Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, February 27, 2014

cantas lagi

sejak akhir-akhir ni, beberapa kali post-post yang aku share diberi komen.  Kadang-kadang diajukan pendapat yang dimintanya dari guru-gurunya.  Kadang-kadang minta dalil pula dari aku.  Mana aku tau!

Tapi aku masih suka juga berkongsi apa yang aku rasa baik untuk dikongsikan.  Apa salahnya, kecuali yang aku rasa dah berapa kali beredar dalam alam maya pada tu.  Kadang-kadang aku cuba memahami, mungkin aku pun buat perkara yang sama.  Orang dah tengok aku baru tengok, jadi aku fikir post tu baru.  Walhal dah zaman tok kaduk.  Jadi kalau aku dapat post yang pada aku dah basi, aku cuba bersikap seadanya.  Terima je la.  Terkadang ia boleh pula refreshing my mind of certain issue.  Ok wat.
...
Aku cuba 'baca' sikap yang suka nak mencantas ni.  Ada ke kebaikannya?  Hmm ... ke saja nak tunjuk dia lagi banyak tau, atau dia nak bagitau yang aku ni salah selalu. Dia betul aku salah.  Apa ya?

Aku tunjuk pandai ke bila berkongsi-kongsi macam tu?  Orang lain yang berkongsi dengan aku dan aku memanjangkannya.  Sampaikan walau satu ayat dariku, (sabda Rasulullah SAW) itu prinsipnya.  Dan setakat hari ni, aku cuba memastikan perkongsian itu adalah bermanfaat bukan sebaliknya.  Cuma ada la juga share sesuatu yang ... lawak barangkali.  Tapi terpulang la nak gelak ke tak nak.  Tak ada paksaan.

Aku tak nak cakap macam ni ... aik, baru ngaji sikit je belum bertahun-tahun, belum simpan janggut panjang, belum dengar ngaji ilmu bersanad sampai Rasulullah SAW, belum macam-macam lagi ... sikit-sikit nak mencantas.  Aku juga tak nak cakap ... dah banyak sangat ke ilmu di dada tu ya.  Aku tak nak cakap macam tu sebab aku pun tak bagus mana.  Tu yang aku pelik, sikit-sikit nak mencantas.  Aku cuma ... cuma ... nak berkongsi je.  Yang baik kita ambil.  Yang sebaliknya ditinggalkan.

Ok, ini semua isu biasa yang basi.  Cantas mencantas tu biasa.  Cuma, sama-sama kita check diri kita lebih baik.  Camana iman kita?  Cmana amal kita?  Cmana urusan ibadah kita?  Camana ahli keluarga kita, dah sempurna ke tutup auratnya?  Sempurnakah solat lima waktunya? 

Macam anti je kan ... tapi kenapa? 

Aku mencari.  Kau pun mungkin sama.  Aku direzekikan Allah menemui apa yang aku cari.  Kau pun macam sama je, dah jumpa.  Aku suka apa yang aku temui.  Semoga kau pun suka juga.  Walaupun apa yang kita jumpa adalah berbeza.  Tapi tak bermakna ada salah di mana-mana.  Aku yakin seperti mana kau yakin.  Cuma kalau tak cukup kenal, mari berkenal hingga ke akar umbinya.  Semoga datang cinta. 

Semoga Allah baiki hati kita.  Usah hati menjadi pecah. 

Semoga sama-sama baiki diri dan iman amal.  Kita sudah semakin hampir di ambang kebinasaan andai tidak bersiaga dari sekarang.  Nauzubillah.

* postyangmembosankansungguh*

setelah 5 bulan

Atas lemahnya iman, sudah hampir 5 bulan aku tidak berpuasa sunat Isnin Khamis seperti kebiasaan.  Atas alasan yang lemah ~ susah nak masak, letih, nanti masakan tak sedap, tak boleh nak testing rasa.  Dan suami pun tidak menggalakkan sangat.  Sementelah penyakit letih lesu kerap melanda.  Letih sebab tak biasa buat kerja rutin macam ni. 

Hari ini, setelah 5 bulan, aku berpuasa hari Khamis.  Bagitau ni bukan le nak menunjuk-nunjuk dengan riak pulak.  Tapi ada sesuatu yang nak aku katakan dari hal berpuasa hari ni. 

Aku menyertai pelajar-pelajar (8 orang sahaja yang tak puasa) yang majoritinya masih belum baligh.  Yang kecik-kecik comel-comel termasuk Nurhanessa puasa ganti katanya.  Puasa Ramadhan semasa berumur 7 atau 8 tahun, yang terbukak beberapa hari tu, diqada' hari ni.  Ada kawan ramai-ramai berpuasa, ramai-ramai keletihan.  Tak terasa sangat tekanan kelaparan.

Yang dah baligh tu, tentulah berpuasa ganti entah berapa hari.  Termasuklah ustazah-ustazah pun puasa juga.  Dan itulah, aku turut menyertai.  Kelmarin naik gambar nasi goreng di FB.  Aku katakan, bukan api bukan cili bukan diri tapi Allah yang bagi sedap. 

Emangnya ngak tau, mengapa aku kok selalu kerisauan kalau berpuasa bimbang masakan jadi berantakan rasanya.  Ngak logik gitu. 

Pernah juga aku merasa dengan hujung lidah, hukumnya makruh.  Tapi boleh saja kan ... kalau risau sangat pasal rasa masakan.

Pernah juga aku tak merasa langsung tetapi apabila dijamah, dapat thumbs up tanda enak dan sedap.  Jadi, apa yang dibimbangkan tu tak ada asasnya.  Saja je nak jadi pembimbang.  Jadi pembimbing ok juga!

Jadi, hari ini aku pun berpuasa.  Alhamdulillah.  Dan alhamdulillah insyaAllah sempitlah salur darah yang melitari sekujur jasadku.  Sempitlah ruang laluan syaitan laknatullah untuk beredar di seluruh tubuhku untuk merosakkan aku.

Ada rasa tenang.  Bersama ritual lainnya.  Alhamdulillah.  Bersama doa dan syukur ke hadrat Allah.  Alhamdulillah.

Sejenak, menyelinap rasa ... "alahai, kenapa aku berbuat begitu?  Kenapa aku berkata begitu?  Kenapa menjadi keterlaluan begitu? ..."

Aku tak dapat mencari jawapannya. 

Esok, lusa, tulat, langkat ... insyaAllah pada hari-harinya semoga Allah izinkan aku meneruskan apa yang baru dimulakan.  Semoga beroleh redhoNya. 

Apabila berulang-ulang melakukan kesilapan
Apabila berulang-ulang melakukan kesilapan
Apabila berulang-ulang melakukan kesilapan

Andai ia bukan kesilapan
Andai ia bukan dianggap kesilapan
Andai ia bukan suatu kesilapan

Semoga ini dapat menutup mulut dari berkata
Semoga tidak berulang lagi apa yang aku panggil kesilapan
Semoga sirna segala keresahan
Hilang segala kerengsaan
Dan tidak menambahkan lagi kesilapan

InsyaAllah.
Allahumma Aameen.

Menyembunyikan Munawwarah

Malam ini, selepas berbual dengan anak perempuan di Bukit Naga, aku berkeputusan untuk menyembunyikan blog Mama Cari Menantu dari bacaan umum.

Malam ini, aku merasakan kisah Munawwarah mula menyesakkan.  Perlukan novel remaja menjadi complicated sangat?  Tak terbawak dek fikiran remaja 15 tahun rasanya ...

Perlu di up kepada remaja 17 tahun barangkali?  Aku bimbang diri tak terbawak pulak ...

Apa pun, momentum masih terasa.  Masih panas dalam jiwa. 

***

Beberapa perkara terjadi di luar jangka.

"Hidayat, mama minta Hidayat doakan kakak.  Tau!  Doakan kakak!"

"Kenapa dengan kakak?" tanyanya tenang sahaja.  Satu-satunya kakak yang dia ada, yang selalu jadi teman bergaduh sebelum berpisah ke madrasah masing-masing.

"Mama nak kakak kawin tahun ni jugak.  Kakak mesti kawin tahun ni jugak.  Hidayat tolong doakan. "

Dia tersenyum.  Di luar dugaan dia berkata, "InsyaAllah, mulut Hidayat masin."

Aku berasa girang tiba-tiba.  "Haa ... nak tambah masin banyak-banyak zikrullah selain baca al Quran tu..."

Aku tau di mana point dia yang mengatakan mulut masin tu.  Satu hari ketika dia menerpa masuk ke dalam kereta, dia terus berkata, "Mama, abah, Hidayat doa sungguh-sungguh supaya tahun ni kita satu keluarga dapat pergi Mekah buat haji." Aku dan abahnya segera mengaminkan dengan aameeen yang panjang.

Sejak itu semakin teguh semangat untuk dipilih menjadi tetamu Allah.  Dan insyaAllah menjelang Ramadhan kami akan berada di Tanah Suci Mekah.  InsyaAllah aameeen.  Tetapi Hidayat tak dapat menyertai kami.  Hanya abang sulungnya, Naqib sahaja yang dapat bersama, menyambut hajat wan Juriah yang membayarkan semua tambang cucu kesayangan yang mesti khatam seluruh 30 juz untuk dibenarkan oleh madrasah bercuti umrah itu.

"InsyaAllah azam sama-sama.  InsyaAllah nanti satu keluarga akan ke sana. InsyaAllah azam semoga dapat yang lebih baik lagi ..."  begitulah yang kami katakan pada kakaknya, dia dan si adik yang agak bersedih.

Ketika akan beredar dari perkarangan madrasah, aku tekankan lagi pada anak ini.  "Hidayat, ini rahsia kita berdua.  Tak siapa pun tau.  Apa yang mama ceritakan tadi tu, abah tak tau.  Kakak pun tak tau.  Along dan adik pun tak tau juga.  Kita berdua je dengan Allah Taala yang Maha Tahu.  Hidayat doakan ye macam yang mama suruh tu.  Mama doakan supaya Allah makbulkan doa Hidayat."

Hidayat mengangguk-angguk.  Aku tau dia rasa teruja.  Hanya dia dan mama yang tau rahsia itu.  Yang empunya diri pun tak tau.  Kakak tak tau!

Sebenarnya kakak tau, tapi ada cerita yang kakak tak perlu tau.  Huhu ...

***

Kakak tiba-tiba asyik dengan keinginan belajar taranum.  Semasa diberi pilihan awal dulu, dia mahu belajar kitab.  Entah bagaimana, dia sudah terpesona dengan alunan taranum pula.

Kelmarin ketika pulang sebentar, sempat aku rakamkan suaranya berlagu asas taranum.  Pelik sebab tak pernah mendengar, tetapi sedap pulak di telinga.  Aku sharing rakaman suaranya di grup Haji Arbak Famili (mak-mak saudara dan pak-pak saudara sebelah abahnya) dan grup Lovely Siblings (kakak dan adik aku).  Grup keluarga yang aktif.  Macam-macam ada, termasuk gelagat anak-anak saudara yang masih kecil.  Macam-macam juga cerita, termasuk yang panas, suam dan sejuk dingin.  Itupun masih tak semua yang menyertai.  Elok pun, kalau semua ada lagi kecoh rasanya.  Peringatan selalu dinaikkan supaya masing-masing pandai bawa isu yang sesuai hehe ...

"Sedap suara ..." kata Cik Nozi dari Bangi.
"Syusyah syaya nak faham daaa ..." abahnya menegur dari Muar.
Mak Ngah Ana bagi tanda 'good' banyak-banyak hehe ...
Abah kata lagi, "sengau jer ..."  (sungguh!)
"Sengau la boleh buat duit.  Macam Siti Nurhaliza."  Cik Nozi backing pulak.  Haha.
"Ok .. jangan itik serati mcm FS udah le ..."  ada je abah tu kan.
             "Satu malam tak tido dia nak menghafal tu ..."

"Taranum suara ... Sedap suaranya ... macam lagu Jepun je.  Shushishushi :D"  sambut Mak Ngah Aninya.
           "Hehe .."

Entah mengapa, dia terpesona dengan alunan taranum pula ...  Tetapkan tempat dan suasananya ... ujar seseorang melalui orang tengah.  Hmm ...

"Mama, Ahad ni datang ye.  Ada cerita."  Hmm...

"Mama, sabar banyak mama. "  Hmm ...

Teringat tadi petang, "Ok bawak la semua roti ni ke madrasah." 

Nurhanessa mencapai plastik roti yang sudah luak rotinya.  Alya terkial-kial mengambil sudu.  Tangannya memegang botol jem kacang strawberry.  "Bawakla sudu dengan jem tu sekali, Alya."  Gadis comel itu langsung tersenyum lawa.

"TAPI ... yang belum dapat je dibagi.  Cakap pada mereka tu, doakan Kak Huril nikah tahun ni juga.  Mesti cakap tau!  Doa korang ni berkat hehe ..."

"Dengan siapa, mama?  Doakan saya juga ye. Saya nak yang sabar banyak."  kata Aisyah yang bermata bening hazel.  Sempat je nak menyampuk.

"Yang sabar tu yang soleh la.  Kang kalau sabar je tak soleh, apa pun sabar tapi sabarnya tak bermanfaat.  Nak wat pe ..."

"Iya la mama ... yang sabar dan soleh."  sahut Aisyah dengan mata bulat.  Aku tersenyum melihatnya.

"Ok jangan lupa pesan mama tadi.  Dah tutup pintu tu."  Aku kembali membelek hp di tangan. 

Macam ada sesuatu yang mahu dikongsikan di FB petang ini. 



Wednesday, February 26, 2014

pekerjaan syaitan

itu menjadikan sesuatu yang halal kelihatan haram dan sebaliknya.

menjadikan sesuatu yang mudah itu susah dan sebaliknya.

menjadikan sesuatu yang indah itu hodoh dan sebaliknya.

menjadikan sesuatu kenyataan itu palsu dan sebaliknya.

menjadikan sesuatu yang hak itu batil dan sebaliknya.

mengjungkirbalik kemahuan dan keperluan hingga mengelirukan.

Ya Allah.  kepadaMu berserah.

Tuesday, February 25, 2014

Doakanku dalam sujudmu

InsyaAllah doakanku dalam sujudmu selalu
InsyaAllah doakanku dalam tahajjudmu
InsyaAllah doakanku dalam solat hajatmu
InsyaAllah doakanku dalam solat lima waktumu.

Semakin waktu berlalu
Izrael semakin dekat bertamu
Semakin hampir hari bertemu
Kian akrab rasa rindu padaMU.

Allah Maha Pemelihara
Makhluk tiada kuasa
Hatta menjaga mata dan kata
Apatah hati yang susah ditempa
Semua dalam genggamanNya jua.

Kumohon doa semata
Semoga kasih cinta nan ikhlas keranaNya jua
Bertemu lagi di syurga
Kunantimu 500 tahun sambil berkuda
Usah ragu usahlah rengsa
Bersama serah diri berkorban di jalanNya
InsyaAllah semoga Allah pilih kita berdua
Sampai bila-bila sampai hujung nyawa.

Allahummma Aameen
InsyaAllah.

Sunday, February 23, 2014

Momentum yang telah menghalang

Aku tak dapat tidur tadi malam.  Mengantuk, memang ... tak dinafikan.  Hingga waktu patut tidur sudah melewati, aku masih tenang-tenang. 

Ada perkara yang aku siapkan.  Memang la ... tengah malam buta yang hening (bunyi burung hantu tu dah lama tak ada, aku agak-agak selepas Ustaz Marzuki dan pelapis beliau membuat praktikal pemagaran sekeliling madrasah) waktu yang paling membahagiakan untuk aku menenggelamkan diri dalam suatu keadaan yang ...

Andai di waktu siang, aku tak mungkin akan menulis sesuatu seperti itu.  Tetapi aku telah menulis sesuatu seperti itu lewat malam semalam ... 

Sesuatu yang keluar dengan jelas dan terang, dari lubuk hati yang paling dalam.  Err .. ye ke?

Aku rasa.

Kedua,  aku tiba-tiba mendapat perhatian.  Ini yang aku kurang suka.  Gara-gara mematuhi petua untuk mempromosi karya yang aku tulis untuk pasaran.  Kenapa kurang suka?  Err ... ok la.  Ia bagus untuk aku promosi novel pertama tu.  Semoga Allah bantu dalam usaha ini.  Laman sosial yang aku gunakan ini hanyalah asbab untuk orang tau tajuk novel tu dan berpusu-pusu membelinya di kedai dan pesta buku nanti.  Sebenarnya semua dengan izin Allah jua.  Kalau Allah izin, orang tengok je dah perkenan nak beli.  Dan semoga mesej yang ada dapat sampai dan difahami oleh pembaca. 

Ketiga, aku dengan selamba telah me'request friend' ramai orang di FB, yang mana ada mutual friend.  Sesuatu yang dah bertahun tak aku lakukan dengan bersungguh-sungguh.  Kecuali beberapa orang masturat dan karkun yang menjadi milik umum hehe ...  Untuk tujuan mengikuti buah fikiran dan ilmu yang disampaikan, serta menyampaikannya pula.

Keempat, tiba-tiba inbox dan notification aku sentiasa penuh. Dah kosong penuh balik.  Wah, ceria sungguh FB milik aku hari ini.  Dan aku naik leka melayannya.  Jadi?  Err ... tiba-tiba aku perasan glamer :P.  Mereka membaca status-status lama aku untuk mengenali siapa aku sebenarnya.  Macam yang aku pernah buat.  Sama je.  Dan juga, aku tiba-tiba rasa perlu tukar hp sebab kerap benar melakukan typo.  Kena pakai yang lebih besar tapi tak perlu cukup besar hehe ...  macam bagus.

Aku juga sekali lagi dengan segan malu mengwar-warkan blog picisan ini untuk dikongsikan.  Dan ditambah lagi dua blog baru untuk novel Seharum Doa Bonda, serta manuskrip kedua  dengan tajuk awal Mama Cari Menantu.

Ok.  Tiba-tiba terfikir untuk meletakkan sesuatu yang aku tulis tengah malam tadi itu sebagai prolog Mama Cari Menantu.  Hmm ... aku rasa ia sangat-sangat menarik dan catchy insyaAllah.

Allahmumma aameen.

Semua ini hanyalah sebuah kesementaraan.  Allah sahaja yang Maha Kekal dan Maha Terkenal.  Allah Sebaik-baik Penulis dan Perancang kisah benar. 

Diriku hanya cebisan kecil atom yang seni di persada ini.  Aku tiada apa-apa.  Allah Maha Memiliki segalanya.  Aku tiada apa-apa.  Satu ketika aku pasti akan pergi jua.  Tanpa membawa apa-apa.  Semoga Allah mengizinkan ku menulis dan menjadi asbab kebahagiaan di alam sana. 

Pesanan buat diri ~ menulislah dari hati. 

InsyaAllah.  Allahumma Aameeen.  Semua dengan izin Allah. 

Momentum telah menghalang aku tidur lena, sebenarnya.






Saturday, February 22, 2014

Bengkel kedua

InsyaAllah hari ini, 21 Februari 2014.

Menghadiri bengkel penulisan buat kali kedua.  

Semoga Allah meredhai.  

Sekelumit usaha untuk mencari ilmu membaiki diri dalam arena penulisan.

Aku menulis bukan kerna nama. 

Sering aku teringat pada satu ketika di zaman remaja, aku tidak pernah terfikir waktu itu bahawa hari ini aku akan menjadi sebutir zarah dari kelompok warisan SASTERA.

Harus aku akui dari hati, bahawa sesekali datang rasa yang nyata; aku cinta menulis.  Ada sesuatu yang menggelodak dalam jiwa memaksa dengan gemalai.  

Ia satu cara untuk melontar dan meluah apa yang dirasa.

Lain orang lain anugerahNya.

Mungkinlah ini anugerah buatku pula.

Menulis, dan tak perlu kisah apa orang akan bicara.

Siapa dan kenapa.

Selagi tetap di dalam ruang ketetapanNya.  Tidak melangkaui kemurkaanNya.  

Aku menarik nafas lega.

Alhamdulillah, semoga Allah menetapkanku di atas jalan keredhaanNya hingga hujung nyawa. 

InsyaAllah.  Allahumma Aameeen.

Ya Allah, berilah daku faham dan mudahkanlah urusanku dan tetapkanlah daku di atas jalan yang lurus yang Engkau redhai.  Aameeen.

Beramal dan Menyampaikan
Dari Abu Hurairah r.a berkata meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang untuk menghasilkan dunia telah mempelajari suatu ilmu yang sepatutnya dipelajari untuk mendapatkan redha Allah SWT, dia pada hari Kiamat nanti tidak akan mencium walaupun bau syurga. (HR Abu Daud)

Friday, February 21, 2014

Apabila Bersedih

Dan bahwasanya kepada Tuhamulah kesudahan (segala sesuatu),
dan bahwasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis,
dan bahwasanya Dialah yang mematikan dan menghidupkan,
(Surah An Najm 53 :42-44)


Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Az Zumar 39:53)


Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman
(Surah Ali 'Imran 3:139)


 Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir ;
Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah;
dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir;
kecuali orang-orang yang mengerjakan shalat
(Surah Al Ma'arij 70 :19-22)



 Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika mereka ditimpa malapetaka dia menjadi putus asa lagi putus harapan (Surah Fussilat 41:49).


* semua gambar ini diambil di Negara Brunei Darussalam yang indah permai, tanah yang diberkati Allah.  
InsyaAllah.

Janganlah kamu berdukacita

Sesungguhnya Allah bersama-sama kita

Adat hidup di dunia.  Setiap saat wajar siaga waspada.


Tidak mengapa andai mahu menangis.  Menangislah.

Tanda jiwa yang masih bernyawa



Allah berbuat sekehendakNya.
Tak mampu mengerti tidak mengapa. 

Lalui sahaja kehidupan ini. Belajar menjadi insan yang redha.

Baikilah sangka-sangka.  Sangkaan yang baik adalah doa, semoga menjadi nyata.




~ Tiba-tiba rasa teramat rindu untuk kembali ke tanah ini.  
Segalanya indah termasuk titisan airmata yang menitis menjadi untaian mutiara. ~


ITU TANDA BENCI

ITU TANDA BENCI!
ITU TANDA BENCI!
ITU TANDA BENCI!

Alhamdulillah.
Satu hari di antara ribuan hari ketika matahari selalu menyinari siangku dan bulan selalu menerangi malamku, bintang kerap menghiasi pandanganku.  Bahawa hari ini aku mengerti ITU TANDA BENCI.

Satu hari di antara ribuan insan yang aku selalu temui.  Tiada aku benar-benar perduli kasihkah, rindukah, sayangkah atau bencikah pada diri ini.  Seketika ini aku tiba-tiba menyedari ITU TANDA BENCI. 

Kutarik nafas dalam-dalam.  Cuba kurenungi diri.  MENGAPA ITU TANDA BENCI?

Kususuri satu persatu detik yang berlalu.  Mungkin di situ.  Mungkin di sana.  Mungkin di sini.  Mungkin yang itu.  Entah yang mana.  Tetapi MEMANG ITU TANDA BENCI.

Segala puji buatMu ya Allah.  Sekian lama aku mengira aku sentiasa diterima.  Kedatanganku dinanti.  Kepulanganku ditangisi.  Ketidakhadiranku dirindui.  Kehilanganku dicari.  Rupa-rupanya aku juga DIBENCI.

Syukur ke hadratMu Illahi.  Perempuan daif yang hina ini sudah melampaui batasan.  Maka KAU datangkan rasa keBENCIan di dalam hati insan.   Agar aku menyedari ketidaksempurnaan hakikat diri.  Bahawa hanya Engkau yang Maha Sempurna dan Maha Pecinta.

Sungguh, hati aku mengatakan ITU MEMANG TANDA BENCI.  Bukanlah aku seorang penyangka buruk semata.  Tetapi suara hati berkata, ITULAH BENCI sebenarnya.

Sungguhpun ia membuatkan serba tak kena.  Tekak menjadi kering.  Perasaan jadi gulana.  Hati dan rasa tidak seia sekata.  Semua berantakan belaka.  Aku wajib belajar mengerti lantas menerimanya.  ITULAH TANDA BENCI yang nyata.

Seketika.  ITU TANDA BENCI.  Dan aku terasa DIBENCI.  Biarkan sahaja. 

Biarlah.  Masa tetap pergi tidak pernah berhenti.  TANDA BENCI dan terasa DIBENCI pun akan pergi tidak berhenti.  Hanya seketika ini, ia berlegar mengelilingi diri.  Agar aku menginsafi, ada sela masa yang teristimewa; MENGERTI TANDA BENCI dan terasa DIBENCI.

Allah Maha Kuasa makhluk tiada kuasa.  Dengan izin Allah jua TANDA BENCI dan terasa DIBENCI ini menghinggapi diri.  Pasti ada hikmah tersembunyi.  Apa yang pasti, aku selalu terasa semua baik-baik sahaja.  Memang wajar di satu ketika, aku DIBENCI pula. 

Redha dengan ketentuanNya.  Suka dan BENCI adalah ciptaanNya.  TANDA BENCI itu ada sebabnya. Asbab kepada sesuatu perkara.  Entah apa hikmahnya, hanya DIA yang maha mengetahui segala rahsia.








Thursday, February 20, 2014

menulis dengan airmata

menulis dengan sepenuh jiwa

Aku terimbas kembali ketika satu ketika dulu, aku pernah membaca buku yang dibawa kawan dari rumahnya.  Ketika itu aku masih di bangku sekolah rendah.  Dan waktu itu, aku benar-benar gila membaca.  Kebenaran cikgu untuk ke perpustakaan sekolah adalah saat yang paling aku tunggu-tunggu.  Tanpa suara aku duduk menekuni buku yang ada.

Ada beberapa buku nipis yang sangat suka aku ulang-ulang membacanya.  Kalau tak silap, salah satunya ialah kisah Ikan Duyung yang mengorbankan rambutnya yang cantik untuk bersama dengan lelaki yang diselamatkannya.  Tetapi aku kurang gemar penutup cerita yang menyedihkan itu.  Tapi pantang jumpa, baca juga.  Tetap tak gemar sangat kesedihan di hujung cerita.  Hmm ...

Sayangnya aku tidak dapat menyeimbangkan buku yang sepatutnya dibaca.  Akibatnya keputusan peperiksaan aku merosot, dan menggembirakan kawan-kawan yang selalu tak dapat mengalahkan aku.  Masih aku ingat di satu ketika, apabila cikgu menulis keputusan peperiksaan di papan hitam, seseorang dengan jelas bersorak riang kerana dia telah mengalahkan aku.  Tapi aku tak kisah pun.  Seolah-olah tiada makna angka yang aku dapat, cuma aku kurang suka sorakan teman tu.  Amboi suka la ye atas kelekaan aku yang menyebabkan aku dapat nombor lebih dari dia ...  Siapa dia?  (Dia bukan pengunjung blog ini, pastinya).

Jika selalu aku antara beberapa orang yang mengambil hadiah dari tangan Guru Besar ketika perhimpunan, hingga bertembung berlanggar dek lajunya berjalan.  Tetapi menjelang akhir persekolahan Darjah 6, aku makin merosot.  Ketika kawan-kawan sibuk membaca dan menghafal untuk Peperiksaan Penilaian darjah 5, aku tak teruja pun.  Entah kenapa ... Teruk ya.

Kembali pada kisah buku yang kawan bawa dari rumahnya.  Aku letakkan di bawah meja dan curi-curi baca ketika cikgu leka.  Aku pun leka sama.  Tak habis dibaca, aku pinjam bawa balik rumah.  Tebal buku cerita klasik tu agak-agak dalam setengah jengkal kot.  Di rumah, aku kian tenggelam dalam kisah yang dihayati sepenuh perasaan.

Kisah klasik yang memang mengasyikkan.  Aku serasa berada di dalam kisah itu.  Mendengar bunyi, mencium bau, menyentuh dan sama beraksi.  Dalam banyak-banyak kisah, aku mengingati bagaimana seorang raja yang menunggang kuda menempuh sebuah perjalanan yang cukup jauh.

Membayangkan seseorang yang sedang diterpa angin di atas kuda yang berlari kencang.  Merentasi tanah demi tanah yang pelbagai warna serba indah.  Ada tanah dari batu merah, ada tanah dari pualam, ada tanah dari permata, ada tanah dari mutiara.  Aku ... amat terpesona.

Di kampung, aku menemui sebuah buku lama milik sepupu, yang mungkin sebenarnya buku teks yang dikaji di dalam subjek Bahasa Melayu.  Agaknya.  Aku tak pasti, sebab aku bukan aliran Sastera.  Pun aku tenggelam dalam ceritanya.

Jadi, setiap kali habis membaca sesuatu kisah, aku seolah-olah blur.  Aku melihat sekeliling dengan mata dan perasaan yang terkesan dari hikayat yang dibaca.

Apakah hikayat atau kisah itu benar-benar hebat sehingga mampu menyelinap ke dalam hati dengan begitu mendalam?  Atau sekadar aku yang masih mentah di usia terlalu muda begitu terpengaruh sehingga membenarkan kesannya meresap ke dalam diri?

Semuanya dengan izin Allah.  Tanpa izin Allah tak akan terjadi.

Aku memang memiliki banyak waktu untuk membaca.  Dengan mata yang terang dan sokongan mak abah yang suka aku membaca, aku menjadi seorang pembaca yang tekun.  Untuk seketika, sehingga aku mula didatangi persoalan-persoalan yang memeningkan dalam diam-diam tanpa diduga.  Dan aku mula menulis.

Perihalnya di sini, story aku dah lari jauh dari tajuk posting.  Hehe ...

Kembali.

Aku sedang merangka kisah untuk manuskrip kedua.  InsyaAllah.  Malam tadi aku tersentuh dengan cerita seseorang tentang kisah Airmata Laila Majnun.  Sebuah karya seorang Wali Allah, yang menulis dengan hatinya.  Menulis dari hati akan menghujam ke hati.  Berbicara dari hati akan masuk ke hati.  Memandang dengan mata hati, akan nampak semua yang tersembunyi.

Inilah masalahnya.

Bagaimana aku akan menulis?

Menulis dengan airmata, semoga akan mengalir airmata yang membacanya ... begitukah barangkali?  Mengapa perlu airmata pula? 

Begitulah hajat di hati.  Begitulah harapan dalam diri.  Begitulah cita-cita di jiwa.  Begitulah azam yang membara.

Supaya tulisan itu benar-benar memberi makna.  Bukan membuang masa menulisnya.  Bukan membuang masa orang yang membacanya.  Supaya memberi kesan pada diri dan fikiran.  Supaya tersingkap sebuah kesedaran.  Keinsafan.  Terbuka hati untuk sebuah kebenaran.  Terbuka minda dan jiwa raga untuk membaiki diri.  Menjadi asbab hidayat untuk memilih yang benar meninggalkan fatamorgana.  Kerana hidayat Allah itu datang dalam pelbagai wajah dan dari pelbagai arah.  

Subhanallah!  Tiba-tiba aku seperti agak lebih mengerti maksud kata-kata Habib Umar yang sarat makna ini.



Kerana hidup ini hanya seketika.  Bukan di sini tempat kita.  Ini hanya sebuah perjalanan sementara.  Kita semua adalah pengunjung sambil lalu yang sedang bergerak, suka atau tidak. Inilah hakikatnya.  Kita hanyalah perantau yang sedang menuju jalan pulang.  Jadi menulislah sebagai seorang pengembara yang sedang melangkah ke kampung halaman.  Insan yang sedar diri hakikat sebuah kesementaraan.  

Tulisan yang kita nukilkan akan dibawa ke hadapan wajah, ketika sebuah perhimpunan raksasa sedang berlangsung.  Setiap aksara hatta titik akan ditanya.  Bagaimana pula dengan kesannya?   Bagaimana pula dengan masa yang digunakan?  Bagaimana dengan masa yang diambil oleh pembaca untuk membacanya?  Berbaloikah?  Merugikankah?  

Allah maha kuasa makhluk tiada kuasa.

Peringatan buat diri ~~~ minta pada Allah jangan minta pada selain Allah.  Minta pada Allah jangan minta pada selain Allah.  Minta pada Allah jangan minta pada selain Allah.  Minta pada Allah jangan minta pada selain Allah.  Minta pada Allah jangan minta pada makhluk. Allah Maha kuasa makhluk tiada kuasa.  Allah Maha kaya makhluk miskin hina tak ada apa.

Ya Allah, aku meminta padaMu.  Berilah kebaikan dan keredhaanMu padaku ya Allah.  Redhailah aku sebagai penulis.  Jadikanlah tulisanku asbab hidayat buat diri dan alam.  Jadikanlah ia asbab kebahagiaanku di kampung akhirat nanti.  Allahumma aameeen.

InsyaAllah.


Wednesday, February 19, 2014

Sebenarnya hidayah Allah memang mahal

Aku membaca komen Anon di blog seseorang, yang menyatakan dia di dalam kemurungan dan sedang preskripsi ubat untuk dirinya dengan cara istiqamah solat lima waktu. Ternyata dia sedang berjuang untuk melengkapkan solat lima waktu sehari semalam, jika tidak dia akan didatangi kesakitan pada jiwanya. Menangis, marah-marah dan berdendam (seperti yang dinyatakannya) dengan kata lain lahir dari kekecewaan dia untuk mempertahankan mujahadahnya. Harapannya untuk pergi ke satu tempat dan bergaul dengan orang-orang yang kuat rohani dan aku tak faham sambungan ayatnya iaitu ... dia mengatakan 'keadaan ini' tidak membenarkan dia berbuat demikian. Tak mengapalah. Aku pernah melaluinya. Mungkin hampir sama atau lebih baik sedikit, atau agak teruk sedikit. Bingung melihat dunia. Walau waktu itu aku berada di sebuah perkampungan yang tenang. Kalau tak nak berfikir pun tak mengapa. Semuanya mudah. Atau seperti mudah. Atau aku ambil mudah. Entah, itu dulu. Sudah lama dulu. Dan satu ketika aku membuat keputusan akan melakukan sesuatu yang diistilahkan 'kesilapan' supaya aku mengetahui apa pula yang diistilahkan 'kebenaran'. Syukur kepada Allah, kerana tidak menarik nyawaku saat itu. Saat ini juga, kerana aku tetap takut pada kematian. Tapi andai saat itu aku menemuiNya, sedang aku berada di medan 'kesilapan' yang aku cipta sendiri ... arghh, membayangkannya sungguh mengilukan. Di dalam daerah 'kesilapan untuk mencari kebenaran' itu, aku berubah dari aku yang selalunya aku. Yang selamanya sebelum itu adalah aku. Ia mengejutkan. Tapi aku tak mau ambil tahu siapa yang terkejut. Aku hanya mahu mencari kebenaran, walhal bukan itu jalannya. Dan aku mencari sambil menelusuri jalan kehidupan. Di satu ketika, setahun kemudian, aku berubah lagi namun masih ada saki-baki sikap 'buat salah untuk tau yang benar' itu. Ah, sedih mengenangkan kejahilan dan kebodohan diri. Aku mendatangkan dilema kepada insan-insan yang hampir. Akhirnya aku bernikah, selepas melalui pelbagai pancaroba dan tekanan yang menyakitkan. Di dalam ikatan pernikahan, ada suka ada duka. Ada senyum ada tawa. Ada tangis ada airmata. Ada segala rencahnya. Walau belum cukup sempurna. Perlahan-lahan aku didewasakan oleh kisah dan cerita kehidupan. Adindaku yang akrab dengan satu kumpulan tarikat yang sering menarik minat pihak pemerintah untuk menggempur mereka, kerap mengajak aku untuk terlibat di dalam aktiviti mereka. Dan beberapa kali aku mengambil ijazah untuk diamalkan (putus, ambil lagi). Hanya aku hairan, mengapa aku tak dapat-dapat 'diterima masuk sepenuhnya' ke dalam kumpulan mereka. Tak ubahnya seperti melukut di tepi gantang. Walhal adindaku isteri anggota keluarga terdekat dengan pemimpinnya. Maka aku belajar istilah 'berdiri atas pagar' sehingga aku benar-benar yakin untuk turun dari pagar dan bergerak ke daerah yang mana. Sehingga satu ketika aku menukilkan sepucuk surat ke Tanah Suci Mekah, entah kepada siapa. Aku titipkan kepada seorang sahabat, dengan pesanan surat itu letakkan di celah-celah kitab suci al-Quran di Masjidil Haram. Aku tak tahu mengapa berbuat demikian. Mungkin lambang kepada mesej 'untukMu Tuhan, tolonglah daku yang kebingungan'. Aku berharap ada seseorang yang akan membacanya dan mendoakan aku. Aku nyatakan nama sebenar juga tetapi kandungannya sudah lama hilang dari ingatan. Sehingga akhirnya, suatu hari aku diajak seorang kakak untuk pergi rumah kawan dia. Itulah majlis Taklim. Di situ aku direzekikan mendengar bayan. Aku terpaku, kagum dan terharu. Bagai mahu menitik airmataku. Mendengar kata-kata yang jelas dan satu-persatu itu, di celah-celah wanita-wanita dari Indonesia (kalau aku tak silap), aku menarik nafas yang panjang. Semua persoalan selama berpuluh tahun terjawab dalam seketika. Ya, jawapan yang aku cari di merata-rata. Antaranya, di dalam buku motivasi. Di dalam buku tentang 'Siapa manusia pertama?'. Di dalam buku nukilan ustaz-ustaz. Buku kisah-kisah sufi dan para wali. Buku Hamka. Buku kumpulan sajak sufi yang memeningkan aku. Tafsir al-Quran yang aku tak cukup dapat mengerti maksudnya. Jelas, pintu hatiku dibuka Allah saat itu untuk mengerti dan memahami untuk apa hidup ini sebenarnya. Asbab bayan dari jemaah Indonesia itu. Subhanallah! Maka, sehingga hari ini, aku mengakui dengan hati yang yakin bahawa usaha dakwah adalah usaha yang benar. Jemaah dakwah adalah jemaah yang benar. Mereka adalah orang-orang yang dipilih Allah untuk meneruskan legasi Rasulullah SAW. Itulah maksud hidup yang sebenar. Bukan belajar tinggi-tinggi dan kerja bagus-bagus yang dipanggil kejayaan. Bukan kawin dengan doktor jurutera arkitek anak raja itu kejayaan. Bukan kumpul harta banyak-banyak pergi melancong sana-sini bina rumah besar itu kejayaan. Itu hanya daki dunia. Daki yang kotor. Yang tak boleh diangkut masuk kubur. Aku mengenang dan cuba membayang-bayangkan. Andai jemaah datang mengetuk pagar rumah moyang aku dulu. Andai jemaah datang mengetuk pagar rumah atok aku. Andai jemaah datang mengetuk pintu rumah ayah aku. Tapi di kampung yang di kelilingi hutan banat, siapa yang nak datang? Itu kampung moyang dan atuk aku. Rumah ayah aku di pekan Tangkak, tak pernah berjumpa jemaah yang datang rasanya. Satu ketika aku didatangi rasa tercari-cari kelibat orang berjubah serban. Tetapi amatlah susah nak ditemui. Andai terpandang seorang, rasa seronok menerpa diri. Ada rasa lega, ada rasa ... tak tau nak dikata. Di sela masa, sekali lagi aku melakukan kesilapan yang tak sepatutnya aku lakukan. Sebuah perangkap yang aku bina tanpa sedar. Dan lagi. Dan lagi. Sungguh aku manusia yang amat lemah dan hina. Akhirnya aku memikirkan, ini semua adalah peringatan dari Allah. Juga ujian dan dugaan hidup. Tidak diuji seseorang itu melainkan dengan had kemampuannya untuk menghadapi. Dan setiap insan pasti akan diuji Allah. Dunia memang tempat ujian. Itulah keyakinan aku. Pasti ada hikmahnya. Hanya Allah yang Maha Tahu. Sehingga hari ini. Aku masih kurang mengerti tetapi sebahagian besar kekalutan serta persoalan yang sedemikian lama bermain di fikiran hampir sirna. Ketika melihat wanita-wanita anggun yang berpapasan, aku bersyukur ke hadratNya dan semoga mereka diberi hidayat juga. Ketika membaca khabar yang berbagai nada di mana-mana, aku bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada aku dan keluargaku yang kecil ini. Walaupun dugaan terus menimpa, ia datang bersama rasa insaf dan sadar. Bahawa Allah berhak melakukan apa sahaja, dan aku hanya insan yang mahu berteduh di bawah lembayung kasih sayang dan rahmatNya. Sebenarnya hidayat Allah amat mahal, memang mahal. Demikian, aku azam wakafkan diriku, suamiku, anak-anakku, semua keturunanku hingga hari kiamat untuk meneruskan jihad fisabilillah di jalan Allah ini. Ya Allah, jadikanlah tulisan ini sebagai doaku padaMu dan makbulkanlah ya Allah. Semoga jadi asbab hidayat diri dan alam. Aku masih kurang mengerti dan jahil, Kau tunjuki dan ajarlah ya Allah. Terima dan pilihlah kami sebagai pembantu agamaMu ya Allah. Kami berdosa ampunilah kami ya Allah. Kami lalai dan sudah lama leka, janganlah biarkan kami terus kerugian dalam kelalaian. Ya Allah, terimalah kami. Kami malu, sebab kami lambat. Susah nak faham. Berat nak buat. Ampunilah kami kerana Kau Yang Maha Pengasih Maha Penyayang Maha Pengampun Maha Penerima Taubat Maha Lemah-Lembut Maha Penyantun Maha Adil Maha Sempurna Maha Penguasa dan hanya DiriMu yang dapat memuji DiriMu sendiri. Aameen ya Rabbal alaameeen. Ya Allah, berilah faham yang lebih baik kepada si pengadu yang sedang resah gelisah itu walau di mana dia berada bahkan sesiapa juga yang sedang resah gelisah, di mana saja. Allah sebaik-baik Teman di kala ramai dan bersendirian. Pilihlah dia dan mereka semua untuk turut sama membantu agamaMu, menjadi daieMu bersama bertebaran di bumi yang kian tua ini. Dengan berkat baginda Rasulullah SAW, kabulkanlah doa ini ya Allah. Aameen.

Tuesday, February 18, 2014

Tidak Mengapa

Tidak mengapa
Kerana itu hanyalah perancangan
Allah pun merancang
tak perlu dipertikaikan.

Tidak mengapa
Andai pelbagai rasa
Bercantum di dalam dada
Resah risau ragu atau ... apa sahaja
Allah pun merancang
dan Dia sebaik-baik Perencana yang Maha Hebat.

Tidak mengapa
Andai jadual berlari meninggalkan kita
Sehingga sayup tak kelihatan
Entah di mana berkelana
Allah pun merancang
JadualNya tetap tidakkan berubah sampai Kiamat.

Tidak mengapa
Tidak mengapa
Tidak mengapa ...

Kerana sebaik-baik tempat berharap hanya kepada DIA yang Maha Esa
Bukan pada kata-kata yang pernah diucap
Bukan jua pada mimpi-mimpi manis yang pernah mengusap lena
Tidak pada senyuman yang diukir
Jauh sekali pada senda gurau yang menawan hati.

Maka
Hanya padaMu ya Illahi
Bukan pada kata atau mimpi
Bukan pada senyum atau usikan hati
Bukan pada yang selainMu ya Illahi.

Dan
Andaikata di penghujungn harapan dan doa
Yang tiba adalah kosong belaka
Itulah hujan yang turun di tengahari
Ketika matahari sedang marak, pelangi mempamerkan diri.

Ia hanya fatamorgana nyata
Yang memancar dari kornea mata
Rintik hujan yang menitis
Adalah dingin salju yang menyejukkan jiwa.

Bahawa ketenangan dan kebahagiaan itu milikMu Illahi
Bahawa hujan di tengahari adalah pengajaran
Bahawa dalam apa jua keadaan hanya kepada Dia dicurahkan segala harapan dan impian.

Ketahuilah,
Dia tidak akan menghampakan
Dalam doa-doa yang diungkapkan
Dia benar-benar Maha Mendengar
InsyaAllah pasti kesampaian
Di sini atau di sana
Sekarang atau kemudian
Di dunia atau di syurga.

Usah kecewa.
Jangan berputus asa
Tidak mengapa
Ini semua hanya sementara.

Saturday, February 15, 2014

mimpi manis

Apabila meminta, mintalah pada Yang Empunya.

Tiada sesiapa memiliki apa-apa.  Semuanya milik Yang Empunya. Mimpi yang manis juga milik Yang Empunya.

Alhamdulillah, suamiku selamat menjalani pembedahan bisul di dada kiri berdekatan jantung pada jam 2 pagi tadi, 15 Februari 2014. Tak aku ketahui sehingga aku mengucapkan salam pagi sobahal khair pada jam 6.25 am. Agak terkejut namun amat bersyukur alhamdulillah kepada Allah, aku mengucapkan lagi kata-kata yang baik untuknya.  Seperti biasa aku kirimkan perkongsian demi perkongsian yang mampu mencetuskan letupan gunung berapi di dalam dadanya untuk sama menyertai perjalanan para sahabat, yang bertebaran di serata dunia.  Juga doa semoga suamiku cepat keluar menyambung iktikafnya di masjid Sri Petaling, secepatnya.  Semoga dapat menyertai perhimpunan para ulama dan wali-wali Allah serta menyambung khidmat yang diperlukan.  Semoga dapat bertemu dengan para pecinta Rasulullah SAW yang bertemu Baginda setiap malam yang sepi, walaupun tidak mengenali orangnya.  Semoga diri suamiku beroleh berkah dari Allah.

Alhamdulillah, jazakumullahu khoir buat bonda-bonda tersayang yang mendoakan dengan penuh tawajjuh untuk suamiku semoga selamat.  Hari ini aku kembali menghubungi mereka untuk menyampaikan khabar yang baik tentang suami.

Begitulah, aku juga mendapat khabar gembira dari anakanda yang berada di Bukit Naga.  Mimpi yang manis mengusapi lenanya buat sekian kali.  Aku tersenyum mendengar ceritanya.



Kita tidak memiliki apa-apa.  Semuanya milik Yang Empunya.  Mimpi yang manis juga milik Yang Empunya.

Hati kita bukan milik kita.  Hati kita dalam genggamanNya.  Hati sesiapa jua.  Apabila teringat dan mengingat, segeralah berdoa yang baik-baik.  Bicarakan yang baik-baik.  Panjatkan harapan yang baik-baik.  Itu semua doa yang baik.

Sekarang ini perhimpunan para Wali Allah sedemikian ramainya.  Hanya Allah jua yang mengenali WaliNya.  Berdoalah, asbab para kekasih Allah ini, semoga disampaikan hajat yang menggunung.

Mimpi manis demi mimpi manis.  Membuatkan aku tersenyum, senyuman yang paling manis rasanya hmm ...

Semoga mimpi-mimpi manis menjadi kenyataan yang manis, tak lama lagi.  InsyaAllah, Allahumma Aameeen, Biiznillah.

Friday, February 14, 2014

Ujian kesakitan

datang lagi buat suami tersayang. 

Jam 7.22 masuk gambar sepinggan nasi (macam nasi beriani je, kegemarannya) dan mee goreng (kegemarannya juga) bersama seketul peha ayam (macam peha ayam je) dan segelas air masak dalam gelas plastik berwarna pink, dan sebotol air soya (macam air soya je).  Dia berbuka puasa sunat hari Khamis.  Alhamdulillah.

Jam 9.27pm
Otw HUKM
Bisul dan meletup

Aku tentunya terkejut.  Kenapa harus ke HUKM?  Bisul pertama di tengah-tengah dada (macam tempat lampu Ultraman yang berkedip-kedip merah tu) dioperasi di Poliklinik An-Nisa je.  Kata orang belah hidup-hidup.  Cuma bius sekeliling bisul je.  Tapi ... memang sakit.  Kesian dia.  Aku je yang syok fokus rakam video tak rasa apa, fokus jangan tak fokus.  Aku berani rupanya tengok darah.  Tapi tak berani nak pegang cacing tanah, asbab failed cita-cita nak jadi doktor. Dan kesian nak rendam katak tikus dalam air bagi lemas semasa kelas Biologi.
Ya Allah
HUKM?
Meletup macamana?
Sapa hantar?

Ada khidmat shuttle
Don wori
Hiihiiooo

Macamana rasanya, sakit sangat ke?
Along tau ke?
Bila pecah?
Lepas ni balik mana?
Ayang lebih suka abang balik SP je tapi xcuse takyah khidmat.  Tempat tu sekarang
ramai ulama dari Singapura n Brunei berkumpul.  Mudah-mudahan
asbab berkat cepat sembuh

Lepas ni balik SP
ok gud
stay sampai Ahad

Rilex je
cool down don wori

semoga jadi asbab hidayat
semoga semua doakan n cepat sembuh zahir batin
dapat belajar iman amal
line teruk boring betul
tulis laju tapi sangkut
tetiba hp off
betri kong
kena pakai power bank ni :(
(sedang mengidam power bank yang sedang dipakainya, aku yang berhajat dia yang pakai dulu ...)

Tentu Naqib tak tahu-menahu langsung pasal abahnya sedang berada di HUKM.  Anak sulung ini sampai dari Dengkil petang semalam seramai 40 orang untuk khidmat ijtimak.  Gembira rasanya anak dan suami berada di sana, tetapi tidak pula hampa apabila suami digilirkan kesakitan oleh Allah.  Ia tanda kasih Allah kepadanya.  Asbab kifarah dosa dan ditinggikan darjatnya insyaAllah.

Aku pun cool je.  Apalah sangat, bisul je.  Besar juga, sebesar buah langsat yang paling besar dan warnanya merah muda.  Ketika akan beredar ke SP kelmarin malam (Selasa malam Rabu) aku sempat menyentuh bisul itu, terasa hangat menandakan ia sedang aktif mengumpul toksin dan nanah.  Cuma bisul kedua ini berada di atas daerah jantung.  Ia tidak bermata.  Memang perlu dioperasi untuk mencungkil keluar nanah yang sudah berkumpul di situ.

Tak sangka pula dia akan dibius sepenuhnya untuk pembedahan nanti.  Sekarang jam 4.50.  Naik status di FB nya sejam yang lalu, dia sudah dalam perjalanan ke bilik pembedahan.  Saat ini mungkin dia masih berada di dalam keadaan tidak sedar sepenuhnya.  
Allah bagi sedap

cantik je tarikh tu

Add caption

sedang mengumpul nanah di bawah kulit

Dari kejauhan ini hanya kepada Allah aku sandarkan harapan dan doa, semoga Allah memudahkan pembedahan tersebut dan memelihara dia dari sebarang komplikasi yang berbahaya.  

Kenapa aku tak pergi sana ziarah suami tersayang?

Aku tak tau nak drive ke sana.  Aku bertugas pula di sini.  Dan aku tak nak menyusahkan sesiapa.  Tak mengapa, Allah kan ada.  Allah sebaik-baik teman untuk kita saat beramai mahupun bersendirian.  Aku tahu dia tentu mahu aku menjadi seorang yang tabah, setabah dia barangkali.  InsyaAllah.  

Mungkin ini ujian permulaan untuk perpisahan demi perpisahan berikutnya.  Hanya Allah yang tahu segala hikmahnya.

Tak mengapa, nama abang naik melonjak-lonjak tu.  Tentu semua mendoakan abang.  Tanam azam untuk wakafkan diri di jalan Allah selepas ni.  Aku tiupkan semangat membara ke dalam dirinya.

Ini semua asbab untuk aku sampaikan apa yang tersirat di hati.  Aku nyatakan dengan jelas dan telus.  Semoga Allah bagi faham kepada diriku sendiri dan kepada dia.  InsyaAllah.

Semoga Allah pilih kami dan anak cucu keturunan kami sebagai pembantu agamaNya sehingga hari kiamat.  Allahumma aameen insyaAllah.


Thursday, February 13, 2014

Terima je

Melayan suami di Whatsapp kadang-kadang menyeronokkan juga.  Bertukar-tukar cerita dan icon lucu.  Macam la jauh sangat jaraknya.  Aku di Jalan Kebun, dia di Sri Petaling.  Ternyata selain menjimatkan kredit, banyak juga yang boleh diupdate antara satu sama lain.  Maka naik juga gambar terkininya.  Bersama dR Sam.  Allah bagi seronok asbab Whatsapp.


Kadang-kadang aku mendapat peluang keemasan juga di Whatsapp.  Kata orang, ada point baru boleh cakap.  Sesuatu perkara sangat sulit untuk aku bicarakan secara face-to-face, mudah saja disampaikan melalui Whatsapp.  Tentulah ada asbabnya.  Allah bagi asbab untuk aku nyatakan suara hati yang tersembunyi.  Yang mana biasanya malu untuk disampaikan, canggung, janggal, aneh, risau, saspen dan seanteronya.

Sedang asyik berulit berdua, tiba-tiba masuk teguran dari anak saudara.  Ada khabar duka yang mahu dikongsikan.  Tentang kembalinya teman sepermainan ketika kecil secara tiba-tiba pada petang semalam.  Gadis yang sedang segar menawan dijemput ke hadratNya.  Innalillahi waninna ilaihirajiun.  Dan kami mengenali gadis comel salah seorang pewaris Sime Darby ini, kerana dia dan keluarganya juga kenalan baik kami semasa di Brunei Darussalam.

Sehari sebelum berangkat, kami dipelawa tidur di rumah mereka.  Dan ketika mak datang, sempat juga bersama-sama mengitari kawasan Jerudung Park Playground pada sebelah malamnya.  Secebis kenangan yang tak terlupakan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau bersama golongan orang-orang soleh.  Al-Fatihah buat Atikah.

Inilah asbab aku dapat buka bicara yang sebenarnya mengundang debar.  

See ... jangan sangka kita lama lagi.
Kalo ada lamaran untuk anak dara terima je.

Demikianlah.  Tak tau la ada ke orang nak masuk meminang ... wallahu'alam.

Namun, perihal MAUT adalah satu perkara besar yang selalu bisa mengembalikan perantau ke akal fikirnya yang sihat.  Insaf, bahawa dunia ini hanya sementara.  Tiada yang kekal.  Hanya sebagai laluan persinggahan untuk ke alam kekal. 

Sekelumit dari bebelan aku di Whatsapp.  Allah bagi peluang membebel usah dilepaskan.  Semuanya dengan izin Allah.  Tanpa izinNya, sebesar hama pun akan jadi asbab tidak terjadi.  Dengan redha dan izinNya gunung berlapis-lapis pun tidak dapat menghalang apa yang akan terjadi.

Huhuu

Itu jawabnya, hehe ... sekelumit dari jawapan yang terlalu ringkas bersama foto berposing dengan dR SAM.

* aku bukan seorang pembebel dan tak pandai membebel.  Perkataan 'membebel' itu hanya nak menambah rencah dalam cerita.  Dan andaikata aku pernah membebel, aku bertaubat nasuha untuk tidak membebel lagi selamanya.  Aku tidak mahu menjadi pembebel yang tidak bermakna.

Lebih afdal berkata dua patah tapi isinya sejuta makna.  

Lebih afdal diam saja kerana diam itu lebih mendalam bicaranya. 

Semoga Allah menjadikan diam ini penuh erti.  Bukan diamnya besi.  

Agar sesekali bersuara bisa masuk ke hati.  Dengan izin Illahi.

InsyaAllah allahumma aameeen.


really?




Wednesday, February 12, 2014

Tutup buku





Aku rasa sudah sampai masa untuk tutup buku.

Dalam dunia asbab ini, tak sepatutnya kita fikir kita akan tahu / perlu tahu / patut tahu / mesti tahu / wajib tahu semua perkara. 

Ada perkara yang tak perlu kita ambil tahu.

Ada perkara yang wajib kita tahu dan pelajari.  Mencari jalan untuk keselamatan di hari akhirat yang pasti.  Di mana akan kembali. 

end.


Monday, February 10, 2014

Membaca

aku cuba membaca

tidak mudah rupanya

proses membaca yang sedang aku cuba

kerna bukan membaca cerita

dan bukunya bukan terbitan dunia

hikayat datang dari luar benua

nun jauh jauh jauh sekali asalnya.


selalu aku rasa hampa

benci pun ada

menyampah sedikit sahaja

geram berbaur sama rata

sepertinya rempah ratus masakan India atau Cina

Melayu atau Jawa

Inggeris atau Belanda

pedas masam manis pahit maung semua ada.


tiba-tiba aku terkesima
 
bahkan boleh jadi sebaliknya

aku pula yang dibaca

walau aku bukan watak utama

hanya tukang pegang payung di tepi tangga

yang terkadang merapu semata

namun kuharap rapuan sarat makna

bersama azam baiki sangka-sangka

berhenti menyangka-nyangka

baiki semua prasangka


nangka







Kisah Terindah

Sungguh amat tenang rasa hati.  Alunan qasidah Habib Syech begitu indah menyentuh gegendang telinga.  Suasana sepi ... sunyi dari sebarang gangguan suara.  Perasaan bergelora keriangan.  Hati bergetar.  Jantung berdebar.

Jari gementar.  Tidak sabar rasanya mahu melabuhkan punggung di kerusi khas yang boleh dipusing-pusing 360 darjah.  Boleh membuai diri di situ tatkala penat fikiran menerpa.  Meja yang sederhana besar.  Lengkap dengan laptop dan speaker.  Alat tulis yang sempurna.  Buku log yang harus dibelek selalu.

Oh ya, haruman apa ini?  Sudahlah kulit begitu nyaman diterpa kedinginan dari penghawa dingin, ada pula bauan yang sungguh enak berkitaran.  Hmm ... mungkin saja daun pandan wangi yang dihiris halus oleh pembantu tadi pagi.  Yela, selalunya begitu juga.  Tetapi kali ini, ada aura tersendiri rasanya.

Entahlah.

Dengan perasaan yang tidak sabar, aku duduk dan menanti skrin komputer mula menyala.  Dada semakin berdebar-debar.  Kisah baru akan aku catatkan dengan lajunya.  Semua sudah terakam rapi di dalam minda.  Ia mesti diselesaikan segera.

Segera! Segera!! Segeraaa!!!

Masa terus berlalu.  Sementara masih ada masa.  Sementara masih ada nyawa.  Sementara masih ada upaya.  Sementara masih diizinkan Allah, pastinya.

Dan, dalam suasana yang sungguh sepi dan selesa.  Beberapa detik berlalu.  Terhasillah sebuah cerita.

Sebuah kisah yang sungguh indah.  Tiada cinta tetapi bercinta.  Tiada rayuan tetapi merayu.  Tiada sentuhan tetapi menyentuh.  Tiada apa-apa, tetapi ada apa-apa.  Sungguh!  Ada ...

Beberapa detik kemudian, aku menghantar emel kepada editor yang dihormati.  Pertanyaan susulan diajukan.  Sudikah karanganku yang begitu indah ini dibelek dan diterbitkan ...

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Namun, hakikatnya hari ini, aku masih di sini.  Belum ada karangan yang terindah lagi huhu ... Nyaman dan haruman itu adalah panas dan bau masakan.  Dingin yang menyelubungi diri adalah peluh yang memercik di dahi.  Kerusi khas itu adalah kerusi meja makan.  Meja tulis itu adalah bangku meja solek yang ngam-ngam dengan saiz laptop usang.  Dan biasanya begitu, aku duduk di atas lantai dengan gaya santai.  Suasana tenang harum dan nyaman yang aku bayangkan itu hanyalah fatamorgana semata.  Ketika keletihan menerpa mengusap diri, bantal juga yang aku cari ... Dan buku log serta alat tulis serba sempurna itu (sebenarnya hanya sebatang pensel mekanikal dan pemadam serta buku kulit tebal berwarna merah hati bercorak pelbagai jenis gula-gula ... really sweety :P ) masih banyak yang kosong, hanya beberapa helai yang baru diisi. :(

Oh ya, plot sudah ada.  Bagus kan.
Watak sudah ada.  Pun bagus kan.
Apa-apa yang perlu untuk menyokong jalan cerita, pun ada.  Memang bagus ... kan.
Hanya kesudahan cerita belum terjadi.  Belum berlaku lagi. 

Haruskan aku menunggu?  Hmm ....

Semoga Allah meredhai dan membantu aku membangunkan kisah terindah ini.  InsyaAllah.

Cuma, bagaimana nak aku karang ia dengan sebaik mungkin supaya menjadi karangan terindah yang paling indah dan sangat indah???

Dan ... masa.  Ia sangat laju berlari meninggalkan aku tercengang-cengang, terkapar-kapar, termangu-mangu.

Ya Allah, aku mohon keredhaanMu dalam penulisan ini.
Bahawa apabila Tuhanku telah redha, tiada apa yang akan menghalangnya.  Tiada satu pun.  Walau sebesar hama.  Apa sahaja.  InsyaAllah.  Allahumma aameeen.

Robbi yassir wala tu'assir.

(Maaf banyak-banyak andai tajuk post ini membuatkan anda teruja untuk ke sini ... hmm ... huhu ...  Hanya mahu memotivasikan diri sendiri ...) 







Usah Gentar

langkah kaki yang diatur
di atas aspal berapi
teruskan sahaja
dan tabahkan hati

usah gentar

bahawa sujud dahi di bumi
itulah senjata
dan rintihan di malam hari
adalah bunga dan wangian para wali

telah kau atur jambangan kuntum mutiara
di dalam pelita berkaca
itulah rangkaian bicara
yang diangkat para malaikat
ke hadratNya

usah gentar
perjuangan akan diteruskan
walau tanpa wajah
tiada suara
tiada apa-apa

bahawa hati itu tempat komunikasi
bicara ia pada Illahi
bergabung ia di tempat yang tinggi
bertemu ia di alam para nabi
berkasih ia calon bidadari

dengan berkat baginda Rasululllah Sallallahualaihiwassalam
semoga dimakbulkan.




Ketika Pulang

Satu ketika
dalam perjalanan ini
melintasi cabang-cabang persimpangan
dan kita melepasinya begitu sahaja.

Melangkah beriringan
berpaut tangan
jari-jemari disatukan
kita adalah insan yang penuh harapan.

Sebenarnya
kita tiada kuasa
walau sepicing walau sehama
hanya kita ada hati yang selalu berbicara.

DIA-lah yang Maha Kuasa
DIA jua yang benar-benar tahu
apa yang rapi tersembunyi
dan hati yang selalu tanpa suara
DIA-lah jua yang memberi izin untuk berkata.

Ketika pulang
matahari telah lama tenggelam
rembulan pun entah di mana menghilang
puing-puing gembira berteraburan
diinjak-injak jejak keegoan.

Insaflah wahai diri
bahawa hari ini akan pergi
esok hanyalah impian
semalam adalah kenangan
semuanya adalah cebisan waktu
yang akan ditanyakan dalam perhimpunan terakhir
di sebuah padang yang tandus.

Apakah yang dicari ~







Friday, February 7, 2014

Malu! Malu! Maluuuu!


Bayan bermula.

Entah mengapa, hati rasa begitu sayu.  Tiba-tiba.

Majlis mulia di sisi Allah dengan kehadiran jemaah Indonesia.

Airmata mula menitik-nitik jatuh ke pipi, mengalir ke dagu dan jatuh ke pangku.

"Bagaimana solat yang sempurna, tuan-tuan yang mulia?"  ujar pembayan.

Serba-salah.  Mata kututup rapat-rapat.  Berhentilah wahai airmata!

Pembayan terus berbicara.  Teratur kata-kata yang disampaikan.

Malu!  Malu!! Maluuu!!!  
Mengapa mesti begini?

.
.
.
.
.
.
.
.
.
Seseorang di hadapan mengensot, berpaling memandang.

Airmata terus bergenang.  Aduhaiii ... 


Seseorang yang lain bertanya, "Ahlia ...?"

Dengan linangan airmata, aku cuba bersuara tetapi ...

Aku tak tahu.
Aku tak tahu. 
Aku tak tahu.

Mengapa. 
Kenapa.

Mereka memandang penuh tandatanya.
Tetapi mereka tidak bertanya.
Hanya wanita dari Indonesia yang berbicara
"Sudahkah keluar di jalanNya?"

Airmata pun mengalir lagi
Aku tak tahu
Ia tanda apa?
Malu! Malu!! Maluuu!!!

Doa banyak-banyak
Yakin pada Allah
Doa sungguh-sungguh
Azam
begitulah katanya
Azam 
katanya lagi

InsyaAllah
InsyaAllah
InsyaAllah

Airmata pun mengalir lagi
Aku tak tahu
Ia tanda apa? 
Malu!  Malu!! Maluuu!!!

Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui segala isihati ...




Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing