Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, March 31, 2014

Dua beradik itu sudah kembali.  Mereka muncul di hari akhir cuti madrasah, dua hari awal dari madrasah lain, mengembalikan bilangan pelajar yang susut sementara.  Hanya Rosana yang masih belum sembuh mungkin sedang dalam rawatan di Kemboja.  Hafizoh sudah jelas berhenti ketika dia datang mengambil tilam bantal dan segala barangnya pagi-pagi sebelum pelajar tiba.  Kini pelajar genap 20 orang.  InsyaAllah semoga mudah diuruskan dengan izin Allah.

Esoknya, setengah jam sebelum kenderaan datang untuk membawa asatizah ke program motivasi, aku terpaksa menggempur mereka yang masih rilek dan santai.  Memakai apron coklat gelap, aku muncul bersama wajah tegang.  Kugempur semuanya dengan lantang dan garang.  Macam selalu, mereka bersahaja dan tenang saja. 

"Mama ... cool ma ... cool mama ..."

Bagus, tidak sensitif sangat.  Jadi aku tidak perlu berhati-hati benar untuk menunjukkan belang.

"Siapa yang dah ada talam terus makan.  Hari ni pengecualian, tak payah tunggu geng biasa.  Dah cukup terus makan.  Sapa dah makan pergi tunggu van kat depan."  Aku semakin belajar bercakap dengan jelas dan teratur.  Tak perlu terburu-buru dan kelam-kabut.  Yang penting arahan dapat disampaikan dan diterima dengan sempurna.  Walaupun ... entahlah ya ... masih ada yang blur.  Haihh ...

Hidup adalah proses belajar berterusan.  Aku belajar berbicara.  Belajar bertenang.  Belajar berdiam diri.  Belajar berbuat ikut keperluan.  Belajar tidak kesah dan berlebih kurang.  Belajar memudahkan.  Belajar menerima keadaan.  InsyaAllah.  Masih tidak sempurna dan begitulah selamanya.  Kesempurnaan hanya milik Yang Esa.  Lalu aku belajar memaafkan orang dan memaafkan kesilapan diri, walaupun ada rasa kesal yang mendalam.

Malam ini adalah malam kedua pelajar bermalam di madrasah.  Teringat pertanyaan ibu dua beradik tentang Hani.  Aku hanya dapat berharap dan terus berharap.  Apa yang telah pernah terjadi tidak akan berulang lagi, insyaAllah.  Ustaz yang pernah merawatnya masih bersisa beberapa jam untuk pulang dari umrah.  Tentu beliau akan bercuti sehari dua untuk mengembalikan tenaga setelah perjalanan yang jauh.  Kepada Allah berserah. 


Sunday, March 30, 2014

cuti berakhir

buat Naqib dan puteriku yang kedua.  Tugas menanti untuk menghantar mereka pulang dengan arahan suami yang kurang sihat.  Setelah bertungkus-lumus memasak untuk asatizah, aku bertungkus-lumus pula mengukus kek pisang beberapa talam untuk asatizah dan buah tangan anak buat kawan-kawan.  Dua tandan pisang Kapas yang dimasukkan abah ke dalam kereta kelmarin sudah cantik masaknya, berwarna kuning emas.  Andai dibiarkan atau ditinggalkan separuh untuk diselesaikan kemudian, aku agak akan terlalu masak dan kehitaman.  Maka semua pisang itu dioperasi untuk campuran kek.  Alhamdulillah, sedap rasanya. 

Ikram anak-anak yang akan pulang, melainkan Hidayat yang sudah pulang Sabtu semalam (dengan rengekan mahu ulang-alik dan airmata serta wajah duka), kami makan bersama satu talam nasi bersama ayam panggang resepi sendiri.  Berulam salad dan kuah ayam panggang, sungguh menyelerakan.  Alhamdulillah.  Terfikir, di lain kali apabila berkumpul lagi satu keluarga seperti ini, hidangan ayam panggang resepi sendiri seperti ini bakal menjadi juadah utama di tengah meja atau di dalam talam besar.  Sedap dan sesuai dengan diet Atkins aku yang masih gagal nak dimulakan ... :P

Meneguk segelas kopi pekat selepas makan.  Aku geleng kepala setiap kali ditanya, "Mama ngantuk?"  Selalunya memang menguap-nguap ketika memandu.  Apatah lagi perlu bersabar mengekori lori-lori di jalan double line sepanjang ke Dengkil.  Memandu dengan berhemah selalu memberi cabaran sebenarnya.  Namun petang tadi aku harus mengejar masa untuk 'mengembalikan' Naqib ke madrasah tepat pada masanya.  Asbab minum kopi tanpa gula dan teruja untuk menjimat masa di jalanan, aku berusaha menyelinap ke depan selaju mungkin sesuai dengan jenis jalan raya yang dilalui.  Ia bukanlah lebuh raya.  Dan tidak banyak lori untuk diekori.  Alhamdulillah.

"Ma, kena sedas ni karang."  ujar Naqib di tingkap, ketika kami akan beredar.  Aku sekadar senyum di balik niqob.  Rotan kerana lewat sampai ke madrasah, selepas semua sudah selesai solat Asar.

"Ok, pergi la serah diri jangan tak pergi.  Termasuk hutang rotan hari tu, kena tuntut jugak." 

Naqib tersengih mengangguk.  "Yela mamaaaa ..."

Ketika semua pelajar menerima rotan di punggung kerana kesalahan memakai t-shirt bergambar, Naqib dikecualikan oleh ustaz.  Selamatlah dia buat sementara asbab bisul di punggung haha ...  Tetapi apabila sudah sembuh, dia wajib menyerah diri kepada ustaz untuk dilangsaikan hukuman yang tertangguh. 

Ketika sedang bercakap, Taufik muncul tiba-tiba.  Dia mengangguk, tersenyum manis.  Baru aku perasan betapa cair warna matanya yang kecoklatan. 

"Haa mana buku Diet Atkins tu?"  aku bertanya tetapi seperti kurang didengari.  Aku taklah gemuk, err ... cuma aku mahu membaiki struktur diri menjadi lebih baik dan sihat ... oyea!  Nak buat apa tipu.

Membaca program ini di grup, macam sulit nak difahamkan.  Jangan makan nasi, roti, mi dan segala karbohidrat.  Jangan makan buah.  Jangan ... jangan ... jangan ... tapi makan sayur hijau.  Itu induksi.  Apa lagi?  Ok, nanti kita baca buku Diet Atkins tu.  Kena tunggu Sabtu minggu depan macam kata Taufik.  Mungkin parents dia nak datang lagi menghantar apa yang tertinggal.

Tertinggal???

Yep ... Naqib juga tertinggal barang.  Satu beg yang semua jubah putih untuk dipakai waktu kelas telah tertinggal di rumah. 

"Abih macamana  ni mama?  Jubah putih elek.  Semua kat dalam beg tu.  Tadi bla bla bla ... bla bla bla ..."  Naqib menceritakan bagaimana dia boleh meninggalkan beg itu dengan selesa di tepi pintu rumah. 

"Hmm ... pinjam la jubah Taufik.  Jabbar ke ... Amir Hamzah ke ... jubah ustaz Azman ke ... hihihi ..."

Naqib terfikir-fikir.  "Ok mama, buku tu hari Sabtu ni.  Mama datang hantar beg bila?"  Dia tidak pernah memaksa tetapi pertanyaannya selalu memaksa aku berfikir mencari jawapan.

Aku menarik nafas.  Pasti ada yang berleter sedikit padaku sekejap lagi ni ... salah akukah?  Hmm ...

Beredar meninggalkan madrasah, aku memecut dari arah datang menghala ke Bukit Naga.  Puteri mesti masuk pagar sebelum 6.30 petang.  Tetapi memang sudah lewat pun tatkala sampai.  Aku membeli sedikit barang di MyMaidin dan beratur di belakang empat lelaki Bangladesh yang membeli beras dan bahan dapur.  Alahai ...

Mujur pintu belum dikunci asbab ada pelajar baru sampai sedang menurunkan barang di pintu madrasah yang comel. 

"Mama ..."  serunya manja mengada-ngada, macam selalu bila nak berpisah. 

"Iye ... hadiah al-Fatihah banyak-banyak.  Tapi ..."  aku tak perlu bertanya banyak.  InsyaAllah sangat faham apa yang bergelodak.  "Mama tak boleh ingat la apa dah jadi.  Aduhai ..." 

Dia tersenyum manis.  Aku menahan tawa.  Entahlah ... aku akur, ia adalah satu kecuaian.  Tetapi kembali kepada hukum alam.  Tiada yang dinamakan 'kebetulan'.   Ia sudah siap dijadualkan dan jadual Allah terjadi semalam.  Semoga sama-sama dapat mengambil pengajaran.  InsyaAllah. 

Apabila sudah berkenan, hanya menunggu masa untuk memulakan langkah mencapai hasrat.  Kami, kita, kamu, sama-sama akan menunggu waktu andai diizinkan Allah.  Andai hati tidak berubah.  Andai janji yang tidak bersaksi akan termateri.  Hmm ... InsyaAllah Allahumma Aameen.

Alhamdulillah, urusan seminggu bersama anak-anak dan keluarga bertangguh lagi sehingga Syawal nanti, insyaAllah.  Dan aku mencari masa untuk bermain aksara di sini.  Apakah permainan ini benar-benar jujur dan sebenarnya?  Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala isi hati.

Aku terfikir untuk block orang pulak.  Setelah lima tahun, aku teringat untuk mejenguk menu blocking di FB.  Owh, ada beberapa nama yang sudah aku lupa.  Dan aku mula unblock mereka bersama keyakinan, akaun mereka sudah tidak wujud lagi.  Ternyata benar! 

Teringat pula satu nama yang setelah setahun baru aku sedari bahawa dia sudah mem'block' akaunku di FB.  Aku tak perduli pun.  Atas asbab yang sama, aku yakin lebih ramai yang blocking dia, hanya aku yang tak kisah untuk melakukan hal yang serupa kepadanya. 

Dan aku membatalkan niat untuk block friends.  Kata-kata mak semasa aku di sekolah rendah dulu terngiang-ngiang kembali.  Mak kata, "Biar orang buat kita, jangan kita buat orang."  Tak mengapa orang block aku, aku tak akan block orang.  Kecuali kes lima tahun lepas, aku rasa tak ada keperluan untuk sengaja block sesiapa selepas itu.

Cuma, kedegilan dalam diri itu kadang-kadang adalah umpama perisai untuk pertahanan dari tersungkur diterpa gelombang kehidupan.  Aku pernah terbaca sesuatu yang positif tentang orang degil.  Kalau salah, mohon diperbetulkan. 

"Orang degil selalu yakin apa yang dilakukannya.  Andai dia benar, dia akan meneruskan dan tidak akan dapat ditentang.  Andai tersilap catur, pasti tidak segan mengakui kesalahan."  (tak perlu percaya).

Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Benar. 

Apa pun, manusia tetap bergelar insan.  Makhluk yang lemah dan daif, perlu sentiasa kembali kepada Allah Taala.  Apa pun yang melanda, kemaafan dan persefahaman adalah tunggak keharmonian.  Iman dan amal menjadi sendi dan mencorak nadi kehidupan.

*  andai apa yang dibaca tidak bermakna, usahlah dinista.
* bermain kata-kata dan bahasa, semoga ada jua terpancar sedikit cahaya di antara aksara.
* usah percaya kata-kata manusia, melainkan yang terpimpin olehNya.

mohon maaf selamanya, dari semua.

Allahumma aameen.  InsyaAllah.  Ketemu lagi. 

Saturday, March 29, 2014

Doktor, saya nak inject dengan diorang

"Eh, diorang bukan nurse.  Diorang kena belajar baru boleh buat injection."  Doktor menarik picagari.  Air jernih dalam botol kecil masuk ke dalam jarum yang halus.

"Doktor ajarlah diorang."  Macam dah kenal je, tapi baru ni pertama kali datang ke klinik ini.

"Boleh, saya boleh ajar kalau awak mau."

Aku diam dan terfikir.  Aku jeling Naqib yang sedang berdiri di belakangku.  "Lebih baik doktor ajar anak saya je.  Biar dia yang buat." 

Doktor mengangkat kepala.  Dia memandang anakku yang tersengih kecil.  "Boleh kalau dia berani."

Serta-merta aku berdiri dengan senyuman sambil memandang Naqib penuh harap.  "Ok, boleh tak Along?"

Dia tersengih, seperti tidak pasti.  "Hmm insyaAllah boleh," sahutnya beberapa ketika kemudian.

Doktor menghulurkan picagari kecil kepada Naqib lalu mengarahkan kami ke bilik sebelah yang berdekatan dengan ruang kaunter.   "Kamu cucuk tegak ye, macam ni (doktor menunjukkan cara mencucuk).  Tekan pelan-pelan je supaya mak kamu tak sakit.  Boleh ye?  Senang je tu ..."  Doktor gelak kecil.

Kami beredar ke bilik yang ditunjukkan.  Aku terkial-kial menyingsing lengan blouse ungu bunga hitam yang agak ketat.  Pembantu doktor (perempuan) muncul menghulurkan kapas yang sudah basah.  Tentu untuk disapu di kulit sebelum jarum dicucuk.  Naqib menguja-uja mahu membenamkan jarum halus di lenganku hehe ...

Hanessa dan Hidayat yang keluar masuk bilik sesuka hati leka menimbang badan dan memerhati sekitar bilik.  "Eee mama, jangan pandang!  Mama pandang tempat lain."  Hanessa memberi nasihat tiba-tiba.  Memang anak yang prihatin haha ... 

Aku tidaklah nervous.  Teringat satu ketika dulu teramat kerap jarum yang lebih besar dibenamkan di lenganku untuk mengambil beberapa tiub darah untuk dibawa ke makmal.  Cuma memikirkan keberanian yang dimiliki anakku untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat olehnya.  Namun aku berkeyakinan dia boleh.  InsyaAllah.

"Ok, baca bismillah.  Selawat ... selawat ..."  aku mengingatkan dia tatkala dia mula mengangkat jarum dan dihalakan ke lengan kananku.  Naqib mengangguk-angguk sambil tersenyum.  Secepat kilat aku mengalihkan pandangan ke arah lain. 

Sekali lagi Hanessa menjerit kecil, "Mama, jangan pandang!  Mama, sakit ke mama?"

Hmm ... sungguh halus tusukan jarum sehingga bagai tidak terasa sakitnya.  Lama juga menunggu Naqib menyelesaikan tugasnya ... "Cepat sikit la Along."  gesa aku tak sabar. 

"Eh kak, tak boleh nanti akak sakit nanti."  sahut pembantu doktor yang memerhatikan kami.  Hmm ... memang tak terasa sakitnya.  Tetapi terasa lama menunggu selesainya.  Tak mengapalah ... Syukur alhamdulillah, auratku terjaga.  Tanpa bimbang sedikitpun andai Naqib tersilap melakukannya.

Kini giliran Naqib pula untuk mengambil suntikan dengan doktor.  Dia berdiri saja.  Doktor melakukannya dengan pantas sekali.  Setelah selesai, doktor kembali duduk dan mencatat sesuatu pada dua keping kad kecil berwarna coklat.  Sambil mencatat dia mengajak aku bersembang.  Ramah juga doktor ni ... Katanya dah dua kali dia diberi rezeki oleh Allah untuk mengerjakan haji ketika masih bekerja dengan hospital kerajaan.  Isu pakej yang tertunda kerana masalah teknikal pada pihak kerajaan Arab Saudi juga diceritakannya. 

"Pakej-pakej tu diberikan bantuan dalam bentuk pinjaman jangka panjang oleh kerajaan.  Ramai  yang pergi tahun ini adalah yang tersangkut pada tahun lepas."

"Jadi yang dah dibayar tu burn la ye doktor?"  tanyaku mahukan kepastian.

"Ya, burn la ...  Selagi masih under renovation ... macam-macam syarat dikenakan."

Selesai urusan bersama doktor, kami keluar menanti untuk membuat pembayaran di kaunter.  Naqib duduk di sebelahku.  "Sakit la mama."  adunya sambil tersengih-sengih. 

Aku ketawa mendengarkan.  Ya, laju betul doktor memberi suntikan padanya tadi.  Seolah-olah sekelip mata saja.  Sedangkan dia sendiri menyuntik aku terasa lama pula.  Dan rupa-rupanya benar, dia terasa sakit dan sengal.

Mudah-mudahan ini satu permulaan yang baik.  Semoga Allah memberi kami kemudahan demi kemudahan semua  urusan mulai hari ini sehingga kami pulang semula ke tanahair nanti.  InsyaAllah.  Teringat ketika aku bertanya status halal ubat yang digunakan kepada doktor tadi.

"JAKIM kata halal, halal la ...Tapi mana ada dari Malaysia.  Semuanya dari oversea.  Kebanyakannya dari Switzerland."  katanya gelak kecil.  Aku  dah minta suami berhati-hati tentang ubat yang digunakan untuk suntikan. 

Ada pakej yang menawarkan surat pengesahan tanpa perlu suntikan.  "Mana ada ubat yang halal, tak banyak sikit mesti ada yang haram tu."  Begitulah kata yang disampaikan.

Teringat pula ketika bertanya kepada suami, selepas dia memberitahuku doktor ini mengabarkan ada ubat yang halal untuk diambil.  "Sungguh ke halal ubat tu?"

"Ya doktor kata ada ubat yang halal, tapi mahal, kena order."  Tak kisah kalau mahal, janji halal.

Aku menulis tanpa membuat selidikan.  Maka yang ada ialah harapan.  Semoga yang halal benar-benar halal untuk mengalir bersama darah di sekujur tubuhku.

Kepada Allah berserah.  Allahumma aameeen.






Monday, March 24, 2014

Sunyi pula.  Pelajar sudah pulang semuanya.  Di tempat mereka selalu bermain, ada baldi sebiji, besen merah yang terlentang menadah langit.  Ada berus toilet (arghh).  Ada selipar entah siapa.  Dan tangki hitam yang ternganga menjadi tempat mereka mandi-manda pada hujung minggu sebelum air mula dicatu. 

Setakat dua hari, belum ada sesiapa yang menghantar berita bertanya khabar melalui Whatsapp.  Sibuk barangkali.  Aku pun sibuk pula.  Meladeni dua puteri hingga ke Alam Sentral, Shah Alam.  Dan serik mahu ke sana sendirian begini lagi.  Setengah jam masa terbuang gara-gara masing-masing tiada yang teringat mahu merekod nombor kawasan tempat parkir.  Tambah nazak apabila lupa pula jalan mana diambil untuk ke tempat parkir.  Hasilnya kami pilih lift yang salah, dan keluar di kawasan yang salah.  Aduii ...

"Ok ok ... jangan panik.  Istighfar! Istighfar!  Ya Allah, tolonglah kami jumpa balik kereta kami ni ..."  Semoga ketenanganku menjadi ikutan yang baik di saat mereka kecemasan.

Muncul di tingkat berbeza yang memang tak sama dengan tempat parkir kereta tadi.  Aku hairan betul. 

"Takkan kereta kita dah bertukar jadi BMW pulak eh ..."melihat kereta mewah di 'tempat' sepatutnya Kancil berada.

Saja melawak yang kurang lawak, melihat Hanessa yang kepenatan diheret turun naik tangga. 

"Kaki krem la ...."  masing-masing mengeluh tatkala muncul di kawasan parkir yang lengang. 

"Masuk balik, bahaya macam ni.  Ya Allah ... kenapa la tak ada sesapa teringat nak ingat nombor tempat parking tadi ..."  Nak merungut lebih memang tidak afdal.  Usah merungut langsung sepatutnya. 

Aku terus beri semangat kepada anak-anak yang semakin penat.  "Lain kali nak datang lagi ke?"  sekadar menduga.

Geleng kepala nak tak nak je. 

"Inilah kali terakhir, melainkan semua ada.  Mama dah tak larat macam ni.  Buang masa sungguh."  aku jawab semula.  "Doa la ... kita nak solat lagi ni.  Kita pergi masjid semula ya." 

Angguk lemah.

Turun di setiap tingkat parkir, kali ini menggunakan lif.  Orang pun dah tak padat.  Tak ada kereta kami di mana-mana.  Puashati, kami turun semula ke groundfloor.  Masing-masing cuba mengecam semula lebih teliti.  Doa dan terus berdoa.  Harap dan terus berharap. 

Akhirnya terpandang papan tanda lif yang lain, iaitu lif yang sepatutnya kami gunakan.  Alhamdulillah syukur, akhirnya bertemu juga dengan kereta Kancil merah.  Belum bertukar jadi kereta lain rupanya.  Masih Kancil juga. 

Menghenyak punggung di tempat duduk, rasa hilang segala beban.  Kini mesti menuju masjid biru untuk solat Asar.  Berehat sebentar dan pulang ke rumah.  Singgah beli nasi kerabu untuk yang sudah keroncong perutnya. 

Hari ini, wang kertas mengalir seperti air ... kata anakku. 

Alhamdulillah, rezeki dari Allah.  'Pulang' nanti tak bawa duit masuk keranda.  Mati bila-bila masa tak tau bila.  Sudah bersiap ke???  Wallahu'alam. 

* kurang ampuh mood nak menulis ...


Wednesday, March 19, 2014

Sungguh aneh

dan menakjubkan pekerjaan Allah Taala.  Tak dapat akal mencapai dengan sewenang-wenang.  Perlu duduk tafakkur dan merenung dalam-dalam, jauh-jauh dan merayau sekitar cakrawala.  Andai Allah izin, pasti ketemu sedikit dari hikmah yang disediakanNya.

Andai Allah tidak izin, bisa jadi nanar gila.  Hilang kuasa perasaan, sesat dalam fikiran.  Na'uzubillahiminzalik.

Meliputi segalanya, adalah kasih-sayang Allah kepada makhlukNya.  Selagi matahari masih terbit di timur, keampunanNya seluas langit dan bumi tiada had batasan. 

Mengembara bersamaNya, dalam pimpinanNya.  Itulah asbab keselamatan dan keberkatan.

TakdirNya usah dipertikaikan.  Ketika bara fitnah semakin jauh percikan, mula menyambar wajah dan perasaan.  Dan kesedihan datang bertimpa-timpa.  Ya Allah, benar-benar Kau jadikan dunia ini tempat ujian.  Tempat airmata dan kehancuran jiwa.  Lalu Kau hidupkan dengan harapan dan impian yang dirahsiakan.

Ya Allah, perjalanan hidup anak Adam adalah suatu pengembaraan yang benar-benar luar biasa Kau ciptakan.

Telah Kau suratkan pada diri, namun natijahnya adalah Kau sendiri. 

Yang Maha Kuasa, tidak memerlukan apa-apa.  Hatta asbab hanyalah ujian juga. 

Maka, kutitipkan padaMu akan ia.  Aku tak kuat daya menjaganya.  Pasti ia akan selamat dalam pemeliharaan Maha Pencipta. Astagfirullah Allahumma aameen.  InsyaAllah.

*  Allah sebaik-baik Penjaga dan Pemelihara.  Allah sebaik-baik Pelindung dan Pemerhati.  Allah sebaik-baik Pencinta dan benar-benar Mengerti.  Allah segala-gala yang Maha Terpuji.

* Syeikh Maulana Zubair al-khandahlawi rah b Maulana In'amul hasan rah al-khandahlawi meninggal dunia 11 pagi tadi...Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.Allahumma ajurni fi musibati wa akhlifli hoiron minha.




Monday, March 17, 2014

Laila itu amat perahsia

Sanah helwah buat anakanda Amirah berdua.  Semoga hidup kalian sentiasa dalam bahagia berpanjangan, menjadi pilihan Tuhan sebagai asbab hidayat seluruh alam iaitu daieyahNya yang terpelihara.  Semoga DIA menyembunyikan keaibanmu dan menggantikan keburukan dengan kebaikan, mengangkat darjatmu di sisiNYA dan menjadikanmu benar-benar Ratu di Syurga.  Segala doa dan harapan yang tertinggi, terbaik dan terindah buat kalian sehingga akhir hayat, hingga ke akhirat.  Allahumma aameeen, insyaAllah, alhamdulillah.  Semoga dimakbulkan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pengasihani.

Laila sangat kuat menyimpan rahsia hati.  Biar dia menderita makan hati daripada mencurahkan rahsia yang tersembunyi.  Aku terfikir-fikir, berapa lama agaknya kisah Laila Majnun ini sebenarnya?

Majnun; dari hari pertemuan pertama memandang Laila sehingga hari matinya di atas pusara Laila.  Tidak ada dinyatakan tempohnya.  Semuanya berkisar perjalanan hidup Majnun yang nanar perasaan membawa diri ke tengah padang pasir tandus dan gua-gua bertemankan haiwan-haiwan liar.

Seribu tahun lampau, andaikata demikian, tempoh waktu masih panjang untuk sehari semalam.  Yang pasti tentu bukan setahun atau dua tahun.  Mungkin lima tahun?  (siapa tau angkat tangan!).

Jadi ia adalah satu kisah yang panjang.  Dipersembahkan di dalam sebuah cerita dengan menumpukan kepada Majnun dan perasaannya.  Watak Laila hanya muncul sedikit sahaja untuk melengkapkan jalan cerita.  Tidak banyak tetapi masih mengesankan.

Aku harus merakamkan catatan Epilog novel ini untuk ingatan.  Bahawa sanya cinta itu adalah menuju Tuhan.

Nizami Ganjavi adalah seorang sufi yang berasal dari Persia.  Menurut sufi penyair ini, cinta Majnun terhadap Laila adalah metafora cinta Majnun terhadap Tuhan.  Artinya, dengan mencintai Laila, Majnun sebenarnya sedang mencintai Tuhan.  Melalui cintanya terhadap Laila, Majnun benar-benar menghilangkan egonya hingga sampai ke tingkatan peniadaan diri sehingga ia tidak memandang dirinya dan diri kekasihnya sebagai kesatuan yang terpisah, tetapi sebagai satu kesatuan yang utuh.  Dengan kata lain, kisah ini adalah sebuah alegori perjalanan sufi untuk sampai kepada Tuhan.

Sebagai akhir cerita, ada seorang sufi bermimpi melihat Majnun berada di samping Tuhan, dan Tuhan membelai-belai kepala Majnun dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.  Majnun disuruh duduk di samping Tuhan kemudian Tuhan berkata kepada Majnun, "Tidakkah engkau malu memanggil Aku dengan Laila setelah kau teguk anggur cintaKu?"  Sufi itu terbangun dalam keadaan cemas.  Ia sudah melihat posisi Majnun.  Lalu di manakah posisi Laila?  Tuhan kemudian mengilhamkan ke dalam hatinya, bahwa posisi Laila lebih tinggi lagi kerana Laila menyembunyikan kisah cintanya dalam hatinya.  Kaum sufi menganggap Majnun dan Laila adalah kisah kecintaan seorang pencinta dengan Tuhannya, Kekasihnya.  Majnun adalah pencinta, sementara laila adalah Tuhan yang kecintaaannya tersembunyi.

(Hujan turun, alhamdulillah.)

Bahagian cinta untuk alam dunia hanya 1 persen berbanding cinta di syurga.  Yang satu persen inilah yang berada di dalam hati para ibu yang mencintai anaknya. Satu persen inilah cinta yang diangkat oleh Majnun dengan jiwanya hingga musnah dirinya.

Cinta tidak semestinya akan bersatu.  Zaman mutakhir ini, cinta diperjuangkan habis-habisan sehingga anak-anak gadis sanggup menghilangkan diri dari keluarga untuk mencapai hasrat cinta yang membara.  Sedangkan Laila, ketika ada peluang untuk bertemu, dia hanya berdiri memandang dari kejauhan.

Laila melihat Majnun berada tepat di depannya, namun ia berhenti sebelum langkah kakinya sampai pada pohon palem di mana kekasihnya itu sedang duduk.  Seluruh tubuhnya gementar dan seolah-olah badannya telah tertanam di tempat itu.  Tidak lebih dari dua puluh langkah memisahkan dirinya dari kekasihnya, tapi seakan-akan seorang penyihir telah menggambar sebuah lingkaran gaib di sekeliling tubuhnya hingga ia tidak bisa melangkah lebih jauh lagi.

Si orang tua, yang kini telah berhasil menyusulnya, menarik tangannya seakan-akan hendak menuntunnya ke depan.  Laila berkata dengan sopan, "Tuan yang mulia, cukup sampai di sini, jangan lebih dekat lagi.  Bahkan sekarang aku bagaikan lilin yang terbakar, selangkah lebih dekat kepada api maka aku akan terbakar hidup-hidup.  Karena kedekatan dapat membawa malapetaka.  Bagi para pencinta, keselamatan hanya ada dalam perpisahan.

"Memang benar kedekatan adalah berkah, namun itu adalah setetes madu yang menutupi racun.  Mengapa aku harus meminta lebih?  Bahkan Majnun, sang Pangeran Cinta, tidak meminta lebih.  Pergilah kepadanya!  Pergilah kepadanya dan minta padanya untuk melantunkan beberapa bait syairnya untukku.  Biarkan dia menyenandungkan cinta, aku akan menjadi telinganya.  Biar dia menjadi pembawa cawan, aku akan menjadi peminum anggurnya."

Jadi, cinta tidak semestinya kesampaian.  Ia tidak semesti diluahkan dan dikongsikan.  Ia adalah perasaan dalaman.  Hanya dua hati yang bercinta dapat merasai getaran.  Dan cinta yang terindah adalah cinta kerana Illahi; mencintai sang pencinta Illahi.  Agar menyintai sang pencinta dapat membawa kepada menyintai Illahi.

Cinta yang paling luarbiasa adalah cinta Pencipta kepada makhlukNya.  Hanya DIA yang dapat menceritakannya dan mengetahui tentangnya.  Cinta selainnya hanyalah serpihan-serpihan dari cintaNYA. 

Cinta kepada selainNYA; cinta bukan kepada pencintaNYA adalah hampa dan kecewa.  Cinta manusia dan harta, semua akan lebur binasa.  Cinta yang tidak beroleh redhaNYA, tidak memberi bahagia.  Cinta dua saat cuma, antara azan dan iqamah.  Terbatas hanya ketika masih bernyawa.  Hilang nyawa lenyaplah cinta.  Susut harta benda, susutlah jua cinta.  Menginjak usia tua, cinta juga menjadi renta.  Malangnya jiwa.






semoga jumpa lagi, Saudah.

Mereka pakat menangis.  Aku berasa geram.  Talam dihadap dengan pandangan kosong.  'Apa ni?' bisik hatiku.

Tadi Amira, pelajar yang sangat baik denganku sehingga menimbulkan kecemburuan tak dijangka dari pelajar lain (yang tak reti nak buat baik tapi reti cemburu semata) mengabarkan, "Mama, dorang nangis.  Tak nak makan.."

Geram.  Aku atur langkah lebar-lebar ke rumah bercat merah muda itu.  Kenapa makanan sudah dihidang tapi tak dijamah?  Kenapa pakat meleleh air mata pula?  Inilah namanya kerana pulut santan binasa, kerana mulut tubuh merana.

Sampai di ruang makan, sahih beberapa talam dibiarkan tak bersentuh.  Masing-masing terpaku memandang nasi.  Ada yang merah mata, merah hidung, merah muka.  Tetapi ada juga yang selamba menyuap, hanya dua tiga orang sahaja.

Perasan ada kuasa veto, aku berkata, "Mama tak nak tengok ada yang tak makan.  Sila makan sekarang.  Mama kira sampai tiga."  (Itu pun mau kira hehehe ... gertak je.  Lepas tiga bukan nak buat apa pun ...)

Masing-masing yang tadi buat muka pink, mata pink, hidung pink mendekati talam dan mula menyuap.  Suara tangisan masih ada.  Aik ... dari mana?  Tapi tak mengapa, hold dulu.

"Lain kali ingat.  Bila nak bercakap, fikir dulu.  Dah fikir baik-baik, baru bercakap.  Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna.  Nasi dah jadi bubur."  Kadang-kadang tak perlu bercakap berjela-jela, sikit sahaja sudah memadai tapi mendalam maknanya.  Cuma, ntah faham ntah tidak, biarlah Allah yang bagi faham.

Dalam pada aku bercakap, ada je yang nak menyampuk.  "Shhh!!! bagi mama cakap dulu.  Kamu diam."  Teringat satu ketika dulu, dulu sangat, aku pun kuat menyampuk hmm ... Anis yang serak basah dan lantang suaranya terdiam.

Berpusing mahu keluar dari pintu dapur madrasah, aku terpandang seseorang sedang menangis di celah tilam di bilik A.  Langkah terhenti.  Di atas lantai ada timbunan kain.  Separuh sudah tersusun separuh lagi masih belum dilipat.  Seseorang terselit di tepi tilam terbaring dan ada suara tangisan.

"Ni pasal pulak ni?"  tanyaku kepada ketua pelajar yang muncul tiba-tiba.

"Tak pe ma, saya tengah lipat kain.  Dia ... err ... kata nak bunuh diri, dia menyesal."  jawab ketua pelajar jujur.

'Mengarut betul!' desis hati. 

Aku diam.  Sambil melangkah pulang, dalam kepala muncul bermacam-macam.  Kasihan Saudah.  Semoga kita berjumpa lagi nanti.  Gara-gara aduan segelintir kawan-kawan yang kadang-kadang seolah-olah membesarkan perkara yang kecil, kamu harus beredar dari sini.  Semalamnya aku sempat 'mencuri' Saudah dari rumah kakaknya, untuk menemani aku membeli barang di pasaraya.  Saudah menceritakan segala-galanya sehingga aku faham.  Ternyata dia sangat tabah dan kuat semangat.  Aku berikan kata-kata sokongan dan harapan yang baik untuknya. 

"Kamu teruskan belajar bersungguh-sungguh.  Semoga kamu berjaya, lebih berjaya dari mereka.  Tapi janganlah berdendam atau rasa kesal.  Tentu ada hikmahnya ini semua." 

Selepas ini tentu sesekali aku akan rasa rindu padanya.  Terbayang lesung pipit kecil di sudut dagunya tatkala tersenyum.  Dia satu-satunya pelajar yang berani mencium pipiku setiap kali bersalaman untuk tidur malam tanpa memperdulikan jelingan cemburu Nurhanessa.  Dan dia juga yang paling rapat denganku selain Amira, dengan caranya yang tersendiri.

Allah sahaja yang Maha Mengetahui segala hikmah tersembunyi.  Aku dengar khabar dia akan menjadi peneman umminya sepanjang abuya keluar khuruj 4 bulan negara jauh.  Dalam hati berangan-angan mahu memberi kejutan dengan kunjungan mengejut untuknya pada cuti minggu depan.  InsyaAllah.

Ya Allah, berilah kebaikan dari sisiMu untuk mereka semua.  Pilihlah mereka menjadi daieyahMu sehingga hari Kiamat.  Baikilah mereka dan gantikanlah keburukan mereka dengan kebaikan dari sisiMu.  Ampunilah kami semua ya Allah. 

Allahumma aameeen.

Thursday, March 13, 2014

Masih terheran-heran

Terdesak untuk menghabiskan bacaan ini.  Aku bukan pembaca yang terbaik.  Tak mampu menyelami perasaan Laila mahupun Majnun hingga ke sudut hati mereka yang paling menghibakan.  Aku hanya mengerti keadaan mereka.  Airmata masih belum mampu menitis sendiri.

Semakin lama semakin lara.  Aku mula terpesona dengan perumpaan yang diungkapkan.

Antara yang agak mudah, "Di taman, daun-daun berguguran seperti air mata.  Bunga-bunga telah menanggalkan gaun musim panas mereka yang berwarna-warni lalu mengenakan jubah gelap musim gugur.  Warna putih bunga melati telah kehilangan kesegarannya.  Mawar menggugurkan helai-helai daun bunganya seakan-akan meratapi berakhirnya musim panas.  Bunga narsis mengucapkan selamat tinggal pada teman-temannya dan bersiap untuk berangkat.

Bagaikan para nelayan yang ketakutan akan sebuah badai yang tengah mendekat, pohon-pohon melemparkan buah-buahan muatan mereka ke luar kapal.  Para tukang kebun kemudian akan memunguti buah beri, apel dan anggur itu untuk bekal mereka menghadapi musim dingin yang segera datang.  Sungai dan danau melepaskan kehangatan mereka, sementara rerumputan merelakan kemilau zamrudnya untuk menguning dan memucat.

Sementara daun-daun di taman layu perlahan-lahan, Laila pun tidak jauh berbeda; musim seminya telah berakhir, berubah menjadi musim dingin akibat jari beku takdir, oleh sentuhan dingin kesengsaraan hidup yang sangat berat.  Api kehidupan yang pernah menyala cemerlang di dalam dirinya kini tidak lebih dari sebuah kerlip api yang kecil, dipermainkan oleh angin, yang dapat padam sewaktu-waktu.  Dari sebuah purnama yang dulu bersinar-sinar, hanya sebuah bulan sabit pucat yang kini tersisa.  Dari pohon cemara yang dulu berdiri mengah, kini hanya sebuah bayangan lemah yang dapat terlihat.  Laila adalah bunga yang telah kehilangan kesegaran dan gugur daun-daunnya, bahkan Laila bukanlah Laila lagi."

Tak tahu.  Mungkin kerana perumpamaan yang halus.  Mungkin kehebatan cinta yang dipertahankan kesuciannya.  Mungkin penderitaan yang dipersembahkan hingga maut menjemput.  Mungkin juga kegilaan luar biasa yang menyelubungi jiwa Majnun.  Mungkin keindahan wajah Laila yang dianugerahkan Allah begitu memukau.

"Sudah sekian lama ia mengejar gadis itu.  Namun sekarang, ketika harta itu telah berada dalam genggamannya, kunci menuju peti itu menolaknya.  Penasihat kepercayaan Ibnu Salam menasihati dirinya untuk bersabar dan menunggu ... dan berharap.  Ibnu Salam mencoba sedapat mungkin untuk menyenangkan Laila dan mencari tahu mengapa istrinya menolak untuk membahagiakan dirinya, tapi semuanya sia-sia.  Tidak ada yang dapat dibaca dari mata istri tercintanya selain air mata, dan setiap malam Ibnu Salam selalu terjaga dan kesepian.

Ibnu Salam telah menjadi begitu putus asa hingga ia akhirnya berpikir untuk melakukannya dengan paksaan.  Lagi pula, tanyanya kepada dirinya sendiri, bukankah dia adalah istriku?  Bukankah itu adalah hakku?  Siapa tahu mungkin hal inilah yang diharapkannya?  Kemudian berhentilah ia untuk mencoba mendapatkan Laila dengan lemah lembut, dan mengambil tindakan yang lebih memaksa.  Tapi ia gagal lagi.  Dalam usahanya untuk memetik sang buah, tangannya malah tergores oleh duri.  Dalam ketergesaannya untuk menikmati rasa manis buah itu, satu-satunya hal yang ia dapat rasakan ternyata lebih pahit daripada kayu kina.  Karena begitu ia menjulurkan tangannya untuk menyentuh Laila, gadis itu akan membenamkan giginya pada tangannya dan mencakar wajahnya sampai mereka berdua bersimbah darah Ibnu Salam.

"Aku bersumpah, demi Tuhan, jika kau mencobanya sekali lagi,"  Laila menjerit, "kau akan menyesalinya seumur hidup!  Aku telah berjanji kepada Penciptaku bahawa aku tidak akan menyerah kepada keinginanmu.  Kau bisa menyembelih leherku dengan pedangmu kalau kau mau, tapi kau tidak bisa mendapatkanku dengan paksaan!"

* masih terheran-heran.  Kisah cinta klasik yang tak pudar dek masa. 

*inilah barangkali yang selalu ditekankan oleh Sifu.  Menyelami hingga ke dasar hati dan jiwa.  Hingga Laila dan Majnun itu hidup bernyawa dalam perasaan.

*bagaimana dapat menyelaminya ... perlu diulang baca ke?

*tapi ada satu novel yang tak sengaja aku baca sekitar 3 tahun lalu, yang sempat mencuit rasa dukacita dan simpati kepada wataknya. (tentulah bukan kisah cinta adam dan hawa).

* muak dengan kisah cinta walaupun seingat aku hanya 1-2 novel yang pernah aku baca tentang cinta.  Aku pun hairan, kenapa?  Hmm novel kisah cinta pasaran hari ni ... entah apa-apa.

*** Permata Hitam, tajuk novel dewasa pertama, agaknya.  InsyaAllah.***




Wednesday, March 12, 2014

semoga dengan asbab

berkat doa Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid ini, berakhirlah penantian seluruh negara menjelang esok.  InsyaAllah.

Terasa hati-hati bersatu yakin untuk tunduk kusyuk memanjatkan harapan dan doa buat mereka.

Dan fenomena 'orang Tabligh' semakin ketara.

Ini semua bukan kerja manusia tetapi kerja Allah. 

Ini semua bukan kebetulan tetapi sudah ditetapkan oleh Allah.

Dan insiden-insiden yang berlawanan dengan fenomena yang sedang melanda, semoga dapat membuka mata dan minda kita.  Mana yang benar dan mana yang lagho.

Wahai, petunjuk Allah itu jelas.  Dan hidayah Allah itu bukan calang-calang bahkan amat mahal harganya.

Semoga kita semua menjadi golongan yang beruntung dunia dan akhirat.

* Rasa cinta yang mendalam kepada negaraku mekar tiba-tiba, asbab orang-orang solehnya.  Allahu.


Tuesday, March 11, 2014

Allah menghiburkan

tatkala fikiran terasa sendat dan padat dengan bayangan pesawat MH370.  Allah menghiburkan tatkala fikiran buntu menghabisi helaian demi helaian Laila Majnun.  Allah menghiburkan tatkala fikiran terasa beku akan manuskrip yang mahu diselesaikan.

"Mama, ni apa?" tanya Alya yang manis.  Dia menarik bibir merah delima dan menunjukkan sesuatu yang bulat berwarna keputihan di sudut tepi.

"Ohh itu upas atau mata ikan.  Pedih eh?"  Aku sedang mengacau air gula bersama biji sagu di dalam periuk di atas tungku dapur.  InsyaAllah setelah bertangguh satu malam, mereka akan menikmati sedikit pengat pisang malam ini.

Alya menganggukkan kepala yang dibaluti telekung putih.

"Aaa ambik garam gosok kat situ." 

Beberapa orang kawannya turut mengiyakan sambil berkongsi pengalaman masing-masing.  Alya menggeleng dan mula nak melarikan diri keluar dari dapur.  "Nanti pedihhh!" katanya sayup.

"Kejar Alya, sapukan garam halus kat bibir dia." aku menahan tawa.

Beberapa orang mula mengacah-acah mahu mengejar.  "Dah sapu?"

An Nur mengangguk mengah, "Dia tengah sapu sendiri."

"Kak, ada keluar ke mana-mana tak nanti?"  tanya ustazah bersandar di birai pintu dengan muka lesu.  InsyaAllah akan bersalin bakal daie ketiga pada bulan Mei ini.  Suaminya sedang khuruj 2 bulan.

"Napa?"

Tiba-tiba matanya terpandang dua pelajar masih santai-santai di meja makan.  "Tu tunggu apa tu? Napa tak balik lagi?"  tanyanya agak tegas.

Ainul Mardhiah dan Adriana memuncungkan bibir.  "Tunggu mama.  Kita nak beli."

"Ntah, ada rahsia nak bagitau."  jawabku leweh. "Hmm tak pe la,  nak citer apa?"  aku mendesak sambil mengacau air gula.

"Ala kita pun rahsia jugak."  Lhoo aku terlopong seketika.  Masing-masing ada rahsia rupanya.

"Hmm takpe nanti kita wassap wassap la ea ..."  sambutku sambil buat gaya sedang menekan-nekan hp.  Ustazah berlalu pergi.

Ainatul Mardhiah disuruh balik selesai urusan.  Tinggal Adriana yang sudah mohon izin dari ustazah untuk berjumpa mama.

Dan buat seketika aku duduk mendengar hikayat darinya.

Inilah hiburan yang diberi Allah.

Ketika terasa wajah tegang untuk tersenyum, aku bahkan tertawa melihat telatah mereka.

Ketika terasa hati beku untuk bermesra, aku ralit melayan kerenah mereka.

Ketika jiwa terasa lesu untuk bercanda, aku terbuai dengan gelak-tawa mereka.

Namun ini semua hanya sementara.  Dan ini semua hanya di sini.  Tidak kekal dan tidak berulang di mana-mana.

Ini semua hanya di sini sahaja.

Dan aku bukanlah insan istimewa.  Istimewanya aku hanya di sini sahaja, sementara semata.

Di luar sana aku adalah manusia biasa yang kosong tidak punya apa-apa.

Bahkan aku adalah kerdil hina dan berdosa.

Sampai bila aku akan berada di sini agaknya?

Biarlah Allah yang memasukkan aku ke sini, yang akan mengeluarkan aku dari sini.  Aku bebas dalam kehendakNya.  Aku redho pada ketentuanNya.

Ya Allah, pimpinlah aku jangan biarkanku walau sesaat pun jua.  Allahumma aameen.

Rahsia Mata Hati

entah kenapa aku suka menulis tajuk ini begini.

Hanya sebenarnya aku mahu bercerita tentang kata-kata hati atau bicara hati atau 'instict' atau gerak hati atau ... apa sahaja kamu nyatakan mungkin lebih tepat.

Selalunya begini.
Apabila hati berkata, aku membiarkannya sahaja namun masih memerhatikan tanda-tanda yang tiba.
Apabila sesuatu itu berlaku, aku juga membiarkannya sahaja namun kadang-kadang aku tertanya-tanya, mengapa hatiku sempat berbisik-bisik bahawa ... demikian demikian ... sebelumnya.

Dan selalunya aku membiarkan ia berlalu begitu sahaja.

Apa yang aku yakini, tiada istilah 'kebetulan' dalam hidup ini.  Walaupun dalam hampir segenap kehidupan harian, hampir sering dipasangkan dengan istilah 'kebetulan' apabila sesuatu dan sesuatu itu berlaku bersesuaian keadaannya.  Inilah situasi yang selalu disogokkan di dalam kehidupan aku.

Kini aku sudah mula pandai menangkisnya.  Kataku, "Tiada istilah kebetulan.  Semuanya sudah ditentukan Tuhan.  Sejak pena diletakkan dan dakwat pun kering."  (bahasa agak tinggi).

"Heh, mana ada kebetulan.  Allah dah set siap-siap dah.  Korang ni asik kebetulan je."

Tapi kepada orang tua, aku (yang juga sedang menjadi tua) agak terkedu.  Dalam suara lemah dan nada rendah, aku hanya dapat berbisik.

Maka, ketika aku sedang melangkah dalam perjalanan yang kian singkat.  Tiba-tiba aku terkesima.  Dan hatiku berkata, 'kamu sedang diduga lagi untuk sekian kali.'

Ya, sesungguhnya dugaan hidup tidak pernah berhenti menerpa manusia.  Manusia akan terus diterpa dan ditujah ujian demi ujian, dugaan demi dugaan, keadaan demi keadaan yang menuntut akal waras yang dihiasi ilmu dan iman untuk terus melangkah di atas jalan yang lurus.

Namun kadang-kadang masih hati ingin  membiarkan diri terlena.  Walhal di sebalik hembusan angin wangi dari gunung harapan, adalah gelora asap neraka yang sedang menjulang-julang mahu membelit diri dengan lidah api yang maha hitam, mengerikan lagi menyakitkan.

Seperkara, ujian tidak pernah sama.  Andai ia serupa, mungkin kau mudah menanggapinya.  Hidup adalah milik Allah.  Jiwa adalah milik Allah.  Alam ruh, alam rahim, alam fana, alam baqa' dan alam akhirat, semuanya amat menakjubkan.  Dan aku tenggelam dalam ketakjuban padaMu Tuhan.  Engkau berbuat sekehendakMu dan aku berada dalam genggamanMu.  Sebarkan hidayatMu serata alam, ya Allah.  Semoga dapat kami meniti jalan yang lurus itu.  Jalan yang benar menuju redhoMu ya Illahi.

* cukuplah maut sebagai peringatan.  Selamat tinggal, semoga pertemuan di Padang Mahsyar adalah pertemuan tanpa hutang dan dapat bernaung di bawah rahmat Illahi, di ketika tiada naungan dan matahari sejengkal di atas ubun.  Allahu.
*  ilmu yang benar adalah cahaya walau dari siapa pun ia.  Semua dengan izin Allah jua. 

Monday, March 10, 2014

Airmata Laila

Ketika aku melihat seorang Qais meratap berdoa merintih di pintu Kaabah.  Dia memohon merayu meminta agar Tuhan membiarkan dia di dalam cintanya.  Benarkan dia menjadi hamba cinta.

Kemudian aku menatap derita seorang Laila yang indah rupawan menyembunyikan segala rahsia rindu dendam di dalam dadanya.  Betapa seorang ibu yang mampu menyelami nurani puterinya; seorang bapa yang memikirkan dirinya begitu pengasih demi kesinambungan kehidupan puteri berlangsung atas nama maruah dan kehormatan kabilah.

Tersingkap dalam fikiran tentang kisah cinta terindah dari Qalamullah abadi.  Seorang nabi Allah bernama Yusuf a.s. yang terakam kisahnya menyelusuri zaman. Tidak rekaan bukan nukilan dari perasaan sebarangan insan.

Puteri Zulaikha, seorang puteri jelita yang ditakdirkan Allah menemukan wajah bakal suaminya di dalam lena. 

Bagaimana pula dengan ceritera seorang Khalifah yang kehilangan akalnya, tatkala menyedari perempuan pujaannya kembali ke pelukan Illahi kerana tercekik butiran anggur.  Meratap dia menghiba-hiba. merenung jasad yang mula hancur dan mengatakan itulah wajah yang paling indah pernah ditatapnya.  Hingga akhirnya hilang total kewarasannya.

Benarkah, rasa cinta membuat insan hilang upaya fikirnya?

* Ingat mati, hilang selera kepada dunia.  Sebab tu hari-hari sepatutnya bercakap yang boleh meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah.  Menyebut kebesaran Allah.  Kecilkan dunia dalam hati.  Sama-sama kita.  InsyaAllah.  Allahumma aameeen.

Sunday, March 9, 2014

Jaga AgamaNya, Dia akan jaga kita

Sembang-sembang akhirat yang santai; tiba-tiba meleraikan kemelut yang bergema-gema memekakkan telinga fikirku.

Ketika seseorang membuka topik CARI MENANTU ...

Ketika seseorang telah berpakat dengan 'bakal besan' tanpa pengetahuan anak-anak yang masih terlalu mentah.

Ketika seorang teman bertegas mempertahankan pendiriannya; apabila sampai masa dan ketika ia akan jadi sepertimana yang Allah kehendaki.  Jaga agama Allah, Allah akan jaga kita.  Ini janji Allah. Dan Allah tiada sifat mungkir janji apatah lagi menzalimi.

Aku dengan segera mempelajari dan cuba mengambil hikmahnya.

Benar lagi sahih.  Jaga agama Allah, maka pasti dan pasti Allah akan jaga kita.  Dan lagi, Allah yang Maha Menepati Janji tidak pernah memungkiri janjiNya.  Dan pasti Allah tidak akan menzalimi, hanya manusia yang selalu bersikap zalim kepada dirinya sendiri.

Maka, tiba-tiba kemelut yang membelit mata hati dan mata fikirku bagai lerai begitu sahaja. 

Azam yang berkobar-kobar juga tiba-tiba bagai sirna.  Umpama malam yang dijenguk matahari.  Lenyap segala kegelapan.  Yang ada kini hanyalah terangnya siang bagai nur yang menyuluh hati.

Alhamdulillah syukur dan segala puji buatMu Ya Allah.  Sungguh apabila Engkau kehendaki kefahaman itu tiba, ia datang tanpa disangka.  Kini Engkau berilah iman yakin yang teguh kukuh lagi utuh di dalam hatiku yang mudah rapuh, agar ia menjadi sekeras butir intan yang paling keras.  InsyaAllah.

aku melihat tanpa mata
aku mendengar tanpa telinga
aku mengerti dengan hati
apa yang direzekikanMu untukku fahami.

selainnya
aku tidak peduli
kerana ia bukan urusanku lagi
biarkan sahaja
ia berlalu pergi.

* tak tahu bagaimana mahu menukilkannya.  Azam baru disemai pula ...

InsyaAllah.  Allahumma aameeen.



Tuesday, March 4, 2014

Qadho Solat Fardhu

Aku masih terkesima tentang hal ini.

Ya, kita wajib qadho semua solat fardhu yang telah ditinggalkan, semenjak usia baligh hingga ... hingga bila kita yakin telah menunaikan solat fardhu dengan istiqamah.

Susah dan memeningkan. 
Bila terakhir aku solat penuh agaknya?  Aduhh! 
Bila solat pertama aku ya?  Mana ingat!

Tetapi qadho solat itu WAJIB juga ditunaikan.  Dan aku 'merayau' mencari jawapan dan aku mahukan jawapan yang kukuh untuk dipegang.  Untuk tidak menjadi seperti helai-helai lalang yang bergerak mengikut arah angin.  Al maklum zaman mutakhir ini, ada ramai tuan guru-tuan guru dengan pelbagai pegangan, termasuk ustaz google untuk menambahkan kepeningan dan kekeliruan.

Akhirnya aku beroleh keyakinan yang mantap.  Cuma ada sikit-sikit sahaja yang perlu dijelaskan lagi.

Hasilnya, WAJIB QADHO SOLAT FARDHU YANG TELAH DITINGGALKAN.  Ini adalah untuk kes SOLAT FARDHU SEJAK AKHIL BALIGH bukan kes tertinggal solat masa terkini akibat tertidur ke, terlupa ke, atau segala jenis ter ... termasuk sengaja melewatkan solat sehingga habis waktu.

Maka aku terkesima lagi mengetahui kesungguhan beberapa insan yang sedang membenamkan perasaan mereka untuk menunaikan solat-solat sunat yang penuh dengan fadhilat dan ganjaran pahala yang besar yang dijanjikan Allah.

Ada yang sudah 6 tahun masih meneruskan solat qadho beliau. 
Ada yang sangat praktikal menyiapkan jadual solat qadho setahun untuk 5 tahun.

Dan aku ajukan kemusykilan.  "Jadi tak dapat la nak buat solat tahajjud, hajat, istikharoh, syukur semua tu?  Solat hari raya jugak?"

Tak tau mesti bertanya, kan.

Jawapannya, "Benar.  Lakukan solat qadho di waktu-waktu itu.  Semasa solat dhuha buat solat qadho.  Semasa solat tahajjud buat solat qadho.  Saya belum habis mengqadho solat sejak 6 tahun.  Masa terawih pun saya buat solat qadho."

Nah, memang terkesima aku.  Terkejut kagum. 

"Pahala tahajjud tu ada bahkan berlipat kali ganda lagi Allah bagi sebab kita menunaikan solat yang wajib.  Tahajjud tu sunat.  Dhuha tu sunat.  Kita dah tunaikan apa yang Allah suruh buat paling utama.  Lenguh tangan saya menaip."  (ada adjustment sikit ayat-ayat tu ...) 

Semoga Allah bagi faham.

Solat fardhu mesti diqadho dari usia baligh sampai umur kita yakin kita dah solat penuh.
Tidak boleh menunaikan solat sunat lain selagi belum habis menunaikan solat qadho ini. Semua solat sunat ini digantikan dengan solat qadho.  Kecuali solat jenazah kerana ia bukan solat sunat.  Semasa solat hari raya pun diganti dengan solat qadho contohnya solat qadho Subuh.  

Solat qadho dan minta la hajat apa yang dihajatkan.  Dan solat qadho ini boleh dibuat bila-bila masa tak termasuk waktu haram solat.  Waktu haram solat tu adalah untuk solat sunat sahaja.  Makanya tak boleh solat sunat selagi solat qadho tu tak selesai (qadho tu wajib).  

Contohnya, Orang lelaki pergi masjid pakai serban tapi tak pakai baju dan seluar.  Hukumnya haram.

Sejuta solat tahajjud tak boleh menandingi pahala satu solat fardhu.   Bangun tahajjud tapi buat solat qadho, dapat pahala tahajjud dan lebih besar dari itu.

Makna 'ganti' solat  sunat dengan solat fardhu ialah di waktu solat sunat tu niat qadho solat fardhu.

* Terima kasih kepada Abi & Ibnu Batoota.  Ada beberapa pendapat lagi yang diperolehi tetapi aku rasa yang ada ni lebih afdal dikongsikan.  Semoga dapat mengambil kebaikan.  Ringkas saja.  Untuk lebih mendalam boleh rujuk maulana-maulana di Sri Petaling, cadanganku kepada anda.  Allah bagi faham.  Ringkas tapi kalau tak faham, pun tak guna. Begitu detail tapi kalau tak faham pun tak guna.  Kalau faham tapi tak mau buat pun tak guna.  Semoga Allah beri kita faham.  Ini semua sekadar sedikit perkongsian.  Mohon hidayat dari Allah untuk melakukannya.  Termasuk diri aku juga. :'(



Monday, March 3, 2014

jiranku yang terbaik

Satu ketika, aku mengangkat tangan berdoa.  Satu ketika, aku mengalirkan airmata dan bertanya, "Ya Allah, ke mana kan Kau hantar aku nanti?  Ke daerah mana dan ke pondok mana?  Siapa jiran-jiranku nanti, ya Allah?  Bagaimana mereka terhadapku ya Allah?  Berikanlah aku jiran yang terbaik, ya Allah."

Di sana waktu itu, jiran-jiranku adalah yang baik.  Manis muka, akhlak mulia.  Mengambil berat dan prihatin selalu. 

Nanti ke mana akan aku pergi?

***
Menjelang saat akan keluar dari penginapan itu, yang kini sudah bertukar tangan, aku masih ragu-ragu.  Ada tugas bakal menanti.  Aku tak pasti, mampukah aku menanganinya.  Namun Allah sudah takdirkan aku akan berada di sini.

Saat demi saat.
Hari demi hari.
Minggu demi minggu.

Di sini aku berada tika ini.  Dan mereka adalah jiran-jiranku.  Tatkala memandang mereka, aku mengingatiMU ya Allah.  Tatkala berbicara dengan mereka juga aku mengingatiMU ya Allah.  Apa yang mereka perbuat, semuanya untuk redhoMU ya Allah.

Alhamdulillah syukur dan segala puji buatMU Ya Allah.

***

Kebelakangan ini aku agak keras.  Hasilnya, "Mama, mama period ke?"

"Apasal pulak?"  Pertanyaan yang janggal.  Tak pernah ditanya begini.

"Tak de la, mama tak senyum."  Lantas aku ukir senyum lebar-lebar.  Tapi, sebenarnya separuh hati sahaja. 

Jiran-jiran yang comel dan manja.  Mereka bertanya dengan tulus dan telus.  Tapi, tak senyum pun mereka macam biasa juga.  Macam selalu.  Kecoh dan agak gedik.  Arghh!

***

"Mama, mama period lagi ke?"  Aku ditanya lagi selepas beberapa hari.

Walhal mereka dah  melihat aku dalam telekung sebelumnya.  Sibuk dan sangat prihatin, kan.  "Mana ada.  Mama kan dah solat."  Jawab aku garang.  "Nape?"

"Tak de la.  Mama tak senyum."

Aduhhh ...

***

Perkara sebenarnya ialah, aku enggan melayan mereka berlebih-lebihan.  Firasatku mengatakan, kalau dilayan hampir semuanya akan menyelit di dapur hangat ini.  Tak percaya?  Sudah terjadi pun sebelum ni, sampai kena kira "SATU!  DUA!! TIIIIIIIGAAAAAA!!! Balik sekarang!!!!"

Hehe itu time aku sangat sporting.

Time aku sangat tak sporting, "Mama kata semua balik sekarang."  Dengan nada yang rendah dan muka yang sangat serius.  :P

Dan mereka akan balik sambil, "ala mama nih!"

Hmm ... mereka adalah jiran-jiranku sekarang.  Jiran-jiran yang terbaik yang aku pinta dalam tangisan dulu.  Segala puji bagi Allah, mengurniakan jiran-jiran yang berhati bersih tanpa dosa.  Umpama kain-kain putih yang belum berwarna. 

Ya Allah, jadikanlah diriku dan keluargaku pula sebagai jiran yang terbaik untuk mereka. Selagi hayat dikandung badan. Selagi khidmat masih diperlukan.  Selagi Allah masih mengizinkan aku di sini. 

Allahumma aameen.  Alhamdulillah syukur ya Allah.

* Apa yang tersedik di hati biar disimpan sampai mati.
* Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
* Alang-alang mandi biar basah.
* Alang-alang sudah melangkah, biar aku berlari.


Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing