tidur, tak pe la..."  sambung si bongsu lalu beredar.  Aku berhijrah semula ke alam mimpi.

Itu kisah selepas Zuhor semalam.

Aku tau ustazah baru dari Bangladesh sudah berada di madrasah.  Suaminya yang mengabarkan ketika aku membuat tuntutan pembayaran barangan di pejabat madrasah semalam.  Tetapi aku terlupa itu semua ketika si bongsu tiba-tiba mengejutkan aku dari tidur.

Ketika pelajar khidmat taam datang mengambil makanan sahur pagi tadi, tak semena-mena pintu diketuk beberapa kali dari luar.  Aku dan Nurul Ain berpandangan.  Kes sesuatu tanpa jasad mengetuk pintu pernah berlaku.  Hanya bunyi ketukan tetapi orangnya tiada.

'Takkan pagi-pagi buta pun nak ketuk jugak... salah time nih.' desis hatiku. 'Dah nak subuh kejap lagi.'

Tiba-tiba ketukan berbunyi lagi, lebih kuat dari tadi.  Serta-merta aku nampak bayangan tak jelas di celah dinding yang renggang seperti memerhatikan kami yang masih tercegat, tenang-tenang saja.  Seorang pelajar keluar dari dalam madrasah meninjau di celah dinding yang renggang selebar sejengkal.

"Sapa pulak tuh?" soal aku.  "Nah ambik kunci ni bukak mangga pintu tapi jangan bukak pintu dulu."  Nurul Ain berlari ke pintu pagar dan membuka mangga kunci.

"Mama, ustazah baru dah datang!" jerit pelajar yang meninjau di celah dinding yang renggang.

Ohh ... ahlia Maulana yang baru bernikah tu rupanya.  Pasangan pengantin ni baru tiba kelmarin dari Bangladesh.  Maulana Qayyum sudah beberapa tahun mengajar dan telah pun bernikah pada 3 Syawal lepas.  Ahlia beliau juga hafizah dan akan mengajar di Lil Banat.  Inilah ustazah yang sepatutnya aku temui petang semalam, atas arahan mudirah.

Selepas selesai semua urusan sarapan pagi, aku pun pergi ke pejabat untuk berkenalan dengan ustazah baru ni.  Dari jauh dalam samar cahaya lampu pagi tadi, nampak tinggi lampai orangnya.  Semakin aku menapak mendekati pintu pejabat yang terbuka, semakin jelas aku melihat perempuan berpakaian serba hitam sedang bercakap di telefon.  Akhirnya aku berdiri di ambang pintu.  Dia serta-merta menoleh dan menyudahkan percakapannya.  Dia bangun dan kami bersalam cium pipi.  Alahai, kecil molek benar orangnya.  Seorang gadis muda yang baru sahaja bergelar isteri.  Aku agak beza usianya dengan maulana sekitar 10 tahun.  Membandingkan dirinya dengan puteriku si bidadari, seperti jari kelengkeng dengan jari hantu.  Andai si bongsu pula yang berdiri di samping gadis ini, tinggi mereka lebih kurang sahaja rasanya.

Berkenalan lebih kurang, aku mohon diri.  Dia tidak mahu bersarapan.  Pagi ini ada ibu pelajar yang muncul tiba-tiba membawa mee sup dan sedikit kuih-muih.  Memang jauh benar dengan selera orang Bangladesh yang sukakan masakan kari yang hangat pedas.  Aku sudah bercadang nak masak kari ayam esok.  Mungkin dia sudi menjamah.

Sebelum berlalu pergi, dia memandang aku dan tangannya memegang pipiku.  Entah apa dia nak cakap, aku tak tau.  Sebab dia kurang mahir Bahasa Inggeris.  Kata maulana, dia sudah mengajar sedikit-sedikit Bahasa Melayu kepada isterinya, dan selebihnya "akak tolong la yer..."  Itulah katanya semalam.  Aku pun pegang pipinya pula dan ucapkan ,"Beautiful!"  Ustazah baru yang comel ini tersenyum mendengarnya.

* ya Allah, mudahkanlah urusan kami.  Baikilah urusan kami dan kasihanilah kami, ampunilah kami dan terimalah kami.  Ya Allah, hanya kepadaMu tempat kami mengadu dan berserah diri.  Aameeen.


Wednesday, August 20, 2014

Mak dah balik.  Semoga mak abah sentiasa dalam pemeliharaan dan hidayat Allah, aameeen.

Lelaki tengah berkemeja warna coklat mencampakkan segumpal not biru ke hadapan suami.  "Nah, infaq untuk madrasah."  Lelaki itu tersenyum-senyum manakala suami seperti tersentak.  Aku memandang senario dengan mata separuh.  Mak abah seperti terkejut.

"Lima," sambung lelaki tegap dan agak rendang itu.  Lelaki lebih muda di sisi kanannya dan seorang lagi yang berdahi luas tetapi pendiam tersenyum sama.  Mereka ini semuanya mengendong gumpalan not di dalam beg sandang seperti membawa barang tidak bernilai.  Selain itu ada lagi harta yang selamanya bernilai tinggi diangkut sama.  Haihh .... inilah pertama kali aku melihat wang bergumpal-gumpal dan dicampak-campak sahaja begini.

Suami tertunduk, dia terharu.  "Subhanallah!!"  ucapnya berkali-kali.  "Ini saksikan, saya akan beli penapis air panas sejuk tu untuk madrasah."  Sambil itu suami memandang aku, seolah-olah memberitahu aku 'ok abang akan carikan penapis yang Ayang nak tu ... duit ni akan abang belikan kehendakmu.'

Sejurus sebelum itu, lelaki lebih muda itu turut menghulur secekak not ungu kepada suami.  "Ini ada seseorang yang infaq, bang.  Gunakanlah untuk keperluan madrasah."  Jumlahnya RM2k.  Aku sudah lama menyatakan keperluan dua kipas dinding untuk membantu mengurangkan hangat di ruang belajar pelajar. Nampaknya sudah sampai masa Allah memudahkan urusan ini.  Dalam kepala terus ligat berfikir keperluan lainnya, tetapi gelap sahaja yang ada. 

Tadi, semasa membeli barang di pasaraya, aku teringat seorang wanita yang sudah pernah menghantar makanan kering sebagai infaq beliau sekeluarga.  Alhamdulillah, cuma aku yang tidak ada kesempatan lagi untuk menyenaraikan barang yang diperlukan. 

Benar, jangan tak percaya, aku sibuk ikram mak sepanjang mak kat sini.  Semenjak Jumaat kelmarin, malamnya bawa mak abah ke Dataran Merdeka untuk menyertai selawat Cinta Rasul.  Kami duduk nun jauh dari skrin sehingga aku rasa hambar dan tidak feel.  Mengikut selawat dan qasidah sorang-sorang, dan dengar suara sendiri.  Mak lebih selesa bersila dan berlunjur, jauh dari kelompok yang dekat dengan pentas.  Abah pula mencari selesa sendiri dengan kerusi lipatnya. 

Malam tadi masih ikram mak bawa ziarah ke rumah bapa saudara di Shah Alam.  Alhamdulillah, setahun sekali bersua dapat jua merapatkan silaturrahim. 

Dah kembali bersendirian, aku memiliki masa sendiri.  Kembali melayan kerenah pelajar yang bermacam ragam. 

*  Beli aiskrim untuk tiga pelajar (termasuk ketua pelajar) yang kena marah semalam petang.  "Mama minta maaf sebab marah sangat.  Mama tau la tom yam daging yang mama masak tu sedap banget, tetapi agak-agak la kot ye pun korang nak kasi perabih.  Kawan yang puasa nak makan apa?"   Itulah ceritanya.  Rasa kesal dan kasihan timbul, selepas aku pulak kena tegur dengan mak.  Haihhh ...  So mak tak boleh la kata aku asyik melayan dan memanjakan pelajar.  Ada kalanya aku marah juga.  Tetapi mereka yang mendapat tarbiyah Kalamullah memang selalu luar biasa. I love them.

Tuesday, August 19, 2014


Aku nak menulis, tetapi kegiatan mak menghalang.  Mak asyik berkemas dan berkemas.  Ada saja yang nak dikemaskan mak.  Aku jadi segan duduk menghadap laptop.  Nak pegang lenovo pun segan, tetapi dek kerana lenovo ni kecik sedikit dan tak hanging maka cepat dapat menyelesaikan rujukan aku.  Rujukan?  Haah la ... merujuk wassap dan fesbuk.  :P

Untuk mengawal pusingan maklumat basi, aku harus quit dari group tetapi ia agak sukar kerana ada kepentingan tertentu pula. 

Demikian juga di fesbuk. Di sini lebih mudah tetapi leceh kerana untuk unfollowing people, kena buat satu persatu.  Tetapi aku boleh pilih tanpa ada rasa kepentingan tergugat. 

Jumpa lagi.

Friday, August 15, 2014

Semalam hingga aku terlelap, asyik memikirkan dan menduga-duga.  Apa akan jadi andai aku uninstall semua laman sosial yang aku sertai?

Macam ok.  Tapi, macam tak ok juga.

Maka aku teringat seorang kakakku yang enggan berWhats App.  Lantas teringat pula kepada Sifu Az yang jarang sangat muncul di laman sosial.  Sekarang aku teringat pula seorang penulis novel seram yang aktif tetapi dia juga memberi masa kepada dirinya untuk 'berehat' dari laman sosial, dengan alasan mahu menyudahkan karya.

Aku pula masih menimbang-nimbang.

Aku pun delete and exit group.  Mula-mula sekali grup ibubapa/penjaga madrasah.  Di situ aku hanya pembaca senyap sahaja.  Amat jarang berkongsi apa-apa.  Kemudian grup keluarga ipar pula.  Di sana, hanya aku yang ganjil sebab semuanya adalah adik-beradik suami.  Biras yang lain tak ada.  Cuma sebentar isteri adik ipar yang menjadi admin menyampuk, itupun dia guna hp suaminya.  Apa yang aku buat di sana?  Ada gambar menarik yang mereka muatnaik, aku edit letak dialog lawak.  Dan selalunya aku share maklumat yang pada aku mesti disebarkan cepat kepada mereka.  Yang bermanfaat mesti dikongsikan untuk kebaikan bersama.  Ketiadaan aku dalam grup ni tak efek apa-apa rasanya, cuma aku akan ketinggalan berita keluarga.  Tak efek juga, aku akan tahu dari suami pula.

Seterusnya grup-grup lain, seperti grup masturat, wasturoh, lil banat (aku adminnya), sweet sablings (sbg admin jugak) dan bubar broadcasting list (dah bubar, buat balik iskk).

Bertenang sahaja di fesbuk.  Laman sosial lain tak perlu jenguk.  Maka aku pun merenung yoga Lenovo ini.  Ia jenis 8 inci dan aku jarang typo menggunakan ia.  Mata pun agak selesa sebab tulisan jelas.  Mengenangkan lawaknya apabila aku melekapkan ia di telinga untuk bercakap di talian.  (Aku ada Samsung biasa khas untuk panggilan telefon).  Nak menulis blog di sini, aku perlu masa untuk rasa enjoy.  Juga masa yang memadai, contohnya ketika menunggu giliran membayar bil atau tunggu nombor naik untuk bertemu dresser di klinik kerajaan.  Tetapi itu sudah lama aku tidak lakukan.

Tambahan pula, aku rasa silu malu tup tap tup tap menulis dengan gaya tersendiri di meja restoran sementara menunggu hidangan tiba.  Besarnya dan penuh gaya!  Walhal itu hanya perasan semata.

Tiada daya dan kekuatan melainkan daya kekuatan Allah Taala.
Ya Allah, berilah daku kekuatan untuk melepaskan diri daripada ikatan tanpa tali ini.  Ia membebankan dan mengikat hatiku yang lemah iman.  Ia mendukacitakan dan tak ikut sunnah baginda SAW.  Maulana dah lama suruh berhenti dari ini semua.  Tetapi ada sahaja alasan yang aku bina, atau alasan dari mereka yang aku suka terima.  Mereka lebih bijak dan mereka lebih kuat.  Tidak aku.

Aku masih menimbang-nimbang.  Belum lagi delete and exit group.

*  something had happened and i like take it for granted as the right point to turn over ...

InsyaAllah.

Thursday, August 14, 2014

Bengang dibuatnya!  Gara-gara berkongsi maklumat di Whats App semalam.  Seseorang mengirim sesuatu yang membuatkan aku teruja dan tak teragak-agak (tak fikir dua kali) untuk berkongsi dengan 'broadcasting list' terpilih.  Pada aku, perkara ini mesti disebarkan kepada seramai mungkin.  Semoga senarai pilihan akan menyebarkannya pula.  Tiba-tiba, suami yang turut menerima perkongsian dari aku di grup keluarga memberitahu, 'itu tiga tahun lepas punya cerita laaa ...'

Iskk ... dah tiga tahun??? Apasal aku baru tau?

Sama la dengan kes aku sendiri menerima kiriman video atau maklumat yang 'sudah basi' dari orang lain.  Aku hanya 'haihhh ... cerita lama daa ...'

Tiga tahun tak ada apa-apa pun, jika maklumat sentiasa bermanfaat.  Rangkaian doa-doa, petikan Al Quran, hadis-hadis, kisah-kisah para sahabat r.hum, kisah teladan, tak ada masalah apa pun.  Elok sangat dikongsikan kerana ia menyegarkan jiwa yang selalu tandus dan menjadi peringatan.  Tetapi kalau cerita lama yang dah tak valid, dan tak diketahui pula 'expiry date' nya, memang kita akan sebarkan juga. 

Lagi satu teguran aku terima sebaik aku tekan butang 'post' kat yoga Lenovo.  'Intan, bahaya ni.  Kena hati-hati, bimbang ada berbau perkauman.'

Ok, ia memang berbau perkauman.  Maka, sebagai seorang yang mudah menerima teguran dan mengakui kesilapan (insyaAllah :D ), aku pun menulis menyatakan ralat dan sebabnya, dan klik lagi 'post' kepada senarai penerima terpilih yang menjadi kegemaran untuk berkongsi apa-apa.

Tiba-tiba aku terperanjat sendiri.  Aku kirim ia kepada orang pertama yang mengirimkan post itu kepada aku.  Dia menyatakan, 'Tak mengapa, jadi peringatan kepada kita yang mudah lupa.'  Fuhh, semoga aku tidak mengguris hatinya.

* hasrat mahu aktif menulis di blog.
* hasrat mahu merakamkan peristiwa manis kehidupan, hatta yang pahit atau pedas etc.
* hasrat mahu 'slow down' di laman sosial lain.  Membaca status orang lain, walaupun cuba menapis yang terpilih, masih kurang cukup manfaat.  Terlalu banyak pengajaran dan teladan hingga kadang-kadang aku jadi tepu dengannya --- tetapi adakah aku dapat mengambil cukup untuk dipraktikkan dalam kehidupan realiti?  Dan pada masa yang sama buku-buku yang aku beli jadi 'pekasam' di hujung katil, di meja kopi, diusung ke meja makan dan terbiar juga.  Kerana asyik melayan dan membaca status-status segar tapi kurang manfaat.  Yang menakutkan adalah, masa terbuang untuk perkara dan ilmu yang lebih penting tanpa sedar.

Maka, aku juga harus berhati-hati berblogging.

Lahaulawala quwwatailla billahil aliyila'zim.

* Peraturan baru yang aku buat telah merenggangkan aku dengan pelajar.  Kenyataan benar yang agak pahit dan kurang menyeronokkan. 


Wednesday, August 13, 2014

Mesti ucap terima kasih kat mak.  Tiga hari mak mengirai dapur aku, dan aku sungguh rasa didera dan diseksa begitu.  Mak bagi masa sepuluh minit saja untuk solat.  Hakikatnya mak seorang diri menghabiskan lebih banyak masa di dapur aku, berbanding aku sendiri.  Sungguh sedih memikirkan hal ni ...

Terima kasih banyak, mak.  Sekarang dapur aku berubah wajah.  Ia dapur sebenar, bukan stor barang yang menyakitkan mata.  Pelajar meninjau dari pintu. 

"Wahh cantiknya dapur mama.  Saya tengok macam opis."  kata Ruqoiyah yang sangat teruja bertemu dengan aku semula.

Yang lain seperti takjub dan terkejut suka.  Mereka sangka aku sudah renovation dapur, hehe ...

Maka, peraturan baru digubal lagi.  Pelajar tidak dibenarkan melepak di dapur, dan tidak dibenarkan meminjam/membaca buku aku.  Mana ada madrasah yang membenarkan pelajar hafiz membaca apa sahaja bahan bacaan melainkan Al Quran!  Melainkan pelajar alim/alimah.  Mereka perlu membuat rujukan, dan terhad kepada kitab-kitab berkenaan.

Selipar juga tidak dibenarkan dipakai di dalam dapur, melainkan selipar kami yang khas digunakan berlegar di dalam dapur.  Kalau boleh tak perlu berselipar, tetapi mozek kasar ini amat kurang sesuai untuk kaki bogel tanpa beralas. 

Hasil yang tidak disangka-sangka ialah, pelajar jarang memanggil aku melainkan pada waktu tertentu sahaja.  Kasihan juga, tetapi ada pula rasa lega.  Sebaliknya, aku pula lebih banyak menghabiskan masa di dapur.  Aku buka radio IKIM.  Dan angkut laptop ke dapur.  Benar, deraan mak menyuruh aku mengemas (mak lebih banyak mengemas sebenarnya) telah memberi perubahan besar bukan sahaja kepada wajah dapur, juga kepada sikap aku terhadap dapur ini.  Hehe ... 

Rajin pulak menumbuk bawang cili bilis untuk goreng nasi dan goreng sayur.  Tung tung tung bunyinya.  Masakan lebih enak rasanya dengan ramuan ditumbuk berbanding dikisar.  Dan aku terus berada di dapur usai membuat sarapan pagi, untuk menyediakan masakan tengahari pula.  Aku pun hairan dengan perubahan diri sendiri ni hahaha ...

Sebenarnya memang perlu melakukan perubahan terutama berkaitan dengan ketepatan masa.  Sebelum ni, aku mula ke dapur dengan lesu dan letih jam 8 pagi, dan menyiapkan semuanya dalam setengah jam sahaja atau lebih sedikit.  Pelajar pula ambil masa lagi untuk menghidang dan menyediakan tapau untuk ustazah.  Natijahnya masa ditarik dan mereka menjadi kalut.

Aku  harap perubahan yang sedikit ini memberi  kesan yang baik dan mengesankan kepada keseluruhan cuaca madrasah.  InsyaAllah.  Tiada daya upaya melainkan dengan kekuatan Allah jua.

Ya Allah, bantulah kami untuk mengikhlaskan hati dan istiqamah mencari redhoMu, aameeen.

* satu je yang masih memberi cabaran pada aku, apabila zink-zink yang menjadi atap dapur ini bocor apabila hujan lebat.  Semoga Allah memberi aku kesabaran menghadapi keadaan ini.  Taklah teruk sangat bocornya, tadah saja la ... Dan semoga tahun depan kami sekeluarga moving ke rumah milik sendiri dengan status milik sementara, sebelum berpindah ke alam baqa.  InsyaAllah, aameeen.

* mahu blogging semula.  Tetapi perlu hadkan masa ke laman lain. 

*  semoga Allah memudahkan urusan anda semua, aameeen.


Sunday, August 3, 2014

Semenjak azam untuk istiqamah berniqob, aku fikir aku terpaksa melupakan hasrat mandi-manda di laut atau kolam renang. Percutian ke PD yang aku suarakan pada suami hanya untuk menyaksikan keriangan anak-anak bermain pasir, berendam di laut yang masin dan berjalan di dalam kolam renang.  Aku boleh berenang sambil menyelam, sebab aku pasti tenggelam di dalam air. Cuma aku tiba-tiba mampu moving ke depan, believe me! And i really enjoy that moment. Tarik nafas sebanyak yang boleh dan mula berenang di bawah permukaan air. Hehehe ...

Naqib pernah masuk kelas renang semasa kanak-kanak. Tetapi selepas beberapa sesi, dia serik dan enggan belajar lagi. Apabila disusur perlahan-lahan, rupa-rupanya dia takut apabila coach tiba-tiba menolak dia ke dalam kolam. Chubby dan nafas pendek, aku dapat bayangkan dia mengelupur di dalam air. Now, dia berjalan di dalam air sambil mendukung Hanessa di bahu hahaha...

Berpindah-randah, kelas belajar berenang semkin jauh dan akhirnya luput dari senarai.  Adik-adik Naqib langsung tiada peluang ke siti, hanya aku sesekali menyebut anjuran Baginda Rasulullah SAW tentang belajar berenang, memanah dan menunggang kuda.

Kali terakhir mengunjungi pantai adalah sekitar tiga tahun lepas. Hingga saat ini aku masih rindukan pantai Lumut yang privacy. Alunan ombak sempat singgah ke telinga di malam yang sunyi. Hampir setiap hari, pagi atau petang, aku membawa anak-anak ke pantai. Dan aku ada koleksi panorama mentari tenggelam detik demi detik, yang sangat indah. Aku tidak pernah menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah seperti itu melainkan di pantai Lumut. Subhanallah!  Pantai Lumut agak terpinggir dan tidak ramai pengunjung. Indah dan sunyi. Pasirnya halus berkilau-kilau di panah cahaya matahari.

Okay, kalau nak baca kisah di pantai Lumut boleh klik story 2010-2011.

1213 pm.  Time to check out.

Wassalam.

Friday, August 1, 2014

Alhamdulillah.
Allah masih memberi izin untuk aku menjenguk blog ini.  Sudah lebih sebulan berlalu semenjak entri terakhir. Begitu banyak kisah yang boleh dikongsikan tetapi aku masih rasa kekangannya.  Di mana nak bermula dan yang mana satu?

Ketika isu terkini menghiasi alam maya, menjadi viral di merata- rata, aku biarlah bercerita kisah biasa sahaja. Cerita-cerita yang telah menjadi sensasi itu, yang mengundang pelbagai adunan rasa; duka, tangis airmata, hatta marah berang geram dengan sedemikian komen biso bonar, dengan mudah dicapai di mana-mana.  Pilihlah yang terbaik dan afdal. Nak baca adalah okay. Nak komen juga okay. Tetapi itu semua pasti masuk perbendaharaan amal kita. Pasti diselidik semula satu ketika nanti. Mengapa demikian jadinya? So, sudah siap untuk menjawab?

Aku fikir, tak perlu terikut-ikut dengan rentak semasa. Kita buat apa yang sepatutnya, dan tak perlu rasa ketinggalan dari arus perdana.

Arus kebenaran yang dilihat songsang dan janggal, pelik dan aneh, sentiasa begitu dijadikan Allah. Rilek la... Ketika manusia mahu semua perkara dibuktikan untuk mata kepala, alam itu sentiasa menjadi rahsia. Seperti tagline 'hitam itu menawan', maka 'yang rahsia itu idaman jiwa'.  Tanpa had, hanya insan-insan dengan brand 'limited edition' akan menyahut panggilan dan seruanNya. Itulah arus perdana yang sebenarnya!

* aku mohon maaf kerana tidak nampak sangat keberkesanan pertemuan rakan-rakan zaman persekolahan. Mungkin aku slow nak faham. Satu ketika dulu aku asyik memikirkan betapa aku nak menjejak sejarah semenjak kelahiran, tetapi pada satu ketika sesudah itu aku fikir ini semua hanyalah sebuah kesementaraan yang tidak bermakna melainkan aku mengikut aturanNya.

Okay, masa sudah tamat. Sehingga bersua lagi. InsyaAllah.



Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing